Tuesday, December 14, 2010
Kerajaan Kedah akan tuntut balik bunga emas dari Thailand
ALOR SETAR, 15 Dis. : Kerajaan Negeri berhasrat untuk menuntut semula bunga emas dan bunga perak yang pernah diberikan kepada kerajaan Bangkok oleh Kerajaan Kedah suatu ketika dahulu.
Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan Negeri, Dr Hamdan Mohamed Khalib berkata, pihaknya telah meminta kerjasama Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri supaya membuat permohonan agar sepasang bunga emas dan perak diserahkan semula kepada negeri-negeri yang pernah menghantar ufti tersebut ke Bangkok dan sepasang lagi daripada Great Britain.
“Isu untuk menuntut semula bunga emas ini daripada Bangkok bukan isu baru, ia telah dibangkitkan oleh sejarawan negara sebelum ini. Malah bukan Kedah sahaja yang buat tuntutan, negeri-negeri lain seperti Kelantan juga pernah menyuarakan cadangan itu,” katanya.
Dr Hamdan yang juga Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Kedah berkata, sekiranya sukar untuk kita memiliki kembali bunga emas dan perak itu, sekurang-kurangnya pihak luar memberi pengiktirafan dan hak sama rata kepada Kedah terhadap warisan sejarah itu.
“Sekiranya usaha menuntut semula itu gagal, saya cadangkan supaya Unesco memberi pengiktirafan bunga emas dan perak itu sebagai warisan bersama kepada kedua-dua negara, khususnya Kedah dan Bangkok,” katanya.
Menurutnya, semua pihak perlu mencari jalan penyelesaian terbaik supaya pengiktirafan itu dapat dilaksanakan kerana bunga emas dan perak adalah antara simbol kegemilangan sejarah negeri Kedah, dari aspek kreativiti rakyat tempatan termasuk aktiviti perlombongan emas dan perak yang menjadi sebahagian daripada kegemilangan tamadun Kesultanan Melayu Kedah zaman dahulu.
“Walaupun agak sukar untuk kita mendapatkan semula warisan sejarah itu, namun saya percaya jika ada kesungguhan, serta komitmen semua pihak, tidak mustahil kita mampu mendapatkan pengiktirafan daripada Unesco,” katanya.
Dr Hamdan berkata, walaupun ianya hanyalah peninggalan sejarah, namun pengiktirafan itu memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara, selain mahu mengembalikan kegemilangan itu sebagai produk pelancongan negeri Kedah.
“Hasrat untuk menempatkan sepasang bunga emas dan perak di negeri ini dipersetujui hasil resolusi yang dicapai pada seminar bunga emas yang diadakan baru-baru ini. Bukan kita sahaja yang mahu hasrat itu direalisasikan tetapi ini juga kehendak pakar-pakar sejarah seluruh negara,” katanya.
Menurutnya, walaupun ada suara-suara sumbang yang mendakwa Kerajaan Negeri seperti ‘buruk siku’, namun bunga emas ini penting dalam nilai-nilai sejarah kita terutama untuk tatapan generasi akan datang.
Dr Hamdan berkata, sebanyak 28 pokok bunga emas telah dihantar kepada pemerintah Thailand di Bangkok sebagai tanda persahabatan dan hubungan mesra dua negara berjiran. Menurut Altarikh Salasilah Negeri Kedah penghantaran bunga emas dan perak ini bermula pada era pra-Islam, di mana kerajaan Thai di Ligor iaitu Nakhonsithamarat membantu Kedah apabila diserang oleh Burma.
Bunga emas dan perak dihantar sebagai tanda terima kasih selain pampasan kerugian kerana membantu Kedah dalam peperangan itu. Selain bunga emas, pemberian lain termasuk dua kayu kain kasa berkepala benang emas, 12 perisai, 12 tombak, 12 lembing dan 12 kayu kain putih. Pemberian ini dihantar disertai surat beradat dengan iringan 100 ekor gajah.
Bunga emas dan bunga perak berketinggian dua meter dan mempunyai empat cabang dengan kuntum bunga berbentuk bunga cengkih dan daun tiruan flora ketika itu.
Dr Hamdan berkata, pada 20 Disember ini, beliau bersama beberapa pegawai Lembaga Muzium Negeri Kedah akan ke Bangkok untuk melihat sendiri bunga emas terbabit yang dipamerkan di Royal Grand Palace.
“Pihak Muzium Negeri Kedah juga akan menerbitkan hasil kertas kerja seminar lalu dalam bentuk buku bagi tujuan dokumentasi dan penyebaran ilmu," katanya.SH
Zaid Presiden Parti Kesejahteraan Tanah Air (KITA)
KUALA LUMPUR, 15 Dis : Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), yang mengadakan mesyuarat tahunan pertama di luar Kelantan hari ini dan turut dihadiri Datuk Zaid Ibrahim, akan dikenali sebagai Parti Kesejahteraan Tanah Air (Kita).
Datuk Zaid Ibrahim secara rasmi dilantik sebagai presiden baru parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) hari ini.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu mengambil-alih jawatan barunya daripada Zakaria Salleh pada mesyuarat agung luar biasa pagi ini.
Zaid meninggalkan PKR pada November lalu dengan alasan tidak bersetuju dengan cara pemilihan kepimpinan parti itu.
Beliau ketika itu bertanding jawatan timbalan presiden dalam pertandingan tiga penjuru menentang Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub.
Zaid menganggotai PKR pada Jun tahun lalu selepas dipecat daripada Umno.Beliau meletakkan jawatan menteri kabinet kerana membantah beberapa tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri ketika pentadbiran Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi..
Tolak Najib bersama Umno sekali
KUALA LUMPUR, 15 Dis: Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat, Firdaus Jaafar (gambar) menyeru anak muda menolak ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dianggap menolak sistem demokrasi di negara ini.
Firdaus berkata, ucapan Najib dalam satu majlis Sabtu lalu bahawa tidak ada parti lain boleh memerintah sekiranya Umno/Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang amat mengecewakan.
"Saya selaku pengarah pilihan raya pemuda melihat ucapan Najib ini satu ucapan membelakangi demokrasi. Seorang Perdana Menteri tidak sepatutnya bercakap begitu. Kita ada sains politik, kita ada pakar-pakar politik yang membincangkan mengenai demokrasi, dan banyak peruntukan untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses demokrasi berjalan di Malaysia.
"Tapi kenyataan Perdana Menteri itu mengecewakan kita seolah-olah kalau Umno kalah tak ada siapa boleh menang. Mana boleh macam itu.
"Jadi saya mengajak anak muda untuk mengambil perhatian terhadap ungkapan ini dan saya menjangkakan akan lebih dahsyat lagi keluar dari pemimpin-pemimpin Umno yang menggambarkan kepada masyarakat kampung kalau BN kalah habis semua, hancur lebur," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.
Ahli Parlimen Jerai itu juga berkata, Umno/BN seharusnya membiarkan rakyat mengamalkan demokrasi dengan memilih kerajaan yang mereka mahukan, bukan mengeluarkan ungkapan-ungkapan sedemikian.
"Anak muda mesti melihat prinsip Pakatan Rakyat. Kita akan jaga demokrasi dalam negara ini. Ini jaminan kita. Tidak kisah siapa yang menang asalkan kita mengikut sistem demokrasi yang sebenar-benarnya.
"Kita nak mengajak rakyat bersama kita untuk memberi nafas baru dan politik baru kepada kerajaan Malaysia," katanya.
Tahniah kepada Guan Eng
Sementara itu,beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di atas pengumuman bayaran khas Maal Hijrah RM100 kepada kesemua 1,376 guru Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) di negeri itu dan bantuan khas sekolah sebanyak RM800 kepada setiap 7,812 anggota perkhidmatan awam negeri.
Beliau berkata, tindakan Guan Eng itu membuktikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat bersungguh-sungguh menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira kaum.
"Saya ucap tahniah kepada Lim Guan Eng yang telah memberi bantuan khas sekolah sekolah dan bantuan kepada guru KAFA.
