Friday, October 1, 2010

Umno Pulau Pinang perdaya warga emas



GEOGRETOWN, 1 Okt. : Seramai 11 ADUN Umno di Pulau Pinang dicabar memulangkan wang gaji mereka kerana kemungkinan wang berkenaan datangnya dari sumber judi.

Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang yang membuat cabaran itu juga menggesa Umno mengarahkan semua staf dan kakitangan akhbar Utusan Malaysia milik parti itu untuk memulangkan semua gaji mereka.

Tindakan itu supaya kakitangan Islamnya tidak 'termakan wang haram'. Sekretariat itu mendakwa ada unsur-unsur perjudian dalam penghasilan gaji mereka, menerusi iklan-iklan empat nombor ekor di akhbar itu.

“(Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat juga) mencabar Umno agar mengarahkan semua GLC (syarikat berkaitan kerajaan) di bawah pengaruh mereka supaya memulangkan semua pendapatan gaji semula kepada Perbendaharaan Kerajaan Malaysia, kerana tidak ada satu pun gaji mereka ini boleh dipastikan bersih daripada percampuran dengan hasil cukai judi, hiburan dan arak,” kata mereka ketika membacakan kenyataan media.

Menurut setiausaha PKR Pulau Pinang, Syed Mikael Rizal Aidid, - Umno kini tertekan dengan keupayaan Pakatan dalam perbelanjaan berhemah kerajaan negeri yang berjaya mempunyai wang berlebihan dan memperuntukkan dana RM20 juta untuk program menghargai sumbangan warga emas.

Katanya, tertekan dengan keupayaan itu, Umno memfitnah kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat.

“(Justeru) cabaran ini juga dibuat untuk memberi peluang kepada Umno membuktikan diri mereka adalah 'pembela Melayu yang sebenar', seperti yang selalu mereka war-warkan.
Warga emas ditipu

“Kami juga menyeru agar Umno benar-benar membantu merubah nasib orang Melayu dengan bersungguh-sungguh dengan membela jatuh bangun mereka dan bukan hanya berlagak hebat di televisyen dan di dada-dada akhbar,” kata Syed Mikael pada persidangan akhbar di Prai, semalam.

Turut menadatangani kenyataan bersama ini adalah Setiausaha Pemuda DAP, Pulau Pinang, Ng Wei Aik dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Pulau Pinang, Mohd Nor Harun.

Dua hari lalu, lebih 40 warga emas memulangkan semula wang ehsan yang diberikan itu selepas berasa curiga dengan sumber wang berkenaan.

Ia berikutan pendedahan oleh pemimpin Umno yang mendakwa bahawa wang berkenaan diperolehi daripada sumber perjudian.

Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat itu juga mendakwa kumpulan warga emas berkenaan telah ditipu dan dipermainkan oleh ADUN Penaga, Datuk Azhar Ibrahim yang juga setiausaha perhubungan Umno Pulau Pinang.

“Simpati kami adalah kerana mereka ini telah ditipu dan dipermainkan oleh ADUN mereka yang melatah berasaskan maklumat yang tidak betul.

"Ini bukti jelas, bahawa Umno sanggup buat apa saja, hingga sanggup menidakkan hak rakyat, semata-mata mahukan populariti politik murahan!” kata Syed Mikael.

Ng pula menganggap Umno merampas hak warga emas beragama Islam apabila mendalangi usaha dengan 'memperbodohkan' mereka dengan menyebarkan propaganda tidak bersandar fakta.

Diaturkan Umno

“Kesian mereka. Mereka tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Tapi jelas, Umno cuba merampas apa yang sepatutnya mereka dapat," katanya.

Katanya, kerajaan negeri tidak pernah memaksa mana-mana syarikat menghulur sumbangan baik badan korporat mahupun kelab lumba kuda tetapi dana itu diasing mengikut kategori.
"Bantuan ini terletak di bawah pegawai kewangan negeri. Mereka boleh mengasingkan sumbangan tanpa ada masalah", katanya yang kesal kerana warga emas disogok maklumat tidak tepat dan percaya ia didalangi pimpinan Umno.

"Itu majlis yang diaturkan Umno. Tak adalah, mana boleh warga emas yang minta majlis macam itu. Ini memang didalangi mereka. Siapa yang membangkitkan isu ini terlebih dahulu? Umnolah,” katanya lagi.

"Kalau Umno cakap semua wang termasuk RM100 haram, maka, gaji yang diterima ADUN Umno juga haram. Jadi, pulangkan duit gaji, jangan ambil,” kata beliau yang juga ADUN Komtar itu.

