Monday, June 21, 2010
PAS Kedah sasar 20 kerusi DUN untuk PRU 13
HULU SELANGOR, 21 Jun: PAS Kedah mensasarkan kemenangan di 20 kerusi DUN dalam pilihan raya umum akan datang, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi.
Untuk itu, usaha telah dibuat oleh Jabatan Pilihan raya Negeri (JPN) Kedah yang dipimpin beliau untuk mendaftarkan pengundi baru seramai mungkin bagi membantu rancangan PAS itu.
Phahrolrazi yang juga Timbalan Ketua Pengarah Pilihan raya PAS Pusat berkata demikian ketika ditemui dalam majlis pelancaran gerakkerja Institut Latihan Pilihan raya PAS (Ilpas) dekat Batang Kali semalam.
Di majlis itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melancarkan empat modul latihan Ilpas untuk dilaksanakan pengarah JPN seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
Ke empat-empat modul itu adalah dasar PAS, undang-undang pilihan raya, teknikal dan strategi pilihan raya.
Phahrolrazi mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman yang meramalkan kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah dan Selangor akan jatuh jika usaha untuk mendaftarkan pengundi baru tidak dibuat.
Menurut Phahrolrazi, kejayaan PAS memenangi 16 kerusi Dun dalam pilihan raya lalu di Kedah adalah kerana sokongan pengundi bukan Melayu.
"Sebab itu, kita menang di kerusi 60:40 (60 peratus Melayu) bukannya di kerusi yang pengundi Melayunya melebih 80 peratus," kata beliau.
Menjawab komen Abdul Halim itu, beliau bersetuju jika usaha untuk mendaftarkan pemilih baru tidak dibuat, kerajaan negeri Kedah boleh jatuh.
"Sebab itu, kita telah memulakan gerak kerja ini sejak awal tahun ini di Kedah. Hasilnya akan kita lihat Julai nanti apabila laporan suku kedua pendaftaran pemilih baru dikeluarkan oleh SPR," kata beliau.
Buat masa sekarang, katanya, pandangan Abdul Halim itu adalah berdasarkan angka sebelum ini.
"Saya harap angka itu akan berubah Julai ini. Namun secara peribadi, saya belum berpuashati dengan jumlah pengundi baru yang kita daftarkan di Kedah hatta untuk DUN saya sendiri," kata Adun Pengkalan Kundor yang juga Exco kanan kerajaan negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Azizan Razak itu.hrkh
Mula kutip infaq Ramadhan
PARIT BUNTAR , 21 Jun : Program Infaq Ramadhan Al Mubarak Kawasan Parit Buntar merupakan aktiviti tahunan yang dilakukan oleh PAS Kawasan Parit Buntar serta Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar dan DUN Titi Serong.
Pengerusi Jawatankuasa Infaq Ramadhan Abdul Bahrain Desa berkata, program ini bertujuan untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan yang amat memerlukan di sekitar Parlimen Parit Buntar sempena bulan Ramadhan yang hampir tiba.
“ Beberapa golongan yang dikenalpasti pihak kami akan salurkan bantuan iaitu fakir miskin, anak yatim, mualaf, pesakit di hospital, masjid, pegawai masjid dan guru PASTI.
“ Jumlah sumbangan yang diperlukan untuk tahun ini adalah sebanyak RM 70,000.00. Sumbangan yang disalurkan adalah berbentuk barangan keperluan untuk sambutan Eidul Fitri, jamuan anak yatim dan wang ringgit” katanya
Bahrain berkata, sumbangan dari orang ramai, ahli korporat dan pihak swasta diperlukan bagi menjayakan program ini.
“ Sumbangan ini amatlah bertepatan dengan amalan sedekah amal jariah khususnya untuk menjalani ibadah bulan Ramadhan.
“ Pada tahun lalu sejumlah hampir RM 50,000.00 telah berjaya dikumpulkan dan disalurkan kepada penerima. Namun pada tahun ini jumlahnya ditingkatkan bagi meluaskan lagi sumbangan kepada mereka yang layak menerima” katanya
Tambahnya, Jawatankuasa Infaq Ramadhan telah mula membuat kutipan derma sebelum bulan Ramadhan kerana dana infaq yang diperlukan besar .
“ Kita sudah mula mengedarkan pamplet program dan menjalankan kutipan dana infaq daripada orang ramai.
