Saturday, July 31, 2010

Umno tidak mampu, beri peluang kepada PAS




















KEPALA BATAS, 31 Julai :
Umno disaran supaya memberikan peluang kepada PAS untuk memimpin negara bagi memberi kesejahteraan dan keadilan kepada rakyat negara ini.


Demikian dinyatakan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Husam Musa semasa menyampaikan ceramah anjuran Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pulau Pinang dan Kelab Amanah Rakan Industri Bersatu (KARIB) di Kompleks Sukan Bertam, Kepala Batas, Seberang Perai Utara, semalam.

Dengan pelbagai masalah wang rakyat yang disalahgunakan serta kerugian yang dialami oleh pelbagai agensi milik kerajaan adalah wajar bagi PAS menjadi peneraju bagi menggantikan Umno untuk membela nasib rakyat.

"Dibawah pemerintahan Umno dan BN isu yang melibatkan kerugian banyak belaku. Antara Pos Malaysia, Sime Darby, Felda dan begitu juga dalam isu PKFZ. Ia adalah suatu perkara yang memalukan kerana ketidakcekapan urus selia oleh kerajaan yang berkuasa kini.

"Sekiranya mereka diberi peluang untuk terus menerajui negara maka adalah dikhuatiri wang rakyat akan terus hilang," kata Husam yang juga Exco kerajaan negeri Kelantan.

Katanya, Umno dan BN sekarang sudah berada dalam keadaan sakit disemua peringkat dalam banyak aspek yang menyentuh pentadbiran mereka.

Oleh kerana itu, adalah lebih baik mereka menyatupadukan sesama mereka terlebih dahulu terutama di kalangan pimpinan dan ahli Umno sendiri.

"Di Terengganu sendiri kita lihat bagaimana puak Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan puak Datuk Seri Idris Jusoh tidak sehaluan. Perpecahan dalam Umno bukan saja di sini. Seluruh peringkat dan pelusuk,"katanya.

Bagi beliau, dalam isu penyatuan orang Melayu, formula penyatuan harus betul.

"PAS mahukan Islam untuk menyatukan semua kaum dan bangsa yang ada dalam negara ini. Dengan Islam kita dapat menyatukan orang Melayu, Cina dan India. Dengan Islam juga kita dapat menyatukan semua puak dan mereka yang bermasalah.

"Justeru itu sekiranya penyatuan dilakukan atas dasar Islam maka ia akan dapat memanfaatkan semua golongan masyarakat. Tetapi sekiranya dibuat atas nama suku dan bangsa, ia belum pasti boleh mendatangkan manfaat kecuali ia berpaksikan kepada agama Islam,"tambahnya lagi.

Manakala Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar setuju agar Islam dijadikan asas untuk menyatukan kesemua kumpulan masyarakat termasuk Umno dan PAS.

"Sekiranya Umno sanggup untuk meletakkan Islam itu diatas dalam dasar perjuangan mereka, saya yakin ia adalah satu tindakan yang mampu untuk diberi komitmen kerana ia memperjuangkan semua golongan tanpa menjadikan assabiyah itu sebagai satu kemestian

"Namun begitu sekiranya bangsa dijadikan dasar dan asas dalam perjuangan, Islam itu belum pasti akan dapat dinobatkan. Oleh kerana itu maka PAS berkeyakinan hanya Islam saja yang mampu untuk dimartabatkan untuk semua kaum dan manusia yang ada dibumi ini," katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff, Timbalan Pesuruhjaya PAS II Pulau Pinang, Ustaz Rosidi Hussain dan kepimpinan PR tempatan.

Najib belanja besar dalam tempuh setahun

images



















PETALING JAYA, 31 Julai :
Penjimatan kira-kira RM750 juta ekoran pemotongan subsidi untuk petrol, gas, diesel dan gula terlalu kecil berbanding RM12 bilion yang dibelanjakan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Perbelanjaan yang begitu besar dalam tempuh setahun sahaja oleh pentadbiran Najib Tun Razak untuk membiayai seramai 43,554 kakitangannya hanya membazirkan wang rakyat.

