Wednesday, November 3, 2010

Laporan polis terhadap Mohd Nor Deris













GUA MUSANG, 3 Nov - Majlis Tindakan Dun Galas telah membuat laporan polis berkaitan penghinaan tokoh agama Umno, Mohd Nor Deris terhadap Menteri Besar Kelantan, YAB Dato Bentara Setia Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.

Laporan polis tersebut telah dibuat oleh Ketua Penerangan Majlis Tindakan Dun Galas, Mohd Zaki Mat Zain.

Dalam laporan polisnya Zaki berkata, rombongan mereka melawat atas kapasiti kerajaan yang diketuai oleh YAB Menteri Besar Kelantan. Mereka telah dipersilakan oleh tuan rumah untuk masuk kerumahnya.


"Apabila kami memasuki ke ruang tamu kami dapati Mohd Nor Deris telah berada di rumah bekas Adun Galas, Hj Omar Mohamad .

Beliau (Mohd Nor) bagaimanapun enggan bersalaman dengan YAB Menteri Besar walaupun Tuan Guru sendiri telah menghulurkan tangan untuk bersalam dengan beliau. Beliau juga telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap rombongan tersebut.

Beliau menggambarkan YAB Menteri Besar dan rombongannya yang seramai tiga puluh orang sebagai "syaitan-syaitan" .

"Kami harapkan Encik Mohd Noor Deris menarik balik kenyataan tersebut dalam masa 24 jam berkuatkuasa laporan ini dibuat.

"Sekiranya beliau tidak menarik balik atau memohon maaf , kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang", ujar zaki lagi.

Beliau yang hadir besama dua orang rakan memberitahu bahawa rakaman video kejadian tersebut telah ada dan ini merupakan suatu bukti yang nyata penghinaan dan kata-kata kesat Mohd Noor Deris terhadap Menteri Besar Kelantan.

Kad Pengenalan khas dijangka beredar untuk menangkan BN













GUA MUSANG, 3 Nov - Kad Pengenalan khas dijangka beredar secara berleluasa pada hari mengundi esok bagi menggantikan mana-mana individu yang dikenal pasti tidak keluar mengundi.

Difahamkan kira-kira 500 kad pengenalan disediakan kepada orang yang akan keluar mengundi bagi menggantikan pemilih yang didapati tidak berminat keluar membuang undi.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman berkata,kad pengenalan khas tersebut dipungut daripada orang yang tidak mahu keluar mengundi.

“Kita menjangka serangan-serangan lebih hebat bermula malam ini. Dengan adanya usaha-usaha yang dibuat oleh pihak tertentu (sindiket) untuk membuat kad pengenalan khas bagi mengganti pemilih yang tidak keluar mengundi,” katanya pada persidangan media semalam.

Kad pengenalan juga difahamkan sebelum ini dipungut sindiket tertentu daripada pemilih berdaftar di Dun Galas.

Difahamkan projek kad pengenalan khas itu turut mendapat kerjasama agensi kerajaan antaranya Jabatan Pendaftaran Negara.

Sumber memberitahu mereka yang ditetapkan datang membuang undi dikatakan dari Felda di Pahang dan Johor.

“Mereka akan dibawa ke tempat mengundi pada sebelah petang dengan kawalan agensi lain kerajaan termasuk pasukan keselamatan,” kata sumber terbabit.

Oleh itu Abdul Halim berkata, bahagian keselamatan PAS diletak dalam keadaan berjaga-jaga terhadap tindakan pihak terbabit yang dijangka datang ke kawasan pengundian pada malam hari.

“Kami juga yakin senjata kewangan akan digunakan sepenuhnya Umno-BN dengan membeli penyokong PAS dan mereka yang berada di atas pagar,” katanya.

Abdul Halim yang juga anggota parlimen Pengkalan Chepa berkata, strategi saat-saat akhir itu menjadi taktik popular yang biasa digunakan pihak lawan memandangkan kempen Umno-BN agak sejuk sedikit.

“Namun PAS akan terus memantau pergerakan mereka dengan kelengkapan canggih seperti penggunaan kamera dan video,” katanya.

Menurutnya tumpuan kempen jentera BN dan Umno sekarang terhadap penyokong PAS kelas C dan golongan atas pagar dengan mengumpankan sogokan wang ringgit dan barangan.

Abdul Halim juga berkata, sebagai pengarah pilihan raya BN Dun Galas, Tengku Razaleigh Hamzah cuba mempertahankan maruahnya di Gua Musang dan tidak mahu banyak bergantung kepada Umno pusat.

Sumber Umno pula memberitahu bekalan duit yang sepatutnya dilaburkan semasa pilihan raya difahamkan belum beredar di kalangan petugas parti.

