Monday, December 13, 2010
Harussani pun sama naik
SHAH ALAM, 14 Dis: Ke manakah hala tuju Umno dan Barisan Nasional sebenarnya? Untuk penyatuan segala bangsa di Malaysia melalui projek 1 Malaysia atau terus dengan sentimen ketuanan Melayunya?
Ini kerana, ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bercakap di pentas politik dengan slogan 1 Malaysia, para pemimpin lain dalam Umno termasuk dalam kerajaan sendiri terus tenggelam dalam retorik Melayunya.
Khamis lepas, kira-kira 500 para pemimpin pelajar dari kampus UiTM seluruh negara dihimpunkan dalam satu program yang disifatkan oleh para peserta program itu sebagai usaha untuk 'mengUmnokan' mereka.
Program yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Tinggi itu turut disertai oleh menterinya Datuk Seri Khalid Nordin dalam satu majlis makan malam bersama peserta.
Ia diadakan di kampus UiTM Shah Alam dengan asrama Mawar menjadi tempat penginapan semua pelajar ini sepanjang lima hari tersebut.
Walaupun dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam, hampir kesemua programnya diuruskan oleh Biro Tata Negara (BTN).
Naib Canselor UiTM, Shahul Hamid adalah bekas Ketua Pengarah BTN.
"Bayangkan sepanjang lima hari kami diasak dengan sentimen Melayu termasuk diasak agar meluluskan satu resolusi untuk meminta kami menjemput para pemimpin Umno dalam program-program kami di kampus," kata salah seorang pelajar yang menghantar email kepada Harakahdaily.
Yang menariknya, antara penceramah program ini adalah timbalan presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa atau Perkasa, yang mewakili presidennya, Datuk Ibrahim Ali.
Menurut pelajar yang berasal dari Perak itu, usaha pihak penganjur untuk memaksa semua MPP setiap kampus menjemput para pemimpin Umno ke program-pragram mereka telah diboo oleh para peserta dan hasilnya, cadangan resolusi itu telah ditolak.
Turut memberikan ceramahnya adalah Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria.
Harussani dalam ceramahnya telah cuba mempertahankan pendapatnya bahawa orang bukan Islam tidak boleh membaca ayat-ayat Al Quran kerana mereka orang politik yang tidak berniat baik terhadap Islam itu sendiri.
Bukan pun nak siasat Umno tapi nak gertak Harakah
Dedah Umno bayar tambang: SPRM temui Harakah
KOTA BHARU, 14 Dis: Pendedahan Harakah mengenai pengundi di Dun Galas yang mendapat bayaran tambang daripada Umno pada pilihan raya kecil 4 November lalu kini mendapat perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ekoran penyiaran berita dan gambar di muka depan Harakah bilangan 1587 tiga pegawai SPRM datang ke pejabat Cawangan Harakah di sini 6 Disember lalu.
Selain itu pemberita dan jurugambar yang hadir di Bukit Cekati, Gua Musang tempat pembahagian duit tambang kepada pengundi juga diambil kenyataan.
Pemberita terbabit Hafiz Irwan diminta hadir kepada SPRM di tingkat 12 Wisma Persekutuan pada petang hari yang sama.
(Gambar: Muka depan Harakah yang menyiarkan gambar pembahagian duit di Bukit Cekati semasa pilihan raya kecil Galas. Kini SPRM menyiasat laporan ini)
“Saya berada di situ kira-kira tiga jam untuk diambil kenyataan oleh seorang pegawai SPRM. Kenyataan saya mulai direkod mulai jam 4 petang dan berakhir tiga jam kemudian,” katanya di sini.
Harakah bertarikh 8 – 11 November lalu menyiarkan gambar di muka hadapan ramai pengundi datang ke kaunter pembahagian wang tambang oleh Umno di Bilik Gerakan Umno yang terletak di Bukit cekati.
Sedangkan sebelum itu Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato’ Wan Ahmad Wan Omar dilaporkan berkata, pembayaran tambang kepada pengundi dianggap menyalahi peraturan pilihan raya.
Selain pemberita di Kota Bharu, pegawai SPRM terbabit juga memberitahu akan menemui pengarang Harakah di Kuala Lumpur bagi memastikan kesahihan gambar yang disiarkan.
Hafiz dan wartawan lain di Kota Bharu memberi kerjasama penuh kepada pegawai SPRM terbabit ketika datang ke pejabat Harakah Cawangan Kota Bharu.
Sebelum kehadiran pegawai terbabit, seorang daripada mereka membuat panggilan telefon memperkenalkan sebagai pegawai JPN ingin menemui Hafiz yang menulis berita mengenai pembahagian wang tambang di Bukit Cekati.
Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat penyelewengan Felda
Salahuddin yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembelaan Peneroka (Tindak) berkata, jawatankuasa bebas itu harus ditubuhkan kerana segala dakwaan terhadap Felda itu suatu yang serius dan merupakan isu rakyat terutamanya generasi Felda.
"Saya atas kapasiti ahli parlimen akan menghantar memorandum kepada Majlis Raja-Raja memohon satu jawatankuasa bebas ditubuhkan bagi menyiasat segala penyelewengan yang didakwa berlaku dalam Felda," kata ahli Parlimen Kubang Kerian itu dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Salahuddin turut mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan jumlah sebenar wang tunai hasil keuntungan Felda.
"Najib seharusnya berani menyatakan kepada umum berapa wang tunai Felda.
"Beliau hanya menyatakan, jika semua saham Felda dicairkan, keuntungannya berjumlah RM4.3 bilion, tapi tak berani nyatakan wang tunai," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada ucapan Najib di majlis penutup Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) 2010, di Putrajaya Ahad lalu.
Tambahnya, memorandum itu akan dihantar dalam masa terdekat ini agar tindakan segera dapat diambil berhubung isu ini.
Sebelum ini Najib menuduh pihak yang mendakwa Felda bankrap sebagai pengkhianat bangsa.
Malaysia kena bantah Wikileaks
KUALA LUMPUR, 14 Dis. : Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggesa kerajaan Malaysia menyiasat maklumat kabel Wikileaks dengan segera kerana ia bukan sahaja melibatkan imej Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim malah negara Malaysia.
Beliau yang ditemui di lobi parlimen berkata, bukti sahih masih belum diperolehi untuk membuat sebarang kesimpulan berhubung dakwaan itu.
"Samada sahih atau tidak itu menjadi tanda tanya. Adakah ini datang dari sumber-sumber yang betul dan boleh dipercayai? Adakah ini satu lagi komplot untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar?" soal beliau lagi.
Menurutnya lagi, Malaysia harus membantah dengar kadar segera untuk mengelakkan sebarang spekulasi berterusan.
"Sekarang kalau kita lihat apa yang diutarakan bukan sahaja berkaitan Datuk Seri Anwar tapi juga dengan Malaysia. Saya rasa Malaysia harus membantah. Kalau apa yang didakwa ke atas Datuk Seri Anwar betul maka apa yang didakwa kepada kerajaan Malaysia pun betul.
Tambahnya lagi, jika maklumat tersebut tidak sahih maka kerajaan harus membuktikan ada pihak yang cuba mengaibkan Ketua Pembangkang itu.
Utusan Malaysia semalam menyiarkan laporan muka depan mengenai pendedahan Wikileaks bersabit tuduhan liwat ke atas Anwar.
Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew pula dipetik dalam satu pendedahan sebagai berkata Anwar mungkin mengetahuinya "tapi tetap masuk ke dalamnya (perangkap)".
Namun dakwaan itu disanggah oleh Anwar.
