Wednesday, January 5, 2011

Ada unsur boikot , sabotaj oleh puak Songkok Tiga Jengkal dalam GLC

Ada unsur boikot, sabotaj dalam kepimpinan GLC

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgWimGVa3_lbQlqSnpZygwQUik2ON2Ik2-_flB-MPqke50otUZJEZWzLlJ0CSuRHi1NviOUXfsQ5lN6nf0yIBzD2goxWV-UgAHKRXdnXCIA0XOwrDnjv7ubrMMVvhz6uAfwSfQohJ-PjrNU/s1600/ahmadkasim.jpgALOR SETAR, 6 Jan. : Terdapat unsur boikot dan tidak puas hati dengan polisi diperkenalkan Kerajaan Negeri dalam kalangan kepimpinan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Kedah sehingga membantutkan keputusan yang dipersetujui lembaga pengarah syarikat terbabit.

Ahli Lembaga Pengarah Permodalan Kedah Berhad (PKB), Ahmad Kassim berkata, rasa tidak puas hati itu timbul memandangkan kebanyakan pengurus GLC itu merupakan muka lama yang masih dikekalkan berdasarkan faktor perundangan dan mempunyai sentimen kepartian yang menebal.

Menurutnya, di sebalik wujud polemik boikot dan kronisme dalam kalangan pengurus beberapa GLC, Kerajaan Negeri terpaksa mengambil sikap bertolak ansur bagi menjaga hubungan jangka masa panjang dengan kakitangan syarikat terbabit di samping tidak mahu tergopoh-gapah dalam membuat sesuatu keputusan.

“Selepas Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri daripada Barisan Nasional (BN), satu perubahan dengan menukar pengerusi, ahli lembaga pengarah dan pengurus besar serta ketua pegawai eksekutif (CEO) setiap GLC milik anak negeri dibuat untuk melancarkan lagi urusan.

“Bagaimanapun, terdapat sebahagian CEO dari rejim lama yang tidak boleh digugurkan atas faktor perundangan dan mereka inilah yang sering membuat kacau dan mengingkari keputusan yang dibuat lembaga pengarah atas sebab perbezaan fahaman politik,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian, semalam.

Ahmad yang juga Pengerusi PKR negeri berkata, perubahan yang dilakukan Kerajaan Negeri di peringkat lembaga sejak dua tahun lalu hanya menyentuh aspek ketelusan dalam pentadbiran GLC bagi membanteras sebarang bentuk amalan kronisme dan korupsi oleh segelintir pemimpin tertentu.

Bagaimanapun, pendekatan Kerajaan Negeri itu tidak disenangi kebanyakan pengurus syarikat GLC di negeri ini sehingga kadang-kala timbul unsur sabotaj yang berniat menjatuhkan imej Kerajaan Negeri.

“Kita menghormati pengekalan beberapa muka lama sebagai pemimpin syarikat GLC bagi mengelakkan wujudnya krisis dalaman yang merosakkan masa depan syarikat itu sendiri.

“Bagaimanapun, saya agak kecewa dengan tindakan segelintir mereka yang seolah-olah cuba mensabotaj imej Kerajaan Negeri dan sengaja tidak melaksanakan perancangan diputuskan lembaga pengarah dengan jayanya,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad menggesa pentadbiran Kerajaan Negeri berusaha mencari jalan untuk menyelesaikan masalah dalaman membabitkan beberapa syarikat GLC di negeri ini bagi mengelakkan lebih banyak kerugian dialami.

“Saya percaya masalah dalaman ini wujud disebabkan segelintir pengurus GLC masih tidak mengiktiraf pentadbiran Kerajaan Negeri dan memandang rendah kepada mereka.

