Saturday, January 29, 2011

Cek bertarikh 27 Januari itu, ditulis "MCA cawangan Tenang" ditemui

DAP : Berlaku Beli Undi Di Tenang Station



LABIS 30 Jan. : DAP mendakwa berlaku pembelian undi di SJK (C) Ai Chun yang terletak dalam daerah pengundian Tenang Station.

Menurut Teo Chin Liang iaitu bapa kepada ahli Parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching, dia dan agen undi DAP, Liew Choan Chee, pergi ke dewan sekolah tersebut apabila mendapati pintunya terbuka luas, yang menurut mereka tidak biasa berlaku pada hujung minggu.

Setibanya di situ, kata Teo, dia nampak beberapa orang lelaki Cina sedang duduk di sebuah kaunter. Dia kemudiannya didatangi tiga orang, yang bertanyakan mengapa dia berada di situ,lapor Malaysiakini.

Teo menjawab dia hanya mahu melihat yang apa yang sedang berlaku di situ. Mengesyaki sesuatu, dia kemudiannya memanggil Liew yang berada di dalam kereta dan Liew datang serta mengambil gambar tiga orang berkenaan.

Melihatkan foto mereka diambil, ketiga-tiga mereka menjadi marah.

Menurut Teo, seorang daripada mereka yang berbaju putih, mengejar Liew hingga ke keretanya dan mengarahkannya menyerah kameranya, dan mengancam akan menggunakan kekerasan jika Liew enggan berbuat demikian.

Liew, bagaimanapun, memberi amaran kepada penyokong ketiga-tiganya bahawa penyokong PAS akan sampai beberapa minit lagi.

Mereka kemudiannya jadi takut lalu beredar dari tempat tersebut.

Bagaimanapun, setelah mereka pergi, kelihatan beberapa orang masih datang ke dewan sekolah berkenaan.

Teo kemudiannya menemui mereka dan diberitahu, mereka datang setelah diminta oleh seorang yang dipanggil 'Ah Teck' untuk mengundi di situ, walaupun sekolah berkenaan bukanlah pusat mengundi.

Tertinggal di situ ialah cek RM3,000 yang telah dikoyak, dengan tandatangan ketua kampung yang juga pengerusi MCA Kampung Sawah Padi, Kok Yun Keong.

Cek bertarikh 27 Januari itu, ditulis "MCA cawangan Tenang" di atasnya, namun tiada nama penerima.

PRK DUN Tenang: Banjir,ramai dipindahkan




LABIS, 30 Jan. : Proses pengundian pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang tetap berjalan walaupun beberapa kawasan rendah dilanda banjir dan bilangan mangsa yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan terus meningkat.

Jurucakap polis bagi pilihan raya itu, Supt Abdul Aziz Ahmad berkata sehingga pukul 2 petang ini, seramai 846 mangsa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir.

Mangsa yang dipindahkan ke Balai Raya Kg Paya Dalam ialah seramai 53 orang;Balai Raya Kg Batu Badak (94); Sekolah Agama Pekan Air Panas (58); Balai Raya Kg Usaha Jaya (70); Balai Raya Kg Lembah Bakti (272); Balai Tadika Kg Orang Asli (130); Balai Raya Kg Sekijang (10); Balai Raya Kg Melayu Raya (12); Balai Air Bah Pagoh 2 (53); Sekolah Arab Kg Gubah (13); dan Balai Raya Kg Genuang India(81).

Walaupun hujan lebat masih berterusan, proses pengundian di beberapa pusat pengundian yang tidak terjejas dengan banjir berjalan lancar, katanya.

Hujan bawa rahmat, penyokong PR terus bertahan

Hujan Lebat Tidak Patahkan Semangat Penyokong


LABIS 30 Jan.: Walaupun hujan lebat di sekitar pekan Labis namun ia tidak mematahkan semangat penyokong parti untuk terus berhimpun memberi galakan kepada pengundi-pengundi di UPU Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah.

Tinjauan krew Tv Selangor mendapati rata-rata majoriti pengundi Cina keluar mengundi seawal jam 9 pagi di kawasan tersebut.

Dalam pada itu Naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang ditemui pagi tadi berkata, sekiranya PAS berjaya mengurangkan majoriti maka usaha untuk mengagalkan sasaran Umno-Barisan Nasional memperoleh undi majoriti 5000.

"Dalam keadaan cukup undi lama, kurangkan majoriti dan gagalkan sasaran undi BN. Jika salah satu daripada sasaran ini kena maka sudah cukup memberi tamparan kepada BN tentang kebangkitan rakyat," tegas Mahfuz.

Tambahnya, situasi tersebut akan memberi laluan kepada PAS memandangkan pengundi-pengundi Cina memperlihat sokongan kepada parti itu.

"Kita harap pengundi Cina mesti keluar sebab undi mereka banyak memihak kepada kita. Kalau mereka kurang keluar akan beri masalah kepada calon PAS," jelas beliau ketika ditemui di jalan Segamat-Labis.

Dalam pada itu Mahfuz berkata Felda Chemplak dan Felda Chemplak Barat mendapat sambutan baik daripada pengundi kaum Melayu.

Jelasnya hujan tidak menjadi penghalang warga Felda keluar mengundi berikutan petugas-petugas PAS dan Umno-BN bertali arus membawa pengundi ke UPU menggunakan pacuan empat roda.

Mahfuz turut menolak pengurangan besar 50 peratus undi seperti yang didakwa.

"Pengurangan pasti berlaku cuma kadarnya saya tidak jangka kurang daripada 50 peratus.

"Setakat ini tiada kes pengundi meragukan," tambah beliau lagi.

Sehingga jam 12 tengahari SPR mencatatkan jumlah 48.93 peratus atau 7,219 pengundi sudahpun keluar menunaikan tanggungjawab.

Setakat 12.00 tengah hari : PR 40.5% BN 59.5% - Zentrum

NONE

12.58pm: Hujan menjadi sumber rezeki di Tenang hari ini di mana seorang peniaga menjaja payung di sepanjang rumah kedai di Jalan Segamat, pada harga RM12 tiap satu.

12.52pm Setakat jam 12.00 tengah hari, menurut pemantauan terhadap kepercayaan politik oleh NGO Zentrum Future Studies, BN kini mendapat 59.5 peratus manakala Pakatan 40.5 peratus.

12.40pm: Menurut SPR, peratusan pengundian sehingga jam 12 tengahari meningkatkan kepada 48.93% atau 7,219 pengundi. Tinggal lima jam lagi sebelum pusat pengundian ditutup jam 5 petang ini.



12.09pm Timbalan Menteri Pelajaran Wee Ka Siong berkata hujan lebat di Tenang mengingatkannya kepada peristiwa banjir besar di Johor pada Disember 2006 dan Januari 2007.

"Harap ia tidak berlaku lagi," tulisnya di laman Twitter.

12.08pm: Ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching berkata peratus pengundi Cina yang keluar amat rendah di Labis.

"Tolong desak anggota keluarga atau kawan-kawan keluar mengundi!" tulisnya di laman Twitter.