Mahathir ingat Umno saja Melayu




















PARIT BUNTAR, 1 Okt. : Tun Dr Mahathir tidak perlu bimbang orang Melayu akan hilang kuasa sekiranya Pakatan Rakyat memerintah kerana sebenarnya Umno yang akan hilang kuasa. Demikian kenyataan Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Parit Buntar Adnan Abd Rahman mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir semasa berucap di Himpunan PERKASA di Kelantan.

Adnan berkata, kenyataan Tun Dr Mahathir itu hanyalah kenyataan politik lama bertujuan untuk mengugut pengundi Melayu agar tidak memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.

“ Kenapa Umno dan BN kalah Melayu akan hilang kuasa, tidak masuk akal. Jika Umno kalah sekalipun PAS yang akan menang. PAS sudah pasti orang Melayu dan berjuang Islam.

“Tun ingat Umno saja yang Melayu , lain dari Umno bukan Melayu. Memang Tun Dr Mahathir sudah termasuk antara Orang Melayu yang sudah lupa “ katanya

Menurut Adnan, Tun Dr Mahathir bimbang Umno sudah tidak relevan dan ditolak bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga bukan Melayu.

“ Tun kena tahu kenapa orang Melayu menolak Umno. Umno bersikap ‘tidak adil’ kepada bangsanya sendiri. Umno memilih-milih bulu, memilih orang-orang di keliling mereka bukan membantu kepada orang-orang yang benar-benar layak.

“Orang Melayu sudah meluat dengan pemimpin Umno yang asyik berjuang untuk kroninya semata-mata bukan untuk orang Melayu. Banyak lagi, cukuplah peluang 50 tahun diberi kepada Umno/BN” katanya

Adnan juga meminta Tun Dr Mahathir menyahut cabaran berdebat Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nuzul Izzah Anwar .

“ Nurul Izzah mencabar beliau untuk berdebat berikutan dakwaannya Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat memerintah. Tun Dr Mahathir kena sahut cabaran Nurul Izzah untuk buktikan dakwaannya” katanya

Beliau berkata, Tun Dr Mahathir telah menyerang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin melalui kempen tidak beretika dan tidak jujur dengan memburuk-burukkannya.

“ Hanya kerana beliau adalah Menteri Besar Pakatan Rakyat yang popular sebelum rampasan kuasa haram Umno-BN. Tun Dr Mahathir menuduh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai alat DAP.

"Ini adalah satu tuduhan yang amat tidak berasas kerana kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak adalah kerajaan negeri rakyat Malaysia dan diterima baik oleh semua kaum di negeri ini.”katanya

Tambahnya, Tun Dr Mahathir sering memainkan isu perkauman dan agama pada saat-saat genting untuk mencapai matlamatnya.

“ Tun Dr Mahathir ialah penganut politik perkauman yang menjejaskan hubungan antara kaum. Saya berharap beliau berhenti mengamalkan politik perkauman yang sempit ini “ katanya

Selangor jadi ' lubuk puaka ' Umno







































K
UALA LUMPUR, 1 Okt: Datuk Seri Najib Razak sudah menampakkan keresahan kerana kehilangan kuasa di Selangor yang dianggap lubuk emas selama ini sudah menjadi lubuk puaka untuk Umno.

Sehubungan itu, PAS berpandangan ucapan Najib pada Malam Sejuta Harapan Ke-6 Yayasan Basmi Kemiskinan di Pusat Persidangan Sime Darby, di sini malam tadi sebagai satu ucapan orang yang tidak menerima kekalahan dalam sebuah negara demokrasi.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata rakyat semakin menerima perubahan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat walaupun menerima berbagai halangan daripada kerjaaan Pusat.

“Model yang ditunjukkan oleh kerajaan Pakatan inilah yang akan menjadi peta lakaaran untuk menguasai Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 nanti, insya Allah,” ujarnya kepada Harakahdaily.

PAS, katanya berpandangan kenyatan Najib yang mengatakan sealah-olah rakyat susah dengan pertukaran kerajaan di Selangor adalah tidak lojik.

Secara sinis, tambahnya orang buta yang rasional boleh membezakan antara kerajaan Umno BN di Selangor selama 51 tahun dengan kerajaan Pakatan Rakyat yang baru sahaja mencecah umur tidak sampai 3 tahun, tetapi sudah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

“Apakah dengan pembiayaan air percuma, skim Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas), skim kifalah RM2,500 untuk warga emas yang meninggal, masjid diimarahkan, program pembinaan jati diri melalui program SPIES ini adalah amalan buruk?” soalnya.

