Wednesday, May 19, 2010

Polis lindungi judi bola berlesen

KUALA LUMPUR, 20 Mei : Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) mengucapkan tahniah kepada polis kerana kesungguhannya untuk melindungi judi bola sepak berlesen milik Tan Sri Vincent Tan yang diluluskan kerajaan yang dilihat menguntungkan Umno.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin sebelum ini berkata, pihak polis akan memerangi habis-habisan mereka yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menjalankan perjudian haram membabitkan wang pertaruhan sempena Piala Dunia.

Mahfuz berkata, kenyataan Mohd Bakri itu sekaligus membuktikan kerajaan dan parti Umno Barisan Nasional tidak dapat apa-apa sumbangan dari sindiket perjudian tanpa lesen.

"Dengan mengeluarkan lesen kepada syarikat milik Vincent Tan sudah pasti rundingan telah dibuat untuk pastikan bukan saja pulangan cukai yang diperolehi oleh kerajaan tetapi sudah pasti ada bahagian yang akan diperolehi untuk dana politik Umno BN.

"Jadi polis dikerah untuk membanteras sindiket tanpa lesen yang tak menguntungkan Umno BN untuk menjayakan dana politik Umno BN melalui perjudian bola sepak piala dunia yang dikendalikan oleh tauke judi negara, Vincent Tan.

"Maknanya polis bekerja untuk politik Umno dan Vincent Tan. Tahniah polis," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Beliau juga melihat kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah itu sebagai ikrar akan memastikan setiap rakyat Malaysia yang mahu terlibat dengan pertaruhan perjudian sempena pertandingan bola sepak Piala Dunia hanya dibenarkan melakukannya dengan syarikat Ascot Sports Vincent Tan yang diberikan lesen oleh kerajaan BN.

"Satu perkara yang pelik apabila polis boleh bersetuju dengan pemberian lesen judi bola sepak yang akan meninggalkan kesan buruk kepada masalah sosial dalam negara seperti jenayah rompak, ragut dan bunuh.

"Dengan bertambahnya kegiatan judi melalui sukan bola sepak akan menyebabkan rakyat jadi malas hanya bergantung pada nasib dan akan lahir ramai penganggur yang hanya berharap dapat wang dari berjudi.

"Keruntuhan institusi keluarga akan meningkat. Apakah pula langkah dan tindakan polis selepas ini?" Mahfuz mempersoalkan.

Baginya, kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah yang malah menyatakan polis telah mengesan suspek dan lokasi perjudian membuktikan bahawa alasan kerajaan mengeluarkan lesen judi bola sepak kepada Vincent Tan untuk mengatasi perjudian haram ternyata tidak benar.

"Maknanya sindiket tanpa lesen akan terus wujud walaupun judi bola berlesen dikeluarkan. Ini menunjukkan kenyataan kerajaan sebelum ini meleset," kata Mahfuz.hrkh

RM1.75 juta bantu SAR, tahfiz di Pulau Pinang


PULAU PINANG, 20 Mei: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang menambah peruntukan kepada sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah tahfiz pada tahun ini menjadikan RM1.75 juta berbanding tahun lepas hanya RM1.5 juta.

Demikian kata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada majlis sumbangan peruntukan untuk SAR 2010 di Madrasah Al-Aminiah, Kampung Pertama, dekat sini semalam.

Menurutnya, daripada peruntukan tersebut, RM380,950 diberikan kepada 102 sekolah rendah agama dan RM25,000 lagi kepada lima buah sekolah tahfiz.

"Kerajaan negeri berjaya menambah peruntukan RM1.5 juta peruntukan untuk sekolah agama rakyat menjadikan RM1.75 juta tahun ini. Bantuan terbuat menggambarkan Kerajaan Pakatan Rakyat prihatin terhadap SAR yang pernah dibatalkan peruntukan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN)," tegasnya.

Kerajaan negeri juga, katanya senantiasa menitik beratkan tentang kualiti pembelajaran untuk setiap generasi agar menjadi generasi berilmu dan cemerlang.

Justeru itu, tambahnya Kerajaan Pakatan Rakyat menyediakan satu Hab Pendidikan Cemerlang di Balik Pulau seluas 200 ekar demi menarik institusi pengajian tinggi yang terunggul.

"Hab Pendidikan Cemerlang di Balik Pulau dengan keluasan 200 ekar bakal mewarnai bidang pendidikan Islam suatu hari nanti di negeri ini. Namun, sekarang projek berkenaan masih dalam perbincangan mungkin dalam tempoh setahun atau dua tahun ia akan siap," tegas beliau.

Umat Islam harus berbangga kerana dengan peruntukan Kerajaan Pakatan Rakyat tahun lepas telah membolehkan Madrasah Al-Aminiah mewujudkan makmal sains untuk pelajarnya.

Beliau berharap Kerajaan Pusat memperuntukkan kepada SAR untuk mengubah suaian serta membangunkan institusi SAR pada masa depan kerana bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri terlalu kecil.

"Setiap tahun peruntukan akan diberikan, contohnya tahun sudah Madrasah Al-Aminiah berjaya membina makmal sains. Pembelajaran sains juga wajar dipertingkatkan pembelajaran di SAR supaya pelajarnya boleh berjaya dalam kedua-dua bidang sekali gus," tambahnya.

Bantuan kali ini meliputi Maadrasah Manabil Ulul sebanyak RM197,000, Madrasah Al-Irsyad Al Asyraf Al-Watanaiah (RM159,000), Madrasah Al-Aminiah (RM183,000), Sekolah Menengah Islam Ad-Diniah (RM166,275), Sekolah Menengah Arab Tahfiz (SMART) sebanyak RM120,000.

Sekolah Menengah Othmaniah (RM90,000), Institut Pengajian Ar-Razi (RM70,000), SABK Khairiah Islamiah (RM23,000).

Manakala SABK Al-Masriyah (RM30,000), SABK Wan Jah (RM13,000), SABK Faqiyah Daimiah (RM22,000), SABK Al-Ahmadiah Al-Ijtimaiyyah (RM25,000), SABK Daeratul Maarifil Wataniah 1 (RM25,000), SABK Daeratul Maarifil Wataniah 2 (RM19,000), SABK Al-Mashoor Islami (RM25,000), SABK SMATI (RM22,000), SABK Al-Imam An Nawawi (RM3,000), Sekolah Menengah Al-Itqan (RM96,275) dan Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum sebanyak RM45,000.

Hadir sama dalam program berkenaan ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Ketua Menteri 1, Dr Mansor Othman, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Haji Abdul Malek Abul Kasim, Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Ustaz Saleh Man, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap, Haji Mokhtar Shafie, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Haji Sazali Husein.hrkh

Titi usang bahayakan penduduk

CIMG3934.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR, 20 Mei : Titi yang usang di Parit Sungai Labu Bawah berdekatan tiang lampu KSL B 14/1 sudah hampir dua tahun tidak dibaiki.

Wakil penduduk, Sabri Hussin memberitahu sudah ada wakil JPS hadir melihat keadaan titi tersebut namun belum ada tindakan daripada mereka.

"Jambatan tersebut baru 12 tahun namun keadaan titi tersebut tidak sampai 10 tahun sudah mengalami kerosakan yang teruk.
" Sudah beberapa kali penduduk yang bermotosikal jatuh ke dalam parit" katanya

CIMG3935.jpg picture by paspb

Salah seorang penduduk di situ, Sarimah Ibrahim mengatakan beliau bersama anaknya pernah jatuh motosikal di dalam parit tersebut dan mengakibat kecederaan.

Menurut penduduk, terdapat sebuah lagi jambatan yang berhampiran turut mengahadapi masalah yang sama.
Masalah ini mendapat perhatian Ahli Parlimen Parit Buntar dalam sesi lawatan ke kawasan sekitar Parit Buntar dan beliau sendiri bersama pegawainya, Hamdan Fadel Ahmad telah melihat keadaan jambatan yang uzur tersebut.

"Saya minta supaya pihak yang bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera dalam hal ini sama ada membaiki ataupun membina titi yang baru. Kita tidak mahu kemalangan yang berlaku ke atas penduduk di sini berulang.

" Mungkin sebelum ini hanya kecederaan ringan kita tak mahu selepas ini lebih buruk dari ini berlaku."katanya

Kerana laporan polis Saiful








PETALING JAYA , 20 Mei : Kerani yang didakwa membuat ugutan bunuh terhadap bekas pembantu peribadi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari Azlan menafikan komen di laman sosial Facebook sebagai ancaman bunuh.

Badrul Hisham Abd Jalal, 40 yang ditahan reman lima hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis petang kelmarin, tampil memberi penjelasan bagi membersihkan namanya bahawa beliau tidak berniat seperti mana yang didakwa.

“Sebagai seorang Islam, kita tidak pasti bila kita akan mati.. saya mungkin akan mati esok..kita tidak tahu,” katanya yang hanya berniat menegur sesama Islam.

Badrul berkata, beliau menghantar komen itu di laman sosial Facebook namun tidak menyangka akan menjadi ‘highlight’ .

“Setelah mendapat tahu bahawa Saiful membuat laporan, saya tampil memberi kerjasama kepada polis tetapi dimaklumkan bahawa saya ditahan.

“Sepanjang ditahan, saya dilayan dengan baik. Namun, emosi saya bercelaru memikirkan keluarga dan memikirkan mengapa saya ditahan biarpun tidak berniat membunuh seperti mana yang di dakwa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di sini, semalam.

Beliau yang juga ahli PAS hadir bersama isteri dan sepupu lelakinya kelihatan masih terkejut dan kurang sihat akibat penyakit gout yang dihadapinya.

Badrul berkata, beliau tidak menyangka niatnya menyerah diri untuk memberi kerjasama kepada polis menyebabkannya ditahan.SH

SPR didakwa seleweng undi pos



PUTRAJAYA, 19 Mei : Ketua Pemuda Sosialis DAP, Anthony Loke membuat aduan rasmi berhubung kelemahan proses perjalanan pilihan raya kecil Sibu Ahad lalu di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di Putrajaya petang tadi.

Turut hadir menyerahkan aduan kepada SPR termasuk Ketua Penyelaras Ajen Mengundi DAP, Vincent Wu, Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan, Mary Josephine dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kayat.

"Kita amat tidak berpuashati dengan beberapa perkara yang berlaku dalam PRK Sibu, terutamanya mengenai pengiraan undi pos," kata Loke kepada media selepas menyerahkan aduan kepada SPR.

Loke berkata petugas undi pos Pakatan Rakyat mendapati sewaktu penjumlahan undi pos dilakukan, terdapat beberapa kod undi yang jumlah pemulangannya melebihi dari jumlah yang dikeluarkan. Ia melibatkan Kod 708, iaitu 6 undi dikeluarkan dan 24 yang kembali, Kod 429, 160 yang dikeluarkan dan 161 yang kembali serta Kod 43, sebanyak 47 undi dikeluarkan dan 67 yang kembali.

"Ini tak boleh berlaku kerana undi yang diterima tidak boleh bertambah. Kalau undi yang kembali menjadi sedikit, itu logik, sebab mungkin ada orang yang tak mengundi, dan memang itu hak dia. Kalau ada lebihan, bermakna kertas undi itu tidak dikeluarkan oleh SPR," jelasnya.