“Keadaan itu menyebabkan ramai tenaga kempen Umno dan BN jarang kelihatan bersama akar umbi kerana duit tidak sampai ke bawah,” ujarnya.

Umno terdesak pertikai zakat kepada mualaf




















Gua Musang 3 Nov 10:
Umno didakwa benar-benar terdesak sekarang apabila pemberian zakat kepada tiga Orang Asal yang memeluk Islam kelmarin dianggap pula sebagai rasuah pilihan raya. Kejahilan mereka tidak mampu disembunyikan lagi apabila memperlekehkan pemberian zakat kepada Orang asal yang menganut Islam.

Pengurus Tabung Amanah Tok Kenali, Mohd Khir Zahri Abdul Ghani berkata, tidak timbul sama sekali duit yang diberi kepada pemuda Orang Asal yang menganut Islam sebagai rasuah pilihan raya kerana ia merupakan pemberian zakat.

“Islam menggalakkan saudara baru dibantu bagi membolehkan mereka membina penghidupan baru. Jadi bantuan tidak seberapa yang diberi kelmarin ketika kunjungan Menteri Besar ke penempatan Orang Asal bagi membolehkan mereka membina penghidupan baru.

“Saudara baru termasuk dalam lapan asnaf yang perlu dibantu terutamanya melalui sumbangan duit. Jadi isu ini nampak sangat dipolitik Umno selepas mereka kehabisan modal,” katanya.

Dalam Islam, terdapat lapan asnaf yang layak menerima zakat. Salah satu darinya adalah saudara baru atau mualaf iaitu mereka yang baru masuk Islam. Laman berita Umno semalam menganggap PAS terdesak apabila merasuah wang tunai sehingga RM250 kepada pengundi Orang Asal di perkampungan Sendrop.

Pemberian duit zakat kepada tiga Orang Asal tersebut disumbang Tabung Amanah Tok Kenali sebagai bantuan awal bagi membolehkan mereka membina penghidupan baru selepas menganut Islam.

Bagaimanapun bagi Umno pemberian zakat seolah-olah hina bagi mereka. Ini secara tidak langsung menggambarkan Umno benar-benar memperjuangkan kebendaan tanpa menghiraukan kehidupan rakyat.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yusoff berkata, Umno cuba menyembunyikan perkara sebenar pemberian zakat disampaikan Menteri Besar kepada tiga Orang Asal yang menganut Islam.

Katanya, segala strategi Umno bagi memburukkan PAS ternyata menyimpang jauh termasuk juga isu khalwat yang dijaja mereka terkena kepada batang hidung pemimpin Umno sendiri.

Lim saman Ali Rustam dan Berita Harian kerana bohong



KUALA LUMPUR, 3 Nov. : Ahli parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang hari ini mengarahkan peguamnya mengemukakan saman terhadap laporan akhbar Berita Harian dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam berhubung dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan "Umno Kafir" dalam satu ceramah di dalam kempen pilihan raya kecil di sebuah ceramah di Sungai Terah, Gua Musang, semalam.

Malah kata Lim, beliau langsung tidak hadir pada cermah di Kampung Baru Hulu di kawasan Galas yang juga dihadiri oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim .

"Saya didakwa mengatakan Umno kafir dalam satu ceramah di Galas bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini merupakan fitnah dan pembohongan oleh kerana saya tidak bercakap seperti yang didakwa oleh beliau.

"Saya juga tidak pernah menghadiri ceramah di tanah rancangan Kesedar seperti yang didakwa dan ini merupakan perbuatan jahat dan tidak bertanggungjawab yang cuba untuk menyebarkan kebencian kaum dan agama," kata Lim pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Berita Harian dalam laporannya semalam membidas Lim dan DAP yang didakwa semakin berani mencampuri urusan agama Islam dengan menuduh orang Umno kafir.

Akhbar itu memetik Ali Rustam sebagai berkata tindakan DAP mengkafirkan Umno itu adalah hasil ajaran pemimpin PAS yang menjual agama dan tidak menghalang apabila bukan Islam menuduh orang Melayu tidak menyokong PAS sebagai kafir.

“Yang kita sedihnya apabila Lim menuduh orang Melayu parti UMNO kafir disambut dengan laungan takbir 'Allahuakhbar' oleh pemimpin PAS bersama penyokongnya yang dianggap menjual agama Islam kepada kaum lain.”

“Inikah parti yang melaungkan perjuangan Islam yang patut kita sokong dan sudah jauh terpesong akidah sebenarnya,” Ali Rustam dipetik oleh Berita Harian.

Malah lebih mendukacitakan kata Lim, Pemuda Putrajaya Umno membuat laporan polis ke atasnya berhubung laporan palsu itu.

Sehubungan itu, Lim berkata satu laporan polis juga akan dibuat oleh DAP Gua Musang terhadap kedua-dua pihak, hari ini.