Baginya, Najib yang juga pengerusi Umno negeri melahirkan rasa kecewa kerana banyak rancangan YBK telah tergendala kerana kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor telah mengambil semula tanah milik yayasan itu di Serendah seluas 312 hektar itu atas alasan tidak membayar tunggakan cukai RM5.7 juta.

Tapak itu mulanya dicadangkan untuk membuka kampus cawangan UiTM.
“Perlu diingat bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan Pakatan Rakyat ialah mengikut peraturan,” ujarnya.

Beliau menambah, kenyataan akbar mengenai kertas putih Yayasan Basmi Kemiskinan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim pada 13 April 2010 boleh dirujuk, bagaimana banyak keraguan perjalanan YBK selama ini sehingga orang miskin semakin bertambah kerana ia tidak menepati sasarannya.

Menurutnya, sejak pilihan raya umum 2008 lalu, banyak ucapan pemimpin Umno yang menampakkan kekecewaaan yang tidak berkesudahan.

Katanya, pemimpin Umno BN menganggap bahawa mereka sahaja yang boleh memerintah Malaysia ini sampai kiamat, seolah-olah kerajaan mereka tidak ada ajal sedangkan dalam sebuah negara demokrasi jatuh bangun adalah biasa.

“Selalu pemimpin Umno berhujah jika kerajaan sering bertukar, kerajaan tidak maju. Hujah ini tertolak kerana Jepun, Amerika Syarikat, Britain dan lain-lain negara tetap unggul dan hebat walaupun parti politik pemerintah sering bertukar ganti,” ujarnya.

Justeru, katanya PAS menasihatkan pemimpim Umno belajarlah politik daripada PAS yang bersemangat kental dalam menghadapi perjalanan politik, walaupun tidak berada di padang yang sama.

PAS, jelasnya pernah memerintah Kelantan dari 1959 selama 18 tahun kemudian tewas pada tahun 1978 melalui tindakan yang tidak demokratik.

Akhirnya, kata beliau PAS bangkit kembali dan berjaya menguasai Kelantan 1990 hingga kini.
Begitu juga, katanya di Terengganu di mana PAS pernah menang pada tahun 1959 dan jatuh melalui teknik yang tidak bermoral pada tahun 1961, kemudian mendapat mandat kembali pada 1999 dan tewas 2004 melalui konspirasi yang terburuk dengan penambahan pengundi yang tidak masuk akal sehingga 17%.

“Namun Pas boleh bersabar dan membuat muhasabah dalaman dan menyusun strategi untuk maju ke hadapan. Perkara ini tidak berlaku kepada pemimpin Umno BN,” katanya lagi.

Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man , Pengarah Pilihanraya Kecil Galas

KUALA LUMPUR, 1 Okt: PAS mesti bersedia menghadapi sesiapa sahaja dalam pilihan raya kecil Galas dengan kekuatan sendiri, kata Naib Presiden PAS yang juga pengarah pilihan raya itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Atas dasar itu, isu samada Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai pengarah BN bagi pilihan raya kecil DUN Galas atau tidak, tidak berbangkit, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim adalah pengarah pilihan raya ini secara automatik bagi PAS kerana parti itu telah membuat pendekatan tetap untuk menghadapi sebarang pilihan raya kecil.

Perkara ini disahkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam majlis hari raya Harakahdaily semalam.

Melaui pendekatan itu, seorang naib presiden PAS akan menjadi pengarah pilihan raya kecil untuk kawasan masing-masing. Datuk Mahfuz Omar menjadi pengarah jika berlaku di utara, Salahudin Ayub di selatan dan Tuan Ibrahim di timur.

Sebelum ini, Mahfuz menjadi pengarah pilihan raya kecil Permatang Pasir, Pulau Pinang dan Salahudin menjadi pengarah dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Bagi Tuan Ibrahim, isu Ku Li menjadi topik utama media kini, hanyalah satu percaturan peribadi beliau, dan berdasarkan beberapa tindakan mutakhir beliau yang dilihat tidak lagi menjadi pengikut setia BN.

Ini ekoran pendirian beliau dalam isu royalti minyak Kelantan, isu rasuah, perancangan ekonomi negara dan keyakinan beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam mentadbir negara.

