Saturday, January 8, 2011
Projek propaganda terbaru Zulkifli Nordin
ALOR SETAR , 9 Jan . : Dakwaan Ahli Parlimen Bebas Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin bahawa terdapat perancangan sulit menukar kepimpinan Pas menerusi usaha dikenali ‘Ops Gerhana’ pada pemilihan Jun ini dianggap propaganda terbaru untuk memecah-belah parti itu menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi DUN Tenang, Johor tidak lama lagi.
Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, dakwaan pemimpin Pas daripada kalangan profesional merancang hendak mengambil alih kepimpinan parti itu daripada golongan ulama tidak benar kerana kedua-dua kumpulan selama ini sudah memainkan peranan tersendiri dengan cukup berkesan.
Menurutnya, kedua-dua golongan itu juga tidak bermasalah untuk berganding bahu sekiranya diperlukan dan menjalin hubungan baik sejak dahulu lagi.
“Dalam Pas, tidak berlaku kronisme dan berpuak-puak, cuma terdapat pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab melabelkan kami dengan pelbagai panggilan termasuk Pas Erdogan.
“Saya sendiri berasal daripadagolongan profesional dan sudah lebih 20 tahun bersama Pas. Bagaimanapun sehingga kini tiada masalah bekerjasama dengan golongan ulama dan saya yakin, ini cuma propaganda Zulkifli untuk menjatuhkan imej parti,”katanya.
Ir Phahrolrazi juga tidak menolak kemungkinan Zulkifli diupah oleh Barisan Nasional (BN) untuk mencetuskan propaganda menjelang PRK di mana-mana kawasan berikutan tindakan beliau yang konsisten membuat ‘pendedahan’ setiap kali berlaku PRK.
Menurutnya, Zulkifli juga tidak layak bercakap mengenai Pas kerana beliau bukan orang lama parti, malah dianggap orang ‘buangan’ sebelum bertindak keluar parti.
“Siapa beliau untuk membuat kenyataan mengenai Pas kerana beliau bukan pemimpin lama dalam parti, sebaliknya hanya orang baru yang bertindak keluar parti setelah kecewa agenda peribadinya tidak dipenuhi.
“Saya minta semua ahli Pas tidak terpengaruh dengan propaganda murahan seperti ini dan yakin dengan kepimpinan Pas sedia ada yang menggabungkan tenaga golongan ulama dan profesional,” katanya.
Mohamed Fadzill mohon maaf, bukti selama ini Utusan bohong dan fitnah
KUALA LUMPUR 9 Jan. : Media arus perdana berbahasa Melayu dibidas kerana hanya pandai membuat fitnah terhadap Pakatan Rakyat tetapi takut untuk mendedahkan kebenaran khususnya melibatkan kepentingan orang Melayu.
Memetik laporan portal Harakah Daily , Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong berkata, sebagai bukti terbaru apabila Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Pulau Pinang meminta maaf kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Utusan Malaysia diam membisu.
Ini, katanya menunjukkan Utusan yang hanya pandai membuat fitnah dan pembohongan terhadap Lim Guan Eng, DAP serta Pakatan Rakyat tidak berani untuk menyiarkan berita yang benar.
Tambahnya, sikap bacul sedemikian sudah sepatutnya menyedarkan rakyat betapa buruk agenda politik perkauman yang dibawakan oleh Utusan serta pihak-pihak tertentu dalam Umno yang hanya mahu orang Melayu ditutup mata daripada melihat kebenaran.
Sebelum ini, ujarnya apabila Pengerusi PKMMPP, Datuk Mohamed Fadzill Hassan menyerang Lim serta pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang, Utusan telah menjadi jaguh untuk menyebarkan tohamahan-tohmahan yang tidak berasas itu.
Kelmarin, apabila Mohamed Fadzill akhirnya bertemu muka dengan Lim, beliau telah telah memohon maaf kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu atas serangan-serangannya terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang.
Dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di Komtar, Georgetown, Lim menyatakan bahawa Mohamed Fadzil telah meminta maaf dan ingin membuka lembaran baru dengan kerajaan negeri bagi membolehkan kontraktor-kontraktor Melayu bekerjasama dengan pentadbiran negeri Pulau Pinang.
"Lim yang menerima baik permohonan maaf itu telah berkata bahawa kerajaan negeri mahu menjalin hubungan sihat dan tersusun berdasarkan kepada fakta dan bukan mengikut perasaan serta tidak dipesongkan oleh fitnah pihak-pihak tertentu seperti Utusan," ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendedahkan kepada umum bahawa kontraktor-kontraktor Melayu di negeri itu telah mendapat lebih banyak projek di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat berbanding era pemerintahan Umno dan Barisan Nasional.
Beliau mengambil contoh tender Jabatan Pengairan dan Saliran untuk tahun 2008 hingga 2010 menunjukkan bahawa kontraktor Melayu menerima kesemua 18 projek bernilai lebih RM40 juta.
Tender Jabatan Kerja Raya pula menyaksikan daripada 17 projek bernilai lebih RM20 juta diluluskan di antara 1 Januari 2008 dan 30 November 2010, 16 diberikan kepada kontraktor Melayu, hanya satu projek diberikan kepada kontraktor bukan Melayu.
Baginya, Utusan dan golongan-golongan yang menyokongnya perlu sedar bahawa jika mereka terus membuat pembohongan dan menutup kebenaran, yang menjadi mangsa adalah orang Melayu sendiri.
"DAP dan Pakatan Rakyat menawarkan alternatif yang lebih baik bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi juga semua kaum di negara ini, termasuk usaha meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah serta membebaskan media yang selama ini dikongkong oleh Umno Barisan Nasional," katanya yang juga Setiausaha Biro Antarabangsa DAP Kebangsaan.
Rakyat hadapi rentetan kenaikan harga barang
PARIT BUNTAR, 9 Jan. : Rakyat diingatkan bahawa selepas ini akan berlaku rentetan kenaikan harga barangan pengguna berikutan keputusan kerajaan menaikkan harga petrol RON 97 dan minyak masak baru-baru ini.
Penolong Setiausaha Pas Parit Buntar, Adnan Abd Rahman berkata, rakyat sedia maklum apabila petrol dinaikkan maka, barang keperluan lain akan naik kerana semuanya melibatkan kos pengangkutan.
