Thursday, May 13, 2010

Sokongan kepada PR semakin bertambah di Sibu



SIBU, 14 Mei : Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat mengumumkan sokongan masyarakat Cina kepada mesej perubahan Pakatan Rakyat semakin bertambah, melihat kepada penerimaan mereka kepada calon DAP, Wong Ho Leng.

Dalam siri lawatan Pakatan Rakyat bertemu masyarakat setempat, pengundi Cina menunjukkan kemesraan dan sokongan kepada mesej perubahan. Jika sebelum ini Pakatan Rakyat sukar menembusi rumah-rumah panjang, kali ini masyarakat Iban mula membuka ruang.

Sebagai respon kepada provokasi BN, Saifuddin Nasution berkata PKR juga akan menampilkan senjata rahsia mereka menuju hari-hari terakhir kempen Pilihanraya Sibu.

"PKR akan menghadirkan pemimpin utama kita, bermula hari ini, Menteri Besar Selangor Saifuddin Nasution dan Ketua Umum Anwar Ibrahim akan tiba untuk meningkatkan lagi kempen kita bagi membantu calon DAP Wong Ho Leng. Kita telah sediakan jadual yang ketat dengan tumpuan di kawasan-kawasan Melayu dan Iban," kata Saifuddin.

Selain dari dua tokoh itu, PKR juga akan membawa bekas Menteri Undang-Undang Datuk Zaid Ibrahim

Strategi yang dijangka digunakan PKR bagi menangkis provokasi BN adalah dengan mendedahkan pengundi Sibu kepada program-program pro-rakyat yang tersedia di negeri-negeri dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat, seperti program air percuma, skim bantuan pendidikan, skim bantuan usia emas, serta pemberian hak milikan tanah kepada rakyat termiskin dan petani kecil-kecilan.
-tvselangor-

Zambry terdesak ajak pemuda PAS sertai Umno



PARIT BUNTAR, 14 Mei : "Umno sudah tidak mendapat tempat dihati pemuda Melayu, sebab itu Dr Zambry mengajak Pemuda PAS menyertai Umno," demikian kenyataan Hairul Nizam Ishak, Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar di atas kenyataan Dato' Seri Zambry Kader dalam Sinar Harian semalam.
Hairul Nizam berkata, Zambry tahu Pemuda PAS khususnya di negeri Perak begitu agresif mengumpulkan ahli dan penyokong dan ia semakin bertambah selepas Barisan Nasional merampas kuasa di Perak.

" Golongan muda semakin benci dengan Umno angkara peristiwa yang tidak bertanggungjawab itu. Pemuda PAS Perak kini semakin diperkasakan dan setiap program anjuran kami mendapat sambutan anak-anak muda.

" Kita lihat sahajalah Himpunan Pemuda PAS Perak yang begitu berjaya sehingga mengumpulkan 10,000 pemuda walaupun mendapat provokasi dari pelbagai pihak. Begitu juga dengan himpunan-himpunan lain yang menghimpunkan ribuan anak muda di negeri Perak ini" katanya
Beliau berkata, keberkesanan dan kekuatan Pemuda PAS ini yang menimbulkan keresahan di hati Dr Zambry sehinggakan menjemput Pemuda PAS secara terhormat menyertai Umno.

" Kenapa tidak diarahkan sahaja Saudara Maslin Sham Razman, Ketua Pemuda Umno Perak memperkasakan Pemuda Umno.

"Pemuda PAS yakin dengan kredibiliti serta karisma yang dimiliki oleh saf kepimpinan Pemuda PAS Perak mampu menyaingi dari pelbagai aspek berbanding Pemuda Umno" katanya
Tambahnya, pemuda PAS berjuang dengan istiqamah melalui tarbiyah yang diterapkan dalam Islam.

" Kami bekerja untuk Islam dengan tanpa ada apa-apa habuan harta benda serta wang ringgit. Saya menasihatkan Zambry dan Pemuda Umno Perak, janganlah didik anak bangsa kita dengan habuan harta benda wang ringgit untuk mendapatkan sokongan.

" Kelak bila kita sudah kehabisan harta wang ringgit, tiada siapa yang akan menyokong dan membela nasib agama dan bangsa kita. Kalau Dr Zambry dan Pemuda Umno benar-benar nak bela nasib agama dan bangsa, sertailah PAS" katanya

Tragedi 13 Mei teladan bukan hasut perkauman



SHAH ALAM, 13 MEI: Bekas Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari menyifatkan Tragedi berdarah 13 Mei adalah sejarah yang wajar dijadikan teladan tapi penghayatannya bukan melalui program yang boleh mencetus, apatah lagi membakar sentimen perkauman.

