Sunday, September 26, 2010

Mahathir takut Umno hilang kuasa






































IPOH, 27 Sept. : Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussain hari ini menegaskan bahawa pandangan yang dikeluarkan oleh Tun Mahathir Mohamad hanyalah kenyataan politik lama dengan tujuan untuk mengugut pengundi Melayu agar tidak memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.

Beliau berpandangan sebenarnya Tun Mahathir Mohamad dan pemimpin Umno kini sudah dapat menjangkakan bahawa mereka akan kehilangan kuasa pada pilihanraya umum ke-13 nanti.

Menurut beliau jika umno menjadi pembangkang maka tidak ada siapa baik pemimpinnya atau pengikutnya yang sanggup menyumbangkan tenaga dan kewangan untuk pergerakan parti umno itu pada masa akan datang, serta berkemungkinan besar parti umno ini akan menjadi tidak relevan dan ditolak oleh seluruh rakyat akan kewujudannya.

Beliau juga menjelaskan bahawa terdapat menteri-menteri umno yang sudah membeli tanah dan rumah di luar negara untuk menyenangkan mereka tinggal disana jika umno tidak dapat memerintah Malaysia pada masa akan datang.Sebenarnya pemimpin umno kini sentiasa berada dalam ketakutan kerana satu persatu kes-kes mereka semua akan dibongkar dan dibawa kemuka pengadilan jika Pakatan Rakyat dapat megmbil alih pentadbiran kerajaan pusat.

Memetik kata-kata beliau ” Kita tahu selama ni pemimpin-pemimpin umno memperolehi duit dari pengusaha-pengusaha kilang dan syarikat-syarikat kroni mereka untuk menjana kewangan parti mereka. Jika umno jadi pembangkang selepas ini maka tiada siapa yang sanggup beri duit pada umno ”

Beliau menyimpulkan kenyataan yang dikeluarkan Tun Mahathir itu adalah kenyataan yang berbaur ugutan kerana Tun Mahathir sudah menjangkakan Umno berkemungkinan besar untuk kalah pada Pilihanraya umum ke 13 nanti.

PR perintah: Umno BN hilang kuasa, bukan Melayu




















PERMATANG PAUH, 27 Sept. :
Sekiranya Pakatan Rakyat (PR) menerajui pentadbiran negara, maka kuasa Melayu tidak akan hilang, sebaliknya kuasa Umno dan Barisan Nasional (BN) yang akan terhapus dari persada politik negara ini.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man berkata demikian sebagai mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa kuasa dan suara Melayu akan hilang sekiranya pembangkang menguasai kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pusat Khidmat Adun Permatang Pasir dan PAS Kawasan Permatang Pauh di Permatang Pasir, semalam.

Menurutnya, adalah tidak munasabah dakwaan yang dikeluarkan oleh Mahathir sebagai seorang yang telah lama memegang tampuk pemerintahan negara terhadap PR.

"Beliau harus mengkaji sejarah yang dekat dengan kita. Dalam negara sendiri contoh yang ada di depan mata boleh digunakan sebagai fakta. Di negeri Kelantan contohnya yang hilang kuasa adalah Umno dan BN apabila PAS memerintah negeri tersebut lebih dari 20 tahun.

"Begitu juga dengan negeri Kedah yang diterajui oleh Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Kuasa Melayu dan suara Melayu tidak hilang. Hanya yang hilang ialah kuasa dan suara Umno serta BN yang selama ini tidak pernah mengakui kekalahan mereka," ujarnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Adun Permatang Pasir berkata, dakwaan yang dibuat oleh Mahathir sepatutnya tidak lagi diberi perhatian kerana tidak bersandarkan kepada fakta yang sebenar.

Tambahnya lagi, kuasa Umno dan BN itu yang dianggap sebagai kuasa dan suara Melayu adalah satu pandangan yang meleset dan mengelirukan rakyat.

"Pada anggapan mereka kuasa Umno itu adalah Melayu dan kuasa Melayu itu adalah Umno, sedangkan PAS adalah lebih kemelayuannya jika mahu dibandingkan dengan Umno.