Ketika ditanya mengenai saman yang akan dikemukakan itu, Lim berkata saman itu bagi menuntut pihak terbabit menarik balik dakwaan serta meminta maaf di atas kenyataan disifatkan sebagai pembohongan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang juga hadir pada sidang media ini menuntut Berita Harian menarik balik artikel berkenaan dan memohon maaf.

“Tiada pemimpin DAP yang kata Umno kafir. Kita bukan Islam macam mana nak tuduh orang lain kafir?” soalnya.

Ditanya sama ada parti itu akan menuntut bayaran ganti rugi atau pampasan daripada akhbar berkenaan, Guan Eng berkata perkara itu membabitkan maruah dan bukannya kerana wang.Malaysiakini

Bukti perbuatan Zambry kepada Mufti


















IPOH, 3 Nov. :
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) telah mengemukakan bukti kepada Mufti-Mufti di Malaysia berhubung perbuatan syirik yang dilakukan oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Negeri Perak dalam program Projek Infra Bina Upaya (IBU) pada 17 Oktober 2010 di Kampung Guar, Manong.

Ketua Pemuda PAS Perak Zawawi Hassan berkata , perbuatan tersebut dilihat bertentangan dengan ajaran Islam sebenar yang menyebabkan rakyat atau umat Islam keliru.

" Pada majlis tersebut, telah diadakan upacara meletakkan ancak ke tiang seri rumah yang dahulunya merupakan amalan khurafat serta bertentangan dengan aqidah Islam.

" bahan bukti untuk dinilai para mufti ialah gambar-gambar (www.pemudapasperak.com) dan melihat sendiri video majlis tersebut (http://www.youtube.com/watch?v=TT3vrpD3Les)." katanya

Beliau berkata, DPPN Pk ingin menarik perhatian serius para mufti di dalam perkara tersebut untuk bertindak atas sifat ilmu dan kedudukan mereka.

" DPPN Perak berharap para mufti dapat memperjelaskan kepada rakyat dan umat Islam akan kekeliruan tersebut.

" Pihak kami meminta sama ada para mufti mengeluarkan satu ketetapan atau fatwa yang jelas supaya umat Islam negara ini tidak terus terkeliru. Dppnpk

PAS ganti Umno, bukan warisi perangai buruk Umno

images






















KUALA LUMPUR , 3 Nov. :
Kalau PAS hendak mengganti tempat Umno dengan mewarisi tingkah laku parti itu, biarlah Umno terus berkuasa sampai bila-bila, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu.

"Slogan kita tegakkan tamadun Islam di atas keruntuhan jahiliah," kata beliau dalam tulisan terbarunya.

Menjelaskan penegasannya itu, Mohamad berkata, antara cara Umno membina harta ialah melalui tender runding sesuatu projek.

"Melalui wang yang dikumpul itu, (Umno) membina bangunan, menyertai pilihanraya, membiayai perjalanan parti.

"Saya harap PAS tidak mengganti Umno dalam membina kewangan seperti melalui tender runding untuk faedah kewangan individu atau kewangan parti (termasuk) untuk membina bangunan menjalankan perjalanan parti atau membiayai pilihan raya," katanya.

Jika PAS membuat seperti perkara di atas, katanya lagi, "maka kita benar-benar menggantikan Umno".

"PAS mesti berazam untuk mengikut contoh pemerintahan khalifah ar-rasyidin khasnya Umar Ibnu Khattab, yang membina kekuatan Baitul Mal untuk faedah umum bukan kekuatan individu atau kekuatan puak," katanya.

"Hasil hutan, khazanah bumi, tanah dan sebarang bentuk transaksi hendaklah pergi ke Baitul Mal bukan kepada individu, puak atau parti," tegas Mohamad.

Membina kekuatan jamaah


Bagi beliau, konsep pembinaan kekuatan parti atau jamaah mesti datang dari wang infak atau zakat atau lain-lain sumber yang tidak boleh ditafsirkan sebagai rasuah.

"Kalau wang transaksi daripada sesuatu projek pergi kepada parti politik pemerintah dibenarkan maka pihak pemerintah (PAS) hendaklah memberi habuan kepada semua parti politik yang berdaftar di Malaysia.

"Dengan ini barulah PAS tidak dianggap mengganti Umno," katanya.

Sekiranya PAS dijulang oleh rakyat untuk menjadi peneraju utama kepada kerajaan baru selepas Barisan Nasional (BN), Mohamad menyatakan beliau

"amat berharap PAS tidak menggantikan Umno"

Menurut beliau, menggantikan Umno bererti mewarisi stail kepimpinan yang memperalatkan pembangunan untuk pembinaan kekuatan parti dan hala tujunya.