“Justeru, satu mekanisme penyelesaian terbaik perlu dibuat bagi memastikan semua GLC di Kedah berjalan lancar dan membantu memacu pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
SH

PRU 13 : PAS akan tawan DUN Kubu Gajah

Dewan Pemuda PAS susun strategi rampas DUN Kubu Gajah

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhNGuHpzyYzY-cLLp6-YfWzhvxEuvXWLZaE4PnHVKJp_Fz7AmVFRR8Zog1g-Fi1hZwMOlikO2JrSHhwblgCVAl_KriK6ntY911Jb9MMA7hxRhVKILALLwR_MpWu-QqpuFhqHFRaDNGPaqY/s400/konvo15.jpgIPOH, 6 Jan. : Dewan Pemuda Pas Negeri menyusun strategi untuk merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah daripada penyandang sekarang, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Naib Ketuanya, Salman Saleh berkata, DUN Kubu Gajah adalah fokus penting bagi menewaskan UMNO-Barisan Nasional (BN) susulan cabaran Raja Ahmad Zainuddin yang ingin melihat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas diwakili kalangan orang muda.

Menurutnya, Dewan Pemuda sudah menggerakkan jentera sebagai usaha awal menjelang PRU 13 yang bakal berlaku bila-bila masa sahaja.

“Kami juga kini sudah menggerakkan jentera ke tahap ketiga gelombang agar Pemuda Pas memantapkan sokongan orang muda terhadap Pas-Pakatan Rakyat (PR).

“Dewan Pemuda juga telah meminta jentera bersama Pemuda PR digerakkan bagi menghadapi Pemuda BN kelak,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Salman berkata, mereka yakin dengan sasaran seperti DUN Kubu Gajah dan DUN-DUN lain yang telah diberikan ruang kepada Pas terutamanya dalam kalangan calon muda untuk menghadapi PRU 13 dan bersedia merampas kembali pentadbiran Kerajaan Negeri daripada BN.

“Tidak ada yang mustahil bagi kami untuk mentadbir semula memandangkan senario sokongan masyarakat terhadap kami sentiasa bertambah dari semasa ke semasa.

“Ini membuktikan bahawa masyarakat mempunyai keyakinan terhadap Pas-PR untuk membawa perubahan kepada mereka,” katanya.

Pada PRU 12, calon DUN Kubu Gajah yang juga Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas Negeri serta Ketua Dewan Pemuda Pas Larut, Nazri Din kalah tipis sebanyak 66 undi sahaja kepada penyandang sekarang, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin. SH

Tiada kuasa lebih tinggi dari kuasa Allah

Minta solat hajat, kami dah tak larat - Dr Halimah

SHAH ALAM, 6 Jan:

Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Halimah Ali dalam mesejnya yang penuh imosi memohon bantuan semua pihak bagi menghadapi serangan ini.

"Kami dah cuba mempertahankan kerajaan ini selama ini.

"Kami perlukan bantuan anda semua. Maaf kami tak larat untuk melakukan semua perkara," tulis Dr Halimah yang juga Adun Selat Klang dalam mesejnya kepada Harakahdaily.

Halimah (gambar) juga memaklumkan, Menteri Besar dan semua Exco kerajaan negeri terpaksa menyertai majlis angkat sumpah Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru yang disekalikan dengan majlis penganugerahan darjah kebesaran di istana negeri hari ini.

"Umno mahu menggunakan tektik sembah derhaka untuk ambil alih kerajaan Selangor seperti modus operandi Perak kalau kami tidak pergi," kata Halimah yang merupakan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor.
Semua ahli PAS dirayu supaya mengadakan solat hajat serta doa qunut nazilah untuk mempertahankan kerajaan negeri Selangor yang sedang diserang sekarang.

Tidak bermakna kami rela

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataan medianya sebelum ini memaklumkan, pemergian mereka ke istana hari tidak bermakna mengiktiraf perlantikan Khusrin.

"Kami ingin menegaskan kehadiran kami ini tidak bermakna kami rela dengan tindakan arbitrasi SPA terhadap pentadbiran ini. Kami tetap dengan pendirian bahawa isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri belum muktamad dan perlu penyelesaian bijaksana," kata Khalid dalam kenyataannya.

Apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri, kata Khalid adalah "sebagai bukti dan tanda kasih serta taat setia kami kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor."

