Wednesday, November 10, 2010

MB Kedah hilang sabar dengan pembohongan wartawan media pro Umno



ALOR SETAR , 11 Nov. : Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak hilang sabar apabila Kerajaan Negeri terus didakwa bersikap lepas tangan dalam menangani isu banjir selain beliau sendiri dituduh tidak turun padang melawat mangsa.

Selepas mesyuarat Exco berakhir semalam, Azizan menafikan kenyataan berhubung tuduhan itu dengan nada agak keras.

“Orang cakap lain, lain ditulis. Buat kerja ikutlah cara halal, tulis bohong sana sini, itu kerja haram,” katanya, dituju kepada wartawan tertentu disifatkan berat sebelah dalam menulis.

Wakil media elektronik yang menjadi sasaran Azizan mempertahan kenyataan disiarkan.

Azizan dengan nada tinggi berkata, apa dilaporkan berhubung isu banjir itu adalah pembohongan.

“Hari pertama di Padang Terap, saya redah banjir. Setiap hari balik lewat malam menjengah mangsa, cuma wartawan tidak ikut,” katanya.

Wartawan lain pula bertanya mengenai peruntukan Kerajaan Negeri kepada mangsa.

Dengan lantang Azizan menjelaskan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah pun memberi bantuan wang tunai kepada mangsa banjir di Kedah.

"Kena tanya Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah," katanya.

Azizan juga meminta wartawan merujuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah mengenai diskaun bil air.

Azizan enggan melayan sebarang pertanyaan mengenai banjir di Kedah dan minta soalan lain dikemukakan.

“Saya tak nak campur tangan hal orang lain dan saya tidak suka orang lain campur tangan di Kedah atau dalam urusan saya,” katanya.

Apabila wartawan terus menerus bertanyakan isu banjir, Azizan dengan wajah serius dan marah enggan melayan sebarang pertanyaan.

Ketika berjalan menghampiri pintu keluar bilik sidang media, Azizan ditempelak soalan daripada wartawan media elektronik yang enggan mengalah.

Barangkali terasa dirinya diprovokasi, Azizan membalas: “Hangpa pembohong! Kata saya tidak turun padang, buat berita kata ayam busuk sebab tak ada bekalan air. Pertikai peruntukan dan bantuan Kerajaan Negeri, sedangkan kita salurkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah."

"Lain kali buat kerja ikutlah cara Islam,” katanya sambil berlalu pergi.

Gadai tanah Melayu : Tindakan Umno minta 'tutup buku' disanggah



















JELUTONG, 11 Nov. :
Tindakan Farid Saad (Adun BN- Pulau Betong) mengajak rakyat terutamanya orang Melayu 'tutup buku' kesalahan Umno masa lampau yang menyebabkan penghakisan tanah orang Melayu di Pulau Pinang, disanggah.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusuf Rawa dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Haji Azmi Abdul Hamid sependapat membidas cadangan itu walaupun Farid memberi alasan masalah itu akan diperbetul generasi baru Umno.

Kedua-dua mereka membuat bidasan sewaktu menjadi panel dalam 'Forum Isu Penghakisan Tanah Melayu Pulau Pinang: Apakah Penyelesaianya' di sini semalam.


Bagi mereka istilah 'tutup buku' tidak wajar digunakan sebaliknya kelalaian dan sikap tidak amanah kepimpinan Umno sewaktu berkuasa di Pulau Pinang harus diperjelaskan dengan teliti agar generasi muda hari ini mengenal pasti parti mana yang merosakan bangsanya sendiri.

"Sekarang bukan masanya buat kajian bahkan kena menyedari kenapa boleh berlaku begitu walhal kepimpinan Umno berkuasa, menjadi Timbalan Ketua Menteri serta memegang Exco Tanah tetapi tidak mampu melakukan sesuatu kerana terlalu takut atau mungkin tidak bijak dalam urus tadbir tanah.

"Mana boleh lepas tangan atau tutup buku dalam hal ini kerana ia membabitkan maruah bangsa dan agama. Rakyat kena peka untuk mengajar kepimpinan yang bersalah dan menggangkat parti yang mampu mengambil alihan tugasan Umno, " kata Mujahid.

Menurut mereka, memang tidak dinafikan model pembangunan yang tidak seimbang menjadi salah satu penyebab kenapa tanah Melayu terjual kepada syarikat atau pemilik individu bukan Melayu.

Orang Melayu lebih gemar kepada wang ringgit yang ditawarkan ekoran mainan orang tengah yang terdiri daripada kepimpinan politik melayu yang kadang-kadang bercakap soal isu penghakisan tetapi dalam masa yang sama mereka merupakan pengkhianat.

"Paling malang ada juga kepimpinan Umno yang jadi pengkhianat bertindak sebagai orang tengah membeli tanah penduduk melayu untuk menyenangkan pembangunan akan datang, " terang Azmi.

Manakala seorang lagi ahli panel, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Datuk Seri Yusuf Latiff pula mendedahkan sikap pentingkan diri kepimpinan Umno sehingga gagal mempertahankan tanah orang Melayu.

Katanya, ramai pemegang amanah tidak jujur dan senang dibeli serta bertindak mengucar kacirkan keadaan sehingga sanggup pula membuka ruang untuk kaum lain bertapak terutamanya Koperasi.

Beliau mengambil contoh Koperasi Tunas Muda yang dulunya begitu aktif menjaga kepentingan tanah orang Melayu tetapi kini memberi peluang kepada kaum lain terutamanya dari segi usahasama pembangunan.

Katanya, kewujudan Yayasan Bumiputera Pulau Pinang, Koperasi Nusantara dan banyak lagi koperasi yang diterajui Umno, gagal kerana sikap tidak amanah.

Walaupun pernah menerajui Koperasi tersebut di awal penubuhanya, beliau kurang senang terhadap operasi sekarang yang lebih mementingkan keuntungan bukan pembelaan terhadap penghakisan tanah orang Melayu.