Beliau memaklumkan setiap undi pos perlu dikembalikan bersama satu surat akuan yang perlu ditandatangani oleh seorang saksi.

Namun petugas Pakatan Rakyat membantah apabila meragui surat akuan tersebut selepas mendapati banyak sampul yang tidak mempunyai tandatangan.

Bantahan tersebut diterima oleh Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya tetapi seorang pegawai SPR Pusat yang bernama Ismail campur tangan dan mengarahkan beliau untuk menerima semula undi yang ditolak tersebut.

Ini berlaku sedangkan terdapat kesalahan pada sampul dan kertas undi terbabit
Petugas Pakatan Rakyat juga berjaya mengesan individu yang disyaki pengundi hantu.

Mereka turut merakam gambar dan mendedahkan terdapat beberapa individu yang mendakwa diri mereka adalah wakil kepada pengundi pos.

Loke turut mempersoalkan kelewatan pihak SPR untuk mengumumkan keputusan seperti mana yang dijanjikan.

Kelewatan 2 jam itu berpunca dari proses pengesahan pengiraan undi pos. SPR didakwa menangguhkan pengeluaran Borang 15 yang mengesahkan keputusan kiraan tersebut.

"Borang 15 itu adalah bukti pengesahan oleh pegawai SPR dan parti yang bertanding. Kami takkan tinggalkan tempat kiraan tanpa borang tersebut. Bahkan sampai hari ini pun kita masih belum terima borang tersebut," kata Loke.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mempersoalkan kewajaran SPR untuk mewujudkan pusat pengundian di kawasan persendirian seperti rumah panjang.

"Sepatutnya pengundian dijalankan ditempat yang sah dan berkecuali seperti sekolah atau balai raya. SPR mesti ambil iktibar dari insiden seperti ini," jelas Loke lagi.

Utusan kena saman lagi


SHAH ALAM, 19 Mei : Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali akan memfailkan saman terhadap Utusan pukul 11 pagi esok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung laporan berita fitnah yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 6hb Mac 2010 di bawah tajuk "RM500,000 Syed Husin dicabar lapor polis".

"Berita tersebut mendakwa saya kononnya menerima RM500,000 daripada Anwar Ibrahim sebagai bayaran untuk membubar Parti Rakyat Malaysia (PRM) bagi memudahkan percantuman dengan Parti Keadilan Nasional dan membentuk Parti Keadilan Rakyat," kata beliau dalam laporan media sebelum ini.

Justeru itu, katanya, pihaknya akan mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang yang perlu terhadap mereka.

Dr Syed Husin juga berkata tindakan undang-undang akan diambil sekiranya tiada jawapan daripada pihak terbabit berhubung tuntutan tersebut.

Beliau akan mengadakan satu sidang media di lobi mahkamah sejurus saman itu difailkan.

Selcat siasat, SPRM dakwa



"Maka terpulang kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk melakukan tindakan susulan dengan menggunakan kuasa yang ada pada suruhanjaya itu," katanya.

Khalid berkata demikian ketika menjelaskan pertikaian sesetengah pihak yang meragui peranan Selcat dan kuasa terbatas yang dimilikinya pada sidang media selepas mesyuarat exco di bangunan SUK, di sini petang tadi.

Menteri Besar itu mengakui Selcat tidak mempunyai kuasa untuk membuat pendakwaan terhadap salah laku dalam isu penyelewengan aktiviti melombong pasir oleh anak syarikat milik kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Namun demikian katanya, SPRM sudah tentu berminat untuk membuat tindakan susulan jika sekiranya kenyataan yang dibuat oleh Selcat mengandungi unsur-unsur rasuah dan berlakunya penyelewengan.

SPRM boleh dakwa

"Adalah dalam bidang kuasa SPRM untuk membuat pendakwaan jika sekiranya terdapat sebarang penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah melalui kenyataan-kenyataan Selcat," terang beliau.
Ekoran dari pendedahan tentang dakwaan berlakunya penyelewengan dalam isu pasir ini oleh Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam, maka Speaker Dewan Negeri Selangor, Teng Chang Khim menetapkan tarikh 2 hingga 4 Jun depan untuk pendengaran awam oleh Selcat.

Dalam pada itu, Khalid menegaskan bahawa sesiapa sahaja boleh membuat laporan polis jika tidak berpuas hati berhubung kes melombong pasir yang melibatkan kerajaan negeri Selangor itu.

Beliau mengulas laporan oleh bekas penyelaras Parti Keadilan Rakyat, DUN Ijok, Azmi Muhammad di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang meminta disiasat kenyataannya yang didakwa berbau ugutan terhadap Manikavasagam.

Azmi mendakwa kenyataan Khalid itu bertujuan untuk melindungi saudara terdekatnya yang didakwa mempunyai kaitan dengan KSSB.

"Dia boleh buat laporan polis. Saya galakkan, jika ada sebarang individu yang berfikir dengan tujuan menjaga harta negeri ataupun apa-apa mengenai penyalahgunaan kuasa dan rasuah," kata Khalid.

Azmi, dalam laporannya mendakwa bahawa saudara terdekat Khalid terlibat dalam kes simbah cat ke atas kereta dan rumah Manikavasagam tempuh hari.

'Sihir' perkauman ditolak di Sibu










KUALA LUMPUR, 19 Mei : Peningkatan undi Melayu kepada calon Pakatan Rakyat (PR) daripada DAP dalam pilihan raya kecil Sibu, Ahad lalu membuktikan ‘sihir’ perkauman Umno dan media-medianya sudah ditolak oleh rakyat, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Peningkatan undi Melayu kepada calon DAP itu membuktikan tidak semua orang Melayu yang boleh diperbodohkan oleh ‘sihir’ Umno yang mengapi-apikan perkauman," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yakin apa yang berlaku di Sibu itu akan meningkatkan lagi keyakinan rakyat yang waras untuk menyelamatkan sebahagian orang Melayu yang masih lagi terpedaya dengan tindakan Umno yang mengapi-apikan perkauman.

