Wednesday, March 24, 2010

Kuasa rakyat selesai pelbagai masalah









SUNGAI SIPUT (U) , 24 Mac :
Biarpun tampuk pentadbiran negeri sudah tidak dikuasai Pakatan Pembangkang, Parti Sosialis Malaysia (PSM) percaya kuasa rakyat mampu mengatasi segala-galanya termasuklah menyelesaikan masalah yang timbul di peringkat akar umbi.

Bagi membincangkan segala permasalahan rakyat dan mencari penyelesaian terbaik, satu mesyuarat rakan seperjuangan diadakan bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), di sini, pada 21 Mac lalu.

Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar, berkata, sepanjang dua tahun menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut, pelbagai masalah penduduk berjaya diselesaikan.

Menurutnya, walaupun pihaknya tidak mempunyai peruntukkan untuk membantu penduduk tetapi kuasa rakyat mampu menentukan segala-galanya.

“Dalam masa dua tahun, kita berjaya mengendalikan banyak kes yang diselesaikan bergantung kepada kuasa rakyat.

“Contohnya isu banjir di Sungai Pelus iaitu kempen tandatangan telah dijalankan menyebabkan sungai berkenaan dikorek serta masalah banjir berkurangan dan begitu juga isu penduduk KTM berjaya diselesaikan dengan menggunakan kuasa rakyat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau berkata, kuasa rakyat harus diperkasakan kerana pihaknya tidak mempunyai peruntukan kewangan untuk terus menghulurkan bantuan.

“Kita pakai kuasa rakyat untuk menyelesaikan masalah kerana sebagai ahli Parlimen saya langsung tidak ada peruntukan untuk menyelesaikan masalah mereka dan apa yang mampu dilakukan adalah memberi analisa yang benar kepada pihak berkaitan untuk memperbetulkannya.

“Beberapa isu lagi masih diperjuangkan, terbaru mengenai masalah peniaga ayam ang terpaksa berpindah ke gerai lain,” katanya.

Mengulas mengenai mesyuarat jaringan rakan seperjuangan, beliau berkata, pihaknya mengadakan mesyuarat berkenaan dari semasa ke semasa untuk membincangkan pelbagai isu.

“Dalam mesyuarat ini kita jemput semua wakil parti, contohnya dari PAS, Parti Keadilan, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan DAP serta membincangkan pelbagai masalah berbangkit,” katanya.
SH

Pemuda Umno Perak penakut

Kenyataan Media


Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) terkejut dengan keberanian yang di tunjukkan oleh Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak yang diketuai oleh Maslin Sham Haji Razman walaupun hampir 18 Pemuda Umno Bahagian tidak menyokong kepimpinannya hari semalam telah berani tampil membuat laporan Polis terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim bahkan dengan gaya lantang mencadangkan Datuk Seri Anwar ditahan di bawah ISA.

DPPN Pk cukup hairan dengan hujah yang di kemukakan oleh Maslin berkaitan Datuk Seri Anwar di dalam isu 16 September. Sepatutnya laporan Polis tersebut di buat terhadap Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru yang mendedahkan perkara tersebut yang bersifat tuduhan dan bukannya terhadap Datuk Seri Anwar.

Belum lagi penyasiatan Polis di lakukan, terus Pemuda Umno Perak meminta supaya pingat Datuk Seri ditarik semula daripada Datuk Seri Anwar. DPPN Pk curiga dengan laporan Polis yang telah dibuat kerana bukan tujuan mencari kebenaran tetapi di dalam usaha memburukkan imej Datuk Seri Anwar semata-mata.

Jesteru, DPPN Pk meminta agar Pemuda Umno Perak jangan hanya berani di belakang payung perundangan yang mereka kuasai semata-mata dan tidak berani berhadapan dengan pentas kebenaran beralaskan keadilan hujah dan rasional sama seperti kes isu rampasan kuasa di Negeri Perak.


MOHD AKMAL KAMARUDIN
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Mesyuarat Agung ' Kampung PAS '


CIMG3695.jpg picture by paspb














PARIT BUNTAR
, 24 Mac : PAS Cawangan diminta berusaha memperkukuhkan jentera parti itu diperingkat akar umbi dengan memperbanyakkan aktiviti dan menambah ahli baru. Demikian saranan Timbalan Yang Dipertua PAS Parit Buntar Abdul Bahrain Desa semasa merasmikan Mesyuarat Agung PAS Cawangan Parit Abu Samah.

“ Sokongan kepada PAS perlu diperluaskan melalui kempen menambah ahli baru terutama anak-anak ahli PAS sendiri.

“ PAS Cawangan perlu menyediakan pelapis di kalangan golongan muda supaya perjuangan menegakkan Islam terus diwarisi dari satu generasi ke satu generasi” katanya

Bahrain memuji Jawatankuasa PAS Cawangan Parit Abu Samah yang terus mantap dari organisasi dan gerak kerja sejak PAS Cawangan itu ditubuhkan.