“Justeru itu, adalah besar harapan kami agar orang ramai di negeri Perak khususnya, dapat bersama menghulurkan sumbangan untuk program ini. Segala jasa baik penderma yang membantu menghulurkan sumbangan amatlah kami hargai” katanya
Bahrain berkata, orang ramai yang ingin membuat sumbangan untuk program infaq Ramadhan boleh disalurkan wang tunai, cek, dan wang pos melalui akaun Bank Muamalat Malaysia Berhad bernombor 0801-0000839-71-1 di atas nama ‘Jawatankuasa Dana JPR Parit Buntar’.
Solat Jumaat untuk kebaikan kaum wanita
Katanya, saranan itu bertitik tolak dari majlis mengisi tabung pembinaan Masjid Daruttarbiyah di Bachok baru-baru ini yang dilihat mampu memuatkan jemaah wanita kerana mempunyai kawasan ruang yang luas untuk bersolat.
“Solat Jumaat untuk wanita adalah sunat tetapi dari hanya berbual di rumah baik melakukan sembah-yang masjid sekali gus memberi manfaat yang berguna,
“Tetapi masjid yang ada kini sempit dan tidak muat untuk wanita. Tetapi apabila saya tengok masjid yang saya rasmi itu luas, ia boleh menampung kehadiran jemaah wanita tempatan,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelantikan Timbalan Exco di sini, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan dalam satu majlis kelmarin supaya wanita digalakkan menunaikan solat Jumaat seperti mana yang dilakukan pihak lelaki.
Sehubungan dengan itu, Nik Aziz berkata, pihaknya mempunyai cadangan untuk memperbesarkan masjid yang ada di negeri ini bagi menampung jemaah wanita tetapi ia tidak dapat dilaksanakan memandangkan kekangan kewangan yang terhad.
“Oleh itu, kita mahu Kerajaan Pusat mengembalikan wang Petroleum milik Kerajaan Negeri supaya wang itu boleh digunakan untuk aktiviti berfaedah, itu wang kita, bukan kita mintak,” katanya.
Tidak layan cabaran murahan Khairy
SHAH ALAM , 21 Jun : Cabaran yan:g diberikan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendedahkan bukti UMNO terlibat memberi RM2 juta kepada wakil rakyat bebas dianggap sebagai satu cabaran murahan.
Ahli Parlimen Balik Pulau dari PKR, Yusmadi Yusoff berkata, Anwar tidak akan menyahut cabaran tersebut kerana beliau jelas mengatakan akan mendedahkan bukti tersebut pada waktu dan tempat yang sesuai.
“Hari ini terdapat banyak lagi isu lain yang lebih penting dari isu-isu murahan seperti ini, oleh itu saya seru kepada seluruh pemimpin politik negara supaya meninggalkan politik murahan yang tidak menguntungkan rakyat.
“Cabaran Pakatan Rakyat (PR) supaya Rancangan Malaysia Kesepuluh dibahaskan di Parlimen untuk untung nasib negara dan masyarakat lebih penting dari cabaran murahan Khairy,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Ditanya mengenai kepercayaan ahli parti terhadap Anwar, Yusmadi menjelaskan isu ini tidak akan menggugat kesetiaan ahli PKR.
Kelmarin, Khairy memberi tempoh 48 jam kepada Anwar untuk mengeluarkan bukti bahawa wakil rakyat yang keluar dari PR menerima imbuhan sebanyak RM2 juta dan cabaran tersebut berakhir hari ini.
Sementara itu, Yusmadi turut menegur gabungan Konsensus Bebas yang terdiri dari ahli parlimen bebas supaya kekal kepada prinsip mereka yang asal iaitu berjuang untuk rakyat dan bukannya menimbulkan isu-isu murahan.
“Mereka dibentuk demi rakyat, bukannya untuk serang orang lain, oleh itu sila kekal kepada prinsip asal,” katanya.
Konsensus Bebas terdiri dari Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong, Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Noordin, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri.
Ahli-ahli konsensus ini terdiri dari bekas Ahli Parlimen PKR dan mereka sering bertembung dengan pemimpin PR dalam banyak isu sehingga mereka digelar ‘askar upahan BN’.
Bantah pinda akta pekerja
SHAH ALAM , 21 Jun : Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) merancang untuk mengadakan perhimpunan di Putrajaya dalam masa terdekat sebagai bantahan terhadap cadangan Pindaan Undang- undang Buruh 2010 oleh Kementerian Sumber Manusia Malaysia, baru- baru ini.
Pengerusi Kaukus Pekerja Parlimen Malaysia, Abdullah Sani berkata, pihaknya menyasarkan seramai 100,000 pekerja dari seluruh negara akan menyertai perhimpunan dan turut diadakan ialah perarakan serta pemberian memorandum kepada Perdana Menteri.