11.40am: Banjir yang melanda Jalan Segamat, laluan utama menghubungkan Labis dan Tenang Station, bertambah teruk. Jika hujan berterusan, laluan itu mungkin terputus hubungan tidak lama lagi.

Di Jalan masuk ke Ladang North Labis juga ditenggelami air kira-kira sekali dalamnya.

11.36am: Menurut twitter Loges Mohan - isteri ketua pemuda MIC T Mohan - Jabatan Pertahanan Awam dikerah ke Kampung Tenang untuk memindahkan 62 keluarga yang terperangkap kerana banjir.
Manakala twitter ketua Pemuda MCA yang juga timbalan menteri pelajaran, Datuk Seri Wee Ka Siang pula menyiarkan foto banjir sepanjang Jalan Segamat-Labis.

Hosni Mubarak sekat pengunaan internet, Najib juga akan guna akta sekat penggunaan internet

Sekatan media terburuk

KAHERAH , 30 Jan. : Sekatan penuh kerajaan Mesir terhadap internet dan telefon bimbit adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah komunikasi dunia, menurut pakar.

Aktivis hak asasi manusia di seluruh dunia mengutuk keras tindakan pemerintah kuku besi Hosni Mubarak menyekat penggunaan internet dan telefon bimbit bagi menghalang rakyat Mesir daripada menganjur protes dan berhubung dengan dunia luar.

"Ini adalah insiden pertama dalam sejarah teknologi internet," menurut Rik Ferguson, seorang pakar dari Trend Microm, iaitu syarikat keselamatan komputer ketiga terbesar di dunia.

Menurut syarikat pemantau aliran internet di Perancis, hampir 97 peratus aliran internet dua hala Mesir terputus dalam tempoh 24 jam sejurus tunjuk perasaan mula mendapat momentum, Khamis lalu.

Empat syarikat pengendali utama perkhidmatan internet di Mesir di arah oleh kerajaan supaya menghentikan semua sambungan internet antarabangsa secara serentak.

Kira-kira 23 juta rakyat Mesir yang menggunakan internet di negara itu terputus hubungan dengan dunia luar akibat sekatan luar biasa itu.

Rangkaian telefon bimbit juga terjejas teruk di seluruh negara sehingga kelmarin dengan tiada isyarat panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak dapat digunakan.

Syarikat telekomunikasi Vodafone yang beroperasi di Mesir mengesahkan menerima arahan daripada kerajaan untuk menamatkan perkhidmatan di semua kawasan bergolak, kelmarin.

Penutupan perkhidmatan internet dan telefon di Mesir itu adalah sekatan kerajaan paling menyeluruh dalam sejarah komunkasi elekronik dunia.SH

Najib sekat hak asasi dan kebebasan politik rakyat

PARIT BUNTAR : Cadangan Kerajaan Barisan Nasional(BN) untuk melebarkan skop Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984(PPPA) melibatkan media Internet membuktikan membuktikan kerajaan BN masih lagi terperangkap di dalam politik lama untuk mengawal dan menekan rakyat.

Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Parit Buntar Adnan Abd Rahman berkata, pengumuman terbaru ini membuktikan bahawa Pentadbiran Najib Razak tidak putus asa dalam usaha mereka untuk menyekat hak asasi dan kebebasan politik di Malaysia

“Kerajaan BN sudah beberapa kali menggambarkan hasrat untuk menyekat Internet, terutamanya selepas kemenangan besar Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum 2008.

“ Mereka tidak mempunyai komitmen serius terhadap perubahan dan hak asasi manusia” katanya

Adnan berkata, ruang Internet adalah lebih terbuka berbanding media arus perdana memandangkan komitmen Kerajaan terhadap Jaminan (Bill of Guarantees) Koridor Raya Multimedia (MSC).

“ Kerajaan menghantar mesej yang salah kepada pelabur-pelabur luar, yang sebelum ini tertarik dengan jaminan MSC.

“Keyakinan terhadap Malaysia, yang sudahpun berada pada tahap yang paling rendah, tidak akan pulih jika kerajaan terus menerus menyekat dan menghukum sesiapa yang memberikan kritikan yang jujur, tepat dan membina” katanya

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar Hairul Nizam Ishak kecewa dengan sikap kerajaan BN yang gagal membuka ruang media lebih luas bagi memastikan demokrasi yang segar dan kemakmuran negara.

“ Sebaliknya kerajaan mengambil pendekatan bertentangan dengan mencadangkan untuk melebarkan akta tersebut kepada Internet.

“Tanpa ketelusan yang wujud menerusi Internet dan media yang bebas, semua rancangan perubahan yang diuar-uarkan kerajaan selama ini - akan menjadi sia-sia” katanya

Beliau menggesa kerajaan BN membatalkan rancangan ini dan sebaliknya meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan bagi membuktikan kerajaan benar-benar mahukan perubahan.

“ Pakatan Rakyat di dalam Buku Jingga telah memberikan komitmen untuk meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, memperkenalkan Akta Kebebasan Media dan memelihara kebebasan Internet sekiranya dipilih menjadi Kerajaan Persekutuan dalam pilihan raya akan datang.

“ Pakatan Rakyat tidak akan menyekat akses rakyat Malaysia kepada Twitter, Facebook dan blog sebagaimana yang akan dilakukan kerajaan BN melalui pelebaran akta ini” katanya

Hosni Mubarak pemimpin pejuang bangsa yang kejam berkiblat Yahudi

Mubarak penindas rakyat Palestin

KAHERAH, 30 Jan. : Presiden Mesir, Hosni Mubarak bukan sahaja menjadi penindas rakyatnya selama 30 tahun tetapi beliau juga memainkan peranan penting dalam penyeksaan berterusan rejim Israel ke atas rakyat Palestin di Genting Gaza.

Sempadan Rafah yang terletak di selatan Gaza dan bersempadan dengan Mesir menjadi satu-satunya laluan keluar dan masuk penduduk Palestin tanpa perlu melalui sekatan rejim Zionis.

Namun, kerajaan Mesir di bawah arahan Mubarak berterusan menutup sempadan itu bagi menghalang lebih 1.5 juta penduduk Gaza daripada mendapatkan bekalan harian penting termasuk makanan dan ubat-ubatan yang disekat rejim Israel.

Sumbangan Mubarak kepada sekatan memusnahkan di Gaza tidak terhad kepada menyeksa penduduk Gaza tetapi pemerintah kejam itu turut menyasarkan bantuan luar yang dihalang daripada dihantar ke Gaza.

Mubarak yang selama ini setia mendengar arahan sekutunya Israel turut menempatkan 750 polis sempadan di Rafah selepas diarah oleh Tel Aviv pada 2005.

Pada Jun 2007, Mubarak dengan persetujuan Israel mengarahkan sempadan Rafah ditutup sepenuhnya selepas kumpulan pejuang Hamas di Gaza memenangi pilihan raya dan mula memerintah wilayah Palestin itu.

Selain untuk menjaga hubungan baik dengan Israel, tindakan Mesir itu dilihat sebagai simbol ketakutan Mubarak yang ingin memusnahkan Hamas yang mempunyai hubungan baik dengan parti pembangkang Mesir, Ikhwan Islam.