"Dakwaan beliau yang menyifatkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai alat kepada DAP juga adalah prejudis yang buruk terhadap kepimpinan PR. Beliau harus sedar sejauh mana laungan dan jeritan untuk memenangkan Umno dan BN tidak akan merubah pendirian rakyat bahawa kuasa yang ada pada BN di Perak adalah kuasa yang tidak halal setelah rakyat menolak mereka dengan kertas undi dalam pilihan raya 2008 yang lalu," tegasnya lagi.hrkh

Unit Amal Kedah bantu mangsa ribut

PADANG SERAI, 27 Sept: Ketangkasan dan kesungguhan Unit Amal Kedah yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Amal Negeri, Yahaya Abdullah membantu memasang bumbung rumah yang diterbangkan angin ribut pada 20 September lepas mendapat pujian penduduk Ladang Bukit Sedim.

Walaupun hanya pemasangan bumbung melibatkan 86 buah rumah dilaksanakan oleh sebuah kontraktor hasil peruntukan Pembangunan Negeri (ICU) di bawah kelolaan Kerajaan Persekutuan serta Eastate Bukit Sedim tetapi kedatangan Unit Amal dari Sik, Baling, Bandar Baru, Padang Serai dan Sungai Petani dapat mempercepatkan kerja-kerja tersebut memandangkan bilangan pekerja kontrak tidak seberapa.

Sebahagian besar bumbung rumah ladang yang terletak tidak jauh dari Kulim itu rosak menyebabkan semua peralatan rumah termasuk tempat memasak dan tidur dibasahi air hujan yang turun lebat bersama angin kencang.

Kerja-kerja pemasangan terpaksa mengambil masa berhari-hari kerana setiap petang boleh dikatakan hujan lebat.

Ekoran itu, Pejabat Daerah Kulim membuka dua lokasi penempatan iaitu di Dewan Bukit Sedim untuk mangsa keturunan India manakala Melayu di Surau Bukit Sedim yang turut dijadikan pusat gerakan semua pihak.

Yahaya yang dibantu Penyelaras Unit Amal Kulim Bandar Baru, Basri Mohd Idris dan Penolong Setiausaha Unit Amal Negeri Kedah, Mohd Aziz Kasim dan ramai lagi setiap pagi akan memulakan tugas yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

Katanya, mereka bertugas dengan berhati-hati kerana kebanyakan bumbung rumah telah berusia lebih 20 tahun ada yang reput dan mudah patah apabila dipijak.

"Dua orang anggota Amal kita dah jatuh tapi mujurlah dapat mencapai kayu. Bukan sahaja anggota kita tapi pekerja kontrak dari Myanmar dan Indonesia juga serupa," terangnya ketika ditemui di surau ladang berkenaan.

Sementara itu, Penghulu Mukim Bagan Sena, Rostam Hussin pula berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kulim telah menyediakan peruntukan makanan dari hari kejadian sehinggalah penduduk kembali ke rumah masing-masing.

Selain bantuan makanan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merbau Pulas, Ustazah Aishah Ghazali, Ahli Parlimen Padang Serai, Gobalakrisnan dan Pegawai Daerah Kulim, Datuk Abdul Rahman Ahmad turun menziarahi di samping menyampaikan sumbangan kepada mangsa.hrkh

Umno yang gagal





































KUALA LUMPUR, 27 Sept:
Pemimpin Umno BN telah gagal memikul amanah rakyat majmuk untuk membina negara Malaysia yang hebat dan dalam masa yang sama menunjukkan contoh model keadilan Islam yang sebenar.

Ini juga, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengakibatkan orang Melayu yang mendapat majoriti besar dalam pilihan raya gagal memartabatkan Islam yang menjadi agama Persekutuan.

Sehubungan itu, PAS mengajak seluruh orang Melayu Islam yang bimbang dengan kedudukan mereka agar dapat berfikir dengan rasional dan fakta yang jelas, bahawa Umno BN akan sekali lagi berlaku curang terhadap mereka.