Menurutnya, pihaknya juga akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara untuk menerangkan perjuangan sebenar mereka terhadap penolakan cadangan pindaan Undang- undang Buruh supaya pekerja di negara ini mengetahui implikasi terhadap mereka sekiranya pindaan itu dilaksanakan dan dijangka akan dibuat pada Julai nanti.
“Selepas ini, kita akan mengadakan siri jelajah di Melaka dan kita juga turut mendapat jemputan ke Pulau Pinang untuk menerangkan hal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menjadi ahli panel dalam Forum Perdana Pekerja Tolak Cadangan Pindaan Undang- undang Buruh 2010 oleh Kementerian Sumber Manusia Malaysia yang dianjurkan oleh Gabungan Kesatuan Pekerja- Pekerja Selangor, dekat sini, semalam.
Abdullah Sani berkata, pihaknya mengadakan bantahan berikutan cadangan kementerian itu yang akan melakukan pindaan terhadap tiga akta iaitu Akta Kesatuan Sekerja 1959, Akta Perhubungan Perindustrian 1967 dan Akta Pekerjaan 1955.
“Kita mahu, pekerja di negara ini sedar sekiranya pindaan akta itu dilaksanakan, hak mereka akan dinafikan,” katanya.SH
Bangga belia Parit Buntar wakili Perak
PARIT BUNTAR, 21 Jun : Bakat-bakat belia di dalam acara sukan terutamanya belia di kawasan Parit Buntar mendapat perhatian serius Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa.
Menurutnya, beliau berbangga anak tempatan Parit Buntar dapat mengambil bahagian mewakili negeri Perak dalam acara Karate Do untuk Sukan Malaysia di Melaka yang baru berakhir.
"Jabatan Belia dan Sukan sewajarnya memberikan perhatian serius dalam soal bantuan kepada atlit kita kerana mereka ini sudah mencapai tahap yang membanggakan dalam sukan."katanya
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada jurulatih dan atlit Karate Do dari Parit Buntar yang akan ke SUKMA di Melaka.
" Saya mengucapkan terima kasih di atas sumbangan daripada pihak Ahli Parlimen. Saya berharap sumbangan ini akan dapat menyuntik semangat peserta-peserta kita."katanya
Tidak setuju pindah parlimen
ALOR SETAR , 21 Jun : PAS tidak bersetuju dengan cadangan memindahkan Parlimen ke Putrajaya, termasuk mengubah suai bangunan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sebagai Parlimen yang baru dan kekal.
Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, bangunan Parlimen sedia ada perlu dikekalkan dan hanya dibuat pengubahsuaian, memandangkan bangunan itu adalah warisan negara yang perlu dihormati.
Katanya, cadangan kerajaan untuk membina bangunan Parlimen yang baru adalah tidak praktikal kerana membabitkan peruntukan yang besar, iaitu RM800 juta berbanding pemulihan bangunan Parlimen sedia ada hanya sekitar RM200 juta.
“Pas bersetuju untuk pindah sementara ke PICC atau mana-mana tempat, tetapi tidak setuju jika pindah terus. Sebelum ini, saya sendiri menghadiri satu pameran Jabatan Kerja Raya berhubung pembinaan blok bangunan baru di belakang Dewan ini, malah Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia turut bersetuju dengan cadangan itu,” katanya.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, cadangan memindahkan bangunan Parlimen ke Putrajaya adalah tidak wajar memandangkan kawasan sekitar Parlimen luas dan dapat menampung pembinaan bangunan baru di tapak sedia ada.
“Seperti ada agenda tertentu pula apabila ada pihak beria-ia mahu dipindahkan ke Putrajaya. Saya bimbang kelak, tapak warisan itu dimusnahkan dengan projek pembangunan oleh pihak yang rakus mencari keuntungan,” katanya.
Mahfuz berkata, beliau kesal kerana cadangan itu mungkin diusulkan untuk menyelamatkan PICC daripada menjadi satu lagi projek gajah putih yang terbukti merugikan rakyat dan negara.
“Apabila bangunan PICC tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak pengurusan, cadangan dibuat untuk memindahkan Parlimen ke situ. Jangan hanya kerana kegagalan pengurusan PICC, Ahli Parlimen yang menerima akibatnya,” katanya.
Menurutnya, sekiranya benar pengurusan PICC gagal mengurus mercu tanda itu dengan baik, seeloknya pengurusan terbabit ditukarkan, dan bukannya mencari helah dengan menempatkan Parlimen di situ secara kekal.SH
Serah pingat bukan perjuangan
PETALING JAYA, 21 Jun : Istana Johor meminta Chua Jui Meng menyerah kembali ketiga-tiga pingat yang dianugerah kepada beliau oleh Sultan Johor walaupun pada asalnya hanya menarik balik dua pingat.