"Umno membina kekuatan mereka semangat perkauman, janganlah PAS membina kekuatan mereka di atas asobiah agama, sedangkan Islam sebagai ad-Din," beliau mengingatkan.

PAS mesti membela kebenaran walaupun datang dari sesiapa dan menolak kemungkaran walaupun datang dari sesiapa, katanya.

"Asobiah agama mesti ditolak terus, Islam sebagai addin mesti dijulang dan dimartabatkan," tegas Mohamad.

Beliau bagaimanapun yakin evolusi pemikiran umat Islam dan rakyat Malaysia secara umum tidak mengizinkan monopoli mana-mana parti politik selepas Umno-BN kehilangan kuasa.

"Reformasi rakyat akan mengubah dengan segera mana-mana pemerintah yang cuba menggantikan peranan Umno-BN.

"Yang kita perlu tonjolkan ialah Islamic Civilisation (tamadun Islam) bukan asobiah Islam," katanya.

Tukar arah dari BN kepada PAS




















GUA MUSANG, 3 Nov 10:
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta ahli Umno di Galas agar berfikir dua kali sebelum melangkah ke pusat mengundi agar dapat memangkah PAS untuk kali ini.

Permintaan ini dibuat beliau ketika memberikan amanat kepada petugas PAS dalam satu majlis di majlis penyampaian amanat penting oleh beliau di Maahad Muhammadi Gua Musang, Kampung Lembaga. Beliau memberitahu, ramai ahli Umno kini sudah bertukar arah termasuk bekas wakil rakyat Umno.

“Alhamdulillah sehingga kini saya dapat maklumat ramai orang umno-BN ni dah bertukar arah untuk berpihak kepada PAS dan baru-baru ni saya pergi ke rumah bekas wakil rakyat, diapun dah minat dengan kita.

"Insyaallah petang ni saya juga akan ke rumah bekas Puteri Umno yang sudah menyatakan untuk berpihak kepada kita juga. Ini adalah satu petanda baik untuk mempertahankan Galas,"ujar beliau.

Sementara itu, jentera PAS dan Pakatan diingatkan agar sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi pelbagai ujian yang mendatang terutamanya serangan akhir pihak lawan.

Pengarah Operasi jentera pilihan raya PAS, Abdul Fatah Harun berkata jentera yang terdiri dari pemuda, muslimat dan ulama akan bergerak terus dalam mengawal kawasan unit peti undi masing-masing. (Gambar: para petugas dan pengundi Galas yang memenuhi dewan mendengar ucapan Nik Aziz)

"Bermula petang ini, saya berharap semua jentera parti bergerak sebanyak mungkin dan kalau ada yang rasa letih tu, tidur aja di tangga rumah yang dikawal tu,"ujar beliau.

Menurut beliau lagi, Umn/BN kini semakin cemas dengan gerak kerja parti PAS yang sudah dapat menembusi semua pelusuk kampung dan begitu juga sambutan dari kaum Tionghua dan India.

"Saya juga berharap petugas parti dapat beramah mesra secara baik dengan semua orang terutamanya dengan masyarakat lain. Kalau dulu orang Cina dan India takut tengok orang PAS yang berkopiah ni, tapi sekarang ni mereka amat suka untuk bersama kita,"katanya lagi. (AK)

DAP Perak akan buat pemilihan Jawatankuasa baru


IPOH, 3 Nov. : DAP Perak akan menjalankan pemilihan untuk melantik ahli jawatankuasa tertinggi baru parti itu pada Konvensyen Biasa DAP Perak Ke-15 yang akan diadakan di Hotel Tower Regency pada 14 November ini.

Setiausaha Publisiti DAP, Wong Kah Woh berkata, dijangka seramai 1,300 delegasi dan pemerhati akan menghadiri konvensyen berkenaan.


Menurutnya, sehingga semalam, DAP Perak sudah menerima 44 pencalonan dan delegasi yang hadir pada konvensyen berkenaan perlu memilih 15 wakil untuk menduduki jawatankuasa terbabit.

“Selepas pemilihan dibuat 15 ahli jawatankuasa tertinggi yang dipilih akan bersidang dan melantik di antara mereka untuk menduduki jawatan yang sesuai dalam parti itu,” katanya pada sidang media di Wisma DAP Perak, di sini, semalam.

Kah Woh berkata, DAP Perak turut memberi notis kepada 44 calon terbabit jika ada dalam kalangan mereka berhajat untuk menarik diri supaya menghubungi ibu pejabat DAP pada atau sebelum 3 November ini jam 5 petang.

“Calon juga boleh menghantar faksimile berhubung perkara itu kepada ibu pejabat DAP di talian 03-9200 7000.

