Tuesday, August 24, 2010
Tiada kesalahan doa mohon beri hidayah
BUKIT MERTAJAM , 25 Ogos : “Tidak menjadi kesalahan untuk berdoa kepada orang bukan Islam untuk diberikan hidayah kepada mereka sama ada dalam khutbah atau sebaliknya,” ujar Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man ketika mengulas isu doa dalam khutbah yang menyebut nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang hangat diperkatakan.
Beliau berkata, sepatutnya perkara itu tidak menjadi isu kerana ia sudah lama berlaku dan pada zaman penyebaran Islam oleh Rasulullah baginda pernah mendoakan supaya orang bukan Islam diberi hidayah untuk memeluk agama Islam.
Menurutnya, isu yang dibangkitkan itu hanya akan menaikkan kemarahan dalam kalangan umat Islam seterusnya mencemarkan imej baik Islam di mata bangsa lain.
“Saya tidak mahu mengulas tentang isu Ketua Menteri, tetapi bercakap secara keseluruhan yang mana doa untuk orang bukan Islam itu dibolehkan agar mereka diberi petunjuk dan hidayah, bukan mendoakan kesejahteraan mereka.
“Kita menghormati Yang di-Pertuan Agong dan Tuan Yang Terutama selaku ketua agama Islam di Malaysia dan negeri ini, serta tidak pernah menggugurkan nama mereka dalam doa seperti yang didakwa.
“Kebiasaannya doa dibaca dalam Bahasa Arab yang mana ramai tidak faham akan tafsirannya, tetapi apabila ia dibaca dalam Bahasa Melayu, terus menjadi isu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Cherok Tokun, di sini.
Dalam pada itu, Salleh Man yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) berkata, persoalan sebaliknya perlu ditujukan kepada pihak masjid sendiri yang mengundang khatib luar menyampaikan khutbah, sedangkan mereka mempunyai imam dan Pengerusi Kariah yang boleh membacakannya.
Katanya, masalah timbul apabila kebanyakan Pengerusi Kariah di masjid tidak berkebolehan membaca khutbah, sebaliknya hanya bergantung kepada imam.
Jadi, masjid terpaksa mengundang khatib dari luar untuk membacakannya jika imam mempunyai masalah ketika mana dia diperlukan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pihak masjid melatih pengerusi untuk membaca khutbah sendiri dan dengan itu tidak akan timbul masalah sedemikian pada masa akan datang.
“Saya berharap agar pihak berkenaan tidak memperbesarkan isu ini. Orang yang membacanya juga sudah membuat pengakuan, jadi diharap ia sudah selesai.
“Apa yang berlaku biar dijadikan iktibar supaya perkara sama tidak berulang. Tetapi, bagi yang sudah membuat laporan polis, tidak mengapa. Biar polis sahaja yang menyiasat,” katanya.SH
Mufti 'double standard’
PARIT BUNTAR , 25 Ogos : Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria diminta supaya jangan bersikap ‘double standard’ berkaitan masalah agama yang timbul di dalam negara ini.
Ketua Penerangan PAS Parit Buntar, Fakhrurrazi Khalid berkata, mufti tersebut diminta tidak berat sebelah dalam mengutarakan pandangan peribadinya. Apa yang jelas, beliau seolah-olah menjadi jurucakap UMNO/BN dalam setiap isu.
“ Apa sahaja ada kekeliruan isu agama yang membabitkan Pakatan Rakyat, beliaulah orang yang terawal memberikan komen negatif, sebaliknya jika membabitkan UMNO/BN, tiada suara dari beliau.
“ Ini terbukti apabila isu doa dalam khutbah jumaat, beliau terus membuat komen tanpa merujuk majlis fatwa. Ini berbeza dengan Mufti Kedah yang menyerahkan isu ini kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk membuat keputusan” katanya
Fakhrurrazi berkata, Harussani mendiamkan diri apabila UMNO secara terbuka mengadakan majlis bacaan Yaasin mendoakan calon BN bukan Islam P Kamalanathan semasa pilihanraya kecil Hulu Selangor.