“Marilah bersama dengan gagasan baharu bahawa PAS perlu menggantikan Umno sebagai teras politik Melayu Islam dalam negara kita ini.

“Kepada seluruh rakyat dalam negara kita ini, tinggalkanlah BN dengan bersama membuat perubahan bersama PAS dalam Pakatan Rakyat ke arah Malaysia yang lebih adil dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Justeru, katanya pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad yang disokong oleh beberapa pimpinan Umno lain bahawa orang-orang Melayu akan kehilangan kuasa dan 'suara' jika Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih pemerintahan negara adalah merupakan suatu pandangan yang tidak berpijak di bumi nyata.

Menurutnya, igauan itu kerana takutkan kekalahan kerana dibejati kesalahan-kesalahan yang dilakukan semasa memimpin negara.

Semuanya itu, ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang telah sekali lagi diulang sebut pada saat Umno berada dalam keadaan yang paling parah dari segi politiknya.

Beliau menambah, sejarah sekali-kali tidak boleh menafikan bahawa Umno adalah parti warisan yang meneruskan agenda penjajah dengan melaksanakan ideologi yang boleh melemahkan umat Islam di samping mereka juga tidak boleh dijadikan contoh yang baik terhadap masyarakat majmuk dalam negara ini.hrkh

Reezal 'hero' baru cari publisiti

BUKIT MERTAJAM, 27 Sept: Kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kononnya Ketua Menteri, Lim Guan Eng memberikan RM100 kepada warga emas hasil wang judi sengaja ditiupkan untuk menimbulkan kemarahan orang Melayu.

Pesuruhajaya PAS negeri, Ustaz Saleh Man berkata, sebenarnya isu itu sengaja dimainkan untuk mencari publisiti murahan untuk menonjolkan dirinya 'hero' baru Umno di Pulau Pinang setelah beberapa orang hero lama kini sudah patah sayap.

"Reezal Merican sengaja cari publisiti murahan untuk meningkatkan pengaruhnya bagi dilihat hero baru Umno di Pulau Pinang. Cubaannya untuk menggantikan Tun Abdullah di Parlimen Kepala Batas makin ligat," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir berpendapat Umno bakal menurut ‘kematian’ MCA dan Gerakan Pulau Pinang tidak lama lagi.

“Maka sebab itu kepimpinannya terpaksa melakar sejarah terakhir supaya menjadi kenangan anak cucu,” ujarnya ketika berucap sempena Jamuan Hari Raya Aidilfitri PAS Bukit Mertajam di halaman Pasti Alma Jaya, semalam.

Ujarnya, justeru itu jentera PAS dan Pakatan Rakyat perlu bersiap sedia berganding bahu menyusun pelbagai program dan agenda untuk rakyat bagi menggantikan Umno.

"Apa yang Umno lakukan untuk mengembalikan sokongan ditolak rakyat. Sokongan orang Cina dan India jelas berpatah arang cuma Melayu saja yang masih berdolak dalik.

“Namun tidak mengapa, biar Umno cipta isu yang akhirnya makan diri. Bila makan diri, pasti parti itu jadi macam MCA dan Gerakan yang amat lemah di negari ini berbanding dulu begitu agresif," ujarnya. Lagi.

Beliau percaya selepas pilihan raya umum ke-13 nanti, Umno akan kehilangan pengaruh sekaligus melenyapkan impian untuk terus berkuasa di Malaysia.hrkh

Pengetua rasis kerana ‘Ketuanan Melayu’ Umno


KUALA LUMPUR, 27 Sept: Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa berpendapat insiden pengetua sekolah yang bersikap rasis adalah kesan daripada doktrin politik 'Ketuanan Melayu' ciptaan Umno.

Doktrin politik itu seringkali menjadi teras kepada kursus anjuran Biro Tatanegara (BTN) yang diwajibkan kepada kakitangan kerajaan dan golongan pelajar.

Justeru, belum pun reda isu pengetua rasis yang menghina pelajar Cina dan India di Johor baru-bari ini, kini timbul pula dua lagi kes serupa, juga di Johor dan satu lagi di Melaka.