"Ini hasil kejayaan apabila rakyat memberi mandat kepada Pakatan,maka satu persatu kebajikan telah kita tonjolkan kepada rakyat. Ini juga hasil jimat cermat Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang," katanya.
Sambil menyifatkan ianya langkah bijak Guan Eng, tambahnya, bukan sahaja di Pulau Pinang kebajikan rakyat terjamin namun di negeri Pakatan yang lain juga ianya turut berlaku.
"Ini langkah bijak dan semestinya negeri lain juga ada sesuatu yang diberikan. Kalau di Kedah, pada bulan Ramadhan Menteri Besar bagi sumbangan kepada guru Al-Quran sukarela, tok bidan sukarela. Ini juga insentif yang cuba dilakukan oleh negeri Pakatan rakyat.
"Sebab itu rakyat Malaysia mesti melihat kejayaan negeri Kelantan dan negeri-negeri lain yang telah menunjukkan kejayaan demi kekayaan walaupun tidak mendapat liputan media secara meluas.
Sehubungan itu ujarnya, selepas Konvensyen ke -2 19 Disember ini, Pakatan akan memperkukuhkan media alternatif bagi bersaing dengan media milik Umno/BN dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.
"Kita tak dapat liputan media yang menyeluruh tapi selepas konvensyen Pakatan ini kita akan kaji semula untuk kita mencari media alternatif kepada masyarakat iaitu media Pakatan Rakyat," katanya.
Anwar dituduh melawan, Najib dituduh tak melawan
KUALA LUMPUR, 15 Dis. : Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa perdana menteri Datuk Seri Najib Razak agar menyangkal pendedahan WikiLeaks yang mengaitkannya dengan wanita Mongolia yang mati dibunuh empat tahun lalu.
Ketua Pembangkang malam tadi mencabar Najib Razak melawan dakwaan itu sebagaimana dilakukan oleh beliau tanpa hanya mengetepikan pendedahan tersebut atas alasan ia perkara kecil.
Anwar menyatakan perkara demikian pada ceramahnya di Taman Melati di sini dengan kehadiran ribuan orang ramai walaupun pihak polis mengenakan pelbagai sekatan.
"Saya akan mempertahankan diri saya dan integriti saya. Saya mahu tanya Najib, adakah anda boleh mencabar Singapura agar membuktikan dakwaan itu. Itu sebabnya media Umno tidak berani melaporkan perkara itu.
"Apabila saya dituduh, saya akan melawan, tetapi apabila Najib dituduh apa beliau kata? Ini hanya perkara kecil," kata Anwar.
Dalam ceramahnya Anwar, beliau beberapa kali mengaitkan Najib dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang turut didedahkan oleh kabel-kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat, yang dibawa oleh WikiLeaks.
Najib telah berkali-kali menafikan dakwaan yang mengaitkan wanita itu dengan beliau.
Ceramahnya di Taman Melati malam tadi merupakan yang pertama selepas pendedahan WikiLeaks yang menyebut Anwar telah diperangkap tetapi beliau telah memasuki perangkap yang dipasang musuh-musuh politiknya.
Anwar dijadual mengadakan ceramah di Melaka, Negeri Sembilan selepas ini sebelum mengakhiri hujung minggu ini di Pulau Pinang sempena konvensyen Pakatan Rakyat.
"Apa itu WikiLeaks? Anda ada bukti? OK, saya akan menjawab dan saya telah meminta peguam saya menjawab. Adakah anda ada bukti? Adakah anda ada bukti teknikal?
"Jika Lee Kuan Yew mahu pergi ke mahkamah, sila teruskan dan bawa dia ke mahkamah. Biar beliau jadi saksi, saya tiada masalah. Bukan masalah saya sama ada anda percaya atau tidak," kata Anwar lagi yang merujuk kepada laporan akhbar Australia.
Laman web WikiLeaks telah menyiarkan sekitar 250,000 kabel diplomatik dari Amerika Syarikat, pendedahan mengenai pandangan dan ulasan yang amat mengejutkan, melibatkan pelbagai negara dan banyak pemimpin dan ketua kerajaan. Sekitar 1,000 kabel pula berkaitan dengan Malaysia termasuk sebahagiannya mengenai keengganan Putrajaya bekerjasama dengan beberapa pihak utama dunia.
Wikileaks diasaskan oleh wartawan Australia Julian Assange, yang sekarang ditahan Scotland Yard berhubung dakwaan kes seksual yang dibawa oleh Sweden.
Kabel mengenai kes liwat Anwar ini bertarikh November 2008 iaitu lima bulan selepas kes liwatnya terdedah dan disiasat polis.
Ia menyebut, "Australia mengatakan bahawa perkhidmatan risikan Singapura dan (pemimpin kanan Singapura) Lee Kuan Yew memberitahu ONA dalam pertukaran pandangan bahawa pemimpin pembangkang Anwar sememangnya melakukan perbuatan itu, yang beliau didakwa sekarang."
Dokumen itu juga mengatakan bahawa Singapura memberitahu ONA yang mereka membuat penilaian itu berasaskan risikan teknikal, yang mana kemungkinan dikaitkan dengan komunikasi yang dipintas, kata akhbar itu.
"ONA membuat penilaian, dan rakan-rakan sejawatan mereka dari Singapura bersetuju, ia adalah (satu) kerja (dia) diperangkap dan kemungkinan dia tahu mengenainya, tetapi bagaimanapun dia terlibat," kata kabel itu.
Di samping Anwar, turut berceramah adalah anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad, anggota Parlimen Batu Tian Chua, Tan Tee Kwong, Shamsul Iskandar dan juga Teresa Kok.
Tian Chua dalam ceramah itu berkata, pihaknya sedang berusaha supaya laporan WikiLeaks ini dibincangkan di Dewan Rakyat. Satu usul telah dibentangkan bagi membincangkan hal itu.
"Kita mahu Dewan Rakyat bincangkan laporan terhadap Anwar dan juga dakwaan terhadap Najib berkaitan dengan pembunuhan terhadap Altantunya yang juga disebutkan dalam dokumen WikiLeaks ini," kata Tian.
Petang tadi, peguam Anwar mengumumkan pihaknya akan menyaman Lee Kuan Yew dan juga Tun Dr Mahathir yang berkata beliau yakin pemimpin Singapura itu tahu Anwar melakukan sodomi itu.
Anwar mula menjelajah negara mulai semalam. Esok 16 Disember, Anwar akan berada di Dataran Muhibbah, Kampong Ismail, Ampangan, Negeri Sembilan dalam siri Ceramah Perdananya sehinggalah 19 Disember ini yang akan berakhir di Pulau Pinang.
Bas kilang terbalik, 14 cedera
NIBONG TEBAL, 15 Dis. : Seramai 14 orang pekerja kilang cedera apabila bas kilang yang mereka naiki terbabas lalu terbalik di Km 156.2 Lebuhraya Utara-Selatan di sini selepas bergeseran dengan sebuah treler yang turut terhumban ke dalam parit.
Kejadian berlaku kira-kira 8 malam ini di mana kedua-dua kenderaan berkenaan sedang menuju ke arah selatan. Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Supt Shafien Mamat berkata kemalangan berlaku ketika treler itu yang membawa kontena hendak memotong bas kilang tersebut yang dipercayai membawa 30 pekerja kilang Flextronics.
"Treler berkenaan bagaimanapun hilang kawalan dan bergesel dengan bas yang mengakibatkannya terbabas ke dalam parit di tepi lebuh raya manakala bas itu pula terbalik di atas jalan," katanya.
Beliau berkata 12 orang pekerja cedera ringan dan dibawa ke HospitalSungai Bakap manakala dua orang lagi yang cedera parah dikejarkan keHospital Seberang Jaya.
Pemandu bas kilang berkenaan, Aizat Mohamad, 37, memberitahu beliau sedang dalam perjalanan dari Bukit Minyak, Bukit Mertajam menuju ke Bukit Merah,Taiping, Perak untuk menghantar pekerja kilang.