“ Mufti Perak ini juga sering diam seribu bahasa apabila UMNO/BN terbabit dalam isu akidah seperti menjadikan politik dan agama diasingkan dan isu aurat isteri-isteri Menteri UMNO.
“ Beliau juga tidak banyak komen tentang isu keruntuhan moral atau gejala sosial yang semakin meruncing kini” katanya
Menurut Fakhrurrazi, setakat hari ini mufti berkenaan tidak membuat laporan polis berkaitan ‘perlembagaan baru’ yang diheboh-heboh oleh beliau.
“ Selama mana beliau boleh berhujah bahawa beliau mufti maka tidak berbohong. Lama kelamaan umat Islam akan mengetahui juga tembelang beliau.
“ Adalah lebih baik beliau membuat arahan kepada kerajaan negeri supaya di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini kedai-kedai makan ataupun restoran beragama Islam dibuka selepas jam 3.oo petang sahaja bagi mengelakkan gejala masyarakat Islam yang tidak berpuasa.
Tambahnya, sekiranya Harussani benar-benar ingin menjadi jurucakap UMNO, beliau disyorkan meletakkan jawatan dengan menyertai UMNO serta menjadi calon Pilihanraya Umum ke 13 yang akan datang di tempat asalnya, Parit Buntar.
Masjid main peranan cegah gejala sosial
SIMPANG EMPAT , 25 Ogos : Semua institusi masjid dan surau khusus dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kundor diminta memainkan peranan mencegah gejala sosial yang semakin meruncing sekarang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, dalam keriuhan mengenai gejala sosial yang melanda negara kini, institusi masjid dan surau seharusnya memainkan peranan masing-masing dalam mengimarahkan masjid.
“Masjid dan surau juga adalah satu-satunya saluran penting dalam pelbagai sudut sama ada ilmu, sunnah dan sebagainya.
“Sudah menjadi satu kewajipan institusi masjid ini untuk menarik lebih ramai umat Islam datang ke masjid dan berjemaah bersama-sama selain mengikuti pelbagai aktiviti diadakan di masjid,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Ir Phahrolrazi berkata, masjid juga bertanggungjawab untuk mengadakan kuliah ilmu kerana kuliah di sekolah sahaja tidak mencukupi.
Menurutnya, kuliah ilmu itu perlu ada untuk menarik lebih ramai penyertaan umat Islam ke masjid dalam masa sama, dapat membantu membendung gejala sosial sekarang yang semakin teruk.
Beliau berkata, untuk menjaga akidah umat Islam bukan sesuatu yang mudah kerana terdapat turun naik tahap keimanan seseorang itu, malah ia perlu dipupuk dari masa ke masa melalui peranan institusi masjid.
Ir Phahrolrazi berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan wang sebanyak RM300 kepada 19 masjid dan RM200 untuk 38 surau dalam DUN Pengkalan Kundor untuk tujuan mengimarahkan masjid masing-masing sepanjang Ramadan. SH
Terima kasih Kerajaan Kedah
Ini membolehkan penduduk yang kebanyakannya penoreh getah dan bekerja kilang, menjalani kehidupan harian yang lebih selesa apabila bekalan air paip disalurkan terus ke rumah mereka dan tidak perlu lagi menggunakan air perigi.
Selain tidak perlu lagi mengangkut air dari pergi, kemudahan air paip itu juga membolehkan penduduk menggunakan air yang terjamin dari segi kualiti dan kebersihannya berbanding penggunaan air telaga.
Penduduk, Abd Jalil Musa, 42, berkata dia sekeluarga bersyukur berikutan pelaksanaan projek terbabit yang amat dinantikan akhir menjadi kenyataan setelah sekian lama menggunakan air perigi.
Katanya, walaupun selama ini berasa bimbang menggunakan air perigi terutama apabila berlaku pelbagai kes penyakit berbahaya berpunca daripada sumber air kurang bersih, penduduk kampung tiada pilihan melainkan terpaksa menggunakannya.