Minggu lalu, Chua dilucutkan gelaran ‘datuk’ dan ‘datuk seri’ dan diarahkan mengembalikan dua pingat kepada Istana. Tidak ada sebab diberikan ekoran menarik balik pingat tersebut walaupun spekulasi bertiup kencang adanya tangan Umno Johor dalam keputusan Istana tersebut. Umno Johor bagaimanapun menafikan tuduhan ini.
Pada sidang media di sini hari ini, Chua berkata, beliau telah memaklumkan kepada Setiausaha Mahkamah Diraja Johor, Abdul Rahim Ramli, bahawa beliau mempunyai pingat ketiga – Pingat Ismail Sultan (PIS).
"Saya bertanya beliau sama ada pihak Istana mahu pingat itu juga dan beliau dengan pantas menjawab ya," kata Chua.
Oleh itu, saya akan membuat persiapan untuk memulangkan pingat-pingat itu kepada Istana secepat mungkin. Dan saya mengembalikannya dengan dada terbuka.
Ditanya bilakah beliau akan memulangkannya, Chua berkata, tidak ada keperluan untuk segera berbuat demikian.
"Saya telah memberitahu Rahim bahawa apa yang perlu beliau lakukan ialah dengan menarik balik gazet ke atas dua pingat itu dan pingat-pingat itu akan bertukar menjadi timah sahaja kerana ia tidak lagi mempunyai nilai dan penghormatan ke atasnya.
"Tetapi saya akan pulangkannya jua…. jangan bimbang," ujar beliau.
Bagaimanapun, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sivarasa Rasiah, yang turut hadir, menyoal bidang kuasa Rahim menuntut dikembalikan pingat yang ketiga itu.
"Saya terperanjat kerana beliau (Rahim) boleh segera membuat keputusan tanpa merujuk kepada Istana," katanya. "Jadi siapa yang menggunakan kuasa di sini? Siapa dibelakang keputusan pihak Istana?
Chua, bekas menteri kesihatan menyertai PKR Julai lalu, kekal gelaran ‘datuk’ kerana beliau telah dianugerah gelaran ‘datuk’ oleh Pahang dan Selangor.
Saya tidak akan mengalah
Chua mengakui beliau sudah tahu sebaik sahaja beliau menyertai Pakatan Rakyat, beliau akan melalui ranjau-ranjau kehidupan dan memuji langkah rakan-rakan seperjuangan yang telah melalui keperitan hidup sejak 11 tahun yang lalu dalam usaha membawa perubahan di Malaysia.
"Saya telah bersiap sedia untuk perjuangan ini tapi saya tidak menjangka saya akan dihukum sebegini pantas atas keputusan yang saya buat," katanya.
"Tetapi kehilangan pingat-pingat ini tidak membawa apa-apa erti berbanding dengan pengorbanan yang ditunjukkan oleh golongan reformasi seperti Tian Chua, Sivarasa Rasiah dan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim.
Chua juga terpesona dengan sokongan orang ramai yang datang mencurah-curah berikutan perlucutan gelaran dan berkata, "sesuatu yang saya tidak jangka langsung".
Beliau berkata, tahap sokongan yang diterima menunjukkan rakyat telah muak dengan politik murahan dan politik dendam dengan kerajaan yang muflis idea untuk membawa Malaysia maju ke hadapan.
"Umno telah membuat perkiraan yang salah dalam usaha untuk menggertak saya," jelas beliau. Mereka mungkin menjangka saya akan memperlahankan kempen reformasi dan malahan peristiwa ini memberi kekuatan kepada saya untuk meneruskan perjuangan.
"Saya berdiri di pihak yang benar dan saya tidak akan berundur," ujar beliau.
Chua kemudian menggunakan analogi bolasepak untuk menerangkan keyakinannya bahawa rakyat secara jelas bersedia untuk melakukan perubahan.
"Dalam bolasepak, para penonton tahu apabila seseorang pemain itu membetis lawan dan bukannya bola. Dalam tahun 2008, rakyat melayangkan kad kuning kepada Barisan Nasional. Saya yakin pada tahun 2012, mereka akan melayangkan kad merah kepada Umno. -FMT
Kelantan lantik 13 Timbalan Exco
KOTA BHARU, 21 Jun : Kerajaan Negeri Kelantan melantik 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai timbalan Exco dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Kota Darul Naim, di sini, semalam.