Ianya didakwa membabitkan pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar di Muar yang telah memaksa lebih 50 pelajar bukan Islam daripada tingkatan satu hingga lima, menadah tangan serta membaca doa bersama-sama pelajar Islam semasa perhimpunan bulanan sekolah itu April lalu.

Satu lagi kes yang berlaku Julai lalu di mana seorang guru agama di Sekolah Menengah Perempuan Methodist di Tengkera, Melaka yang mengatakan pelajar Cina memakai seluar pendek kerana mahu menjual tubuh mereka.

Kenyataan itu didakwa dikeluarkan guru tersebut ekoran memarahi sekumpulan remaja Melayu yang berpakaian tidak menutup aurat ketika memperagakan fesyen dalam satu aktiviti di sekolah itu.

Guru terbabit kemudiannya telah memarahi pelajar di sebuah kelas yang terdiri daripada berbilang kaum dengan menyalahkan pelajar Cina di atas perbuatan pelajar Melayu tidak menutup aurat tersebut.

Kedua-dua insiden itu didedahkan Teck Hwa serta Ahli Dewan Undangan Bachang, Lim Jak Wong.

Teck Hwa seperti lapor Suara Keadilan, telah membuat aduan kepada Jabatan Pendidikan Johor dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong sementara pengetua tersebut hanya diberi amaran sahaja.

Manakala, guru agama tersebut pula telah ditukar ke sekolah lain.hrkh

Mercu tanda PAS Pasir Gudang





















PASIR GUDANG, 27 Sept. :
P
AS Pasir Gudang adalah kawasan parlimen yang berjiran dengan PAS Kawasan Johor Bahru yang bersempadan diantara Dun Stulang dengan Dun Permas dan Dun Tanjung Puteri dengan Dun Johor Jaya.

Jumaat 24 September 2010 bertempat di Taman Mawar Pasir Gudang bersempena dengan Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pasir Gudang satu majlis perasmian Bangunan PAS Pasir Gudang telahpun disempurnakan dengan gilang gemilang


Bangunan setinggi tiga tingkat ini dibeli dengan harga RM 270,000 hasil sumbangan dari penyokong-penyokong dan dermawan yang cintakan Islam dan PAS.


Bangunan ini menempatkan dewan kuliah dan mesyuarat, juga terdapatnya Pusat Aduan Rakyat yang diseliakan oleh En Syed Othman yang pernah beberapa kali menjadi calon PAS bertanding di Dun Permas dan dibawahnya adalah ruang perniagaan restoran yang disewakan sebagai dana ekonomi PAS Pasir Gudang.

Yb Salahuddin Ayub selaku Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian telah dijemput untuk merasmikan bangunan PAS Pasir Gudang sekaligus menjadi batu asas dan mercu tanda di Pasir Gudang betapa PAS kini semakin kehadapan dalam menempuh dan memenuhi impian dan mimpi soleh dalam harapan untuk menawan Nusajaya dan Putrajaya.

Wajib mansuh ISA


SHAH ALAM, 27 Sept. : Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menegaskan sekali lagi Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) berlawanan sama sekali dengan semua prinsip hak asasi manusia terutama hak untuk dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Selain itu ISA juga bertentangan dengan prinsip hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil, hak kepada pembelaan dari segi undang-undang serta hak dijamin bebas daripada sebarang bentuk penyeksaan.

Justeru itu, tidak ada justifikasi untuk meneruskan akta zalim dan drakonian ini dan ISA wajib dimansuhkan serta merta.

Merujuk kepada pembebasan Ketua Wakalah Jemaah Islamiah (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari yang dibebaskan Jumaat lalu, Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh dalam satu kenyataan berkata badan itu bimbang berhubung tindakan menyerahkan beliau kepada pihak berkuasa republik itu.

"GMI memandang serius perkembangan ini sebagai satu lagi episod kepada sifat arbitrari ISA atau mana-mana penahanan tanpa bicara. Tidak ada sebarang penjelasan mahupun butiran diberikan berhubung tahap ancaman atau risiko kepada keselamatan negara.