"Umno tahu, perkauman adalah satu-satunya modal baginya untuk terus wujud.
"Malah ada tokoh Umno sendiri yang menyatakan bahawa Umno tidak lagi layak bercakap mengenai Islam terutama dengan tindakan kerajaan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) memohon petunjuk dari Yahudi Zionis dalam APCO Worldwide dan meluluskan lesen judi bola sempena Piala Dunia 2010.

"Hendak bercakap mengenai keadilan, demokrasi, hak rakyat, usaha menentang rasuah, pemimpin yang bersih dari skandal termasuk skandal pembunuhan atau apa jua mengenai kepimpinan yang bersih dan adil, sudah lama Umno tidak layak bercakap mengenai perkara-perkara itu," kata Salahuddin.

Oleh sebab itulah, katanya, hanya perbuatan mengapi-apikan perkauman yang menjadi penyelamat nyawa Umno.

Beliau bagaimanapun yakin Umno tidak akan dapat menipu orang-orang Melayu selama-lamanya dengan sihir perkauman itu.

"Akhirnya orang-orang Melayu akan sedar semua itu adalah propaganda murahan Umno demi kepentingan survivalnya sendiri dan tidak ada kena-mengena dengan kepentingan orang-orang Melayu.

"Tidak dinafikan bahawa sebahagian orang Melayu masih terlupa bahawa Umnolah yang sebenarnya mengkhianati kepentingan orang-orang Melayu contohnya dengan penghakisan tanah rezab Melayu dan penghakisan kerusi majoriti Melayu dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003 lalu.

"Tetapi, mereka tidak terlalu bodoh untuk ditipu selama-lamanya oleh Umno," katanya.

Salahuddin juga juga yakin orang-orang Melayu akhirnya akan sedar bahawa masa hadapan mereka tidak akan dapat dijamin dengan mengapi-apikan perkauman.

"Tugas kita ialah untuk meningkatkan kesedaran orang-orang Melayu bahawa Allah tidak mencipta pelbagai kaum untuk bermusuh-musuhan dan saling menyakitkan hati antara satu sama lain.

"Tugas kita ialah untuk meningkatkan kesedaran orang-orang Melayu bahawa orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa kepada-Nya dan pertolongan Allah kepada bangsa Melayu hanya datang dengan peningkatan ketaqwaan yang menyeluruh kepada-Nya, termasuk mematuhi perintah-Nya supaya meningkatkan ilmu pengetahuan serta memilih pemimpin yang bersih dan bertaqwa," katanya.hrkh

Kekalahan rasuah di Sibu - Nizar

IPOH, 19 Mei : PRK Sibu P212 pada 16 Mei lalu memberi signal bahawa sedaif-daif dan semiskin-miskin rakyat Sibu, mereka masih tidak termakan seluruhnya dengan perbuatan rasuah dan suapan oleh BN/SUPP disepanjang tempoh berkempen.
Segala janji manis oleh pimpinan BN termasuk PM 1Malaysia ditaburkan sehingga kata-kata mengemis dari Najib, "I help you, you help me" terungkap di Sibu menunjukan bertapa terpinggirnya rakyat Sibu khususnya kaum melayu/malanau disepanjang sungei Rejang, di Kg Jeriah , di rumah2 panjang dll.
Di sekeliling masjid Sibu, mulai jam 4 pagi lagi jentera penurap jalan dan pekerja mee segera telah siap sedia untuk memberi turapan baru kepada jalan2 yg sempit dan berlubang2. Cek RM18juta di beri oleh Najib kepada beberapa sekolah Cina di Sibu menyebabkan kaum Cina berasa lagi di hina oleh Najib seolah2 mahu membeli mereka! Mereka ada maruah. BN kalah di Batang kali, Ulu Selangor walaupun Najib mengumpan mereka dengan RM3juta untuk satu sekolah Cina disitu.

Bayangkan jika tiada PRK maka adakah kerja2 segera ini dilakukan? Saya yakin tidak. Bukanya satu pemimpin dari satu kementerian, malah semuanya pemimpin termasuk para Menteri mahu menjadikan Sibu bandar wireless terunggul, menyiapkan lebuhraya, pusat pelancungan, hab itu, hab ini, dll pada masa itu juga! Berapa banyak secara kebetulan ya?

Rata2 anak Sibu sendiri meninggalkan bandar tersebut mencari kerja ditempat lain. Kempen dari SUPP/BN yg mendakwa, " undi DAP bererti undi Negara Islam", "undi DAP nanti tak dapat makan mee Kampua"(gambar mee kampua berlemak babi dihidangkan dalam mangkuk bulan PAS pada billboard di roundabout-oleh SUPP/BN), cukup memberansangkan . Malahan memberi pukulan balik kepada BN di mana kaum Cina yg sekarang ini amat tahu dengan latar belakang PAS dan pergerakan PAS tidak termakan sama sekali dengan dakwaan bahan kempen tersebut.

Dalam satu dialog dengan hampir 300 pengundi Cina agama Kristian di Hotel Paramount, saya diajukan satu soalan oleh seorang pemuda mengenai dakwaan dalam kempen tersebut. Saya tanyakan semula sama ada terdengar kaum Cina di Kelantan yg sudah 20 tahun di bawah pentadbiran PAS, tidak di benarkan makan babi, minum arak dll. Bahkan patung Buddha yg terbesar sedang berbaring, berdiri, duduk tak pernah PAS ganggu! Tidak ada insiden potong memotong terdengar. Ini kemudian disahkan oleh pimpinan PR yg lain termasuk Dato Chua Jui Meng, YB Dato Ngeh Koo Ham dll. betapa adilnya PAS di Kelantan.