“ Sesuai dengan panggilan ‘kampung PAS’ , PAS Cawangan Parit Abu Samah sememangnya adalah cawangan yang aktif dan mempunyai ahli PAS yang ramai.

“ Malah, PAS Cawangan ini banyak membantu PAS Parit Buntar meningkatkan sokongan rakyat sehingga berjaya memenangi pilihanraya umum ke 12” katanya

Sementara itu, mesyuarat agung ini juga menyaksikan penyerahan borang kemasukan ahli baru oleh Ketua PAS Cawangan Parit Abu Samah Haji Muhammad Abdullah kepada Timbalan Yang Dipertua PAS Parit Buntar.

Turut menghadiri mesyuarat agung ini ialah Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Parit Buntar Hamdan Fadel Ahmad.


CIMG3692.jpg picture by paspb

Mesyuarat Agung ' Kampung PAS' sedang berlangsung

Guan Eng di Terengganu

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita23/IMG_0304.JPG











KUALA TERENGGANU, 24 Mac : Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Lim Guan Eng berkata, rakyat negeri Terengganu kena berterima kasih kepada kerajaan PAS yang memerintah negeri Terengganu pada tahun 1999.

Beliau berkata demikian kerana menurutnya, sebelum daripada PAS memerintah, kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak memberikan wang Ehsan sebnyak RM300 kepada
rakyat negeri Terengganu walaupun mula menerima royalti Petroleum sejak tahun 1978.

(Gambar - Ketua Lajnah Perpaduan Nasional PAS Terengganu menyambut ketibaan YAB Tian Lim Guan Eng di Kag Tiong semalam)

“Kita bukan berterima kasih kepada Barisan Nasional, kita patut ucapkan terima kasih kepada PAS, kerana bila PAS jadi kerajaan (pada 1999) baru boleh dapat RM300,

“sebelum PAS perintah ada RM300 tak…….? Tak ada…..,”katanya ketika berucap dalam Majlis Minum Petang anjuran Badan Perhubungan PAS di Kampung Tiong disini semalam.

Menurutnya, kerajaan Umno/ BN Terengganu bukanlah kerajaan yang baik kerana katanya kerajaan yang baik itu mesti mendengar suara rakyat.

Selain itu, katanya, kerajaan baik itu mesti bekerja untuk rakyat dan memberikan harapan kepada rakyat.

Namun, kerajaan Umno/BN Terengganu gagal kerana tidak menggunakan hasil minyak yang banyak untuk menghapuskan golongan miskin tegar dikalangan rakyat negeri Terengganu.

“Adakah mereka mendengar suara rakyat? Rakyat minta gunakan royalty untuk hapuskan miskin tegar di Terengganu! Adakah kerajaan Tetrengganu laksanakan…… mana ada!,”tegasnya.

Katanya, dengan adanya begitu banyak hasil royalti minyak, kerajaan Terengganu sepatutnya sudah lama dapat menghapuskan golongan miskin tegar.


Oleh itu katanya, rakyat mesti berani membuat perubahan untuk kehidupan masa depan yang lebih baik.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, walaupun pengaruh DAP di negeri Terengganu tidak kuat, tapi hubungan erat dikalangan parti-parti Pakatan Rakyat adalah sangat penting.

Dengan mengekalkan hubungan itu, katanya, Pakatan Rakyat akan dapat meneruskan cita-cita untuk menang dalam pilihanraya umum yang akan datang, samada di negeri Terengganu mahu pun di di peringkat kerajaan Pusat.
Buletin Online

Pilihanraya tetap diadakan walaupun SPR tolak










GEORGETOWN, 24 Mac ; Kerajaan Pulau Pinang tetap dengan pendirian untuk mengadakan Piliharaya Kerajaan Tempatan biarpun Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) menolak permohonan kerajaan negeri itu.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng tidak terkejut dengan keengganan SPR dan berkata kerajaan negeri akan membawa keputusan suruhanjaya itu ke mesyuarat Exco esok untuk tindakan lanjut.

“Kita tetap dengan pendirian mahu teruskan (pilihanraya kerajaan tempatan), dan ia akan dibawa dalam mesyuarat Exco untuk membincangkan perkara yang perlu dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan SPR menolak permohonan Pulau Pinang untuk mengadakan pilihanraya itu.

Malah SPR turut menolak permohonan Selangor untuk mengadakan pilihanraya berkenaan.

Guan Eng berkata, pihaknya juga akan meneliti surat alasan setebal 10 muka surat dari SPR.