Menurutnya, kenaikan harga petrol RON 97 dan minyak tanah sebenarnya tidak sepatutnya berlaku kerana rakyat baru sahaja dibebani kenaikan kos persekolahan anak-anak.
“Inilah harga yang rakyat kena bayar dan ‘hadiah’ daripada kerajaan yang boleh melakukan apa saja kerana rakyat terpaksa mengikut kehendak mereka.
“Rakyat sepatutnya sedar bahawa kerajaan benar-benar mendahulukan mereka untuk menerima apa saja kesulitan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kenaikan serentak harga petrol RON97 dan minyak tanah sebanyak 10 sen bagi setiap liter yang dinyatakan Presiden Persatuan Penjual Petrol Malaysia (PDAM).
Adnan berkata, harga susu, santan dan bawang juga sudah mengalami kenaikan dan tidak lama lagi akan berlaku kenaikan barangan pengguna yang lain.
“Rakyat berpendapatan rendah pasti perit menanggung kesan kenaikan ini.
“Itulah makna tersurat di sebalik slogan Rakyat Di Dahulukan dan Pencapaian Di Utamakan,” katanya.
Katanya, matlamat kerajaan untuk membasmi kemiskinan dilihat semakin sukar kerana pelarasan harga barang itu menambahkan lagi bilangan rakyat yang miskin.
Sementara itu, Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional Pas Parit Buntar, Hamdan Fadel Ahmad kesal dengan tindakan kerajaan menaikkan harga petrol RON 97 hanya dalam tempoh 34 hari.
Hamdan berkata, kali terakhir harga RON 97 dinaikkan pada 1 Disember lalu, sebanyak 15 sen menjadikan RM2.30 seliter.
Menurutnya, selepas ini, akan berlaku kenaikan lagi dan ia menunjukkan sikap tidak prihatin kerajaan terhadap rakyat.
“Rakyat yang akan menjadi mangsa, sesuai dengan slogannya rakyat didahulukan untuk ditindas,” katanya.
Katanya, pemimpin kerajaan yang dipilih rakyat mula merasa selesa dan menganggap kuasa mereka tidak terjejas dengan tindakan sedemikian.
“Bagi mereka, rakyat akan lena dan sanggup memikul keperitan hidup apabila disogok dengan janji manis.
“Slogan rakyat didahulukan yang dilaungkan hanya mengaburi mata rakyat, kini semakin jelas kerajaan secara terang-terangan tidak mengutamakan rakyat,” katanya. SH
PAS Kelantan harap semua terima penjelasan Mursyidul Am
KOTA BHARU, 9 Jan. : Semua pihak termasuk ahli, pemimpin Pas dan sesiapa sahaja termasuk UMNO diharap akur dengan penjelasan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya pertemuan beliau dengan Yang diPertuan Agong tidak perlu dibincangkan lagi.
Ketua Penerangan Pas Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pertemuan dengan Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 25 Disember lalu di Istana Istana Terengganu di Kuala Lumpur yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah atas jemputan Agong.
“Diharapkan mana-mana pihak seperti ahli dan pemimpin Pas, UMNO atau sesiapa sahaja akur dan menghormati penjelasan yang dibuat Tok Guru sebelum ini mengenai pertemuan itu.
“Menteri Besar Kelantan pergi atas dasar hormat dan penjelasan beliau bahawa perkara itu sudah tutup buku perlu dihormati semua pihak.
"Mana-mana individu tidak perlu mempolitikkan isu berkenaan lagi,” kata Dr Mohamed Fadzli.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu pertemuan itu yang diperbesarkan sesetengah pihak sehingga Mursyidul Am Pas berkenaan mengeluarkan kenyataan perkara itu sudah ditutup untuk ulasan lanjut kerana penjelasan sudah diberi.
Ketika hadir pada majlis di Tapang, di sini, Khamis lalu, Nik Abdul Aziz enggan mengulas lanjut sama ada pertemuan itu menimbulkan kecil hati dalam kalangan pemimpin pembangkang lain dan hanya menjawab isu itu sudah ditutup.
Sebelum itu beliau menjelaskan pertemuan dengan Tuanku Mizan tiada kaitan dengan isu politik.
Umno tak takut hilang sokongan
SHAH ALAM 9 Jan. : Lebih 50 ahli Wanita Parti Keadilan Rakyat Selangor mengadakan demontrasi aman membantah kenaikan harga barangan di pasar tani Seksyen 13 di sini hari ini.
Ahli Wanita bersama Skuad Penyelaras Komunikasi Selangor (Pikom) menyertai demontrasi aman turut serta mengedar risalah berkaitan kenaikan harga barang oleh kerajaan Umno Barisan Nasional (BN).
Beberapa pimpinan Wanita PKR antaranya, Exco Selangor, Rodziah Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Haniza Talha serta beberapa ketua Wanita peringkat cabang turut menyertainya.
Demontrasi kira-kira sejam yang turut mengadakan perarakan mengelilingi pasar tani itu, mendapat sambutan pengunjung yang selama ini dibebani kenaikan harga berkenaan.
Kerajaan Umno-BN telah menaikkan harga petrol dan beberapa barangan baru-baru ini dilihat membebankan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.
Malahan kekurangan minyak masak di pasaran mencetuskan spekulasi bahawa harga barangan itu akan naik dalam masa terdekat.
Pengakap maut
IPOH 8 Jan. : Seorang pelajar Tingkatan Dua terbunuh apabila terkena sebatang besi di kepala ketika menjalani latihan unit beruniform di padang sekolahnya di Taiping, 95 km dari sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, Goh Swee Khim, 14, pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Hua Lian, Taiping cedera parah di kepala dan mati ditempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Yusof Mohd Diah berkata semasa kejadian pelajar itu sedang menarik seutas tali yang telah diregangkan di sebatang besi bersama kira-kira 20 pelajar lain di sekolah berkenaan.
"Besi berkenaan dikatakan tercabut lalu tercampak dan mengenai kepala mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata mayat Goh dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.