“Jika gagal berbuat demikian, calon perlu menyertai proses pengundian dan tidak dibenarkan menarik diri pada saat-saat akhir,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning berkata, ahli jawatankuasa tertinggi yang dipilih akan berkhidmat selama dua tahun.

Katanya, mereka yang terpilih berhak untuk memilih lima ahli lain bagi memantapkan jawatankuasa itu supaya memberi khidmat dengan lebih efektif.

“Bagaimanapun, jumlah maksimum ahli jawatankuasa itu hanya terhad kepada 20 orang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kah Woh berkata, 20 daripada calon adalah penyandang dalam jawatankuasa itu.

“Antaranya termasuklah Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, Timbalan Pengerusi DAP Perak, M Kulasegaran dan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming,” katanya.

Beliau menasihatkan supaya delegasi DAP memakai pakaian seragam parti pada hari pengundian dan berada di kaunter pendaftaran seawal jam 8 pagi.SH

Bantahan Harussani disokong


PENGKALAN PEGOH , 3 Nov. : Bantahan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berhubungan cadangan kerajaan menjadikan Malaysia sebagai Hab Hiburan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) wajar disokong.

Pengerusi Alam Didikan Insan (Addin), Mohamad Alias Mohd Yunus berkata, sokongan membantah cadangan itu mesti dibuat semua mufti dalam negara dan juga ulama terutama dalam isu yang menjejaskan agama Islam.


Menurutnya, pendakwah dan ilmuwan perlu menegur serta meminta kerajaan menarik balik hasrat itu kerana pelaksanaannya dikhuatiri memberi kesan negatif kepada orang Islam.


“Secara prinsipnya, pusat hiburan yang bercanggah dengan hukum Allah tetap salah.


“Kerajaan seharusnya menimbang semula cadangan itu kerana ia langkah tidak bijak, malah mencemarkan nama baik negara apabila menyentuh soal Islam,” katanya kepada Sinar Harian.


Beliau berkata demikian diminta mengulas kenyataan Harussani yang menyatakan hab hiburan malam hanya akan mendatangkan lebih banyak masalah sosial dan hasil daripadanya adalah haram.


Program ETP dilaksanakan dengan menubuhkan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan mempakejkan semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.


Alias berkata, apa rasional kerajaan meningkatkan pendapatan negara dengan menambah jumlah kelab malam kerana akan memudaratkan kepada rakyat dan negara.


“Selama ini negara kita telah dibebani pelbagai masalah seperti dadah, pelacuran, pembuangan bayi, anak luar nikah dan dengan hab hiburan ini ia akan menambah lebih banyak lagi masalah sosial.


“Kelab malam sedia ada pun tidak mampu kendalikan dengan baik. Saya hairan kenapa kerajaan persekutuan tidak pilih cadangan lain yang tidak melanggar nila kesopanan dan agama Islam,” katanya.


Alias mahu kerajaan melihat dan mengkaji semula implikasi akan timbul dari cadangan itu, bukan hanya melihat dari kaca mata keuntungan ekonomi semata-mata.
SH

Kerajaan PR Selangor sumbang RM 2 juta kepada SAR


KUALA LANGAT, 3 Nov. : Kerajaan Negeri menyerahkan peruntukkan berjumlah RM2 juta kepada 51 Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, bantuan tersebut bertujuan untuk memastikan pelajar menikmati suasana pembelajaran lebih selesa.


Menurutnya, Kerajaan Selangor akan memastikan setiap rakyat negeri ini diberi peluang sama rata untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Sebagai sebuah negeri yang mengutamakan berkebajikan rakyat, Kerajaan Selangor akan mengagihkan hasil negeri kepada rakyat dengan seadilnya.

“Kita juga akan terus melabur dalam sektor pendidikan yang akan membawa pulangan besar pada masa hadapan,” katanya pada majlis penyerahan cek kepada wakil SAR di Madrasah Darul Mujahidin, Kebun Baru, Telok Panglima Garang, semalam.

Hadir sama, Pengerusi jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Sumber Manusia, Dr Halimah Ali.

Abdul Khalid berkata, bantuan tersebut adalah fasa kedua yang berikan Kerajaan Pakatan Rakyat kepada SAR yang layak.

Katanya, bantuan terswebut membolehkan pentadbiran sekolah membaiki infrastruktur dan menyediakan suasaran pembelajaran yang selesa.

“Setiap SAR menerima jumlah peruntukan berbeza mengikut keperluan.

“Bagi fasa pertama, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan peruntukan hampir RM2.7 juta kepada 136 SAR yang memohon,” katanya.