"Sewaktu peringkat awal kita buat dengan niat yang betul tetapi apakan daya akibat tiada kejujuran dan amanah membuatkan semuanya berkecai, "tegasnya.

Bukan sahaja ahli panel, malah peserta yang menyertai program tersebut juga turut kecewa dan membantah cadangan 'tutup buku' itu sekaligus menganggap perjuangan Umno sudah terlambat dan sia-sia.hrkh

ADUN Umno mengaku Umno punca tanah orang Melayu Pulau Pinang tergadai



















JELUTONG, 11 Nov: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Farid Saad (gambar) mengakui kelalaian dan sikap tidak amanah kepimpinan Umno semasa berkuasa menjadi punca tanah orang Melayu makin berkurangan di Pulau Pinang.

Justeru itu, beliau sebagai generasi muda dalam Umno mahu membaikinya sekaligus memastikan lain-lain tanah yang masih dimiliki orang Melayu tidak diambil untuk pembangunan yang tidak terancang.

"Sebagai generasi muda dalam Umno, saya rasa ia perlu diperbetulkan apakah kesilapan lalu supaya tidak terus menjadi persoalan siapakah pengkhianat sebenarnya," ujarnya pada Debat Perdana Pengkisahan Tanah Melayu di Pulau Pinang: Apakah Jalan Penyelesaian di Kompleks Masyarakat Penyayang Pulau Pinang, di sini malam tadi.

Justeru, beliau mahu melupakan kisah lama yang ditinggalkan oleh generasi lama Umno yang nyata gagal menyelamatkan kedudukan tanah tersebut.

Dengan niat ikhlas, beliau mengajak semua parti politik Melayu dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu agar duduk semeja berbincang bagaimana cara terbaik menyelamatkannya.

"Soal parti terpulang pada rakyat. Saya tidak menghalang orang Melayu mahu memilih perjuangan mana yang mereka hendak kerana yang penting ialah ia jaga tanah masyarakat Melayu," kata beliau.

Program anjuran Yayasan Bina Ilmu itu membariskan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid, Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa dan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Datuk Seri Yusoff Latif sebagai ahli panel.hrkh

Dinar emas untuk deposit khidmat amah asing


KOTA BHARU, 11 Nov. : Kerajaan Negeri bercadang menggunakan dinar emas sebagai deposit bayaran bagi mendapatkan perkhidmatan pembantu rumah Indonesia dalam usaha mengembangkan lagi penggunaan mata wang alternatif dinar emas dan dirham yang diperkenalkan baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan Dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata, pihaknya sudah mengadakan rundingan dengan Indonesia untuk membayarnya menggunakan cara itu melalui jaringan-jaringan yang mempraktikkan mata wang itu.


“Di Indonesia penggunaan dinar dan dirham sudah semakin meluas dan ia dikenali logam emas mulia. Seorang penulis Muhaimin Iqbal juga menulis buku mengenai dinar dan dirham yang laris di pasaran.

“Masyarakat di sana mempunyai jaringan gerai-gerai yang menggunakan dinar dan dirham secara aktif dan standardnya sama dengan kita,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Arifabillah Ibrahim (Pas-Dabong) mengenai negara-negara yang mengamalkan dinar emas dan dirham.

Menurutnya, Granada dan Cordova di Sepanyol mengamalkan ‘gold coin’ yang dilaksanakan awal daripada dinar emas manakala Amerika sendiri mengamalkan sistem awal ‘gold coin’ yang standard sama dengan dinar emas sejak 2001.

Katanya, sempena Ekspo Cheng Ho mulai 21 November nanti pihaknya akan melantik wakil pertama di China dalam usaha mengembangkan lagi penggunaan dinar emas dan dirham itu.

Sementara itu, Husam berkata, pihaknya tidak menerima sebarang teguran daripada Bank Negara Malaysia selepas memperkenalkan penggunaan mata wang alternatif itu namun kenyataan politik pihak tertentu sahaja diterima.SH

Enam resolusi Rapat Anak Muda



KUALA LUMPUR, 11 Nov. : Sebanyak enam resolusi berjaya dibentuk melalui Rapat Anak Muda yang dianjurkan salah seorang calon bagi ketua angkatan muda Badrul Hisham Shaharin di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur lewat malam tadi.

Badrul berkata, resolusi berkenaan akan diserahkan oleh ketua perhubungan PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman kepada presiden dan majlis pimpinan pusat parti itu dalam tempoh 24 jam.

"(Secara umumnya, resolusi adalah berkaitan) penambahbaikan parti, proses pemilihan dengan mengambil kira kepercayaan rakyat kepada parti itu," katanya kepada media selepas pertemuan lebih dua jam itu.

Tambahnya, Fauzi dipilih sebagai "orang tengah" memandangkan beliau seorang yang disegani dan neutral kerana tidak bertanding apa-apa jawatan dalam pemilihan kali ini.

"Semua pengumuman akan dibuat oleh Datuk Fauzi sendiri dalam tempoh 24 jam kita akan beri respon terhadap perkembangan yang berlaku," katanya.

Ditanya lanjut, beliau berkata pertemuan dengan lebih 200 anggota parti dan pengundi itu tidak membincangkan pilihan sama ada untuk menarik diri daripada bertanding.

Profesor: Jangan bakar kelambu

"Itu bukan dalam kiraan kami. Kita akan terus bertanding, maknanya kekal atau tidak itu tidak termasuk dalam resolusi," katanya lagi dan menambah, sokongan sama ada untuk

"(Sama ada untuk tangguhkan pemilihan), itu akan diumumkan oleh Datuk Fauzi.

"Setakat ini proses pemilihan ahli itu diterima (oleh ahli) dan kita melihat ia adalah proses yang baik dari segi prinsipnya. Tetapi mungkin ada, tidak kita nafikan berlaku kepincangan, kesalahan dan sebagainya, itu yang ingin kita perbaiki.

"Saya rasa parti juga dihuni oleh pemimpin yang berjiwa besar dan sanggup menerima teguran dan sanggup memperbaiki keadaan," katanya lagi ketika ditanya.