Pemain Kedah dapat tanah
ALOR SETAR, 9 Jan. : Janji pemberian tanah tapak banglo kepada barisan pegawai dan pemain Kedah yang merangkul gelaran treble Liga Malaysia musim 2007 dan 2008 akan ditunaikan tahun ini.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Dr Hamdan Mohamed Khalib berkata, pemberian lot tanah banglo yang dianggarkan seluas 550 hingga 745 meter persegi di daerah Pokok Sena sudah diluluskan dalam kongres persatuan itu Disember lalu.
Menurutnya, pengagihan lot banglo itu sudah dibuat oleh Kerajaan Negeri, cuma proses penukaran hak milik kepada pemain dan pegawai yang terlibat masih belum dilakukan.
“Saya menyifatkan keupayaan Kerajaan Negeri dan KFA menunaikan janji pemberian tanah dalam tempoh dua tahun sebagai satu kejayaan berbanding pemain negeri Pahang musim 1996 yang hanya menerima pemberian tanah 10 tahun selepas dijanjikan.
“Proses penukaran hak milik lot tanah kepada semua pegawai dan pemain Kedah dijangka selesai akhir tahun ini dan saya berharap tiada pihak yang akan mempersoalkan ketelusan Kerajaan Negeri menunaikan janji kepada mereka yang berjasa kepada negeri dalam bidang sukan,” katanya.
Dr Hamdan turut menegaskan, lot banglo yang dihadiahkan tidak boleh dijual beli oleh penerimanya kerana Kerajaan Negeri akan menetapkan status ‘anugerah’ atas pemberian itu.
“Pemberian tanah diberi sebagai penghargaan Kerajaan Negeri atas kejayaan luar biasa mereka merangkul kejuaraan treble pada musim 2007 dan 2008 dan saya berharap mereka yang dapat, menghargai hadiah itu dengan tidak menjualnya kepada orang lain,” katanya.
Pemberian tanah itu diumumkan Menteri Besar yang juga Presiden KFA, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada Malam KFA 2009.
Menurut Azizan, kejayaan yang diraih skuad Hijau Kuning itu adalah amat luar biasa dan menyifatkan barisan pemain sebagai wira Kedah.
Inilah negeri yang Umno paling tidak ada tamadun
ARTIKEL : "Malam tadi, PAS Kawasan Bukit Katil telah menganjurkan ceramah isu-isu semasa oleh Ustaz Kamal Ashaari. Seperti biasa saya telah meluangkan masa untuk menghadiri ceramah tersebut.
Sebenarnya saya dah sampai agak lewat kerana ada hal yang aku perlu bereskan. Semasa sampai, kebetulan penceramah baru memulakan ceramah beliau.
Seperti biasa, saya harapkan UMNO tak membuat kacau pada malam ini, tetapi jelas sangkaan saya meleset.
Di Melaka, perlakuan parti UMNO paling pelik dan mungkin tiada di tempat lain. Manakan tidak, UMNO Melaka sering berceramah bersebelahan ceramah yang di anjurkan oleh PAS.
Seingat saya, ceramah Mat Sabu dan Dr. Hatta Ramli juga mengalami gangguan oleh UMNO. Ini jelas tindakan paling tak bertamadun pernah saya lihat.
Cuba anda bayangkan, ceramah sebelah menyebelah menggunakan pembesar suara. Yang mana satu hendak didengarkan, dan ini berlaku juga di ceramah Ustaz Kamal Ashaari.
Sepanjang saya bertugas di merata tempat, saya selalu ikuti program-program ceramah anjuran PAS, jarang berlaku ceramah UMNO bersebelahan ceramah PAS.
Gerak gerinya jelas terbelakang dan songsang. Apa perlunya UMNO untuk menganjurkan ceramah-ceramah seperti ini kerana media arus perdana yang mereka kuasai selalu mengeluarkan kempen - kempen memburukkan dan menfitnah Pakatan Rakyat. Adakah itu tidak cukup lagi sehingga ke pentas ceramah terus berlaku gangguan.
Ustaz Kamal Ashaari memberitahu dalam ceramahnya, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak mengganggu ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh UMNO dalam kempen "Selamatkan Selangor" kerana mengiktiraf fungsi parti pembangkang iaitu UMNO.
Pakatan Rakyat Selangor akan menjawab isu-isu yang di bangkitkan oleh UMNO melalui ceramah yang akan diadakan pada hari berikutnya.
Jelas perlakuan UMNO ini amat terdesak kerana takut akan 'tsunami politik' pada Mac 2008 akan terus berlanjutan pada PRU 13 nanti dan akan terus menguburkan mereka dari landskap politik Malaysia buat selama-lamanya.addin_77
Polis serbu ceramah dalam premis PAS, pakaian pemuda PAS koyak rabak
Eizat, salah seorang ahli Pemuda PAS Titiwangsa telah dikasari sehingga pakaian beliau koyak rabak hanya kerana enggan memberikan kad pengenalan kepada pihak polis tanpa sebab.
Beliau yang pada masa itu berseorangan, cuba melepaskan diri tetapi ditangkap dan dicekup dan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi.
Polis memberikan alasan bahawa ceramah yang diadakan pada malam tadi tidak mendapat permit polis walaupun ceramah akan diadakan di kawasan premis persendirian dan tidak mengikut peraturan.
Salah seorang polis yang mengetuai operasi itu, Azman pula mengatakan bahawa ceramah boleh diteruskan dengan syarat ia dibuat di dalam Pejabat Pusat Khidmat dan tidak boleh menggunakan pembesar suara kerana kononnya akan mengganggu orang lain.
Walaubagaimanapun ceramah akhirnya dapat diteruskan seperti biasa selepas wakil peguam PAS, ZulHazmi berunding sendiri dengan OCPD Zulkarnain.
Eizat juga akhirnya dibebaskan kira-kira jam 9 malam dan ketibaan beliau dengan baju yang koyak rabak di sambut dengan laungan takbir oleh pemuda-pemuda PAS.
Antara pemidato yang memberikan ceramah pada malam tersebut dengan tema Masa Untuk Berubah ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi, Ahli Parlimen padang Terap, Ustaz Nasir Zakaria, Ustaz Firdaus Jaafar (MP Jerai) dan Suhaizan Kaiat.