Beliau berkata, walaupun perlu mengeluarkan sedikit belanja untuk bayaran memasang meter iaitu RM360 seunit, apa yang penting baginya ialah air yang dibekalkan itu terjamin dari segi kebersihan.
“Kami bersyukur dan seronok kerana apabila sanak saudara berkumpul pada Aidilfitri nanti, kami tidak lagi perlu mengambil air di perigi. Bekalan air paip ini memang sudah lama kami nantikan dan kami sudah banyak kali mengemukakan permohonan sebelum ini," kata bapa kepada empat anak itu.
Tinjauan Berita Harian mendapati perigi yang digunakan penduduk kampung berkenaan selama ini seakan tidak diselenggara dengan baik hingga persekitarannya ditumbuhi semak samun, selain mesin pengepam digunakan untuk menyedut air sudah berkarat.
Selain itu, ada antara telaga digali di kawasan lembah bertujuan mendapatkan sumber air, tetapi kawasan persekitarannya tidak dibersihkan yang berkemungkinan boleh menjurus berlaku pencemaran air dalam perigi itu.
Penduduk lain, Sobri Hussin, 42, berkata selama ini dia menggunakan dua perigi yang digali di kawasan kebun getah kira-kira 100 meter dari rumahnya, manakala satu lagi digali berhampiran rumah.
"Dulu, kami sekeluarga menghadapi pelbagai masalah menggunakan air telaga, terutama air keruh apabila hujan dan kering ketika musim kemarau,” katanya.SS
Kelantan bakal saman Petronas
KOTA BHARU, 24 Ogos: Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa (gambar) berkata, kerajaan negeri dijangka memfailkan saman terhadap Petronas kerana pecah kontrak pada 30 Ogos ini di sebuah mahkamah di Kuala Lumpur.
“Esok writ tuntutan saman itu akan dibawa kepada mesyuarat Exco kerajaan negeri untuk mendapat kelulusan.
”Dan sekiranya mendapat kelulusan, saman itu akan difailkan terhadap Petronas pada 30 Ogos ini. Seorang peguam terkenal Thomy Thomas akan memfail bagi pihak kerajaan negeri,” katanya tanpa memberitahu mahkamah mana di Kuala Lumpur.
Menurutnya saman tersebut pada peringkat awal dijangka difail pada 31 Ogos dengan kira semangat kemerdekaan.
Bagaimanapun, kata beliau tarikh tersebut merupakan hari cuti, maka tarikh 30 Ogos lebih sesuai dengan semangat kemerdekaan sekarang.
Kata beliau kes saman terbabit berbeza dengan apa yang dilakukan kerajaan PAS Terengganu pada 2000, memandangkan ada afidavit bertulis daripada bekas pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah yang sanggup menjadi saksi utama.
”Biar pun kes tuntutan royalti dibawa ke mahkamah namun perundingan masih terbuka bagi menyelesaikan isu tersebut.
”Dengan mengambil semangat Ramadan sekarang adalah peluang terbaik bagi pihak terbabit untuk membayar royalti kepada Kelantan,” ujarnya yang juga Exco Kerajaan Negeri.
Kerajaan Kelantan menuntut royalti minyak kepada Petronas dan kerajaan pusat berdasar kepada Akta Kemajuan Petroleum 1974 setelah carigali minyak dilakukan di kawasan perairannya.
Ditanya surat Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Perdana Menteri, katanya Datuk Seri Najib Razak mungkin sibuk untuk menjawab surat penjelasan mengenai royalti petroleum. hrkh
Kaunter khas pertukaran dinar dan dirham
SHAH ALAM, 25 Ogos : Exco Pembangunan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa membidas kejahilan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin mengenai penggunaan dinar dan dirham dan menyifatkan kedangkalan ilmu beliau selari dengan pengurusan pincang pengurusan ekonomi negara di bawah Umno-Barisan Nasional
Dalam responsnya kepada langkah kerajaan negeri Kelantan mengeluarkan dinar emas dan dirham perak, Dr Awang berkata tindakan tersebuthanya akan mengundang aktiviti pemalsuan serta mempertikaikan keberkesanan penggunaan dinar dan dirham dalam aktiviti perniagaan.