Manakala peguam Anwar, Sankara Nair mempersoalkan apakah Anwar begitu tidak waras sehingga sengaja masuk ke perangkap yang dipasang untuk dirinya.
"Siapakah yang berfikiran waras, akan dengan sengaja memasuki perangkap jika dia sudah tahu mengenainya?
"Ini sama sekali tidak logik dan benar-benar tak masuk akal," ujar Sankara dalam satu kenyataan semalam.
Anwar dijangka memberi penjelasan terbuka berhubung perkara sama pada ceramah umunya di Wangsa Maju jam 9.30 malam ini.
17 kakitangan Puncak Niaga dipecat
SHAH ALAM, 14 Dis. : 12 daripada 17 kakitangan Puncak Niaga Sdn Bhd atau PNSB yang dipecat pada 30 Oktober lalu berkumpul di hadapan Wisma Rozali Seksyen 13 Shah Alam bagi menyuarakan hak mereka dengan cara berpiket di bawah Akta Perhubungan Perusaharaan 1967.
Ahli Majlis MBSA, Sivarajan Arumugam menyifatkan tindakan memecat kakitangan Puncak Niaga ini sangat kejam dengan tindakan memberi notis 24 jam tanpa memberi peluang untuk mereka membela diri.
"Ini merupakan satu tindakan yang sangat kejam kerana 15 pekerja yang dipecat ini dengan notis 24 jam dan mereka tidak diberi peuang untuk membentangkan kes mereka, mengikut pihak pengurusan, mereka telah diberikan penilaian tetapi apa yang menghairankan setelah ada penilaian daripada pihak pengurusan ini diberikan kepada Exco yang diketuai oleh Tan Sri Rozali sendiri dan di mana penilaian itu dipotong setengah"
Sivarajan yang ditemui Tvselangor memberitahu,kesemua mereka yang terlibat dalam pemecatan ini mendakwa mereka dilucutkan jawatan dengan notis 24 jam dan diperlakukan secara tidak adil,tidak telus,berat sebelah dan mereka tidak langsung diberi peluang untuk membela diri.
"Yang teruk sekali mereka diberikan notis 24 jam dan diiring oleh polis bantuan mereka sendiri untuk keluar daripada premis"
Tambahnya lagi,lebih manghairankan dan menjadi tanda tanya ialah notis pemecatan mereka bertarikh 19 Oktober 2010 namun notis tersebut hanya diserahkan kepada mereka dua minggu selepas itu dengan mengarah mereka keluar dari premis tersebut dalam kadar serta merta.
Ekoran dari itu,kesemua pekerja teraniaya ini memfailkan kes mereka kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan dan akan diperdengarkan pada 21 Disember ini.
"Dan sebab itulah pekerja ini telah pun memfailkan kes mereka kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan dan akan diperdengarkan pada 21 Disember ini,dan apa yang mereka lakukan hari ini ialah mereka berpiket seperti mana yang diluluskan bawah Akta Perhubungan Perusaharaan 1967"
Tinjauan Tvselangor pagi tadi menyaksikan mereka tampil dengan baju Puncak Niaga dan memegang sepanduk 'kami Dianiaya,Maruah kami Tercalar' dan 'Kera Dihutan Disusukan,Pekerja Puncak Niaga Diberhentikan'.
Mereka yang dipecat terdiri daripada pelbagai peringkat iaitu 4 kakitangan bukan eksekutif, 6 kakitangan eksekutif dan 5 kakitangan pengurusan.
Mereka merakamkan rasa kesal menerusi medium berpiket seperti ini kerana mereka telah mencurahkan bakti dengan setia kepada syarikat berkenaan antara lima hingga 15 tahun.
Helah yang digunakan syarikat tersebut untuk menghalalkan mereka dilucutkan jawatan ialah dengan mengarahkan mereka menjalani empat sesi kaunseling dalam tempoh enam bulan.
Kaunseling yang dijalankan hanyalah berbentuk sesi temubual biasa dan tiada sebarang teguran displin dikemukakan kepada mereka.
Selain itu,mereka turut dipaksa menandatangani Borang Penilaian kaunseling yang tidak tahu apa ulasannya dan tiada salinan diberikan kepada mereka.
Apa yang dikesalkan mereka semua adalah kakitangan berbangsa melayu yang terdiri dari anak peneroka Generasi Baru Felda dan anak bekas Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan.
Rata-rata bekas pekerja yang ditemui Tvselangor melahirkan rasa kecewa dan ada yang meluahkan kesempitan hidup setelah putus pendapatan dalam menjalani kehidupan harian.
PKR serah memorandum kepada Kerajaan Singapura
KUALA LUMPUR, 14 Dis. : Parti Keadilan Rakyat akan memulakan usaha mendapatkan kabel diplomatik berhubung Malaysia dari sumber-sumber sah seperti Kedutaan Amerika Syarikat, media antarabangsa dan Wikileaks sendiri, bagi mematahkan serangan Umno-Barisan Nasional.
TV Selangor difahamkan Ahli Parlimen Batu Tian Chua ke Kedutaan Singapura petang ini, bagi menyerahkan memorandum dari PKR kepada kerajaan republik pulau itu.
Setiausaha Agung Saifuddin Nasution berkata Utusan Malaysia menyiarkan laporan berunsur fitnah kononnya berdasarkan laporan asal media Australia mengenai kabel diplomatik yang dibocorkan Wikileaks.
Utusan Malaysia mendakwa kabel bocor itu adalah milik seorang diplomat Singapura. Utusan Malaysia melaporkan diplomat itu mengesyaki Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam kegiatan sodomi, yang kini dibicarakan di mahkamah.
Namun menurut Saifuddin, kabel diplomatik melibatkan Malaysa yang disiarkan di Wikileaks setakat ini hanya catatan pertemuan dengan pegawai-pegawai Bank Negara.
TV Selangor difahamkan Wikileaks belum menyiarkan kabel diplomatik sepenuhnya.
"Kami akan memulakan usaha mendapatkan kabel-kabel diplomatik berhubung Malaysia dari sumber-sumber sah seperti Kedutaan Amerika Syarikat, akhbar Sydney Morning Herald, akhbar The Guardian selain Wikileaks sendiri, untuk dinilai secara adil oleh rakyat Malaysia," tegas Saifuddin di sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Karpal pula kena
KUALA LUMPUR, 14 Dis. : Pengerusi DAP Karpal Singh diusir keluar daripada Parlimen apabila cuba membentangkan usul untuk membahaskan pembabitan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dalam rasuah.
Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan Karpal untuk meninggalkan dewan kerana enggan mengikut arahan beliau tidak membahaskan usul itu.
Namun Karpal menegaskan usul itu amat penting kerana Zaki sendiri mengaku menyogok pegawai-pegawai mahkamah semasa beliau menjadi peguam pada tahun1987.
Meskipun amalan itu melanggar Seksyen 7(8) Kod Etika Hakim 2009, kerajaan Umno-Barisan Nasional membenarkan Zaki untuk terus memegang jawatan Ketua Hakim Negara.
Satu surat aduan dan peringatan dari Ahli Parlimen Bukit Gelugor diserahkan kepada Tun Zaki, Ketua Hakim Negara itu enggan menjawabnya.
Karpal berkata Ketua Hakim Negara setakat ini enggan memberikan penjelasan atas tindakanya itu walaupun diberikan peringatan rasmi awal bulan ini.
“Ketua Hakim Negara gagal membalas aduan saya, dan juga surat peringatan bertarikh 1 Disember 2010, dimana beliau enggan menjawapnya," kata Karpal.
"Perkara ini yang melibatkan kepentingan rakyat umum perlu disegerakan, saya memohon usul saya dibincangkan," tegas Karpal sebelum diusir keluar dari Parlimen.