Apapun, saya merasakan PRK Sibu menunjukan bahawa BN menggula2kan rakyat dengan janji dan dan wang ringgit tidak bolih mempengaruhi mereka menolak BN.
Kempen dari pimpinan PR yg BN merasuah mereka dapat diterima dan akhirnya memenangkan DAP. Sama jugalah halnya seperti di PRK ulu Selangor. Namun oleh kerana jumlah pengundi peneroka felda melayu yg besar belum bolih memenangkan PKR di situ.

Kesimpulanya, kemenangan haq mengatasi bathil dapat di lihat di Sibu dan kita minta supaya di lain PRK, UMNO/BN terus menggunakan pendekatan sama, ia itu menawarkan dan menaburkan bermacam2 janji, mee segera dll yg telah lama dinafikan oleh BN. Di Sibu rakyat Sarawak berjaya menumbangkan rasuah walaupun mereka hidup daif dan sengsara 35 tahun dibawah Ketua Menteri Taib Mahmud. Rakyat di semenanjung yg dikatakan lebih moden, terpelajar, kaya dll bila lagi? Janganlah nanti warga di semenanjung diajar oleh orang Borneo, orang rumah panjang, orang malanau/iban /dayak (yg ramai masih bukan beragama Islam), bagaimana menjaga maruah kita supaya menolah rasuah, perkauman dan penindasan. Tolaklah UMNO BN sekarang dan selamanya!

Jaga harta negeri, banteras salahgunakuasa

SHAH ALAM, 19 Mei : Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata beliau menggalakkan sesiapa sahaja membuat laporan polis demi menjaga harta negeri atau membanteras penyalahgunaan kuasa.

Beliau berkata polis mempunyai kuasa dan keupayaan untuk membuat siasatan termasuk terhadap adiknya Hajiman yang didakwa mungkin terlibat dalam kes simbah cat merah di kediaman dan kenderaan Anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam di Pekan Meru Ahad lalu.

Manikavasagam juga menerima ugutan bunuh selepas membuat laporan polis terhadap dakwaan berlakunya rasuah di kalangan pegawai atasan Kumpulan Semesta Sdn Bhd, syarikat anak negeri yang bertanggungjawab terhadap perniagaan pasir, Rabu lalu.

"Tak apa..dia buatlah (laporan polis). Ini semua perkara boleh sebab polis mempunyai kuasa dan keupayaan untuk buat penyiasatan," kata Khalid (kiri) ketika diminta mengulas laporan polis yang dibuat seorang anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang pernah berkhidmat dengannya di Ijok, di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang tengahari tadi.

Bekas Penyelaras PKR Ijok Azmi Muhammad membuat laporan polis pada jam 12.05 tengahari tadi mengenai kenyataan Abdul Khalid terhadap Manikavasagam yang didakwanya berbaur ugutan.

Azmi berkata kenyataan Abdul Khalid yang disiarkan di Buletin Utama TV3 malam Ahad lalu menyebut Manikavasagam harus berani dan bersedia menerima risiko tindak balas oleh mereka yang didedahkan olehnya.

Beliau berkata laporan polis ini dibuat supaya polis menyiasat kemungkinan kenyataan berbaur ugutan oleh Abdul Khalid bagi melindungi adiknya sendiri, Hajiman di samping mengesyaki Hajiman mungkin terlibat atau mempunyai pengetahuan di dalam kejadian yang menimpa Manikavasagam.

Sepa
njang berkhidmat sebagai penyelaras PKR Ijok dari April hingga Disember 2008, Azmi berkata Hajiman disyaki terlibat dalam aktiviti pengeluaran pasir tanpa permit dari tanah milik anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Bhd di Batang Berjuntai.

Hajiman juga disyaki menerima wang berjumlah ribuan ringgit termasuk pembelian sebuah Toyota Harrier dan beberapa mesyuarat perancangan aktiviti itu didakwa diadakan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam, katanya.

- Bernama

Lagi banyak BN cakap pasal Islam, judi bertambah

PERMATANG PAUH, 19 Mei: "Lagi banyak Kerajaan Barisan Nasional (BN) membicarakan pasal Islam, lagi banyak perjudian tumbuh. Contoh terbaru 'judi bola' yang bakal mewarnai masyarakat ketika perlawanan bola sepak Piala Dunia bulan depan," kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap pada majlis penyampaian sumbangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) tahun 2010 di Madrasah Al-Aminiah, Permatang Nibung pagi tadi, beliau menambah, judi bola akan menjadi trend terkini apabila kerajaan memberi lesen kononnya menghindarkan perjudian haram terutamanya kaki bola ketika perlawanan itu nanti.

Menurutnya, memberi lesen bukan jalan penamat untuk membanteras perjudian di negara ini sebaliknya menambah kemelut sosial yang telah kusut sejak bertahun lamanya.

Katanya, generasi muda terutamanya akan hanyut dilanda arus perjudian setelah kerajaan sendiri memberi kebenaran.

Tambahnya, tokoh agama dalam Umno khususnya kenapa mendiamkan diri sedangkan jika membabitkan pembangkang bukan main lagi mereka ke hadapan.

Sepatutnya, kata beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, mereka bersuara kerana judi merupakan perosak masyarakat yang nyata dan harus dibanteras bukan digalakkan.