Dalam pada itu, pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari yang turut memberi ucapan dalam pertemuan tertutup itu berkata, beliau menasihatkan anggota parti berkenaan supaya bersabar dan "tidak mengikut rentak orang luar."

"Walaupun ada kelemahan saya tengok ini satu keberanian di pihak parti untuk kemukakan cara baru (melalui pemilihan langsung)

"(Memang) ada masalah tetapi itulah sebenarnya kekuatannya supaya pemimpin itu naik dengan cara yang terbuka yang telus. Walaupun saya tak nafikan ada pemimpin yang gunakan cara yang tak sihat tapi lama kelamaan orang ini akan terkeluar juga.

"Mungkin sekarang tidak, jadi saya katakan tadi kena bersabarlah, jangan sampai bakar kelambu kerana ada satu dua masalah. Kena bersabar dan gunakan saluran yang ada, saya katakan tak ada benda yang tak ada kelemahan. Ini kali pertama, kena bersabarlah.

Tak hancur
Tambahnya, PKR perlu menghadapi masalah yang timbul dalam pemilihan kali ini "dengan berani."

Katanya, mungkin terdapat teguran terhadap parti "mungkin betul" namun sistem parti itu masih perlu dihormati.

Beliau yang ditemui di luar bilik pertemuan tertutup itu juga berkata pemimpin yang tewas dalam pemilihan perlu menghadapinya dengan terbuka.

"Parti akan terus bergerak, bukan kali pertama ada orang mengugut untuk keluar dan sebagainya.

"Sebelum ini ada orang yang lebih besar daripada (pemimpin yang mengugut untuk keluar PKR), saya sebut tentang (bekas presiden Umno) Datuk Onn (Jaafar), (ahli parlimen Gua Musang) Tengku Razaleigh (Hamzah), tapi parti tidak hancur.

"Musuh-musuh akan gunakan, itu soal dia. Dalam konteks lain, PKR kena hentam juga jadi parti kena faham, sebagai parti yang nak kemukakan cara baru kepada rakyat, dia kena terbukalah," katanya.

Laporan polis harga kayu getah rendah

YDP PAS LENGGONG

LENGGONG, 11 Nov. : Kira-kira 20 peneroka Felda Lawin Selatan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik berhubung rasa tidak puas hati mereka berkenaan penetapan harga kayu getah yang didakwa terlalu rendah.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan PAS Perak, Razman Zakaria berkata, peneroka membuat keputusan itu setelah dinasihatkan pihaknya sewaktu majlis dialog di Felda Lawin Selatan, kelmarin.


Menurutnya, laporan itu turut menyentuh masalah ketiadaan surat perjanjian jual beli kayu getah antara peneroka dan kontraktor serta tiada tender terbuka.


"Perjanjian antara pihak terlibat juga didakwa tidak pernah ditunjukkan kepada peneroka menyebabkan proses tatacara pemberian tender tidak jelas.


“Bagaimanapun kerja-kerja penebangan tetap diteruskan oleh pihak kontraktor dan kini peneroka sudah mendapat bayaran tambahan sebanyak RM2,000,” katanya ketika ditemui di IPD Gerik.


Hadir sama, Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Pas Pusat, Mazlan Aliman serta Ahli Jawatankuasa Pemuda Pas Gerik.


Razman berkata, peneroka juga tidak berpuas hati dengan bayaran yang diberikan melalui bank setelah ditolak hutang sedangkan butiran lengkap tidak diketahui.


“Bayaran kayu getah yang diberikan adalah kira-kira RM23,000 bagi 4 hektar berbanding RM38,000 bagi Felda Papulut dan RM40,000 bagi Felda Lawin Utara," katanya.


Katanya, diharap pihak berkenaan akan membuat siasatan bagi membolehkan peneroka mendapat pembelaan sewajarnya.
SH

Menteri bohong, pendapatan pekebun kecil RM 4000 sebulan































SHAH ALAM 10 Nov. :
Dakwaan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa pendapatan pekebun kecil mencecah RM4,000 sebulan dinafikan oleh Mazlan Aliman.


Menurut Mazlan yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), beliau tidak menafikan ramai pekebun kecil mampu tersenyum panjang melihat kepada kenaikan harga komoditi itu yang melonjak ke paras tinggi, namun katanya ia hanya dapat dinikmati oleh pekebun kecil yang mengusahakannya secara tradisi dan bukannya mereka yang berada di bawah kawal selia agensi tanah di negara ini.

"Walaupun harga komoditi berada di paras yang tinggi tetapi masih terdapat sebahagian rakyat yang tidak dapat menikmati kehidupan yang lebih baik. Dan ini bukan kecil jumlahnya. Kalau di FELDA sahaja ada lebih kurang 111,635 orang peneroka," kata Mazlan kepada TV Selangor.

Ujar Mazlan, apa yang dinyatakan oleh Shafie itu tidak jelas dan tidak merangkumi pendapatan keseluruhan pekebun di negara ini. Malah beliau mendakwa masih ada yang tertindas dan hasil tanaman dinikmati oleh orang tengah.

Katanya, gambaran umum yang diberikan oleh Menteri Luar Bandar itu barangkali kurang tepat kerana walaupun harga komoditi sudah berada di paras yang stabil, bukan semua masyarakat pekebun kecil menikmati pendapatan yang begitu.

"Kalau FELCRA, kebanyakan kebun-kebun FELCRA diuruskan sepenuhnya oleh pengurusan FELCRA. Dan peserta-peserta FELCRA yang telah menyerahkan kebun mereka untuk diuruskan FELCRA, sebenarnya sedang berhadapan dengan tahap yang kritikal kerana mereka tidak dapat pendapatan sebenar sepertimana yang digembar-gemburkan dengan kenaikan harga komoditi getah," ujar Mazlan, menjelaskan senario sebenar nasib para pekebun kecil di negara ini.

Malah menurut Mazlan, para peneroka yang berada di bawah FELDA, FELCRA mahupun RISDA kerap kali didiskriminasi oleh agensi yang sepatutnya menjalankan amanah membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar ini.

