Thursday, February 10, 2011

Video : Selepas Ezam gagal, Ummi Hafilda jadi senjata Umno






KUALA LUMPUR 10 Feb. : Setelah Senator Ezam Mohd Noor gagal untuk menarik sokongan pengundi Melayu di Selangor, Umno negeri itu terpaksa meletak harapan kepada muka lama Ummi Hafilda untuk cuba menghakis pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hanya kira-kira 100 orang hadir pada ceramah sulung Ummi Hafilda di Jalan Kebun, Kelang malam tadi.

Segala tohmahan dan dakwaan yang dibuat oleh Ummi Hafilda terhadap Anwar pada ceramah itu hanya berupa modal lama yang dikitar semula sejak 1998.

Tetapi dalam keghairahan beliau membidas Anwar, Ummi Hafilda membongkarkan peri laku Jemaah menteri termasuk Perdana Menteri sekarang Datuk Seri Najib Razak dan barisan menteri besar sendiri yang ketika itu bernaung di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Ahli Parlimen PAS bebas tuduhan palsukan dokumen



KUALA LUMPUR 11 Feb.: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, membebaskan bekas anggota Parlimen PAS bagi kawasan Jeli, Mohamed Apandi

Mohamad yang didakwa atas 13 pertuduhan memalsukan dokumen berkaitan sewa hotel, sembilan tahun lepas.

Lapor Bernama, Hakim Nasir Nordin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohamed Apandi, 51.

Mohamed Apandi didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Bagi setiap tuduhan, beliau didakwa melakukan perbuatan itu antara 11 Feb 2002 dan 23 Julai 2003 di Cawangan Kewangan, Pejabat Parlimen Malaysia, Jalan Parlimen di sini.

Mohamed Apandi didakwa memberikan butiran-butiran palsu berhubung tuntutan sewa Hotel Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan, Kota Baharu pada kadar RM230 semalam antara 5 Jan 2002 dan 30 Jun 2003 yang kesemuanya berjumlah RM31,050.


Kenyataan terbaru yang membutikan MCA anti Islam

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi2z_8h1DkBIX1lLrQYUIi308oVFFgK3_iiMAeo_UkJmgzFqpVM6Woc0osczHIrf8mS6JLCf-APC_nGWRyQrOyrU5Ux9hvG016FZfXSRDPeLyZFJtmFeTNSgIOaHQ9r4FDzVhHLZRCaFVzm/s1600/weekasiong.jpgKenyataan terbaru Ketua Pemuda MCA telah menzahirkan bahawa MCA terbukti anti Islam walaupun blogger Umno mencanang bahawa DAP anti Islam.

Wee Ka Siong telah mengkritik langkah Pemuda PAS untuk menjalankan kempen membendung gejala tidak bermoral pada sambutan Hari Valentine atau Hari Kekasih Isnin ini.

Sedangkan apa yang dibuat oleh Pemuda PAS selaras dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang sebelum ini telah memfatwakan haram bagi umat Islam menyambut Valentine’s Day, atau Hari Kekasih pada setiap 14 Februari.

Sungguh menyedihkan, apabila Ketua Pemuda MCA bertaraf Menteri masih tidak tahu bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan di bawah Kerajaan BN yang MCA berada di dalamnya.

Kenyataan ini membawa maksud MCA telah mencampuri urusan umat Islam. Jelas MCA menghina Islam. Di mana blogger Umno, Perkasa, GAPS dan NGO yang kuat menghentam DAP sebagai anti Islam?Baca kenyataan biadap Wee Ka Siong di bawah :

KUALA LUMPUR - Langkah Pemuda Pas untuk menjalankan kempen membendung gejala tidak bermoral pada sambutan Hari Valentine atau Hari Kekasih Isnin ini adalah petanda awal pelaksanaan dasar negara Islam DAP-Pas-PKR, kata Pemuda MCA hari ini.

Ketuanya, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, kerajaan negeri pimpinan DAP-Pas-PKR di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor perlu membuat pendirian berhubung kenyataan Ketua Pemuda Pas Nasrudin Hasan Tantawi mengenai perkara itu.

Nasrudin pada Selasa lalu berkata, Pemuda Pas akan melancarkan kempen membendung gejala tidak bermoral di keempat-empat negeri yang diperintah oleh gabungan ketiga-tiga parti itu sempena sambutan Hari Kekasih. - Bernama

Speaker ada imuniti, Teng fail permohonan ketepi saman

Speaker Cabar Permohonan Bekas ADUN Pelabuhan Klang


KUALA LUMPUR 10 Feb. : Atas dasar mempunyai imuniti sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor(DUN)Datuk Teng Chang Khim memfailkan permohonan untuk mengetepikan saman ke atas beliau berhubung status kerusi Pelabuhan Klang.

