Saturday, January 1, 2011

PRK Tenang : Perpaduan Malaysia Vs Perkauman Umno

Tenang: Pengundi campuran sangat baik

LABIS, 2 Jan: PAS tidak akan mengikut cara Umno BN yang membangkitkan semangat perkauman kerana ia bercanggah dengan fitrah Islam, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau sebaliknya berkata, PAS dan Pakatan Rakyat sedang berusaha menarik semua kaum untuk bersama-sama dalam perjuangan menegakkan kebenaran.

Hal ini, tegasnya selaras dengan tujuan Allah menciptakan pelbagai kaum untuk memberikan sumbangan mengikut kelebihan masing-masing.

"Saya menarik perubahan berlaku di kawasan pengundi campuran. Melayu, Cina dan India, kita berjaya menghantar wakil ke Dewan Undangan Negeri.

"Di Tenang ini juga pengundinya campuran. Ini satu campuran yang sangat baik.

"Kita tidak mahu menggunakan cara Umno membangkitkan semangat perkauman yang tidak ada sifat Islam," katanya ketika berucap di majlis pelancaran gerak kerja pilihan raya bagi PRK N.05 Tenang, dekat sini malam tadi.

Menurut beliau, Allah tidak melarang manusia mencintai kaum masing-masing namun tidak boleh berlebihan sehingga menzalimi kaum lain.

"Tak salah kita sayang pada bangsa, pada kaum kerana Allah menjadikan manusia pelbagai kaum dan bangsa.

"Allah menjadikan pelbagai bangsa dengan keistimewaan masing-masing. Cina, Melayu dan India ada keistimewaan mereka yang boleh memberikan kemajuan kepada negara.

"Ini yang perlu diatur dengan baik. Jangan lakukan serangan kaum dan menzalimkan kaum lain," katanya di hadapan lebih 1,000 rakyat yang hadir.

Tegasnya, PAS bersama Pakatan Rakyat akan menggantikan Umno untuk melakukan perubahan terhadap sistem yang diperkenalkan Umno lebih 50 tahun dahulu.

"Akibat Umno memperkenalkan semangat lain selain Islam, Melayu dan Islam hilang entah ke mana.

"PAS akan ganti Umno untuk melakukan perubahan. Kita buktikan di Terengganu dahulu disebabkan kita ada hasil minyak,kita berjaya menghapuskan cukai pintu," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat khusunya pengundi di Johor agar membuka minda untuk melakukan perubahan dengan memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat.

"Sebab itu kita minta pengundi memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat untuk kita buktikan bahawa kita mampu membuat perubahan secara perlahan-lahan.

"Kita tidak mahu memaksa pengundi,tapi mahu mereka berfikir dan menilai mana yang baik dan mana yang buruk," katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan, Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden, Salahuddin Ayub, bendahari, Dr Hatta Ramli, Pesuruhjaya Johor Dr Mahfodz Muhammad, Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin dan ahli jawatan kuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman sebagai pengerusi majlis.

Kaunter tandatangan kempen "Katakan Tidak Kepada Isa Samad" turut dibuka malam tadi.

3 Kelab Indonesia, 1 Vietnam mahu beli Safee Sali

Safee Sali Diburu Empat Kelab Bola Sepak Luar Negara


KUALA LUMPUR 2 Jan : Penyerang sensasi bola sepak negara Mohd Safee Mohd Sali kini dipikat sekurang-kurangnya empat tawaran kontrak untuk menyertai kelab di luar negara.

Tiga tawaran datangnya dari Indonesia manakala satu lagi Vietnam.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Hamidin Mohd Amin pada majlis taklimat serta undian Liga Malaysia 2011 di Bukit Jalil hari semalam.

"Setakat ini, empat kelab bola sepak telah menawarkan diri membeli kontrak Safee Sali dengan Selangor," katanya kepada pemberita tanpa menamakan kelab berkenaan.

Hamidin yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata pegawai kelab bola sepak Vietnam itu telah menemuinya berhubung "pembelian" Mohd Safee, manakala wakil tiga kelab terkemuka Indonesia pula menelefon beliau mengenai perkara yang sama.