"Masalah seperti pembayaran dividen yang rendah, pendapatan bulanan yang kecil dan tidak seimbang sejajar dengan kenaikan harga getah yang sering menimpa para pekebun kecil," kata Mazlan lagi.

Justeru ujarnya, kenyataan menteri tentang pendapatan yang akan dinikmati oleh pekebun kecil tidak meliputi kesemua pekebun kecil di negara ini.

"Kesimpulannya barangkali pekebun-pekebun kecil di kampung tradisi yang tidak terikat dengan agensi-agensi pembangunan tanah seperti FELCRA, FELDA dan RISDA, mungkin ada benarnya mereka mendapat pendapatan yang tinggi.

"Tetapi tidak mereka yang diikat, dikawal oleh agensi-agensi pembangunan tanah," tambah Mazlan.
Sementara itu, Mazlan juga turut menasihati kerajaan agar mengkaji semula konsep pengendalian kebun di bawah agensi kerajaan yang pada asalnya membawamatlamat untuk menyusun semula masyarakat.

Namun pada hari ini, tahap pengurusan agensi-agensi berkenaan berada di tahap yang rendah sehingga adanya ruang berlaku manipulasi.

" Kalau begini keadaannya, hasrat Tun Razak hendak menyusun masyarakat bagi saya tidak akan tercapai. Sebaliknya ia memberi ruang kepada pihak kapitalis untuk mengaut keuntungan dari orang miskin," tambah Mazlan lagi.

Semalam Shafie Apdal berkata, kenaikan harga getah itu membolehkan hampir 350,000 keluarga pekebun kecil menikmati pendapatan sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan.

Namun Harga getah SMR20 kini mencapai RM12.44 sekilogram dan ia berada di paras tertinggi dalam sejarah negara.

Putrajaya hak rakyat bukan hak parti politik
















PETALING JAYA, 11 Nov.: Pertubuhan bukan kerajaan pilihan raya adil, Bersih 2.0 mengingatkan parti-parti politik agar tidak mendakwa Putrajaya adalah milik mereka ketika mempersiapkan jentera bagi menghadapi saingan pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan tahun depan.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) seringkali menggunakan tema “Menuju Ke Putrajaya” dalam ceramah dan kempen manakala dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno bulan lalu, Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri dan Presiden Umno, mahu Putrajaya dipertahankan walau apa pun terjadi.

“Putrajaya bukan milik mana-mana pihak, tetapi kepunyaan rakyat Malaysia, kita (rakyat) akan menentukan siapa yang layak memiliki Putrajaya,” kata Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan pada majlis pelancaran pergerakan itu di sini malam tadi.

“Kita, rakyat, akan memutuskan siapa yang akan mentadbir Putrajaya,” kata beliau pada majlis dihadiri sekitar 600 orang.

Bersih 2.0 dilancarkan sebagai badan madani, sebagai sebuah badan bebas berbanding 2005 yang digerakkan oleh parti-parti politik.

Pada 2007, Bersih mengadakan demonstrasi besar-besaran di ibu negara meminta diadakan pilihan raya bebas. Bersih 2.0 diberi nafas baru di sebaliknya gesaan PAS dan Parti Keadilan Rakyat pertengahan tahun ini akan badan itu digerakkan semula bagi menuntut pilihan raya umum ke-13 yang adil.

Ia tidak dipimpin oleh ahli-ahli politik. Kelmarin ia mengadakan pertemuan sulung dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan memorandum 11 perkara bagi memperbaiki sistem pilihan raya negara agar telus dan adil.

Menurut Ambiga, sistem demokrasi yang adil dan bersih akan mendorong rakyat memilih pemimpin impian mereka masing-masing.

Ambiga yang juga bekas Presiden Majlis Peguam berkata, kerajaan dan SPR sepatutnya menerima 11 tuntutan Bersih 2.0 iaitu pembersihan sepenuhnya daftar pemilih, penggunaan dakwat kekal elak pengundian berganda dan penyelewengan undi, reformasi proses pengundian, kebebasan pada semua parti untuk mengakses media, memanjangkan tempoh berkempen minimum 21 hari, pendaftaran automatik serta umur turun mengundi diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun dan proses kewangan pilihan raya diurus dengan telus.

“Semua parti mesti memberi perhatian dan angkat cadangan-cadangan ini, kalau SPR masih tidak mendengar dan meletakkan cadangan ini di belakang, kita tahu ke mana kami harus pergi (dan) apa yang kami wajar buat,” katanya.

Antara yang hadir pada majlis pelancaran ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Teresa Kok (Seputeh), Datuk Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin (Bukit Gantang) dan Adun Pandamaran Ronnie Liu.

Ambiga berkata, Bersih 2.0, yang diterajui Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) dan kumpulan wanita Empower, merupakan satu gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan.

Dalam pada itu, Dzulkefly menegaskan, kewujudan Bersih bukan bertujuan untuk memastikan kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum mendatang.

“Apa yang kami mahukan dalam Bersih, pada akhirnya muncul sebagai satu institusi demokrasi yang matang,” kata beliau.

Majlis pelancaran juga diserikan dengan persembahan masyarakat Orang Asli dan Tugu Drum Circle serta komedi hasil karya aktivis sosial Hishamuddin Rais.

Sementara itu, Hishamuddin memberitahu The Malaysian Insider bahawa Bersih 2.0 mesti diteruskan walaupun tidak lagi dibayangi ahli-ahli politik pembangkang berbanding sebelum ini.
“Pada saya, meneruskan proses Bersih yang pertama, perjuangan ini menarik (dan) kita tengok perjuangan jawatankuasa ini (juga) mesti diteruskan kerana ada respons positif daripada SPR.

“Tidak timbul soal mereka (Bersih 2.0) ahli politik atau tidak, ini pergerakan madani dan mereka mesti bekerjasama dengan semua pihak termasuk pemimpin-pemimpin parti politik.