Penemuan ini sungguh menakjubkan dan sukar dipercayai! Gembar gembur bahawa subsidi yang besar membebankan ekonomi adalah karut belaka.

Menurut "The Nut Graph", kajian oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) mendedahkan Malaysia mempunyai nisbah kakitangan awam dengan jumlah penduduk tertinggi di Asia Pasifik.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata nisbah kakitangan awam ini sangat ketara kerana Malaysia mempunyai 4.68%, berbanding Indonesia 1.79%, Korea Selatan 1.85% dan Thailand 2.06%.

"Kesemua negara-negara tersebut mempunyai kurang dari separuh dari nisbah negara kita," kata beliau yang juga ketua ekonomis dan setiausaha publisiti DAP kebangsaan.

Minggu sudah, Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong mendedahkan dalam blognya bahawa peruntukan untuk JPM berjumlah RM12 bilion dan bukan RM4 bilion sepertimana yang dianggap oleh orang ramai.

"Ini merupakan satu jumlah wang besar! Seperti majoriti rakyat Malaysia, saya hairan kenapa Jabatan itu tidak berusaha untuk berjimat cermat sepertimana kita semua disuruh berjimat cermat ekoran pemotongan subsidi dan bahaya Malaysia menghadapi kebangkrapan menjelang tahun 2019," katanya.

Berdasarkan blog Liew, saya merumuskan beberapa fakta yang menakjubkan:
  • Pada tahun 1981, ketika dibawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, JPM mempunyai kakitangan seramai 4,414 orang
  • Pada 2001 (20 tahun kemudian), ketika dibawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, JPM mempunyai kakitangan seramai 9,673 orang (peningkatan sebanyak 119.1%)
  • Pada 2003, ketika dibawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, JPM mempunyai kakitangan seramai 21,045 orang (peningkatan sebanyak 117.6% dalam masa dua tahun)
  • Pada tahun 2009, ketika dibawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, JPM mempunyai kakitangan seramai 25,332 orang (peningkatan sebanyak 20.4% dalam enam tahun)
  • Pada 2010, ketika dibawah pentadbiran Najib Tun Razak, JPM mempunyai kakitangan seramai 43,544 orang (peningkatan sebanyak 71.9% dalam tempuh setahun)
Selepas membuat perkiraan ini, saya membandingkan bajet PM kita dengan Presiden Amerika Syarikat, PM Singapura dan Permaisuri Elizabeth, England. Saya terpegun dengan maklumat yang sedia ditemui dalam internet.

Permohonan bajet Rumah Puteh untuk 2011 berjumlah AS$394 juta (RM1.3 bilion) dan tidak termasuk program berbanding bajet untuk JPM berjumlah AS$1.25 bilion (RM4 bilion). Bajet Rumah Puteh (tajuk kecil)

Pada 2010, staf Rumah Puteh adalah seramai 1,888 orang – sangat jauh kurang jumlahnya berbanding 43,554 orang dalam JPM. Dalam bahasa mudah, Rumah Puteh hanya 4.3% dari jumlah kakitangan JPM. Menakjubkan.

Saya tidak begitu pandai dalam mathematik dan statistik tapi angka-angka ini menunjukkan kosnya adalah tiga kali ganda untuk mentadbir JPM berbanding keseluruhan Pejabat Eksekutif Presiden Amerika Syarikat.

Sesuatu yang tidak kena di sini. Mari kita lihat Singapura. Sejumlah S$290.4 juta (RM681.2 juta) diperuntukan untuk Pejabat Perdana Menteri dalam tahun 2010 untuk mencapai misi ini.

Menurut Wikipedia, Singapura mampu berbelanja sejumlah ini memandangkan jumlah penduduknya ialah 5.1 juta atau 3.2 juta jika ditolak rakyat asing dan mempunyai pendapatan per kapita lebih AS$37,293 (RM118,964). Berbanding Malaysia yang mempunyai penduduk seramai 27 juta dan pendapatan per kapita AS$6,897 (RM22,000)dan Amerika Syarikat AS$46,381 (RM147,955).