"Mana dia tokoh agama yang sanggup bercanggah pendapat dengan tokoh politik pembangkang jika timbul isu agama. Kenapa mereka diam membisu. Sepatutnya mereka malu dengan status Malaysia sebagai Negara Islam tersohor di dunia, " ujarnya.

Beliau berkata, rakyat Negeri Pulau Pinang harus berterima kasih kerana mempunyai seorang Ketua Menteri yang begitu prihatin terhadap Islam dan perkembangan sekolah agama yang berada di bawah penguasaannya.

Katanya, Ketua Menteri banyak membantu dengan memperuntukkan kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) dan terbaru kepada SAR semata-mata mahu melihat perkembangan Islam walaupun beliau bukan individu Islam berbanding Ketua Menteri atau Menteri Besar Kerajaan BN.

"Mereka tidak langsung memikirkan bagaimana untuk memartabatkan Islam termasuk SAR yang masih berada di tahap rendah berbanding sekolah agama lain di Malaysia," katanya yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.hrkh

Ceramah 22 Mei bukan buli

ALOR SETAR, 19 Mei: "Ceramah 22 Mei bukan buli, itu kewajaran untuk memberikan penjelasan isu semasa," kata Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Ahmad Kassim mengulas ceramah perdana bertajuk 'Dun Kedah bubar' di Markas PAS Kedah, Sabtu ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Gerakan Kedah yang mendakwa PAS membuli rakan-rakannya dalam PKR dan DAP dan memaksa mereka datang ke majlis ceramah perdana itu.

Ceramah itu diadakan untuk merungkaikan salah faham rakyat kononnya kerajaan Pakatan Rakyat Kedah akan tumbang apabila empat Adun yang bukan PAS akan meninggalkannya.

Ekoran itu, bagi menolak keraguan itu, ke empat-empat mereka akan tampil sendiri memberikan penjelasan di majlis yang bakal disertai puluhan ribu itu.

Sehubungan itu, Ahmad Kassim menyelar tindakan sesetengah pihak yang cuba memanipulasikan ceramah bertajuk 'Dun Kedah Bubar' yang akan diadakan pada 22 Mei nanti di Markas PAS, Kota Sarang Semut itu.

Menurut beliau lagi tindakan tersebut perlu dilakukan bagi memberi penjelasan sebenar kepada rakyat mengenai isu yang sedang dimainkan oleh pembangkang khususnya Umno dan Barisan Nasional (BN) di negeri Kedah.

"Adalah menjadi kebiasaan bagi pembangkang seperti Umno dan BN di negeri Kedah untuk membuat tuduhan yang negatif walaupun niat sebenar kita adalah untuk memberi penjelasan supaya rakyat faham mengenai kedudukan sebenar isu yang sedang dimainkan oleh pembangkang.

"Kesediaan ketiga-tiga Exco Kerajaan Negeri Kedah dari PKR dan Adun Kota Darul Aman dari DAP untuk turun padang bersama-sama membuktikan kesepakatan yang ada dikalangan parti komponen dalam Pakatan Rakyat(PR).

"Ianya juga bukanlah satu tindakan tidak wajar sepertimana yang didakwa oleh Umno dan BN Negeri Kedah,"kata Ahmad yang juga anggota Parlimen Kuala Kedah.

Bagi beliau, dakwaan tidak matang yang dilemparkan oleh kepimpinan Umno dan BN ini juga bertujuan untuk memperkecilkan hasrat Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk memberi penjelasan dan isu sebenar yang berbangkit mengenai pentadbiran negeri kepada rakyat.

Perang saraf Umno

Sementara itu, usaha untuk meragukan antara satu sama lain di kalangan wakil rakyat Pakatan Rakyat di Kedah berterusan sehingga kini selepas berjaya membawa Adun Lunas, Mohd Radhi Salleh, ke pangkuan BN.

Setiausaha Politik MB Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor (gambar) dalam tulisannya berkata, perang saraf BN dan Umno melalui plot Wakil Rakyat melompat meninggalkan PR dan menukar kerajaan di Kedah nampaknya berjaya menimbulkan keresahan di kalangan rakyat yang peduli politik dan penjawat awam.

Ini adalah eksesais baru untuk membina suasana haram yang terpaksa diterima sebagai halal jika ia benar-benar berlaku.

"Ini sebahagian ciptaan APCO yang dilantik sebagai konsultant 1Malaysia BN/UMNO. Kalau nak 1Malaysia, takkan Kedah depa tak mau ambik kot?" tulis Sanusi.

"Saya nampak eksesais ini adalah turutan (flow) yang dikembangbiak daripada isu soalan Dewan Undangan Negeri tempoh hari," tulisnya.

Pergerakan isu ini juga mempunyai carta aliran yang mencakupi banyak skop lain termasuk gerak saraf di kalangan pegawai tadbir, keselamatan, pelabur dan ahli perniagaan.

Ia akan terus dipanaskan dari masa ke semasa, sehingga ada tindak balas yang mereka mahukan, katanya.

Bagi beliau, ceramah pada 22 Mei nanti bukanlah respon yang diingini. Ceramah tersebut boleh menutup plot lompat selama-lamanya, katanya.

Sebab itu, katanya, Ketua Pemuda Gerakan yang kerjanya membuat sidang akhbar dan menulis memorandum 'yang ketinggalan keretapi' menyampuk dan campurtangan dalam parti orang lain.

"Katanya Adun-Adun PKR dibuli oleh PAS. Dia mahu Adun-adun PKR jangan pergi berceramah malam itu. Statement ini serentak dengan kenyatan Chong It Chiew yang berkata pelabur lari dari Kedah," beritahu Sanusi.

Sanusi berkata, seorang rakannya menelefon beliau memaklumkan dia menerima maklumat daripada kawannya seorang anggota keselamatan bahawa pihak BN sedang memasang banner di sekitar Alor Setar mendakwa DUN Kedah akan dibubarkan.