Suhaizan dalam ceramah beliau juga turut menegaskan bahawa ceramah pada malam itu sah dan tidak perlu mendapatkan permit polis kerana diadakan di dalam kawasan premis persendirian.
"Kalau ini pun tak boleh, masjid pun tak bolehlah azan, tak bolehlah solat berjemaah sebab tak dapat permit," seloroh beliau.
Eizat dan Pemuda PAS Titiwangsa juga dijangka akan membuat laporan polis di atas tindakan polis yang tidak bertamadun tersbut.
"Polis sudah melampau, sepatutnya kejadian seperti ini tidak akan berlaku sekiranya polis bertindak profesional," kata Suhaimi, Ketua Dewan Pemuda PAS Titiwangsa.
Rombakan PKR : Enam negeri bakal terima ketua baru
PKR Dijangka Rombak Kepimpinan Ketua Di Enam Negeri
KUALA LUMPUR 9 Jan. : Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka akan mengumumkan rombakan kepimpinan negeri hari ini dalam usaha merapatkan kembali perpaduan parti itu.
PKR mengadakan mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hari ini. Komponen Pakatan Rakyat itu telah pun mengadakan mesyuarat biro itu Jumaat lalu dan membincangkan rombakan tersebut lapor portal The Malaysian Insider.
Lima hingga enam negeri dijangka akan menerima ketua negeri yang baru hari ini. Difahamkan negeri-negeri terbabit ialah Kedah, Perak, Wilayah Persekutuan, Kelantan dan Terengganu.
Difahamkan Sabah dan Sarawak juga mungkin mengalami perubahan ekoran perkembangan semasa termasuk pergolakan semasa di Sabah.
Sabah merupakan antara negeri sudah beberapa kali mengalami perubahan kepimpinan negeri dalam tempoh tiga hingga empat tahun lalu.
Perak dipercayai akan diketuai oleh Dr Mohd Nur Manuty yang bulan lalu dilantik sebagai ketua penerangan pusat.
Jika pelantikan itu disahkan hari ini, beliau akan menggantikan Mustaffa Kamil Ayub, yang kini menganggotai Biro Politik.
Mustaffa dilantik menganggotai Biro Politik selepas tewas dalam pemilihan peringkat cabang dan jawatan timbalan presiden.
"Ini antara negeri yang akan menerima pengerusi baru, perkara ini sudah diputuskan pada mesyuarat Biro Politik hari Jumaat lepas," kata seorang pemimpin pusat PKR.
"Setakat hari itu, negeri-negeri lain tidak mengalami perubahan manakala kedudukan Sabah dan Sarawak belum diputuskan," kata sumber itu.
"Ini keputusan yang telah diambil pada mesyuarat Biro Politik Jumaat lalu, dan kemungkinan boleh berubah berdasarkan mesyuarat hari ini, jadi kita kena tunggu sehingga tengah hari esok (hari ini)," katanya lagi.
Laporan media minggu lalu menyebut, PKR Sabah menghadapi masalah kepimpinan apabila 15 daripada 25 ketua cabang meluahkan rasa tidak yakin terhadap ketua mereka Ahmad Thamrin Jaini, sebaliknya mahu Ansari Abdullah dilantik meneraju parti itu.
Ansari mewakili PKR-Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi November lalu.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail juga telah berada di Sabah minggu lalu, mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua cabang menjelang pengumuman pelantikan kepimpinan negeri hari ini.
Malah rombakan ini dibuat ketika bekas naib presidennya Datuk Dr Jeffrey Kitingan memutuskan untuk keluar PKR minggu lalu.
Sarawak juga dijangka akan memperoleh ketua baru selepas pengerusi semasa Baru Bian dilantik sebagai naib presiden PKR bulan lalu.
The Malaysian Insider difahamkan kepimpinan negeri Kedah akan diambil alih oleh timbalannya Wan Salleh Wan Isa manakala Dr Idris Ahamad yang kini memangku akan dilantik sebagai pengerusi PKR Wilayah Persekutuan.
Dr Idris memangku jawatan itu selepas ia kosong ekoran keputusan Datuk Zaid Ibrahim meninggalkan PKR di sebalik masalah berkaitan dengan proses pemilihan.
Kelantan dan Terengganu juga dilihat akan mengalami perubahan kepimpinan parti.
Ketua cabang Ketereh Ab Aziz Ab Kadir akan menggantikan Saifuddin manakala Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang tahun lalu melepaskan jawatan timbalan pengerusi PKR Pahang akan mengetuai negeri itu.
Ab Aziz dan Saifuddin masing-masing merupakan ahli Parlimen Ketereh dan Machang.
Dalam pada itu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesej Twitternya pagi tadi juga mengesahkan salah satu agenda mesyuarat hari ini ialah pelantikan kepimpinan negeri.
"Acara penuh, mesyuarat pimpinan parti termasuk pelantikn pimpinan negeri dan menerima laporan jawatankuasa pemilihan," katanya.
Dengar rintihan keluarga Teoh
PULAU PINANG 8 Jan. : Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar mendengar rintihan rakyat yang dahagakan keadilan dengan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat punca kematian bekas pegawai khas Exco Selangor, Teoh Beng Hock yang disyaki sebagai satu pembunuhan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang bertemu dengan kakak kepada mendiang Beng Hock, Teoh Lee Lan di pejabatnya di Komtar petang tadi menyuarakan sokongan beliau kepada cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja menyiasat kematian Beng Hock.
"Saya masih tidak faham, kenapa Perdana Menteri masih mahu menjalankkan inkues dalam kes ini sedangakan selama dua tahun inkues dijalankan masih tidak dapat mengetahui punca sebenar kematian mendiang," kata beliau.
Beliau berkata, penubuhan Suruhanjaya Diraja bukan sahaja akan dapat menyelesaikan misteri yang menyelubungi punca kematian Beng Hock tetapi juga kes-kes lain seperti kes A Kugan yang mati di dalam lokap dan Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis awal tahun lalu.
Katanya lagi, keluarga Beng Hock tidak menolak penubuhan Suruhanjaya Diraja tetapi meminta agar skop siasatan diperluaskan tanpa menghadkan kepada isu prosedur hak asasi manusia semata-mata.