“Tetapi saya masih was-was dengan penolakan penggunaan dakwat kekal, katanya SPR akan memperkenalkan teknologi baru yang pada saya akan mereka akan memperkenalkan penggunaan komputer,” katanya.

“Sesiapa yang mengendalikan komputer itu, maka dia akan mengendalikan jumlah undi, di sini bukan soal siapa yang mengira mengundi, tetapi siapa yang menjumlahkan undi,” ujar beliau.
Tinjauan The Malaysian Insider menunjukkan orang awam juga menerima baik kemunculan Bersih 2.0.

“Ia merupakan perjuangan demokrasi, satu perbezaan yang besar kalau dipimpin oleh ahli politik kerana ia akan jadi berat sebelah. NGO ini mesti bergerak luas dan tidak terbatas pada mana-mana pihak,” kata Kamaruddin Mohamad, 52, seorang guru.

Pegawai perunding kanan perakaunan Gopalan Narayanan, 51 pula mempunyai pelbagai sebab tersendiri menyertai Bersih 2.0.

“Nombor satu, nak beri sokong. Nombor dua, nak lihat sokong rakyat pada Bersih 2.0. Nombor tiga, nak jumpa kawan-kawan.

“Saya ada ikut daripada berita, tetapi tidak ikut Bersih 1.0 dulu, kali ini saya memang nak tahu Bersih 2.0 ini apa sebenarnya,” jelas Gopalan yang sokong had kelayan mengundi 18 tahun yang disyorkan memandangkan seseorang itu boleh berkahwin apabila sampai umur 16 tahun.

Nurul Fariza Alian, 36 yang merupakan suri rumah memberitahu The Malaysian Insider, penampilan Bersih 2.0 yang bebas daripada pengaruh politik kepartian adalah sesuatu yang positif.

“Saya suri rumah, tetapi suami seorang pegawai kerajaan, apabila Bersih 2.0 bebas, kami lebih mudah ikut, tidak takut-takut lagi,” jelas Fariza.

Siti Zaidatul Akma Mohamad pula percaya kelahiran Bersih 2.0 akan memperkukuhkan amalan demokrasi di negara ini.

“Saya merasakan lebih bertenaga sekarang. Saya, kini lebih yakin dengan apa yang kita perjuangkan,” kata Siti Zaidatul, seorang pengurus berusia 42 tahun.

“Untuk merasai sebuah negara yang adil, kita perlu berkerja keras untuk mendapatkan terma betul mengenai demokrasi... seperti apabila Datuk Ambiga membacakan apa yang Bersih mahukan,” kata beliau.

Pengambilalihan PLUS : Tol bakal naik






























KUALA LUMPUR 11 Nov. : Kebimbangan utama disebalik cadangan pengambilalihan PLUS Expressways Bhd oleh UEM Group dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP) ialah kenaikkan kadar tol apabila disemak nanti.


Demikian kata Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail yang mana ujarnya pengambilalihan tersebut akan menyebabkan penstrukturan baru dari segi ekuiti, pengurusan dan pengendalian yang akhirnya kadar tol akan dinaikkan.

"Selepas 20 tahun dan konsesi lebuhraya ini hampir tamat, saya diberitakan akan ada pembaharuan konsesi di mana kerajaan memberi lampu hijau kepada UEM dan KWSP yang kepentingan sahamnya dipegang oleh Umno.

"Penstrukturan semula merupakan strategi asas untuk menaikkan kadar tol. Alasan yang akan diberikan kerana berlaku perubahan dari segi polisi, pengendalian dan sebagainya.

"Ini tentu akan dikatakan perbelanjaan pentadbiran baru yang tidak dapat dielakkan oleh pihak pemegang konsesi (gabungan UEM-KWSP) yang sudah tentu menyebabkan kadar tol terpaksa dinaikkan," ujar beliau.

Dalam pada itu, Azan berkata KWSP yang tidak mempunyai kepakaran dalam pengendalian lebuhraya menjadi enjin utama sebagai penyumbang pelaburan dari segi kewangan.

"Saya tidak rasa KWSP mempunyai kepakaran dalam pengurusan lebuhraya, gabungan antara KWSP-UEM akan membentuk satu konsortium yang baru di mana UEM akan diletakkan unit yang menjaga aspek teknikal sementara KWSP sebagai institusi yang hanya menyalurkan sumber kewangan.

"Di sini akan timbul konflik baru dalam gabungan yang tidak seimbang di mana dana KWSP daripada pemotongan gaji pekerja sektor swasta .

"Saya tidak pasti keuntungan daripada pelaburan yang dibuat ini akan dipulangkan kepada penabung KWSP atau pun hanya menjadi rakan kongsi untuk tujuan pengambalihan sahaja," ujarnya ketika ditemui TV Selangor di lobi Parlimen, petang tadi.

Dalam kenyataan bersama, UEM dan KWSP berkata tawaran berkenaan akan dibentangkan pada mesyuarat agung luar biasa PLUS bulan depan.

"Pemerolehan semua aset dan liabiliti PLUS akan dilaksanakan oleh perantara pelaburan tujuan khas, yang 51 peratus milik UEM dan 49 peratus dipegang oleh KWSP," kata kenyataan itu.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group, Datuk Izzaddin Idris, berkata kumpulan akan terus mengekalkan standard penyenggaraan dan perkhidmatan pengendali lebuh raya itu untuk keselamatan pengguna lebuh raya.

Untuk rekod PLUS merupakan pemilik aset RM23 bilion dan merupakan pengendali lebuh raya tol terbesar Asia Tenggara.

BTN pelopor amalan perkauman

tian5

KUALA LUMPUR 10 Nov : Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata tindakan yang diambil terhadap pegawai kanan Biro Tata Negara (BTN) Hamim Husin yang menghamburkan kata-kata berunsur perkauman tidak menyelesaikan masalah politik perkauman sempit.

Menurut beliau, pemerintah Umno-Barisan Nasional secara aktif telah mempropaganda dan mempromosikan fahaman politik perkauman yang sempit.