Walaubagaimanapun bertolak di atas beberapa kenyataan Ku Li bahawa beliau tetap akan bersama UMNO dan akan kekal bersama UMNO, PAS mestilah berusaha untuk menyusun kekuatan parti bersama Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi PRK kali ini, kata Tuan Ibrahim.

"PAS menyedari pengaruh dan kekuatan Ku Li dalam kawasan Gua Musang, tetapi ini bukan bermakna beliau terlalu kebal untuk ditewaskan. Pengalaman PRU ke 12, dengan kejayaan PAS menawan DUN Galas dari BN adalah petanda bahawa pengaruh beliau semakin berkurangan, dan pengundi bertambah matang dalam membuat pilihan," katanya.

Menurut beliau, dalam PRK kali ini, PAS memerlukan satu pendekatan baru dalam gerak kerja pilihanraya kecil kali ini.

Oleh kerana calon PAS hanya mendapat kemenangan tipis 636 dalam PRU lalu, maka tumpuan semua parti politik ialah bagi menarik pengundi atas pagar yang akan menjadi penentu kepada keputusan yang akan berlaku, katanya.

Dengan status pengundi bercampur, di mana pengundi dari kalangan masyarakat Asli dan Cina dilihat penting, maka tumpuan tentulah diberi kepada golongan ini; dan pengalaman PAS memerintah Kelantan selama 20 tahun mampu dijadikan daya penarik bagi mendapatkan sokongan mereka, tambahnya.

Bagi beliau, faktor calon mengatasi parti yang berlaku di DUN Manik Urai serta kegagalan tokoh luar mencorakkan mood dan sentimen pengundi dilihat masih menjadi fokus gerak kerja parti yang bertanding.

Lantaran itu, katanya, pemilihan calon kali ini teramat penting kerana pengundi di kawasan Galas akan merasai kehadiran wakil rakyat selepas berakhirnya PRK.

Mereka tentulah tidak ingin mendapat seorang wakil rakyat yang hanya menunjukkan muka apabila memerlukan undi, tetapi ghaib selepas diumumkan sebagai pemenang.

"Budaya masyarakat Kelantan yang suka bergelumang dengan pimpinan dilihat antara elemen penting kenapa mereka memilih YB Arwah Che Hashim dalam PRU lalu," katanya.

Apa yang menarik juga ialah kepesatan pembangunan Bandar Gua Musang dilihat antara kejayaan kerajaan negeri membangunkan kawasan tersebut terutamanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Keghairahan untuk membangunkan kawasan ini antara kerajaan negeri di bawah PAS dan Kesedar diterajui kerajaan Pusat akan menceriakan lagi PRK kali ini.

Apapun PAS dengan seluruh jentera parti di seluruh negara telah bersedia membantu bagi mengekalkan kemenangan di DUN Galas, bagi mengalaskan kemenangan di sana, katanya.

Felda enggan kembalikan wang peneroka


KUALA LUMPUR, 1 Okt. : Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) didakwa masih enggan sehingga kini menyerahkan Wang Tanam Semula berjumlah RM17,000 kepada setiap peneroka yang mengerjakan tanaman kelapa sawit secara persendirian meskipun telah mematuhi semua syarat yang ditetapkan.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menolak alasan Felda tidak menyerahkan kembali wang tanaman semula kerana mendakwa kira-kira 11,000 peneroka dikatakan tidak mematuhi garis panduan agensi itu

"Antara garis panduan itu ialah pokok tua yang berusia lapan tahun harus ditebang dan peneroka hendaklah tanam pokok yang baru. Mereka mematuhinya tetapi wang tanam semula itu tidak juga diberikan Felda," kata Mazlan pada sidang media di Ibu Pejabat PAS tengahari semalam.

Mazlan menjelaskan, sejak 1970, Felda telah menubuhkan Tabung Tanam Semula yang dikutip secara bulanan dari setiap peneroka.

Peneroka mencarum pada kadar RM3.34 seekar dari 1970 sehingga 1984 dan kemudian ia dinaikkan kepada RM4.00 seekar mulai Januari 1985 bagi membiayai perbelanjaan penanaman semula tanaman kelapa sawit.

"Sungguhpun jumlah caruman tersebut hanya kira-kira RM9,600 tetapi persetujuan Felda memperuntukkan sebanyak RM17,000 bagi setiap peneroka sebagai anggaran wajar kos penanaman semula," kata beliau.

Felda juga menurut beliau bertindak melampau dengan memotong RM8,500 daripada Tabung Tanam Semula sebagaimana pakej berjadual yang dipersetujui.