Tambah Guan Eng lagi, pekara ini penting bagi Kerajaan Persekutuan bagi menegakkan kedaulatan undang-undang agar menemui satu jalan penutup bagi mengetahui punca kematian Teoh Beng Hock.
"Tidak apa yang kita boleh buat yang boleh menghidupkan semula Teoh Beng Hock tetapi sekurang-kurangnya kita boleh buktikan sistem keadilan masih wujud di Malaysia," kata beliau lagi.
Beliau berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat memberikan jawapan yang setimpal kepada keluarga mendiang yang menunggu selama hampir dua tahun untuk mengetahui punca kematian bukannya simpati terhadap apa yang mereka lalui.
Harga minyak diturunkan, takut kerajaan tumbang.
Negara Islam : Harga minyak diturun semula.. PM tunduk kepada tekanan politik
ISLAMABAD 7 Jan. – Perdana Menteri Pakistan yang bermasalah, Yousuf Raza Gilani tunduk kepada tekanan politik dan menarik balik keputusan kenaikan harga bahan bakar di negara ini, semalam.
Tindakan itu diambil bagi menghalang kerajaan pimpinannya yang goyah daripada tumbang.
“Sebagai menghormati pemimpin-pemimpin negara ini, Dewan Parlimen dan seluruh rakyat, saya akan mengekalkan harga bahan api yang lama.
“Terdapat persetujuan antara pemimpin-pemimpin politik dan pemimpin Parlimen bahawa harga bahan api akan dikekalkan mengikut harga pada 31 Disember lalu, iaitu sebelum kenaikan berlaku,” katanya.
Sejak enam hari lalu, harga diesel dan petrol di negara ini meningkat antara sembilan hingga 5.6 peratus dan menjadi satu daripada 11 pakej pembaharuan yang dituntut oleh ketua pembangkang utama, Nawaz Sharif dengan memberi tempoh 72 jam kepada kerajaan untuk menjawab pada Selasa lalu.
Nawaz kemudiannya memanjangkan tempoh yang mengancam untuk menyingkirkan parti pemerintah dari kerajaan di wilayah Punjab itu bermula selepas tempoh tiga hari berkabung atas kematian ahli politik liberal Pakistan, Salman Taseer yang ditembak mati pada hari sama.
Parti kecil dalam gabungan kerajaan, Pergerakan Muttahida Qaumi (MQM) turut menyatakan kenaikan harga bahan api itu sebagai alasannya untuk keluar daripada kerajaan Ahad lalu, sekali gus akan merosakkan majoriti parti pemerintah dan meningkatkan kebimbangan berlaku pilihan raya awal.
Negara sekutu Pakistan di Barat bimbang dengan sebarang prospek yang akan menambahkan lagi ketidakstabilan di negara ini ketika kegawatan ekonomi, sementara AS meningkatkan tekanan supaya Islamabad perlu melakukan lebih banyak usaha memerangi al-Qaeda dan Taliban.
Namun Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton berkata, ia adalah satu ‘kesilapan’ kepada Pakistan untuk menarik balik kenaikan harga bahan api itu yang disifatkan ‘bertindak kebelakang’ dalam usaha meningkatkan ekonomi negara itu yang semakin tenat.
“Kami percaya kerajaan Pakistan perlu memperbaharui undang-undang dan peraturan ekonominya, termasuk yang melibatkan bahan bakar dan kos pentadbirannya,” kata Hillary kepada wartawan.
Sehingga semalam, masih tidak nampak tanda-tanda Gilani akan tunduk dengan tuntutan Nawaz atau MQM yang lain-lain. – AFP
Kerajaan PAS Kelantan tak bantu mangsa banjir ?
GUA MUSANG,8 Jan. : Kerajaan PAS Kelantan akan mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir sebanyak RM1,500 bagi setiap keluarga dari Tabung Serambi Mekah.
Bagaimanapun Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yaakub berkata mangsa banjir akan diberi RM700 buat permulaan manakala bakinya sebanyak RM800 akan diberikan kemudian.
Beliau menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di mana seramai 50 keluarga yang mendiami kawasan setinggan di Jalan Sungai Chinda di sini kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran awal pagi kelmarin.Mereka kini ditempatkan di Dewan Pusat Sivik Gua Musang.
"Tabung Serambi Mekah mendapat sambutan penderma sepanjang masa," kata Ahmad, Sabtu.-BERNAMA
Jangan Lupa : Solat Hajat Perdana 9 Januari 8 malam di Stadium Tertutup Shah Alam
Penting! Solat Hajat Perdana "Selamatkan Selangor dan Malaysia"
Bukankah Najib juga Pengerusi Umno Selangor? Justeru itu, PAS akan mengadakan Solat Hajat Perdana dan Ceramah Mega pada Ahad, 9 Jan 2011, di Stadium Tertutup Shah Alam jam 8 malam.
Dah nama pun Umno
Bongkarrrr..!! Satu Lagi Kerja "Jahat" Umno Terhadap Umat Islam..
ARTIKEL : Kerja jahat Umno menghalang tertegaknya syiar Islam di negara ini semakin terselah apabila satu kejadian yang memilu dan menguris hati penduduk di Taman Klebang Prima yang terletak berhampiran bandar Ipoh menjadi isu yang semakin panas dan menyebabkan ramai dikalangan ahli Umno telah meninggalkan Parti Reput itu.
Menurut pengerusi Surau sementara Taman Klebang Permai,peruntukan sejumlah RM200 000 yang telah dipohon kepada pihak tertentu untuk membina sebuah surau baru yang badjetnya sejumlah RM300 000.
Maka dengan bangganya Datuk Husni sebagai timb. menteri Kewangan (gambar) telah hadir dalam satu perjumpaan dengan penduduk taman tersebut bersama ketua Umno Bahagian Tambun dan telah berjanji akan memberikan sejumlah wang RM 200 000 untuk pembinaan surau yang baru.Maka bertepuk tangan dan mengucap syukurlah setiap penduduk Taman Klebang Prima tanpa mengira fahaman politik.
Terbayang kini,tesergam indah sebuah surau yang sekian lama di idamkan.Namun setelah beberapu bulan berlalu maka diberitahu oleh pihak Umno Bahagian Tambun bahawa peruntukan tersebut di BATALkan kerana Taman Klebang Prima dikuasai pembangkang.