"Secara tiba-tiba, saya berasa ada satu hentaman yang kuat di belakang bas saya menyebabkan saya hilang kawalan bas saya yang seterusnya melanggar pembahagi jalan," katanya yang hanya cedera ringan.
Seorang pekerja, Suhila Ahmad, 29, berkata beliau sedang tidur ketika kejadian dan secara tiba-tiba terdengar rakan-rakan saya menjerit dengan kuat.
"Tiba-tiba sahaja keadaan bas menjadi kecoh dan masing-masing menjerit tetapi tidak tahu apa yang sedang berlaku," katanya yang cedera dan menerima jahitan di telinga. Seorang lagi mangsa, Nor Suraini Md Saad, 29, berkata beliau turut terasa satu hentaman yang kuat di bahagian belakang sebelum bas yang mereka naiki terbalik di tengah jalan.
"Saya sempat nampak beberapa rakan saya patah tangan ketika bas terbalik ditengah jalan," katanya yang hanya cedera ringan di tangan.
Kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang 10 kilometer menghala ke arah selatan lebuh raya berkenaan akibat bas yang menghalang laluan di satu lorong lebuh raya itu.
Mukhriz Mahathir mengidam jawatan itu
ALOR SETAR, 15 Dis. : Kedengaran Umno-BN Kedah akan berhadapan rombakan besar-besaran. Dikatakan ramai yang menanti rombakan itu akan dilakukan Presiden Umno-BN, Datuk Seri Najib Razak.
Baca laporan media, nampak semacam anak mantan PM, Tun Mahathir akan ditabal kepala Umno-BN Kedah. Betoi ke tak, taklah diketahui.
Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir nampak seperti dah mula susun kata-kata seolah-olah beliau baru sahaja mendapat mimpi dari nujum untuk jawatan tertinggi Umno-BN Kedah.
Kebiasaan, negeri yang Umno-BN bergelar pembangkang akan banyak berlaku rebutan jawatan di kalangan sendiri. Semuanya kerana jawatan itu menjamin kekayaan mereka hasil peruntukan kerajaan pusat yang disalahgunakan salurannya seperti yang sepatutnya disalurkan kepada kerajaan negeri namun kerana tiada ‘kemaluannya’ Umno-BN, semuanya disalurkan melalui Umno-BN negeri. Woi!...mak bapak hangpa punya ke peruntukan negeri tu?
Hasilnya, maka berebut-rebutlah golongan tamak haloba ni nak jadi ketua Umno-BN di negeri itu.
Namun, jawatan itu semuanya bergantung kepada kepala Umno-BN pusat nak tentukan siapa yang hendak diberikan. Kalau ada sape-sape yang berangan-angan nak, kenalah cium tangan kepala Umno-BN pusat tu. Ampulah banyak-banyak sikit baru dapat. Sebabnya, depa nak kena kuatkan orang-orangnya sendiri agar kedudukannya selamat.
Sinar Harian - Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir bersedia menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin di negeri kelahirannya di Kedah jika diberi peluang Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Menurutnya, beliau bersedia menggalas apa juga kapasiti, malah tidak tertumpu pada satu-satu jawatan.
Bagaimanapun katanya, sebarang rombakan kepimpinan UMNO Kedah yang mungkin dibuat menjelang pilihan raya umum akan datang adalah hak mutlak Mohd Najib sebagai presiden parti.
“Saya tidak dimaklumkan mengenai keputusan rombakan oleh beliau (Mohd Najib) dan agaknya di Kedah kini dilihat memang ramai yang menanti perubahan dilakukan.
“Rombakan diperlukan di Kedah, mungkin disebabkan terdapat beberapa desakan meminta supaya jawatan peringkat tertinggi dipegang orang tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), petang semalam.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md Yunos Husin mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Mukhriz berkata, persiapan dan persediaan perlu bermula sekarang untuk menonjolkan pemimpin yang dirasakan diterima rakyat.
“Sebab itu saya kira adalah wajar pemimpin yang dipilih adalah dari negeri itu sendiri.
“Jika diizinkan, saya dapat membantu peringkat nasional UMNO Kedah untuk menawan semula negeri berkenaan, maka arahkan sahaja dan saya sedia menggalas tugas,” katanya.Warkah Daily
Pengkhianatan atas nama Ketuanan Melayu
Gambar ini diambil ketika saya membuat liputan di Kampung Chubadak, Sentul pada tahun Disember 2006. Peneroka bandar (atau penduduk setinggan dari kaca mata arus perdana) diarahkan untuk mengeluarkan apa-apa yang berharga sebelum rumah kayunya diranapkan jentolak. Tiada lagi ruang untuk harapan agar jangka rundingan dilanjutkan. Pembangkang, NGO dan media hanya menunggu masa perobohan berlaku.
Ketuanan Melayu dan hipokrasi Umno
Umno-BN ternyata mudah panik dan menggelabah. Memang siapa pun tidak menyangka Pakatan Rakyat (yang dibentuk secara rasmi selepas pilihan raya itu) mampu mempamerkan prestasi sebegitu cemerlang. Paling ketara, pengundi bukan Melayu (serentak Cina dan India) menolak total BN (khususnya MCA dan Gerakan). Parti yang paling beruntung dan mendapat laba besar adalah DAP. Hampir semua calonnya menang.
Tanpa menunggu lama, api perkauman cuba dimarakkan kembali. Ternyata Umno ketandusan idea segar dalam usaha merebut negeri-negeri yang kecundang. Selama ini DAP memang ditohmah sebagai parti 'chauvinist Cina'. Formula lapuk Umno seperti yang termaktub dalam kurikulum BTN - membangkitkan emosi kaum demi survival BN. Melalui media yang dikontrolnya, terutama Utusan Malaysia dan siaran berita TV, "lagu lama" yang mendakwa kepentingan Melayu terancam di bawah kerajaan negeri Pakatan, didendangkan berulang kali.
Terbaru, melihat "keterlanjuran" Dr Wan Azizah Wan Ismail mengupas konsep ketuanan Melayu, semasa membentangkan Ucapan Dasar Presiden KeADILan dalam kongres nasional tahunan ke-7, Umno terus mengekspolitasi keadaan itu semaksimum mungkin. (Dalam teks asal dinyatakan, konsep "ketuanan Melayu" ini wajib dibakulsampahkan. Ramai merasakan ia boleh menimbulkan salah tafsir jika tiada penerangan terperindi dilampirkan). Berhari-hari serangan dilakukan secara bertubi-tubi, selain mengkritik proses pemilihan kepemimpinan KeADILan, yang dilihat ada kepincangan dan menimbulkan rasa tidak puas hati ahli-ahlinya dan calon-calon yang bertanding.
Dr Wan Azizah dalam ucapannya itu menyenaraikan kepincangan Umno, dan seterusnya merumuskan: "Para pemimpin Umno bukan berjuang untuk membela orang Melayu. Parti itu hanya berminat untuk menjaga kepentingan taukeh-taukeh tertentu. ...Isu survival Melayu dan agama Islam di Malaysia ini tidak akan dapat diselesaikan jika kita masih melihatnya melalui teropong Umno dan para konconya. Ia perlu dikaji dari perspektif baru dalam fenomena baru realiti politik berasaskan demokrasi di Malaysia. Jika Umno benar-benar ikhlas, hentikan segala kezaliman, penindasan dan kemungkaran yang diamalkan selama ini."
Dalam pada itu, tentulah tidak sukar untuk memalitkan wajah hodoh perkauman kepada DAP, dan langkah sasaran seterusnya adalah kepada KeADILan. Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim yang menjadi pencabar terhebat kepada hegemoni Umno-BN, menjadi target khusus. Imej Ketua Pembangkang itu mahu direndahkan ke peringkat "pengkhianat Melayu" yang sanggup "menjual" segalanya demi menggapai impian menjadi perdana menteri. Anwar sering dituduh bertindak seumpama sesumpah, yang akan bertukar rupa mengikut tempat, keadaan dan keperluan atau kepentingan! ... Ya, apa lagi istilah "jelik dan jijik" dan "sumpah-saranah" yang belum dihadapkan kepada Anwar?