Kerajaan Negeri Selangor, katanya, telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam ( SPA ) dan menyatakan rasa terkilan Negeri Selangor di dalam isu pelantikan SUK.

"Kita nyatakan dengan tegas bahawa tindakan mereka telah membelakangkan semangat Persekutuan sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan," katanya.

Kerajaan Negeri juga memohon agar proses perbincangan dapat dilakukan dan akhirnya penyelesaian terbaik boleh dicapai.

Pentadbiran Negeri Selangor juga telah memaklumkan kepada DYMM Sultan Selangor beberapa perkembangan hasil dari pertemuan pada 3 Januari, termasuk cadangan memulakan proses penyelesaian dengan SPA.

Pentadbiran Kerajaan Negeri kesal apabila berlaku manipulasi pihak tertentu dan berkepentingan dalam soal ini.

Media pula menggambarkan seolah-olah berlaku krisis di antara Istana dan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat, katanya.

"Kita juga telah memberi maklum kepada DYMM Sultan bahawa Pentadbiran Kerajaan Negeri akan mengadakan Sidang Dewan Negeri Selangor dalam tempoh terdekat untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar khusus dalam melantik tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang Negeri.

"Tindakan ini sekali gus menolak dakwaan pihak-pihak yang menuduh kami menderhaka dengan Sultan dan Kerajaan negeri Selangor sebaliknya kamilah yang akan mengembali dan mempertahan kuasa Sultan dan Negeri yang terhakis sejak 1993 kesan dari krisis Perlembagaan," katanya.

SPRM nak siasat, dipersilakan

Kuin: MB Kedah janji beri kerjasama pada SPRM

ALOR SETAR, 6 Jan: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) berjanji akan memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membolehkan siasatan dilakukan berhubung dakwaan penyelewengan di dalam anak-anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC).

Pemuda Barisan Nasional (BN) melalui ketuanya, Badrol Hisham Hashim telah membuat laporan kepada SPRM pada 3 Disember lalu yang mendakwa wujudnya penyelewengan dalam pemberian kontrak pembinaan kampus Kolej Universiti Insaniah (Kuin).

Azizan dalam kenyataan akhbar berkata, beliau menyerahkan sepenuh keyakinan kepada SPRM dan turut berjanji tidak akan campur tangan atau melindungi mana-mana pihak sekiranya terbukti bersalah.

Beliau juga meminta pihak yang membuat laporan (pemuda BN) agar bertanggungjawab dan memberikan kerjasama kepada SPRM serta bersedia untuk menyerahkan semua bukti bagi membantu siasatan.

Namun, Azizan juga mahukan SPRM bersedia untuk menafikan dakwaan atau mendedahkan hasil siasatannya jika tidak berlaku penyelewengan seperti laporan tersebut.

Menuju PAS baru : Cari kata sepakat lebih baik

Mujahid saran wacana 'Menuju PAS Baru'

PULAU PINANG, 6 Jan: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa menyarankan supaya diadakan wacana atau diskusi untuk membincangkan isi kandungan bukunya 'Menuju PAS Baru' bukan bertelagah dalam akhbar sehingga membolehkan Umno dan Barisan Nasional (BN) mengambil kesempatan.

Katanya, bertelagah menerusi akhbar tidak boleh mendapat kata sepakat bahkan mengeruhkan lagi perhubungan yang selama ini terbina atas landasan tarbiyah yang kukuh.

Lagipun, ujarnya wacana atau diskusi dapat membawa budaya yang sihat dan keterbukaan terhadap pandangan yang terbuka sesuai dengan asas masyarakat untuk melahirkan pemikiran yang telus dan matang.

(Gambar fail: Mujahid dan Dr Aziz Bari ketika melancarkan buku "Menuju PAS Baru" dan "Kita kan Orang Malaysia")

"Adakan wacana atau diskusi untuk menghilangkan kekeliruan dari sudut istilah-istilah yang digunakan dalam buku Menuju PAS Baru yang saya tulis bukan masuk akhbar pro kerajaan mengatakan ketidak puasan hati," ujarnya.