Minggu lalu, Speaker Pandikar Amin Mulia mengambil tindakan sama terhadap enam ahli parlimen Pakatan Rakyat yang mahu mengusulkan perbahasan atas tindakan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan menghukum Anwar Ibrahim tanpa memberinya peluang membela diri.
Anwar digantung enam bulan oleh Jawatankuasa itu setelah beliau mengemukakan bukti di Parlimen mengenai tindakan Umno-BN mengupah Apco WorldWide, sebuah syarikat pro-zionis.
Anwar menunjukkan contoh-contoh jelas antara konsep 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri Najib Razak dan slogan 1Israel yang pernah digunakan oleh rejim Zionis.
Tun Zaki sebelum ini mengakui terlibat dalam perbuatan rasuah, dengan memberi suapan kepada pegawai-pegawai mahkamah semasa beramal sebagai peguam pada 1987.
Meskipun melanggar Seksyen 7(8) Kod Etika Hakim 2009, pemerintah bagaimanapun membenarkan beliau terus memangku jawatan penguasa undang-undang tertinggi negara itu.
FTA akan susahkan rakyat
KUALA LUMPUR, 14 Dis.: Barisan Nasional diminta menghentikan rundingan Perjanjian Dagangan Bebas dengan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah kerana ia akan mensabotaj industri tani tempatan dan sektor kesihatan.
Gabungan Rakyat Membantah FTA berkunjung ke Parlimen hari ini bagi menyerahkan memorandum kepada Menteri Industri dan Dagangan Antarabangsa, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Meskipun minat pelabur dan pemodal antarabangsa kepada ekonomi negara dapat dipertingkat melalui perjanjian ekslusif, namun berdasarkan kepada pengalaman negara-negara lain, dibimbangi perjanjian FTA akan mengekang dan menghadkan inisiatif kerajaan membantu industri tempatan.
Perjanjian FTA menetapkan bahawa negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah tidak perlu memotong subsidi tani, manakala Kerajaan Malaysia dituntut menghapuskan tarif barangan tani.
"Keadaan ini akan mendedahkan petani, beras dan penternak ayam kepada produk impot yang disubsidikan dari Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.
"Produk-produk impot ini akan dijual pada harga yang jauh lebih rendah dari kos penghasilan di negara ini, seraya merencatkan pengusaha tempatan," tegas Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Jeyakumar Devaraj.
Gabungan ini merujuk kepada kes penguasaan penternak tempatan di pasaran ayam Ghana yang menguncup dari 95% kepada 11%, akibat lambakan ayam murah dari Eropah.
"Yang lebih membimbangkan adalah input tani untuk petani tempatan seperti benih menjadi semakin mahal ekoran perlindungan hakmilik yang ketat, serta petani tempatan dihalang dari mewujudkan kooperasi dan kempen bersepadu menyaingi produk tani impot," tegas Dr Jeyakumar lagi.
Manakala di sektor kesihatan, perjanjian hakmilik akan melonjakkan harga ubat-ubatan.
Kes di Guatemala menyaksikan harga ubat meningkat sebanyak 845600% lebih mahal selepas perjanjian ditandatangani.
"Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah akan menuntut Kerajaan Malaysia merampas impot-ekspot produk ubat-ubatan generik, seraya menghadkan akses rakyat Malaysia kepada ubat-ubatan murah," menurut Dr Jeyakumar
PRU 13 dah dekat sangat
SHAH ALAM, 14 Dis. : Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini mengumumkan penangguhan konvensyen tahunan parti itu selama 12 bulan sehingga bulan Ogos 2012.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata ianya selaras dengan keputusan parti komponen Barisan Nasional, Umno dan MCA menangguhkan parti masing-masing sebagai isyarat jelas Pilihanraya Umum mengejut yang berkemungkinan akan diadakan tahun depan.
"Ini untuk mempersiapkan jentera parti bagi menghadapi PRU ke-13 yang paling kritikal.
"Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada pertemuan malam tadi memutuskan untuk menggunakan Klausa VIII dari Perlembagaan Parti untuk menunda kongres parti dan konvensyen negeri selama 12 bulan.
"Ini bermakna pemilihan parti yang akan diadakan ketika sidang kongres pada bulan Ogos 2011 ditangguhkan sehingga Ogos 2012.
Keputusan ini ujar Guan Eng turut mempengaruhi pemilihan parti itu di Negeri Sembilan dan Sarawak yang sepatutnya dijadualkan pada akhir tahun 2011.
Wakil rakyat PAS tidak berprestasi akan diganti
KOTA BHARU, 14 Dis. : PAS Kelantan tidak menolak kemungkinan menyenaraikan muka baru sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bagi menggantikan wakil rakyat yang tidak berprestasi.
Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata, percaturan itu biasa bagi PAS khususnya menjelang PRU bagi menjamin kualiti calon yang mampu memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Ini amalan biasa dalam parti, sekiranya perlu dan layak, kita akan tukar dan memberi kepada muka baru, malah saya sendiri juga termasuk yang dinilai, jika pimpinan parti memutuskan untuk memberi laluan, tiada masalah,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya persiapan PAS Kelantan sekiranya kerajaan mengadakan PRU dalam masa terdekat ekoran keputusan Barisan Nasional (BN) menangguhkan pemilihan parti itu baru-baru ini.
DUN Kelantan memiliki 45 kerusi, 37 darinya diwakili PAS, satu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tujuh dari Barisan Nasional (BN).
Dalam masa yang sama, Abdul Fatah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tuku berkata, PAS sedia tidak mencalonkan pemimpin di barisan hadapan sekiranya ia mampu memenangkan parti itu secara keseluruhannya.
“Semasa PRU 1990, saya sebagai timbalan kepada Datuk Wan Rahim yang memegang jawatan Pengarah Pilihan Raya juga tidak bertanding bagi memberi tumpuan kepada jentera peringkat parti.
“Ia melibatkan percaturan, apabila tidak dicalonkan, individu terbabit boleh memberi perhatian di peringkat negeri. Ini adalah amalan biasa yang dilakukan PAS selama ini,” katanya.
Abdul Fatah berkata, beliau sendiri sedia untuk memberi laluan kepada calon baru di kawasannya sekiranya diputuskan kepimpinan parti.
Mengulas mengenai persiapan PAS Kelantan, Abdul Fatah berkata, pihaknya bersedia sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib memutuskan untuk mengadakan PRU dalam masa terdekat.
“Bagi rakyat saya rasa mereka juga tertunggu-tunggu untuk mengadakan PRU secepat mungkin, mereka sudah bosan dengan senario politik yang berlaku kepada BN, tetapi kita akui Pakatan Rakyat juga ada pergolakan sendiri,” katanya.SH
Sultan sedia bertemu PAS
SHAH ALAM, 14 Dis. : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sedia bertemu dengan pimpinan PAS negeri untuk mendapat maklum balas isu-isu penting menyentuh hal-ehwal Islam dan Melayu, kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.
Beliau berkata, keterbukaan pihak Istana yang memberi laluan kepada pimpinan PAS mengadakan perbincangan mengenai perkara terbabit dinyatakan baginda selepas rombongan Badan Perhubungan PAS negeri menghadap baginda di Istana Kayangan, semalam.
“Baginda juga mengambil kesempatan dalam pertemuan itu menasihatkan pimpinan PAS Selangor, ahli-ahli dan penyokong supaya memahami sejarah dan Perlembagaan Negara dan negeri.