Lebih menyedihkan dan seperti yang sudah dijangka, kesetiaan tidak berbelah bagi Mubarak kepada rejim Zionis tidak mendapat balasan yang diingini apabila Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak memberi sebarang kenyataan menyokong Mubarak sejak protes tercetus, Selasa lalu.SH

Jentera PR mengasak hingga saat akhir

http://buletinonline.net/images/stories/berita40/kempenakhir.gif
LABIS
- Walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai kesukaran, sehingga ke saat-saat akhir, jentera pilihanraya PAS dan Pakatan Rakyat terus mengasak BN yang menggunakan 'segala-galanya' dalam menghadapi pilihanraya kecil DUN Tenang.

Pelbagai usaha kempen terus dilaksanakan oleh jentera disetiap peti undi, bagi meraih sokongan daripada para pengundi, walaupun cukup diketahui bahawa, pilihanraya akan terus berlangsung secara tidak telus dan adil.

Di Felda Cempelak, misalnya, jentera Pakatan Rakyat khususnya ANAK dengan kerjasama kontinjen Terengganu dan SAMM, berjaya menganjurkan sukan rakyat di Padang Awam Felda terbabit.

(Gambar - Sukan Rakyat di Felda Cemplak anjuran jentera PAS, walaupun mereka hadir, basikal mereka berlogo dacing???)

Selain itu, calon PAS, Cikgu Normala Sudirman yang terus bergerak menemui pengundi dari satu tempat ke tempat yang lain.

Sekitar jam 3.00 petang Cikgu Mala di lihat di Pekan Labis, terus mengunjungi peniaga-peniaga dan bertemu dengan orang ramai.

Pada sebelah malamnya, sebanyak 7 program ceramah telah diadakan di Felda Tenang, Felda Cempelak, Cemplak Barat, Dataran Wayang Pacak, Kampung Sawah Baru, Redong dan Bukit Mambai.

Disebalik kempen rancak PAS dan Pakatan Rakyat iru, sehingga saat akhir juga, Umno dan BN terus menggunakan 'taktir kotor' mengugut dan menyalahgunakan kuasa.

Halangan kepada jentera PAS dari Wilayah Persekutuan untuk masuk berkempen di Ladang Labis Utara, milik anak syarikat berkepentingan kerajaan Sime Darby adalah contoh 'perangai buruk' BN (Gambar kanan)

Apabila dikemukakan pertanyaan kepada petugas Ladang tersebut, terus terang beliau berkata ia adalah arahan 'orang atasan'.

Katanya, "kita orang kerja kan, apa majikan cakap kita kena ikut" ketika dipersoalkan mengapa 'biru' boleh memasang poster di ladang tersebut dan 'Hijau' tidak boleh.BO

Paksa penoreh getah pulang naik bas berlaku di Tenang


Penoreh getah dijemput pulang dengan bas.

http://buletinonline.net/images/stories/berita40/29012011589.jpgPresiden Parti Makkal Sakti, R.Kannan memberitahu, perbuatan ugut dan sogokan amat berleluasa di kalangan pengundi kaum India.

Menurutnya, tidak pernah dalam sejarah kaum India yang menoreh getah dijemput pulang dengan bas.

Tetapi, katanya, bas-bas menunggu para penoreh getah kaum India di ladang-ladang pada jam sekitar 11 hingga 12 tengahari, untuk menjemput mereka pulang.

Bukan setakat disediakan pengangkutan, mereka kemudiannya di berikan 'sogokan' berbentuk barangan keperluan seperti susu dan gula.


Polis dan SPR 'perkakas' Umno


Polis dan Suruhanjaya Pilihanraya terus menjadi 'perkakas' Umno dan Barisan Nasional.

Kejadian jentera Umno/BN yang menganggu program kempen PAS dan Pakatan Rakyat terang-terangan tidak diambil apa-apa tindakan oleh pihak polis dan SPR.

Menurut Naib Presiden PAS, Dato' Mahfudz Omar, bukan hanya ahli-ahli umno dibawah yang terlibat menganggu ceramah PAS, malah Menteri Umno/BN turut mempamerkan perangai hodoh, melanggar undang-undang.

http://buletinonline.net/images/stories/berita40/kecohcemplak2.JPGKetika berceramah di Kampung Redong pada 27hb januari, beliau berkata, Umno telah mengadakan ceramah ditempat yang sama, terlalu hampir dengan ceramah PAS.

"Ketika saya sedang berceramah, saya diganggu oleh bunyi ceramah Umno/BN yang diadakan terlalu dekat, ditempat yang sama,

"apabila selesai ceramah, saya hampiri program Umno itu, saya dengan Othman Abdul (Dato') sedang berceramah,"ujarnya kepada Buletinonline.

Apabila beliau memberitahu para petugas Umno, beliau mahu berjumpa dengan mereka yang bertanggungjawab, tiba-tiba Dato' Ahmad Maslan yang turut berada di majlis itu, muncul.

Walaupun telah diberitahu pihak polis, ceramah Umno tersebut tidak mempunyai permit, namun polis bukan sahaja tidak bertindak, bahkan hadir ke majlis ceramah PAS dan menanyakan samada program tersebut mempunyai permit atau tidak.BO

Rakyat Malaysia juga boleh bangun seperti rakyat Tunisia dan Mesir

Mesir dan Tunisia: Bebaskan SPR dan media

KUALA LUMPUR, 29 Jan: PAS meminta pemerintahan BN segera membuka ruang demokrasi yang adil di Malaysia dengan membebaskan SPR dan media daripada cengkaman parti pemerintah seterusnya bersedia untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat di padang yang sama rata.

"Kita tidak mahu situasi tegang sedemikian (di Mesir dan Tunisia sekarang) berlaku di negara ini," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya bagi mengulas apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir sekarang.

"Tetapi dunia membuktikan ketegangan di antara rakyat dan pemerintah itu berpunca daripada sikap pemerintah itu sendiri," kata Abdul Hadi.

Rentetan dari perkembangan kebangkitan kuasa rakyat di Asia Barat secara umumnya dan di Mesir khususnya di waktu ini, Parti Islam SeMalaysia (PAS) mendesak semua kerajaan yang memerintah di waktu ini di Asia Barat agar segera menghentikan segala bentuk tindakan ganas kepada rakyat mereka sendiri yang terlibat dengan perhimpunan tunjuk perasaan.

Di Mesir, katanya, umum mengetahui bahawa demokrasi telah dicabul teruk dan pentadbiran Presiden Hosni Mubarak mesti bertanggungjawab terhadap pencabulan tersebut dan bersedia berhadapan dengan desakan rakyat supaya beliau meletakkan jawatan.

"Bagi pihak PAS, kami menyatakan solidariti bersama dengan rakyat Mesir yang bangkit menuntut keadilan setelah sekian lama berada dalam penindasan. Kami mendoakan kejayaan intifadha rakyat Mesir yang belum pernah disaksikan dalam sejarah Mesir moden ini.

