Wednesday, July 27, 2011

Masih ingatkah anda kepada Mastermind Ini?

Oleh: AntiKarat

"PAS akan membongkar penyelewengan SPR berkaitan daftar pemilih yang bercelaru. Pakar-pakar IT PAS dengan peralatan sistem yang canggih sedang mengumpulkan bukti-bukti sebanyak mungkin. Pendedahan itu akan dilakukan dalam seminggu dua ini.

Bukan sekadar membongkar, yang paling wajar ialah menyaman pihak berkenaan sekiranya PAS dapat mengenalpasti mastermind yang memanipulasikan daftar pemilih. Sejak PRU11, kita didedahkan dengan fakta-fakta yang menunjukkan ada pihak yang bermain kotor. Kita tidak lupa bagaimana peratus pertambahan pengundi di Terengganu mencecah ke angka yang paling tinggi dalam sejarah negara.

Alasan SPR ialah pengundi bertambah mendadak kerana kecenderung rakyat Terengganu untuk menumbangkan kerajaan PAS yang memerintah ketika itu. Apakah justifikasi yang sama akan digunakan oleh SPR apabila peratus pengundi juga sedang meningkat tinggi di Selangor dan di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat sekarang?

Satu persoalan timbul; mengapa mantan MB Terengganu merangkap mantan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu diangkat menjadi Pengarah Pilihanraya UMNO pada 2010? Apakah keistimewaan Idris Jusoh sehingga dipilih oleh PM Najib untuk menduduki kerusi yang amat penting itu?


Siapakah Idris Jusoh? Apakah kepakarannya? Pertama, menyekat royalti petroleum Terengganu untuk digantikan dengan Wang Ehsan. Kedua, menggerakkan Gelombang Biru. Gelombang Biru itu disosokkan kepada satu kebangkitan rakyat yang kononnya marah dengan pemerintahan PAS di Terengganu.

Sebenarnya, Idris Jusoh tahu apakah Gelombang Biru sebenarnya. Beliau tahu bagaimana dan mengapa peratus pengundi meningkat mendadak di Terengganu; satu peningkatan yang tak masuk akal. (Sila rujuk kembali data dan perbandingan yang terkandung dalam post-mortem PRU11). Gelombang Biru sebenarnya ialah gelombang pengundi hantu sepertimana yang cuba diaplikasikan di negeri-negeri Pakatan Rakyat dan Perak sekarang.


Sekarang Pakatan Rakyat bukan sahaja perlu bongkar, yang penting ialah mengumpulkan bukti penglibatan para konspirator sama ada mereka berada di SPR, JPN atau di dalam UMNO itu sendiri. Perbuatan memanipulasi dan menipu dalam hal ehwal pilihanraya adalah satu jenayah besar. Sebuah kerajaan haram boleh terbentuk dan sebuah kerajaan yang sah boleh tersungkur kerana bahana kerja-kerja terkutuk ini.

Kalau Bersih 2.0 boleh direalisasikan dalam keadaan ancaman polis yang begitu tinggi, rakyat tidak lagi akan duduk bersila apabila ditipu dan dikhianati dalam kes jatuh bangun sebuah negeri. Rakyat hanya menunggu kata; kami bangkit serentak menuntut para konspirator politik kotor dibawa kemuka pengadilan. Sama ada mereka itu Perdana Menteri, pegawai SPR atau JPN; kami bangkit menuntut keadilan. Keadilan mesti disempurnakan.

AntiKarat,
27 JUlai 2011.

sumber: http://sembur.blogspot.com
"

No comments: