Sunday, August 1, 2010

Himpunan Felcra dikepung polis








PASIR SALAK, 1 Ogos: Seramai 30 orang termasuk 10 anggota Unit Amal telah ditahan polis sehingga lewat petang ini yang dimulai kira-kira jam 4.00 petang ini sementara seluruh kawasan Himpunan Warga Felda Kebangsaan di Changkat Lada, di sini dikepung.

Tangkapan turut dilakukan terhadap mereka yang memakai pakaian beridentitikan penganjur program.

Semua yang ditangkap dibawa ke Balai Polis Kampung Gajah.

Tangkapan rambang di luar kawasan itu dibuat sewaktu peguam Wan Rohaimi Wan Daud membentangkan kertasnya sebagaimana yang dijadualkan.

Wan Rohaimi adalah peguam yang memenangkan kes saman Felda oleh para peneroka Kemahang 3.

Pihak polis mengetatkan kawalan sekitar kawasan itu termasuk mengadakan sekatan jalan raya sekitar jam 3.00 petang bagi menghalang orang ramai daripada memasuki tapak himpunan.

Dua buah trak Black Maria turut kelihatan berada di situ.

Anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) juga sudah berada berhampiran kawasan himpunan itu.

Para hadirin termasuk mereka yang keluar pada waktu rehat sebelum ini juga tidak dapat memasuki kawasan itu khususnya bagi mengikuti majlis penutup yang dijangka dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu petang ini.

Ekoran situasi itu, Mohamad Sabu juga terhalang daripada merasmikan majlis penutup itu.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menyifatkan himpunan kali pertama itu mencapai matlamat melalui pembentangan dua kertas kerja termasuk oleh aktivis Felcra Lubok Sireh, Razi Mustafa serta ucaptama oleh Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan ulasan isu oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim.

Beliau berkata, ekoran tindakan pihak keselamatan yang mengepung kawasan himpunan, suasana yang tidak mengizinkan, 30 orang telah ditangkap, nasib orang awam dan para peniaga membimbangkan, maka majlis ceramah perdana pada malam ini yang melibatkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayu dan Mohamad Sabu dibatalkan.hrkh

Nizar berlumuran lumpur ke pentas ceramah
























PASIR SALAK, 1 Ogos: Seperti suasana pada awal negara menyambut kemerdekaan dahulu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin terpaksa melalui jalan semak dan berlumpur untuk sampai ke pentas ceramah.

Bukannya jalan yang sedia ada tidak baik, namun setelah negara begitu aman selepas lebih 50 tahun merdeka, beliau terpaksa menghadapinya untuk berceramah di majlis Himpunan Warga Felcra Peringkat Kebangsaan di Changkat Lada, dekat sini malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, terpaksa berbuat demikian demi keselamatan dan menjayakan program malam tadi setelah polis dan anggota unit simpanan persekutuan (FRU) menyekat laluan masuk ke tempat program.

Akibat melalui jalan tersebut, kasut dan pakaian Nizar basah dan berlumuran lumpur.

"Alhamdulillah, Datuk Seri Nizar dapat bersama kita walaupun terpaksa lalu jalan berselut dan berlumpur," umum pengerusi majlis disambut laungan takbir para hadirin.

Semasa Nizar sedang berucap pula, FRU yang pada asalnya membuat sekatan di jalan masuk, mula bergerak ke pintu depan tapak program untuk masuk ke kawasan ceramah yang dibuat atas tanah persendirian.

Ekoran itu, palang untuk masuk ke tapak program ditutup dan dikunci oleh tuan tanah dan penyokong.

Anngota FRU, bagaimanapun mahu masuk ke kawasan ceramah walaupun tuan tanah meletakkan poster "Hak Milik Persendirian, Dilarang Menceroboh", namun dibenteng lebih 100 penyokong.

Mereka berada di situ sehingga ceramah Nizar selesai kira-kira sejam setengah kemudian.

Terdahulu, Nizar sewaktu memulakan ucapan turut secara sinis membidas tindakan anggota keselamatan itu.

"Malam ini 847 anggota polis, special branch (SB) dan FRU ada bersama kita.

"Selamat datang untuk dengar ceramah dan menjaga keselamatan kami," katanya disambut tepukan oleh lebih 500 hadirin yang hadir.

Himpunan Warga Felcra Peringkat Kebangsaan di sini akan berlangsung sehingga lewat malam ini.

Pagi ini, majlis pelancaran akan disempurnakan Nizar, kemudian beberapa kertas kerja akan dibentang sebelun majlis penutup akan disempurnakan AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu petang ini.

Kemuncak program adalah pada malam ini apabila Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut berceramah di sini.hrkh

Umno BN gagal urus tadbir Perak


KUALA KANGSAR, 1 Ogos : Pentadbiran pincang Umno-Barisan Nasional di Perak menyebabkan sebanyak RM80 juta dana awam terpaksa dikorbankan sebagai bajet tambahan yang akan diluluskan pada sidang Dewan Undangan Negeri 3 Ogos nanti.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Perak, Mustaffa Kamil Ayub berkata Umno-BN tidak mampu menjana serta membangun ekonomi negeri Perak setelah melakukan rampasan kuasa tidak berperlembagaan awal 2009 lalu.

"Sudah sampai masanya untuk kita keluarkan Umno-Barisan Nasional dari negeri Perak ini, pentadbiran mereka bukan membawa kebaikkan malah semakin teruk lagi bila ada usaha untuk kemukakan perbelanjaan tambahan sebanyak RM80 juta pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri nanti," dedah beliau semasa berucap pada majlis jamuan makam malam anjuran Cabang Bagan Serai di Dewan Beng Sean Seah, Bagan Serai Jumaat lalu.

Mustaffa menyeru rakyat Perak agar sedar mengenai kepincangan pentadbiran Umno-BN di Perak kerana permintaan belanjawan tambahan menandakan parti itu tidak mampu membawa negeri itu ke arah masa depan yang lebih terjamin dan makmur.

"Apa yang Umno-BN Perak buat sehingga memerlukan penambahan peruntukkan sebanyak RM80 juta? Bila kita tanya mereka hanya menjelaskan peruntukkan tersebut untuk perkhidmatan tanpa memberi penjelasan yang khusus. Bagi saya rakyat perlu sedar daripada sekarang, pentadbiran mereka jelas ada kepincangan dalam soal urusan kewangan negeri.

"Kita tahu sewaktu Pakatan Rakyat memerintah, tidak pernah ada penambahan peruntukan malah mendapat lebih dalam pendapatan negeri tetapi di bawah Umno-BN bukan sahaja pendapatan negeri berkurangan malah meminta peruntukkan tambahan pula. BN tidak tahu mentadbir negeri ini untuk memperkayakan negeri, kita perlu bertindak memperkukuhkan kekuatan parti untuk mengambil balik Perak daripada pentadbiran yang teruk ini.

"Kita bukan sahaja perlu selamatkan Malaysia, kita juga perlu selamatkan Perak daripada pentadbiran bodoh Umno-BN. Umno-BN mensasarkan Malaysia bankrap pada 2019 tetapi Umno-BN Perak meletakkan negeri ini bankrap lebih cepat, silap tadbir sebelum pilihan raya umum ke-13 Perak akan bankrap.

"Kalau kita biarkan ini berlaku maka seluruh generasi dan rakyat negara ini akan terseksa disebabkan oleh sikap Umno-BN yang angkuh dan sombong," tegas beliau.

Beliau mahu seluruh kaum di Perak bersatu dan mengelakkan perselisihan faham antara satu sama lain supaya negeri Perak akan terus makmur dan maju di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat kelak selepas PRU-13

"Pakatan Rakyat adalah parti untuk semua kaum dan saya menyeru setiap kaum di negeri ini menjalinkan kerjasama yang baik, saya mahu wujud persefahaman antara kaum kerana tanpa kerjasama usaha kita untuk merampas serta mentadbir negeri ini dengan baik akan menjadi sukar.

"Kita perlu tengok apa yang berlaku di Selangor yang berada di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, yang mengutmakan kebajikan rakyat seperti pemberian air percuma dan juga skim kematian untuk semua kaum. Selangor mendahului negeri di bawah pemerintahan BN dalam soal demikian. Dengan urus tadbir yang baik Pakatan Rakyat Selangor mampu menunaikan tanggungjawab yang diberikan," ujar beliau lagi.

Mustaffa berkata rakyat Perak perlu melakukan perubahan pada PRU-13 supaya negeri ini tidak lagi disalah gunakan oleh pemimpin rakus Umno-BN.

Di ceramah perdana di Markas PAS Bukit Chandan Kuala Kangsar pula Mustaffa meminta rakyat mengambil langkah berani seperti yang dilakukan oleh rakyat Sibu pada pilihan raya kecil 16 Mei lalu.

"Seluruh rakyat Perak perlu melihat keberanian yang dilakukan oleh rakyat Sibu, mereka sudah serik dan mahukan perubahan. Walaupun BN datang dengan segala janji tetapi ketetapan hati mereka tidak berubah, apa yang pasti kebencian mereka kepada BN sudah tidak boleh ditawar menawar.

"Sekarang Sibu menjadi pemangkin kepada perubahan politik di Sarawak mahupun Sabah. Jadi inilah yang kita mahukan di Perak, kita terima apa juga yang Umno-BN beri tetapi setiap undi adalah untuk Pakatan Rakyat.

"Saya pasti Perak akan lebih selamat berada di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat," kata beliau.

Kuasa Melayu berpindah dari Umno kepada PAS

bahrain.jpg Bahrain picture by paspb

PARIT BUNTAR , 1 Ogos : Orang Melayu diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan bahawa orang Melayu akan hilang kuasa sekiranya Pakatan Rakyat yang terdiri dari muafakat parti PAS, PKR dan DAP memerintah negara.

Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Parit Buntar Adnan Abd Rahman berkata, berdasarkan fakta menunjukkan kuasa Melayu terbukti lebih kuat dengan kawasan parlimen yang dulunya milik MIC dan MCA telah dimenangi oleh calon-calon Melayu dari PAS dan PKR.

“ Sebenarnya, ia adalah tidak benar sama sekali hujah yang mengatakan bahawa DAP menjadi ancaman besar kerana DAP hanya bertanding 35 kerusi daripada 222 kerusi parlimen.

“ Jika DAP menang semua kerusi sekalipun DAP masih tidak boleh memerintah negara ini. Malah DAP pun faham teras negara ini, bahawa teras kepelbagaian mestilah dipegang oleh orang Melayu “ katanya

Adnan berkata, sebenarnya orang Melayu tidak hilang kuasa kerana DAP tidak bertanding di kerusi yang majoritinya orang Melayu.

“ Sebaliknya, Umno yang akan hilang kuasa kerana calon Umno dalam Barisan Nasional akan bertanding dengan calon Melayu dalam PAS dan PKR.

“ Saya beri contoh kerusi parlimen Parit Buntar dalam PRU ke 12 , calon PAS yang menang mengalahkan calon Umno. Kerusi Melayu di parlimen tetap tidak berkurang “ katanya yang mengemukakan hujah berdasarkan fakta.

Menurutnya, dakwaan kuasa Melayu akan hilang di dalam parlimen hanyalah dakyah Umno untuk berbaik-baik dengan PAS.

“ Umno juga tahu hakikat bahawa mereka bertanding di kerusi yang sama dengan PAS. Usaha berbaik-baik dengan PAS hanyalah taktik mereka untuk memerangkap PAS.

“ Usaha untuk berbaik-baik dengan PAS adalah strategi Umno untuk merampas kembali kerusi yang PAS rampas daripada Umno dalam PRU ke 12 yang lalu” katanya

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua PAS Parit Buntar Abdul Bahrain Desa (gambar) berkata, kuasa orang Melayu tidak akan hilang hanya berpindah dari Umno kepada PAS dan calon Melayu PKR.

“ Kuasa orang Melayu akan bertambah kuat lagi jika PAS memenangi lebih banyak kerusi yang ditandingi menentang calon Umno dalam PRU ke 13 nanti.

“ Inilah yang amat ditakuti Umno, sebab itu mereka menyebarkan dakyah kuasa Melayu akan hilang, sebenarnya kuasa Umno yang akan hilang” katanya

Tiada halangan pilihanraya berasingan





























KUALA LUMPUR, 1 Ogos :
Ketiga-tiga komponen Pakatan Rakyat (PR) tiada halangan jika kerajaan-kerajaan negeri pimpinannya termasuk di Selangor mahu menggunakan mandat lima tahun dengan sepenuhnya sebelum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), yang akan membuka laluan kepada pilihan raya umum negeri.


Kelmarin, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengesahkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) tidak akan mengadakan pilihan raya negeri lebih awal jikapun Barisan Nasional (BN) mahu membubarkan Parlimen untuk pilihan raya umum tergempar.

Khalid menjelaskan, pentadbirannya berminat untuk memutuskan soal tarikh pilihan raya umum negeri apabila melangkah ke tahun kelima mandat.

Ketiga-tiga ketua pilihan raya PKR, DAP dan PAS memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya tiada halangan jika PR negeri mahu menggunakan pendekatan sendiri bagi memanggil pilihan raya negeri, sekali gus tidak memenuhi langkah BN.

Pengerusi jawatankuasa pilihan raya DAP kebangsaan Tan Kok Wai berkata, pihaknya tiada halangan dan tidak menjadi satu masalah jika kerajaan negeri Selangor mahu memutuskan demikian.

“Jika mereka memutuskan, sudah tentu kami tidak akan membantah... itu adalah hak mereka, saya tiada halangan,” kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh yang memberikan pandangan yang sealiran dengan Tan berkata, kerajaan negeri perlu diberi peluang untuk berfungsi mengikut mandat yang diberikan untuk melaksanakan program dan janji pilihan raya.

“Kita juga perlu memberikan peluang kepada setiap rakyat untuk menikmati dan merasai tempoh mandat sepenuhnya supaya memahami apa yang kerajaan negeri boleh melakukan untuk pengundi mereka.

“Lagi pun kerajaan negeri semasa (Pakatan) baru dua tahun, dan tidak mungkin dapat melaksanakan kesemua yang dijanjikan dan dihasratkan dalam tiga tahun (jika Parlimen dibubarkan oleh BN),” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Malah menurut beliau, BN terus-menerus mendakwa bahawa kerajaan negeri Selangor tidak menunaikan apa yang telah dijanjikan dua tahun lalu.

“Jadi mustahil baru tiga tahun dapat melaksanakan semua, jadi kita wajar memberi peluang kepada Pakatan menghabiskan mandat sepenuhnya supaya ada lapangan saingan yang adil dan seimbang (dalam pilihan raya),” kata Ahli Parlimen Kuantan ini.

Ketika ditanya sama ada idea membolehkan kerajaan-kerajaan negeri pimpinan PR mengadakan pilihan raya umum negeri secara berasingan sudah dibincangkan, Fuziah berkata, perkara itu pernah dibincangkan tetapi belum ada kata putus yang muktamad.

“Apa yang penting kemungkinan mengadakan pilihan raya berasingan boleh dan dibenarkan di bawah undang-undang,” katanya.

Kira-kira dua minggu lalu beliau berkata PR tidak akan bertanding jika pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.

Ketua Lajnah Jabatan Pilihan Raya PAS pusat Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata walaupun langkah mengadakan pilihan raya umum negeri secara berasingan ada kebaikan dan keburukan, terserah kepada kerajaan-kerajaan negeri PR untuk mengambil keputusan masing-masing.

“Terserah kepada kerajaan negeri masing-masing kalau hendak bubarkan DUN atau tidak seiring dengan BN (jika bubar Parlimen), dan kami bersedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan,” kata beliau.

Kata beliau, oleh kerana perkara ini sudah timbul maka PR pusat akan membincangkan dalam mesyuarat akan datang.

“Oleh kerana perkara ini sudah timbul, kami di pusat akan membincangkan nanti,” katanya.

Dalam pertemuan khas dengan The Malaysian Insider dua minggu lalu, sambil tidak menolak kemungkinan pilihan umum pusat dan negeri ke-13 boleh diadakan berasingan ekoran kepimpinan parti yang berbeza, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih yakin kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat akan melangsungkannya serentak.

SPR meletakkan harapan agar trend mengadakan pilihan raya umum serentak di kedua-dua peringkat negeri dan pusat yang diamalkan sekarang, kecuali di Sarawak, akan berterusan walaupun negara berhadapan dengan tsunami politik Mac 2008.

Berdasarkan peruntukan undang-undang, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof tidak menolak kemungkinan pilihan raya umum membabitkan beberapa negeri akan diadakan berasingan berbanding apa yang disaksikan di Semenanjung sejak negara merdeka.

PAS Terengganu nekad,tidak akan berundur

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita30/IMG_7860.JPG






















KUALA TERENGGANU, 1 Ogos :
PAS nekad berusaha untuk mencapai kemenangan dan memerintah Malaysia dan Terengganu khususnya, dalam pilihanraya umum yang ke-13 akan datang.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Ustaz Harun Taib menegaskan demikian ketika berucap merasmikan program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden yang diadakan di Markaz Tarbiah Kuala Ibai, disini, Sabtu 31 Julai.