"PAS juga mendesak supaya dibebaskan segera kesemua tahanan politik yang telah dipenjarakan sejak sekian lama di Mesir yang dihukum menerusi perbicaraan yang tidak adil," katanya.

Katanya, dunia khususnya OIC dan PBB didesak supaya memberikan tekanan kepada Presiden Hosni Mubarak dan kerajaannya yang telah melanggar hak asasi manusia apabila telah menyebabkan kecederaan kepada lebih seribu rakyat Mesir yang berhimpun dan juga lapan daripadanya yang terkorban.

"Penyelesaian terhadap kemelut ini boleh berlaku dengan dibukanya pintu demokrasi yang tulen dan diadakan pilihanraya yang telus di Mesir," katanya.

Kepada kerajaan Barisan Nasional di Malaysia, perlu diperingatkan supaya mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir pada hari ini.

Apabila pemerintah mencabul amalan demokrasi, menyeleweng kewangan negara dan bersifat zalim terhadap rakyat, maka kebangkitan rakyat tidak dapat dibendung lagi.

Maka pemerintahan BN, katanya, perlu segera membuka ruang demokrasi yang adil di Malaysia dengan membebaskan SPR dan media daripada cengkaman parti pemerintah seterusnya bersedia untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat di padang yang sama rata.

"Kita tidak mahu situasi tegang sedemikian berlaku di negara ini. Tetapi dunia membuktikan ketegangan di antara rakyat dan pemerintah itu berpunca daripada sikap pemerintah itu sendiri," katanya.

Hujan di Tenang

PRK DUN Tenang : Hujan Ganggu kelancaran Pengundian


LABIS 30 Jan : Hujan lebat, yang melanda daerah ini sejak beberapa hari lalu, dilihat sedikit mengganggu kelancaran proses pengundian bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kawasan Tenang yang bermula pada pukul 8 pagi.

Hujan, yang turun berterusan sejak Selasa, bagaimanapun tidak menghalang pengundi berdaftar di kawasan DUN itu untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing di 12 pusat pengundian yang dibuka sehingga pukul 5 petang ini.

Selain kenderaan yang disediakan oleh parti-parti bertanding untuk kemudahan para pengundi ke tempat mengundi, para petugas SPR juga menyediakan kemudahan payung dan petugas untuk mengiringi pengundi dari luar pusat pengundian kesaluran peti undi.

Seorang pegawai SPR memberitahu pemberita bahawa pengundi tidak dibenarkan membawa payung sendiri masuk ke tempat pengundian kerana ditakuti payung berkenaan dijadikan senjata.

Sementara itu, tinjauan di pusat mengundi di Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah mendapati suasana tenang sejak ia dibuka dan para pengundi dilihat beratur di luar dewan menunggu giliran masing-masing untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Sementara itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang ditemui ketika meninjau proses pengundian pagi ini berkata, dalam tempoh sejam sejak pusat pengundi dibuka, sebanyak 11 peratus daripada 14,753 pengundi telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.

"Sekiranya 10 peratus daripada pengundi keluar setiap jam, adalah dijangka peratusan yang keluar mengundi dijangka mencapai 80 peratus," katanya.

Pengundian bermula , pemenang akan ditentukan pengundi

PRK DUN Tenang : Siapa Bakal ADUN Ditentukan Hari Ini


LABIS 30 Jan. : Siapa yang bakal menjadi ADUN Tenang di sini bakal ditentukan oleh 14,753 pengundi di kawasan ini yang memulakan pengundian bermula jam 8.00 pagi.

Pilihan raya kecil kerusi di DUN Tenang sedang berlangsung dalam hujan lebat, sehingga jam 11 pagi tadi, peratusan pengundian meningkat kepada 38.66 peratus atau 5,703 pengundi keluar mengundi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 12 pusat pengundian dibuka bagi pilihan raya kecil itu dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Pusat-pusat berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang, SK Pekan Ayer Panas, Dewan Masyarakat Ladang North Labis, Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamarul Ariffin, Dewan Bola Keranjang JKKK.

Pusat mengundi lain ialah SK LKTP Tenang, SK Sawah Baru, SMK Tenang Station, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Voules, Sekolah Agama Felda Chempelak dan SK LKTP Chempelak Barat.

Dua tempat dilaporkan banjir iaitu Tenang Station dan Kampung Lembah Bakti.

Pengundi akan memilih antara calon BN Azahar Ibrahim, 30, bekas pembantu pegawai daerah dan calon PAS Normala Sudirman, 38, seorang bekas guru.

Kawasan berkeluasan 295.20km persegi itu meliputi tiga Felda, lima kampung Melayu, tiga kampung baru Cina, 25 kawasan perumahan moden, sebuah kuaters kerajaan, empat estet dan dua kawasan Orang ASli.

Pengundi Melayu mewakili 47.5 daripada jumpah penduduk diikuti oleh Cina (39 peratus), India (12 peratus) dan lain-lain (1.3 peratus).

Selepas pusat mengundi ditubuh, perjumlahannya akan dibuat di Dewan Serbaguna Labis, seterusnya diumumkan di tempat yang sama, dijangka antara jam 8 hingga 9 malam ini.

Menurut ramalan, cuaca pagi ini akan mendung diikuti hujan lebat di tengah hari.

Kerusi Tenang kosong ekoran kematian penyandangnya Sulaiman Taha (BN) akibat komplikasi kencing manis.

Tenang, sebuah DUN dalam kawasan parlimen Labis, merupakan kubu kuat BN.

Bagaimanapun, pada pilihan raya umum lalu, PAS berjaya mengurangkan majoriti BN daripada 5,517 kepada 2,492 pada tahun 2008.

Kali ini, BN mensasarkan 5,000 undi manakala Pakatan Rakyat pula beranggapan sudah 'berjaya' sekiranya berjaya mengurangkan majoriti sedia ada BN.

LAPORAN LANGSUNG

12:00 PM : Banjir yang melanda Jalan Segamat, laluan utama menghubungkan Labis dan Tenang Station, bertambah teruk. Jika hujan berterusan, laluan itu mungkin terputus hubungan tidak lama lagi.

11:45 am : Kampung Paya Merah berhampiran pusat pengundian SMK Kamarul Ariffin mula dinaiki air.

11:25am : Menurut SPR, 38.66 peratus atau 5,703 pemilih telah membuang undi

11.00am : Walaupun hujan lebat di Tenang dan setengah kawasan sudah banjir, sehingga jam 10 pagi ini, 24.34 peratus atau 3,591 pemilih atau satu perempat daripada pengundi sudah keluar mengundi. Hujan lebat turun sejak malam tadi.

10.20am : Calon PAS Normala Sudirman tiba di SK LKTP Tenang dan diejek penyokong BN.

"Ini wakil rakyat yang kamu mahu? Tak pernah masuk universiti," jerit penyokong BN.

Manakala penyokong PAS pula membalas dengan jeritan "rasuah".

10.05am : Di pusat pengundian di SMK Kamarul Ariffin, proses pengundian berjalan tenang tanpa sebarang kekecohan.