Beliau berkata perbincangan mengenai tawaran itu telah dilakukan dengan Mohd Safee di pejabat FAS semalam, sebelum pasukan Selangor berangkat ke Australia pagi semalam untuk beraksi dalam tiga perlawanan persahabatan bersama kelab di negara tersebut pada 3, 5 serta 7 Januari ini, dan dijadualkan pulang dua hari kemudian.

"Ketika perbincangan semalam, dia seolah-olah macam tidak percaya dengan apa yang saya katakan.

"Saya akan ke Australia petang ini, dan akan berbincang dengan beliau disana agar dia mampu berfikir secara terbuka, kerana saya telah memberitahu risiko dan kekangan yang bakal ditempuhi nanti," katanya.

Hamidin berkata keputusan sama ada Mohd Safee beraksi di luar negara atau tidak, akan ditentukan oleh Ahli Tertinggi Jawatankuasa FAS.

"Saya akan berbincang dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan exco Selangor.

Kita akan ikut prosedur yang betul sebelum melepaskan beliau pergi," katanya.

Pada pertandingan Piala AFF Suzuki 2010 baru-baru ini, Mohd Safee munculsebagai penjaring terbanyak, yang melayakkan beliau memperoleh kasut emas di edisi tersebut.

Umno perkauman berselindung di sebalik slogan 1Malaysia

1 Malaysia Alat Untuk Serang Pakatan Rakyat - Azmin Ali


SHAH ALAM 2 Jan. : Menyifatkan Umno-Barisan Nasional (BN) menggunakan slogan 1 Malaysia sebagai 'alat' retorika politik nafikan usaha Pakatan Rakyat membentuk negara yang mementingkan kebajikan rakyat.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata sepanjang tahun 2010 menyaksikan Umno-BN terus mempergunakan kuasa yang ada dengan menekan, mengeliru dan menakut-nakutkan rakyat daripada turut sama menuntut perubahan.

Beliau dalam ucapan sempena tahun baharu 2011 berkata untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang harmoni, negara memerlukan muafakat baru di antara kaum bagi menuntut perubahan dan tidak tergelincir ke jurang kehancuran.

"Kita berhadapan dengan pelbagai bentuk halangan dan ranjau dari rejim penguasa yang sudah terlalu lama bekerja dengan cara lama, menindas suara dan tuntutan rakyat yang dahagakan perubahan," ujar beliau.

Menurutnya lagi, pelbagai bentuk kepalsuan telah dikilangkan dengan memutar belitkan fakta, memasung perbezaan pendapat dan mengadu domba permusuhan dikalangan rakyat berbilang kaum untuk menggagalkan politik baru.

"Serangan demi serangan menggunakan slogan dan retorika politik berubah ini muncul dari luar dan dalam bertujuan melemahkan keazaman dan fokus perjuangan kita.

"Idea-idea bernas serta dasar-dasar yang baik telah dirancang dan dibahaskan secara mendalam demi mengangkat martabat dan mutu kehidupan rakyat oleh Pakatan Rakyat terus dipinggirkan dan dibungkam oleh Umno-BN bagi mengekalkan hegemoni kuasa politik sempit mereka.

"Kita harus akur dan berlaku jujur bahawa tuntutan perubahan ini memerlukan ketangkasan dan kebijaksanaan dalam menguruskan perubahan (managing change)

"Kita wajar mengambil langkah-langkah dan tindakan untuk memperbaiki kelemahan kita serta belajar dari pengalaman agar organisasi kita menjadi lebih kukuh, efektif dan berdaya saing," kata Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Tegasnya, perjuangan jerih PKR, PAS dan DAP di dalam Pakatan Rakyat tidak berlandaskan kebencian dan kemarahan bahkan ia didukung atas dasar mahu melihat setiap rakyat diberi peluang mendapatkan mutu kehidupan yang lebih baik.

"Saya ingin menyeru kepada semua ahli-ahli parti, pendukung dan pimpinan agar memperkukuhkan perpaduan diantara kita.

"Perbezaan pendapat adalah proses biasa yang harus kita tempuh untuk merungkai sesuatu masalah. Kendati demikian, saya yakin semangat kebersamaan kita dalam perjuangan ini mengatasi perbezaan yang ada," ujar beliau yang juga ADUN Bukit Antarabangsa.