"Kalau Timbalan Menteri Kewangan tidak tahu bagaimana urus tadbir emas dan juga perak bagi saya itu satu tanda yang serius bakal dihadapi oleh negara ini dalam soal ekonomi pada masa yang akan datang. Persoalan yang sukar kenapa bila soal dinar dan dirham yang telah lama digunakan sejak beribu-ribu tahun tidak diiktiraf olehnya tetapi bila soal judi senang pula beliau ingin memberi kelulusan lesen untuk dijadikan halal.
"Walaupun ada pihak tertentu yang mempertikaikan penggunaan dinar serta dirham ini akan menjadi penyebab kepada pemalsuan dengan alasan emas serta perak boleh dicampur dengan bahan-bahan yang lain, bagi saya itu bukan persoalan besar untuk kita tidak meneruskan penggunaannya. Mana-mana mata wang pun ada juga yang memalsukannya seperti juga wang kertas Ringgit Malaysia kita gunakan ini wujud juga yang palsu tetapi kita mempunyai mekanisme untuk mengenal pasti yang mana betul ataupun palsu.
"Seperti penggunaan dinar serta dirham, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah menyediakan satu alat untuk mengenalpasti dinar serta dirham yang palsu ataupun tidak, kita telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi kesemuanya," jelas Husam.
Tambah beliau, dinar dan dirham mempunyai nilainya yang tersendiri di mana nilainya tidak akan berkurang seperti yang berlaku kepada mata wang didunia.
"Kuasa nilai dinar dan dirham ini melebihi nilai wang kertas yang ada, kalau kita menyimpan wang kertas dan dinar dalam jangka masa yang panjang umpama sepuluh tahun kita akan mendapati nilai dinar akan bertambah daripada nilai asal yang kita beli dulu sedangkan simpanan kita melalui wang kertas hanya bertambah sedikit dan mungkin berkurangan.
"Nilai dinar dan dirham ini meningkat mengikut masa, aset yang berharga tidak akan ada penurunan harga malah cetakan wang kertas Malaysia juga mengikut simpanan emas kita yang ada.
"Kerajaan Kelantan yakin dengan apa yang dilakukan ini boleh memberi faedah kepada Malaysia khususnya di Kelantan, kita akan sentiasa memberi penjelasan kepada rakyat agar mereka tahu menggunakan dinar ini dengan cara yang berkesan. Nilai emas bukannya ditentukan oleh kerajaan yang memerintah, kerajaan tidak boleh sesuka hati ingin menurunkan harga emas," tegas beliau lagi.
Husam berkata beliau berpuas hati sambutan menggalakkan daripada rakyat Kelantan terhadap dinar dan dirham yang dikeluarkan oleh kerajaan Kelantan.
Malah kata Husam, masyarakat bukan Islam juga menunjukkan minat untuk membeli dan berurus niaga dengan menggunakan dinar dan dirham.
Selain itu Husam menyatakan Pasar Khadijah di Kota Bharu menjadi sebuah pasar yang moden kerana terdapat urus niaga dalam dua mata wang.
Bagi memudahkan peniaga dan pembeli, kerajaan negeri telah menyediakan kaunter khas bagi mereka yang ingin membuat pertukaran dinar dan dirham.
Trend terkini Umno suka buat laporan polis
SHAH ALAM, 25 Ogos : Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyifatkan laporan polis yang dibuat terhadapnya berhubung kenyataan beliau yang disiarkan dalam sebuah majalah di Indonesia mengenai isu kapal selam Scorpene mencerminkan sikap sebenar kerajaan Umno-Barisan Nasional yang gagal mengembalikan keyakinan rakyat.
Malah Nurul Izzah terkejut dengan reaksi sebuah kerajaan yang sudah memerintah selama 50 tahun tetapi melenting kepada setiap kritikan yang dilemparkan terhadapnya.
"Tindakan membuat laporan polis jelas membuktikan kerajaan tidak memandang serius dengan isu yang dibangkitkan. Sepatutnya sebuah kerajaan yang memerintah lebih 50 tahun melihat setiap kritikan secara positif bukan hanya tahu melenting serta membuat laporan polis.