Majlis penyerahan peruntukan Fasa Pertama telah diadakan di Maahad Tarbiah Islamiah An-Ansar, Bestari Jaya pada 10 Ogos lalu.SH

Laporan kajian PAS kalah , positif bagi PAS






















KUALA LUMPUR, 3 Nov:
Laporan kajian lapangan yang dibuat oleh sebuah firma penyelidikan lapangan bebas, Ilham Centre tidak seharusnya dipandang negatif oleh para pemimpin dan ahli-ahli PAS, sebaliknya ia merupakan satu petunjuk yang baik bagi PAS untuk mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas, esok.

Oleh itu, para pemimpin dan ahli-ahli PAS tidak seharusnya menjadi lemah semangat dengan laporan itu, sebaliknya ia perlu dijadikan sebagai satu petunjuk bagi mempertingkatkan lagi gerak kerja dengan kemas dan tersusun bagi memenangi hati para pengundi di seluruh kawasan itu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa ketika mengingatkan perkara itu berkata, dalam menghadapi pilihan raya, laporan seperti itu amat diperlukan bagi PAS supaya semua pihak tidak leka dan tertipu dengan perkembangan semasa.

“Walaupun kita juga turut menjalankan kajian tersendiri dan turut memiliki angka kita sendiri, tetapi angka yang didedahkan oleh Ilham Centre itu merupakan sesuatu yang baik untuk petunjuk gerak kerja kita, lebih-lebih lagi pada saat-saat akhir kempen pilihan raya.

“Angka itu jelas menunjukkan kita berada di pihak yang kalah. Jadi dengan itu, semua pihak mestilah mempertingkat usaha untuk mencapai kemenangan terutama bagi menawan hati para pengundi muda dan para pengundi yang berada di luar kawasan,” tegasnya ketika dihubungi pagi ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan kajian lapangan yang dijalankan oleh Ilham Centre yang membayangkan Umno
mendahului PAS sebagai parti yang akan memenangi PRK Dun Galas, esok.

Kajian firma itu yang dilakukan dari 29 hingga 31 Oktober lalu mengatakan BN mendahului PAS dalam PRK Galas dengan 22 peratus berbanding PAS 15.6 peratus. Manakala 54.1 peratus tidak membuat kenyataan pasti.

PRK Dun Galas yang akan diadakan esok, 4 November menyaksikan pertandingan dua penjuru antara PAS dan Barisan Nasional (BN). PAS yang mewakili Pakatan Rakyat mengemukakan calonnya, Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamed, manakala BN mempertaruhkan setiausaha Umno Bahagian, Abdul Aziz Yusuff.

Mujahid (gambar) yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menegaskan, hasil kajian yang dijalankan oleh pihak PAS menjelang hari pengundian esok, 49 peratus daripada jumlah pengundi di kawasan itu masih lagi belum membuat penentuan masing-masing terhadap parti pilihan mereka.

Mereka yang terbabit itu kebanyakannya adalah dari kalangan pengundi-pengundi luar yang meliputi para pengundi yang tinggal di luar DUN Galas, luar Parlimen Gua Musang dan di luar negeri Kelantan yang kesemuanya berjumlah 1,557 orang.

“Kebanyakan daripada mereka adalah pengundi-pengundi muda dan sebahagian besarnya berada di Kuala Lumpur. Sejauh yang dikesan kebanyakan daripada mereka belum lagi membuat penentuan terhadap parti-parti yang bertanding. Tetapi dari perhubungan yang kami lakukan dengan mereka menunjukkan positif kepada PAS.

“Namun ia belum menjamin kemenangan kepada PAS. Mereka mungkin akan membuat penentuan di saat-saat akhir pengundian esok dengan berdasarkan beberapa faktor termasuk gerak kerja yang dilakukan oleh para petugas, pengaruh dari pondok panas dan perbandingan ketokohan calon.

“Semua faktor itu perlu diambil kira oleh para petugas PAS atau Pakatan Rakyat dengan menatur gerak kerja yang lebih kemas dan terancang bagi memastikan kemenangan calon kita,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut berharap agar para majikan dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan baik, dengan memberikan peluang atau kebenaran kepada para pengundi terbabit bercuti untuk membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di DUN Galas, esok.

“Kepada para pengundi yang berada di luar DUN Galas tetapi tinggal di negeri Kelantan, kita tak bimbang kerana di negeri Kelantan cuti esok, tetapi di luar Kelantan sebaliknya.

“Jadi kepada para majikan di luar negeri Kelantan yang mempunyai pekerja yang menjadi pengundi di DUN Galas, kita amat berharap agar mereka faham perkara itu dengan memberikan kebenaran kepada pekerja-pekerja mereka yang terbabit itu bercuti esok untuk membolehkan mereka pulang ke Galas bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi,” ujar beliau.hrkh

Kerajaan PAS Kelantan sudah lulus 4,413.59 hektar tanah



















GUA MUSANG, 3 Nov. : Bekas Ketua Jajahan Gua Musang, Abddullah Md Yussof berkata, banyak fakta diselewengkan UMNO berhubung urusan hak milik dan pemberian tanah kepada penduduk di kawasan Galas.