“Baginda dukacita di akhir-akhir ini terdapat pihak-pihak yang mempersoalkan hal-hal mengenai Islam, keistimewaan umat Melayu dan pelbagai peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan. Begitu juga undang-undang tubuh negeri yang perlu dihayati kerana di dalamnya mengandungi tatacara dan prosedur mengenai beberapa perkara yang telah dimuktamadkan dan perlu dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dr Hasan berkata, pada pertemuan semalam, turut dibincang adalah hal-hal berkaitan pentadbiran dan pembangunan Selangor khususnya mengenai kemajuan Islam dan kaum Melayu di negeri ini.
“PAS juga telah menerangkan kepada baginda mengenai kemajuan Islam di ini sejak ditadbir oleh Pakatan Rakyat di mana masjid dan surau semakin makmur dimeriahkan dengan ceramah dan kuliah dan lain-lain aktiviti melibatkan anak kariah.
“Baginda juga dimaklumkan tentang program Sahur Perdana yang disertai hampir 10,000 orang di Kompleks Belia Seksyen 7, Shah Alam yang diadakan di penghujung Ramadan lalu,” katanya.SH
Dari katil wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian
Dari katil wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, saya dibekalkan dengan akhbar untuk dibaca saban hari. Nampaknya isu ketuanan Melayu masih menjadi ratib yang tidak henti-henti keluar dari mulut pimpinan UMNO. Peliknya tidak pula istilah ini disebut ketika Konvensyen BN 2010 yang lepas. Adakah Ketuanan Melayu tidak boleh menembusi pintu Dewan San Choon, Wisma MCA di mana konvensyen itu berlangsung?
Ketuanan hendaklah kembali kepada Islam. Tidak dinafikan bahawa di Negara ini majoriti umat Islam ialah berbangsa Melayu, ini sepatutnya menjadi satu kebanggaan bangsa Melayu sendiri yang sudah menerima Islam beratus-ratus tahun yang lampau. Bukankah Islam itu anugerah daripada Allah SWT? Tidakkah hanya orang yang bertuah sahaja yang akan menerima anugerah daripada Allah SWT? Firman Allah SWT :
لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُوا عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلالٍ مُبِينٍ
Yang bermaksud : Sesungguhnya benar-benar Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus diantara mereka seorang Rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Al hikmah. dan Sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata. (Surah Ali-Imran : 164)
Namun, dukacita sekali apabila ada orang Melayu sendiri yang menolak Islam. Menolak Islam bererti menolak ketuanan Islam. Bila menolak Islam ertinya menolak anugerah daripada Allah SWT. Seolah-olah Islam ini bahan buangan yang tidak layak untuk diterima, demikianlah barangkali tanggapan mereka yang mengenepikan Islam sebagai perundangan hidup mereka. Hari ini, seruan Islam yang menjadi tonggak orang Melayu ini diganti dengan nasionalis. Dengan slogan Ketuanan Melayu, mereka beria-ia menjulang keris tumpul itu kononnya merekalah pendekar sejati mempertahankan hak Melayu. Apa yang peliknya, di samping menjulang Ketuanan Melayu itulah, mereka telah terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah. Halalkah pelakuan rasuah ini di sisi mazhab Ketuanan Melayu? Melaungkan Ketuanan Melayu dengan mengenepikan Islam hanya akan menjadikan bangsa Melayu lebih hina, bukannya lebih mulia.
Bolehkah pimpinan sebegini menjadi tempat bergantung rakyat? Bukan sahaja orang bukan Melayu, bahkan orang Melayu sendiri akan disembelih dengan slogan seperti ini. Buktinya, di Kelantan yang majoritinya bangsa Melayu, dinafikan peruntukan pembangunan dan royalti minyak oleh Ketuanan Melayu. Melayu tidak terjaga, Islam pun terlepas dari genggaman. Hakikatnya, perjuangan Ketuanan Melayu ini hanyalah perjuangan sia-sia. Demi menyedarkan rakyat tentang hakikat inilah, saya gagahi diri saya untuk terus berjuang memberikan kefahaman agar rakyat menerima Islam sebagai addin (din dan daulah). Dalam hal ini, saya berterima kasih kepada salah seorang pemimpin UMNO Kelantan yang mendoakan kesihatan saya agar terus dapat berjuang menentang UMNO. Semoga doanya dimakbulkan Allah, insya-allah Amin.
Marilah balik kepada Islam sebagai penyelesaian yang sempurna, yang datang daripada Allah SWT. Ia sudah sempurna, tanpa cacat cela sedikitpun.
Firman Allah SWT :
وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلًا لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِهِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
yang bermaksud : Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (Al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. tidak ada yang dapat merobah robah kalimat-kalimat-Nya dan dia lah yang Maha Mendenyar lagi Maha Mengetahui. (Surah al-An’am, ayat 115)
Al-Quran ialah manual yang diturunkan oleh Allah SWT untuk mentadbir dunia. Justeru, apabila terdapat beberapa orang Raja-raja Melayu yang menyuarakan kebimbangan berkenaan nasih orang Melayu, saya sarankan supaya marilah kita merujuk kepada Al-Quran. Pada saya, Raja-raja Melayu berhak bimbang jika benar orang-orang Melayu terancam, tetapi marilah kita mencari penawar yang betul untuk penyakit yang berlaku. Tidak guna jika menggunakan ubat yang salah, penyakit tidak sembuh bahkan semakin melarat. Dalam hal ini, Ketuanan Melayu ialah ubat yang salah bahkan ia sebenarnya racun yang bisa.
Al-Quran menyatakan bahawa sesuatu bangsa tidak mempunyai sebarang kelebihan ke atas bangsa yang lain, yang melebihkannya hanyalah taqwa kepada Allah SWT. Renunglah sejenak sekali lagi firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13)
Yang bermaksud : Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. (Surah al-Hujurat, ayat 13)
Kemuliaan tidak pernah bergantung kepada bangsa. Ia hanya wujud apabila sesuatu bangsa itu bertaqwa kepada Allah SWT. Bangsa Arab yang melakukan hampir kesemua jenis jenayah di dunia, akhirnya menjadi mulia apabila menerima Islam. Jika bangsa Arab yang sedemikian jahil itupun dimuliakan Allah SWT dengan Islam, apa peliknya jika bangsa Melayu pun boleh dimuliakan oleh Allah SWT, syaratnya berpegang dengan Islam?
Justeru, bolehkah kiranya saya meletakkan harapan kepada pihak Raja-raja Melayu agar membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah yang berlaku? Yakinlah, dengan Islam, Melayu akan terbela. Alhamdulillah, di Kelantan, saya telah menerajui kerajaan negeri selama 20 tahun dengan tidak pernah menyebut Ketuanan Melayu, namun orang Melayu tetap terbela dan terjaga. Manakala KDYMM Sultan Kelantan pula disayangi oleh semua bangsa di Kelantan. Kaum bukan Melayu pula tidak mempunyai sebarang masalah untuk berada di Kelantan. Bimbang saya andainya Ketuanan Melayu disebut-sebut dan diulang-ulang, ia hanya akan memarakkan dendam dalam diam dan membakar di dalam senyap.
Di sudut yang lain pula, Ketuanan Melayu jugalah yang telah menghapuskan tulisan jawi di sekolah-sekolah satu ketika dahulu sehingga hari ini melahirkan generasi yang buta al-Quran. Jawi yang menjadi tulisan asal bahasa Melayu di’kebumikan’ secara terhormat oleh Ketuanan Melayu . Ketuanan Melayu jugalah yang menghapuskan bantuan perkapita untuk sekolah agama rakyat dan Ketuanan Melayulah yang bertanggungjawab terhadap terhakisnya tanah rezab Melayu di seluruh negara. Jenayah Ketuanan Melayu ini sebenarnya cukup panjang untuk ditulis. Ia menyimpulkan bahawa Ketuanan Melayu tidak membawa apa-apa faedah untuk negara hatta untuk bangsa Melayu sekalipun.