Bercakap kepada TV Selangor, beliau berkata, cukuplah ia dikenang dengan menginsafi kejadian yang sudah berlaku dan berusaha menghindarkan tragedi itu dari berulang.

Mengulas cadangan program 'Melayu Bangkit' anjuran Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) sebelum dibatal pada saat akhir, Said Zahari menganggap program seumpama itu hanya memarak lagi api kemarahan di jiwa masyarakat.

“Tidak salah kalau kita hendak mengingati 13 Mei tetapi kita mengingati untuk menjadikan pengajaran dan teladan supaya jangan berlaku lagi. Kalau anjur program mengingatkan 13 Mei itu untuk membangkitkan kemarahan sesuatu kaum, contohnya orang Melayu, itu tidak berfaedahlah," katanya.
Program anjuran Gertak itu dibatal selepas mendapat kritikan pelbagai pihak terutama Parti Islam se-Malaysia, PAS yang mendedahkannya beberapa hari lalu.

Program yang dijadualkan berlangsung di Stadium Tertutup Kuala Terengganu dilihat seolah-olah sengaja cuba membangkit dan mengapi-apikan semangat orang Melayu.

“Sejak berlakunya Tragedi 13 Mei, kesedaran rakyat semakin tinggi. Jadi 13 Mei ini tidak patut dibesar-besarkan. Kalau ada orang yang menjadikan 13 Mei untuk menaikkan semangat orang Melayu, kononnya, ia bukan usaha yang baik," katanya.

Apabila ditanya kepada Said Zahari, andai Tragedi 13 Mei berulang, pihak mana yang mungkin menangguk di air keruh atau meraih keuntungan, ini jawapan Said:

"Saya fikir tidak ada orang yang akan untung tetapi yang rugi, banyak. Sebab kalau berlaku peristiwa 13 Mei berlaku, saya tidak fikir ada orang akan untung. Malaysia rugi. Jadi, perkara ini kalau dijadikan pengajaran, tidak mengapa.

"Sebab Tragedi 13 Mei itu mengingatkan peristiwa persengketaan kaum," katanya lagi.
-tvselangor-

Polis dan pihak berkuasa tempatan ganggu kempen Pakatan



SIBU, 14 Mei : Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat melahirkan rasa kesal dengan ugutan pihak berkuasa keatas penduduk tempatan yang membantu kempen Pakatan Rakyat.

Saifuddin Nasution hari ini menyelar tindak-tanduk aparatus kerajaan negeri itu sebagai melampaui batas dan biadap kepada proses demokrasi.

Dalam satu kejadian, pemilik restoran Idaman Cafe dipanggil ke balai polis, dan diugut lesen perniagaan akan ditarik oleh pihak berkuasa tempatan.

"Timbalan Ketua Angkatan Muda Fariz Musa kemudiannya dipanggil ke balai polis untuk memberi penjelasan kenapa PKR memilih Idaman Cafe. Mengapa hal ini menjadi isu sekarang walhal PKR telah menempah Idaman Cafe setiap malam dari awal sehingga ke hari mengundi," jelas Saifuddin.

Dalam perkembangan lain, forum DAP bersama pengundi Sibu di sebuah sekolah menengah malam ini terpaksa dibawa ke lokasi lain selepas pemilik premis mengadu telah ditekan oleh pihak tertentu.

"Kita telahpun memperoleh keizinan untuk program ini, malangnya sekarang ini kita diberitahu yang kita tidak lagi boleh meneruskan program ini di premis terbabit. Kita sekarang cuba mencari lokasi alternatif," kata Ketua Penerangan DAP Tony Pua.

Saifuddin mempersoalkan kewajaran polis menyiasat orang-orang tempatan yang membantu kempen Pakatan Rakyat, walhal urusan pilihanraya berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihanraya.

"Kita tidak mahu bergaduh dengan polis. Pilihanraya adalah pesta demokrasi untuk rakyat. SPR bertanggungjawab memastikan pilihanraya yang bersih, namun kelihatannya penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh polis berlaku tanpa segan-silu," katanya.
-tvselangor-

Elak Umno dikritik, akhbar Melayu tak siar Najib lulus judi bola



KUALA LUMPUR, 14 Mei : Utusan Malaysia dan Berita Harian yang dikawal oleh Umno tidak memuatkan laporan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan pemberian lesen judi perlawanan bola itu.