"Kita harap kursus seperti Biro Tata Negara (BTN), kursus yang tidak selaras dengan prinsip berasaskan berbilang kaum dapat dibetulkan dan sahaja melalui slogan 1 Malaysia.


"Kita harap persepsi dan juga fahaman perkauman dapat diperbetulkan di semua peringkat kerajaan," ujar beliau ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.


Berhubung hukuman yang dikenakan terhadap pegawai kerajaan terbabit, beliau berkata tindakan kerajaan yang lambat bertindak mencerminkan betapa seriusnya masalah tersebut.


"Sungguhpun tindakan sudah diambil, ianya tidak menyelesaikan masalah kerana fahaman ini sudah tersebar," tegasnya.


Sementara itu , bagi Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff berkata kerajaan Umno-BN tidak memandang serius isu perkauman.


"Ini menunjukkan bahawa gagasan 1 Malaysia yang kononnya membawa agenda inklusif merupakan satu retorik.


"Bagi saya, komitmen kerajaan hanya akan diyakini kalau dibuktikan dengan tindakan," kata beliau.


Ujarnya, isu itu penting kerana ianya berlaku di peringkat pendidikan yang berbeza dengan peringkat-peringkat yang lain.


"Kalau isu pendidikan sebegitu pun tidak diberikan perhatian yang tegas, mana mungkin kerajaan akan mengambil tindakan kalau berlaku di tempat kerja atau tempat awam.


"Jawapan yang diberikan oleh Menteri tidak menggambarkan komitmen dan retorik 1 Malaysia yang bertepatan apabila Pakatan Rakyat menolaknya," tegas Yusmadi.


Dalam pada itu, beliau turut membidas tindakan kerajaan yang hanya bertindak menghukum individu terbabit selepas diasak oleh Ahli Parlimen kedua-dua belah pihak di Dewan Rakyat.


"Pada pandangan saya, BN masih lagi ditunjangi dengan politik perkauman sempit ala Umno yang berlawanan dengan agenda 1 Malaysia," ujar beliau.

Umno diminta nyatakan pendirian





















KUALA LUMPUR, 10 Nov:
Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke hari ini meminta Umno menyatakan pendirian mereka terhadap parti komponen Barisan Nasional, MCA yang dikatakan sedang berusaha mendapatkan pegangan saham ke atas firma perjudian Tanjong PLC.

Loke yang juga ahli Parlimen Rasah berkata, ini kerana Umno bermati-matian menuduh Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggunakan wang judi untuk memberi bantuan kepada orang miskin di negeri itu.

"Kita nak minta pandangan Umno jugalah. Apa pandangan pemimpin-pemimpin Umno sekiranya ada rakan mereka dalam Barisan Nasional mengambil alih satu syarikat perjudian, Tanjong PLC yang memiliki saham dalam perjudian.

"Mereka begitu beria-ia membangkitkan isu di Pulau Pinang kononnya ada sumbangan daripada kelab lumba di Pulau Pinang bagi kepada kerajaan negeri dan kita bagi kepada orang miskin dan mereka kata ini wang haram dan kita tidak menghormati orang Islam dan sebagainya," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Loke turut mempersoal rancangan badan pelaburan MCA, Huaren Holdings Sdn. Bhd untuk mendapatkan firma perjudian ke atas syarikat perjudian ketiga tebesar di Malaysia itu selepas Berjaya Sports Toto dan Magnum.

"Pertama sekali, adakah benar mereka merancang untuk berbuat demikian? Jika betul, di mana autoriti moral MCA? Adakah ia (MCA) entititi perniagaan atau sebuah parti politik?" soalnya.

Beliau juga mempersoalkan tindakan MCA yang hanya berdiam diri rancangan Kementerian Kewangan sebelum ini yang bercadang meluluskan lesen judi sukan di negara ini.

"Adakah kerana mereka menyokong rancangan itu kerana mereka juga ada perancangan untuk melabur dalam perniagaan perjudian?” soalnya.

Menurut Loke lagi, terdapat konflik kepentingan apabila MCA diwakili oleh seorang timbalan menteri kewangan yang keputusannya memberi impak kepada industri perjudian.

"MCA masih adalah sebahagian daripada kerajaan. Meskipun mereka tidak berkuasa, tetapi mereka tetap sebahagian daripada kerajaan dan ini mungkin menyebabkan konflik kepentingan, katanya.

Loke berkata jika MCA meneruskan hasratnya untuk terbabit dengan industri perjudian, DAP akan terus memanjangkan isu berkenaan.

Zahid tuduh tanpa kajian







































SHAH ALAM 10 Nov. :
Setiausaha Agung Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Ann Wan Seng tidak bersetuju dengan kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa masyarakat Cina dan India tidak terlibat dalam bidang ketenteraan adalah disebabkan kurang semangat patriotisme.


Beliau menegaskan, Zahid tidak sepatutnya menilai semangat patriotisme masyarakat Cina dan India berdasarkan persepsi tanpa membuat sebarang kajian.

"Kita tak sepatutnya mempersoalkan semangat cintakan negara. Sebab kita punya semangat terhadap negara kita. Ini sepatutnya tidak timbul.

Saya rasa beliau(Zahid) tidak mendapat maklumat dan gambaran sebenar tentang kedudukan orang Cina dan India itu sendiri yang punya pemikiran, perwatakan yang berbeza dari kaum lain," katanya semasa dihubungi TV Selangor, beliau juga memberitahu bahawa masyarakat Cina dan India dan kaum-kaum lain di Malaysia mempunyai kecenderungan berbeza.

Bagi beliau, apa pun bidang yang diceburi, tidak mampu menggambarkan tahap semangat cintakan negara.

"Mereka tidak berminat menyertai dalam bidang kepolisan dan ketenteraan kerana mereka cenderung dengan lapangan kerja yang lain yang lebih menjamin masa depan mereka. Jadi ini tidak ada kaitan dengan patriotisme, tidak ada kaitan tentang cinta pada negara atau tidak. Tapi banyak disebabkan oleh minat dan orentasi masyarakat yang berbeza dengan kaum lain," katanya lagi.