"Jika ini yang selalu dilakukan oleh Umno setiap kali kritikan dibuat bagi saya pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan ke mana, malah soal kestabilan ekonomi negara juga tidak akan mendapat jaminan yang sewajarnya," kata beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.
Nurul Izzah berkata sebagai ahli parlimen, beliau perlu memberi penjelasan apabila ditanya media Indonesia mengenai isu pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu dan kaitan kematian tragiknya dengan pembelian kapal selam Scorpene.
"Saya ditanya tentang soalan yang telah diketahui oleh seluruh dunia berkaitan pembunuhan warga negara Mongolia Altantuya Shaariibuu serta soalan berhubungan dengan kapal selam.
"Saya bukannya mengeluarkan kenyataan yang palsu atau mengada-gadakan cerita. Kenapa kita perlu berbohong sedangkan perkara tersebut telah diketahui umum, kita tahu seluruh dunia mengetahui apa yang telah terjadi di negara ini dan juga kepincangan pentadbiran Barisan Nasional apatah lagi soal komisyen dalam pembelian peralatan ketenteraan," jelas beliau.
Beliau juga pihak yang menyokong Umno-BN menyalahgunakan polis untuk menutup sebarang usaha pemimpin Pakatan Rakyat untuk menimbulkan isu yang mempunyai kepentingan awam.
"Saya kecewa dengan apa yang berlaku sekarang, agensi yang sepatutnya menjadi tempat untuk kita mendapat perlindungan telah disalahguna oleh Umno. Pihak polis kena tahu mereka bukannya milik BN tetapi milik semua rakyat negara ini dan tidak kira apa jua parti, kedudukan mahupun kaum.
"Apabila pemimpin Pakatan Rakyat bangkitkan isu rakyat, Umno akan gunakan kuasa untuk mengarah apa jua agensi yang boleh diperalatkan bagi memastikan pergerakan pemimpin itu akan terhalang seperti yang berlaku kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan juga apa yang saya alami," ujarnya lagi.
Sementara itu, menulis dalam blognya semalam, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim berkata sesiapa sahaja boleh memberi pandangan mereka terhadap kepincangan dan juga kelemahan dasar BN.
"Nurul Izzah dan sesiapa sahaja boleh dan wajar memberi pandangan mereka terhadap kepincangan dan kelemahan dasar BN, dalam negeri ataupun di luar negeri. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan cuba mengelak daripada isu-isu ini dengan menggunakan benteng "Negara" dan sebagainya, tetapi rakyat tahu bezanya antara Negara dan kerajaan BN.
"Menteri Kabinet yang kanan seperti Ahmad Zahid dan Hishammuddin sepatutnya memberi tumpuan dan masa mengulas dasar negara yang penting seperti Model Ekonomi Baru, atau kekerapan insiden perkauman kebelakangan ini, ataupun mengapa begitu ramai peneroka Felda membuat tuntutan mahkamah terhadap Felda.
"Boleh juga kalau mereka menerang proses perlantikan guru besar di sekolah negara ini, sehinggakan yang mengutarakan pendapat jijik perkauman dan fasis pun boleh jadi guru besar; dan tanpa apa-apa tindakan diambil terhadap mereka. Malangnya kenyataan yang kita dengar dari kedua-dua Menteri kanan ini berkisar menyerang Nurul Izzah kerana komen dan pendapat beliau mengenai ekonomi negara dan keadaan kapal selam yang kita beli dalam wawancara dengan majalah Indonesia, Tempo.
"Nurul Izzah sekarang sudah menjadi sasaran, kedua-dua Menteri itu berkata Nurul Izzah memburuk-burukkan imej dan nama negara. Malah laporan polis pun dibuat oleh orang orang yang tak ada kerja. Dengan lain perkataan komen dan pendapat Nurul mestilah memuji kerajaan BN barulah ia dikatakan memuji negara dan menjaga nama baik negara. Bila dia mengkritik dan menyoal Kerajaan BN dan keputusan kerajaan maka itu bererti Nurul memburukkan nama baik negara," jelas beliau.