"Saya tidak pelik kerana memang kerja depa untuk mengkucar kacirkan kerajaan. Bila ada penafian dari pimpinan UMNO/BN tentang kerja buat depa menjatuhkan kerajaan melalui usaha pembelian kerusi, ia wajib dibaca sebaliknya. Pengalaman lalu mengajar kita bacaan terbalik ini," tulis Sanusi lagi.

Perangkap Adun

Sanusi turut mencerita plot yang dibuat untuk memerangkap seorang Adun Pakatan Rakyat agar beliau diragui.

"Satu peristiwa baru dalam plot ini ialah perangkap yang dibuat oleh Adun Bayu, Azmi Che Hussein terhadap Adun Kulim (Lim Soo Nee) selepas sidang DUN baru-baru ini. Dia mengajak Adun itu ke Hotel Shamila dengan mendakwa Adun Bukit Selambau juga ikut serta, padahal Adun Bukit Selambau ada bersama saya ketika itu.

"Saya menerima maklumat dari informer tentang perjumpaan itu, dan saya memanggil Adun Kulim balik segera. Dia memaklumkan bahawa dia dimaklumkan Adun Bukit Selambau (S Manikumar) juga ada di sana, sebab itu dia pergi untuk membincangkan hal ehwal portfolionya dan pelancongan di Baling.

"Selepas beberapa ketika, dia pun pulang. Itu adalah perangkap untuk menimbulkan kecurigaan ataupun membuat 'dealing', Wallahu a'lam," tulis Sanusi.

Menurut Sanusi, Adun Bayu adalah bekas Pegawai Tugas-tugas Khas bekas MB Kedah, Datuk Seri Mahathir Khalid. Dia juga kerap mengadakan perjumpaan dengan YB Lunas sebelum Adun itu menjadi katak.

"Pada satu malam sebelum melompat, saya dimaklumkan dia membawa kereta rasmi exco KBN 333 ke rumah Adun Bayu. Apa yang dipersetujui dalam perjumpaan itu saya tak tahu.

"Selepas itu, bila tercetus kes pusat penyembelihan babi dirobohkan di Kampung Berjaya, YB Lunas pun melompat. Dia rebah bersama pusat penyembelihan itu. Masa ni APCO belum timbul, sebab itu beliau melompat kerana babi! Malu la juga kan?" tulis Sanusi.

Peranan Adun Bayu

Baru-baru ini, katanya, Adun Bayu juga membuat kenyataan diakhbar baru-baru ini bahawa kerajaan negeri kerugian RM200 juta dari pembalakan yang dilakukan di 400 hektar kawasan pembalakan yang salah kompartmen.

Katanya pembalakan diluluskan di kompatmen 9, tapi pokok ditebang di kompartmen 8. Oleh kerana itu, kerajaan menanggung kerugian RM200 juta di kawasan seluas 400 hektar itu.

"Saya ingin memaklumkan bahawa, pemberian kawasan pembalakan secara tander terbuka sekarang ini mendatangkan hasil kepada kerajaan sebanyak RM35 juta (harga paling tinggi ialah RM16 ribu sehektar), berbanding RM6 -RM10 juta (RM500-RM1000 sehektar) di zaman bosnya menjadi MB. Kuota penebangan di Kedah ialah 2,340 hektar setahun. Matematik sekolah mana yang dia belajar hingga kiraannya begitu baik, hingga memberi pulangan RM200 juta di kawasan seluas 400 hektar.

"Kalau dengan kiraan Adun Bayu, bermakna sehektar kawasan balak berharga RM50 ribu, bermakna zaman bosnya menjadi MB, kerajaan kerugian RM49 ribu sehektar. Kalau 2,340 hektar, kerajaan kerugian berapa? Minta dia tolong kirakan! Kalau begitu mahal kayu balak, mengapa zaman bosnya jadi MB, kerajaan cuma dapat RM6-RM10 juta?" tulisnya.

Sanusi yakin, ada lagi turutan (flow) dari isu-isu yang dicipta yang akan dimainkan oleh BN/UMNO Kedah untuk menggoncang kerajaan sekarang. Sebab itu, Umno, MCA dan Gerakan menyanyi lagu dan menari dalam rentak gendang yang sama dan serentak!

"Saya tidak percaya BN/Umno yang mendapat nasihat dari APCO yang menasihat regim-regim diktator seluruh dunia akan ketandusan akal untuk melawan PR di Kedah.

"Tapi kalau asyik mendapat nasihat daripada APCO, akal mereka sendiri akan mandul dan tandus. Sebab itu, matematik mudah dalam kes balak gagal diselesaikan dengan baik. Menarilah semua komponen BN dalam irama gendang APCO, kita tengok kaki sapa terpelecok!" tulisnya.

Dialog PAS Perak bersama paderi


IPOH, 19 Mei : PAS Perak hari ini menempa sejarah baru dalam merealisasikan slogan PAS For All. PAS yang selama ini dikepung oleh imej negatif yang dipakaikan oleh media BN telah berjaya menyingkapnya petang tadi dalam dialog bersama paderi kristian sekitar Ipoh. Ketakutan yang selama ini menghantui penganut bukan Islam terhadap PAS telah terhapus.

Dialog yang diadakan di Hotel Hillcity ternyata membuka lembaran baru dalam kepercayaan masyarakat bukan Islam terhadap PAS Perak.

Kehadiran menggalakkan paderi yang datang dari pelbagai mazhab sangat menggalakan. Secara jujur Dr Teoh yang mewakili kalangan paderi ketika memulakan ucapan menjelaskan sikap dan pendirian mereka terhadap PAS.