MIC juga mengambil pendirian yang sama dengan MCA sambil menegaskan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak wajar mendakwa semangat patriotisme yang belum cukup tinggi di kalangan bukan Melayu sebagai punca orang Cina dan India tidak berminat menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Saya sebagai seorang pemimpin masyarakat, sedih dengan kenyataan ini, lebih-lebih lagi daripada seorang lagi pemimpin masyarakat dan negara,” Datuk Dr Subramaniam, Menteri Sumber Manusia.

Manakala sebelum itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyatakan, tindakan sedemikian hanya akan memudaratkan usaha memperbaiki keharmonian kaum.

Semalam Zahid Hamidi di Dewan Rakyat semasa sesi soal jawab berhubung soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Setiu, Mohd Jidin Shafee berhubung perangkaan rekrut terbaru tentera sejak dua tahun kebelakangan ini dan pecahan jumlah itu mengikut bangsa.

Zahid sebelum ini berkata 9,054 pegawai dan anggota lain-lain pangkat diserapkan ke ATM sejak dua tahun lalu, berbanding 14,749 yang direkrut pada 2006 hingga 2008.

Sepanjang 2008 hingga 2009, seramai 8,151 orang atau 90 peratus adalah berbangsa Melayu, 26 orang atau 0.29 peratus adalah Cina, 82 orang atau 0.91 peratus India manakala 795 atau 8.8 peratus adalah bangsa-bangsa lain termasuk kalangan bumiputera dari Sabah dan Sarawak.

Skandal PKNS: Khalid arah siasat, benteras salah guna kuasa



SHAH ALAM, 10 Nov : Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini menubuhkan jawatankuasa audit profesional untuk menyiasat pendedahan Adun Hulu Klang Saari Sungib bahawa wujud salah guna kuasa dalam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) termasuk menaja jamuan majlis perkahwinan angkasawan negara bulan lalu.

“PKNS sudah ada perjanjian integriti, jadi kita sudah tubuhkan satu jawatankuasa audit profesional di MBI (Perbadanan Menteri Besar Selangor),” kata Menteri Besar Selangor pada sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Khalid (gambar) yang juga salah seorang ahli lembaga pengarah PKNS memberitahu, jawatankuasa itu akan menyiasat dakwaan PKNS menaja Jamuan Makan Malam Angkasawan sempena majlis perkahwinan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor di Pusat Konvensyen SACC.

Jawatankuasa audit itu turut akan menyiasat anasir kronisme apabila sekumpulan pegawai kontrak di bawah anak syarikat PKNS Holdings diberi gaji lumayan berbanding pegawai-pegawai tetap.

Khalid berkata, jawatankuasa audit itu turut akan memberi perhatian pada beberapa memorandum, termasuk daripada Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Che Rosli Che Mat.

“Oleh kerana banyak sangat memorandum itu semua, saya suruh (jawatankuasa) audit berfungsi sekarang, sekarang dia mula menjalankan (siasatan ke atas) kenyataan-kenyataan itu, saya menyuruh dia (jawatankuasa audit) mendengar kedua-dua pihak,” jelas Khalid.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahawa kes PKNS akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Selangor Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, Ketelusan (Selcat).

“Dalam masa yang singkat, saya beri dia (jawatankuasa audit) masa selama dua minggu untuk buat keputusan,” katanya.

“Jika kita mendapati perlu (merujuk pada Selcat) kita buat, kalau kita dapati tak perlu, tak payah, kita akan buat semua ini apabila kita mendapat keputusan (siasatan) dari jawatankuasa audit profesional kita,” kata Khalid.

Seorang lagi ahli lembaga pengarah PKNS, Iskandar Abdul Samad pula selain sependapat dengan Khalid, beliau turut menafikan dakwaan umum kononnya tindakan Saari itu adalah sabotaj PAS negeri.

“Saya rasa kalau wujud unsur sabotaj, kalau mereka (pemberi maklumat) nak jatuhkan kerajaan, mereka tidak memberi kepada YB Saari, mereka akan beri pada (Datuk Seri) Dr Mohd Khir Toyo, Ketua Pembangkang.

“Dunia tanpa sempadan, sesiapa pun boleh buat semua ini, saya rasa mereka buat (dedah) semua ini untuk kebaikan PKNS,” jelas Iskandar yang juga Exco Kerajaan Selangor.

Yang Dipertua PAS kawasan Pandan ini mempertahankan tindakan PAS Selangor membuat desakan terbuka ke atas pentadbiran Khalid supaya menyiasat kes tersebut.

“Memang tindakan yang wajar, sesiapa yang melakukan kesalahan maka perlu dihukum,” tegas Iskandar.

Semalam, Saari ketika sesi perbahasan Bajet 2011 mendedahkan beberapa pegawai kontrak dibayar gaji lumayan sekitar RM10,000 hingga RM24,000.

Shaari turut membangkitkan soal kos sewa, kos perpindahan, kos ubah suai pejabat korporat PKNS yang melebihi RM15,785,552.

Malah Saari turut mempersoal kaedah pelantikan Prof Erman Papzian sebagai perunding PKNS selama enam bulan dengan bayaran RM450,000.

Khalid dijangka akan memberi penjelasan khusus berhubung skandal di PKNS pada sesi penggulungan Bajet 2011 esok.

Kawan baik Umno terokai bisnes judi



KUALA LUMPUR, 10 Nov : MCA dikatakan menyertai usaha membida bisnes perjudian Tanjong Plc yang bernilai sekitar RM2.5 bilion, syarikat yang turut menjadi tumpuan keluarga Cheng bersama ahli perniagaan Filipina Roberto ‘Bobby’ Ongpin Jr dan beberapa firma ekuiti swasta antarabangsa.

Usaha parti komponen Barisan Nasional (BN) itu menjadi perhatian susulan langkahnya menjual pegangan dalam sayap pelaburan Huaren Holdings Sdn Bhd, yang melepaskan 42.4 peratus pegangannya dalam Star Publications (M) Bhd, yang menerbitkan The Star, pada nilai RM1.28 bilion baru-baru ini.