Hancur luluh dan berkecailah harapan penduduk islam setempat.Mengapa Umno sanggup melakukan kerja jahat sebegini rupa?Ini duit rakyat?sedangkan mereka bersatu padu untuk sama-sama menyebarkan syiar islam dikawasan tersebut.Maka,dengan kerja jahat tersebut ramailah dikalangan ahli Umno telah dibukakan hati mereka untuk berhijrah kepada PR.Bertambah melopong la Umno dikawasan itu.
Diberitakan juga,selepas sebulan berita yang mengecewakan penduduk setempat terhadap kerja jijik Umno itu maka dengan kuasa Allah yang maha memberi rezeki ke atas hambanya yang ingin menyebarkan agama Allah maka tercatatlah dalam akaun surau tersebut jumlah RM 300 000 dari hamba Allah yang tidak dikenali.
Maka hebohlah seluruh Taman bahawa Allah telah menggantikan wang RM 200 000 yang disekat itu dengan RM 300 000 dari penderma yang ikhlas dan memahami pahala yang akan diperolehi di akhirat kelak,lalu bersolat syukurlah penduduk di Taman Klebang Prima.Sehingga saat ini penderma tersebut masih lagi menjadi misteri,mungkin keikhlasan beliau mengatasi segalanya.Jazakallah kepada penderma tersebut semoga Allah memberkati dan merahmatimu.
Jur agan : InsyaAllah bulan hadapan surau tersebut akan mula dibina..Inilah kerja Allah,janji Allah bahawa Ia akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya telah tercatit dalam Al Quran adalah tepat dan wajib diyakini.Maka kesombongan Umno di atas muka bumi ini akan dibalas oleh Allah suatu hari nanti..tunggu...InsyaAllah...
Untuk penyokong Umno : Ayat Allah yang bermaksud.:Barang
siapa yang cenderung kepada pemimpin yang zalim,maka
kelak akan disambar oleh api neraka."
Pemuda PAS siap sedia hadapi Tenang
Ketua Pemuda PAS, Nasharuddin Hassan berkata, menabur fitnah bagi menjatuhkan reputasi lawan secara tidak bermoral dan tidak gentleman.
“Kempen dari parti-parti yang bertanding sewajarnya adalah untuk memberi maklumat dan membuat tawaran-tawaran yang positif kepada rakyat demi kepentingan mereka.
“Sangat tidak wajar apabila pilihanraya dijadikan medan untuk menyogok dan mengugut. Lebih malang medan demokrasi itu dicemari dengan fitnah dan tohmahan yang tidak berasas,” katanya.
Menurutnya, Pemuda PAS negeri dan kawasan yang bertugas diletakkan dalam keadaan siap siaga mendepani fitnah jahat yang dilancarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Ini, katanya adalah tindakan desprado yang hanya berusaha meraih simpati, sokongan dan pengaruh murahan.
Pilihanraya, tambahnya adalah medan demokrasi untuk rakyat diberi kebebasan dan hak dalam memilih pemimpin mereka.
Justeru itu, katanya, suasana yang hormonis dan kondusif sangat diperlukan oleh pengundi agar mereka mampu membuat pilihan yang tepat tanpa sebarang tekanan dan gangguan yang boleh mengalih tumpuan mereka.
“Saya menyeru kepada semua pihak agar beraksi di gelanggang pilihanraya ini dengan mengamalkan pendekatan politik yang matang dan berhemah .
“Santuni pengundi, menangi hati mereka dan raih sokongan mereka secara positif dan informatif .
“Elakkan sebarang tindakan provokatif yang mencetus suasana tidak aman dan tenang justeru pilihanraya untuk memilih pemimpin bukan untuk beradu kekuatan fizikal,” katanya lagi.
Pilihanraya Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha dari BN bulan lalu.
PAS akan mengadakan mesyuarat bagi memilih calonnya untuk bertanding kerusi Tenang malam ini.
Forum bahas program 100 hari
KUALA LUMPUR, 8 Jan: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan mengadakan forum "Janji 100 Hari Pakatan Rakyat' bagi mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak mengenai program 100 hari yang terkandung dalam buku jingga Pakatan Rakyat.
Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, selepas buku jingga itu dikemukakan sewaktu konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang 19 Disember lalu, ianya belum dinilai secara terbuka oleh mana-mana pihak melainkan mendapatkan kritikan daripada Umno BN.
"Dalam forum ini kita akan bahas pro dan kontra program 100 hari ini dan kita akan bagi peluang kepada rakyat untyuk menyatakan pandangan," kata Nasrudin dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Ibu Pejabat PAS, dekat sini hari ini.
Menurutnya, forum itu akan diadakan pada 15 Januari ini bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) jam 9.30 hingga 12 malam dan terbuka kepada semua.
Ianya akan menampilkan panel daripada pimpinan PAS, PKR, DAP,Umno dan Gerakan manakala moderatornya ialah penganalisis politik, Prof mohd Agus Yusof.
Bagaimamapun, pihak DPP masih dalam proses mendapatkan nama daripada wakil-wakil parti berkenaan untuk manjadi panel.
"Kita mahu panel-panel ini memberikan penilaian mengenai program 100 hari ini, di mana asasnya, apa relevannya.
"Kita juga ingin beri peluang kepada NGO-NGO untuk menyatakan pandangan mereka menegani program ini melalui forum tersebut," katanya.
Selain itu, DPPP juga akan mengadakan Malam Anugerah Budayawan Islam bagi memberikan pengiktirafan kepada seniman dan budayawan yang membangunkan seni tanah air yang tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Ianya juga sebagai langkah membuka minda ahli PAS agar menggunakan seni dan budaya untuk menyanpaikan dakwah kepada masyarakat.
Sebelum malam anugerah yang dijangka berlangsung pada Mac itu, pemuda akan mengarahkan satu teater Islam yang akan dipersembahkan pda malam tersebut.
"Kita akan jemput seniman yang aktif menggerakkan seni Islam seperti Dinsman dari Paksi dan pemuda sendiri akan menghasilkan teater dan persembahan lain," katanya.
Tambahnya,bekas vokalis Wings yang merupakan kumpulan rock Malaysia, akan turut menghadiri malam anugerah itu bagi menarik golongan muda.