Marilah kita sama-sama mengingatkan satu sama lain tentang akhirat. Akhirat yang menjadi tempat tuju samada Melayu atau bukan Melayu. Ia khusus untuk Allah SWT membalas setiap perbuatan manusia. Justeru, kita diperintahkan mengulang-ngulang peringatan ini beratus ribu kali sepanjang hidup kita melalui surah al-Fatihah yang wajib dibaca di dalam solat. Tujuh ayat yang menjadi agenda utama hidup seorang muslim diulang baca sentiasa, dan satu daripada ialah peringatan tentang hari kiamat :
مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
Yang bermaksud : Yang menguasai di hari Pembalasan.
Yakinlah, tibanya kita di stesen yang bernama akhirat, Ketuanan Melayu tidak akan membawa apa-apa harga lagi di mahkamah Allah SWT!
HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Wad 2, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian
6 Muharram 1432H / 13 Disember 201M
Boleh percaya ka FELDA agensi terbaik
ANAK: Ladang Felda dipenuhi babi hutan
KUALA LUMPUR, 14 Dis. : Dakwaan Felda sebagai agensi pembangunan tanah yang terbaik, disangkal kerana masih wujud banyak kelemahan dan kegagalan agensi tersebut terutama dalam pelaksanaan tanam semula, lapor Harakahdaily.
Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman mendedahkan beliau menemui bukti kegagalan Felda yang membantu peneroka yang menyerahkan ladang kepada agensi berkenaan.
Menurut Mazlan, apa yang ditemuinya di Felda Chiku 1 dan Felda Prasu amat memeranjatkanya.
“Bukti yang saya temui itu amat memeranjatkan kerana tidak menyangka Felda yang didakwa agensi terbaik dalam kerja perladangan tetapi gagal melakukan penanaman semula terbaik malah merugikan peneroka.
“Satu masa dulu Timbalan Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata Felda menahan wang tabung tanam semula (TTS) kerana ada peneroka tanam sendiri beli barang lain dan ladang semak dipenuhi babi hutan. Sekarang saya nak tunjukkan, ladang Felda yang dipenuhi babi hutan,” katanya.
Mazlan berkata demikian dalam sidang medianya di di Temerloh baru-baru ini selepas pulang daripada melawat Felda berkenaan sesudah menerima aduan daripada peneroka yang menyerahkan urusan tanam semula ladang mereka kepada agensi kerajaan berkenaan.
Dalam lawatan itu, Mazlan telah dibawa meninjau ladang kendalian Felda yang bermasalah termasuk belum ditanam, semak yang merimbun dan tanaman kelapa sawit yang terbantut kerana tiada pemuliharaan.
Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pusat berkata, kegagalan berkenaan sudah tentu akan membebankan peneroka kerana kos sulaman menyebabkan jumlah hutang dan pinjaman sara hidup mereka akan meningkat.
“Bagi Felda pula, peningkatan hutang peneroka tidak menimbulkan masalah kerana ia yang memberi hutang sebaliknya penerokalah yang akan menanggung hutang yang makin lama semakin tinggi kadar faedahnya sekalipun Felda gagal menjayakan penanaman semula itu.
“Apa yang dibimbangkan, mana-mana peneroka yang ladangnya gagal dimajukan Felda akan menanggung kos dan bunga hutang yang tinggi berbanding peneroka lain sedangkan peneroka berkenaan tidak mempunyai kuasa menuntut Felda menanggung kos kegagalan penanaman itu, “ katanya.
Menurut Mazlan lagi, melalui perjanjian Felda dengan peneroka, peneroka tidak mempunyai apa-apa hak di atas kelewatan Felda menjayakan penanaman semula. Malah, peneroka juga tidak diberi penyata kewangan pengurusan ladang mereka oleh Felda.
Saman ja puak putar belit ni
KUALA TERENGGANU, 14 Dis. : PAS kini sedang mempertimbangkan untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap masyarakat.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, ia berikutan kenyataan demi kenyataan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Syarikat Riyapadu Sdn Bhd berhubung tuntutan saman RM1 bilion terhadap Kerajaan Negeri.
Ini berikutan kes membabitkan pembayaran premium konsesi balak di kawasan seluas 16.5 hektar di kawasan Empangan Kedua Hulu Terengganu pada 2003 yang lalu.
Menurutnya, kenyataan yang mengaitkan PAS itu merupakan subjudis terhadap PAS, sedangkan kes tersebut masih dalam proses mahkamah.
“Kerajaan adalah satu entiti, parti pula entiti yang lain, tetapi mengapa mereka kaitkan dengan PAS. Kes ini adalah kes mahkamah, tetapi gambaran yang diberi akhbar seolah-olah kerajaan terpaksa tanggung hutang RM1 billion, ia boleh menimbulkan subjudis.
“Ia memberi persepsi yang salah sedangkan masih di peringkat Mahkamah Tinggi. Walaupun sudah ada penghakiman, pihak berkenaan iaitu plaintif atau defenden, boleh angkat proses ini kepada Mahkamah Rayuan sekiranya tidak berpuas hati dan masih boleh pergi kepada Mahkamah Persekutuan. Itu barulah pengakhiran terhadap kes mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas yang diadakan di Ibu Pejabat PAS Negeri di sini, semalam.
Mustaffa berkata, PAS mempertahankan keputusan Kerajaan Negeri pada masa itu yang membatalkan kontrak terhadap Syarikat Riyapadu Sdn Bhd.
“Sebenarnya pada 2003, satu tender sebut harga terhadap kawasan itu telah dikeluarkan dan daripada enam syarikat yang masuk tender sebut harga itu, jawatankuasa bersetuju menawarkan kepada syarikat itu.
“Selepas ditawarkan, ada perjanjian bahawa dalam masa tertentu, mengikut jadual yang terkandung, mereka perlu membayar premium dan lesenakan dikeluarkan dan balak juga dibenarkan untuk dikeluarkan, “ katanya.
Katanya, proses itu sudah berjalan dan syarikat ini sudahpun mengerjakan balak dan pengendaliannya dibuat oleh Jabatan Perhutanan yang mengeluarkan lesen dan sebagainya manakala Kerajaan Negeri memantaunya melalui Jabatan Perhutanan.
Bagaimanapun katanya, apabila perkara itu berjalan dan mengikut perjanjian, syarikat tersebut patut memba-yarnya secara berperingkat, seperti yang ditetapkan dalam perjanjian.
“Malangnya, premium itu tidak dibayar. Oleh sebab kita ingin mempertahankan harta rakyat, kita tidak boleh membiarkan mereka mengerjakan balak tanpa membayar premium, ini akan merugikan rakyat kerana kita bertanggungjawab kepada rakyat dan kita adalah amanah kepada rakyat.
“Amanah daripada Allah kita tidak boleh main-main. Jadi, kita bincang dengan semua yang terlibat, termasuk Penasihat Undang-Undang Negeri dan kita melihatnya sebagai melanggari kontrak dan berlaku perlanggaran syarat kepada kontrak yang dibuat, maka kita tamatkan sebab kita nak jaga kepenti-ngan rakyat dan hak rakyat,” katanya.