Dalam permohonan itu, Teng juga berkata kuasa untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Selangor adalah hak beliau, bukannya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebelum ini, Badrul Hisham Abdullah yang melompat meninggalkan PKR mendakwa beliau masih lagi ADUN Pelabuhan Kelang walaupun Teng selaku Speaker sudah menistiyhar kerusi itu kosong kerana Badrul gagal hadir tiga kali berturut-turut tanpa alasan kukuh.

Badrul menamakan Teng dan SPR masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua dalam permohonannya yang difailkan bulan lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Saya dilindungi imuniti yang diperuntukkan oleh Artikel 72 Perlembagaan Persekutuan daripada diambil tindakan oleh plaintif,” kata Teng dalam afidavit balas dikemukakannya di mahkamah hari ini.

Katanya, Artikel 77 perlembagaan Selangor juga memberikannya imuniti daripada disaman atas kapasiti sebagai seorang speaker.

Teng berkata, kedua-dua undang-undang persekutuan dan negeri menyokong doktrin pengasingan kuasa antara Dewan Undangan Negeri dan mahkamah.

Oleh itu, keputusannya sebagai Speaker tidak boleh dicabar di mahkamah, kata Teng.

“Selaras dengan itu, saya menyerahkan kepada budi bicara mahkamah,” kata.

Beliau sambil menambah, kes dibawa Badrul tiada asas perundangan dan satu bentuk salah guna kuasa.

Oleh itu beliau meminta mahkamah menolak permohonan Badrul.

Teng diwakili oleh peguam Tommy Thomas.

Beliau telah memaklumkan SPR mengenai kekosongan itu dan telah meminta diadakan satu pilihan raya kecil.

Di bawah Artikel 69 Undang-undang Tubuh Negeri, Teng berkata, kuasa untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi terletak pada Speaker, dan bukannya SPR.

Katanya, disebabkan itu dan disokong oleh Artikel 70(5) perlembagaan negeri, SPR tiada pilihan lain kecuali memanggil pilihan raya kecil dalam 60 hari.

Isnin lalu, Badrul mendapat injunksi sementara menghalang SPR daripada membincangkan status kerusi itu berikutan perisytiharan kekosongannya oleh Speaker DUN Selangor pada 19 Januari lalu.

Berikutan keputusan itu, SPR tidak boleh mengadakan sebarang mesyuarat atau membuat keputusan berhubung pilihan raya kecil DUN Pelabuhan Klang sehingga 17 Februari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zaleha Yusof membenarkan permohonan injunksi sementara dipohon Badrul Hisham pada 28 Januari lalu, selepas mendengar hujah Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaludin Md Said mewakili SPR dan peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun untuk Badrul Hisham.

Pada tarikh 17 Februari ini, mahkamah akan mendengar saman pemula terhadap Teng dan SPR yang difailkan Hisham pada 24 Januari lalu.

Wanita Israel bersalin di Hospital Palestin mahu anak diberi kewarganegaraan Palestin

PALESTIN : Seorang wanita Yahudi Israel dilaporkan melahirkan anak di sebuah Hospital Tebing Barat Palestin. Ibu baru itu bahkan mengharapkan bahawa anaknya akan diberikan kewarganegaraan Palestin.

Wanita tersebut, warga Haifa yang pindah ke kota Arab, Sakhnin setelah berkahwin dengan seorang pemuda Arab Israel, ketika akan melahirkan akan sedang membeli belah di Ramallah, dan kemudian dihantar ke hospital umum terdekat.

Menurut laporan Ma'an, ibu baru itu, digambarkan dengan tudung Muslimah, berkata bahawa dia senang dengan perawatan yang dikelola oleh staf hospital tempatan.

Wanita itu juga menambahkan bahawa ia berharap anak itu akan diberikan kewarganegaraan Palestin.

Ma'an melaporkan bahawa anak itu lahir 2,3 kg sihat dan dipindahkan untuk perawatan lebih lanjut ke inkubator.

Koordinasi Palestin dan pejabat penghubung Israel diberitahu atas kelahiran itu, dan segera menawarkan pasangan ini untuk dipindahkan ke hospital Israel.