Ini bermakna pendapatan per kapita Singapura 5.4 kali ganda lebih tinggi dari Malaysia walaupun Malaysia mempunyai penduduk lima kali ganda dari Singapura.

Secara perbandingan, kita boleh memahami jika bajet JPM melebihi dari Singapura berdasarkan saiz penduduk dan kawasan. Tetapi bagaimana dengan peruntukan bajet kita melebihi dari Pejabat Presiden Amerika Syarikat?

Polis berat sebelah, tak profesional

CERAMAH PERDANA - HJ MOHD SABU

BUKIT KATIL , 31 Julai : AJK PAS Pusat, Haji Mohd Sabu kesal dengan kegagalan Polis menghalang ceramah BN yang dianjurkan bersebelahan dengan ceramah PAS sehingga ianya boleh menyebabkan perselisihan dan pergaduhan.

"Saya kesal dengan kelemahan dan kegagalan Ketua Polis Melaka yang gagal mengambil tindakan terhadap Umno yang sengaja mengadakan ceramah di sebelah ceramah PAS yang boleh mencetuskan keadaan tidak baik".

"PAS mengadakan ceramah di perkarangan Pejabat kita, tetapi Umno mengadakan ceramah di kawasan umum dan lebih teruk bertujuan menganggu ceramah kita, mengapa Polis tidak bertindak menghalang ceramah Umno" tambah Mohd Sabu.

Beliau berkata kegagalan membuktikan Polis bertindak berat sebelah dan tidak professional.

"Saya mencatat semua kegagalan Polis ini dan kalau kita perintah Malaysia nanti kita akan ambil tindakan kepada anggota yang gagal memainkan peranan mereka dengan bertanggungjawab dan professional" ujar beliau.

Mohd Sabu berkata demikian pada ceramah anjuran Majlis Tindakan DUN Bukit Baru di perkarangan Pejabat PAS Bukit Baru malam tadi.

Umno seperti 3 program ceramah di kawasan Bukit Katil sebelum ini, sekali lagi menganggu ceramah tersebut dengan mengadakan ceramah kira-kira 50 meteri sahaja di tapak ceramah PAS. Namun ceramah mereka dihadiri oleh kira-kira 30 orang sahaja sedangkan ceramah PAS di hadiri oleh lebih dari 1000 orang.

Ini memberikan tamparan hebat kepada Umno kerana Ketua Menteri Ali Rustam sendiri turut berceramah di pihak Umno malam tadi.

Sokong penggunaan logo haram

IMG_1467-1.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR, 31 Julai : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta menjalankan tindakan tegas dan penguatkuasaan secara serius terhadap lambakan barangan atau produk haram bagi umat Islam yang kini semakin bertambah dan membimbangkan umat Islam.

Ketua Penerangan PAS Parit Buntar Fakhrurrazi Haji Khalid berkata, Jakim mesti berani untuk mengisytiharkan produk-produk haram di pasaran agar tidak mengelirukan umat Islam.

“ Sebahagian besar pengguna Islam tidak mampu untuk mengenali dan mengetahui kod-kod barangan yang haram seperti produk yang mempunyai gelatin dan sebagainya termasuk produk yang diimport dari Israel.

“ Lebih malang lagi terdapat produk yang menggunakan logo halal secara palsu yang boleh menarik orang untuk membeli barangan ini biarpun tidak menepati piawaian barangan halal” katanya

Fakhrurrazi berkata, sekiranya Jakim tidak mempunyai skuad yang mencukupi untuk membuat pemantauan yang serius cadangan Dewan Pemuda PAS Pusat harus diberi perhatian.

“ Dewan Pemuda PAS menyarankan Jakim memperkenalkan logo haram untuk menjauhkan masyarakat umat Islam dari mengambil dan menggunakan barangan haram.