BN memang diselamatkan oleh pengundi Melayu pada 2008. Sebahagian besar masyarakat bukan Melayu melakukan menggunakan sepenuhnya peti undi demi "mengajar BN". Perancang kempen BN mungkin menjangkakan, walaupun pelbagai "pembaharuan" cuba dilakukan Najib Razak untuk menarik kembali sokongan pengundi bukan Melayu, namun keberhasilannya cukup-cukup diragui. Jadi, BN tidak mahu terlepas daripada terus mendakap undi orang Melayu, dengan formula mudah, iaitu dengan terus menonjolkan imej sebagai "juara Melayu".
Jalan singkat adalah dengan mempamerkan situasi seolah-olah kepentingan orang Melayu begitu terancam dan tergugat. Melayu yang masih ketinggalan jauh (walaupun selepas diperintah BN lebih 50 tahun) digambarkan dalam kedudukan kritikal di negara sendiri. Sudahlah lemah, parti-parti politik di luar BN, khususnya DAP dan KeADILan, didakwa tidak pernah menjunjung hasrat untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat Melayu. Malah, parti-parti berkenaan ditohmah tidak mendokong peruntukan Perlembagaan mengenai hak istimewa orang Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu dan seumpamanya. PAS pula dilabelkan sebagai parti pak turut yang begitu lemah sehingga boleh diperkotak-katikkan oleh KeADILan dan DAP.
Ditinjau kempen Umno-BN selama ini, apa yang berlaku itu sudah dapat diduga. Tengku Razaleigh Hamzah, semasa mengetuai Team B menentang Dr Mahathir Mohamad dalam pemilihan Umno, April 1987 dan ketika bersama PAS (membentuk Angkatan Perpaduan Ummah) dalam pilihan raya umum 1990, juga tidak terlepas daripada dilabelkan tuduhan hampir sama. Umno menyedari bahawa majoriti orang Melayu - yang masih ketinggalan dalam banyak bidang kehidupan di bawah pemerintahannya sejak merdeka - mudah dicuit emosi hanya dengan "menggilap" kembali pertuduhan palsu berkaitan isu perkauman.
Istilah ketuanan Melayu cuba dikaitkan dengan beberapa peruntukan yang terjamin dalam Perlembagaan seperti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Sebarang kritikan terhadap "konsep yang begitu dipolitikkan itu" akan dianggap sebagai suatu gerakan terancang untuk mengkhianati orang Melayu.
Keadaan serupa juga timbul apabila perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dikritik. Walhal yang dipertikai adalah tipu-helah elit Umno untuk mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya atas nama Melayu, sedangkan majoriti bangsa sendiri terus dihimpit kemiskinan dan kemelaratan. Apa kena mengena DEB dengan penganugerahan projek kerajaan yang begitu tinggi bidaannya kepada taukeh Melayu berbanding nilai lebih rendah yang ditawarkan pengusaha Cina misalnya? Mengapa khazanah negara mesti dibazirkan hanya untuk memuaskan nafsu serakah kontraktor Melayu kroni penguasa, yang kemudiannya sekadar menyumbangkan sedikit dana politik untuk kempen BN?
Tembelang pemimpin Umno terdedah semasa kempen mereka untuk meminda Perkara 181 Perlembagaan berkaitan imuniti Raja-Raja Melayu. Habis ditelanjang dan diganyangnya "perilaku negatif" sultan tertentu. Timbul pendedahan secara meluas di dada-dada akhbar tentang istana besar, kawasan balak dan gaya hidup mewah mereka. Benar, raja-raja juga tidak terlepas daripada kelemahan dan kesilapan, dan sesiapa pun tidak perlu mempertahankan gaya hidup orang istana yang melampaui batas. Soalnya, apakah kaedah yang dipilih Dr Mahathir Mohamad ketika itu merupakan pendekatan terbaik untuk menyelesaikan konflik?
Ku Li, dalam ucapannya sebagai Presiden Semangat 46, di Kota Bharu, pada 3 Januari 1993 mengulas hal ini: "Istana, kawasan balak dan kontrak diberikan oleh pemimpin Umno. ... Raja-Raja disuap dengan kemewahan supaya mereka lemah dan boleh diheret ke mana-mana. Raja yang lemah boleh diperas ugut bagi menyokong tindakan mereka pula.
Kita ingin tanya, sultan diberi 40 ribu hektar kawasan balak keran ia sultan, tetapi bagaimana pula kisah seorang Cina diberikan 1.5 juta hektar kawasan balak? Bagaimana pula dengan pulau, seperti Pulau Redang, Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Layang-Layang, atau pun bukit, seperti Bukit Bendera, Bukit Kiara dan Bukit Jalil yang diberikan kepada orang tertentu yang tiada kena mengena dengan sultan? Tanyalah kepada pemimpin Umno sendiri, siapakah yang memonopoli hartanah di Selangor dan Wilayah Persekutuan? Pulau-pulau, bukit-bukit dan hartanah ini jauh lebihj besar dan bernilai daripada istana-istana Sultan."
Ironinya, apabila Umno terdesak dan hampir kelemasan, terutama selepas menyedari rakyat mula menolaknya, maka antara yang mahu dipautnya adalah Raja-Raja Melayu. Pakatan Rakyat digambarkan seolah-olah bertindak tanpa adab mengetepikan prinsip-prinsip asas dalam Perlembagaan, termasuk merendah-rendahkan institusi Raja-Raja Melayu. Imiginasi pemimpin Umno dan media di bawah kongkongannya sungguh dahsyat sekali! Benda yang tidak wujud sengaja diada-adakan semata-mata untuk menghasut rakyat, terutama orang Melayu, untuk menolak Pakatan.
Apa pun, saya masih teringat penegasan Najib Razak dalam perhimpunan agung Umno 2010: "Hak orang Melayu dilindungi sepenuhnya serta 'terkunci kemas' dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat ... seandainya mempunyai dua pertiga dalam Parlimen pun, ia tidak akan mampu mengubah setitik apa pun jua, tanpa kebenaran Majlis Raja-Raja yang dianggotai oleh sembilan Raja-Raja Melayu."
Jadi, apa yang perlu pemimpin Umno dan Utusan Malaysia sibuk-sibuk sangat mengeksploitasi isu ketuanan Melayu ini, kan?Ahmad Lutfi Othman
Umno, polis sekat pun tak jadi
KUALA LUMPUR, 15 Dis: Walaupun penuh dengan sekatan polis, ia tidak menghalang orang ramai memenuhi kawasan lapang taman Melati dekat sini untuk mendengar sendiri penjelasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya tentang tuduhan terbaru para pemimpin Singapura melalui WikiLeaks.
Dan di majlis itu, Anwar tidak hilang karismanya sebagai pemimpin apabila berkata, “Adakah kamu fikir saya ini bodoh untuk memasuki perangkap apabila tahu ianya perangkap? Jangan cabar saya terlalu berlebihan! Saya akan dedahkan kes pembunuhan yang telah dilakukan dan cuba ditutup rapat.”
“Wikileaks, apa bukti kamu, bawa Lee Kuan Yew ke mahkamah. Saya tidak peduli, kamu fikir saya buat atau tidak. Itu bukan urusan saya. Kamu ada rakaman video atau catatan doctor, bawa ke mahkamah,” kata Anwar disambut tepukan gemuruh para penyokongnya.
Anwar merujuk kepada dakwaan para pemimpin Singapura dan diplomat mereka dalam apa yang dinamakan sebagai pendedahan oleh WikiLeaks melalui media Australia yang antara lain mendakwa Anwar telah diperangkap oleh musuhnya dalam kes sodomi dan Anwar sendiri memasuki perangkap itu.