(Sekadar Gambar hiasan: BN sabah turut 'jaguh' dlm isu judi...)


Dengan penjualan itu syarikat tersebut dijangka akan menggunakan dana tersebut untuk membeli Tanjong dengan kombinasi pembiayaan.


The Malaysian Insider difahamkan MCA telah dinasihatkan untuk membida mendapatkan unit perjudian memandangkan operasi itu menawarkan pulangan baik, sebagaimana disumbangkan oleh perniagaan akhbar harian The Star.


“MCA sedang dalam usaha memburu Tanjong,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.


Difahamkan, pemegang utama saham Tanjong T. Ananda Krishnan akan memutuskan seawal hari ini sama ada mahu memutuskan penjualan syarikatnya.


Malah difahamkan, jualan syarikat itu juga sebahagian daripada langkah pematuhan elemen syariah dan juga untuk menerokai peluang pasaran di Timur Tengah dan Utara Afrika di samping usaha di Asia Tenggara dan Selatan bagi memperluaskan bisnes penjanaan tenaga.


Seorang pemain utama dalam soal perundingan ialah Ongpin, menteri perdagangan ketika era Marcos, yang membangunkan hartanah yang agar besar, bisnes telekomunikasi dan perniagaan perjudian atas talian di Filipina.


Difahamkan beliau akan menjadi rakan dalam bidaan itu sama ada oleh sayap pelaburan MCA ataupun keluarga Cheng, yang terlibat dalam perniagaan mesin slot perjudian, kebanyakannya bertumpu di Lembah Klang.


Keluarga itu diterajui oleh Datuk David Cheng, yang anaknya Datuk Douglas Cheng bergandingan dengan Datuk Vincent Tan Ting Wong dan Henry Yip mengadakan rangkaian restoran Cina popular Dragon-I pada 2004.

Pegawai Najib simpan harta RM 200 juta






























KUALA LUMPUR 11 NOV : Setiausaha sulit kanan Perdana Menteri, Datuk Zakiah Ibrahim didakwa memiliki harta dan mengumpul kekayaan bernilai RM200 juta.

Perkara ini didedahkan di laman blog Badrul Hisham http://chegubard.blogspot.com/2010/11/misteri-bagaimana-pegawai-pm-ada-harta.html bersama dokumen pendedahan tersebut.

Memetik tulisan di laman blog tersebut Badrul Hisham mendakwa mendapat maklumat dari seorang yang mendakwa 'orang dalam' Jabatan Perdana Menteri(JPM) dengan memberikan dokumen dan fakta mengenai penyelewengan yang memungkinkan seorang pegawai kanan di Pejabat Perdana Menteri mengumpulkan kekayaan secara luar biasa.

"Dokumen dan fakta tersebut melibatkan Setiausaha sulit kanan kepada Perdana Menteri iaitu Datuk Zakiah Ibrahim," tulisnya.

"Datuk Zakiah atau pemberi maklumat menggelarnya ZAKAYA merupakan wanita yang mempunyai pengaruh besar di Pejabat Perdana Menteri. Tanyalah kepada sesiapa yang pernah berurusan dengan Pejabat Perdana Menteri mesti mengetahui gelagat dan peranan wanita ini," katanya lagi.

Tidak menyukai publisiti, Zakiah dalam diam mengumpul harta bernilai RM200 juta dalam masa tidak sampai tiga tahun menguasai pejabat PM.

Zakiah adalah individu yang memuktamadkan siapa yang mendapat projek melalui runding terus di Kementerian Kewangan.

"Menggunakan bilik yang betul-betul terletak di sebelah bilik PM, Zakiah membuat keputusan untuk menguasai dan menukar syarikat yang mendapat kontrak kerajaan samada untuk Ketua Umno bahagian, kerabat diraja mahupun kroni-kroni beliau sendiri," katanya.

Badrul Hisham mendakwa Zakiah dalam masa yang singkat mengumpul kekayaan sebanyak RM200 juta dengan cara diam-diam melalui dua orang rakannya Datuk Norida Hamzah, CEO Aero Tree Defence & Services Sdn Bhd dan seorang lagi Halim Othman, bekas petugas Sri Satria dan “Nominee Director” untuk Zakiah.

"Modus Operandi Zakiah adalah dengan menukar proposal syarikat yang terpilih kepada syarikat Datuk Norida dan Halim atau memanggil ketua bahagian Umno atau kerabat Diraja yang berjaya merebut tender untuk berkongsi kekayaan dengan beliau," katanya.

"Hari ini kami kemukakan dua bukti dua syarikat milik Zakiah yang menggunakan kroni beliau dengan memaksa Bank Pembangunan dan Malaysia Debt Ventures Berhad memberikan pinjaman berjumlah hampir RM200 juta untuk projek bernilai RM20 juta," katanya lagi.

Tok Guru Nik Aziz berangkat ke Mekah

KOTA BHARU 10 NOV : Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V dan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat berangkat ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan haji, hari ini.Kenyataan itu disampaikan oleh Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Ahmad.

Dalam kenyataan akhbar tersebut, beliau berharap semoga Tuanku akan selamat berangkat dan pulang ke tanah air."Sama-sama kita mendoakan kesejahteraan baginda," ujarnya.


Baginda akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 3.00 petang, sementara Nik Aziz dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra melalui penerbangan pertama 6.15 pagi tadi.


Turut serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Shukri Mohamad, dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Nik Aziz ketika ditemui media di kediamannya petang semalam berharap, rakyat seluruhnya mendoakan kesejahteraan rombongan ke Tanah Suci agar selamat pergi dan kembali.
"Tak apa tak datang (hantar) ramai-ramai pun, doa pun sudah cukup," ujarnya sambil tersenyum ceria.Sultan Muhammad Ke-V dijadualkan berangkat pulang ke negara ini pada 23 November nanti.