Friday, July 23, 2010

Umno bakal tumbang 6 kerusi di Selangor

SHAH ALAM, 23 Julai: Umno Selangor kini berada dalam kebimbangan ekoran maklumat yang mengatakan sudah hampir pasti BN akan hilang enam kerusi Dun jika pilihan raya umum diadakan dalam suasana sekarang.

Enam Dun yang dikatakan termasuk dalam senarai itu adalah Seri Serdang di bawah Parlimen Puchong yang mana calon PAS hanya kalah 45 undi kepada calon Umno dalam pilihan raya umum lalu.

Dun lain adalah Sabak (majoriti 117), Taman Templer (613), Sungai Air Tawar (123), Paya Jaras (642) dan Morib (286).

Dalam pilihan raya lalu, PAS bertanding 24 kerusi Dun dan hanya menang lapan kerusi sahaja. Jika berjaya mendapat enam kerusi ini bermakna kerusi PAS akan menjadi 14.

Dalam pilihanraya lalu, PKR mendapat 15 manakala DAP 13. BN pula mendapat 20 kerusi.
(Gambar: Keputusan pilihan raya lalu di Selangor)

Menurut sumber yang rapat dengan Umno Selangor, kehilangan enam kerusi kepada PAS ini tidak boleh ditolak lagi ekoran perkembangan yang sangat baik dalam PAS di Selangor kini.

Ini kerana, ketika PAS berkembang dengan pesat di Selangor, pelbagai jenis masalah berlaku kepada Umno Selangor yang dipimpin sendiri oleh Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Oleh kerana sibuk di peringkat pusat, timbalan beliau, Datuk Seri Noh Omar yang mengambilalih pentadbiran Umno negeri. Namun begitu, media melapor beliau mempunyai masalah besar dengan bekas MB Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo dan masing-masing berlumba mencari publisiti dalam isu pasir.

Di samping itu, Setiausaha Umno Negeri, Mohd Satim Diman dan Ketua Pemuda, Suhaimi Mohd Ghazali juga dikatakan bermasalah dan berura-ura mahu meletakkan jawatan. Bekas MB Selangor, Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib juga bermasalah.

Sumber juga berkata, punca perkembangan pesat dalam PAS di Selangor adalah ekoran pendemokrasian masjid dan surau yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor tahun lalu.

Melalui tindakan ini, semua masjid dan surau di Selangor melantik pimpinan baru jawatankuasa masing-masing melalui pengundian secara terbuka.

Ekoran tu, lebih 90 peratus masjid dan surau di Selangor dikuasai oleh pemimpin tempatan PAS atau pihak yang disokong oleh mereka.

Ekoran itu, pengaruh PAS dikembangkan dengan pesat melaui program kuliah agama yang diadakan saban waktu di surau dan masjid ini.

Kerana tidak cukup waktu malam, kuliah Dhuha pagi Ahad pula dilakukan mengambil pengalaman kuliah Jumaat di Rusila, Terengganu dan Dataran Ilmu di Kota Bharu.

Namun begitu, bekas Yang Dipertua PAS kawasan Subang, Haji Shukor Harun bimbang dengan sikap sesetengah pemimpin PAS sekarang yang tidak berapa fokus untuk mencapai kemenangan.

"Saya bimbang kalau-kalau isu kerjasama dengan Umno ini benar-benar berlaku dan melibatkan kepimpinan tertinggi PAS negeri. Ia akan menyukarkan PAS," katanya.

Ramai pihak melihat apa yang berlaku adalah permainan politik Umno untuk memerangkap PAS dalam situasi tersepit antara dua kepentingan.

"Jika PAS menolak kerjasama dengan Umno bererti PAS menolak perpaduan. Jika PAS menerima bermakna menikam rakan-rakan dan penyokongnya dalam Pakatan Rakyat," kata seorang penulis.

Seorang bekas profesor sains politik di Universiti Malaya ketika ditemui baru-baru ini pula memberitahu, sokongan masyarakat Cina terhadap Pakatan Rakyat kini meningkat hampir setiap hari.

"Faktor ini sangat besar mempengaruhi politik di Selangor kerana mereka ramai dan menjadi penentu di negeri ini," kata beliau.

Puncanya adalah kerana mereka melihat perkongsian kuasa dalam Pakatan lebih adil kerana semua parti setaraf manakala dalam BN pula Umno terlalu berkuasa dan yang lain hanya dipermainkan Umno sahaja.

KSN sebagai tidak profesional


GEORGETOWN , 23 Julai : Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyifatkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai tidak profesional kerana mempertahankan Pegawai Kemajuan Negeri (SDO), Nik Ali Mat Yunus yang didakwa cuba mensabotaj kepimpinannya.

Menurutnya, tindakan KSN sama sekali menunjukkan kegagalan mereka untuk membina sebuah pentadbiran yang profesional dan mengekalkan budaya berbudi pekerti.

“KSN tidak mengambil langkah bijak untuk mengatasi masalah ini. Beliau patut menegur tindakan Nik Ali yang mengkritik keras dan menghentam saya secara terang-terangan.

“Sebagai seorang SDO yang berkaliber, kata-kata kesat seperti biadab dan dayus tidak seharusnya dilemparkan kepada seorang pemimpin yang dipilih rakyat untuk mentadbir negeri ini.

“Saya kecewa dengan tindakan KSN mempertahankan Nik Ali yang sebelum ini menyatakan setiap pegawai perkhidmatan awam mesti neutral, profesional dan tidak memihak kepada sesiapa. Kini beliau sendiri tidak menegur tindakan Nik Ali mengeluarkan kenyataan menghentam saya secara terbuka,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Guan Eng khuatir perkhidmatan awam sekarang sudah dipolitikkan dengan membenarkan penjawat awam mengecam seorang Ketua Menteri ataupun Kerajaan Negeri yang dipilih oleh rakyat.SH

Nama Mat Sabu jadi sebutan di Acheh

BANDA ACEH , 23 Julai : Nama Mohd Sabu mantan Naib Presiden PAS di sebut-sebut dalam sidang antara 10 perwakilan dari Kerajaan Negeri Kelantan dengan wakil-wakil DPR (Dewan perwakilan Rakyat) atau 'Yang Terhormat' Negeri Aceh, di Banda Aceh di sini.


"Mana Saudara saya Mohd Sabu, tidak hadirkah hari ini?" tanya seorang anggota DPR Aceh, setelah diperkenalkan wakil dari Kelantan satu persatu.

Wakil dari Kelantan terpaksa menjelaskan bahawa yang hadir ini wakil dari Negeri Kelantan, bukan dari PAS Pusat, yang melibatkan Saudara Mohd Sabu.


Sewaktu ditanya oleh Ibnu Hasyim di luar sidang, bagaimana beliau mengenal Mohd Sabu, katanya,

"Itu kawan saya semasa dipenjara Kemunting satu masa dulu." Beliau juga sempat kirim salam kepada Presiden PAS Datuk Sri Abdul Hadi Awang, Tok Guru Nik Aziz dan Ketua Perwakilan Kelantan hari itu Datuk Husam Musa, yang mengundur diri terpaksa berlepas ke Jakarta masa itu.
(IH)

Gambar sidang tersebut


Kanan sekali (atas, berkupiah putih), Kiyahi Mudawali, penasihat Gabenor Aceh bahagian agama, yang disebelah beliau itulah yang bertanya tentang Mohd Sabu.