Walaupun cuba diterangkan oleh para pemimpin Pakatan mengenainya, namun semua media tradisional negara menutupnya. Laporan WikiLeaks juga diambil tentang dakwaan Lee Kuan Yew terhadap Anwar sahaja tetapi laporan tentang pembunuhan Altantuya Shariibuu tidak disiarkan.
Di samping Anwar, turut berceramah adalah anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad, anggota Parlimen Batu Tian Chua, Tan Tee Kwong, Shamsul Iskandar dan juga Teresa Kok.
Tian Chua dalam ceramah itu berkata, pihaknya sedang berusaha supaya laporan WikiLeaks ini dibincangkan di Dewan Rakyat. Satu usul telah dibentangkan bagi membincangkan hal itu.
“Kita mahu Dewan Rakyat bincangkan laporan terhadap Anwar dan juga dakwaan terhadap Najib berkaitan dengan pembunuhan terhadap Altantunya yang juga disebutkan dalam dokumen WikiLeaks ini,” kata Tian.
Siang tadi, peguam Anwar mengumumkan pihaknya akan menyaman Lee Kuan Yew dan juga Tun Dr Mahathir yang berkata beliau yakin pemimpin Singapura itu tahu Anwar melakukan sodomi itu.
Anwar mula menjelajah negara mulai semalam. Esok 16 Disember, Anwar akan berada di Dataran Muhibbah, Kampong Ismail, Ampangan, Negeri Sembilan dalam siri Ceramah Perdananya sehinggalah 19 Disember ini yang akan berakhir di Pulau Pinang.
Penulis buku teks Sejarah pun Umno juga
UMNO Kencing Budak Sekolah : Banyak Fakta Sejarah Berat Sebelah
KUALA LUMPUR, 14 Dis. : Beberapa penulis dan ahli akedemik berkata, kandungan fakta dalam buku teks sejarah adalah tidak tepat dan berat sebelah. Penulis buku, Dr Ranjit Singh Malhi, yang menulis buku sejak 1990 dan pernah menjadi penasihat buku teks sejarah kepada Kementerian Pelajaran, berkata, kebanyakan fakta yang terkandung dalam buku tersebut dibanjiri dengan fakta yang salah dan diputarbelitkan.
Dalam temu ramah kepada akhbar The Sun hari ini, Dr Ranjit berkata, beliau pernah cuba memaklumkan kesalahan fakta dalam kandungan buku-buku tersebut, namun telah ditolak oleh pegawai di kementerian terbabit malah mereka menuduhnya sebagai ‘anti nasional’.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman bahawa sukatan pelajaran sedang dikaji semula dan bakal dijadikan subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2013.
Lima daripada 10 bab dalam buku teks sejarah tingkatan empat berkisar tentang sejarah Islam berbanding kepada hanya satu bab saja dalam buku teks sebelumnya yang bertujuan untuk mendedahkan pelajar kita kepada sejarah dunia.
“Buku teks sejarah bagi sekolah menengah digunakan untuk mempromosikan kepentingan politik, sepatutnya ia dijuruskan kepada soal ilmuwan dan tidak bermotifkan politik”, kata Dr Ranjit Singh Malhi.
Ranjit seterusnya memberi contoh bagaimana sesetengah personaliti tidak diberikan pengiktirafan yang sewajarnya, seperti Yap Ah Loy yang memainkan peranan besar memajukan Kuala Lumpur sebagai pusat komersil dan lombong bijih, terutamanya selepas kebakaran pada 1881 lalu.
Menurutnya, hanya sebaris ayat sahaja yang terdapat dalam buku teks sejarah tingkata dua menyatakan bahawa Yap sebagai salah seorang yang bertanggungjawab membangunkan Kualal Lumpur.
Pengalaman dan kenyataan Dr Ranjit berkenaan turut dipersetujui oleh Ng How Kuen yang menulis buku sejarah untuk Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK).
Ng melahirkan kebimbangannya bahawa seseorang pelajar itu akan terpaksa menerima sesuatu versi sejarah yang ditetapkan atau menghadapi risiko gagal dalam keputusan keseluruhan peperiksaan tersebut.
Menurut Ng, berdasarkan fakta-fakta yang salah dan diputarbelitkan itu, sudah tiba masanya kandungan fakta buku-buku teks berkenaan dikaji semula.
“Kita selalu terpaksa menerima atau mengikut kurikulum yang disediakan oleh Kementerian pelajaran dan sekali gus membolehkan parti pemerintah memiliki kelebihan dalam mentafsir sejarah kita” – Ng How Kuen
Beliau turut memberi contoh seperti sumbangan komunis dalam menuntut kemerdekaan telah diketepikan dalam fakta sejarah buku-buku teks tersebut.
Justeru, katanya lagi, buku-buku teks sejarah wajar ditulis oleh ahli-ahli sejarah dan bukan guru-guru kerana ahli sejarah tidak terikat kepada kurikulum yang ditetapkan.
Ng menambah, pelajar tahu fakta sebenar, tetapi oleh kerana buku teks tersebut ditulis mengikut kurikulum yang diluluskan, mereka akhirnya mempelajari sesuatu yang telah diputarbelitkan.
Pendapat tersebut turut dipersetujui pakar sejarah daripada Universiti Malaya (UM), Profesor Emeritus, Khoo Kay Khim.
“Saya rasa masalah sekarang ialah kebanyakan orang yang menulis buku teks bukan menggunakan pengetahuan berasaskan penyelidikan.
“Walaupun penulis yang diberi peluang itu bukan orang yang berpengalaman, sepatutnya tulisan mereka seharusnya dibaca dan dinilaikan oleh ahli sejarah yang mempunyai pengalaman, tapi ini tidak dilakukan, malah saya tahu banyak perkara yang penting tidak dibincangkan dalam buku teks.
“Itu saya rasa satu yang sangat membimbangkan, apa yang berasaskan dokumen dan berasaskan apa yang sudah dipastikan tidak sepatutnya ditolak oleh pegawai-pegawai yang kurang pengalaman dalam bidang sejarah itu,” katanya
Ezam bakal dapat jawatan tinggi dalam Umno Selangor
Karier politik Khir Toyo cuba ‘dibunuh’ kerana mahu angkat Ezam?
SHAH ALAM, 14 Dis. : Bila dah tak boleh pakai dah, apa lagi nak tunggu. Humban ajelah dalam sungai Klang. Senangkan gaya berpolitik dalam Umno-BN.
Khir Toyo yang juga bekas Menteri Besar Selangor dan Datuk Shamsuddin Hayroni, 54, dihadap ke Mahkamah Sesyen Shah Alam di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan di atas kesalahan mendapat dua lot tanah dengan cara yang meragukan.
Lot banglo itu dibeli dengan harga RM3.5 juta pada 2007 melalui Shamsuddin yang merupakan Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd, sedangkan hartanah tersebut dibeli syarikat tersebut dengan harga RM6.5 juta pada 2004.
Khabarnya, ‘hapus’ karier politik Khir ada sebabnya. Kalau dah tak memberi apa-apa makna lagi untuk Umno Selangor, lebih baik cari penggantinya, ya bukan…
Menurut laporan dalam Harakahdaily, berdasarkan sumber yang diyakini dalam Umno, mungkin bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Senator Ezam Mohd Noor akan dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno Selangor dalam masa terdekat bagi membantu Datuk Seri Noh Omar.
Ezam diletak di posisi tinggi dalam Umno Selangor dikatakan sebagai balas budi selepas beliau berjaya mengaibkan bekas ketuanya dengan pelbagai tuduhan.
Sumber Umno memberitahu, kehadiran Ezam di Perhubungan Umno Selangor direstui pengerusinya, Datuk Seri Najib Razak, kini dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan bekas pemimpin PKR terbabit.
“Ezam disebut-sebut sebagai tokoh Umno di Selangor kerana tiada tokoh lain lagi yang dipercayai Najib, lagi pun Noh Omar lebih perlu diperlukan Najib di peringkat persekutuan.
“Jadi dalam projek menawan Selangor daripada Pakatan Rakyat, tugas besar diletakkan kepada Ezam kerana beliau mempunyai ramai kenalan dalam PKR,” katanya di sini.