"Felda mengemukakan pilihan bahawa daripada RM17,000 mereka memotong RM8,500 untuk digunakan bagi input pertanian seperti pembelian baja dan sebagainya dan bakinya dipulangkan kepada peneroka.

"Malangnya walaupun sebahagian peneroka akur dengan syarat yang dikenakan, Felda mungkir janji untuk mengembalikan baki separuh kepada peneroka. Maksudnya Felda juga gagal melunaskan baki wang penanaman semula dan saya ada bukti," jelas Mazlan.

Felda juga didakwa tidak membayar Wang Tanam Semula sebagaimana pakej berjadual yang dipersetujui.

"Mereka ajak kita berbincang dan bersetuju untuk membayar ansuran sebanyak tiga ataupun empat kali dan sampai masa, pakej yang dipersetujui itu juga tidak dihormati oleh Felda," ujar beliau

Mazlan berkata Felda juga telah sewenang-wenangnya membuat potongan baru bagi caruman Tanam Semula kali kedua antara RM114 sehingga RM119 setiap bulan walhal caruman yang lama belum dilangsaikan.

"Dalam keadaan Wang Tanam Semula sebanyak RM17,000 tidak dipulangkan, tiba-tiba Felda telah secara sewenang-wenangnya memberi borang untuk potongan kali kedua dan terus memotong sehingga tiga kali ganda dan ini merupakan satu tindakan yang amat melampau," tegas Mazlan.

Katanya, apabila peneroka membuat bantahan Felda bertindak dengan memulang semula potongan kali kedua itu hanya kepada mereka yang membantah sahaja tetapi tidak kepada peneroka yang berdiam diri," katanya.

Anwar jelajah dunia



KUALA LUMPUR, 1 Okt. : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dalam kempen global bagi mendapatkan sokongan antarabangsa berhubung perbicaraan kes liwatnya yang didakwa tidak mempunyai asas dan bermotifkan politik.

Bercakap di Berlin, semalam selepas pertemuannya dengan ahli parlimen dan aktivis politik Jerman, Anwar berkata beliau menggunakan peluang tempoh pembebasan singkatnya sekarang ini untuk menerangkan kepada dunia berhubung kesnya itu yang dianggap wabak rasuah di Malaysia dan sistem perundangan yang berat sebelah.

"Kerajaan berkata kes ini tidak ada kaitan dengan mereka, tetapi fakta yang dikemukakan menunjukkan sebaliknya,” katanya.

Anwar kini menghadapi pertuduhan meliwat pembantunya yang mungkin bakal mengugat kerjaya politiknya jika dihumbankan semula ke penjara. Sebelum ini, bekas timbalan perdana menteri itu telah menjalani penjara enam tahun atas pertuduhan liwat yang lain.

Anwar yang berjaya menambahkan bilangan kerusi PKR dan parti pembangkang yang lain pada pilihan raya umum 2008, kini menimbulkan kebimbangan kepada BN mengenai kemungkinan gabungan itu ditumbangkan setelah memerintah negara sejak mencapai kemerdekaan.

Anwar berkata dakwaan terbaru yang dibuat oleh seorang pembantunya itu adalah usaha kerajaan persekutuan pimpinan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menambahkan tekanan tekanan politik ke atasnya.

Homoseksual - atau hubungan sejenis, termasuk meliwat adalah satu jenayah di Malaysia. Jika terbukti salah, ketua pembangkang itu boleh dihumban ke penjara sehingga 20 tahun dan dilarang menyertai politik.

Anwar dan penyokongnya berjumpa dengan ahli parlimen dan pegawai kerajaan di Brussels dan akan berlepas ke London, Barcelona, New York dan Jakarta sebelum perbicaraannya bersambung pada 14 Oktober ini.

Anwar menerima sokongan meluas di kalangan ahli parlimen Jerman ketika di Berlin, meskipun beliau tidak mengadakan mesyuarat rasmi dengan kerajaan.

Pejabat Kementerian Luar Jerman juga tidak memberikan sebarang respon ketika diminta maklumat mengenai lawatan Anwar ke negara itu.

Kuda tungang Umno


SHAH ALAM, 1 Okt. : Tindakan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail yang secara terang-terangan membenarkan dirinya menjadi kuli kepada Umno amat dikesali sedangkan sebagai penjawat awam, beliau sepatutnya bebas dari kekangan atau pengaruh orang politik.

Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Herman Samsudeen berkata ini terbukti apabila Umno Bahagian Titiwangsa secara terang-terangan meletakan gambar wajah beliau dalam semua banner bagi program Rumah Terbuka Bahagian itu yang dijadualkan berlangsung pada 3 Oktober ini.