Namun keduanya menolak tawaran itu, mengatakan bahawa mereka lebih suka berada di hospital Ramallah, terlepas dari kenyataan bahawa wanita itu tidak memiliki insuran kesihatan. (sa/haaretz)EraMuslim

Dari 'mulut ke mulut' sangat berkesan

Revolusi ‘mulut ke mulut’ mampu jatuhkan BN

KEPALA BATAS, 10 Feb: Jika rakyat mengamalkan 'revolusi mulut ke mulut' secara bermaklumat sudah memadai untuk Umno dan Barisan Nasional (BN) kecundang pada pilihan raya umum ke-13 nanti, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Menurutnya, ianya tidak payah menerusi revolusi Facebook sebagaimana yang menjadi amalan rakyat Mesir untuk menghukum presiden mereka, Hosni Mubarak.

"Kita di sini jika mengamalkan ‘revolusi mulut ke mulut pun’ dah memadai asalkan ia dilaksanakan secara agresif pasti Umno dan BN tumbang lama dah. Tapi masalahnya terutama orang Melayu tidak mahu buka mulut untuk menyedarkan pada orang lain walaupun tahu mereka dizalimi," terang beliau ketika berceramah di Permatang Tinggi 'C' malam tadi.

Revolusi tersebut, katanya walaupun nampak mundur tetapi amat berkesan kerana melalui percakapan ia membawa kepada kepekaan rakyat.

Tambahan pula, ujarnya rakyat sendiri sedang melihat kenaikan harga barangan seharian, kadar tol, petroleum dan sebagainya.

Tugas anggota Pakatan Rakyat, ujarnya ialah menyalurkan maklumat terkini kepada semua ahli dan pendukung supaya ia dibawa ke serata kampung, pinggir pekan, taman perumahan mahupun bandar supaya mereka memahami masalah yang dihadapi negara.

"Kumpulan yang sedar harus menyedarkan kumpulan yang mungkin kesedaran mereka masih jauh. Inilah tugas kita sebagai anggota masyarakat yang aktif menjalankan usaha melalui revolusi mulut ke mulut secara bermaklumat," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Tambahnya, satu lagi perkara yang harus diketengahkan kepada masyarakat ialah tentang penubuhan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang tidak membawa apa-apa keuntungan pada orang Melayu.

Penubuhan Teraju sambungnya, sekadar menonjolkan kebanggaan BN sahaja di saat akhir pilihan raya umum walhal semua orang tahu penubuhannya sekadarmembuka pekung di dada bahawa selama ini Majlis Amanah Rakyat (Mara), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan sebagainya gagal membantu meningkatkan ekonomi orang Melayu.

"Pembubaran Kementerian Usahawan dan Koperasi di era Tun Abdullah Ahmad Badawi pun jelas membuktikan kerajaan tidak serius membantu kaum Bumiputera sedangkan kementerian tersebut merupakan satu kementerian yang ada menteri, timbalan menteri dan setiausaha kementerian," tambahnya.

Teraju kata beliau, hanya ada seorang CEO yang berfungsi mengawal semua yang berkaitan agenda ekonomi untuk orang Melayu yang tentunya kerja itu menjadi bertambah sukar dan mustahil berjaya melakukan pembaharuan ekonomi ataupun politik orang Melayu.

UMNO goyah bila MCA kecundang di kawasan campuran

Pola pengundian PRK Tenang mungkin petanda kejatuhan Barisan Nasional dalam tempoh tujuh tahun. Bayangkan, PAS menumpaskan MCA di kawasan campuran, yang merupakan kubu MCA sebelum 8 Mac 2008. Sebelum "tsunami politik", kubu MCA sebenarnya berada di kawasan campuran - kerana DAP gagal meraih sokongan Melayu, sementara PKR dan PAS gagal memperolehi undi Cina.

Namun, senario politik telah berubah. Keputusan PRK Tenang menyaksikan pola pengundian di mana semakin tinggi kadar pengundi Cina, maka semakin tinggi kadar undi untuk PAS. Kini, kebanyakan pengundi Cina akan menyokong "orang Melayu Pakatan Rakyat" - ketika membuat pilihan antara "orang Cina UMNO (MCA)" dengan "orang Melayu Pakatan Rakyat (PAS dan PKR)".

Jikalau pola ini kekal, maka ia bermakna MCA akan tewas kepada DAP di kawasan majoriti Cina, malah berkemungkinan tumpas kepada PAS dan PKR di kawasan campuran. Jadi, persoalannya, daripada 15 kerusi parlimen yang sedia ada, berapakah yang mampu dipertahankan MCA dalam PRU akan datang?

Pakatan DAP-PAS

PAS dibantu kedua-dua rakan partinya, DAP dan PKR dalam PRK Tenang kali ini. DAP terutamanya, menurunkan pemimpin peringkat kebangsaannya untuk berkempen. Malah, untuk kali pertama DAP menyiarkan iklan di akhbar Cina, Sin Chew Daily (1/4 muka surat di edisi tempatan) setiap hari - untuk PRK yang ditandingi rakan parti. Menurut Penasihat Strategi Pilihanraya, Liew Chin Tong, daripada 14 PRK yang berlangsung, hanya PRK Bukit Gantang (ditandingi Nizar Jamaluddin) dan PRK Sibu (ditandingi DAP sendiri), yang mampu menyamai PRK Tenang dari segi sumber yang dicurahkan oleh DAP.

Matlamat strategi DAP adalah supaya prestasi PAS mengatasi DAP. Keputusannya menyaksikan matlamat ini tercapai. Dalam pilihan raya yang lalu, DAP yang bertanding kerusi parlimen Labis memperolehi lebih undi Cina di kawasan DUN Tenang berbanding PAS, sementara PAS memperolehi undi yang lebih banyak daripada DAP di kawasan Melayu. Tidak sukar untuk menjelaskan fenomena ini - sesetengah penyokong DAP menolak calon PAS, manakala sesetengah penyokong PAS tidak yakin dengan calon DAP.

Antara faktor yang menjurus kepada fenomena ini adalah hasil daripada dasar pecah dan perintah oleh Barisan Nasional dalam ruang wacana. Dalam PRK Tenang kali ini, MCA menyerang PAS yang kononnya membawa Islam yang ekstrem, sementara UMNO menyerang PAS kerana mengkhianati agama dan bangsa - manifestasi wacana tradisional yang digunakan BN.

Namun, apa yang membimbangkan BN adalah, perbezaan kadar undi Cina yang diperolehi DAP dan PAS semakin rapat. Dalam empat peti undi yang mana kadar pengundi Cinanya lebih tinggi, kadar undi yang diperolehi PAS pada tahun 2008 telah mengatasi kadar undi yang diperolehi DAP pada tahun 2004, walaupun masih belum terjangkau kadar undi yang diperolehi DAP pada tahun 2008. Dalam PRK Tenang kali ini, kadar undi yang diperolehi PAS di Labis Tengah hampir menyamai kadar undi yang diperolehi DAP pada tahun 2008!

Seandainya fenomena ini juga berlaku di dua kawasan pengundian yang berdekatan (iaitu Labis Timor dan Labis), ia membawa makna bahawa komuniti Cina telah melihat dan menerima DAP-PAS sebagai satu gabungan. Pengundi Cina DAP menyokong PAS, lebih kurang keadaannya sebagaimana pengundi Melayu UMNO menyokong MCA.

PAS dan undi Melayu

Persoalan yang tercungkil di sini adalah, apakah PAS akan menjadi MCA versi Melayu? Sebelum ini, ada pandangan bahawa PAS mungkin tidak senang apabila DAP menyindir MCA kerana kehilangan sokongan Cina. Ini kerana PAS juga berdepan dengan masalah gagal meraih sokongan Melayu di kawasan desa dan mungkin dilihat sebagai boneka DAP.

Sememangnya, terdapat sesetengah pemimpin dari golongan konservatif yang agak gelisah apabila PAS semakin bergerak ke tengah. Namun, PAS adalah sebuah parti yang pragmatik. Meskipun melihat kegagalan sebagai ujian daripada Tuhan, namun kemenangan tetap akan diiktiraf. Misalnya, Mohd Nizar Jamaluddin (gambar kanan) yang meraih sokongan bukan Melayu, meskipun kehilangan sedikit sokongan Melayu - tetap disanjung tinggi akar umbi partinya. Pemimpin yang popular di kalangan bukan Melayu seperti Dzulkefly Ahmad, Husam Musa, Khalid Samad, Siti Mariah dan sebagainya, juga tidak tersingkir dalam pergelutan kuasa yang sengit dalam parti.

Pemimpin PAS yang saya kenali tidak bimbang dengan kebangkitan pengaruh DAP. Mereka hanya mengeluh kerana kadar pengundian Cina yang rendah sehingga gagal menghakis undi majoriti BN. Di kubu UMNO, ada kalanya PAS langsung tidak berpeluang untuk bertemu dengan pengundi. Jadi, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila PAS kehilangan sedikit undi Melayu ketika dalam PRK.