Lagipun, tambahnya buku tersebut hanya menyentuh betapa perlunya beberapa pengubahsuaian organisasi parti sendiri demi masa depan PAS yang akan menjadi parti arus perdana dalam negara ini, tidak langsung mengkritik dasar perjuangan yang telah dimeterai sejak dulu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menambah, segala pandangan yang dilemparkan semuanya ikhlas untuk memastikan PAS menjadi lebih kukuh dan bukan sebaliknya.

Katanya, hujah yang membina wajar diketengahkan menerusi saluran yang dibolehkan dalam parti mahupun Islam sebab pandangan baik perlu diambil jika mahu melihat parti semakin kukuh untuk menggantikan Umno di Malaysia.

"Saya berusaha untuk melihat masa depan PAS dengan mengambil kira aset perjuangan PAS selama hampir 50 tahun lebih. PAS juga melalui fasa-fasa kepimpinanya dan buku Menuju PAS Baru hanyalah garapan saya terhadap masa depan organisasi PAS yang perlu difikirkan oleh generasi muda dalam PAS," tambahnya.

Beliau bersedia turun ke wacana dan diskusi tersebut jika ada pihak yang menganjurkanya demi menghilangkan kekeliruan yang ada dan tidak timbul soal mahu memecahbelahkan parti atau menghentam parti secara semberono

“Saya amat sayangkan parti penyelamat ini,” katanya.

Kalau tak bohong , itu bukan Umno

Media UMNO merapu

http://marhaen.info/images/no2bn/bohong_250.jpgIPOH , 6 Jan. : Pesuruhjaya Pas Negeri, Abu Bakar Hussain menyelar tindakan media baru khususnya dimiliki Barisan Nasional (BN) yang bertindak menghentam atau membuat serangan terhadap Pakatan Rakyat (PR) bagi menghakis sokongan orang Melayu terhadap PR.

Menurutnya, tindak-tanduk media golongan itu memperlihatkan bahawa tiada pegangan syariat bagi pengendali media serta blog milik mereka.

“Banyak isu yang diperkatakan dan diutarakan hanya rekaan semata-mata bukan berlandaskan kepada bukti serta fakta jelas.

“Mereka sanggup memanipulasikan fakta serta gambar bagi menampakkan kepada rakyat kononnya PR begitu teruk moral walhal itu semua hanya rekaan mereka yang mempunyai agenda politik,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai strategi media baharu milik BN menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Abu Bakar berkata, sikap keterlaluan mereka ini cukup ketara, tambahan lagi desas-desus PRU ke-13 semakin hampir.

Katanya, UMNO sanggup menggunakan media mereka untuk menghentam kami walaupun jelas ia langsung tidak relevan.

“Inilah perbezaan kami dengan mereka, kami tidak akan membuat sebarang kenyataan tanpa sebarang bukti yang jelas serta sahih.

“Bukan budaya kami untuk menabur fitnah atau menyebarkan kenyataan tidak berasaskan kepada fakta,” katanya.

Beliau berkata, budaya ini bukan sahaja berlaku di Perak bahkan seluruh Malaysia dan ia merupakan satu fenomena kurang sihat kepada rakyat.

Menurutnya, dalam isu mengeluarkan kenyataan balas, jika perlu PR lebih gemar menjelaskan isu berbangkit.

“Kami tidak mahu rakyat terus tertipu dengan permainan mereka serta dalam masa sama kami berpegang kuat kepada syariat bukannya main hentam semberono,” katanya.SH

Rakyat dah mula merungut harga barang naik

Harga barang naik mendadak
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh8bllP9e1Gpz3KNgi4WFnWaZjGoSdB9G8DGx7o4fHyBp6xyxvfIcmHVMq4_i1q-0AxXo59P_HqbRFyA3cXvK-7HGO6Vh7NsqONi1x2Z_0WvhNjtEeJ4lBcEXgs2ob46MXYUdNnMTAXLfXZ/s1600/Poster_PRU_(Barang_Naik).jpg
SELAYANG, 6 Jan. : Penduduk Selayang dan pengguna melahirkan rasa kesal dengan kenaikan harga barangan keperluan asas yang didakwa naik secara mendadak sejak akhir-akhir ini, terutamanya di pasar basah dan pasaraya sekitarnya.