Katanya, Kerajaan Negeri pada masa itu tidak boleh membiarkan syarikat berkenaan mengambil manfaat harta rakyat, sehinggalah sya-rikat itu bertindak membuat tuntutan saman pada 2007.SH
Bila Umno akan kutip balik bayaran khas Kerajaan Pulau Pinang
PULAU PINANG, 14 Dis. : Bayaran Khas Maal Hijrah RM100 Kepada Semua 1,376 Guru Kafa Dan Bantuan Khas Sekolah RM800 Kepada Setiap 7,812 Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang Sebanyak RM 6.25 juta adalah daripada sumber Kerajaan Negeri bukannya Kerajaan Persekutuan,tegas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Dalam satu kenyataan medianya Lim berkata kerajaan negeri mengumumkan bayaran khas Maal Hijrah sebanyak RM100 kepada semua 1,376 guru Kelas Agama Fardhu Ain (KAFA) di Pulau Pinang yang akan dibayar minggu ini sempena perayaan Maal Hijrah minggu lepas.
"Perlu ditegaskan bahawa bantuan khas sekolah sebanyak RM800 kepada setiap 7, 812 anggota perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang datangnya daripada sumber kerajaan negeri Pulau Pinang dan tidak satu sen pun datang daripada kerajaan pusat. Pembayaran RM800 setiap orang melibatkan RM 6.25 juta, yang telahpun dibayar kepada 7, 812 juta pada 1 Disember 2010," katanya.
Penerimaan RM 800 oleh anggota pentadbiran awam negeri Pulau Pinang adalah melebihi RM500 yang diterima oleh anggota perkhidmatan awam Persekutuan.
Dengan pembayaran RM500 duit raya sebelum ini dan RM800 bantuan khas sekolah sekarang, ini bermakna bahawa semua anggota pentadbiran awam negeri Pulau Pinang telah menerima RM1,300 secara keseluruhannya pada tahun ini.
"Inilah yang saya maksudkan dengan memperkayakan warga pentadbiran awam. Dan saya yakin kalau kita meningkatkan prestasi kerja kita, kita akan pastikan bahawa warga perkhidmatan kerajaan negeri Pulau Pinang akan sentiasa dapat lebih daripada apa yang anggota perkhidmatan awam persekutuan ataupun kerajaan negeri lain dapat perolehi," ujar Lim.
Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi penghargaan RM1,300 tahun ini kepada semua pekerja kerajaan negeri Pulau Pinang ini adalah satu pengiktirafan Kerajaan Negeri kepada komitmen penuh mereka dalam menjayakan agenda Kerajaan Negeri.
Sumbangan yang diberikan ini melibatkan 20 Jabatan Negeri dan turut dipanjangkan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP); Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP); Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC); Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP); Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang; Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang; Institut Integriti Negeri Pulau Pinang (IINPPI); dan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI); Pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM800 ini melibatkan sejumlah 3,153 pegawai/kakitangan jabatan negeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM2.5 juta.
Sekiranya kita mengambilkira semua termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Berkanun Negeri (BBN) dan agensi negeri, ianya melibatkan 7,812 anggota dengan RM6.25 juta. Bantuan khas ini diberikan kepada semua Pegawai Perkhidmatan Awam di Pentadbiran Negeri Pulau Pinang termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan setaraf termasuk pegawai yang memangku Jawatan Utama/ Gred Khas.
"Kerajaan Persekutuan telah memutuskan bahawa pemberian RM500 diberikan kepada mereka yang memegang jawatan D54 ke bawah, tetapi negeri Pulau Pinang berikan semua. Tidak ada seorang pun dipinggirkan daripada mendapat insentif galakan ini," ujar Lim lagi.
Umno buat tanah Kampung Baru macam hak Umno
KUALA LUMPUR, 14 Dis. : Tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional membentangkan Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru yang dibacakan buat kali pertama di Parlimen hari ini dilihat mengenepikan hak pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.
Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar ketika mengulas isu berkenaan kepada portal Themalaysianinsider berkata, seandainya mahu membentangkan rang undang-undang tertsebut di Parlimen, maka 'lampu hijau' haruslah diterima terlebih dahulu dari pemilik tanah tersebut.
“Saya mempersoalkan keikhlasan kerajaan untuk bincang perkara ini (Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru), kenapa tidak bentangkan dulu kepada penduduk sebelum dibawa ke Parlimen?
“Ini kerana kalau nak bentang (di Parlimen) rang undang-undang itu harus mendapat persetujuan penduduk terutamanya pemilik dan pewaris tanah.
“Kerajaan perlu dapatkan persetujuan terlebih dahulu, baru boleh bentang. Bagi saya tindakan kerajaan ini melanggar hak penduduk di sana,” ujar dipetik dari Themalaysianinsider.
Lantaran itu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja zainal Abidin didesak supaya membatalkan hasrat membentangkan rang undang-undang yang dijadual berlangsung hari ini.
Mahfuz juga mahu Raja Nong Chik membentangkan rang undang-undang itu kepada semua pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru dan mendapatkan persetujuan mereka terlebih dahulu.
“Tindakan kerajaan ini seolah-olah dah buat kata putus tentang masa depan Kampung Baru apabila mahu bentangkan ia di Parlimen esok (hari ini).
“Jadi, saya minta beliau (Raja Nong Chik) supaya tangguhkan dulu pembentangan di Parlimen selagi ia masih belum mendapat persetujuan daripada penduduk,” katanya.
Beliau juga mahu Raja Nong Chik membentangkan dengan terperinci kandungan Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru kepada penduduk dan juga kepada Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru.
“Kita mahu draf rang undang-undang ini dijelaskan dulu dengan terperinci kepada penduduk dan juga MAS. Mereka perlu tahu fungsinya, apa kesan kepada Kampung, semua ini penduduk perlu tahu.
“Jadi bila kerajaan ambil keputusan untuk bacaan kali pertama esok (hari ini) seolah-olah mengetepikan hak penduduk untuk tahu apa yang ingin kerajaan lakukan kepada kawasan mereka,” katanya.
Minggu lalu, Raja Nong Chik berkata, Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru akan dibahaskan Parlimen Mac depan dengan bacaan kali pertama hari ini.
Menurut Raja Nong Chik, satu pertemuan juga akan diadakan dengan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru malam ini untuk membentangkan dengan terperinci kandungan rang undang-undang itu.
Pertemuan dengan penduduk Kampung Baru malam ini melibatkan dua buah kampung iaitu Kampung Hujung Pasir dan Pasir Periuk, dianggarkan kira-kira 300 penduduk terdiri daripada pemilik dan pewaris tanah akan hadir mendengar pembentangan itu yang akan disampaikan Raja Nong Chik.
Kawasan Kampung Baru Kuala Lumpur yang berusia 110 tahun dan meliputi tujuh buah kampung terletak di atas tanah seluas 90.2 hektar. Kawasan itu kini didiami sekitar 35,000 orang.
Kampung Baru mempunyai tujuh buah kampung iaitu Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah.
Kena siasat dakwaan FELDA hampir bankrap
KUALA LUMPUR,14 Dis.: Pakatan Pembangkang mempersoalkan ketelusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menguruskan dana FELDA sehingga wujud dakwaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu hampir bankrap.
Sebaliknya menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tampil menyiasat dakwaan tersebut.
Ahli Parlimen PAS yang ditemubual pada sidang media di lobi parlimen hari ini berkata, kerajaan tidak perlu sensitif sekiranya dakwaan tersebut tidak benar justeru tidak layak untuk melebel mana-mana pihak sebagai pengkhianat.
"Polis tidak menyiasat semua dakwaan yang dibuat. Jadi satu perkara yang pelik apabila dia menuduh orang lain yang cuba membangkitkan isu FELDA ini sebagai satu pengkhianat. Sepatutnya mereka perlu melakukan siasatan. Ini soal penyelewengan amat besar yang kita persoalkan ialah tunai daripada RM4 bilion tinggal RM1 bilion," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Tambahnya lagi, nilai FELDA bukan hanya terbatas pada aset yang boleh dicairkan namun termasuk jumlah keseluruhan pelaburan peneroka-peneroka FELDA termasuk tanaman semula dan perbelanjaan tunai.