Difahamkan nama Ezam dijulang berikutan bekas Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo diseret Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke mahkamah atas tuduhan isu rasuah.
“Tidak dapat dinafikan Najib akan melepaskan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor menjelang pilhan raya nanti bagi memberi peluang kepada Noh dan Ezam merangka strategi merampas Selangor.
“Selangor cukup penting kepada BN memandangkan sumber ekonominya boleh membantu menguatkan Umno,” kata sumber Umno.
Sumber lain pula mendakwa Umno dan BN Selangor akan menggunakan pengundi pos bagi membolehkan projek merampas negeri terbabit benar-benar menjadi kenyataan.
Katanya, pengundi pos bukan lagi di kalangan anggota polis dan tentera, sebaliknya anggota Rela juga akan disenaraikan sebagai pengundi pos di Selangor.
Menurutnya, biar pun perkara itu dinafikan berkali-kali kerajaan, namun proses menyerapkan anggota Rela sebagai pengundi sedang dilakukan secara sulit.
“Perkara itu berjaya dilakukan di Terengganu pada 2004 apabila peratusan keluar mengundi begitu luar biasa sekali sehingga ada yang mencecah 95 peratus,” katanya.
Penganalisis politik tempatan mendakwa usaha Noh melenyapkan karier politik Khir kini semakin menjadi kenyataan apabila kes rasuahnya dihadap ke mahkamah.warkah daily
Ketuanan Melayu: Nik Aziz pohon Raja-raja Melayu selesai guna al-Quran
Dalam kenyataan terbaru menyentuh polemik ungkapan Ketuanan Melayu, Mursyidul Am PAS berkata, Raja-raja Melayu yang memperlihatkan kebimbangan mengenai kedudukan orang Melayu sejak kebelakangan ini, perlu tampil mencari jalan penyelesaian menggunakan lunas al-Quran.
“Apabila terdapat beberapa orang Raja-raja Melayu yang menyuarakan kebimbangan berkenaan nasib orang Melayu, saya sarankan supaya marilah kita merujuk kepada al-Quran.
“Pada saya, Raja-raja Melayu berhak bimbang jika benar orang-orang Melayu terancam, tetapi marilah kita mencari penawar yang betul untuk penyakit yang berlaku,” kata beliau yang masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Dalam hal ini, kata Menteri Besar Kelantan, ungkapan Ketuanan Melayu merupakan ubat yang salah bahkan ia sebenarnya racun yang bisa.
“Justeru, bolehkah kiranya saya meletakkan harapan kepada pihak Raja-raja Melayu agar membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah yang berlaku? Yakinlah, dengan Islam, Melayu akan terbela,” katanya lagi.
Sejak bulan lalu, pendebatan isu konsep Ketuanan Melayu ini begitu hebat diperkatakan selepas Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan dasar Kongres Naional PKR meminta supaya “Ketuanan Melayu” ditinggalkan.
Malah Perkasa juga mengkritik dengan menyifatkan Dr Wan Azizah sebagai “pelacur politik” dan kacang melupakan kulit kerana meminta ungkapan “Ketuanan Melayu” diketepikan bagi memajukan orang Melayu.
Dalam kenyataan hari ini juga, Nik Aziz mendakwa Umno tidak mengutamakan kepentingan soal agama Islam tetapi mengagung-agungkan ungkapan Ketuanan Melayu yang dilihat tidak memberikan sebarang faedah kepada negara terutamanya orang Melayu.
Beliau berkata jika bercakap tentang ketuanan ia mesti kembali kepada Islam, bukannya Melayu yang selama ini menjadi modal perjuangan Umno.
“Ketuanan hendaklah kembali kepada Islam. Tidak dinafikan bahawa di negara ini majoriti umat Islam ialah berbangsa Melayu, ini sepatutnya menjadi satu kebanggaan bangsa Melayu sendiri yang sudah menerima Islam beratus-ratus tahun yang lampau.
“Bukankah Islam itu anugerah daripada Allah? Tidakkah hanya orang yang bertuah sahaja yang akan menerima anugerah daripada Allah s.w.t,” soal Nik Aziz.
Beliau juga melahirkan rasa kecewa apabila ada di kalangan orang Melayu di negara ini menolak Islam.
“Namun, dukacita sekali apabila ada orang Melayu sendiri yang menolak Islam, menolak Islam bererti menolak ketuanan Islam dan bila menolak Islam ertinya menolak anugerah Allah.
“Seolah-olah Islam ini bahan buangan yang tidak layak untuk diterima, demikianlah barangkali tanggapan mereka yang mengetepikan Islam sebagai perundangan hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata slogan “Ketuanan Melayu” yang dilaungkan pemimpin Umno langsung tidak menggambarkan konsep Islam apabila bergelumang dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah.
“Hari ini, seruan Islam yang menjadi tonggak orang Melayu ini diganti dengan nasionalis. Dengan slogan Ketuanan Melayu, mereka beria-ia menjulang keris tumpul itu kononnya merekalah pendekar sejati mempertahankan hak Melayu.
“Apa yang peliknya, di samping menjulang ketuanan Melayu itulah, mereka telah terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah. Halalkah pelakuan rasuah ini di sisi mazhab ketuanan Melayu? Melaungkan Ketuanan Melayu dengan mengetepikan Islam hanya akan menjadikan bangsa Melayu lebih hina, bukannya lebih mulia,” katanya.
Oleh yang demikian, Nik Aziz mahu rakyat di negara ini berfikir secara matang sekiranya masih mahu Umno-Barisan Nasional (BN) memerintah negara.
“Bolehkah pimpinan sebegini menjadi tempat bergantung rakyat? Bukan sahaja orang bukan Melayu, bahkan orang Melayu sendiri akan disembelih dengan slogan seperti ini.
“Buktinya, di Kelantan yang majoritinya bangsa Melayu, dinafikan peruntukan pembangunan dan royalti minyak oleh ketuanan Melayu. Orang Melayu tidak terjaga, Islam pun terlepas dari genggaman.
“Hakikatnya, perjuangan ketuanan Melayu ini hanyalah perjuangan sia-sia. Demi menyedarkan rakyat tentang hakikat inilah, saya gagahi diri saya untuk terus berjuang memberikan kefahaman agar rakyat menerima Islam sebagai addin (din dan daulah),” katanya.
2000 perwakilan PR hadiri Konvensyen ke 2
KUALA LUMPUR, 14 Dis: 2000 perwakilan dari parti-parti komponen Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP dijangka akan berhimpun di Dewan Milllenium Kepala Batas Ahad ini untuk menyertai Konvensyen Ke 2 Pakatan Rakyat.
Mereka dijangka mempersiapkan Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Setiap parti akan menghantar 600 perwakilan tidak termasuk para pemimpin utama parti berkenaan, tetamu dan para pemerhati.
Sepanjang konvensyen, empat perwakilan setiap parti akan membahaskan perbentangan yang akan dibuat oleh tiga jurucakap utama parti masing-masing.
"Fokus akan diberikan kepada dua perkara utama dalam konvensyen ini iaitu cerita kejayaan negeri-negeri Pakatan dan mempersiap kami semua untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13," kata Mujahid Yusof (gambar), Pengarah konvensyen ini.
Untuk mencapai tujuan itu, klip video cerita kejayaan kerajaan negeri Pakatan akan dipersembahkan kepada semua perwakilan semasa konvensyen ini.
Kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat juga akan mempamerkan kejayaan mereka melalui booth pameran yang akan mereka sediakan di konvensyen ini.
Selain Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah turut akan membuat pameran adalah kerajaan negeri Perak ketika diperintah Pakatan dan kerajaan Terengganu dari tahun 1999 ke 2004 yang tidak diketahui masyarakat tentang kejayaan mereka.
Menurut Mujahid, konvensyen ini juga akan menghasilkan 'buku oren' iaitu buku yang menggariskan polisi Pakatan dalam bentuk perincian dari Dasar Bersama yang telah diluluskan dalam konvensyen pertama tahun lepas.