Peniaga pasar malam yang ditemui, Sapuan Sahar, 58, berkata, rakyat dikejutkan dengan pengisytiharan kenaikan harga petrol RON95, gula, diesel dan gas, sehingga memberikan tekanan pada mereka yang berpendapatan rendah.

“Harga minyak masak dahulu kita dapat beli RM0.80 sekilo, kini RM2.50 sekilo. Mereka tidak rasa kesusahan rakyat kerana berpendapatan tinggi, tetapi jika mereka berada di tempat kami, apa perasaan mereka.

“Saya mendapat untung sehari tidak sampai RM10. Belum lagi sewa rumah sebanyak RM380 sebulan, terus terang saya katakan semenjak harga barang semakin naik, saya begitu tertekan kerana sudah dua bulan sewa rumah tertunggak.

“Alhamdulillah anak-anak mampu berfikir dengan baik dan mereka sanggup membantu saya mencari duit lebih agar dapat membiayai bil-bil tertunggak, sedikit demi sedikit bebanan saya terungkai juga,” katanya.

Manakala Rohana Nasir, 44, berkata, walaupun perniagaan menjual nasi berlauk, ikan bakar dan sebagainya semenjak 2006 agak berkembang, namun dia tidak dapat lari daripada kenaikan harga sebegini.

“Hakikatnya keperitan saya sebagai peniaga, sewa kedai sebayak RM500, keperluan dapur seperti bawang besar ketara kenaikannya iaitu sebanyak RM16 hari ini, esok pula, pemborong bawang naikkan RM18 seguni.

“Empat hari sebelumnya saya membeli dengan harga RM7 seguni sahaja. Begitu juga dengan harga minyak semakin naik dan pagi ini saya puas mencari minyak masak namun tiada stok jualan. Suami terpaksa mencari stok minyak di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, perbelanjaan untuk membeli keperluan barang dapur sebelum ini hanya RM200, namun kini meningkat dua kali ganda dan keadaan ini agak sukar diterima.

Justeru, dia berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) dapat memantau harga barangan dengan lebih kerap agar penjual dan pemborong tidak menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya.

Bagi pengusaha restoran, Roslee Mohd Tahir, pula berkata, rakyat kini terpaksa reda dengan kenaikan harga barangan termasuk ura-ura dengan kenaikan harga air 37 sebanyak peratus.

“Untuk membeli santan kelapa dahulu hanya RM4.80 sekilo, kemudian naik RM5.20. Ada sekali kenaikan sebanyak RM7 sekilo santan. Saya betul-betul terkejut kerana isteri saya meniaga nasi lemak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Selayang Indah, Masrom Kapil berkata, dia sering menerima rungutan penduduk sekitar Selayang menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kenaikan harga barang dapur yang keterlaluan.SH

Skandal rasuah terbaru malukan negara

TI - Skandal Rasuah GLC Rosakkan Imej Negara


SHAH ALAM 6 Jan. : Presiden Transparency International Malaysia Datuk Paul Low Seng Kuan dalam kenyataan kepada media Isnin lalu berkata terlalu banyak masalah berhubung pentadbiran dan rasuah dalam syarikat berkaitan kerajaan yang perlu dipantau.

Pendedahan berhubung salah laku rasuah ujarnya harus dijadikan iktibar kepada pihak regulator, ahli lembaga pengarah, Ketua Pegawai Ekskutif dan pemimpin politik jika tidak kemungkinan akan ada lagi skandal sama pada masa akan datang.

"Isu sogokan RM413 juta oleh Nokia-Lucent SA (AL) dengan US Securities and Exchange Commission dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat kepada pegawai kerajaan di Costa Rica, Honduras, Taiwan dan Malaysia, telah merosakkan imej Malaysia.