Dalam pada itu pada sidang medai yang sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid samad berpendapat aset adalah subjektif dan boleh susut dalam masa yang sama.
Beliau turut menyifatkan penggunaan istilah pengkhianat oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional sebagai taktik mendapatkan sokongan kaum Melayu.
"Saya rasa penggunaan istilah 'pengkhianat' nampaknya digunakan begitu mudah dan longgar oleh pimpinan Umno sekarang ini untuk menaikkan semangat Melayu dan partriotisma. Bila mahu kata orang pengkhianat kata FELDA bankrap, apa pandangan dia terhadap Idris Jala yang kata negara akan bankrap?" kata beliau.
Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata pengisytiharan FELDA untuk melabur dalam saham korporat adalah tidak munasabah.
Ujarnya kepada media, kepentingan harus diberikan kepada peneroka-peneroka FELDA dan bukan pelaburan saham yang ingin dibuat menggunakan kewangan GLC itu.
"Adakah ini kerja FELDA, melabur dalam saham. Pertama kali kita dengar ini. Syarikat korporat, aset dicairkan, ini benda baru. Yang kita pentingkan kedudukan peneroka-peneroka, peserta-peserta, anak-anak FELDA, keturunan mereka, kehidupan mereka.
"Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pihak yang mendakwa Felda bankrap, sebagai pengkhianat bangsa, kerana sanggup menghina institusi itu yang banyak berjasa kepada rakyat,"katanya.
Beliau menjelaskan Felda kononnya adalah sebuah institusi yang berjaya dan mengubah landskap sosioekonomi negara selain mempunyai simpanan tunai yang banyak.
Tak masuk akal
SHAH ALAM, 14 Dis. : Peguam kepada Ketua Pembangkang, Sankara Nair mempersoalkan apakah Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu tidak waras sehingga sengaja masuk ke perangkap yang dipasang untuk dirinya.
"Siapakah yang berfikiran waras, akan dengan sengaja memasuki perangkap jika dia sudah tahu mengenainya?
"Ini sama sekali tidak logik dan benar-benar tak masuk akal," ujar Sankara dalam satu kenyataan semalam.
Sankara menjawab dakwaan dalam Wikileaks bahawa tuduhan liwat terhadap Anwar adalah satu perangkap oleh musuh politiknya.
Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew telah dipetik dalam satu pendedahan sebagai berkata Anwar mungkin mengetahuinya "tapi tetap masuk ke dalamnya (perangkap)".
Menurut portal Malaysiakini, Sankara turut memberitahu dalam kenyataannya itu bahawa Anwar sudah menyedari sesuatu yang sedang dirancang, seperti yang diperkatakan oleh Anwar dalam wawancara bersama Malaysiakini pada 3 Julai 2008 lalu.
Sewaktu wawancara itu, Anwar berkata, beberapa minggu sebelumnya, beliau telah diberitahu bahawa IGP (Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan) sedang mereka sesuatu, dan itu lima atau enam hari sebelum "seseorang datang memberitahu saya bahawa ini adalah serius."
"Ini disampaikan kepada saya dan saya terfikir bagaimana mereka akan membiarkan isu '98 untuk muncul kembali," ujar Sankara.
Sankara turut menyifatkan akhbar New Straits Times dan Utusan Malaysia mengamalkan 'kewartawanan yang tidak bertanggungjawab' dalam melaporkan pendedahan tersebut.
Katanya, media tempatan telah memilih untuk bergantung kepada laporan untuk menerbitkan perkara yang tidak terbukti dan hanya berdasarkan kepada desas-desus dan telahan.
"Sampai saat ini, semakan kami dengan rakan sejawatan serta pelbagai sumber menunjukkan tiada rujukan seperti itu dibuat oleh Wikileaks berdasarkan tuduhan khusus seperti yang dilaporkan dalam Herald Sun (Sydney Morning Herald)," ujar Sankara lagi.
Anwar dalam Twitternya semalam mencabar pihak yang memfitnahnya mengemukakan bukti. Beliau juga mahukan pihak sama menyokong supaya pendedahan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terlibat dalam pembunuhan Altantuya Shaaribuu disiasat.
Anwar menegaskan bahawa sistem keadilan tempang apabila menafikan beliau hak mendapatkan dokumen perubatan awal serta bukti-bukti lain manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom menghalang beliau mengambil sumpah qazaf di mahkamah syariah.
Utusan Malaysia semalam menyiarkan laporan muka depan mengenai pendedahan Wikileaks bersabit tuduhan liwat ke atas Anwar.
Seperti yang dijangka, Utusan menggunakan komen-komen pegawai dan pemimpin Singapura dan agensi risikan Australia untuk cuba memberi gambaran bahawa ketua pembangkang itu salah.
Malah Utusan memutar belitkan laporan yang dibawa oleh Sydney Morning Herald. Akhbar Australia itu berkata agensi risikan Australia berpendapat Anwar menjadi mangsa perangkap yang dipasang oleh kerajaan atau polis Malaysia. Utusan “memadamkan fakta” itu dan hanya mendakwa Anwar kononnya melakukan perbuatan itu walaupun tahu beliau akan didakwa.
Pada masa sama Utusan TIDAK menyiarkan pendedahan Wikileaks bahawa pegawai diplomatik Singapura menyifatkan Najib sebagai pemimpin oportunis, yang terdesak untuk mempertahankan kedudukan politiknya kerana mahu menyelamatkan diri dari kes pembunuhan Altantuya.
Pandangan itu dibuat oleh beberapa pegawai kanan Singapura dalam perbincangan dengan rakan sejawat mereka dari Amerika Syarikat, menurut Wikileaks.
Transkrip kabel perhubungan yang didedahkan oleh wikileaks dan disiarkan oleh Akhbar Australia, The Sunday Age melaporkan, kabel perhubungan antara pegawai kanan Singapura yang dikenali sebagai Peter Ho, Bilahari Kausikan dan Tommy Koh dengan rakan sejawat mereka dari Amerika Syarikat.
Menurut laporan tersebut, mereka memperlekehkan Najib, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan pemimpin lain dalam Umno dan Barisan Nasional yang disifatkan sebagai lemah.
Najib juga dilabelkan sebagai seorang opportunis dan 'kemerosotan' Malaysia disebabkan oleh kepimpinanan dan ahli politik parti memerintah yang lemah.
Namun semua ini tidak dilaporkan oleh Utusan Malaysia yang hanya memberi tumpuan kepada apa yang dinyatakan mengenai Anwar sahaja. Anwar tidak mengelak diri daripada tuduhan itu dan menjawab bahawa pihak yang membuat tuduhan harus tampil memberikan bukti.
Namun Perdana Menteri Najib berdiam diri terhadap tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh pegawak diplomatik Singapura walaupun mereka mengkritik kerajaan Malaysia sendiri dan menjejaskan kredibiliti negara.
Kosong, yang nampak Umno
Pengisian 1 Malaysia Kosong- Ann Wan Seng
SHAH ALAM, 13 Dis. : Gagasan 1 Malaysia yang dicanang-canangkan kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanyalah kosmetik semata-mata.
Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Ann Wan Seng yang ditemui Tv Selangor hari ini berkata walaupun dari segi konsepnya kelihatan agak bagus tetapi dari segi pengisian sebenarnya kosong.
"Umno-BN hanya berubah dari segi 'make up'(kosmetik) sahaja tetapi dari segi inti masih lagi tidak berubah.