Tindakan itu disifatkan sebagai cubaan terancang untuk melindungi UMNO daripada dikritik oleh orang Melayu.

Pengumuman Bursa Saham Kuala Lumpur mengenai kelulusan lesen itu menjadi antara tajuk akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times dan The Star.

Namun laporan sama tidak mendapat tempat dalam akhbar Utusan Malaysia, mahupun Berita Harian walaupun ia menjadi antara berita utama semalam.

Tindakan Utusan Malaysia dan Berita Harian memadamkan laporan pemberiam lesen judi itu sekali lagi dilihat di pengaruhi oleh pertimbangan politik Umno dan perdana menteri sendiri.

“Saya rasa mereka tidak mahu masyarakat,khususnya masyarakat Islam tahu berkenaan ini kerana mereka tahu masyarakat bukan Islam tidak menyokong Barisan Nasional. Yang tinggal saki bakinya masyarakat Melayu-Islam.

Jika ini didedahkan dalam akhbar, besar kemungkinan ramai yang akan meninggalkan Umno. Ini sebabnya Umno tidak memberitahu rakyat mengenai lesen perjudian diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan Kabinet.

"Ini satu tindakan yang terdesak yang saya fikir untuk mendapatkan sumber kewangan yang berpunca daripada sumber haram," ujar Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Nizar Jamaluddin.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula berkata, berita lesen judi baru diluluskan sengaja digelapkan oleh dua akhbar itu untuk memberi ruang kepada pimpinan Umno mengaut keuntungan secara haram bagi mengisi dana politik parti.

“Sebahagian ini, pulangan kepada tabung dana untuk Umno menghadapi pilihan raya umum akan datang. Saya syak inilah yang akan mengisi dana untuk membeli undi dan wakil rakyat sama ada di peringkat DUN dan sebagainya.

"Saya percaya sebelum inipun mungkin wang daripada syarikat judi itulah yang diguna untuk membeli Adun dan Ahli Parlimen yang melompat," katanya.
-tvselangor-

Kerajaan PR Kedah tidak akan bubar











ALOR SETAR, 4 Mei :
K
erajaan negeri Kedah pimpinan Pakatan Rakyat mengetepikan amaran wakil rakyat Bebas Zulkifli Noordin tentang kemungkinan episod “Perak Kedua” sambil menegaskan, tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) buat masa sekarang.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat negeri mengakui sedang mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan kesemua 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kekal bersama ikatan itu, sekali gus mengelakkan nasib yang menimpa Perak awal tahun lalu apabila tiga wakilnya keluar parti.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengesahkan beliau tiada rancangan untuk mendapatkan perkenaan Sultan Kedah bagi membubarkan DUN memandangkan tiada tanda-tanda akan wujudnya kemungkinan keluar parti.

“Ia cuma mengadakan perbincangan dengan mereka malam tadi dan saya yakin dengan kesetiaan mereka.

“Tiada masalah dalam Pakatan. Masalahnya hanya daripada Adun dari Barisan Nasional,” kata beliau ketika dihubungi.

Sehubungan itu, Azizan mengetepikan jangkaan Zulkifli, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu bahawa “Perak Kedua” akan wujud tidak lama lagi dan meminta sebuah kerajaan negeri, tanpa merujuk kepada Kedah, supaya bersiap sedia untuk mengelakkan situasi seumpama dengan membubarkan DUN.

“Jika dia mengatakan majoriti Kedah terlalu kecil, jadi bagaimana kerajaan (PAS) Kelantan berjaya kekal dalam kuasa dengan perbezaan satu undi?

“Jika ahli-ahli PKR berfikir macam Zulkifli, maka bukan sahaja beberapa akan keluar parti - dia tidak boleh mengisytiharkan bahawa beberapa orang akan lompat parti macam dia kerana kami mempunyai hubungan baik dalam Pakatan,” katanya.

Sebaliknya Azizan mencabar Zulkifli agar meletakkan jawatan dan bertanding semula di kerusi Kulim-Bandar Baharu jika merasakan mempunyai pengaruh yang besar.

Katanya, orang ramai sudah tidak lagi menyokong Zulkifli, yang sudah pun sudah lagi tidak kredibel di Kedah.