Amaran kepada Umno : Jangan cabar kesabaran petugas Pakatan

PRK DUN Tenang : PR Peringat Jentera Umno-BN Tidak Cetus Provokasi


LABIS 2 Jan. : Pakatan Rakyat akan menghadapi Umno BN secara 'gentleman', berdisiplin dan mengikut lunas-lunas demokrasi sebenar dalam pilihanraya kecil DUN Tenang, tegas Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS bagi Dun Tenang, Salahuddin Ayub.

Memetik laporan portal Harakah Daily Online, beliau bercakap sewaktu melancarkan jentera pemuda Pakatan di sini petang semalam, beliau juga menasihatkan jentera Umno agar tidak membuat sebarang provokasi sehingga mencabar kesabaran jentera Pakatan.

"Ingat lagi apa mereka buat pada jentera pemuda kita di Bagan Pinang? Mereka kepung bilik gerakan kita, pukul petugas kita.

"Kali ini kita nak beritahu mereka, walaupun kita begini, jangan cabar kita.

"Kita sedia menari ikut irama yang mereka dendangkan," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Selain itu, beliau juga yakin Pakatan Rakyat mampu membuat kejutan pada PRK kali ini.

Katanya, biarpun Johor dilabel kubu kuat Umno, tapi kejayaan PAS dan PR menghantar wakil rakyat ke dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 lalu membuktikan label itu sudah tidak terpakai.

Dengan kekuatan dan hubungan erat antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat, beliau yakin, seorang lagi wakil rakyat PAS akan berjaya dihantar ke Dun itu.

"Dulu Johor dikatakan kubu kuat Umno. Tapi itu dulu, once upon a time," katanya lagi.

PRK Tenang ujarnya juga, merupakan panggilan perang dan semua jentera Pakatan harus bersedia menghadapinya.

Ianya juga sebagai medan persediaan menghadapi PRU ke 13 yang dakwanya akan berlangsung Jun tahun ini.

"Kita telah bersedia dengan gendang perang dan bersedia setiap saat.

"(Datuk Seri) Najib kena buat pilihanraya umum tahun ini juga sebab dia perlukan mandat baru.

"Mandat yang ada ini adalah mandat Pak Lah (Tun Abdullah Badawi)," katanya yang juga ahli parlimen Kubang Kerian.

Desas-desus PRU ke-13 tahun ini katanya makin jelas apabila Najib didakwa akan memanggil semua ahli parlimen BN membincangkan hal itu.

Pengarang Utusan cetus isu perkauman tapi tiada tindakan

Cetus Perkauman, NUJ Gesa Pengarang Utusan Diambil Tindakan



KUALA LUMPUR 2 Jan.: Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia dalam perutusan tahun baru 2011 mengesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Pengarang dan pengarang-pengarang di Utusan Malaysia yang jelas cuba mencetuskan pertikaian perkauman di negara ini berikutan beberapa isu perkauman yang dimainkan.

Menurut Presidennya, Hata Wahari, kegagalan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap Ketua Pengarang dan pengarang-pengarang di Utusan Malaysia menunjukkan mereka juga terlibat dalam agenda untuk mencetuskan pertikaian perkauman di negara ini oleh sebuah akhbar yang boleh dianggap sebagai akhbar rasis dan tidak bermaruah.

Utusan Malaysia yang pernah edarannya mencapai 350,000 sehari kini hanya menjadi alat propaganda kerajaan dan memainkan isu-isu perkauman serta cuba mencetuskan pertelingkahan di antara kaum di negara ini.

Tambah Hata, Ketua Pengarang dan pengarang-pengarang di Utusan Malaysia sebenarnya adalah pengarang yang tidak mempunyai prinsip, harga diri dan maruah kerana hanya hendak mempertahankan kedudukan dengan gaji puluhan ribu ringgit oleh sebab itulah sentiasa tunduk kepada tuan-tuan politik yang hanya mahu mempertahankan kuasa mereka dengan menggunakan Utusan Malaysia sebagai alat propaganda.