"Apakah maksud gambar beliau diletakan dalam banner itu? selalunya gambar yang diletakan dalam mana-mana banner itu mempunyai kaitan terus dengan organisasi yang mengeluarkannya, sama ada dia sebagai pemimpin atau ahlinya.

"Program berkenaan adalah anjuran Umno Titiwangsa dan Persatuan Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang," kata Herman.

Menurut Herman lagi, apa yang pasti, Ahmad Fuad bukanlah penghuni rumah PPR atau ahli jawatankuasa persatuan penduduk berkenaan.

Tidak ada keperluan gambar beliau diletakkan di situ walaupun PPR berkenaan di bawah pentadbiran DBKL melainkan beliau mempunyai kepentingan peribadi melibatkan Umno.

"Sebagai penjawat awam yang menjadi orang nombor satu dalam DBKL beliau sepatutnya bebas dari kekangan politik atau pengaruh orang politik walaupun yang menjadi Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar adalah orang kuat Umno Wilayah.

"Beliau gagal menunjukkan imej bebas dan melanggar peraturan penjawat awam yang tidak membenarkan pegawai dalam kumpulan Pengurusan dan Profesional untuk terlibat dalam politik kecuali bagi guru sekolah.

"Jika kerajaan mahu berlaku adil, peraturan yang melarang penjawat awam terlibat dengan politik ini perlulah dimansuhkan serta merta," tegas beliau.

Dalam pada itu, DPPWP katanya kesal kerana kerajaan membelakangkan peraturan yang mereka ciptakan dan pengharaman itu jelas terhad kepada penjawat awam yang menyokong Pakatan Rakyat dan sebaliknya mereka ini diberikan kebebasan politik yang mutlak.

"Kita berharap agar beliau sedar bahawa beliau seharusnya berkhidmat dengan adil bagi semua rakyat dan wajib memberikan kerjasama kepada semua ahli parlimen di Kuala Lumpur yang majoritinya adalah dari Pakatan Rakyat.

"Beliau seharusnya menghabiskan lebih banyak masa dengan wakil rakyat yang dipilih rakyat bukannya dengan Ketua-Ketua Bahagian Umno. Tambahnya lagi, jawatan Menteri Wilayah yang dilantik melalui 'pintu belakang' juga harus sedar bahawa jawatan yang dipegangnya itu adalah untuk berkhidmat bagi semua rakyat bukannya untuk kepentingan Umno sahaja.

Khalid tak mahu tuduh Azmin


SHAH ALAM, 1 Okt : Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau tidak percaya bahawa Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali mahu menjatuhkannya seperti yang didakwa oleh beberapa pihak.

Ketika diminta mengulas pendedahan seorang bekas pemimpin PKR semalam mengenai perkara itu, beliau berkata : “Kita tidak boleh terima berita itu terutama tentang kesahihannya. Saya tidak percaya yang Azmin lakukan perkara itu.”

Khalid berkata walaupun wujud banyak perbezaan pendapat dalam PKR, parti itu mencari jalan penyelesaian terbaik dengan cara yang tertib dan teratur melalui perbincangan oleh Biro Politik PKR.

Ketika diminta mengulas mengenai persediaan bagi pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor yang diketuainya pada Ahad ini selepas berlaku kekecohan pada pemilihan di beberapa cabang parti tersebut baru-baru ini, Abdul Khalid berkata beliau telah meminta pasukan sukarelawan dari cabang itu untuk membuat beberapa persediaan supaya tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. — Bernama

Mustafa Kamil umum bertanding Timbalan Presiden PKR


KUALA LUMPUR, 1 Okt : Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub dengan meletakkan tema “Kesinambungan Perjuangan”, hari ini secara rasmi menawarkan diri bertanding kerusi timbalan presiden parti itu. Dengan keputusan itu pemilihan jawatan nombor dua PKR akan menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Azmin Ali, Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa.

“Saya dengan rasa rendah diri menawarkan diri untuk kerusi timbalan presiden,” kata beliau pada sidang media di Kelab Sultan Sulaiman di sini petang ini.

“Saya yakin, kesinambungan perjuangan perlu untuk meneruskan sumbangan yang bagi saya cukup besar oleh timbalan presiden Senator Dr Syed Husin Ali.

“Saya berharap anggota-anggota parti boleh membantu saya memperkukuh kepimpinan parti bersama Saudara Anwar dan Dr Wan Azizah,” katanya lagi.