Menurutnya jika jemputan majlis sebegini di lakukan tiga tahun dulu mungkin mereka tidak hadir.Keterbukaan masyarakat bukan Islam terhadap PAS berjaya mengikis imej negetif ekstremis Islam kepada PAS selama ini.

Antara isu yang dibangkitkan ialah kalimah Allah, isu kekeluargaan jika berlaku kes masuk Islam, peranan fatwa dan isu politik seperti pendirian PAS dalam beberapa isu sensitif seperti kerakyatan, keadilan dan sebagainya.

PAS diwakili Dr Khairudin Abd Malek yang bertindak sebagai moderetor bersama DS Nizar, kepimpinan Ulama, Pemuda dan muslimat. Turut hadir ialah YB Dr Mujahid Rawa yang telah berjaya memberi kepuasan atas keraguan dan kebimbangan.- anak sengat


Parit Buntar dilanda banjir kilat

IMG_0119.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR, 19 Mei : Hujan lebat besertakan kilat hampir dua jam mengakibatkan hampir seluruh kawasan bandar di Parit Buntar ini ditenggelami air.

Ada jalan-jalan utama di sini digenangi air setinggi hampir setengah meter terutamanya di persimpangan Hotel Damai. Kebanyakan kenderaan tidak dapat melalui jalan raya terutamanya motosikal dan kereta bersaiz kecil.
Kejadian ini mendapat perhatian Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa yang telah keluar meninjau keadaan banjir kilat di sini.

Beliau juga berkesempatan menyaksikan sebuah kereta yang terjunam ke dalam parit besar berhampiran Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar.

" Pemandu kereta tersebut telah tersalah anggap bahawa ada laluan di jalan tersebut, namun keretanya terus menggelongsor ke dalam parit tersebut. "Saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku." kata Dr Mujahid.
Selepas dari itu, beliau bersama pegawainya, Hamdan Fadel Ahmad serta wartawan telah meninjau kawasan-kawasan lain dan didapati hanya di kawasan bandar sahaja menghadapi musibah buruk ini.

Menurutnya, "kami ada membuat tinjauan di kawasan yang kerap berlaku banjir dp pinggir bandar sebelum ini seperti di Dennistown dan Kampung Ban Seng Hin, namun tiada banjir berlaku. Saya berasakan faktor menyebabkan air tidak dapat terus ke sungai kerana projek Landasan Berkembar Keretapi yang di laksanakan oleh Syarikat Gamuda."
' Di sini (berhampiran landasan keretapi) kita lihat parit di penuhi air, mungkin tersekat laluan airnya, untuk pembinaan titi laluan kenderaan, jadi kawasan di simpang Hotel Damai yang sememangnya sering dinaiki air menjadi bertambah buruk. Ini kerana apabila saya meninjau kedudukan paras sungai Kerian ianya tidak penuh." katanya lagi.
Justeru beliau berharap agar pihak pemaju dapat mengambil tindakan segera agar laluan air di parit yang terlibat dengan projek tersebut tidak tersekat bagi mengelakkan keadaan yang sama berulang.

IMG_0145.jpg picture by paspb

banjir2.jpg picture by paspb

banjir1.jpg picture by paspb

Pemuda PAS persoal ketelusan agih projek kelas F

KUALA LUMPUR, 19 Mei: Dewan Pemuda PAS Pusat mempersoalkan sejauh mana ketelusan pihak berkaitan dalam pengagihan projek kepada kontraktor kelas F sebagaimana yang diumumkan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Ketuanya, NasharuddinTantawi (gambar) berkata, apakah jaminan bahawa projek berkenaan benar-benar sampai kepada kontraktor yang layak ataupun hanya berlegar dikalangan ‘kroni’ sahaja.

“Atau lebih tepat lagi, kontrak ini hanya diberikan kepada mereka yang menjadi ahli Umno sahaja?” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Begitupun, beliau menyokong tindakan Kementerian Kerja Raya (JKR) menawarkan kontrak bernilai RM65 juta bagi 19 buah projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang akan dilaksanakan tahun ini kepada kontraktor-kontraktor Kelas F.

Ini ekoran kenyataan Shaziman bahawa pemilihan kontraktor Kelas F bagi projek-projek tersebut akan berdasarkan kepada sebut harga dan kepakaran mereka dalam bidang yang diperlukan.

Nasrudin berkata, ini sedikit sebanyak akan melegakan para kontraktor yang rata-ratanya terkesan disebabkan impak kemelesetan ekonomi yang bukan hanya melanda negara kita malah boleh dikatakan tempiasnya ke seluruh dunia.

Dengan persoalan yang dibangkitkan itu, beliau bertanya apakah keberkesanan ‘Konsep Payung’ yang pernah diperkatakan oleh Menteri Perumahan Sarawak ketika itu, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg di dalam satu majlis di Kuching pada Januari 2009.

“Di mana arah tuju perbincangan tersebut, apakah ianya sekadar retorik semata-mata?” soalnya.

Oleh itu, beliau mengharapkan agar kerajaan dapat mengamalkan ‘tender terbuka’ seperti yang dilaksanakan Kerajaan Pakatan Rakyat yang bukan sahaja lebih telus malah lebih ‘terbuka’ dari segi pengagihannya.

“Kerajaan harus bersikap adil kepada semua. Jangan hanya `menganugerahkan’ projek kepada mereka yang bukan dilihat kepada capability tetapi kepada ‘kabel’lity,” ujarnya.

Pemuda PAS juga, tegasnya menuntut supaya bukan hanya kementerian tertentu yang berbuat demikian malah menuntut dilaksanakan di seluruh agensi kerajaan demi memastikan keadilan dalam pengagihan dapat ditegakkan. hrkh