"Malah di bawah ISA, Menteri Dalam Negeri tidak mempunyai obligasi untuk mendedahkan kepada rakyat ataupun mahkamah butiran penahanan atau pembebasan. Beliau mempunyai hak mutlak untuk menahan seseorang walaupun tanpa bukti atau perbicaraan. Ini jelas bertentangan dengan prinsip negara hukum," kata Syed Ibrahim.

Sementara mengalu-alukan pembebasan Mas Selamat atas prinsip sesiapa pun tidak harus ditahan tanpa bicara, GMI menegaskan seseorang itu mesti dibebaskan sekiranya beliau tidak mendapat perbicaraan yang adil.

"Prinsip in diaplikasi kepada semua tahanan dan pada masa ini terdapat 16 orang yang masih merengkok di dalam Kem Tahanan Kamunting di bawah tahanan polis.

"Kuasa luas di bawah ISA membolehkan akta ini disalahguna dengan senang sekali. Dalam kes Mas Kastari, persoalan harus ditimbulkan mengapa beliau ditahan di bawah ISA dan tidak dicaj di dalam mahkamah jika penyiasatan telah dilakukan.

"Persoalan juga timbul terhadap keadaan beliau dibebaskan. Mengapa sekarang? Siapa yang membuat cadangan? Apakah alasan spesifik? Adakah tindakan ini ada sebarang hubungan dengan suasana politik kini? Adakah beliau tidakl agi menjadi ancaman keselamatan kepada negara serta Indonesia dan Singapura sepertimana yang dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri di Parlimen semasa Mas Selamat ditahan?," tanya beliau lagi.

GMI yakin selagi ISA wujud persoalan yang dibangkitkan tidak akan terjawab. Ini kerana kuasa penahanan selektif akan terus berada di tangan Menteri Dalam Negeri.

Insiden beliau melepaskan diri dari Pusat Tahanan Jalan Whitley di Singapura pada 27 Februari 2008 mendapat liputan luas media.

Beliau kemudiannya ditangkap semula oleh pihak polis Malaysia di Kampung Tawakal dekat Skudai, Johor pada 1 April 2009.

Mas Selamat ditahan di bawah ISA dan dihantar ke Kem Tahanan Kamunting di Taiping, Perak pada 23 Mei 2009 untuk tempoh selama dua tahun.

Tun Mahathir dah tak relevan


KOTA BHARU , 27 Sept. : PAS mempersoalkan tindakan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat kini keterlaluan dalam memperjuangkan bangsa Melayu yang sebelum ini tidak menjadi perhatian di bawah pentadbirannya.

Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri, Abdul Fatah Harun berkata, peluang yang diberikan rakyat kepada Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri gagal di manfaatkan sepenuhnya untuk membela bangsa Melayu.


“Kenapa Tun bercakap soal Melayu sedangkan beliau diberikan masa yang cukup lama untuk membela orang Melayu, jika apa berlaku kini (akan kurangkan kuasa Melayu) adalah berpunca daripada dasar yang dibawa beliau sendiri,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir yang sedih dengan keadaan orang Melayu kerana mereka tidak sedar mengenai ancaman yang dihadapi masa kini.

Bekas Perdana Menteri itu menyifatkan perpecahan yang berlaku dalam kalangan orang Melayu itu adalah berpunca daripada segelintir individu yang gilakan kuasa untuk menjadi Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Abd Fatah yang juga Timbalan Exco Kerajaan Negeri berkata, isu Melayu yang dibangkit oleh Tun Dr Mahathir tidak menguntungkan UMNO yang mahu menjaga rakan parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Kita tidak tahu sejauh mana isu bangsa mempengaruhi orang Melayu dalam pilihan raya nanti, tetapi UMNO dan BN mungkin mengambil perhatian kerana mereka juga mahu menarik undi dari masyarakat lain.