Menurutnya, Kerajaan Negeri mengambil perhatian dalam menguruskan hal ini dengan meluluskan sebanyak 12,000 permohonan membabitkan 10 mukim di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

“Sebagai orang yang bertanggungjawab mengenai masalah permohonan tanah rakyat di Gua Musang tentulah saya sangat terasa apabila ada pihak mendakwa Kerajaan Negeri tidak meluluskan tanah kepada rakyat.


“Jika begitu apa kerja saya kalau tidak dapat menyelesaikannya, dakwaan ini merupakan satu pembohongan,” katanya ketika menjelaskan isu tersebut pada ceramah di Panggung Lalat di sini, malam semalam.


Menurutnya dakwaan pemimpin UMNO Kerajaan Negeri tidak melulus hak milik tanah kepada penduduk jelas satu pembohongan apabila seluas 4,413.59 hektar permohonan hak milik tanah dilulus bagi tempoh 2001 sehingga sekarang.


Manakala sehingga kini sebanyak 12,000 fail permohonan tanah diselesaikan dan 14,000 lagi fail diputihkan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.


Abdullah turut menyelar sikap segelintir pemimpin UMNO yang berkempen mahu menyelesaikan mengatasi masalah tanah rakyat, sedangkan mereka tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.


“Oleh itu saya berharap pengundi di DUN Galas tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji seperti itu kerana sudah dijelaskan dalam Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan bidang kuasa tanah di bawah Kerajaan Negeri,” katanya.


Mengulas mengenai dakwaan kononnya Kerajaan Negeri merampas tanah rakyat, katanya sebagai ketua jajahan beliau lebih mengetahui perkara sebenar.


“Mereka menggunakan perkataan merampas dengan memberi gambaran Kerajaan Negeri merampas tanah rakyat dan ia tidak sedap didengarkan. Kalau projek pembangunan tanah pertanian yang dijalankan melibatkan tanah yang sudah diusaha penduduk, Kerajaan Negeri akan memastikan tanah tersebut tidak diusik,” katanya.

Anuar Musa lebihkan Umno daripada Sultan












GUA MUSANG, 3 Nov: Presiden Persatuan Bola Sepak Amatur Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dianggap tidak mengutamakan Sultan Kelantan kerana cuba mempolitikkan Piala Malaysia ketika kempen pilihan raya kecil Dun Galas sekarang.

Sepatutnya, kalau Annuar Musa menghormati Sultan Kelantan, piala itu dipersembahkan kepada baginda dahulu sebelum diarak kepada rakyat Kelantan.

Ini dibuktikan apabila piala berprestij itu dibawa ke Galas Isnin lalu pada satu majlis kempen Umno yang diadakan di Dataran Kesedar.

Malah hadir sama di majlis berkenaan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan calon BN, Abdul Aziz Yusoff.

Ketua Umno Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman dan Mustafa kelihatan memakai topi berlambang dacing.

Mengulas isu tersebut Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, sebelum ini Presiden Kafa dikatakan berjanji tidak mahu mempolitikkan perarakan Piala Malaysia.

“Namun apa yang berlaku kelmarin jelas bercanggah dengan jaminan awal diberi pengurusan Kafa,” ujarnya.

Baginya, tindakan itu merupakan satu perbuatan mengetepikan Sultan Kelantan kerana Piala Malaysia tidak sepatutnya dibawa ke medan politik, lebih-lebih lagi suasana kempen di Galas sekarang.

“Nampaknya Piala Malaysia diraikan oleh pemimpin Umno terlebih dahulu dan bukannya Sultan Kelantan,” katanya di sini.

Mengenai kenyataan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara daripada dunia politik Dr Fadzli berkata, mungkin kenyataan Dr Asri diputar belit untuk kepentingan BN.

Katanya, ia telah memberi modal percuma kepada BN untuk menyerang Anwar.

“Jika Dr Asri benar-benar tidak mahu menunjukkan kecederungan berpolitik dan bersikap neutral beliau sepatutnya lebih berhati-hati memilih masa untuk membuat kenyataan yang menyentuh isu politik atau batang tubuh orang politik biar pun seperti berniat ikhlas.

“Kita sedang bertarung di Galas dan Batu Sapi. Umno tersempit. Peranan Anwar sangat besar dalam membantu PAS di sini,” katanya yang juga anggota Exco kerajaan negeri.

Kata beliau, Dr Asri sepatutnya sudah faham permainan politik sekular Umno yang akan memanipulasi di atas apa sahaja yang boleh menguntungkan mereka tanpa mengira dosa dan pahala.

