Monday, November 22, 2010

Pemilihan MTUC : Dua kem bertembung




























KUALA LUMPUR, 23 Nov. : Pemilihan kepimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bulan depan — bakal menyaksikan pertembungan dua kem tradisi di samping beberapa individu yang berdiri sendiri khususnya bagi jawatan timbalan presiden dan setiausaha agung.

Malah, pemilihan kali ini juga dilihat bakal menentukan sama ada kepimpinan tertinggi badan induk kesatuan sekerja tersebut akan diterajui pemimpin-pemimpin dari PKR.

Seperti telah dijangkakan, persaingan dilihat memfokus kem Presiden Syed Shahir Syed Mohamud dan Setiausaha Agung G. Rajasekaran bulan depan.

Syed Shahir, yang dicalonkan 14 kesatuan gabungan, dicabar oleh Mohd Khalid Atan dari Kesatuan Pekerja-pekerja Perhutanan yang menerima 18 pencalonan.

Kini, Khalid adalah timbalan presiden MTUC dan dilihat memihak kepada kepimpinan Rajasekaran, yang memutuskan tidak mempertahankan jawatannya.

Berbanding jawatan itu, kerusi setiausaha agung yang kosong akan disaingi tiga muka.

Ketiga-tiga calon itu ialah J Solomon, Halim Mansor dan Abdullah Sani Abdul Hamid.

Abdullah Sani, Ahli Parlimen PKR Kuala Langat pernah bertanding pada pemilihan 2007, beberapa bulan sebelum dipilih sebagai wakil rakyat, tetapi tewas kepada Rajasekaran.

Selain mereka, tiga nama lain dicalonkan untuk jawatan setiausaha agung iaitu Samuel Devadasan, P. Maniyam dan Bruno Periera.

Bagaimanapun hanya tiga orang mengesahkan untuk menerima pencalonan sehingga 5 petang semalam iaitu tarikh akhir untuk berbuat demikian.

Halim, yang juga Timbalan Setiausaha Agung MTUC ketika dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan senarai akhir calon yang bakal berentap pada pemilihan akhir bulan depan sempena persidangan perwakilan tiga tahun sekali.

“Hanya tiga orang bertanding jawatan setiausaha agung iaitu saya, Solomon dan Abdullah Sani,” kata beliau.

Persidangan perwakilan yang sepatutnya diadakan 21 dan 22 Disember ditunda seminggu, sehingga 28 dan 29 Disember, bagi membolehkan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) melangsungkan persidangan mereka, yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Abdullah Sani sekali lagi berganding dengan Syed Mohamud yang mahu mempertahankan jawatannya buat penggal ketiga.

“Saya berganding dengan Syed Shahir dan saya yakin mampu lakukan (menang) kali ini,” kata Abdullah Sani ketika dihubungi.

“Samuel akan bertanding jawatan timbalan setiausaha agung dan Bruno sebagai naib presiden (sektor swasta),” kata beliau.

“Tiada sebarang kompromi dengan mana-mana pihak, saya tidak kompromi dengan sesiapa dalam menentukan barisan saingan... cuma saya ada berbincang-bincang dengan Solomon seperti biasa,” kata beliau yang yakin mempunyai peluang lebih cerah kali ini.

Solomon ketika dihubungi berkata, walaupun beliau tidak menyertai mana-mana barisan atau kumpulan — kem Syed Shahir atau Rajasekaran, yakin akan melakukan kejutan dalam pemilihan kali ini.

“Saya yakin dengan kekuatan saya walaupun saya turun tanpa kem, ya... saya yakin. Saya yakin dengan kekuatan dan sokongan yang ada pada saya,” kata Solomon yang mengejutkan banyak pihak dengan keputusan mahu bertanding jawatan setiausaha agung.

Solomon juga sudah menawarkan manifesto dan strategi 10 perkara untuk pertimbangan anggota MTUC.

Nasib calon pada pemilihan kali ini akan ditentukan oleh sekitar 500 perwakilan.

Ketika dihubungi, Periera juga mengesahkan hanya akan bertanding jawatan naib presiden.
“Saya akan memberi tumpuan bagi jawatan naib presiden,” kata beliau yang disertakan dalam kem Syed Shahir dan Abdullah Sani.

Jawatan timbalan presiden yang kini kosong disaingi oleh Maniyam dari Kesatuan Pekerja-pekerja Industri Elektrik, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Loke Yim Pheng, Mohd Jafar Abd Majid (Kesatuan Pekerja-pekerja Telekom Kebangsaan) dan Abdul Razak Md Hassan (Kesatuan Keretapi Tanah Melayu).

“Loke tidak mengesahkan sama ada menerima atau menolak pencalonan, tetapi oleh kerana beliau tidak menjawab surat tawaran, berdasarkan perlembagaan MTUC, nama dia akan disenaraikan dalam saingan jawatan timbalan presiden,” kata Halim.

Saingan bagi jawatan timbalan presiden, setiausaha agung dan timbalan setiausaha kewangan menyaksikan persaingan calon yang tidak memihak mana-mana kem.

Kerusi timbalan setiausaha agung menjadi rebutan Devadasan dan R. Jey Kumar manakala bagi jawatan setiausaha kewangan, walaupun tujuh nama dicalonkan hanya akan ditandingi Abdullah Abu Bakar dan Awang Ibrahim.

Dalam pada itu, Jimmy Ng, C. Pramasivam, Mohd Azmi Abu Bakar dan Md Helmee Abu bersaing merebut jawatan timbalan setiausaha kewangan.

Pemilihan juga diadakan bagi kerusi naib presiden yang dikhususkan bagi sektor swasta, kerajaan dan badan-badan berkanun.

Bubar saja parti komponen BN



















KUALA LUMPUR, 23 Nov: Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa mencadangkan supaya kesemua parti komponen dalam BN yang berasaskan kaum dibubarkan untuk menghapuskan sentimen perkauman yang semakin berleluasa di negara ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas keputusan Barisan Nasional (BN) baru-baru ini yang memperkenalkan pendaftaran ahli BN secara terus, ahli-ahli parti, Rakan BN dan Kelab Sahabat BN.

Tambahnya, keputusan itu telah menunjukkan kuasa Umno semakin berleluasa dalam BN dan parti perkauman Melayu itu semakin mengetepikan parti komponen yang lain.

Menurutnya, laungan perkauman sering kali kedengaran di perhimpunan agung Umno.

Baginya, Umno yang merupakan parti memerintah tidak banyak beza dengan Perkasa yang dilihat mengamalkan perkauman.