“ Jakim boleh mengisytiharkan produk-produk tertentu yang tidak menepati piawaian halal sebagai produk tidak halal atau haram dan mewajibkan mereka menampal logo haram” katanya

Menurutnya, Jakim akan lebih mudah membuat pemantauan kerana produk haram ini tidaklah sebanyak produk halal di pasaran.

“Pemalsuan logo haram juga mungkin lebih kecil berbanding pemalsuan logo halal, lantaran logo halal menarik perhatian pengguna sementara logo haram tentunya menjauhkan pengguna.

“Produk yang haram ini jumlahnya jauh lebih kecil dari jumlah produk yang halal. Sepatutnya yang haram itulah diletakkan logonya iaitu logo haram bukan logo halal” katanya

Tambahnya, tiada umat Islam yang akan membeli barangan yang dilekatkan logo haram jika mereka benar-benar mahu mencari produk halal di pasaran.

Kempen anti saman ekor


ALOR SETAR, 31 Julai : PAS akan melancarkan Kempen Anti Saman Ekor (Kase) Isnin ini bagi membela pemandu dan pemilik kenderaan yang disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana tindakan itu bertentangan dengan Perlembagaan Negara.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kempen itu dijalankan untuk membantu mereka yang teraniaya disebabkan saman ekor.


Menurutnya, pihaknya akan cuba memastikan halangan kepada pemilik kenderaan yang disenarai hitam itu boleh diselesaikan mengikut saluran undang-undang.

“Kita melihat, tindakan menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan hanya kerana mempunyai saman ekor amat bertentangan dengan undang-undang, dan menimbulkan lebih banyak masalah. Kami akan kemukakan bukti mengenai perkara itu," katanya.

“Ingin saya tegaskan bahawa kita tidak sokong pemandu yang memandu tanpa etika, cuma kita mahu JPJ bertindak adil kepada pemilik kenderaan,” kata Mahfuz sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

Menurutnya, notis yang menyebut pemilik kenderaan bersalah tidak wajar kerana tiada bukti yang kukuh.

“Tidak semestinya pemilik kenderaan bersalah apabila kenderaannya disaman oleh polis atau JPJ, mungkin orang lain yang memandu kenderaan tersebut.

“Jadi tidak ada bukti jelas dan JPJ juga sebenarnya tidak mempunyai hak untuk menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan mereka,” katanya.

Difahamkan sejak September 2009, lebih 2.5 juta notis saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dan daripada jumlah itu, 1.07 juta pesalah trafik disenaraihitamkan oleh Polis Diraja Malaysia.

“Kita merumus tindakan yang akan diambil ke atas Kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi membela rakyat khususnya pemilik kenderaan.

“Satu sidang media akan diadakan pada 2 Ogos jam 12.30 tengah hari di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur bagi membentangkan tindakan yang bakal diambil,” katanya.SH

Khir tuduh tanpa bukti


SHAH ALAM , 31 Julai : Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo akan berdepan dengan dua tindakan undang-undang sekiranya beliau gagal menarik balik dakwaannya bahawa aktiviti perlombongan pasir haram di Selangor dilindungi oleh samseng yang mempunyai hubungan rapat dengan DAP Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, Mohamad Khir perlu mengemukakan semua bukti sekiranya dakwaan beliau benar.

“Saya minta Khir Toyo supaya tidak membuat tuduhan bukan-bukan tanpa mengemukakan sebarang bukti. Sekiranya benar dakwaannya itu, beliau perlu berikan bukti itu kepada pihak polis.

“Keuntungan dari Kumpulan Semesta digunakan untuk rakyat. Saya minta Khir ambil teladan dari urus tadbir Menteri Besar sekarang. Jadi saya cabar kamu berikan bukti menunjukkan kaitan DAP kepada samseng-samseng pasir.

“Jangan jadi pengecut,” katanya dalam sidang media semalam.