"Kita berhasrat untuk pergi jauh dalam bidang Islam yang tidak mengenepikan nilai-nilai Islam sebab itu kita berusaha melancarkan produk-produk seni kita sendiri," katanya.
Dalam pada itu , beliau turut melancarkan logo Himpunan 30 ribu pemuda PAS yang akan berlangsung pada 19 Februari depan di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.
Himpunan itu sebagai persiapan pemuda menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) yang melibatkan pemuda dari seluruh negara.
Sementara itu, menurut Ketua Penerangannya, Suhaizan Kaiyat, DPPP akan mengadakan pertemuan dengan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada 12 atau 13 Februari depan di sekitar Lembah Klang.
Pertemuan itu sebagai langkah mencari formula penyelesaian ekoran rungutan daripada peminjam yang terbeban akibat tidak dapat membayar balik pinjaman sehingga tidak membolehkan mereka ke luar negara.
Siapa Perdana Menteri Malaysia , Rosmah atau Najib ?
SHAH ALAM 8 Jan. : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disaran meletak jawatan dan memberi jawatan tersebut kepada isterinya, Rosmah Mansor yang lebih 'giat' mewakili negara dalam persidangan asing berbanding Najib sendiri.
Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani berkata demikian kepada TV Selangor mengulas lawatan Rosmah ke tiga buah negara Timur Tengah.
Rosmah dijadualkan memberikan ucapan di dua persidangan antarabangsa mewakili negara, menyaksikan upacara perjanjian memorandum persefahaman serta bertemu beberapa pemimpin utama Oman dan Bangladesh.
"Melihat kepada kapasiti, kapasiti apa yang dia buat kunjungan hormat dan sebagainya? Itu kerja Perdana Menteri dan menteri, adakah dia salah satu daripada menteri Kabinet? Kalau begitu maknanya Najib kena letak jawatanlah, bagi dekat Rosmahlah untuk pegang (jawatan) Perdana Menteri, barulah sesuai kerana ia mewakili negara," tegas beliau.
Beliau berkata, kapasiti yang diambil oleh Rosmah dengan menjadi saksi upacara menandatangani perjanjian tidak memberikan satu isyarat yang bagus kepada para pengundi.
"Rakyat memilih seseorang itu untuk mewakili (mereka), bukan 'bagi pihak', kalau 'bagi pihak' maknanya keupayaan tuan tubuh itu sendiri tidak upaya untuk menjadi duta kepada negara, itu sudah mengguriskan atau dalam erti kata lain letak jawatan lebih baik daripada berselindung di bawah seseorang," kata beliau lagi.
Beliau seterusnya berkata situasi ini memberikan gambaran seolah-olah Najib berpaut kepada Rosmah dan ini tidak dilihat sebagai sesuatu yang memberangsangkan dari segi mewakili negara.
Selain itu, Abdullah juga mempersoalkan tanggungan perbelajaan lawatan Rosmah kerana dalam keadaan ekonomi yang kurang sihat, perbelanjaan perlulah dibuat secara bijak.
"Perbelanjaan itu siapa yang tanggung? Untuk menanggung perbelanjaan itu yang mana dah belanjakan hampir RM10 juta pada tahun 2010, itu lebih bersikap tidak berjimat cermat. Negara dalam keadaan yang begitu kritikal ekonominya tetapi pada masa yang sama kita pula membelanjakan seperti mana yang boleh diberikan pengurangan untuk memastikan kewangan itu diberikan kepada saluran yang lebih (membawa) manfaat," kata beliau.
Umno buat guru-guru di Johor tidak selesa
ARTIKEL : Guru-guru di Johor merasa tidak selesa dengan sikap Pengarah Pendidikan Negeri yang dilaporkan sebelum ini cuba mempengaruhi guru-guru kaunseling untuk turun berkempen didalam Pilihanraya Kecil N.05 Tenang untuk Umno Barisan Nasional.
Mereka terkejut dengan pendedahan tersebut dan mempersoalkan mengapa mereka sebagai golongan profesional cuba diajak untuk bertindak sebaliknya sedangkan mereka tidak mahu terlibat didalam politik kerana ingin memberikan tumpuan kepada mendidik anak-anak yang hauskan ilmu pengetahuan.
Pendedahan “video Markom” menyebabkan satu letusan yang dahsyat berlaku di Tenang kerana rahsia Umno Barisan Nasional yang ‘melacurkan’ guru-guru kaunseling untuk tujuan kempen Umno Barisan Nasional terbongkar.
Belum lagi tiba waktu berkempen bahkan penamaan calon belum pun berlaku, Umno Barisan Nasional telah berani menunjukkan taktik kotor dan jahat mereka, dengan segala akses terhadap agensi kerajaan Umno Barisan Nasional bersikap mereka adalah ‘raja’ yang tidak perlu ditegur dan harus akur setiap apa tindak tanduk meskipun telah melampau dengan menyusahkan kehidupan rakyat.
Guru-guru hari ini bukan lagi seperti guru-guru diawal kemerdekaan, guru-guru hari ini adalah guru-guru yang berwawasan dan berjiwa merdeka. Mereka tahu apa yang patut mereka buat sesuai dengan jawatan yang mereka sandang.
Tindakan cuba menekan guru-guru dengan cara halus seperti yang dilakukan oleh Pengarah Pendidikan Johor menghasilkan rasa benci dan meluat guru-guru bukan sahaja kepada Pengarah Pendidikan Johor bahkan kepada Umno Barisan Nasional. Sumber Johorkini
Tenaganita bidas Najib kes rogol amah
SHAH ALAM 8 Jan.: Kerajaan perlu mengambil serius dakwaan seorang menteri kerajaan telah merogol pembantu rumahnya warga Indonesia tanpa mempersoalkan tempoh masa kes tersebut.
Ketika dihubungi TV Selangor , Pengarah Tenaganita, Irene Fernandez membidas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempersoalkan mengapa perlu diungitkan kes yang berlaku tiga tahun lepas.