“Kekuasaan mutlak Umno dalam BN telah meminggirkan peranan parti komponen lain dalam Barisan Nasional,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, parti komponen yang berasaskan sokongan orang Cina seperti MCA dan Gerakan telah dianggap sebagai penakut dan pengecut oleh pengundi kerana gagal untuk melawan keangkuhan Umno.

Ujarnya lagi, oleh kerana sumber yang semakin terhad dan penyakit 50 tahun memerintah Malaysia, ketidakupayaan Umno dalam meluaskan lagi kekuasaan politik di negara ini telah memandang rendah terhadap parti komponen BN kerana gagal untuk mencari balik populariti BN.

Justeru, katanya BN harus menghapuskan polisi yang berasaskan kaum dan parti politik kaum sekiranya mereka benar-benar memikirkan kebaikan untuk rakyat Malaysia.

Namun, tambahnya lagi Umno yang berselindung di bawah payung perkauman untuk mencari kepentingan mereka menjadikan Umno tidak mungkin untuk menghindari perkauman.

“Mereka masih perlu menggunakan isu perkauman untuk mencari populariti murahan. Kekuasaan mutlak Umno dalam BN semakin mengikis dan merampas peranan parti komponen berasaskan orang Cina dalam BN,” ujarnya.

Menurutnya, organisasi bukan kerajaan (NGO) 1Malaysia yang dilancarkan pada Pilihan raya kecil Dun Galas, baru-baru ini sekali lagi membuktikan Umno tidak memerlukan parti komponen berasaskan orang Cina untuk mencapai kejayaan.

“Hal ini akan membawa kepada situasi di mana Umno akan merampas kerusi dari parti komponen mereka kerana pencapaian parti komponen yang kurang memuaskan.

“Walaupun parti komponen menentang tindakan BN untuk membuka keahlian BN, namum hal ini telah berjaya dilaksanakan dan sesiapa pun tidak akan menjamin apa yang bakal berlaku pada masa depan,” ujarnya.

Suasana majlis korban anjuran PAS Parit Buntar








PARIT BUNTAR : Pada 10 Zulhijjah 1431 H, umat Islam di Malaysia merayakan Aidul Adha dengan ibadat korban menjadi fokus utama sesuai dengan anjuran agama.

PAS Parit Buntar tidak ketinggalan meneruskan aktiviti tahunan mengadakan program Ibadah Korban. Sebanyak lapan ekor lembu telah dikorbankan selepas Solat Sunat Aidil Adha di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin, Titi Serong.

Pengarah program Hosni Mokhtar berkata, bilangan lembu untuk dikorbankan bertambah berbanding tahun lalu kerana semakin ramai yang menyertai ibadah korban anjuran PAS Parit Buntar.

, "Walaupun bilangan lembu korban bertambah pada tahun ini, kerja-kerja melapah dan memotong daging dapat dijalankan dengan lancar.

“ Urusan pengagihan daging korban juga berjalan lancar, di mana wakil PAS Cawangan datang mengambil daging korban untuk diserahkan kepada fakir miskin di Cawangan masing-masing".

Hosni berkata, umat Islam menyedari akan kelebihan ibadah korban itu, maka ramai yang berlumba-lumba dan bersegera di dalam melakukannya untuk mendapat keampunan dan keredaan daripada-Nya,

“ Pagi tadi, umat Islam bersolat Aidul Adha dan seperti biasa umat Islam diingatkan semula dengan peristiwa korban Nabi Ibrahim dan puteranya Nabi Ismail.

“ Peristiwa korban yang terbesar dalam sejarah kehidupan manusia kerana melaksanakan perintah Allah” katanya

Tambahnya, selain program ibadah korban yang dianjurkan oleh PAS Parit Buntar. Program ibadah korban ini juga dilaksanakan oleh ahli-ahli PAS Cawangan di Markas, Surau dan Masjid tempat masing-masing.

“ PAS Parit Buntar sangat mengalu-alukan ibadah korban yang dilakukan oleh PAS Cawangan di tempat masing-masing.

“ PAS Parit Buntar juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantu menguruskan ibadah korban PAS Kawasan pada tahun ini” katanya

Berikut adalah gambar-gambar suasana majlis berkenaan :


Presiden Iran lelong kereta untuk rakyat























TEHERAN : Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad akan melelong kereta Peugeot 504 yang dimilikinya pada 1977 untuk tujuan kebajikan, lapor sebuah stesen televisyen semalam.

Wang hasil lelongan kereta itu akan diserahkan kepada projek perumahan Mehr untuk penduduk yang berpendapatan rendah.

“Kereta itu akan dijual dalam satu lelongan antarabangsa,” kata Menteri Kebajikan dan Keselamatan Sosial, Sadeq Mahsouli dalam laman web televisyen tersebut.

Selepas beliau dipilih menjadi Presiden Iran pada 2005, antara aset yang diisytiharkannya ialah rumah di kawasan kelas pertengahan berusia 40 tahun di timur Teheran dan kereta Peugeot berwarna putih.

Pada Februari lalu, Menteri Perumahan, Ali Nikzad menyatakan, kira-kira satu juta penduduk Iran layak untuk mendapatkan rumah kos murah itu.

Selepas didakwa membunuh, di dakwa merompak pula






















KUALA LUMPUR, 22 Nov. : Seorang pegawai polis berpangkat Assiten Supritendan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di hari ini atas tuduhan merompak seorang juruteknologi perubatan, tahun lepas.

ASP Che Anua Che Omar, 54, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit, kesemua bernilai RM10,000, milik Ahmad Shabri Mohd. Halami, 29.

Che Anua, dari Seri Gombak di sini, didakwa melakukan kesalahan itu di No 44-3, Blok B, Rampai Court, Wangsa Maju, di sini, pada pukul 9 malam, 5 Mei 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Abu Hassan Ramli menawarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Che Anua, yang tidak diwakili peguam, merayu supaya jaminan itu dikurangkan kepada RM3,000 kerana dia merupakan penanggung tunggal keluarganya.

"Saya tidak mempunyai wang yang banyak kerana isteri tidak bekerja dan saya perlu menanggung empat anak di samping membiayai rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) bagi mengubati penyakit jantung yang saya hidapi," katanya.

Hakim Datuk Jagjit Singh kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula kes. - Bernama

Cakap ada pengganas, mana pengganasnya?


KUALA LUMPUR, 22 Nov.: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub meminta Kementerian Luar memberikan laporan lengkap mengenai peranan pusat serantau Asia Tenggara yang diwujudkan bagi mencegah keganasan antarabangsa.

Berbahas di peringkat jawatankuasa Kementerian Luar di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, rakyat hanya diberitahu kononnya wujud beberapa kumpulan pengganas di rantau ini namun tidak pernah dinyatakan maklumat lengkap.