Kedua-dua perayu undi, walaupun dengan hujan lebat, masih meneruskan usaha merayu undi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengadakan sidang media, di Kompleks Institutsi Pendidikan SMK Tenang, yang terletak bersebelahan pusat mengundi ini tidak lama lagi.

9.55am : Keadaan trafik hampir terhenti akibat kesesakan di Felda Tenang, yang terdapat pusat pengundian SK LKTP Tenang.

9.25am Jabatan Bomba dan Penyelamat kini bersedia dengan bot untuk menghadapi kemungkinan banjir teruk.

8.55am Calon PAS Normala Sudirman tiba di pusat pengundian SK Kampung Tenang, Kampung Redong.

NONEDengan yakin, beliau percaya pengundi akan membuat pilihan yang tepat.

8.40am Beberapa petugas SPR menurunkan bendera dan poster - yang gantung sepanjang jalan menuju ke pusat pengundian- kerana berada kawasan pengundian.

Perayu undi dari kedua-dua parti, kini mula berada di luar pusat pengundian untuk merayu undi.

8.15am Hujan menyebabkan air naik di Kampung Redong. Jika berterusan, kawasan tersebut akan dilimpahi banjir.

Di Kampung Paya, SPR mula melarang payung dibawa ke tempat membuang undi.

8.02am Kelihatan BN dan PAS masing-masing membuka pondok panas mereka sendiri di sekitar pusat mengundi walaupun dilarang oleh Suruhjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengundi keluar agak perlahan ekoran hujan renyai-renyai. Banyak payung hijau dan biru mewarnai sekitar kawasan mengundi.

Di Kampung Paya, ahli parlimen Labis Chua Thee Yong antara yang menunggu BN dalam hujan renyai di mana calon itu akan mengundi.

"Kita jangkakan ia akan jatuh kepada 60 peratus atau lebih rendah lagi, bergantung pada keadaan," katanya.

Beliau berpendapat, peratusan keluar mengundi akan rendah ekoran cuaca semasa.

8.00am Peti undi dibuka.

Selepas Tenang, Felda akan disaman

ANAK Akan Saman FELDA



LABIS 29 Jan.: Persatuan Anak Peneroka FELDA (ANAK) akan bertindak menyaman Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berkait isu wang tanam semula peneroka di tiga kawasan felda seluruh negara selepas selesai Pilihanraya Kecil DUN Tenang esok.

Felda yang dimaksudkan adalah Redong, Kertih 1 dan Gugusan Bera.

Pengerusi ANAK, Mazlan Aliman dalam sidang media berkata, tindakan tersebut disifatkan sebagai satu isyarat kepada pengundi-pengundi terutama di kawasan FELDA untuk bersama dengan Pakatan Rakyat menentang kezaliman Umno-Barisan Nasional (BN).

Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Seremban hari ini membenarkan permohonan 23 orang peneroka FELDA Raja Alias 2 dibayar dengan harga yang lebih tinggi.

Menurutnya, syarikat Huat Lee Rubber ingin memulakan kerja menebang namun hanya mahu membayar dengan harga RM28 ribu untuk 10 ekar.

Walhal peneroka mendapat harga yang lebih tinggi iaitu RM38 ribu.

"Ini satu lagi kemenangan," ujar beliau.

Dalam pada itu, Mazlan menyifatkan Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan seorang pemimpin yang tidak bertanggungjawab untuk berdepan dengannya dalam sesi debat yang dijadualkan berlangsung semalam di Felda Chemplak Barat, Labis.

Tambahnya, program debat tersebut telah mendapat permit daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) namun tetap digangu oleh pemuda Umno-BN yang berada disekitar kawasan Felda itu.

"Datuk Ahmad Maslan tidak bersedia berdebat untuk menjawab 25 soalan yang ingin diutarakan mengenai Felda. Beliau tidak berani bertanggungjawab." ujar beliau.
Pelawaan debat mengenai isu Felda semalam merupakan kali kedua selepas ditolak Ahmad Maslan sebelum ini.

Mazlan merupakan antara individu yang secara agresif menentang dasar dan penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran Felda terhadap peneroka di seluruh negara.

Cikgu Mala buktikan kewibawaan Muslimat PAS

Tangan Yang menghayun Buaian Boleh mengegar Dunia


LABIS 29 Jan.: Keputusan PAS-Pakatan Rakyat meletakkan calon wakil rakyat wanita pertama parti itu di Johor untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang mencetuskan spekulasi pelbagai pihak.

Perkara yang digusarkan termasuk kewibawaan wanita untuk dipertanggungjawabkan membawa masalah rakyat ke sidang DUN Johor selain timbang semak dasar yang dibahaskan oleh kerajaan negeri itu.

Umno-Barisan Nasional (BN) pada awalnya turut membidas PAS dengan mempertikai pendirian parti itu meletakkan calon wanita, namun kepimpinan PAS melihat ianya bukan halangan dengan menambah bilangan kepimpinan wanita yang ada mewakili parti itu.

Namun di sebalik kebimbangan yang berlegar di kalangan pemimpin dan masyarakat tentang kebolehan wanita, PAS menyatakan pendirian bahawa pilihan terbaik untuk calon wakil rakyat di daerah itu adalah seorang wanita.

Berpegang kepada peribahasa 'Tangan yang menghayun buaian boleh menggegar dunia' PAS akhirnya memilih Normala Sudirman Anak kelahiran Muar, Johor itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Kemelah dan kemudian mengikuti kursus perguruan di Maktab Tuanku Bainun.

Memegang jawatan sebagai Naib Ketua Dewan Muslimat Johor dan Ketua Dewan Muslimat PAS Labis.

Anak perempuan kepada Sudirman Suratman, bekas Ketua Peserta FELCRA dan bekas Pengerusi Koperasi FELCRA Sekijang dalam menifestonya ingin membawa suara rakyat tertindas khususnya peneroka-peneroka Felda di tiga tanah rancangan di daerah itu ke meja Dewan Undangan Negeri Johor.

Sepanjang 7 hari tempoh kempen PAS-Pakatan Rakyat di DUN Tenang, Normala diserang bertubi-tubi berhubung isu peribadi dan prinsip Islam yang dipegang beliau namun ianya tidak menjatuhkan semangat beliau untuk terus berkempen.

Justeru beliau turut dinobatkan sebagai 'Wanita Besi' oleh kepimpinan Pakatan Rakyat dalam sesi penerangan di sekitar bandar itu.

Parti komponen MCA yang diketuai Datuk Seri Chua Soi Lek menimbulkan isu berjabat tangan antara Normala dan kaum lelaki sebagai bahan kempen pada awalnya segera ditangkis Normala dengan menjelaskan kepada rakyat bahawa prinsip agama Islam yang dipertahankan beliau tidak perlu dipersoalkan mana-mana pihak.

Sejurus selepas itu, Normala turut dituduh mempertikai penjualan arak di kedai minum berbangsa Cina Tionghua di Pekan Labis oleh anak kepada Presiden MCA, Chua Tee Yong.

Namun tiada bukti yang dapat menyokong dakwaan tersebut.

Selepas Umno-BN tidak berjaya memperdagangkan isu agama dalam kempen mereka kini suami beliau, Makrof Abdul Mutalib menjadi sasaran.