Sehubungan itu, NUJ Malaysia menyeru ketua pengarang dan pengarang-pengarang di Utusan Malaysia agar kembali kepada matlamat utama penubuhan akhbar itu pada awal penubuhannya.

"Akhbar arus perdana agar tidak menjadi alat propaganda kerajaan, parti politik dan individu tertentu untuk kepentingan peribadi," katanya yang juga wartawan Utusan Malaysia.

Dalam perutusan itu juga, Hata mengucapkan selamat tahun baru kepada semua pengamal media di negara ini dan diharapkan tahun ini kita akan dapat menikmati kebebasan media yang sebenar bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat yang benar dan seimbang.

Menamakan akhbar seperti Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian dan The Star beliau menyeru supaya akhbar ini kembali kepada fungsi dan matlamat sebenar media iaitu untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

"Kejatuhan edaran akhbar media perdana seperti yang di umumkan oleh Audit Bureau of Circulations (ABC) jelas membuktikan bahawa orang ramai terlalu muak dengan isi yang disajikan di dalam akhbar-akhbar tersebut yang bukan sahaja tidak membina minda tetapi penuh dengan propaganda buruk serta akhbar-akhbar ini boleh dikategorikan sebagai akhbar murahan tidak mempunyai harga diri serta maruah kerana para pengarang mengenepikan serta menguburkan nilai-nilai murni tujuan asal akhbar itu diterbitkan," jelasnya.

Umno nak tuduh MB Selangor derhaka pula

Isu SUK: Nizar ramal Pakatan mungkin hilang sokongan Melayu

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhQnTkiOdNSmoXYB-Gd72nBTcNjGeVkBYl7G6jl4St_LcyT_ii1v8eX3y1EBIAr_UcznbVvb_-D-YS4XqZ_eAp2Kxmq1LZA9GEVSlG02aQb-HOzp5Am_zeswiUtm-HEQMRJM6t73iWysBc/s1600/raja+001.jpg

KUALA LUMPUR, 2 Jan : Datuk Seri Nizar Jamaluddin mengingatkan kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat kemungkinan berhadapan dengan risiko kehilangan populariti di kalangan orang Melayu dan akan didakwa menderhaka raja ekoran pendirian dalam isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Nizar yang kehilangan jawatan menteri besar Perak dua tahun lalu berkata, Umno akan mendakwa Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim tidak menghormati peranan Sultan ekoran pendirian enggan menerima pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai ketua pegawai perkhidmatan awam negeri, yang dilaporkan telah mendapat perkenan istana.

“Disebabkan mereka mengawal media, mereka akan menggunakan isu ini untuk mendakwa Khalid menderhaka terhadap Sultan seperti yang berlaku ke atas saya di Perak. Bagi orang Melayu ini perkara serius,” kata Nizar kepada The Malaysian Insider.

“Sebab itu, mereka terus-menerus mengatakan Sultan sudah memberi perkenan kepada pelantikan,” katanya.

Nizar kehilangan jawatan menteri besar awal 2009 selepas Sultan Perak enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri ekoran tindakan tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat keluar parti.

Beliau kemudian didakwa menderhaka Sultan selepas meminta agar DUN dibubarkan bagi mengadakan pilihan raya negeri yang baru.

Nizar yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat berkata, di sebalik usaha sepatutnya untuk memperkukuhkan sokongn tradisi Pakatan Rakyat, kehadiran Khusrin akan menjejaskan lagi usaha-usaha pentadbiran kerajaan negeri.

“Ini akan menjadi sesuatu yang sukar bagi Khalid,” katanya.

“Khusrin dilihat sebagai calon terbaik untuk mencabar Menteri Besar,” kata beliau sambil menambah, Umno-BN akan menggunakan isu itu untuk melancarkan kempen terhadap Pakatan Rakyat Selangor kononnya menentang institusi diraja negeri itu.

Khusrin sebagai ketua Jabatan Agama Islam Negeri sebelum ini juga dilihat menentang pentadbiran kerajaan negeri dalam beberapa siri isu.

Pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung 6 Januari ini, diteruskan.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti sehingga awal minggu depan.

Nizar juga berkata, pelantikan Khusrin juga sebahagian daripada usaha BN yang menguasai Putrajaya boleh memulakan usaha rampasan kuasa terhadap Selangor sebagaimana berlaku di Selangor.