“Jika dia berani, dia harus meletakkan jawatan,” katanya.

Pengerusi PKR Kedah Datuk Johari Abdul mengakui pemimpin-pemimpin Pakatan di negeri itu mengambil langkah cukup berhati untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Saya bekas pemimpin Umno dan saya mempunyai ramai kawan dalam Umno.

“Kami peka dengan perkembangan dan tiada sebarang petanda buat masa sekarang,” katanya.

“Satu perkara yang pasti, tiada mana-mana wakil rakyat PAS akan lompat parti. Mereka terikat dengan bai’ah yang mereka telah buat,” katanya.

Johari memberitahu, meskipun kesemua tiga Adun PKR keluar parti, BN masih tiada cukup kerusi untuk membentuk kerajaan.

Kelmarin, Zulkifli Noordin membayangkan episod Perak tumbang berulang dalam waktu terdekat sambil menasihatkan sebuah “kerajaan negeri Pakatan Rakyat” agar mengambil langkah untuk membubarkan DUN.

Zulkifli memberitahu The Malaysian Insider, dua Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) akan keluar dalam waktu terdekat.

Tindakan itu menurut wakil rakyat Bebas ini, boleh menyebabkan tumbangnya satu lagi kerajaan negeri mirip Perak awal tahun lalu.

Pakatan Rakyat kini memimpin Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Kini tumpuan menghala ke arah Kedah kerana perbezaan kerusi antara Pakatan Rakyat dan pembangkang termasuk Barisan Nasional (BN) cuma empat.

Daripada 36 kerusi di DUN, Pakatan Rakyat mempunyai 20 kerusi dengan PAS memiliki 16, PKR tiga dan DAP satu manakala BN pula 14 dan dua lagi merupakan wakil rakyat Bebas yang pro-BN.

Bulan lalu, Azizan ada memberitahu bahawa beliau akan memohon pembubaran DUN jika ada lagi yang memutuskan untuk keluar parti.

Judi bola : Raja bola Malaya pun tak setuju

KUALA LUMPUR , 14 Mei : Cadangan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin agar kerajaan membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia tidak dipersetujui raja bola negara, Datuk Abdul Ghani Minhat yang bimbang perjudian seperti itu akan turut melibatkan perlawanan liga tempatan.


Katanya, jika pertaruhan Piala Dunia dibenarkan, pemilik lesen perjudian itu akan meminta pula perkara yang sama bagi liga tempatan dan ini akan membunuh pembangunan bola sepak negara yang baru tumbuh.

“Jangan cuba simbah minyak ke api nanti ianya akan membakar diri sendiri,” katanya, semalam.

Baru-baru ini, Awang Adek meminta kerajaan menimbang kemungkinan mengeluarkan lesen bagi membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia yang akan bermula di Afrika Selatan bulan depan sebagai langkah untuk mengurangkan aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Abdul Ghani, penyerang yang digeruni semasa eranya sekitar 60-an berkata, beliau juga bimbang gejala rasuah yang pernah menyerang pasukan dalam Liga Malaysia pada tahun 1994 dan 1995, akan kembali mencemari bola sepak tempatan.

Liga Malaysia pernah dilanda rasuah pada tahun 1994 apabila 126 pemain dan jurulatih dipanggil untuk membantu siasatan. Akibatnya 58 daripada mereka dikenakan hukuman gantung selama satu hingga empat tahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) manakala 21 pemain dan jurulatih diberhentikan dan beberapa pemain dibuang daerah dan tidak dibenarkan menyertai pertandingan bola sepak kelolaan FAM seumur hidup.

Kesannya, Malaysia kehilangan pemain handalan yang ramai kerana kelompok pemain yang didakwa pada tahun itu adalah antara yang terbaik pernah dilahirkan oleh negara.

Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh berkata, beliau tidak menyokong sama sekali sebarang aktiviti yang berkaitan dengan perjudian dan pertaruhan yang membabitkan sukan kerana ia bukan sahaja haram daripada segi agama tetapi turut akan mengundang kepada perkara negatif.

“Bola sepak adalah sukan dan ianya tidak seharusnya dikaitkan dengan perjudian.

“Tidak wajar jika perjudian dicampur dengan sukan kerana motif kemenangan dalam perjudian ialah untuk diri sendiri manakala dalam sukan ianya adalah kejayaan yang diperoleh secara pasukan,” katanya. -Bernama