Umno-BN mempersoal kesahihan sijil cuti sakit yang dikeluarkan doktor berhubung tekanan perasaan yang dihadapi beliau.

Tangan Yang menghayun Buaian Boleh mengegar Dunia

Justeru Normala dengan lantang mempertahankan suaminya daripada dikecam pihak tidak bertanggungjawab.

Terbaru, Umno-BN terus memperhebatkan serangan peribadi terhadap Normala apabila mengaibkan beliau kepada umum tentang latarbelakang perkahwinannya.

Kepimpinan PAS yang diketuai oleh Salehuddin Ayub sebagai Pengarah Pilihanraya mendesak agar Umno-BN menghentikan perbuatan tidak berperikemanusian itu.
Karisma sebagai pemimpin terserlah dalam diri Normala setelah membuktikan beliau disenangi setiap lapisan masyarakat majmuk di daerah Tenang.

Penerimaan kaum Cina Tionghua terhadap beliau sangat menggalakkan menerusi respon yang diterima pada kempen-kempen anjuran Pakatan Rakyat berikutan kepetahan Normala bertutur dalam bahasa Mandarin dan pandai berpidato.

Berbeza dengan calon Umno-BN, Azahar Ibrahim sejak dari awal tidak begitu disenangi masyarakat di DUN Tenang kerana kurang pandai berbicara dan sering kelihatan resah ketika berhadapan dengan masyarakat.

Ini ditambah dengan pendedahan oleh PAS di mana beliau terlibat dalam kes kecuaian melelong tanah Mansor Mohamad tanpa kebenaran kepada Rohana Mohd Ali dengan harga RM70 ribu ketika memegang jawatan sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat pada tahun 2003.

Mahkamah Tinggi Muar Azahar membayar dengan kos kepada pemilik tanah pada tahun 2004.

Seolah-olah sudah jatuh ditimpa tangga, sejurus kemudian pembeli tanah tersebut , Rohana menfailkan tuntutan saman gantirugi sebanyak RM1.5 juta pada tahun 2008 dan mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes pada 7 Februari nanti.

Selepas pendedahan ini, rakyat di DUN Tenang mula mendapat gambaran tentang karakter sebenar calon Umno-BN yang ingin diangkat menjadi wakil rakyat untuk menyelesaikan masalah tanah di daerah tersebut.

Maka setelah dianalisa jelas membuktikan Normala semakin diterima oleh ramai pihak seraya didedahkan kepada orang ramai tentang keistimewaannya oleh para pemimpin dan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat.

Kecekalan Normala mengharungi pahit getir pengalaman dilantik menjadi calon pilihanraya kecil DUN Tenang membuktikan beliau adalah individu yang paling sesuai untuk dipilih menjadi wakil rakyat pada hari pengundian esok.

Justeru keputusan pilihanraya kecil esok dilihat akan memberi implikasi besar bukan sahaja kawasan Tenang malah arena politik negara sekiranya PAS berjaya memperolehi kerusi tersebut.

Selangor mahu pertahan, Kelantan akan rampas

Piala Sumbangsih : Selangor Tekad Pertahan Kejuaraan


SHAH ALAM 29 Jan. : Perang psikologi menjelang perlawanan Sumbangsih di Stadium Shah Alam malam ini terus hangat dengan Kelantan dan Selangor saling menuding jari kepada lawan sebagai pasukan pilihan.

Menonjolkan rasa rendah diri namum sebalik jauh di hati kecil, kedua-dua pasukan itu sebenarnya tersimpan keazaman tinggi untuk membawa pulang Piala Sultan Ahmad Shah.

Kelantan, selaku juara Piala Malaysia musim lepas, mahu menjuarai piala pembuka tirai musim Liga Malaysia buat julung kali manakala Selangor berazam mengekalkan piala sumbangsih itu buat kali ketiga berturut-turut.

Bagaimanapun, persiapan Kelantan untuk mencapai kejayaan malam esok agak terjejas apabila tiga pemain utamanya masih belum pulih dari kecederaan.

Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim, berkata S. Chanthuru dan S.Subramaniam tidak dapat diturunkan manakala nasib Norshahrul Idlan Talaha belum dapat dipastikan.

"Walaupun ada pemain boleh mengambil alih posisi pemain yang cedera itu namun mereka memiliki keistimewaan tersendiri untuk menembus benteng pertahanan lawan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Berdasarkan rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan itu musim lepas,kelebihan masih berpihak kepada Kelantan kerana telah seri tiga kali dan menang sekali.

Azman berkata walaupun tanpa tiga pemain handalan itu, pasukan itu mampu membuat kejutan dengan berkat sokongan penyokong Kelantan. Mengenai jurulatih baru Datuk M. Karathu, katanya, motivasi dan komitmen pemain masih berada dalam tahap terbaik walaupun dengan pertukaran jurulatih.

Karathu dilantik sebagai ketua jurulatih Kelantan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menolak rayuan B. Sathianathan terhadap hukuman penggantungan selama enam bulan kerana mengkritik jadual perlawanan musim lepas.

Dalam pada itu, jurulatih Selangor, K. Devan tidak menganggap pertemuan itu sebagai mudah ekoran ketiadaan tiga pemain utama pasukan lawan. Sebaliknya, katanya, anak buahnya tetap berhati-hati dan tidak leka untuk mengekalkan gelaran itu.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM,Datuk Affandi Hamzah berkata selain piala utama, pemain terbaik perlawanan akhir juga akan menerima anugerah.

"Bagi orang Tionghua, bila nampak Cikgu Mala, bila dia senyum sahaja, hati masyarakat Tionghua tercair"

Respon Cina Terhadap Cikgu Mala Hebat - Chua Jui Meng


LABIS 29 Jan.: Respon masyarakat Cina terhadap calon PAS Normala Sudirman semakin hebat menjelang penghujung kempen pilihanraya kecil DUN Tenang, kata Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor Datuk Chua Jui Meng.

Menurut beliau, berdasarkan sambutan yang menggalakkan, beliau yakin dengan sokongan masyarakat Cina dan berharap 70 peratus pengundi kaum itu dapat mengundi Cikgu Mala.

"Orang Cina punya respon terhadap Cikgu Mala adalah hebat. Jika dulu PRU 12 Cina di kawasan Tenang hanya beri 55 peratus kepada calon PAS. Harapan saya kali ini orang Cina akan beri sekurang-kurangnya 70 peratus kepada Cikgu Mala, itulah harapan saya," katanya.

DUN Tenang mempunyai sejumlah 14 753 pengundi berdaftar dan disifatkan sebagai kubu Umno-Barisan Nasional(BN).

Proses pengundian bakal berlaku esok dan jangkaan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi.

Masyarakat Cina yang terdiri daripada 39.08 peratus pengundi di Tenang akan melakukan kejutan dengan mengubah kedudukan di mana kerusi itu secara tradisi dipegang oleh Barisan Nasional (BN).

Normala berdepan Calon BN dari UMNO Azahar Ibrahim yang diulit kontroversi berikutan kes samannya akibat kesalahan ketika menjawat jawatan Pentadbir Tanah di Segamat pada 2003.