Justeru, Nizar menasihatkan kerajaan negeri Selangor agar bersedia untuk menghadapi kemungkinan krisis berterusan di negeri itu dan memberi penjelasan pendiriannya menolak pelantikan Khusrin kepada rakyat.

“Sebagai menteri besar, beliau ada kuasa untuk menolak Khusrin daripada memasuki pejabatnya, Langkah terbaik ialah membuatkan beliau masyghul,” katanya.

“Akan ada banyak lagi kemelut (selepas ini), krisis akan berterusan tetapi sekurang-kurangnya rakyat boleh disedarkan (tentang keadaan sebenar peruntukan) dalam perlembagaan,” katanya.

Oleh itu kata beliau, pentadbiran Khalid akan memperoleh kemenangan jika menguruskan isu semasa ini dengan baik.

“Pada masa lalu tidak siapa yang tahu tentang perlembagaan Perak, tetapi sekarang setiap orang mengingatinya,” kata beliau.

Malah Nizar juga menjangkakan isu tersebut tidak akan berakhir dengan memihak kepada Khalid sebagaimana berlaku di Perak apabila beliau cuba untuk menggantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim.

“Saya telah cuba dua kali,” kata beliau merujuk kepada usahanya merujuk Sultan Perak dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan untuk menggantikan Rahman tetapi tidak berhasil.
Semalam The Malaysia Insider melaporkan pakar perlembagaan Prof A. Aziz Bari berpendapat peluang terbaik yang ada pada Khalid bagi menyelesaikan kemelut pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri baru ialah dengan membawa pertikaian itu ke mahkamah.

“Undang-undang, sebagaimana termaktub, memihak Menteri Besar Khalid dan pentadbiran Pakatan Selangor,” kata beliau.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa ini memberitahu, peruntukan berkaitan sangat jelas dalam perlembagaan kerajaan negeri.

“Di bawah perlembagaan, kuasa untuk melantik anggota ‘ex-officio’ Exco termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri terletak pada Sultan,” kata Aziz.

“Tetapi baginda (Sultan) perlu mempertimbangkan nama-nama yang dipersembahkan oleh suruhanjaya perkhidmatan yang berkaitan, dan sebelum baginda melakukannya, Sultan mesti mempertimbangkan nasihat Menteri Besar,” kata beliau lagi.

Dalam kenyataan dikeluarkan pagi semalam, Khalid berkata, beliau kesal kerana Sidek yang didakwanya sengaja membelakangkan proses pemilihan yang telah ditetapkan bagi memilih Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

“Pemilihan Datuk Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Ketua Setiausaha Negara telah mengabaikan proses pemilihan mengikut Nota Amalan Perkhidmatan Awam yang menyatakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri perlu mendapatkan nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat pusat dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri,” kata beliau.

Mengikut pengumuman Sidek Isnin lalu, pelantikan Khusrin berkuat kuasa semalam.

GAMIS berjaya gerakkan mahasiswa Islam

Lebih 600 mahasiswa sertai XPDC Dakwah Gamis


Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) telah berjaya mengumpulkan mahasiswa terbesar di Malaysia dalam programnya, XPDC Dakwah sempena kehadiran tahun baru 2011 di Masjid As-Syakirin KLCC pada 31 Disember 2010 baru-baru ini.

XPDC ini juga adalah salah satu usaha dakwah mahasiswa untuk masyarakat dalam memberi khidmat nasihat dalam membendung masalah sosial dan gejala tidak sihat ketika menyambut tahun baru 2011.

Program ini telah mendapat sambutan lebih 600 mahasiswa dari pelbagai kampus diseluruh Malaysia antaranya UIA Kuantan, USIM, UMP, USM, UKM, UIA Gombak, UKMKL, UM, Darul Quran, UPM, UNISEL, MSU, UNITEN, Kolej Lagenda, KUIS, Institut Pendidikan Bangi dan beberapa kampus lain.