"Alcatel telah membayar US200,000 dan US500,000 untuk dua perunding tetapi mereka tidak berjaya mendapatkan perkhidmatan yang sah untuk Nokia Malaysia.

"Jika perunding ini tidak berjaya mendapatkan tender tersebut bagi Alcatel, apakah jenis "perkhidmatan" yang mereka berikan?," soal beliau.

Proses untuk mendapatkan tender yang dibuat secara tertutup itu juga menimbulkan syak wasangka di mana kemungkinan besar adanya amalan rasuah.

"Apa yang lebih meragukan, mereka yang menjadi perunding adalah terdiri daripada syarikat RM2 tanpa kepakaran yang relevan untuk menawarkan perkhidmatan yang sepatutnya mereka berikan," ujarnya

Katanya lagi, meskipun undang-undang dan tindakan kerajaan mungkin tidak sepenuhnya menghilangkan gejala rasuah, TI merasakan ianya dapat dibendung secara signifikan jika pihak pengurusan atasan mempunyai integriti dan toleransi sifar rasuah.

Dalam pada itu, beliau turut menyingkap kembali kerugian berbilion ringgit syarikat berkaitan kerajaan seperti Sime Darby Berhad dan Port Klang Free Zone (PKFZ) sambil menyoroti keperluan mendesak bagi tatacara pengendalian syarikat yang baik.

"Regulator, lembaga pengarah, pengarah urusan, dan pemimpin politik harus mengambil iktibar. Jika tidak, mungkin ada skandal yang lebih dahsyat pada masa yang akan datang," tegas Seng Kuan dalam kenyataan itu.

Kerajaan Terengganu belanja hampir RM 1/4 juta beli itik dan angsa

GANU KITE : HARGA LEMBU SEEKORPUN TAK SEMAHAL INI




KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu telah membelanjakan hampir 1/4 juta ringgit membeli itik dan angsa demi memenuhi hasrat Menteri Besdar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said.

Sebanyak 11 jenis itik dan angsa kesemuanya berjumlah 101 ekor telah dibeli oleh kerajaan bernilai RM223, 750 untuk ditempat di Pulau Burung Tasik Kenyir yang dibina dengan kos RM6 juta.


Antara yang termahal adalah ;


1. Whooper Swan, angsa putih dibeli dengan harga RM5,600 seekor

2. Red Brested Goose, sejenis itik dibeli dengan harga RM4,200 seekor
3. White Swan, angsa putih dibeli dengan RM3,800 seekor
4. Black Swan, angsa hitam dibeli dengan RM3,800 seekor
5. Ashy Headed Goose, sejenis itik, dibeli dengan harga RM3,800 seekor

Jawapan bertulis yang diberikan oleh kerajaan negeri dalam Sidang DUN baru-baru ini bagi menjawab soalan bertulis yang dikemukakan oleh ADUN Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak.

Duit rakyat didahulukan, perut menteri dan kroni diutamakan

Minyak naik untuk bela korporat, rakyat melarat


KUALA LUMPUR, 5 Jan: Tindakan kerajaan menaikkan harga minyak RON 97 sebanyak 10 sen bermula tengah malam tadi dilihat untuk membela korporat dengan membiarkan rakyat hidup semakin melarat.

Sehubungan itu, PAS merakamkan perasaan sedih yang menimpa kepada rakyat Malaysia kerana terpaksa membayar kos hidup yang mahal dengan kenaikan harga minyak RON 97 sebanyak sepuluh sen menjadikan sekarang harga RM2.40 sen seliter bermula tengah malam 4 Januari 2011.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, sebelum pilihan raya kecil (PRK) Galas, minyak RON 97 naik 15 sen, selepas BN menang pilihanraya kecil RON 95 pula naik 5 sen.

Katanya, senario yang sama juga akan berlaku sebelum dan selepas PRK Tenang pada 30 Januari 2011 jika BN menang.

Menurutnyas, menjadi kelaziman biasa, ketika minyak naik kerajaan memberi alasan untuk mengurangkan subsidi petrol untuk 27 juta rakyat sebanyak RM11 bilion, tetapi untuk penjana bebas (IPP) milik kroni tidak dikurangkan subsidi sebanyak RM19 bilion.