"Kerana Akta Pilihanraya Kerajaan Tempatan 1960 masih wujud tidak dimansuhkan, oleh itu SPR perlu menjalankan pilihanraya kerajaan tempatan.Baca lagi di sini

Sementara itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusoff berkata, urusan pilihan raya tempatan tidak tertakluk bawah bidang kuasa SPR, tetapi sepenuhnya bawah kerajaan negeri.

Bagaimanapun, tambahanya, pindaan dan perubahan dasar bagi menjalankan semula pilihan raya tempatan hanya boleh dilakukan melalui Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT), satu badan di bawah Kementerian Perumahana dan Kerajaan Tempatan.RM

Ku Li dilantik wakil perunding Kelantan









KOTA BHARU, 24 Mac : Kerajaan PAS Kelantan memutuskan untuk melantik bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai wakil kerajaan negeri dalam rundingan tuntutan royalti minyak dengan Kerajaan Pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini.

Beliau berkata mesyuarat itu juga memutuskan supaya Tengku Razaleigh, yang juga Anggota Parlimen Gua Musang, menyelesaikan isu tuntutan dalam tempoh empat bulan berkuatkuasa hari ini.

"Mesyuarat Exco hari ini mengambil keputusan bersetuju melantik Tengku Razaleigh sebagai wakil kerajaan ini untuk berunding menyelesaikan isu tuntutankerajaan negeri berhubung isu royalti minyak daripada Kerajaan Pusat.

"Surat rasmi pelantikan itu akan dihantar kepada Tengku Razaleigh dalam tempoh terdekat ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco di Kota Bharu hari ini.

Kerajaan negeri Kelantan yang diterajui PAS bertegas mahukan Kerajaan Pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ihsan walaupun mengikut peraturan, negeri tersebut tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.

Dua telaga minyak berkenaan terletak 150 batu nautika dari perairan Kelantan dan Kerajaan pusat bersetuju memberi RM20 juta wang ihsan kepada penduduk Kelantan, yang merupakan bayaran pertama sebanyak lima peratus daripada hasil dua telaga minyak pada 2008.

Perkara itu adalah seperti yang termaktub dalam perjanjian Akta Peroleum 1974, iaitu bayaran lima peratus daripada hasil keuntungan minyak dan gas kepada kerajaan negeri.

Husam berkata pelantikan Tengku Razaleigh oleh kerajaan negeri itu tidak melibatkan apa-apa bayaran dari kerajaan negeri terhadapnya.

Ditanya, sama ada pemimpin veteran Umno itu menerima atau tidak pelantikan itu, Husam yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, berkata pelantikan itu dibuat berdasarkan persetujuan Tengku Razaleigh untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan isu royalti minyak yang berlarutan antara kerajaan negeri dan Pusat.

Beliau berharap dengan pelantikan itu isu royalti minyak yang dihadapi kerajaan Kelantan akan dapat diselesaikan kerana wakil kerajaan negeri itu adalah merupakan orang yang layak kerana beliau sendiri bekas Pengerusi Petronas serta individu yang bertanggungjawab merangka perjanjian antara kerajaan negeri dan Petronas di bawah Akta Petronas 1974.

- Bernama

Spekulasi MB Selangor penggal akhir ciptaan musuh PR










SHAH ALAM , 24 Mac :
Wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) Selangor tidak menolak kemungkinan spekulasi menyatakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan kembali ke dunia korporat setelah penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berakhir dua atau tiga tahun lagi sengaja ditimbulkan oleh sesetengah pihak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Haniza Mohamed Talha berkata, ia adalah usaha yang dicipta oleh pihak tertentu untuk menenggelamkan usaha-usaha baik yang dibuat oleh Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

“Saya hairan mengapa khabar angin seperti ini ditimbulkan oleh mereka sedangkan kita tidak pernah mempersoalkan cara beliau bekerja sebaliknya kita kagum cara beliau memimpin dan mentadbir Selangor,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Haniza berkata, Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor masih lagi memerlukan khidmat Abdul Khalid untuk menerajui negeri ini.

“Beliau seorang tokoh berkarisma serta berkaliber dan masih sesuai untuk mengetuai Selangor.

“Kita perlu ingat prestasi Kerajaan Negeri berkembang positif sejak PR mengambil alih negeri ini,” katanya.

Kelmarin, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan khabar angin bahawa beliau akan kembali ke dunia korporat setelah penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berakhir dua atau tiga tahun lagi.

Sementara itu ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, dakwaan ini sengaja dicetuskan untuk menimbulkan situasi tidak stabil di kalangan wakil rakyat serta rakyat di negeri ini.

“Ia adalah perang saraf yang sengaja dilakukan oleh UMNO untuk memberikan imej tidak stabil terhadap Kerajaan PR tetapi ia sedikit pun tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap pentadbiran PR.

“Mereka ini sengaja ingin mengucar-ngacirkan pentadbiran PR di Selangor,” katanya.