"Saudara-saudara yang hadir pada hari ini saya rasa adalah terdiri daripada yang telah menandatangani perjanjian, satu perjanjian dengan diri sendiri. bahawa kita tidak akan berundur walaupun selangkah ke belakang.


"kita akan terus maju ke hadapan untuk mempastikan kemenangan berpihak kepada kita dalam PRU yang ke 13 ini. Insya-Allah,"tegasnya

.
Oleh itu menurutnya, adalah amat penting bagi semua ahli dan penyokong PAS untuk bekerja bersungguh-sungguh.

"Kita (perlu) bekerja, bilangan penting juga tapi tak sepenting kerja. Kalau bilangannya seramai ini, balik menunaikan tugas dan tanggungjawab masing-masing menggempur masyarakat. mengajak masyarakat memahami islam dan berjuang untuk Islam,


"Insya-Allah pilihanraya yang k-13 ini kita akan dapat (menang), kalau dengan izin Allah SWT,"ujarnya.


Beliau turut menglu-alukan, Yang Berhormat Naib Presiden, Salahuddin Ayub yang akan menyampaikan ucaputama dalam program Munaqasyah yang diaturkan.


Walaupun baru pulih dari keuzuran, Ustaz Harun sentiasa bersemangat 'muda' serta mengingatkan supaya sentiasa bersemangat tinggi dan menggempur semangat anak muda untuk terus bekerja.


"Saya rasa saya baru berundur daripada jawatan ketua pemuda, jadi biasanya orang dari pemuda ini semangatnya masih tinggi, ramai antara hadir hari ni pun di kalangan pemuda.


"kita harap kita dapat menggempur semangat anak-anak muda, (dan) kita terus bekerja, sama ada menang ataupun syahid,"katanya.


Beliau yang juga, Ketua Dewan Ulamak PAS memetik kata-kata pengasas al-Ikhwan al-Muslimin, as-Syahid Hassan Al-Banna tentang perjuangan menentang Israel.


"Orang yang semangat terhadap perjuangan islam ini ramai, menyokong pun ramai jugak, tapi yang bekerja keras kurang bilangannya. yang bekerja, tetap semakin kurang. yang sanggup berkorban kerana Allah SWT. lebih kurang lagi bilangannya,


"jadi oleh sebab itu, pernah Hassan al-Banna berkata; kalau dia boleh 313 orang angka Badar di Mesir, terdapat pejuang-pejuang Islam yang sanggup berkorban seramai 313 orang iaitu angka Badar,


"dia (Hassan al-Banna) sanggup merempuh dan menyerang Israel walaupun dengan tidak ada senjata yang canggih,"kata Ustaz Harun lagi.


Justeru, beliau berkata, InsyaAllah, dengan anggota kita pada hari ini, kita akan terus maju ke depan menentang Barisan Nasional pada pilihanraya yang akan datang secara khusus di negeri Terengganu.


"Negeri terengganu ini memang (sentiasa) kerja (dan)kedudukan PAS sentiasa kuat tetapi bilangannya tak cukup, "jadi kewajipan kita mencukupkan bilangan pemuda sehingga kita lebih satu daripada Barisan Nasional,"katanya.
-BO

Polis melampau


SHAH ALAM, 1 Ogos : Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Seri Chua Jui Ming menyifatkan tindakan Polis menyerbu ceramah Pakatan Rakyat di Rengit, Batu Pahat mengesahkan betapa negara ini sudah menjadi negara polis.

Ia berikutan sekurang-kurangnya 50 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan puluhan lagi anggota polis menyerbu pentas ceramah dan menghalau ribuan rakyat daripada mendengar ceramah itu.


Serbuan pula dibuat sebelum Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual berceramah di pentas itu.


Bercakap kepada TV Selangor, Chua Jui Meng kecewa dengan tindakan zalim pimpinan UMNO-BN yang memperalat politik demi menafikan hak rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman.


Beliau menganggap perkembangan ini membuktikan UMNO di Johor semakin kalut dan panik dengan kemaraan deras Pakatan Rakyat di Johor.


Katanya, tindakan polis pula melampaui batas dan melangkaui gelagat penjajah Britih pada masa lalu.