"Adakah benar-benar berlaku dalam negara kita ada kumpulan pengganas dalam erti kata yang sebenar?

"Kita hanya mendengar kononnya ada kumpulan Al-Qaeda, JI, Kumpulan Abu Sayaf dan sebagainya jadi kita mahu dapat maklumat yang terperinci daripada Kementerian Luar Negeri tentang peranan pusat ini," kata beliau yang juga Naib Presiden PAS.

Salahuddin turut berkata, kementerian seharusnya memberikan penjelasan mengenai segala aktiviti pusat itu dan sejauh mana kejayaan yang telah dicapai.

"Kita ingin dapat perkembangan daripada pusat ini. Apakah aktiviti yang telah dijalankan dan sejauh mana kerja pengintipan yang telah dilakukan dan sejauh mana rekod-rekod boleh didedahkan," katanya.

Selain itu, beliau juga meminta kementerian menjelaskan dasar umum yang disepakati kerajaan berhubung jenayah rentas sempadan yang semakin kritikal membabitkan Malaysia dan luar negara.

Jenayah itu, ujarnya melibatkan pengedaran dan penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia dan kes rakyat asing yang melakukan jenayah bersembunyi di negara ini dan sebaliknya.

"Apakah dasar-dasar umum yang telah disepakati dan sejauh mana perkembangan terhadap penyelesaian jenayah-jenayah rentas sempadan yang semakin kritikal dan memerlukan komitmen keselamatan kedua-dua negara," katanya.

Turut disentuh beliau mengenai isu hak asasi dan sosial pekerja Indonesia di negara ini yang belum selesai.

Menurutnya, penyelesaian isu ini memerlukan iltizam yang kuat daripada kedua-dua negara.

"Masih terdapat isu-isu yang belum dapat mencapai kata sepakat seperti mana yang diharapkan.

"Saya minta menteri dapat menjelaskan mengenai perkara ini supaya negara kita tidak mempunyai masalah untuk menerima kehadiran mereka untuk bekerja dalam sektor-sektor tertentu di negara ini," katanya.

Pindaan kosmetik BN kaburi rakyat


KUALA LUMPUR 22 NOV. : Pindaan peraturan dalam Barisan Nasional(BN) adalah bersifat kosmetik untuk mengaburi rakyat tentang sokongan rakyat terhadap komponen itu.

Perkara ini dibangkitkan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dipetik The Malaysian Insider.


Ia pindaan paling besar sejak BN ditubuhkan awal 1970-an bagi menggantikan Perikatan dengan lebih banyak keanggotaan.


Menurut Hadi, langkah terbaru BN itu jelas menunjukkan BN kini berhadapan dengan krisis besar terutamanya di kalangan parti komponen.


“Saya menganggap itu tanda BN sudah mempunyai kelemahan yang teruk dan untuk tampung kelemahan itu mereka terpaksa buat begitu.


“Kelemahan itu berpunca daripada parti komponen BN, semua orang pun tahu krisis yang dialami dalam BN. Sebab itu, BN terpaksa mengambil langkah ini,” katanya.


Ahli Parlimen Marang itu juga menolak dakwaan bahawa langkah BN tersebut akan memberi kesan terhadap sokongan rakyat kepada PR.


“Bagi saya langkah yang diambil BN itu tidak akan beri kesan pun kepada Pakatan Rakyat.


“BN terpaksa buat macam itu sebab nak atasi kelemahan parti komponen, itu sahaja,” katanya.


Semalam Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak berkata, Dewan Tertinggi meluluskan langkah menerima anggota-anggota langsung, sistem yang mirip diguna pakai oleh Perikatan awal 1970-an.


Selain itu, BN juga akan menubuhkan kelab Rakan Muda BN bagi menarik penyokong berusia antara 18 dan 21 tahun.


Najib yang juga menjelaskan keputusan bersejarah itu memperlihatkan usaha BN menjadi parti yang inklusif dan terbuka kepada semua yang berkongsi pada konsep, prinsip dan dasar perjuangan parti pemerintah berkenaan dan selesa dan serasi jika menjadi anggota bersekutu.


“Mereka yang ingin menyertai BN boleh mohon secara terus menjadi anggota bersekutu. Bagaimanapun Dewan Tertinggi BN akan tentukan hak-hak dan keistimwewaan mereka yang menjadi ahli (anggota) bersekutu.


“Anggota bersekutu tidak mempunyai hak yang sama seperti mana anggota pada parti komponen tetapi kita ingin memperlihatkan BN sebagai parti yang inklusif dan bersikap pintu terbuka,” katanya.


Beliau berkata Dewan Tertinggi BN turut memutuskan bahawa keanggotaan bergabung boleh dipohon secara terus yang bererti mana-mana pertubuhan politik, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan boleh memohon menjadi anggota.


Dalam pada itu, Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub berkata, langkah BN meluluskan pindaan untuk menerima anggota-anggota langsung dengan serta-merta jelas menunjukkan ikatan parti komponen BN semakin longgar.


“Kalau kita lihat selama ini pun NGO sentiasa dapat bantuan daripada kerajaan dan langkah ini membolehkan NGO yang condong kepada BN akan lebih rapat lagi.


“Ini juga langkah percubaan BN untuk tambah sokongan NGO yang ada tapi saya percaya NGO lebih cenderung untuk mempunyai pendirian tersendiri dalam politik,” katanya lagi.


Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, langkah ini semata-mata mendapatkan semula sokongan rakyat yang kini dilihat lebih cenderung kepada Pakatan Rakyat berbanding BN.


“Kesan kepada Pakatan Rakyat? Pada saya langkah yang diambil BN ini tidak beri apa-apa kesan pun kepada kita.


“Yang sokong BN akan tetap sokong BN, langkah itu tidak akan menarik ahli PR begitu juga pengundi atas pagar,” katanya yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

MPSJ paling berjaya di Selangor



























SHAH ALAM, 22 Nov:
Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah dinobatkan sebagai antara pihak berkuasa tempatan paling berjaya di Selangor sepanjang tahun 2010 ini apabila berjaya memenangi dua anugerah dalam satu majlis hari ini.

MPSJ telah memenangi tempat pertama dalam Anugerah Inovasi Sektor Awam Selangor untuk tahun 2010 melalui Sistem STAR Rating Individu dan membawa pulang wang tunai RM 10,000 dan Sijil.

MPSJ juga berjaya menduduki tempat pertama dalam Anugerah Pengurusan Pejabat Cemerlang (APPC) dan menerima Anugerah Inovasi Menteri Besar Selangor (AIMBS) dengan membawa pulang wang tunai RM20,000.00.

