Saturday, November 24, 2007

MAJLIS BERKHATAN SELESAI SEMPURNA

Titi Serong – Majlis Berkhatan anjuran Dewan Pemuda PAS dan Unit Amal Parit Buntar dengan kerjasama doktor-doktor sukarela berjalan lancar seperti dirancang. Menurut Pengarah program Dr. Mahyuddin Abdul Rahman, seramai 36 anak-anak dari 39 yang berdaftar telah berjaya dikhatankan. 3 orang lagi gagal dikhatan walaupun pelbagai usaha memujuk dijalankan.

“Biasalah di mana-mana pun mesti ada yang tidak mahu berkhatan kerana takut. Ada yang cabut sebelum nama dipanggil. Salahnya orang yang lebih tua kerana suka menakutkan anak-anak dengan ancaman berkhatan sebagai satu gurauan. Akhirnya inilah yang berlaku” Ujar Dr. Mahyuddin.

Majlis yang berlangsung pada pukul 8 pagi itu dimulakan dengan ucapan Drs. Khalil Idham Lim Abdullah Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan diikuti dengan majlis tahlil dan doa selamat. Kemudian anak-anak ini dimandikan secara beramai-ramai dengan pancutan air dari pasukan Bomba.

Seramai 4 orang doktor terlibat mengkhatankan anak-anak ini bermula 9.00 pagi dan berakhir pada 5.00 petang. Ketua Pemuda PAS Kawasan Parit Buntar Sdr. Khairulzami Mohamad berkata, sambutan ibu bapa di Parit Buntar kepada majlis ini amat baik dan Dewan Pemuda mungkin akan menjalankan majlis ini sebagai aktiviti tahunan.

Menurut seorang bapa yang ditemui, beliau menghantar anaknya berkhatan pada hari ini kerana melibat ramai anak-anak lain. Sekurang-kurangnya perasaan takut anaknya akan hilang kerana ramai yang berkhatan.