Dari segi pencalonan, Azmin dan Zaid berada di depan berbanding Mustaffa.

Mustaffa mempunyai 23 pencalonan setakat sementara 34 cabang akan mengadakan mesyuarat tahunan esok dan luas - pusingan terakhir daripada tiga minggu.

Pemilihan pucuk kepimpinan akan bermula secara berperingkat mulai minggu ketiga dan keputusan akan diumumkan pada Kongres PKR November ini.

Mengenai pencalonan, Mustaffa berkata mengakui dua calon lain di depan, tetapi menjelaskan beliau yakin dengan kebijaksanaan ahli-ahli membuat pengundian terbaik.

“Bercakap mengenai pencalonan, pada tahun 2007 saya menduduki tempat keenam dari segi pencalonan tetapi dari segi undi terbanyak, saya muncul tempat ketiga.

“Jadi percaya pada kebijaksanaan pengundi dalam membuat keputusan. Saya kalah di Pasir Salak, tetapi mendapat pencalonan untuk jawatan timbalan presiden,” kata yang beliau yang pernah tewas dalam pemilihan jawatan timbalan ketua Angkatan Muda Keadilan PKR pada 2001.

“Saya tahu mereka ada kekuatan, mereka juga kelemahan. Saya pun ada kekuatan dan saya pun ada kelemahan. Saya yakin ahli-ahli akan membuat keputusan yang bijak,” katanya lagi.

Pada 2004 beliau memenangi pemilihan jawatan naib presiden dan dikekalkan tiga tahun lalu.

Mustaffa Kamil Ayub
Mustaffa, 48, berkata beliau akan mengunjungi Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Syed Husin petang ini untuk menyatakan secara peribadi keputusannya mahu bertanding jawatan timbalan presiden.

Ditanya ada beliau akan berusaha mendapat sokongan kumpulan Syed Husin, Mustaffa secara berseloroh berkata, “saya mahukan sokongan beliau, sokongan semua pemimpin dan ahli parti.”

Beliau menemui kedua-dua mereka selepas sidang media yang turut dihadiri sekitar 200 penyokongnya yang turut melaungkan “lawan tetap lawan” dan “Hidup Mustaffa, Hidup PKR.”

Mustaffa yang tewas pemilihan ketua bahagian Pasir Salak minggu lalu berkata, dalam kempen kali ini beliau tidak mahu bertanding atas semangat “berpuak”.

“Saya ajak semua kita angkat politik nilai, saya pohon teman-teman dalam parti, bantu saya untuk sama-sama kita angkat nilai moderat, inklusif, sederhana, kasih sayang, perpaduan parti, semak dan imbang dalam parti sempena pemilihan kali ini,” katanya lagi.

Pengerusi PKR Perak ini berkata sekiranya diberikan amanah memikul jawatan timbalan presiden beliau akan memperkukuhkan politik ini sebagai satu kesinambungan perjuangan PKR.

Ketika ditanya sama ada kemungkinan akan berkompromi dan menarik diri daripada bertanding kelak, Mustaffa berkata, keputusannya hari ini adalah muktamad.

“Tidak tidak... ini keputusan muktamad, saya tidak akan tarik diri,” katanya lagi.

Mustaffa juga berkata sebagai calon beliau tidak menolak kemungkinan juga Umno akan “jadikan lagi beg tinju untuk mencalar imej parti masa depan ini.”

“Tetapi saya yakin PKR dan kematangan kita mampu menangani semua cabaran ini,” katanya lagi.

Umno takut bayang sendiri


BATU GAJAH, 1 Okt. : Pihak Dppk Batu Gajah merasa seperti ada yang tidak kena dalam perjalanan parti dan perjuangan UMNO kerana semenjak akhir-akhir dilihat gerak kerja mereka seperti tidak tersusun, seolah-olah mengalami masalah dalaman dan lebih menjurus kepada tunggu dan lihat apa pihak lain akan buat sebelum mereka bertindak.

Sikap tidak proaktif UMNO khususnya bahagian Batu Gajah dan DUN Sg Rapat tidak menunjukkan kedewasaan parti UMNO didalam menyusun pelan dan rangka kerja didalam membela dan membantu masyarakat khususnya di kawasan Batu Gajah, Gopeng dan kawasan-kawasan dibawah selian DUN Sg Rapat secara keseluruhannya.