Rakyat Malaysia, ujarnya tidak dengar sepatah perkataan daripada pemimpin yang kononnya rakyat didahulukan akan menarik balik subsidi untuk IPP.

“Apa yang kita kedengaran ialah subsidi untuk rakyat ditarik setiap bulan dengan kenaikan harga minyak,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, kerajaan yang ada tidak pernah memikirkan penderitaan dan keperitan rakyat sehingga berkerut dahi membayar yuran sekolah anak di awal pengajian.

Baginya, belum sempat bernafas, datang pula berita kenaikan harga minyak RON 97.

“Layaklah singkatan BN, ialah barang naik, bila naik baru naik, berapa naik, banyak naik dan BN - Bala Nanti,” ujarnya.

Bukti sudah ada, Rais perlu disiasat

Rais Berhak Nafi Tetapi Polis Perlu Siasat- Badrul Hisham

SHAH ALAM 5 Jan. : Penafian Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim berhubung dakwaan rogol yang membelit dirinya adalah tindak balas biasa yang akan dilakukan oleh setiap individu.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin ketika dihubungi Tv Selangor petang ini berkata, Rais berhak membuat penafian namun ia harus disusuli dengan tindakan bagi membuktikan penafian itu berasas.

"Persoalan dia hendak nafi atau tidak, itu persoalan lain. Itu terpulang pada dia. Baguslah dia nafi. Selama ini dia senyap sahaja dan tidak nafi. Najib pun nafi dia tidak terlibat dalam pembunuhan Altantuya. Masuk dalam mahkamah, penagih dadah pun sanggup bersumpah tidak mengambil dadah, itu benda biasa," ujar Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegubard.

Pagi tadi, Badrul tampil membuat laporan polis bagi menggesa satu siasatan dilakukan terhadap Rais yang didakwa merogol pembantu rumahnya.

Menurutnya beliau, pelbagai bukti dan pendedahan yang dilakukan blog dan NGO seperti Migrant Care yang berpengkalan di Jakarta menjadikan impak kes ini besar apatah lagi ia melibatkan seorang Menteri Kabinet.

Malah apa yang lebih merunsingkan katanya, hubungan Malaysia dan Indonesia yang mudah terbakar sentimennya mutakhir ini, harus segera dipulihkan.

"Justeru itu kita hendak polis siasat. Polis siasat dan polis harus umum Dr Rais tidak terlibat, beliau bersih dan ini hanya fitnah. Kalau ini berlaku, Dr Rais harus mengambil tindakan terhadap laporan tersebut," tambahnya lagi.

Dakwaan merogol yang melibatkan bekas Menteri Kehakiman dan Undang-undang ini dikatakan berlaku pada 2007 dan ia didedahkan semula oleh laman wikileaks dan laman blog seantero Malaysia.

Ketika memegang jawatan itu, Rais pernah mendedahkan 18 kes berprofil tinggi yang sengaja disenyapkan pihak tertentu.

Diminta mengulas kenyataan Rais bahawa dakwaan rogol itu sengaja dimainkan oleh bloger dan pembangkang, Badrul berkata, Rais harus terlebih dahulu membersihkan imejnya yang tercemar berikutan tersebarnya laporan yang mengaitkan beliau dengan skandal terbabit.

"Rais harus tampil untuk membersihkan dirinya dengan mencabar kesahihan laporan tersebut, bukan sekadar bercakap di media-media yang dia kuasai. Rais harus tampil memulakan peruntukan undang-undang sedia ada dan bukan sekadar bercakap dan berkokok di dalam negara," jelas Ketua Cabang Rembau itu.

Selain tindakan polis, Badrul juga turut mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya menggantung Rais sebagai anggota Kabinet sehingga siasatan dilakukan.