"Pertama sekali mereka banyak bermain dengan slogan umpamanya slogan 1 Malaysia yang diuar-uarkan itu sebenarnya rakyat tidak faham," katanya
Ujar beliau lagi , walaupun dari segi konsepnya kelihatan agak bagus tetapi dari segi pengisian tidak ada, bila sebut 1Malaysia itu bahawa orang Cina, India Melayu menari bersama-sama, masing-masing bertukar baju, India pakai baju ceongsam, yang orang Cina pula pakai baju kurung dan sebagainya.
"Ini bukan konsep 1Malaysia dan ia bermakna perubahan itu dari segi luaran sahaja bukan daripada segi dalaman.
"Pembaharuan itu sebenarnya tak begitu jelas, di mana di kalangan masyarakat Cina, mereka masih tidak dapat melihat apakah bentuk perubahan yang dapat diperhatikan sepanjang Umno-BN memerintah sejak kekalahannya di beberapa buah negeri," jelas Wan Seng.
Najib selepas menjadi Perdana Menteri memperkenalkan slogan 1Malaysia bagi memupuk kehormonian kaum di negara ini setelah BN memerintah lebih 50 tahun.
Orang Melayu kena tahu perlembagaan kalau tak mahu diperbodoh Umno
KUALA LUMPUR, 13 Dis.: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menggesa pemimpin Umno mengemukakan dokumen rasmi mengenai 'ketuanan Melayu' kerana ianya tidak terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mahfuz juga meminta mana-mana pemimpin Umno memberikan definisi yang jelas mengenai maksud slogan itu yang sering dilaungkan mereka.
"Saya minta secara jujurnya kepada pemimpin Umno untuk mendifinisikan Ketuanan Melayu kerana perkara ini tidak ada dalam Perlembagaan dan hanya bergantung kepada mungkin apa yang dirasakan oleh Umno.
"Saya minta pemimpin Umno menunjukkan kepada kami (Pakatan Rakyat) satu dokumen mengenai Ketuanan Melayu untuk tatapan rakyat," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Tambahnya, pemimpin Umno khususnya Presidennya, Datuk Seri Najib Razak seboleh-bolehnya diminta mengemukakan dokumen itu pada sidang Dewan Rakyat yang akan berakhir Khamis ini.
"Kalau boleh kita minta mereka bawa isu pada sidang kali ini. Tinggal beberapa hari sahaj algi. Lepas ini dah tak ada masa," katanya.
Ujarnya lagi, Umno sering berlagak seperti mereka hero dalam isu-isu berkaitan orang Melayu termasuk menggunakan isu Felda untuk mendapat sokongan orang Melayu.
"Akhir-akhir ini Umno khususnya cuba untuk menampilkan mereka adalah hero kepada Melayu dan dalam konteks apa sekalipun isu yang berbangkit dalam negara kita ini cuba dikaitkan dengan soal Ketuanan Melayu.
"Isu Felda pun cuba digambarkan seolah-olah ada golongan pengkhianat dan sebagainya," katanya.
Sedangkan katanya, pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim sendiri menegaskan ia tidak wujud dalam perlembagaan dan tidak perlu dibahaskan.
Sebaliknya Khoo berkata,dalam aspek sejarah, hanya 'Ketuanan Raja' yang termaktub dalam perlembagaan kerana rakyat perlu menunjukkan taat setia kepada raja.
Sebelum ini, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan parti itu meminta konsep ketuanan Melayu dihapuskan bagi membolehkan anak-anak membesar dengan visi 'bangsa bermaruah' atau 'Melayu bermaruah'.
Tunggu selesai kes mahkamah dulu
Saman RM1bilion: MB Terengganu tidak cerdik
KUALA TERENGGANU, 13 Dis: PAS menyifatkan dakwaan kononnya Kerajaan PAS Terengganu cuai sehingga disaman RM1 bilion dianggap berniat jahat, berkepentingan politik Umno serta kenyataan yang tidak cerdik.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, dakwaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bahawa kerajaan negeri sekarang terpaksa menanggung beban kerana kecuaian kerajaan PAS bermotif politik.
Baginya, Ahmad seorang yang tidak cerdik kerana tidak tahu membezakan antara kerajaan dengan parti politik.
“Kenyataan Mat (Ahmad) Said bahawa kerajaan Terengganu hari ini terpaksa menanggung beban hasil dari kecuaian Kerajaan PAS yang menyebabkan disaman RM1 bilion oleh Syarikat Riyapadu Sdn Bhd itu bermotif politik.
“Saya merasakan sebagai seorang Menteri Besar, saya rasa ‘Mat Said’ ini tidak reti beza antara kerajaan dengan parti politik. Sebab kerajaan ini satu entiti dan parti ini satu entiti yang lain.
“Rakan-rakan dia dalam Umno pernah kata Mat Said ini ‘bodoh’ tetapi saya tidaklah sampai ke tahap itu untuk kata dia seorang yang bodoh. Tetapi, saya rasa dia (Ahmad) tidak cerdik sikit dalam hal ini,” jelasnya yang merupakan bekas Exco kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Taman Seri Intan di sini, hari ini.
Menurutnya, Ahmad disifatkan kurang cerdik kerana menyalahkan PAS sedangkan kes tersebut masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.
Katanya, jika proses mahkamah belum selesai dikhuatiri boleh menimbulkan subjudis serta persepsi yang salah.
“Kes ini dia boleh menimbulkan subjudis sebenarnya kerana proses mahkamah belum selesai tetapi gambaran yang diberi oleh akhbar ini, seolah-olahnya kerajaan ini terpaksa tanggung beban RM1 bilion.
“Ini satu persepsi yang salah kerana proses mahkamah belum selesai lagi. Kes ini sekarang di Mahkamah Tinggi, selepas ini Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan,” ujarnya.
Menurutnya, isu tersebut cuba dipolitikkan oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional dengan melabelkan PAS sebagai yang bertanggungjawab.
Hadir sama pada sidang media tersebut Timbalan Pesuruhjaya (II) PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.
Mtotivasi kepada petugas
PARIT BUNTAR , 13 Dis. : PAS Parit Buntar mengambil inisiatif mengadakan program bagi memotivasikan petugas bagi mencungkil idea baru dalam menyusun gerak kerja agar selaras dengan kehendak Islam dan parti.
Ceramah motivasi berkenaan disampaikan Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di Dewan Tuan Guru Ahmad Tuan Husin, Titi Serong.
Yang Dipertua PAS Parit Buntar Harun Hashim berkata, kehadiran Naib Presiden parti itu ke Perak digunakan pihaknya untuk mengadakan program meningkatkan motivasi kepada petugas mereka.
Menurutnya, petugas PAS Parit Buntar mendapat suntikan semangat sebagai perangsang mengerakkan jentera parti di cawangan.
Beliau menggariskan beberapa strategi bagi memperkuatkan jentera parti yang meliputi aspek tarbiyah, pilihan raya dan kebajikan,” katanya.
Harun berkata, kebanyakan strategi yang dikemukakan Dato' Tuan Ibrahim sudah dilaksanakan PAS Parit Buntar.
“Namun, perlaksanaannya masih memerlukan penambahbaikan supaya menghasilkan natijah yang berkesan.
“Kehadiran Datuk Tuan Ibrahim banyak memberi manfaat kepada petugas PAS Parit Buntar untuk meneruskan perjuangan menegakkan Islam di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, seramai 100 petugas PAS Parit Buntar hadir dalam majlis yang turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua PAS Parit Buntar Abdul Bahrain Desa dan pimpinan PAS Parit Buntar. SH