Ini dapat dilihat disepanjang bulan puasa dan bulan-bulan sebelum ini yang mana pasukan Pakatan Rakyat dan Pas sendiri khususnya telah turun padang dan membuat kerja-kerja kebajikan sehingga UMNO ’terpaksa turun semula’ ditempat yang sama yang telah dilawati oleh pihak Pas kerana ’takut’ PAS akan mempengaruhi penduduk disekitar dan takut orang-orang kampung akan marah dan tidak menyokong UMNO dimasa hadapan.


Persoalannya, kenapa perlu takut dengan bayang-bayang sendiri sehingga merasa tertekan dan takut dengan lawatan dan program yang telah dijalankan oleh pihak PAS? Sesetengah penduduk dan masyarakat ketika ditemui semula oleh pihak Dppk Batu Gajah menunjukkan sikap serba salah untuk menerima apa-apa sumbangan dari pihak PAS kerana ’takut’ akan diboikot dan disisihkan didalam apa-apa jua program bantuan kerajaan oleh UMNO untuk penduduk kampung dimasa hadapan.

Kenapa penduduk kampung menjadi mangsa dan perlu ’ditakutkan’ dengan isu sumbangan dan kerja kebajikan ini? Dalam hal ini biarlah penduduk kampung dan masyarakat setempat menilai dan mendapat manfaat dari sumbangan ini dan tidak mengheret mereka didalam kancah politik sekarang.

Walaubagaimanapun masyarakat setempat telah mula sedar serta boleh melihat dengan sendiri perbezaan diantara sumbangan PAS dan Pakatan Rakyat berbanding pihak UMNO Barisan Nasional yang sememangnya bertanggungjawab untuk membantu penduduk dan masyarakat setempat. Pertanyaannya, siapa yang ikhlas dan siapa yang ’terpaksa’ berlaku ikhlas dalam membantu masyarakat?

Didalam aduan yang lain yang telah diterima oleh pihak Pas kawasan Batu Gajah, penduduk kampung turut meluahkan rasa kecewa dan terkilan kerana terdapat beberapa aduan yang dikemuka kepada Bilik Gerakan Adun Sg Rapat tetapi malangnya tidak dilayan secara profesional dan efisien dalam menangani permasalahan mereka sehingga terpaksa berulang kali datang semula ke bilik gerakan tersebut sehingga ada sesetengah penduduk merasa bosan dan putus asa dengan janji dan bantuan dari pihak terlibat.

Banyak kes-kes yang dilapur terutama bagi masalah tidak menerima bantuan dari pihak-pihak tertentu terutama untuk golongan miskin, bantuan Baitul Mal, bantuan untuk orang kurang upaya dan warga emas ketika dibuat di bilik gerakan tersebut, lewat diambil tindakan dan seolah-olah adanya unsur ’double standard’ dan pilih kasih dan bukannya bertujuan membantu kepada yang memerlukan didalam menyelesaikan kes-kes mereka.


Menyingkap semula kes keluarga Puan Hawanin yang kecewa dengan janji YB Dato Hamidah Adun Sg Rapat yang dizahirkan kepada wartawan Sinar Harian pada tahun 2009 untuk membantu memberi peruntukan sebanyak RM5,000 bagi penambahbaikan rumahnya tetapi malangnya janji yang telah tertangguh selama 9 bulan terus membisu dan tiada tindakan apa-apa tindakan dari pejabat Adun Sungai Rapat.

Pihak PAS Kawasan Batu Gajah atas kesedaran dan tanggungjawab telah mengambil tindakan segera didalam membantu keluarga ini dan pada 2 September 2010, YB Dr Lim Bon Chye selaku Ahli Parlimen kawasan Gopeng telah melawat dan bersetuju untuk memberikan sumbangan zink baru berharga RM980 kepada keluarga terbabit dan 2 keluarga lain yang tinggal disekitar kampong Seri Jaya

Pihak Dppk Batu Gajah juga merasa hairan dan ingin bertanyakan cabaran debat terbuka yang dibuat oleh YB Hamidah kepada Ir Radzi Zainun sehingga kini tidak mendapat apa-apa jawapan persetujuan dari pihak YB Hamidah walaupun pihak PAS telah bersetuju dengan permintaan untuk mengadakan debat terbuka di masjid walaupun pihak PAS percaya debat tersebut sebaiknya diadakan di Arena Square Batu Gajah.

Matlamat debat ini adalah jelas pada pandangan PAS iaitu mencari kebenaran dan membuktikan kebenaran kepada masyarakat setempat. Cabaran oleh pihak UMNO telah disahut oleh pihak PAS tetapi mengapa ianya diam sehingga kini?