Katanya, sebagai Ketua Pembangkang, Khir perlu mempunyai fakta serta bukti kukuh sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Jangan hanya tahu cakap kosong...kalau betul Khir berani sila beritahu siapa yang dimaksudkannya itu,” katanya.

Katanya, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Khir berhubung dakwaan tersebut.

“Tan Sri Khalid juga ada nasihatkan saya untuk lakukan perkara yang sama (saman) dan saya akan bincang dengan peguam saya mengenai perkara ini kerana saya ada cukup bukti untuk mendakwa beliau.

Sementara itu, DAP Selangor menuntut Ketua Pembangkang itu mendedahkan identiti pemimpin DAP serta kumpulan samseng yang terlibat seperti yang didakwa oleh beliau.

Setiausahanya, Lau Weng San berkata, DAP Selangor menggesa Khir menamakan kumpulan samseng yang dimaksudkannya itu jika benar beliau mempunyai bukti menyokong dakwaannya. Italic


“Kita beri masa 48 jam kepada beliau untuk kemukakan bukti serta menarik balik kenyataan beliau sebelum ini dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Sekiranya gagal, kita akan turut mengambil tindakan undang-undang terhadapnya,” katanya.

Semalam, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa aktiviti perlombongan pasir haram di Selangor dilindungi samseng yang dikatakan ada hubungan rapat dengan DAP Selangor.

Dalam kenyataannya di satu portal berita, beliau turut mendakwa kumpulan samseng terbabit membiayai jentera pilihan raya DAP.SH

Zambry takut berhadapan rakyat























IPOH, 31 Julai : Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) amat kesal dengan keputusan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim yang menolak permohonan DPPN Pk dan juga rakyat bagi mengikuti persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang akan berlangsung pada 3 Ogos ini yang dilihat sebagai berpihak kepartian.


Sepatutnya ruang demokrasi ini dibuka seluas-luasnya sebagai menghormati keluhuran Perlembagaan dan Undang-Undang yang menjadi asas kerukunan rakyat di Negara ini.

Kenapa perlu takut akan apa yang akan berlaku semasa sidang DUN Perak ini nanti? Negara kita ada Undang-Undang, jika bersalah kenapa tidak dihadapkan ke Mahkamah dan didakwa?


Kenapa perlu takut dengan bayang-bayang sendiri. Sepatutnya Datuk Seri Rahman sebagai penjawat awam wajar menjalankan tugas secara profesional tanpa memihak dan tunduk pada mana-mana tekanan.


DPPN Pk kesal dengan sikap Datuk Seri Rahman yang gagal menjalankan tugas secara telus dan objektif dengan menafikan hak rakyat bagi mengikuti sidang DUN tersebut.

DPPN Pk menganggap keputusan ini sebagai satu lagi rentetan sejarah hitam sepanjang kemelut rampasan kuasa yang masih tiada kesudahan.

Barisan Nasional (BN) tidak perlu merasa takut untuk berdepan dengan Pakatan Rakyat (PR) secara demokratik dan terhormat.


Ini sahaja ruang yang rakyat ingin melihat masalah dan kebajikan mereka selama ini diberikan perhatian yang serius oleh mana-mana pihak yang berwajib tanpa salahguna kuasa yang selama ini merosakkan Negeri dan Negara kita.

Skanda PKFZ tidak mampu ditutup lagi






















BAGAN SERAI, 31 Julai :
Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Tun Dr Ling Liong Sik didakwa berhubung skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sebab kerajaan “tidak boleh lagi menutup sebarang skandal.”


Anwar berkata, walaupun Pakatan Rakyat (PR) terus-menerus membangkitkan perkara berkenaan sejak empat tahun lalu, tetapi kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan.
“Setiap kali kami membawa isu ini, kami (Pakatan) dilabel sebagai antinasionalis.

“Dan, sekarang sejak mereka tidak boleh menafikan perkara itu, mereka mendakwa (Dr) Liong Liong Sik,” kata beliau pada ceramah di sini malam tadi.