Zaid juga menyifatkan pemikiran dan logik terhad ini yang menjadi punca segala permasalahan.
"Mereka ini tak tahu membezakan negara dan kerajaan. Sebab itu duit rakyat digunakan sebagai duit BN. Institusi awam seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, Polis DiRaja Malaysia juga digunakan oleh mereka seperti hak BN.
"Untuk pengetahuan mereka, negara ini milik rakyat Malaysia tanpa mengira parti politik tetapi kerajaan BN ini bukan milik semua rakyat. Dasar ekonomi dan pembelian kapal selam dibuat oleh kerajaan BN, maka sesiapa saja termasuk Nurul Izzah boleh mengulas dan mengkritik dasar itu. Apa kena mengena dengan maruah negara? Hanya maruah BN yang tercemar dengan kritikan itu," kata Zaid lagi.
Saksi utama kes video VK Lingam terima ancaman
PETALING JAYA 25 Ogos : Dua orang saksi utama yang terbabit dalam kes video VK Lingam, Loh Gwo Burne dan G Jayanthi mendakwa menerima ancaman terhadap keselamatan diri mereka daripada pihak yang tidak diikenali.
Jayanthi yang merupakan bekas setiausaha peguam VK Lingam, mendesak pihak polis menjalankan siasatan terperinci termasuk ugutan serta ancaman yang diterima melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar ke telefon bimbit miliknya.
Dalam satu laporan bertarikh 7 Julai lalu yang dibuat di Balai Polis Daerah USJ 8, Subang Jaya antara lain menyatakan, Jayanthi mempercayai SMS tersebut dihantar dari luar negara melalui nombor yang di daftarkan di United Kingdom.
Kata beliau sebanyak tujuh SMS ancaman diterima dari individu yang tidak dikenali.
Antara teks pesanan berbentuk ancaman yang dihantar oleh individu tidak dikenali itu berbunyi, "Ini hanyalah permulaan, bulan ini kau akan menangis, sehingga tiada air mata lagi untuk dikeluarkan. Kau akan dimalukan di khalayak ramai".
Selain itu, teks lain yang dihantar berbunyi, "Aku akan hantar pita audio tentang kau, yang mana amat disukai oleh semua orang untuk dengar. Aku ada cap jari dan suara kau. Harap kau akan seronok menikmatinya".
"Ancaman yang diterima ini menakutkan saya. Perkara ini serius. Saya telah menyerahkan bukti kepada Suruhanjaya DiRaja Penyiasatan. Bukti dalam bentuk kertas dokumen termasuk juga telefon bimbit saya. Apa lagi yang mereka mahu?
"Tambahan pula, bekas pemandu VK Lingam, Ramachandran dan adiknya, Rajendran telah meninggal dunia. Saya tak tahu sekiranya kematian ini ada kaitan (dengan kes ini).
Ada yang kata kerana kemalangan, dan ada yang kata kerana sakit akibat serangan jantung. Kita tidak tahu. Ia memang misteri," kata Jayanthi pada sidang media semalam.
Sementara itu, Gwo Burne yang juga Ahli Parlimen Kelana Jaya yang merakam perbualan VK Lingam dalam video kontroversi tersebut menjelaskan, Pusat Khidmat Masyarakat yang dikendalikan oleh pembantu khas yang juga adiknya, Loh Gwo Fynne di Bandar Sunway telah berkali-kali disabotaj sejak beliau menjadi wakil rakyat.
Terbaru, penceroboh didakwa memotong empat kabel utama yang menghubungkan bekalan elektrik ke pejabatnya.
Selain itu terdapat barangan yang hilang, termasuk peralatan komputer dan juga makanan dan minuman yang disimpan.
Siling di bilik utama juga dipercayai telah dipecahkan oleh penceroboh.
Berikutan itu, satu laporan polis telah di buat di Balai Polis Sungai Way Isnin lalu.