APPC merupakan salah satu bentuk pengiktirafan yang diwujudkan khas untuk jabatan dan agensi yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam 7 kriteria khas penilaian.

Kriteria yang dimaksudkan ialah Pengurusan Organisasi, Pengurusan Kewangan, Pengurusan ICT, Pengurusan Projek Pembangunan, Pengurusan Sumber Manusia, Perkhidmatan Teras dan Pengurusan Pelanggan.

Pada tahun ini, sebanyak 41 jabatan danagensi di Negeri Selangor telah menyertai APPC. Sesi penilaian dan pemeriksaan dokumen telah dilaksanakan mulai 29 September hingga 27 Oktober 2010 oleh Panel-panel khas yang dilantik, kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat SUk Selangor hari ini.

Anugerah itu telah disampaikan dalam perhimpunan bulanan dan sambutan hari inovasi kerajaan Selangor tahun 2010 hari ini.

Dalam majlis ini, Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor (MGPPPNS) akan turut dilancarkan.

Manual ini adalah merangkumi aspek utama perancangan dan pemajuan hartanah yang terdiri dari perumahan, perdagangan, perindustrian, kemudahan masyarakat, aspek alam sekitar dan infrastruktur serta utiliti.

Ia dipersembahkan dengan cara yang mudah dirujuk dan lebih bersifat ‘user friendly’.

MGPPPNS ini akan menjadi rujukan utama dan membantu mempercepatkan proses terutama dalam proses kebenaran merancang dan permohonan perancangan yang lain, kata kenyataan itu.

Selain MPSJ, turut memenangi anugerah hari ini adalah Jabatan Penjara, Sg. Buloh dalam kategori konvensyen kumpulan inovatif dan kreatif 2010, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah memenangi kategori pengurusan konvensyen ini.

Kedua-dua jabatan ini telah membawa pulang wang tunai RM5,000.00, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan.

Pejabat Tanah dan Daerah Sepang pula telah menerima anugerah prestasi kutipan hasil cukai tanah tahun 2009 apabila berjaya mengutip 97 peratus sasaran Cukai Tanah Semasa dan 89 peratus sasaran Tunggakan Cukai Tanah. Jabatan ini telah diberikan insentif RM100,000 kerana kejayaannya itu.

Tarik balik lesen konsesi Syabas yang menindas rakyat


SHAH ALAM, 22 Nov. :
Kerajaan Selangor akan meminta kerajaan pusat menarik balik lesen konsesi yang diberikan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) jika syarikat itu didapati mengutip balik kos 20 meter padu air yang disubsidi oleh kerajaan Selangor kepada rakyatnya menerusi Tabung Budi.


Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Syabas tidak berhak mengutip derma daripada mana-mana individu pengguna air yang mendapat subsidi daripada kerajaan negeri menerusi tabung yang dilancarkan syarikat itu.

“Jika benar ada individu yang mahu mendermakan subsidi yang diberikan, mereka hendaklah memulangkannya kepada kerajaan negeri dan bukannya kepada Syabas. Syabas tidak boleh menggunakan duit subsidi itu. Duit subsidi yang saya gunakan ini ialah duit negeri untuk rakyat.

“Saya akan berbincang perkara ini dengan Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor dan pihak kewangan negeri sebab dalam perjanjian penswastaan yang dibuat bersama Syabas, kerajaan negeri tidak menyatakan Syabas boleh jalankan usaha ini (mengutip balik kos 20 meter padu air).

“Kita mahu lesen Syabas dirampas jika didapati tidak menjalankan tugas seperti yang dijanjikan dalam perjanjian penswastaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Inovasi Pentadbiran Kerajaan Selangor di sini.

Tabung Budi dilancarkan Syabas pada 24 Ogos lepas melibatkan skim yang membolehkan pengguna air membayar balik kos 20 meter padu air bernilai RM11.40, yang disubsidi kerajaan negeri kepada rakyat Selangor setiap bulan, diserahkan kepada Syabas.

Wang kutipan itu nanti akan disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan yang tidak menerima 20 meter padu air percuma bagi mendapatkan semula sambungan air bersih ekoran kegagalan mereka membayar bil.

Abdul Khalid berkata Syabas bukanlah sebuah badan yang ditugaskan untuk menjaga hal ehwal kebajikan rakyat.

“Tujuan Syabas bukanlah untuk jaga kebajikan. Adalah sesuatu yang ‘hypocrisy’ untuk katakan dia (Syabas) sekarang bertaubat menolong rakyat... itu bukan tujuannya.

“Saya akan mengutus surat kepada Syabas sama ada perkara ini melanggar tatacara perjanjian yang kerajaan negeri buat bersama Syabas pada 2004,” katanya. – Bernama

Muka baru terajui Cabang PKR
































KELANA JAYA ,22 Nov.: Keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat(PKR) yang tamat semalam memperlihatkan banyak pimpinan cabang-cabang parti di seluruh negara digantikan dengan barisan pimpinan baru.

Dalam satu sidang media di ibupejabat PKR petang tadi, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan sistem undi terus yang dijalankan buat pertama kali dalam PKR dan juga memperlihatkan penglibatan kaum muda dan wanita.


"Yang menariknya ialah, selesai pemilihan cabang kita dapati bahawa hampir 60 peratus daripada kepimpinan cabang adalah muka-muka baru," jelas beliau.


Katanya lagi, semakkan awal keputusan juga memperlihatkan penglibatan golongan muda dan wanita.


"Semakan awal kita dapati hampir 60 peratus daripada kepimpinan cabang adalah merupakan muka baru, dengan pertambahan ketara golongan muda dan juga wanita," kata beliau.


Walaubagaimanapun, beliau menjelaskan perincian keputusan hanya akan dibentangkan pada hari terakhir kongres PKR iaitu pada 27 November nanti.


Katanya lagi, hikmah pemilihan kali ini ialah penampilan pimpinan cabang baru dengan pembabitan ketara golongan muda dan wanita.


Minggu lalu merupakan minggu terakhir proses pemilihan diadakan dengan 50 cabang PKR menjalankan proses pengundian, termasuk empat cabang yang tertangguh kerana kekacauan semasa Mesyuarat Agung Tahunan Cabang(MATC).


"Tapi semalam, mereka selesai mengadakan MATC cabang dan pengundian MPP. Cabang-cabang itu adalah Kota Tinggi - Johor, Sirian - Sarawak, Batang Sadong - Sarawan dan Parit Sulong (Johor). MATC sempurna dan pengundian pun dapat dijalankan," kata beliau.


Selain itu, Saifuddin memberitahu terdapat empat cabang tidak berjaya menjalankan pemilihan cabang atas pelbagai sebab, antaranya ialah cabang Kuala Langat.