“Apa yang jelas, isu bangsa tidak seharusnya menjadi modal mana-mana badan atau parti untuk berpolitik, ia sudah tidak relevan dan rakyat juga menyedari perkara ini,” katanya.SH

Pemuda Umno tuduh tanpa bukti


KOTA BHARU, 27 Sept. : Dewan Pemuda PAS negeri mencabar Ketua Pemuda UMNO negeri, Anuar Safian mengemukakan bukti terhadap tuduhannya yang menyatakan terdapat unsur penyelewengan dilakukan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Ketuanya, Abd Latiff Abdul Rahman berkata, sebagai ketua amatlah malang sekiranya Anuar melemparkan tuduhan tanpa mengemukakan bukti asas yang kukuh.


“Anuar yang mendakwa dirinya sebagai Pengerusi Orang Muda Antikorupsi (Ombak) sepatutnya bercakap berdasarkan fakta dan bukannya rekaan semata-mata,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, Anuar dalam satu kenyataannya mahu pihak berkuasa menyiasat Kerajaan Negeri yang dikatakan menerima sumbangan RM4 bilion dari syarikat I’da World Group untuk membangunkan negeri ini.

Menurut Anuar, penyiasatan itu penting kerana sebelum ini terdapat beberapa kes penyelewengan yang dilakukan Kerajaan Negeri pimpinan Pas itu.

Abdul Latiff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkebang menyifatkan kenyataan Anuar itu sebagai melatah yang dikeluarkan atas sentimen politik yang keterlaluan.

Menurutnya, Pemuda UMNO seharusnya menggunakan pertimbangan akal yang waras sebelum mempercayai dakwaan adanya derma sebanyak itu.

“Barangkali sudah lama UMNO khususnya di Kelantan menunggu-nunggu isu yang boleh menjatuhkan kredibiliti Kerajaan Kelantan lantas bertindak pantas mengeluarkan kenyataan walaupun dakwaan yang wujud samar saja.

“PAS mencadangkan Pemuda UMNO, khususnya Anuar menumpukan perhatian kepada isu-isu penyelewengan yang benar-benar berlaku atau sekurang-kurangnya mengawal pembahagian duit wang ihsan yang dirompak daripada royalti minyak Kelantan agar tidak dijadikan senjata politik oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya.SH

10,000 meriah Cakna Rakyat DUN


TANAH MERAH, 27 Sept. : Hampir 10,000 masyarakat sekitar jajahan Tanah Merah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Panau memeriahkan sambutan Program Cakna Rakyat DUN Bukit Panau di bawah anjuran Kerajaan Negeri yang dikendalikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Panau yang juga Exco Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Abdul Fattah Mahmood.

Program yang diadakan di Padang Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) itu turut dimeriahkan dengan pelbagai pameran termasuk daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jheaik) Jajahan Tanah Merah, Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di samping pameran 13 Unit Peti Undi (UPU) Mukim Bukit Panau.


Abdul Fattah Mahmood berkata, sambutan menggalakkan menunjukkan masyarakat memberi kerjasama dalam penganjuran program seumpama itu.

“Saya berterima kasih kepada UPU yang memberi komitmen yang tinggi dalam menjayakan program itu dan berbangga di atas tugas yang dilaksanakan dengan baik bagi menjayakan program.

“Ternyata ia berjaya menghimpunkan masyarakat setempat dalam satu program gilang-gemilang dan julung kali diadakan di DUN Bukit Panau,” katanya.

Katanya, majlis tiga dalam satu yang diadakan itu merangkumi Majlis Cakna Rakyat, Majlis Mesra Aidilfitri dan Malam Seni Kesenian Islam.

Selain dapat merapatkan ukhuwah antara masyarakat, orang ramai juga berpeluang meluangkan masa bersama keluarga dalam suasana santai.

“Kejayaan penganjuran program dicapai hasil kerjasama semua pihak dan diharap ia dapat dilaksana pada masa akan datang dengan sambutan lebih meriah.

“Inilah yang dinamakan kesepakatan. Apa jua program yang dijalankan, ia bukan bergantung kepada individu itu, tetapi pelaksanaan program yang dijalankan dan pengisian yang ditonjolkan bagi menarik minat masyarakat menyertai aktiviti berkenaan,” katanya.

Terdahulu, program dirasmikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan turut dihadiri Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Ab Ghani.SH