"Kerajaan mesti ambil serius tentang isu itu, kalau seorang menteri itu ada libatkan diri dalam perkosaan itu atau tidak, isu itu. Bila berlaku, masa itu, berapa tahun pun tak kira, kalau ada dakwaan itu berlaku dan kerajaan yang bertanggungjawab mesti siasat dan mengambil tindakan selanjutnya memastikan keadilan dibawa kepada mangsa," tegas beliau.
Jelas beliau, kes ini telahpun dikeluarkan oleh pihak berkuasa Indonesia pada masa itu tetapi kerajaan Malaysia telah mengambil sikap acuh tak acuh terhadap isu tersebut, sehinggalah kini apabila kes tersebut didedahkan kembali oleh laman portal Wikileaks.
"Isu itu memang sudah keluar di Indonesia bila perkosaan itu berlaku kepada pembantu rumah, tetapi isu itu tidak diambil kira oleh kerajaan masa itu dan bila isu itu dikeluarkan dari Wikileaks, selepas itu beberapa blogger pun sama keluarkan dan isu itu dibincang," kata beliau lagi.
Beliau seterusnya menjelaskan apabila sesuatu kes seperti ini dilaporkan, maka kerajaan perlulah mengambil etika yang betul dengan membela hak-hak si mangsa, pada masa yang sama menghormati keputusan mangsa.
"Keputusan untuk meneruskan membuat aduan tentang perkosaan itu terpulang kepada si mangsa. Kalau si mangsa pada masa itu tidak mahu mengambil tindakan, kita mesti hormat keputusan itu," jelas beliau.
Irene berkata, beliau merasakan Migrant Care juga mempunyai pendapat yang sama maka memutuskan untuk menutup kes berkenaan demi menjaga kebajikan si mangsa.
"Saya fikir Migrant Care juga ada pendapat yang sama iaitu hormati keputusan si mangsa kerana dia takut ataupun tidak dapat bela diri, kita tidak tahu apakah masalah si mangsa pada masa itu," kata beliau.
Orang India pasti terbeban sambut Thaipusam tahun ini
GEORGE TOWN 8 Jan.: Penganut Hindu yang mahu menunaikan nazar kepada Dewa Murugan dengan memecahkan ratusan biji kelapa pada sambutan Thaipusam pada 20 Januari ini terpaksa membayar lebih untuk komoditi itu.
Harga sebiji kelapa di Pulau Pinang telah naik 30 sen kerana kekurangan bekalan di seluruh negara akibat cuaca hujan dan permintaan tinggi semasa musim perayaan.
P. Sarasvathy, 52, seorang pemborong kelapa di sini, berkata beliau tidak mempunyai pilihan kecuali menjual pada harga RM1.50 sen sebiji berbanding RM1.20 sebelum ini.
Oleh kerana kekurangan bekalan, katanya, beliau hanya memperoleh 35,000 biji kelapa untuk perayaan Thaipusam tahun ini berbanding 300,000 tahun lepas.
"Kami mendapatkan bekalan kelapa dari ladang sendiri di Kuala Bernam dan Sungai Bernam di Perak tetapi sejak Ogos lepas, bekalan telah merosot," katanya kepada Bernama di kedainya di Lorong Abu Siti, di sini, hari ini.
Sarasvathy, yang memiliki empat buah kedai di negeri ini, berkata beliau dan suaminya terpaksa mengimport kelapa dari Indonesia bagi memenuhi permintaan penganut Hindu.
"Setakat ini, kami menerima tempahan 20,000 biji kelapa dan hanya mampu memenuhi permintaan itu selepas mengimport dari Indonesia," katanya, sambil menjelaskan bayaran tambahan 10 sen sebiji akan dikenakan kepada bekalan dari negara jiran itu.
Seorang lagi pemborong dan peruncit kelapa, M. Joel Jeyachandran, 25, bekata ramai peniaga bimbang tidak dapat memenuhi permintaan tinggi semasa Thaipusam.
Katanya kekurangan bekalan komoditi itu adalah disebabkan penutupan sebuah ladang kelapa di Pantai Remis, Perak, dan ditanam dengan kelapa sawit.
"Tahun lepas, kita mampu mendapat 40,000 biji kelapa dan kami bernasib baik mendapat separuh daripada jumlah itu tahun ini dari ladang di Bagan Dato dan Kuala Bernam, Perak," katanya.
Beliau meminta penganut supaya membuat tempahan awal kali ini. Tinjauan Bernama di beberapa premis menjual kelapa di bandar raya ini mendapati pemborong bersedia dengan bekalan stok kelapa khususnya kepada penganut yang membuat tempahan awal.
Adalah menjadi tradisi untuk penganut Hindu menunaikan hajat dengan memecahkan ribuan biji kelapa semasa perarakan arca Dewa Murugan dari Kuil Kovil Veedu di Lebuh Penang ke Kuil Nattukottai Chettiar di Jalan Air Terjun. Ritual itu akan berulang ketika perarakan arca itu kembali ke Lebuh Penang.
Harga minuman teh dan kopi dah mula naik
SIBU 8 Jan. : Harga secawan teh atau kopi di bandaraya Sibu,Kanowit, Selangau dan Machan akan dinaikkan antara 10 hingga 30 sen mulai 15 Januari ini, menurut Persatuan Pemilik Kedai Kopi dan Restoran Sibu hari ini.
Persatuan tersebut, yang mempunyai 360 ahli dari empat kawasan itu, telah memutuskan untuk mengurangkan kenaikan harga dari 10 hingga 50 sen pada awal tahun ini kepada 10 hingga 30 sen.
Pengerusinya Tong Ink Kon berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sibu.
"Gula bukan semestinya ramuan utama tetapi kenaikan harga susu dan produk susu juga dipertimbangkan. Harga barangan itu telah naik dengan ketara sejak beberapa tahun lepas," katanya kepada pemberita di sini.
Tong berkata persatuan itu tidak mengemaskini harga minuman itu sejak lima tahun lepas walaupun semua bahan ramuan untuk membuat kopi dan teh sentiasa naik.
"Juga faktor lain seperti sewa kedai, gaji, gas dan tarif elektrik telah naik dan ini meningkatkan kos operasi kami," jelasnya. Katanya mulai 15 Januari ini, harga secawan kopi dan teh naik 10 sen, 20 senuntuk gelas sederhana dan 30 sen untuk gelas besar.