Kata Penasihat PKR ini, MCA mendakwa PR sebagai pembohong kononnya menyebarkan isu yang tidak benar apabila setiap kali membawa skandal PKFZ.

“Di negara ini orang kaya boleh buat apa sahaja. Malah mereka boleh membunuh seseorang dan bebas,” katanya pada ceramah dihadiri kira-kira 350 orang di dewan Beng Sean Seah meskipun hujan.

Dr Ling, bekas menteri pengangkutan dan bekas presiden MCA mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin terhadap tuduhan menipu kerajaan berhubung skandal PKFZ melibatkan pembelian tanah di Pulau Indah membabitkan RM1.08 bilion lapan tahun lepas.

Beliau didakwa atas satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan alternatif menipu Kabinet dengan menyembunyikan fakta dalam pembelian tanah itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya di antara 25 September 2002 dan 6 November 2002.

Bagi pertuduhan utama, Dr Ling dituduh mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sampai tujuh tahun, dengan denda, atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan alternatif, Dr Ling dituduh menipu Jemaah Menteri dengan curangnya menyembunyi fakta serupa pada tempat dan tarikh yang sama, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Akhir tahun lalu empat orang telah didakwa berhubung skandal itu.

Umno sekat kebebasan guru


KOTA BHARU, 31 Julai : Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyambut baik saranan kerajaan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri mereka di dalam bidang politik.

Nik Abdul Aziz berkata, golongan tersebut sepatutnya awal-awal lagi diberikan kebenaran untuk terlibat di dalam politik bukannya baru sekarang.

“Sepatutnya awal-awal lagi (mereka ini) terbabit dalam politik kerana guru ini orang betul. Mana boleh tidak dibenarkan tidak babit dalam politik.

“Ini kerja salah UMNO. Kenapa disekat guru atau tok guru (yang ingin berpolitik)....takut orang tahu keburukan dia (UMNO). Sepatutnya awal-awal lagi akta ini tidak ada dalam dunia kerana politik ini menyentuh segalanya, menyentuh ibadat, ekonomi, rumah tangga.

“Tidak kira pegawai kanan atau kiri, sepatutnya awal lagi diberi peluang kepada manusia berpolitik. Politik ni boleh pahala, nabi ahli politik paling terkemuka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah mingguan di Dataran Ilmu di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik bermula 1 Ogos ini.

Keputusan itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memainkan peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

Berikutan pengumuman itu, kira-kira 190,000 guru berijazah di seluruh negara terlibat dalam politik dan bagi tujuan itu.

Mohd. Sidek berkata, pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Sehubungan itu, syarat-syarat ketat akan dikenakan agar tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan penglibatan mereka dalam politik.

Mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik.

Mengulas mengenai keputusan itu yang dilihat mungkin akan mengganggu sistem pembelajaran Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, ia terpulang kepada guru berkenaan.

“Itu atas dia (mengganggu atau tidak). Saya sejak balik tahun 1962, terus mengajar sehingga hari ini. Mana boleh seorang guru yang mempunyai ilmu kita tidak benar mereka untuk berpolitik,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Aziz menyarankan nama dan konsep bazar Ramadan ditukar kepada Bazar Iftar (berbuka puasa) bagi mencerminkan penghayatan terhadap ibadah berpuasa itu.

Beliau berkata Pihak Berkuasa Tempatan dan media boleh memainkan peranan untuk menukar nama dan konsep bazar Ramadan itu yang sentiasa mendapat sambutan ramai setiap kali bulan puasa.

“Saya baca dalam akhbar, rasa kagum betapa ramai peniaga terdiri daripada umat Islam sampai berebut-rebut untuk mendapat borang berniaga di bazar Ramadan.

“Apa salahnya kalau nama dan konsep bazar Ramadan itu ditukar kepada bazar Iftar bagi memberi penghayatan kepada umat Islam bahawa ada dua ketika nikmat bagi orang berpuasa iaitu ketika berbuka dan menyambut Aidilfitri,” katanya.SH