"Ia berupa pra manifesto kita dalam pilihan raya umum akan datang," kata Mujahid.
Tema konvensyen kali ini adalah "Ubah Sekarang" untuk mengajak rakyat membuat perubahan dalam pilihan raya umum akan datang.
"Video klip cerita kejayaan, booth kerajaan negeri Pakatan dan buku oren ini akan menjadi isi atau asas kenapa kita mengajak rakyat ubah sekarang," kata Mujahid.
Dalam konvensyen lepas, katanya, konvensyen telah selesaikan asas bersama iaitu penerimaan Pakatan kepada Islam agama persekutuan, kedudukan bahasa Malaysia dan juga kedudukan raja-raja Melayu.
Kali ini, kata Mujahid, pengisian akan dibuat sepenuhnya bagi mempastikan semua sektor rakyat bersedia untuk bersama-sama membuat perubahan dalam pilihan raya umum akan datang.
"Kami yakin, dengan cerita kejayaan yang telah kerajaan Pakatan buat, rakyat akan yakin kita mampu memberikan jauh lebih baik berbanding BN," katanya lagi.
Saksi lihat tertuduh lepaskan tembakan ‘tap’ tap’ tap’
SHAH ALAM, 14 Dis. : Saksi perbicaraan kes tembakan remaja Aminulrasyid Amzah hari ini memberitahu mahkamah tertuduh, Koperal Jenain Subi mula melepaskan tembakan setelah kereta Proton Iswara putih yang dipandu mangsa menghala masuk ke Jalan Tarian 11/2 di sini.
Anggota polis peronda MPV Balai Polis Seksyen 11 Konstabel Hafizd Mohd Yusof berkata, beliau juga sempat melihat kedudukan Jenain sebelum melepaskan tembakan ketika memandu kereta peronda polis Selangor 614 pada malam kejadian.
"Kepala (Jenain) ke luar tingkap, kaki dalam kedudukan melipat ke atas tempat duduk kerusi penumpang hadapan, manakala senjata diletakkan dibahu dan menghala ke bawah," katanya.
Beliau yang juga rakan setugas membawa Jenain dalam kereta peronda Selangor 614 berkata, jarak antara kereta yang dipandunya semasa Jenain bersedia untuk melepaskan tembakan pertama dengan kereta Proton Iswara BET 5023 adalah sejauh kira-kira 50 kaki.
Beliau dalam keterangannya juga berkata, Jenain melepaskan tembakan ke arah BET 2053 kira-kira 10 das tembakan.
"Tembakan berbunyi ‘tap’ ‘tap’ ‘tap’ kemudian berhenti sekejap dan sambung ‘tap’ ‘tap’ ‘tap’ habis," katanya.
Beliau ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar berkata selang masa antara tembakan pertama dan tembakan seterusnya adalah kira-kira 5 hingga enam saat.
Namun beliau bagaimanapun tidak dapat menentukan lokasi bermulanya tembakan yang dilepaskan Jenain.
Mahkamah menjadi tegang seketika apabila Dusuki kelihatan berang berikutan beberapa soalan yang dikemukakan kepada Hafizd tidak dijawab dengan tepat malah saksi kelihatan cuba menyembunyikan keterangan serta tidak menceritakan hal yang sebenar.
Dusuki cuba memberi amaran kepada Hafizd supaya berterus terang semasa memberikan kenyataan, namum hakim Latifah Mohd Tahar menasihati Dusuki agar tidak berbuat demikian kerana boleh dianggap sebagai menghina mahkamah.
Perbicaraan bagaimanapun tetap bersambung seperti biasa apabila Hafizd dalam keterangannya berkata beliau terkejut apabila mendengar tembakan yang dilepaskan Jenain namun masih boleh mengawal kereta seperti biasa.
Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan daripada pemandu kereta peronda Selangor 604 Koperal Azhar Hashim yang turut sama mengejar kereta BET 5023 pada malam kejadian.
Azhar dalam keterangannya semasa disoal peguam bela M Athimulan berkata, melepaskan tembakan adalah cara terakhir bagi anggota peroda untuk memberhentikan kenderaan yang dikejar selepas beberapa kali cuba memintas BET 5023.
Beliau berkata, dalam adegan kejar-mengejar itu kereta yang dipandunya melakukan cubaan untuk memintas BET 5023 sebanyak kira-kira 10 kali namun gagal, malah cuba dihimpit kereta Proton Iswara terbabit.
Beliau juga dalam keterangannya mempertahankan tindakan rakan setugasnya Konstabel Izham Mahayadin yang melepaskan tembakan ke arah kereta BET 5023 walaupun tiada arahan dikeluarkan.
Beliau juga berkata sepanjang mengejar kereta BET 5023, tidak kelihatan sebarang lampu brek daripada kereta tersebut malah ia terus bergerak laju.
Perbicaraan bersambung esok.
Jenain didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15 di Jalan Traian 11/2, Seksyen 11 di sini pada 26 April lalu antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi.
Beliau dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Kenyataan tutup kes tak masuk akal
SHAH ALAM, 14 Dis. : Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang menyifatkan keputusan kerajaan menutup kes melibatkan penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam yang diumumkan di Parlimen hari ini sebagai tidak menyakinkan.
Menurut Kit Siang, tidak masuk akal apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengatakan bahawa tidak ada kesalahan dilakukan oleh Bala berhubung dua akuan bersumpahnya yang bercanggah.
" Penerangan yang diberi dalam parlimen untuk menutup kes penyiasat swasta, Balasubramaniam tidak meyakinkan dan memperkukuhkan kesimpulan bahawa ada 'double standard' dalam perkara ini bahawa tidak ada keadilan dalam urusan pentadbiran.
" Dalam dua akuan bersumpah, tentulah ada satu yang tidak benar dan Balasubramaniam sendiri ada mengakui bahawa akuan bersumpah yang kedua adalah yang tidak benar dan dipaksa untuk dibuat," jelas Kit Siang ketika dihubungi Tv Selangor.
Nazri hari ini dalam Dewan Rakyat menjelaskan bahawa setelah penelitian dilakukan, didapati kedua-dua akuan bersumpah yang bercanggah bukanlah satu kesalahan kerana ia bukan dibuat bagi tujuan prosiding mahkamah.
" Oleh yang demikian, elemen di bawah 199 akta 574 tidak dipenuhi dan perbuatan Balasubramaniam dalam membuat dua akuan berkanun yang bercanggah tidak menjadi satu kesalahan di bawah seksyen tersebut.
" Setelah penelitian dibuat dan mengambilkira semua keterangan yang dikumpulkan oleh pihak polis serta fakta bahawa Balasubramaniam masih belum dikesan sehingga kini dan dipercayai berada di luar negara, Jabatan Peguam Negara telah membuat keputusan untuk menutup kes tersebut kerana percanggahan dalam kedua-dua akuan berkanun Balasubramaniam tidak memberi apa-apa kesan kepada kes Altantuyaa Shaariibu," jelas Nazri.
Bala sebelum ini mengemukakan dua akuan bersumpah berkenaan pembunuhan Altantuya tetapi menarik balik pernyataan itu menerusi akuan bersumpah kedua pada keesokannya.
Bala kemudiannya tampil menjelaskan perkara tersebut dan mengakui bahawa akuan berkanun pertamanya itu adalah benar.
" Sebab itu tidak masuk akal untuk perkara ditutup apabila Balasubramniam sendiri ada berkata, akuan bersumpah pertama benar dan kedua tidak benar," tambah Kit Siang lagi.
Dilaporkan Bala kini berada di London.
Beliau yang sekian lama bersembunyi kerana khuatir dengan keselamatan diri dan anggota keluarganya, tampil menawarkan untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pertengahan tahun ini.
Ironinya kerajaan Malaysia terutama SPRM setelah mendapat peluang bagi merakamkan keterangan yang ditunggu-tunggu selama ini membatalkan hasrat tersebut pada saat-saat akhir.