Penyelaras program yang juga Pengerusi Majlis Dakwah dan Kebajikan Nasional (MDK), Saudara Ridhuan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua mahasiswa yang telah bersama-sama dalam program ini yang bermula selepas Maghrib dengan solat hajat, forum dan diikuti XPDC dakwah langsung bertemu dengan golongan sasaran iaitu golongan anak muda disekitar KLCC sehingga ke Bukit Bintang dan berakhir dengan qiamullai di Masjid As-Syakirin KLCC.

Dalam pada masa yang sama, program ini telah menarik perhatian TV9 untuk membuat liputan untuk dimasukkan dalam rancangan Nasi Lemak, Kopi O yang disiarkan pada hari Sabtu keesokan padanya. Ini telah menunjukkan program tahunan dakwah tahun baru Gamis ini telah mendapat perhatian dari media tempatan.

Program ini juga telah mendapat reaksi positif di kalangan ibu bapa dan juga orang ramai yang telah ditemui. Pelbagai kelakuan yang tidak enak seperti remaja Melayu berpeluk-pelukan tanpa segan silu, berpakaian yang terlalu seksi dan juga pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang dapat dilihat di KLCC adalah anak muda dan juga terdapat segelintir pelajar sekolah yang kelihatan di sana.

Acara tahunan yang saban musim ini menjadi medan dakwah yang akan mengembelingkan segala keringat mahasiswa dan anak muda berjiwa merdeka untuk berkongsi erti iman dan Islam bersama reranting umat yang kian rapuh oleh gelojak sosialisasi.

Dalam ucapan pembukaan, Presiden Gamis, Saudara Syazwan telah mengajak seluruh mahasiswa untuk bersama-sama membantu masyarakat dengan memberi penerangan terutama mengenai masalah seks bebas dikalangan anak muda sehingga berlaku banyakkan pembuangan bayi yang tidak bersalah. Inilah menyebabkan anak muda kita ketandusan akhlak yang baik untuk diwarisi.

XPDC Dakwah ini bermula seawal pukul 9.30 malam dengan taklimat pergerakan dan juga pembahagian kumpulan. Gamis turun bertemu masyarakat di ruang legar utama Masjid KLCC. Kedatangan para peserta, khususnya ahli Gamis sangat menggalakkan, bukan sahaja mahasiswa di sekitar lembah kelang, malah dari utara, timur malahan juga dari Borneo datang bersama-sama untuk membawa misi dakwah.

Pergerakan bermula dari masjid KLCC dengan edaran risalah dakwah yang berkaitan serta pengenalan kepada adab-adab sosialisasi cara Islam akan dilakukan sekitar medan KLCC dan juga beberapa tempat di sekitar Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari, inilah peluang mahasiswa untuk menyaksikan sendiri kancah sosialisasi yang kian menghujani negara kita. Kita bertanggungjawab untuk membersihkan ‘banjir’ ini agar tidak terus menghanyutkan anak-anak muda kita kini dan masa akan datang.

“Saya yakin dengan usaha kita sebegini dapat memberi kesan yang baik pada golongan muda kita khusunya dan masyarakat umum amnya, dalam mengenal adap-adap sosial dalam Islam. Dalam masa yang sama menanamkan rasa malu untuk melakukan dan mendekati maksiat. Mencegah lebih baik dari mengubati,” ujarnya.

Semoga program-program seperti ini mendapat sambutan pada masa-masa akan datang.

Khairy nak berehat dari politik, merajuk tak dapat jadi menteri ka ?

Khairy Sah Tidak Pertahan Kerusi Rembau ?



PETALING JAYA 2 Jan. : Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengesahkan spekulasi bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada pilihan raya umum akan datang.

Apabila diminta mengesahkan spekulasi mengenai keputusannya untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13, beliau menjawab 'ya' menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) memetik laporan Mstar Online hari ini.

Terdahulu, Khairy mencetuskan kekecohan di Twitter apabila mengumumkan keputusannya untuk berehat daripada bidang politik.

"Hope to help win more youth support for BN (Barisan Nasional) in 2011 & work hard preparing for elections. Then I'm taking a break from politics. Can't wait".

(Harap dapat bantu raih sokongan belia untuk BN pada 2011 dan bekerja keras untuk menghadapi pilihan raya. Kemudian saya hendak berehat dari politik. Tidak sabar) katanya menerusi Twitter pada Sabtu.