"Tempoh hari saya maklumkan Kuala Langat waktu MATC cabang gagal menyempurnakan kerana ada kekecohan. Ada bukan anggota parti yang terbabit dan sebagainya, diputuskan MATC Kuala Langat akan diadakan sepelas kongres tetapi MPP cabang sepatutnya berjalan semalam. Sekali lagi timbul kekecohan dan Biro Politik menetapkan tarikh baru," jelas beliau lagi.


Saifuddin seterusnya berkata keputusan ini dibuat dengan asas tidak boleh ada segelintir anggota boleh bertindak di luar amalan demokratik hingga menyekat proses pemilihan menyebabkan hak anggota cabang Kuala Langat disekat.


"Untuk itu, Biro Politik yang bermesyuarat semalam memutuskan pemilihan MPP di Kuala langat akan diadakan pada Khamis 25 November, bermula 3 petang hingga 9 malam," kata beliau.


Selain itu, beliau memberitahu tiga cabang lain yang gagal menyempurnakan pemilihan cabang ialah Tanjung Piai (Johor), Tanjung Manis dan Baram kerana anggota di cabang-cabang berkenaan tidak keluar mengundi.


Katanya lagi, pemilihan tidak akan dijalankan semula di ketiga-tiga cabang tersebut dan akan dianggap sempurna untuk pemilihan kali ini.

Malaysia kena berani tegur





































KUALA LUMPUR, 22 Nov:
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu kerajaan Malaysia lebih berani menegur dan menyatakan keadilan terhadap sikap double standard kuasa-kuasa besar dunia.

Bercakap sewaktu Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Luar (Hubungan Dua Hala), Ahli Parlimen Marang itu berkata, Malaysia masih tidak memainkan peranan sewajarnya khususnya melalui Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).

Beliau merujuk kepada isu penindasan Israel terhadap rakyat Palestin, isu nuklear Iran dan isu cadangan penggunaan Dinar oleh Lapan Negara Membangun (D8) pada satu masa dahulu.

"Kerakusan Yahudi Israel sangat melampau sehingga halau rakyat Islam di sekitar Baitul Maqdis, merobohkan rumah-rumah mereka, membakar kampung halaman dan kebun-kebun mereka tanpa perhatian masyarakat antarabangsa.

"Perlu Malaysia sebagai sebuah negara ahli dalam OIC dan negara berkecuali, mengambil sikap lebih proaktif agar masalah ini tidak terus meruncing," katanya yang juga Presiden PAS.

Tambahnya, jika tindakan kejam itu dibiar terus berlaku, dikhuatiri ancaman keselamatan antarabangsa lebih besar akan berlaku.

Dalam isu nuklear Iran pula beliau mahu Malaysia bersikap adil dalam menyatakan pendirian.
"Kementerian Luar tidak tegas, kadang menyokong dan kadang-kadang menentang," katanya lagi.

Iran, katanya telah menjelaskan pengkayaan uranium mereka hanya sebagai sumber tenaga untuk kegunaan rakyat negara itu.

Sangat double standard, katanya jika Malaysia tidak pula menentang penggunaan nuklear oleh kuasa besar lain termasuk Israel dan Amerika Syarikat yang jelas diguna untuk persenjataan.

"Kita perlu sedar, kuasa barat begitu tidak adil dalam hal ini. Mereka membenarkan Israel guna nuklear untuk persenjataan sejak tahun 60an.

"Terbukti mereka guna bahan radio aktif dalam peperangan di Lubnan dan Gaza," katanya.

Dalam isu penggunaan Dinar yang dicadang negara D8 pula, Malaysia katanya gagal berperanan mempertahan cadangan itu sehingga ianya gagal dilaksanakan.

Cadangan tersebut juga, katanya sebelum ini turut disokong mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu melihat ekonomi Islam diperkukuhkan.

"Saya tidak tahu mungkin ada tekanan dari kuasa barat dan kita tidak berani hadapi tekanan ini padahal anggota yang ramai dalam OIC.

"Kenapa kita tidak manfaatkan kedudukan kita dalam OIC untuk bergabung menjadi satu kekuatan?" katanya.

Debat : Pemuda PAS Larut Vs Pemuda Umno Larut



IPOH, 22 Nov. : Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) merakamkan ucapan tahniah kepada Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Larut (PPUBL) yang berani bersemuka dengan Dewan Pemuda PAS Kawasan Larut (DPPKL) di atas satu pentas Muzakarah atau Debat setelah kedua-dua belah pihak menyatakan kata sepakat tarikh, tempat dan masa yang sesuai pada bila-bila sahaja.

DPPN Pk merasakan kepimpinan PPUBL yang sedia ada setanding malah lebih berani daripada Maslin Sham Razman Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak sekarang yang tidak mampu bersemuka DPPN Pk sehingga sekarang.

DPPN Pk difahamkan isu yang bakal dibincangkan dalam muzakarah tersebut akan juga meliputi upacara ancak tiang seri Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isu Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin memegang lilin dan memakai baju hitam serta beberapa isu lain.

DPPN Pk berharap majlis ini dapat direalisasikan dan berjaya dengan jayanya. DPPN Pk melihat di atas ketokohan Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar Ketua Umno Bahagian Larut turut menyumbang di atas keberanian PPUBL ini.

DPPN Pk menyokong usaha seumpama ini dan mengharapkan banyak lagi pihak menganjurkan majlis seumpama ini di masa hadapan.

Di harap dengan terlaksananya Muzakarah atau Debat ini akan merungkai pelbagai isu yang rakyat perlu memahaminya.

Zambry tiada, BN Perak lumpuh tidak bermaya

IPOH, 22 Nov. : Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) yang mengikuti perkembangan semasa melalui media massa arus perdana dan juga laman web atau blog pro Umno / Barisan Nasional (BN) dilihat ketandusan bahan berita atau sumber maklumat setelah Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menunaikan Ibadah Haji sejak pada 9 November yang lalu sehingga sekarang ini.

Dapat dilihat dengan ketiadaan Datuk Seri Zambry, pergerakan kerajaan negeri atau Umno / BN lumpuh dan tidak bermaya.


Ini dapat dilihat bahawa yang memimpin Kerajaan Negeri Perak hanyalah Datuk Seri Zambry dan kewujudan EXCO-EXCO Kerajaaan Negeri yang lain hanyalah bersifat mengisi tempat kosong sahaja. Kedudukan Datuk Seri Zambry menerajui sebagai ketua tidak dapat dinafikan.

Tetapi secara tidak langsung juga menunjukkan bahawa semua yang sedang memegang jawatan sebagai EXCO Kerajaan Negeri atau berjawatan di dalam parti tidak berfungsi langsung.