Oleh itu, Suee Lim menggesa pihak berkenaan supaya menumpukan perhatian bagaimana untuk mengembalikan sokongan daripada rakyat daripada menimbulkan gimik murahan seperti ini.


“Hentikanlah daripada membuat spekulasi seperti ini. Saya sarankan agar mereka mainkan peranan sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dan bukannya menyibukkan diri dengan membuat perkara-perkara murahan seperti ini,” katanya.SH

Laman PAS Pahang kena diserang









TEMERLOH , 24 Mac :
PAS Pahang mendakwa laman web rasminya pahangkini.net kelolaan Jabatan Penerangan PAS negeri diceroboh lagi malam semalam.

Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pahang, Hashim Abdullah berkata, akibat pencerobohan itu seluruh operasi dikelolakan jabatan itu terpaksa dihentikan sementara.

Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu didakwa dilakukan pihak tidak berpuas hati dengan PAS Pahang khususnya terhadap kesungguhan laman web itu mendedahkan pelbagai isu.

“Laman web ini sering kali dedahkan dan memaparkan pelbagai isu yang berani, telus dan bebas hinggakan ada pihak kurang senang dan menceroboh serta rosakkan sistem kendaliannya,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian semalam.

Hashim berkata, seluruh operasi PAS Pahang tergendala akibat kejadian itu dan pihaknya menyiasat pencerobohan itu untuk tindakan susulan.

Beliau berkata, kejadian kali kedua terhadap laman pahangkini.net yang memfokuskan isu di negeri ini.

“Laman ini menjadi tumpuan dan semakin popular walaupun belum sebulan beroperasi.

“Pada dua minggu lalu, laman ini cuba diceroboh menyebabkan operasinya terganggu dua hari. Penceroboh gagal hilangkan datanya tetapi kejadian malam tadi memusnahkan segala-galanya,” katanya.

Katanya, PAS percaya laman itu diganggu kerana kandungannya sejak beroperasi berjaya menarik ratusan pengunjung dalam masa singkat.

“PAS juga percaya pihak tertentu tidak senang dengan paparan yang berani, telus, bebas dan berintegriti dalam laman web ini.

“Kakitangan pahangkini.net tidak berputus asa dengan kejadian ini dan mereka segera bertindak bangunkan semula laman tersebut.

“Kami berharap pelayar kami akan dapat mengakses semula laman ini secepat mungkin. Kami juga sedang baiki keadaan termasuk meningkatkan sistem keselamatan,” katanya.SH

Jangan salahguna internet








KOTA BHARU , 24 Mac :
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelar segelintir masyarakat yang menyalahgunakan internet termasuk laman-laman blog bagi tujuan negatif dan tidak mendatangkan kebaikan kepada orang ramai.

Menurutnya, perkara tersebut berlaku kerana kemudahan canggih yang disediakan tidak disatukan dengan ajaran agama yang membezakan antara yang perkara yang boleh dilakukan atau tidak.

“Hasilnya, maruah dan peribadi didedahkan keaibannya secara terbuka di khalayak ramai. Ruang blog seolah-olah sudah menjadi kedai kopi terbuka yang memperkatakan semua perkara sama ada benar atau tidak. Inilah akibatnya apabila wahyu tidak menjadi panduan di dalam penguasaan ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Sijil MSC Malaysia status Inkubator kepada ICT Inkubator Centre Sdn Bhd, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Multimedia Development Corporation Sdn Bhd, Tan Sri Abdul Halim Ali.

Nik Aziz berkata, segala penemuan dan ciptaan moden yang ada pada hari ini bukanlah sesuatu yang janggal dalam Islam, malah umat Islam pernah melakar sejarah sebagai umat yang telah mempelopori pelbagai jenis ciptaan yang bermanfaat.

“Contohnya penciptaan jam. Apabila Islam mewajibkan solat lima waktu, puasa dan haji mengikut waktu yang telah ditetapkan, umat Islam mula mencipta alat yang khusus bagi memudahkan waktu solat diketahui.

Akhirnya pada zaman Khalifah Harun Al-Rasyid, terciptalah sejenis alat jangka waktu solat dengan menggunakan titisan air seterusnya penciptaan ini berkembang menjadi teknologi jam yang kita saksikan pada hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Aziz berkata, Kerajaan Negeri pada masa ini dalam usaha untuk menjenamakan semula bangunan KB Bazar dengan menjadikannya ia sebagai sebuah pusat komunikasi terkenal di Kelantan khasnya dan Malaysia amnya.

Katanya, penjenamaan itu bakal merubah wajah dan nama KB Bazar kepada Kota Bharu Siber Plaza apabila semua prasarana Pusat Inkubator ICT siap dan beroperasi sepenuhnya, di samping penglibatan beberapa syarikat industri.komputer yang akan membuka operasi mereka dalam jangka masa beberapa bulan akan datang.
SH