Mereka yang dilantik ialah Hanifa Ahmad sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Pembangunan Tanah dan Wilayah, Azami Mohd Nor dan Abdul Fatah Harun (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perancang Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan);
Muhamad Mustafa dan Muhamad Awang (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah) dan Zulkifli Mamat (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat).
Sementara itu Abdullah Ya’kub dan Drs Zainuddin Awang Hamat sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Wan Yusuff Wan Mustafa (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaya, Utiliti dan Alam Sekitar) dan Abdul Latif Abdul Rahman (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan).
Turut dilantik ialah Rohani Ibrahim (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kesihatan); Dr Nik Mazian Nik Mohamad (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi) dan Ahmad Baihaki Atiqullah (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi).
Dalam Majlis itu, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menyampaikan sijil pelantikan berserta dengan elaun tunggakan tugas yang bermula dari 1 Januari 2010.
Dalam pada itu, ketika ditemui Nik Aziz berkata, pelantikan yang dibuat dapat meringankan tugas Exco yang diketahui mempunyai beban yang besar selain melancarkan lagi kerja-kerja kebajikan untuk rakyat.
Selain itu katanya, pelantikan itu secara tidak langsung dapat melatih pemimpin-pemimpin untuk melaksanakan tugas di peringkat bawah.
“Sebagai contoh saya sendiri. Sebelum ini saya dilantik sebagai Pesuruhjaya dan Menteri Besar tanpa mempunyai jawatan ketua cawangan atau ketua kawasan. Pelantikan saya dibuat tanpa persiapan. Tetapi mungkin kerana keikhlasan saya boleh melakukan dan dapat diterima oleh rakyat,” katanya.
RMK 10 pinggir akhlak
KUALA LUMPUR, 21 Jun: Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) didakwa hanya memfokuskan kepada pembangunan fizikal negara dan meminggirkan soal pembinaan akhlak dan modal insan masyarakat.
Ahli Parlimen Baling, Ustaz Taib Azzamuddin Mohd Taib ketika membahaskan RMK10 di Dewan Rakyat hari ini melahirkan rasa kesal melihat tiada kesungguhan pihak kerajaan dalam merangka strategi ke arah pembinaan masyarakat bermodal insan tinggi bagi menangani kadar jenayah dalam negara.
"Statistik jenayah pada lima bulan pertama 2010 agak menggerunkan. Dengan statistik jenayah yang teruk ini apakah dengan RMK10 ini kita boleh berasa lega dengan mengenepikan aspek-aspek pembinaan akhlak ini?" soalnya.
Katanya, RMK10 juga seharusnya menumpukan penjanaan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang dilihat berpotensi membina masyarakat bermodal insan yang tinggi.
"Kerajaan jangan mengabaikan SAR kerana institusi pendidikan ini banyak menabur jasa kepada masyarakat. Jika kerajaan memberi peruntukan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), kita juga amat berharap kerajaan memberi peruntukan yang sama kepada SAR," tegasnya.
Turut dibangkitkan berhubung peruntukan penambahbaikan kemudahan kesihatan di kawasan luar bandar bagi menampung keperluan penduduk.
"Sebagai contoh, Hospital Daerah Baling menampung 200,000 penduduk tapi tidak mempunyai doktor pakar.
"Kemudahan kesihatan di luar bandar sangat minima. Bukan hanya ketiadaan doktor pakar, ambulans juga tidak cukup," katanya.
Jangan kaitkan Islam dengan keganasan
KUALA LUMPUR, 21 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan pemimpin Umno BN supaya tidak sewenang-wenangnya mengaitkan Islam dengan keganasan.
Beliau ketika ditemui di Parlimen hari ini berkata, melabelkan Islam sebagai ganas berdasarkan tindakan beberapa individu, adalah sikap yang tidak bertanggungjawab dan menghina agama sendiri.
"Jika ada beberapa individu buat silap dilabelkan dengan Islam, itu satu tindakan tidak bertanggungjawab terhadap agama sendiri," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.
Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung isu ancaman keselamatan yang didakwa dilakukan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) yang didedahkan baru-baru ini.
Tegasnya, pemimpin negara sewajarnya menjaga nama baik Islam apatah lagi Malaysia meletakkan Islam sebagai agama persekutuan.
Sehubungan itu, katanya, mereka perlu cermat dalam memberi kenyataan dan tindakan agar Islam tidak disalah faham oleh orang bukan Islam sebagai penaja keganasan.
"Menganggap Islam dikaitkan dengan pengganas adalah termasuk agenda musuh, dan fenomena keganasan tidak boleh dikaitkan dengan Islam.
"Islam adalah agama bersifat sederhana," tegasnya.