Bagi dalam Pakatan Rakyat (PR), semua yang memegang jawatan difungsikan dengan sebaik mungkin. Perkara ini menjadi tonggak kekuatan PAS / PR di dalam berhadapan dengan Umno / BN.


Secara tidak langsung juga menunjukkan pimpinan yang sedia ada di dalam Umno / BN takut berdepan dengan pimpinan PAS / PR dan tidak mampu mewujudkan budaya kerja berkumpulan dalam kerajaan.

Disebabkan itulah, Umno / BN dilihat ketandusan pimpinan yang berkaliber dan bermaya. Rakyat sudah tentu ingin melihat sesebuah kerajaan negeri itu tidak bergantung atas seorang individu sahaja tetapi bagi semua yang telah dilantik menunjukkan kemampuan mereka atas tanggungjawab dan juga amanah yang telah diberikan.


Oleh yang demikian, DPPN Pk berharap dan menunggu kelibat mereka di dalam kenyataan-kenyataan yang akan di buat di dalam berita media massa arus perdana dan juga laman web atau blog pro Umno / BN nanti.

Pakatan P.Pinang bersedia bila-bila masa










GEORGETOWN, 22 Nov: Pakatan Rakyat Pulau Pinang bersedia berhadapan dengan jentera Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU 13) pada bila-bila masa sahaja.

Semua jentera Pakatan Rakyat yang menggabungkan tiga parti iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS telah menyatakan pergerakan dan persetujuan bersama dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan raya yang diadakan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) malam tadi sempena Konvensyen Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Pelancaran yang ditandatangani oleh Timbalan PKR Pulau Pinang, Law Choo Kiang yang mewakili pengerusinya, Datuk Mansor Othman, Timbalan DAP Pulau Pinang, Lim Hock Seng yang mewakili pengerusinya, Chow Kon Yeow serta Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man.

Law Choo Kiang dalam ucapanya mahukan kerajaan menonjolkan aktiviti menjurus kepada rakyat supaya program yang diatur menepati sasaran.

Beliau tidak mahu Pakatan 'syok sendiri' sebaliknya bersungguh-sungguh memperkemaskan sistem komunikasi untuk berkongsi maklumat bagi menjalinkan kekuatan menghadapi fitnah yang dilemparkan oleh BN.

"Kita kena jauhkan sindrom Mac 2008 yang menyaksikan kemenangan Pakatan Rakyat dan jangan terlalu yakin untuk mengulanginya tanpa ada usaha yang padu dilakukan oleh ketiga-tiga parti, sebaliknya rancang dan agendakan program terus ke dalam masyarakat," tegasnya.

Bagi Lim HockSeng pula, DAP kena bangun dan bingkas pada setiap pergerakan dan usah lagi melangkah secara perlahan kerana langkah sebegitu selalunya disekat oleh Umno dan BN.

Katanya, mereka melemparkan berbagai tuduhan palsu demi mendapatkan semula undi terutamanya masyarakat Cina yang telah berpatah arang ekoran terlalu banyak penyelewengan BN sewaktu berkuasa.

Mendampingi rakyat jelata tambahnya, merupakan jalan terbaik untuk Pakatan Rakyat menyalurkan maklumat secara terus, bukan menerusi media pro BN yang lidah bercabang dan tidak bersikap profesional.

"Semua tuduhan palsu kena dinafikan secepat mungkin kerana ia sedikit sebanyak memberi kesan pada kita.

“Apa pun, setakat ini semua yang dilemparkan terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat berjaya diatasi sekaligus memakan diri BN dan konco-konconya," katanya.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Saleh Man pula mahukan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat memperbanyakkan program kebajikan.

Bukan itu sahaja, malahan usaha mendaftarkan ahli atau pengundi hendaklah dicergaskan supaya Pakatan Rakyat tidak terlalu menaruh harapan kepada kelemahan pentadbiran dahulu.

"Kita kena cari sasaran kita sendiri dengan menengahkan sesuatu isu bukan mengharapkan isu nasional yang kadang-kadang tidak menimbulkan kemarahan penduduk," jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir.

Konvensyen Pakatan Rakyat bertemakan 'Kerajaan Berjiwa Rakyat, Memartabatkan Rakyat' yang pertama kali diadakan turut membincangkan lima kertas kerja.

Ucaptama yang disampaikan oleh Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri, Lim Guan Eng bertajuk ‘Kerajaan Berjiwa Rakyat: Memartabatkan Rakyat' turut menarik perhatian wakil Jepun, Tetsuro Kai dan wakil Indonesia, Chilman Arisman yang hadir sama pada majlis itu.

Jangan emosi tumpu kepada kerja parti























IPOH, 22 Nov. :
Naib Pengerusi DAP M Kulasegaran semalam meminta anggota parti itu terutama kalangan kaum India supaya tidak melakukan bantahan

bagi melahirkan kekecewaan ekoran kekalahan beliau dalam pemilihan pada Konvensyen DAP Perak Ahad lepas.

Beliau berkata walaupun ada sebahagian anggota parti dari kaum India yang terkilan dengan kekalahan itu tetapi ia tidak harus dijadikan alasan untuk
membuat bantahan.

Kulasegaran, yang juga Anggota Parlimen Ipoh Barat, tewas dalam pemilihan dan kehilangan jawatan Timbalan Pengerusi DAP Perak. Kulasegaran juga

menolak tawaran untuk dilantik sebagai Naib Pengerui DAP Perak.


"Jangan terlalu emosi dengan perkara itu sebaliknya tumpukan sepenuh perhatian kepada kerja-kerja parti sementara saya mencari jalan menanganinya,"
katanya kepada pemberita ketika dihubungi bagi mengulas mengenai laporan sekumpulan anggota DAP di Pulau Pinang mahu membuat bantahan terhadap kekalahan beliau.

Kulasegaran berkata beliau menerima banyak panggilan serta khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mendakwa beliau mangsa sekumpulan pemimpin DAP Perak yang mahu menyingkirnya.

Katanya semua anggota DAP diharap tidak terperangkap dengan sentimen yang dimainkan oleh sesetengah pihak berkepentingan.

Kulasegaran sebelum ini menegaskan beliau akan tetap setiap bersama DAP dan tidak akan meninggalkan parti itu.Bernama

Antara ikan arowana dan sawah petani



















KUALA LUMPUR, 22 Nov. : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dan kerajaan negeri Perak segera membatalkan projek ternakan ikan arowana melibatkan 70 pengusaha di Bukit Merah — yang dimulakan sedekad lalu atas alasan menjejaskan kawasan sawah padi.