"Untuk mengatakan perbuatan ini bukan tindakan politik juga sukar. Untuk mengatakan bahawa ia tidak berkaitan juga tidak boleh. Masalahnya kejadian pecah masuk ke Pusat Khidmat ini terlalu kerap dan khusus disasarkan ke pejabat saya.
"Saya memang berasa bimbang dengan keselamatan saya, terutamanya apabila bergerak di tempat terbuka. Tetapi sebagai Ahli Parlimen, saya perlu menjalankan tugas saya. Saya tiada pilihan," kata Gwo Burne.
Sehubungan itu Gwo Fynne menjelaskan, tiada dokumen penting atau sulit yang hilang di pusat khidmat tersebut namun kata beliau beberapa barangan yang hilang antaranya borang keahlian KEADILAN dan juga wang tabung derma di kaunter pusat khidmat tersebut.
"Perkara ini hanya diketahui apabila saya datang ke pusat khidmat ini semalam. Sebelum ini pun memang ada perbuatan khianat dan sabotaj dilakukan. Mereka datang berulang kali untuk melakukan (perkara) ini," kata Gwo Fynne.
Ust. Zakaria Ahmad pertahan pendirian
GEORGETOWN , 25 Ogos : Khatib yang mencetuskan kontroversi kerana berdoa untuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat di beberapa masjid di Pulau Pinang, mengaku tersalah pendekatan dan tempat dalam mendoakan memohon hidayah kepada Guan Eng.
Zakaria Ahmad berkata, tindakan itu tidak salah di sisi agama Islam namun pendekatan yang digunakan iaitu berdoa dalam khutbah Jumaat itu yang menjadi kesalahan.:
“Tindakan saya mendoakan diberikan hidayah kepada orang bukan Islam untuk masuk Islam tidak salah cuma pendekatan dan tempat saya berdoa itu salah iaitu di dalam khutbah Jumaat.
“Insya-Allah lepas ini saya tidak akan berdoa di dalam khutbah Jumaat dan akan berdoa di tempat lain,” katanya kepada media selepas memberi keterangan kepada Jawatankuasa Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) semalam.
Zakaria berkata, tindakannya mendoakan diberikan hidayah kepada orang bukan Islam itu tidak menjadi satu isu besar namun ia diperbesarkan oleh orang tertentu selain dipolitikkan dan menjadikannya satu isu yang serius.
“Terima kasih kepada MAIPP kerana memberi bimbingan dan teguran kepada saya dan apa yang dikesali, perkara ini tidaklah sebesar mana cuma apabila ia dipolitikkan oleh sesetengah ahli politik, maka ia sudah menjadi isu yang serius.
“Saya akan mengambil tindakan selanjutnya iaitu menyaman mana-mana pihak yang menjatuhkan reputasi saya dan menjadikan saya seolah-olah jahil dalam agama Islam, ini melibatkan maruah,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua MAIPP, Elias Zakaria berkata, Zakaria dipanggil oleh jawatankuasa khas itu untuk diambil keterangan dan penjelasan di atas tindakannya yang dikatakan mendoakan Guan Eng dalam khutbah Jumaatnya.
“Kita memaklumkan kepada beliau (Zakaria) tentang kegelisahan dan kesan daripada isu berkenaan dan beliau yang mengakui melakukannya bersetuju tidak akan mengulangi perkara itu.
“Setakat ini tiada sebarang tindakan dikenakan kepada beliau dan perbincangan tadi berjalan dalam suasana bermaafan serta lancar. Beliau juga ada berkata akan menjelaskan sendiri mengenai perkara itu kepada umum bagi kebaikan kepada semua pihak,” katanya.
Menurutnya, hasil perbincangan selama sejam itu akan dibawa dalam mesyuarat MAIPP untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob ketika dihubungi mengesahkan telah mengambil keterangan Zakaria.
Sebelum ini, Zakaria mengakui beberapa kali membaca doa dengan menggunakan nama Guan Eng dalam bacaan doa khutbah Jumaat di beberapa masjid sekitar Pulau Pinang namun ia dilakukan sejak dua tahun lalu. SH