Menurut Chua, kelembutan, kesopanan dan gaya Cikgu Mala berjaya menarik hati pengundi Cina di Tenang yang rata-ratanya di Bandar Labis.

Secara berseloroh Chua berkata Cikgu Mala membuat hatinya cair disambut sorakan lebih 500 hadirin di Dataran Wayang Pacak semalam.

"Bagi orang Tionghua, bila nampak Cikgu Mala, bila dia senyum sahaja, hati masyarakat Tionghua tercair. Termasuk hati saya turut tercair. Jangan beritahu isteri saya,"katanya berseloroh.

Lebih menarik, beliau melaporkan rata-rata masyarakat Tionghua sudah jemu dengan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan anaknya Chua Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis kerana gagal menjadi suara mereka.

"Saya nak beritahu secara serius Chua Soi Lek hari ini, orang Tionghua di sini nak bungkus dia dan anak dia. Kita guna perkhidmatan courier DHL bungkus dan hantar balik Batu Pahat. Jangan anggap dia akan jadi calon di sana kerana Umno dah jadi ahli parlimen di situ takkan dia nak beri kerusi itu pada dia dan anak dia, betul tak? Kita bungkus mereka," katanya.

400,000 buku teks ditarik balik, Muhyiddin sedap berkempen kerajaan hebat

NUTP : Tarik Balik Buku Teks, Jangan Bazirkan Wang Rakyat Lagi


SHAH ALAM 29 Jan. : Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Loke Yim Phang berkata sesebuah buku yang hendak dikeluarkan perlu diteliti bagi mengelakkan berlakunya pembaziran wang apabila terpaksa menarik balik buku tersebut daripada digunakan.

Akhbar semalam melaporkan, Kementerian Pelajaran akan menarik balik hampir 400,000 buku teks KSSR English Year 1 Sekolah Kebangsaan kerana mengandungi pelbagai kesalahan dan menggantikan dengan buku teks cetakan baru, Mac depan.

Sehubungan itu Panel penilai buku teks Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) English Year 1 Sekolah Kebangsaan perlu dikenakan penalti kerana cuai sehingga menyebabkan hampir 400,000 buku teks Bahasa Inggeris (BI) itu ditarik semula.

Menurut Loke Yim Phang yang dihubungi Tv Selangor perkara yang menyebabkan kejadian itu masih belum diketahui puncanya samada disebabkan kesilapan manusia atau masalah percetakan namun beliau menegaskan kesilapan itu tidak sepatutnya berlaku.

"Sesuatu benda itu bila diterbitkan mesti tepat, kerana ia akan menyebabkan pembaziran, kalau kita hendak fokus kepada kualiti asasnya buku yang hendak dikeluarkan perlu ada kualiti.

"Bagi saya kita kena pastikan bahawa dalam proses percetakan sesuatu buku untuk pelajar itu kita tidak boleh lupa kepada kualiti," katanya.

Tambah Yim Phang lagi, NUTP mengharapkan kejadian seumpama itu tidak berlaku lagi kerana ia hanya akan menyebabkan pembaziran wang jutaan ringgit yang mana sumber kewangan itu boleh digunakan untuk pembangunan pendidikan lain.

"Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan bahawa buku akan dicetak semula itu akan melibatkan wang yang banyak sepatutnya duit yang digunakan untuk dicetak semula itu boleh digunakan untuk yang lain," katanya.

Presiden Persatuan Ibubapa Guru Negara atau PIBGN, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata kementerian perlu lebih berhati-hati dalam memilih panel penilai pada masa akan datang bagi memastikan kesalahan sama tidak berulang serta mengelak ibu bapa berasa was-was dengan buku teks yang dikeluarkan kementerian.

"Penalti perlu dikenakan kepada panel penilai kerana ternyata tidak bertanggungjawab dalam menyaring buku teks berkenaan, sekurang-kurangnya dikenakan surat tunjuk sebab supaya boleh dijadikan iktibar pada masa akan datang.

"Kita tidak boleh hanya menerima kecuaian ini sebagai kesalahan manusia kerana yang menanggung akibatnya nanti adalah anak-anak," katanya.

Panel penilai buku teks Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) English Year 1 Sekolah Kebangsaan perlu dikenakan penalti kerana cuai sehingga menyebabkan hampir 400,000 buku teks Bahasa Inggeris (BI) itu ditarik semula.

PAS optimis rakyat berubah di Tenang

PRK DUN Tenang : PR Optimis Penerimaan Rakyat


LABIS 29 Jan.: PAS optimis Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang akan memihak kepada parti itu sekiranya rakyat memahami persoalan politik baru yang dibawa oleh Pakatan Rakyat.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata berdasarkan isu mengenai pemimpin berintegriti yang dibangkitkan dalam kempen di daerah itu, beliau percaya rakyat terutama generasi muda menerima pendekatan yang diketengahkan.

Tambahnya, perkara ini turut memberi peluang kepada pengundi bukan Melayu untuk menyandarkan harapan kepada calon PAS, Normala Sudirman.

"Peluang kita sangat baik dengan tahap sokongan bukan Melayu dan juga ada kesedaran baru dikalangan orang Melayu khususnya generasi muda memberi keyakinan kepada kita untuk mendapat satu keputusan yang paling baik pada esok.

"Tapi sejauh mana rakyat dapat melihat ini merupakan perkara penting dalam proses pemilihan calon. Ini persoalan politik baru. Trend generasi muda adalah mereka memilih berasakan kepada integriti calon. Bukan lagi melihat kepada politik kepertaian. Ini yang cuba kita sesuaikan dengan perkembangan aliran politik baru di Malaysia," jelas beliau dalam sidang media di bilik gerakan PAS pagi tadi.

Beliau berkata, persoalan yang tidak dapat dijawab oleh Umno-Barisan Nasional membuka ruang untuk rakyat menilai keperibadian kedua-dua calon yang bertanding.

Seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat akan turun ke padang walaupun cuaca hujan untuk menyampaikan mesej kepada pengundi-pengundi DUN Tenang tentang isu integriti calon BN yang dibangkitkan PAS sepanjang kempen pilihanraya kecil itu.

Namun tambah beliau, perbuatan membeli undi dan pengundi hantu adalah diluar kawalan namun PAS telah mengarahkan jentera Unit Amal untuk memantau di kesemua Unit Peti Undi (UPU) di 13 kawasan di daerah Tenang.

PAS juga dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah mengenalpasti 11 pengundi yang berumur lebih dari 100 tahun.

Justeru parti itu akan memastikan tiada sebarang unsur penyelewengan terhadap undi daripada golongan warga emas ini.

Tidak ada isu nak burukkan Anwar, Umno kaitkan dengan pengganas

Kait Dengan Pengganas: Menteri KDN Senjaga Burukkan Imej Anwar


SHAH ALAM 29 Jan.: Naib Presiden PKR, Tian Chua mendakwa Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan pimpinan Umno sengaja menggunakan isu laporan CNN untuk terus memburukkan nama dan imej Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan imej pengganas.

Dakwa Hishammuddin laporan CNN telah mengaitkan Anwar tetapi beliau mengakui beliau belum membaca laporan tersebut.