Sehubungan itu, CAP juga mahu kawasan sawah padi yang ditukar guna untuk ternakan arowana dibaik pulih dengan kadar segera.

“Langkah itu wajar disegerakan kerana projek berkenaan bukan saja menjejaskan matlamat utama bekalan air tasik Bukit Merah iaitu untuk penanaman padi dan kegunaan harian penduduk di daerah tersebut, malah perusahaan ini juga tidak mengikut peraturan yang telah ditetapkan serta boleh mencemarkan alam sekitar,” kata Presiden CAP S.M. Mohamed Idris pada sidang media di George Town hari ini.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, kata beliau, projek yang bermula pada 2000 itu, dalam skala kecil dengan tidak sampai 10 pengusaha, kini sedang diusahakan oleh 70 pengusaha melibatkan 143 hektar tanah sawah (355 ekar) dengan pembinaan sebanyak 3,808 buah kolam.

Katanya, CAP kesal walaupun projek ini di peringkat awal pelaksanaannya telah dibantah oleh pesawah-pesawah di daerah itu akibat masalah kekurangan air untuk tanaman padi mereka setelah disedut atau dipam oleh pengusaha-pengusaha ternakan ikan, namun tidak ada perhatian serius dan tindakan diambil oleh pihak berkenaan.

“Lebih mendukacitakan lagi CAP mendapati projek yang boleh menjejaskan alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan ini dilakukan tanpa mengikut peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan,” kata beliau.

Katanya, walaupun projek tersebut telah bermula sejak 10 tahun lalu, namun masih ada lot-lot tanah sawah yang terlibat belum ditukar statusnya untuk industri akuakultur.

Pejabat Tanah Daerah Kerian hanya menghantar notis pelanggaran syarat tanah kepada para pengusaha terbabit tetapi tidak ada penguatkuasaan undang-undang yang dibuat bagi menutup kolam-kolam yang dibina, kata beliau dalam kenyataan itu.

Mohamed menambah, kawasan penanaman padi yang produktif di bawah Projek Kerian-Sungai Manik ini tidak sepatutnya ditukar guna untuk tujuan lain.

“Kami amat kesal kerana pihak berkuasa tidak mengambil tindakan walaupun syarat penggunaan tanah telah dilanggar.

“Kenapa tiada penyelarasan dan tanggungjawab bersama di antara agensi untuk memastikan sumber makanan kita adalah terjamin?

“Projek ini juga tidak dirujuk kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan sama ada kajian kesan kepada alam sekitar (EIA) perlu dilakukan atau tidak,” katanya.

Sehubungan itu katanya, CAP percaya dan merasa bimbang pembuangan sisa kolam ke dalam sistem saliran pertanian di daerah itu akan mencetuskan masalah alam sekitar serta pencemaran air yang serius pada masa akan datang.

“Dalam tinjauan yang dibuat CAP difahamkan oleh petani-petani yang terlibat, kegiatan menyedut atau mengepam air dari saliran pertanian melalui Terusan Selinsing dan Terusan Bagan Serai di daerah ini terus dilakukan oleh pengusaha-pengusaha ternakan ikan arowana di kawasan itu,” katanya lagi.

Beliau menambah, CAP dimaklumkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian, akibat kegiatan mencuri air, yang berlaku secara berleluasa, mereka gagal membenterasnya dengan berkesan.

“Para pesawah terbabit mengadu kepada CAP bahawa berikutan masalah kekurangan bekalan yang berlaku pokok padi terencat pembesarannya, buah padi kurang berisi, serangan makhluk perosak dan ancaman rumput menjadi semakin serius dan hasil pendapatan mereka merosot secara mendadak.

“Kajian JPS sehingga Oktober 2010 iaitu dari 15 Ogos 2010 ke 26 Oktober 2010 menunjukkan takungan air di Tasik Bukit Merah menurun sebanyak 0.2 kaki sehari,” katanya.

Tegas Mohamed, CAP berpendapat jika projek ini diteruskan masalah bekalan air sawah di kawasan ini akan menjadi lebih meruncing lagi pada masa akan datang terutama sekali pada musim kemarau jika paras air di tasik berkenaan berada pada tahap yang kritikal.

Air Tasik Bukit Merah bukan saja digunakan oleh lebih 10,000 pesawah daerah Kerian dan Seberang Perai Selatan Pulau Pinang yang melibatkan kawasan sawah seluas lebih 24,000 hektar, tetapi juga menjadi kegunaan harian 200,000 penduduk yang tinggal di Semanggol, Selinsing, Bagan Serai, Beriah, Parit Buntar, Tanjong Piandang dan Kuala Kurau.

Katanya lagi, CAP kesal dan hairan bagaimana Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan kerajaan negeri Perak termasuk jabatan serta agensi berkaitan boleh membenarkan dan membiarkan perusahaan ternakan ikan Arowana ini beroperasi dengan sewenang-wenangnya.

“Agensi seperti Pejabat Tanah, Jabatan Pertanian, JPS dan JAS perlu mengambil tindakan tegas berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya.

Justeru, Mohamad menambah, “apakah ikan hiasan ini lebih penting dari kehidupan petani dan makanan untuk rakyat pada masa akan datang?”

“CAP menggesa projek ternakan ikan arowana di daerah Kerian di sini dihentikan segera dan kawasan sawah padi dibaik pulih,” katanya.

Kapitalis hampir runtuh

IRAN-PRESIDENT1



























TEHRAN:
Presiden Republik Islam Iran Mahmoud Ahmadinejad berkata, sistem kapitalis hampir runtuh, sambil menekankan pentingnya dunia berasaskan keadilan.


"Iran dan Zimbabwe boleh memainkan peranan berkesan bagi menubuhkan order baru global berasaskan keadilan dan setiakawan memandangkan terdapat persamaan di antara kedua-dua negara mengenai isu penting serantau dan antarabangsa."

Beliau berkata demikian dalam mesyuarat dengan Menteri Luar Zimbabwe Simbarashe Mumbengegwi di sini semalam, lapor IRNA.
Presiden Iran itu menggesa Tehran dan Harare menggunakan kapasiti untuk menggalak kerjasama dua hala dan serantau.

"Pengluasan kerjasama dan pertukaran ekonomi di antara Iran dan Zimbabwe dalam berbagai bidang akan memberi faedah kepada kedua-dua negara dan negara-negara di serantau," katanya.

Meningkatkan lagi hubungan


Menteri Zimbabwe itu, bagi pihaknya, menyatakan kesungguhan negaranya untuk menggunakan segala potensi bagi meningkatkan lagi hubungan.