“Saya kesal sama sekali. Negeri ini dulu ada demokrasi di Johor. Pada zaman penjajah British, (Datuk) Onn Jaafar mengumpulkan orang-orang Melayu di Johor di Batu Pahat pada 1946. Polis di bawah penjajah British tidak menghalang, tidak memerintah mereka bersurai, tidak menggunakan kekerasan terhadap mereka.


"Akan tetapi, bawah UMNO sekarang yang korup dan angkuh, mereka tidak benarkan walhal Brirish sebagai penjajah memberikan laluan kepada orang Melayu berhimpun di Batu Pahat.


"Kali ini, di Batu Pahat juga kumpul beribu-ribu orang tidak dibenarkan dan diancam dengan FRU yang begitu ramai,” katanya ketika dihubungi.


Beliau menganggap kekerasan polis, ditambah pula cengkaman terhadap institusi mahkamah menyukarkan mereka mengambil tindakan balas tetapi pimpinan parti tidak patah semangat dalam membela rakyat.


“Panel peguam kita akan ambil tindakan mahkamah, mengapa di markas PAS juga perhimpunan aman dilarang sama sekali? Malah diancam dengan kekerasan FRU. Kita akan bawa perkara ini ke muka keadilan.


"Kita tahu mungkin susah tetapi kita mahu tunjuk kepada rakyat, ini bukan negara demokrasi lagi. Tidak ada kedaulatan undang-undang, polis tidak dibenarkan bertugas secara profesional, secara berkecuali dalam hal politik,” katanya.


Sungguhpun begitu, Chua Jui Ming percaya kekerasan polis hanya membakar semangat untuk menumbangkan UMNO pada pilihan raya umum akan datang, sekalipun parti pemerintah itu masih taksub dengan mitos bahwa Johor adalah kubu kuat yang tidak mungkin tumbang.


"Bagi Pakatan Rakyat dan PKR di Johor, ini akan menambahkan keinginan kita untuk menjatuhkan kerajaan yang sudah terdesak ini di Johor,” katanya lagi.

Pakatan sebulat suara, Anwar PM


SHAH ALAM, 1 Ogos : Pakatan Rakyat (PR) sebulat suara bersetuju memilih Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) sekiranya sokongan rakyat menyebelahi mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemilihan itu diputuskan seawal Pilihan Raya Tahun 1999, sejak gabungan parti pembangkang antara tiga parti dipanggil Barisan Alternatif (BA).


“Pada masa itu, ketiga-tiga parti bersetuju sekiranya sokongan rakyat menyebelahi PR, Anwar akan diangkat menjadi PM. Persefahaman ini telah dipersetujui seluruh anggota parti dan ia konsisten sehingga ke hari ini.

“Buat masa sekarang pun, apabila PR berada dalam parlimen, ketiga-tiga parti tetap setuju Anwar menjadi Ketua Pembangkang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mengulas mengenai kenyataan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berhubung jawatan PM lebih sesuai digalas calon dari parti Pas berbanding Anwar, Saifuddin berkata, Presiden MCA itu sepatutnya menumpukan hal ehwal ‘rumah tangga’ MCA terlebih dahulu sebelum mencampuri urusan dalaman parti lain.

“Sepatutnya, beliau perlu kukuhkan kembali MCA kerana parti itu sedang porak-peranda sekarang. Kenyataan beliau itu tidak lain tidak bukan bertujuan menjauhkan sokongan komuniti khususnya kaum Tiong Hua terhadap PKR.

“Pemikiran politik takuk lama seperti ini berterusan kerana mereka mahu tunjukkan kepada masyarakat bahawa UMNO sebuah parti yang baik dan Pas parti yang lemah. Pemikiran seperti ini sudah tidak mendapat tempat di hati rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, Presiden MCA itu tidak perlu buang masa dan harus berhenti mengadu domba antara parti komponen dalam PR.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Pusat, Idris Ahmad berkata, PR tidak pernah berbincang mengenai calon selain Anwar sekiranya parti itu menang pilihan raya akan datang kerana misi utama mereka menumbangkan BN terlebih dahulu.

“Jawatan tidak berapa penting dalam pimpinan kerana masalah rakyat lebih utama sekarang. Kita mahu menyelamatkan rakyat daripada kehancuran ekonomi negara supaya rakyat terbela dan negara terjaga.

“Jawatan itu hanya sebagai pengemudi dalam kepimpinan. Sesiapapun pun tiada masalah memegang jawatan sebagai pemimpin, katanya.SH