Beliau berkata, Anwar masih lagi relevan dalam politik Malaysia kerana pengalaman yang ada pada beliau amat berguna dalam membentuk politik baru Malaysia.hrkh

Undi Dr. Zul, Undi Tok Guru



GALAS, 3 Nov : Ahli Parlimen Kuala Krai, YB Dr. Hatta Ramli menegaskan bahawa undi yang akan diberikan kepada calon PAS amat penting kerana ia berkait rapat dengan kepercayaan kepada kerajaan negeri Kelantan di bawah pemerintahan Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Satu undi yang diberikan kepada calon PAS, Dr. Zulkefli Mohamad merupakan satu undi juga diberikan kepada Tok Guru Nik Aziz", tegasnya dalam ceramah PRK N.45 Galas malam tadi di PASTI Sg Terah.

Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Kelantan selama ini membolehkan kerajaan Kelantan yang ditadbir dibawah kepimpinan Tok Guru dan PAS boleh bertahan sehingga 20 tahun walaupun banyak rintangan dan cabaran yang dihadapi terutamanya dari Barisan Nasional (BN) di peringat pusat.

Calon yang dikemukakan oleh PAS untuk bertanding di DUN Galas untuk pilihan raya kecil kali ini merupakan calon yang tepat dan mempunyai kreadibiliti yg baik.

Menurut beliau yang juga Bendahari PAS Pusat, beberapa manifesto calon yang dikemukakan telah disetujui oleh Tok Guru Nik Aziz.

Antara manifesto atau tawaran yang dikemukakan oleh Dr. Zul yang diterima oleh Tok Guru adalah Menubuh Urusetia Hal Ehwal Orang Asli.

Ini menunjukkan bahawa walaupun calon PAS belum memenangi pilihan raya di DUN Galas, beliau telah pun mengemukakan cadangan dan idea yang bernas yang boleh mendatangkan kebaikan kepada masyarakat Galas sekaligus rakyat negeri Kelantan dan ia dtelah dipersetujui oleh Menteri Besar Kelantan itu sendiri.

"Dr. Zul nyata seorang yang profesional dan dapat menggunakan ilmu perubatannya untuk memberi manafaat kepada masyarakat setempat", kata beliau.

Beliau yang sudah mengenali Dr. Zul sebelum beliau menjadi Ahli Parlimen Kuala Krai, yakin bahawa calon PAS itu dapat melaksanakan tugas dan janji beliau sekiranya memenangi pilihan raya kecil ini.n45 Galas

Undi PAS bakal meningkat di Galas



























GUA MUSANG, 3 Nov :
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, YB Mohd Nasir Mustapha melahirkan rasa keyakinan beliau terhadap undi PAS pada pilihan raya DUN Galas kali ini berikutan pemerhatian beliau terhadap golongan muda yang cenderung kepada PAS.

Ketiadaan isu-isu yang terlalu besar juga merupakan salah satu faktor yang meyakinkan beliau bahawa undi PAS tidak akan beralih ke pihak UMNO-BN.

"Rakyat khususnya di Galas sudah terlalu bijak untuk menilai dan memilih yang terbaik. Rakyat juga sudah terlalu mengenali siapa sebenarnya UMNO-BN yang hanya menjadi juara dalam isu-isu lapok dan retorik semata-mata", kata beliau kepada Te@M.IT malam tadi.

Beliau juga ada menyebut bahawa dalam setiap ceramah yang beliau hadiri, beliau akan menekankan isu-isu federalism bagi memperjelaskan kepada rakyat peranan serta tanggungjawab kerajaan yang memerintah.

"Pembangunan memang tanggungjawab kerajaan memerintah, UMNO-BN tidak boleh menggunakan nama parti dalam soal pembangunan yang telah dibuat oleh kerajaan untuk mengaburi pemikiran rakyat," tambah beliau yang turut hadir malam tadi dalam program Menebar Roti Canai di Sri Tiong.

Apabila menyentuh soal habuan-habuan pihak UMNO kepada rakyat, harapan beliau agar PRK kali ini lebih telus dan 'demokrasi' yang sebenar-benarnya dapat dilaksanakan.

Beliau juga mengingatkan kepada para pengundi muda agar bijak memilih.

Beliau menegaskan bahawa golongan ini perlu menjadi agen perubahan dan model kepada negeri-negeri sebagaimana parti PAS dan pimpinan yang bertahan agak lama di Kelantan.

Menurut seorang penduduk disitu, Rokiah Sulaiman,45, ketika diminta memberi komen terhadap program-program yang dijalankan, beliau begitu seronok dan rasa diraikan dengan begitu baik.

Beliau turut menambah bahawa penduduk di situ kebanyakannya PAS dan berkeyakinan bahawa undi PAS akan bertambah.
Alamat email ini dilindungi dari Spambot. Perlukan JavaScript untuk melihatnya N45 Galas