Beliau berkata Harare berkongsi pendirian yang sama dengan Tehran berhubung isu serantau dan antarabangsa dan berusaha memperkukuh kerjasama ekonomi dan politik dengan Iran.

Pengluasan hubungan dengan negara-negara Afrika dalam bidang kebudayaan, ekonomi dan politik merupakan di antara keutamaan dasar luar Republik Islam itu.

Presiden Ahmadinejad membuat lawatan dua kali ke Zimbabwe pada April ketika para pegawai kanan Iran dan Zimbabwe menandatangani 11 Memorandum Persefahaman dalam bidang pelancongan, pendidikan, pengangkutan, teknologi dan membatalkan sekatan birokrasi seperti keperluan visa.

Tehran dan Harare juga bersetuju untuk membentuk usahasama dalam sektor teknikal, saintifik dan pertanian.

-SF/MMA/HRF

PRU 13 mungkin hanya di negeri diperintah BN





































KUALA LUMPUR, 22 Nov:
Ketika berita angin bertiup kencang pilihan raya umum ke 13 (PRU 13) akan diadakan awal tahun depan, pelbagai pihak dalam Pakatan Rakyat pula membuat andaian negeri-negeri mereka tidak semestinya bersama dalam pilihan raya itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan jelas berkata, Pakatan akan berbincang terlebih dahulu sesama mereka iaitu PKR, DAP dan PAS sebelum membuat keputusan untuk menyertai pilihan raya itu atau tidak.


Ini kerana, mereka yang menguasai empat negeri, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan berhak membuat keputusan sebaliknya iaitu pilihan raya berasingan dengan tarikh yang diumumkan oleh kerajaan pusat.


Lim Guan Eng, ketika berucap di Konvensyen Pakatan Rakyat Pulau Pinang semalam berkata, ketiga-tiga parti komponen Pakatan itu akan mengadakan konvensyen mereka sendiri sebelum membuat keputusan untuk menyertai pilihan raya itu atau tidak.


Pendapat beliau disokong oleh anggota Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.


"Kita ada negeri yang hendak diuruskan selepas diberikan mandat pada tahun 2008 lalu. Kita akan cukupkan penggal kita. BN di peringkat pusat mempunyai masalah kredibiliti sendiri. Jika mereka mahukan pilihan raya, biarkanlah mereka," kata Dr Hatta kepada Harakahdaily.


Sebelum ini, Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa membuat cadangan yang serupa.


Beliau mencadangkan agar negeri-negeri Pakatan Rakyat tidak mengikut secara membabi buta cadangan kerajaan pusat dan negeri BN membubarkan Parlimen dan Dun mereka.


"Kita mesti ada kuasa tawar menawar. Kalau kita ikut sahaja kehendak mereka bermakna, mereka sentiasa menetapkan kehendak mereka dan kita mengikut mereka sahaja," kata Husam dalam satu kenyataannya.


PRU 13 dikatakan akan diadakan pada awal tahun depan iaitu antara Mac atau April 2011.


Bendahari PKR yang juga anggota Parlimen Selayang, William Leong berkata, pihaknya mendapat maklumat ia akan diadakan April tahun depan iaitu serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.


Para media BN pula diarahkan agar memainkan berita baik untuk BN bagi melahirkan rasa senang rakyat kepada parti yang memerintah negara itu di samping memburuk kerajaan Pakatan Rakyat.


Tindakan Datuk Zaid Ibrahim meninggalkan PKR selepas tertinggal dalam pemilihan timbalan presiden telah dijadikan modal oleh media BN untuk menghuruharakan PKR.


Pemilihan dalam PKR juga dihebohkan kononnya berlaku kekecohan besar dalam parti itu, walaupun PKR menegaskan ia hanya kekecohan kecil sahaja.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein juga menyerang Pakatan apabila menolak usahanya untuk mendaftarkan simbul bersama dalam pilihan raya negeri Sarawak kononnya Pakatan hanya bersatu dari segi simbul sahaja tetapi berpecah.


Negeri-negeri Pakatan juga didakwa gagal melaksanakan manifesto pilihan raya mereka namun begitu manifesto yang mana gagal dilaksanakan tidak dinyatakan oleh beliau.

Tegku Mahkota rasmi Ekspo Cheng Ho 2010


KOTA BHARU, 21 Nov. : Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan merasmikan Ekspo Cheng Ho 2010 di Kelantan Trade Centre, di sini, semalam dengan pelbagai persembahan menarik disediakan penganjur.

Ekspo selama enam hari yang bertemakan persahabatan dan kemakmuran itu dihadiri delegasi pelbagai negara terutama dari China, Kazastan, Uzbekistan dan sebagainya serta hadirin tempatan.


Permulaan majlis diserikan dengan bacaan al-Quran oleh qari dari Yunnan, China, Hussin Bao Cheng sebelum diikuti dengan bacaan doa Imam Besar Wilayah Guanzhou, Ma Bau Yu.


Aturcara majlis kemudian dimulakan dengan ucapan Pengerusi Jawatankuasa Induk ekspo berkenaan, Datuk Husam Musa; Datuk Bandar Sinchuan City dan ucapan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.


Selesai ucapan itu, hadirin berpeluang menyak-sikan persembahan kemahiran tangan daripada Khairat Aziz sebelum diikuti aksi seni mempertahankan diri kumpulan Shaolin, persembahan muzik dan nyanyian yang mendapat tepukan gemuruh.


Selesai majlis perasmian, Tengku Mahkota berangkat merasmikan pameran Cheng Ho dan menyaksikan pameran al-Quran terpanjang di dunia, sejarah pengembaraan Laksamana Cheng Ho dan beberapa artifak bernilai dari China di tingkat 4 KTC.


Dalam ucapannya, Ahmad berharap kerjasama yang dijalinkan dalam ekspo enam hari itu akan menjadi pemangkin kepada kerjasama berterusan di kalangan delegasi dalam bidang perniagaan, pelancongan dan sebagainya.


“Ia bakal disusuli dengan pelbagai usaha untuk titik mula pembangunan ekonomi di Kelantan.


“Ini kerana jika dilihat kebanyakan usahawan yang menyertai eskpo ini beragama Islam dan mereka mampu menjadi peneraju dalam bidang masing-masing di negara China,” katanya.


Menurutnya, Kelantan akan tampil menjadi teraju perubahan bidang ini dalam usaha meningkatkan lagi ekonomi masyarakat negeri ini standing dengan negara luar.


Katanya, melalui program antarabangsa seperti ini yang disertai pelbagai negara luar ia dapat menyatukan satu aktiviti besar-besaran terutama dalam bidang pengeluaran produk makanan halal, perbankan, kewangan dan bioteknologi.SH