"Rais harus tampil untuk membersihkan dirinya dengan mencabar kesahihan laporan tersebut, bukan sekadar bercakap di media-media yang dia kuasai. Rais harus tampil memulakan peruntukan undang-undang sedia ada dan bukan sekadar bercakap dan berkokok di dalam negara," jelas Ketua Cabang Rembau itu.

Suruhanjaya Diraja jawapan kematian Teoh

Beng Hock: Pakatan gesa tubuh Suruhanjaya Diraja

SHAH ALAM, 5 Jan: Pakatan Rakyat mendesak Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan segera bagi mendapatkan keadilan bagi pihak Teoh Beng Hock yang ditemui mati pada 16 Julai 2009.

Desakan ini ekoran Mahkamah Koroner hari ini tidak dapat memutuskan sama ada Beng Hock membunuh diri atau dibunuh.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Yaakob Sapari menganggap keputusan Koroner Azmil Muntapha Abas sebagai satu drama.

"Kita harap rakyat buka mata bahawa kematian pegawai khas kepada exco ini satu perkara serius.

"Kita menuntut supaya kes ini dibawa ke Suruhanjaya Diraja untuk kita meneliti kes ini. Siasatan awam dan keputusan hari ini satu drama sahaja," kata beliau yang juga Adun Kota Anggerik.

Adun Pandamaran, Ronie Liu pula berkata, Malaysia memerlukan mahkamah rakyat memandangkan mahkamah yang ada ketika ini tidak dapat membuat keputusan secara adil.

"Kita perlukan mahkamah rakyat dan mahkamah tuhan kerana mahkamah yang ada hari ini tidak dapat membantu lagi," katanya.

Sementara itu, bekas majikan Beng Hock, Ean Yong Hian Wah yang merupakan Adun Sri Kembangan melahirkan kesedihan di atas keputusan tersebut dan turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak segera mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja.

"Saya berasa sedih dengan keputusan hari ini kerana koroner sudah mengesahkan beberapa bukti tapi katanya masih tidak cukup.

"Inilah masanya Perdana Menteri membuat kenyataan adakah beliau akan tubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk siasat kes ini sebab tidak ada satu jawapan yang konkrit," katanya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin yang turut hadir mendengar keputusan hari ini pula berkata, adalah sesuatu yang sangat malang apabila persoalan selama 18 bulan siasatan tidak dapat dirungkai hari ini.

"AMK dan Pakatan Rakyat kesal kerana persoalan tidak terungkai dalam tempoh 18 bulan siasatan sedangkan kita ada pasukan peguam.

"Rakyat tak tahu siapa sebenarnya yang bertanggungjawab terhadap kematian ini dan keptusan ini tidak dapat memberikan keadilan kepada keluarga Beng Hock.

"Saya tegaskan sudah sampai masanya SPRM mengambil sikap yang lebih bertanggungjawab dalam hal yang berkaitan dengan siasatan terhadap mana-mana suspek dalam kes rasuah ini," katanya.

Pengerusi Persatuan Pegawai-pegawai Khas Wakil Rakyat Selangor, Abdul Razak Ismail pula mendakwa keputusan itu menggambarkan tidak ada perlindungan terhadap pegawai-pegawai khas exco yang disoal siasat atas dakwaan tertentu.

"Open verdict ini menunjukkan tidak ada perlindungan terhadap pegawai-pegawai khas Exco Pakatan Rakyat dan ini menidakkan hak kami.
"Tak mungkin Beng Hock mati begitu sahaja. Oleh itu beliau perlukan pembelaan yang sewajarnya," katanya.

Terdahulu, Koroner Azmil Muntapha Abas yang membacakan keputusan kes kematian Teoh Beng Hock hari ini tidak dapat memutuskan samaada mendiang dibunuh atau membunuh diri, justeru mengumumkan kes tersebut "open Verdict".

Keputusan terbuka itu bermaksud keterangan yang ada tidak mencukupi atau tidak mencapai tahap yang dikehendaki untuk merekodkan keputusan.

Berikutan itu, Azmil memutuskan kematian Teoh bukan kerana bunuh diri.
Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima, Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai, 2009, selepas beliau memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 plaza itu.