Semalam, Menteri Dalam Negeri itu berkata arahan telah dikeluarkan kepada polis bagi menyiasat dakwaan yang mengaitkan Anwar Ibrahim dengan kumpulan pengganas antarabangsa.

Bercakap kepada Tv Selangor, Tian Chua menjelaskan isu itu telah digunakan oleh Umno untuk terus memutarbelitkan fakta dan membuat tohmahan palsu kepada Anwar.

"Hishamuddin serta beberapa kumpulan Umno ini sengaja memutarbelitkan berita ini untuk memburukkan imej Anwar.

"Ini satu pembohongan kerana laporan CNN bertentangan dengan maklumat ini tetapi nampaknya sudah ada konspirasi," kata Ahli Parlimen Batu itu.

Jelas Tian Chua lagi, beliau menggesa rakyat tidak mudah terpedaya dengan satu lagi cerita rekaan yang dibuat oleh pimpinan Umno-Barisan Nasional(BN) yang sengaja menggunakan apa sahaja peluang yang ada untuk menjatuhkan imej pimpinan Pakatan Rakyat.

Menurut CNN, ia telah menemui laporan mengenai siasatan rahsia Arab Saudi berhubung aduan oleh Najib kononnya ada tokoh-tokoh diraja negara itu yang membiayai Anwar.

Menurut laporan CNN, siasatan berkenaan mendapati tiada bukti seumpama itu.

"Sebaliknya mereka mendedahkan bahawa dana ini telah disalurkan kepada beberapa kumpulan yang mungkin disyaki ada hubung kait dengan kumpulan pengganas, tetapi berita itu tidak mengaitkan dengan Anwar Ibrahim," katanya.

Umno tak ada isu, guna isu kuno

Umno-BN Bawa Isu Kuno- Mahfuz


LABIS, 29 Jan.: Menyifatkan isu-isu yang dibawa oleh Umno-Barisan Nasional(BN) pada kempen pilihanraya kecil DUN (PRK)Tenang kali ini sebagai kuno, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berpendirian fokus parti itu jauh menyimpang daripada dasar mengangkat martabat rakyat.

Sebaliknya beliau merumuskan Umno-BN tidak mampu menembusi pertahanan parti itu selain bertindak defensif atas isu yang disabitkan terhadap calon mereka, Azahar Ibrahim.

"Kita (PAS) memberi tumpuan terhadap persoalan prinsip. Umno-BN mempamerkan sikap tidak bertamadun mengangkis serangan Pakatan Rakyat," ujar beliau dalam sidang media pagi tadi.

Mahfuz berkata, pendirian PAS untuk tidak menyentuh isu peribadi calon yang bertanding dipegang sepanjang kempen pilihanraya kali ini namun sebaliknya tumpuan Umno-BN hanya berniat menjatuhkan maruah calon PAS, Normala Sudirman serta keluarganya.

Tambahnya lagi, kepimpinan Umno-BN yang tidak mampu mempertahankan kredibiliti calonnya yang terlibat dalam kes kecuaian ketika memegang jawatan sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat pada tahun 2003.

Justeru Mahfuz berpendapat, rakyat seharusnya memberi tumpuan kepada soal memilih calon mampu memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan bukan terbukti terlibat dalam kes mahkamah.

"Bukan peribadi tapi integriti calon Umno-BN yang memberi impllikasi kepada rakyat.

"Pendirian PAS tidak mahu bangkit isu peribadi kerana kita menghormati adap susila kempen," jelas Mahfuz.

Di awal kempen PRK Tenang, Umno-BN menimbulkan isu calon PAS, Normala Sudirman enggan berjabat tangan dengan kaum lelaki dan menakut-nakutkan pengundi Cina dengan prinsip Islam yang dibawa oleh PAS.

Seterusnya serangan dialihkan kepada suami Normala, Makrof Abdul Mutalib dengan mempertikai sijil sakit yang diperolehi beliau daripada doktor akibat tekanan perasaan.

Dalam sidang media yang sama, PAS mensasarkan peningkatan pengundi Melayu dan Cina di DUN Tenang pada pilihanraya kecil kali ini sekaligus menyekat sasaran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperoleh 5000 majoriti undi.

Pilihanraya Kecil DUN Tenang yang akan berlangsung esok menyaksikan pertemuan satu lawan satu antara calon PAS, Normala Sudirman atau dikenali sebagai Cikgu Mala dan calon Umno-BN, Azahar Ibrahim.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menganggarkan 80 peratus akan keluar mengundi pada 30 Januari yang bermula pada jam 8 pagi dan berakhir 5 petang. SPR menempatkan 13 Unit Peti Undi dan 32 saluran di daerah Tenang.

PR akan siasat pengaliran wang haram




LABIS, 29 Jan. : Pakatan Rakyat(PR) akan menyiasat Laporan Pengaliran Wang Haram daripada Negara Membangun: 2000-2009 yang dikeluarkan pemerhati kewangan 'Global Financial Integrity' jika berjaya mentadbir Putrajaya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Ketua Pembangkang itu, Pakatan Rakyat akan mengatasi masalah ini dan membawa semula wang berkenaan ke negara ini bagi dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia dan mengukuhkan lagi kewangan dan daya saing negara.

"Saya nak beritahu, bila kita masuk Putrajaya laporan ini kita jadikan asas nak tahu ke mana wang itu pergi, siapa yang bawa lari wang dan bank mana. Dah dapat, bawa balik, bagi gaji, elaun dan subsidi balik pada dia (rakyat), ini jaminan kita, Insya Allah," katannya.

Anwar mengumumkan hal ini di hadapan lebih 1000 hadirin yang turut serta dalam ceramah perdana kempen Pilihan Raya Kecil DUN Tenang di Dataran Wayang Pacak, Taman Labis Indah semalam.

Laporan tersebut meletakkan Malaysia di tangga kelima terbesar dari segi jumlah pengaliran keluar wang haram di antara tahun 2000 hingga 2008, di kalangan negara membangun.

GFI menafsirkan pengaliran wang panas membabitkan pemindahan wang diperolehi daripada aktiviti-aktivit haram seperti rasuah, transaksi membabitkan barangan terlarang, aktiviti jenayah, dan usaha melindungi kekayaan daripada pihak berkuasa yang mengutip cukai di kalangan negara terbabit.

Menurut Anwar hal ini sinonim dengan cara kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) yang memang didapati banyak korupsi termasuk yang dilaporkan Ketua Audit Negara sendiri saban tahun.

Malah, Anwar hairan kerana Umno dengan dangkal mendakwa program 'Buku Jingga' Pakatan Rakyat yang dirancang untuk membantu rakyat akan menyebabkan negara muflis.

"Mana ada negara di dunia dari zaman purbakala sehingga sekarang, tradisi dunia arab, Islam, India, China yang bankrap sebab tolong rakyat. Negara bankrap sebab pemimpin, Menteri Besar, Menteri makan duit rakyat. Ambil tanah, ambil balak, ambil komisyen, alamat negara bankrap, bukan pasal tolong rakyat," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.