Kenyataan tersebut mendapat respon hebat daripada para pengikutnya yang tertanya-tanya sama ada Ahli Parlimen Rembau itu tidak akan mempertahankan kedudukannya kelak.

"I would like to 'stand down' as they say in the UK. A couple of things I'd like to do before it gets too late".

(Saya ingin 'menarik diri' seperti perumpamaan di United Kingdom. Beberapa perkara mahu saya lakukan sebelum terlambat) jawab Khairy sebagai respon kepada seseorang yang bertanya maksud beliau tentang 'berehat'.

Bagaimanapun, apabila disoal mengenai tempoh 'rehatnya' dari politik, beliau menjawab: "Belum tahu. Tak pasti apa yang akan saya lakukan. Beberapa perkara saya mahu lakukan seperti menyambung pelajaran."

Khairy sebelum ini pernah menyebut tentang kemungkinan untuk tidak mempertahankan kerusi parlimen Rembau menerusi satu temu bual bersama portal berita pada Julai lalu.

Ketika itu, beliau memperjelaskan kenyataannya pada sehari sebelum, yang mengatakan dia hanya mempertimbangkan kemungkinan tersebut dan belum lagi membuat keputusan berhubung perkara itu.

Sokongan orang Melayu semakin bertambah kepada Umno, Umno beri hadiah tahun baru

BERITA BAIK 2011: Harga sayur naik sehingga 125%..restoran mamak umum naik harga seluruh negara!

Bhat naik, Harga sayur impot naik

ALOR SETAR – Baru kecoh kenaikkan harga mendadak santan mentah diseluruh Negara, harga perbagai jenis sayuran di Kedah pula mengalami kenaikkan mendadak sehingga 125% dari harga asal sejak seminggu lalu.

Tinjauan Sinar Harian dipasar Borong Persatuan Saudagar-saudagar Ikan Kedah di sini semalam mendapati kira-kira 10 jenis sayuran mengalami kenaikkan antara 50Sen sehingga RM20 sekilogram, termasuk Sawi, Bawang Besar, Ubi Kentang dan Tomato.

Bagi Sawi harga naik daripada RM2 kepada RM4 sekilogram, manakala Terung meningkat antara RM2 hingga RM2.50 kepada RM3.50 hingga RM4.

Cabai Kering meningkat dari RM7 kepada RM9 sekilogram, Asam Jawa meningkat sebanyak RM10 bagi kuantiti pek besar, Daun Sup naik daripada RM7 sekilogram kepada RM12 sekilogram dan Bunga Kobis mengalami kenaikkan 50 sen sekilogram.

Kenaikkan harga tertinggi dicatatkan asam keeping daripada RM15 sekilogram kepada RM35 sekilogram manakala harga Ubi Kentang, Tomato dan Sawi pendek meningkat sekitar RM1.50 hingga RM3 sekilogram.

Ooi Ah Chai, 57, berkata peningkatan kos bahan api dan gula yang diumumkan baru-baru ini turut dianggap factor utama kenaikkan harga sayur sekaligus menyebabkan pihaknya terpaksa menanggung kos logistic yang semakin tinggi selain dari mengalami kekurangan bekalan dan kenaikkan nilai matawang Bhat..

**Baca seterusnya dalam akhbar Sinar Harian…

BERITA 2

Makanan mamak naik harga

KUALA LUMPUR - Di sebalik peningkatan kos sara hidup yang terus membebankan rakyat, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mahu menaikkan harga semua makanan dan minuman yang dijual disemua restoran ahli persatuan itu mulai awal tahun depan (tahun 2011).

Tindakan yang dilihat agak tergesa-gesa itu tanpa perlu melakukan rundingan dengan kerajaan jelas membuktikan bahawa persatuan tersebut mempunyai kuasa penuh untuk menaikkan harga setiap jenis makanan dan minuman di antara lima hingga 10 peratus.

Seperti biasa alasan yang diberikan oleh Presma untuk menjustifikasikan kenaikan harga itu ialah ahli-ahlinya yang kini seramai 2,700 orang sudah tidak lagi sanggup menanggung kos operasi berikutan kenaikan kos bahan mentah. - Kosmo!