Umno kata PKR dah lemah tapi ada lagi dok masuk PKR
TELUK KEMANG, 14 Dis. : Seramai 40 orang bekas ahli Umno dan MCA dari Kampung Pelandok Port Dickson, Negeri Sembilan mengambil keputusan menyertai Parti Keadilan Rakyat.
Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas melalui laman blognya telokkemang.blogspot.com berkata kemasukan tersebut merupakan satu kejayaan besar menembusi salah satu kubu kuat Umno-BN di kawasan Parlimen itu.
"Lebih menariknya, penghijrahan itu berlaku di kawasan itu sebelum ini dikuasai oleh Umno-BN. Ini merupakan kebangkitan dan penerimaan rakyat terhadap PKR yang meningkat ketika ini.
"Peningkatan sokongan ini juga berlaku terutamanya setelah berlangsungnya pemilihan parti yang dilakukan secara terbuka tanpa ada sekatan dari pihak atasan mahupun pimpinan tertinggi'" kata Kamarul lagi.
Jelasnya, angin perubahan itu adalah petanda baik dalam masa Pakatan Rakyat akan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang semakin hampir.
"Saya pasti keahlian di kawasan tersebut akan terus meningkat dari masa ke semasa kerana penubuhan ranting KEADILAN di kawasan ini dapat menghilangkan perasaan takut mereka untuk terus menolak BN," kata Kamarul.
Tambahnya, tindakan itu adalah disebabkan rakyat setempat semakin bosan dan jemu dengan Umno yang menurutnya hanya pandai menabur janji semata-mata.
"Apa yang jelas mereka yang menyertai PKR kali ini adalah mengambarkan kebosanan mereka terhadap BN-Umno yang tidak pernah menepati segala janji yang ditaburkan pada pilihan raya lepas.
"Bagi mereka, janji BN hanyalah sekadar untuk meraih undi bagi terus memerintah, dan saya pasti perubahan yang besar bakal berlaku pada pilihan raya umum ke-13 nanti terutamanya di Negeri Sembilan ini," ujarnya lagi.
Akhbar Suara Perkasa tutup,bakal muncul Suara Katak
PETALING JAYA, 14 Dis. : Akhbar tabloid milik Perkasa, Suara Perkasa akan menghentikan penerbitannya mulai pertengahan Januari tahun depan.Salah seorang kakitangan editorial berkata, Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali telah memberitahu kakitangan mengenai perkara itu.
"Kakitangan diberi tempoh bekerja hingga 10 Januari tahun depan sebelum perkhidmatan mereka berakhir.
"Syed Hassan, bagaimanapun, memberitahu penerbitan Suara Perkasa akan disambung semula jika mempunyai dana.
"Ini bermakna, Suara Perkasa hanya sempat diterbitkan sebanyak 11 edisi sahaja di mana edisi terakhir bulan November lalu," katanya.
Suara Perkasa mempunyai enam kakitangan dan beroperasi di Setapak, Kuala Lumpur. Menurut kakitangan tersebut, alasan utama kepada pemberhentian penerbitan tersebut ialah tidak mampu menampung kos operasi.
"Suara Perkasa dicetak sebanyak 25,000 naskhah setiap keluaran tetapi jumlah jualan tidak mencapai 50 peratus.
"Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali telah mengeluarkan lebih RM400,000 untuk tujuan penerbitan Suara Perkasa," katanya.
Umno yang cemar Hak Keistimewaan Bumiputera
KUALA LUMPUR, 14 Dis. : Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang ditafsirkan sebagai hak keistimewaan Bumiputera tidak mungkin diganggu-gugat mana-mana pihak walaupun dengan majoriti dua pertiga di Parlimen, tanpa persetujuan Raja-Raja Melayu.
Lantas, ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata jaminan ini memungkinkan pemansukan undang-undang kuku besi seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Hasutan, dalam memulihkan demokrasi di negara ini.
Nurul Izzah berkata demikian dalam suratnya kepada Perdana Menteri Najib Abdul Razak hari ini.
Bintang muda politik ini menyarankan Najib memperkenalkan Akta Pemulihan Demokrasi bagi memulihkan demokrasi di negara ini secara bersama.
"Sebagai peringatan bersama, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menyatakan bahawa kedudukan istimewa kaum Melayu dalam Artikel 153 telah kemas terkunci dalam Perlembagaan Persekutuan, dan tidak boleh diubah tanpa persetujuan Raja-Raja Melayu,"
"Ini membuka ruang untuk memulihkan demokrasi dengan memansuhkan undang-undang anti-demokrasi seperti ISA, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Penerbitan dan Percetakan, dan Akta Hasutan," jelas Izzah.
Izzah turut menyarankan Najib mengusulkan Akta Pemulihan Demokrasi ini di sesi persidangan Parlimen yang berlangsung ketika ini, bagi melengkapi usaha transformasi Malaysia menjadi negara moden dan maju.
Beliau berkata akta ini akan memperkukuhkan perpaduan dan jati diri bangsa Malaysia yang berpaksikan kepada "Ketuanan Perlembagaan".
Puteri Reformasi itu turut menegaskan, beliau juga sedia mempertahankan Najib dari kecaman dan serangan kabilah Umno "yang takut kepada perubahan".
EGM Akim esok tentukan jawatan Zaid
KUALA LUMPUR, 14 Dis. : Parti Angkatan Keadilan Islam Malaysia (AKIM) akan mengadakan satu mesyuarat agung luar biasa esok bagi menyusun semula kepemimpinannya, dijangka bagi menempatkan Datuk Zaid Ibrahim yang meninggalkan PKR awal bulan lalu ke jawatan utama dalam parti itu.
Presiden AKIM Zakaria Salleh berkata, Zaid juga telah menawarkan diri untuk memimpin parti itu namun parti itu masih belum memutuskan jawatan untuk Zaid walaupun timbul cadangan supaya Zaid dilantik sebagai presiden
Tambahnya, beliau akan menyerahkan kepada anggota parti itu sama ada ingin memilih Zaid sebagai presiden baru Akim dalam mesyuarat parti itu esok.
"Di kalangan ahli-ahli pun ada yang menyebut demikian dan kalau Datuk Zaid betul-betul mahu memimpin, ia dialu-alukan.
“Kalau Datuk Zaid bersetuju dan ahli setuju, saya sebagai presiden Akim tidak ada (halangan) demi kepentingan parti.
"Bila ahli bersuara saya memang akan beri laluan kepada Datuk Zaid sebab yang lebih mampu untuk memimpin AKIM adalah Datuk Zaid,” katanya lagi.
"Cuma kita tidak mahu ada pemilihan baru lagi," kata Zakaria ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Dilaporkan, Akim baru saja disahkan statusnya sebagai parti politik oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan apabila jawatankuasa parti itu berjaya menyelesaikan isu dalaman parti berkenaan dengan kerjasama jabatan itu.
Zakaria juga berkata, beliau dipilih sebagai presiden baru parti itu bagi menggantikan Hanafi Mamat dalam mesyuarat agung tahunan parti itu pada 26 Disember 2009.
“Ahli dahulu ada seramai kira-kira 300 orang. Dalam mesyuarat esok kita jangka antara 300 hingga 500 orang akan hadir,” kata Zakaria lagi.
Mesyuarat agung luar biasa itu akan dijalankan di Tropicana Golf and Country Resort, sebuah kawasan eksklusif yang turut menempatkan kediaman Zaid.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata penyusunan semula kepemimpinan parti itu bagi membolehkan Akim mengambil peranan lebih aktif dalam kegiatan politik.
“Mesyuarat ini dibuat atas desakan ahli kerana selama ini kita tidak ada penonjolan dalam politik kecuali semasa pilihan raya.
"Selama ini parti ini tidak banyak kesan, tidak banyak orang hendak beri perhatian kerana dilihat sebagai sebuah parti serpihan PAS. Kita tidak mampu membuat teguran dan jadi macam anjing menyalak bukit saja,” katanya lagi.