Mengapa PAS tetap tenang ketika berdepan dengan asakan demi asakan dari UMNO, malah tidak khuatir bahawa dirinya mungkin berakhir sebagai MCA? Pokoknya, PAS agak yakin dan berpegang kuat pada ideologinya. Mereka tenang ketika menghambat kuasa, maka sanggup bersikap fleksiber dalam pendirian partinya, tetapi tidak berganjak dari prinsipnya. Berbanding MCA, yang kekosongan dalam "ideologinya", dengan makna kewujudannya sebagai "wakil Cina dalam kerajaan". Segala kompromi yang dilakukan pemimpin MCA dilihat sebagai demi kuasa dan kepentingan individu, lantas gagal meyakini pengundinya.

UMNO gagal mengekalkan keabsahan kemajmukannya

Jikalau pola pengundian PRK Tenang kekal, undi Melayu (dan India) kembali ke pangkuan BN pada kadar berlainan mengikut faktor tempatan, dan undi Cina pula tetap bersama pembangkang - apakah senario politik Malaysia seterusnya?

Apakah akan wujud fenomena "Melayu sebagai pemerintah, Cina sebagai pembangkang" (sebagaimana yang dipropagandakan MCA sekarang)? Secara tepat, jawapannya tidak. Ini kerana seandainya kadar sokongan Cina terhadap PR cukup tinggi, maka ramai pemimpin Melayu PKR dan PAS bakal menang di kawasan campuran. Dengan kata lain, ramai calon MCA, Gerakan dan MIC akan kecundang, dan menjurus kepada senario "Pemerintah hampir semuanya Melayu, Pembangkang pula mencerminkan kemajmukan (sungguhpun lebih banyak wakil Cina)".

Jadi, apakah ia akan menjurus kepada ketidakstabilan dalam hubungan kaum? Cuba bayangkan kabinet yang didominasi lebih 80% Menteri UMNO - semestinya menjolok mata. Maka, mungkin semua wakil rakyat MCA, MIC dan Gerakan yang "terselamat" akan diberi jawatan menteri, menjadi Mah Hang Soon (EXCO Perak) versi Persekutuan atau Subramaniam (Menteri Sumber Manusia-MIC) versi Cina.

Untuk mengekalkan keabsahan sebagai kerajaan yang mentadbir sebuah negara yang berbilang kaum, maka UMNO perlu memikat hati komuniti Cina. Mana-mana tindakan yang menindas kaum Cina dan bukan Melayu akan dikecam pemimpin Cina dan bukan Melayu dalam PR. Lebih penting, tindakan tersebut akan dihujani kritikan pemimpin Melayu dan muslim PR sebagai "rasis".

Sememangnya, golongan kanan dalam UMNO akan menyuarakan ketidakpuasan terhadap kerajaan kerana memberi layanan yang baik kepada "golongan minoriti yang tidak tahu bersyukur". Maka ia akan menyukarkan Najib atau pewarisnya untuk mengimbang antara dua pihak - lantas mempercepatkan langkah kemusnahan BN.

Tembak kuda dahulu

Sebelum ini, analisa terhadap strategi untuk meleraikan BN adalah berdasarkan logik "tangkap ketua dulu jikalau nak tangkap gerombolan perompaknya" (pepatah Cina). Maksudnya, BN tidak akan tumbang selagi UMNO tidak tumbang. Maka lebih 50% Melayu diperlukan untuk menyokong PR demi menjatuhkan UMNO.

Namun, iktibar yang diperolehi selepas PRK Tenang adalah, "tembak kuda dulu untuk jatuhkan orang di atasnya". Seandainya MCA dan parti komponen BN yang menjadi tunggangan UMNO ditembak, maka UMNO perlu turun dari kuda dan berperang secara dekat - tanpa diselindungi mitos politik "perkongsian kuasa".

Dari sudut ini, mungkin ramai pengundi Cina yang gagal mengundi "huan" (tukar) kali ini kerana trak kerajaan enggan membawa mereka ke pusat pengundian. Namun, sebahagian keputusan ini memberi isyarat bahawa, seandainya pola pengundian Cina ini berulangan di kawasan lain, soal "Tukar" hanyalah persoalan masa sahaja.

*Wong Chin Huat ialah pengkaji politik dan kolumnis MerdekaReview. Disedut, terjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 3 Februari 2011.

Umno dah nak mampus, tipu merata ceruk!!!

Gambar palsu Lim berketayap pula tersebar

Jika sebelum ini terdapat gambar palsu yang memaparkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyembelih lembu ketika Aidil Adha, kali ini terdapat risalah yang diedarkan di Balik Pulau menunjukkan setiausaha agung DAP itu memakai ketayap.

NONEGambar itu menunjukkan Lim bersama ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan speaker dewan undangan negeri Pulau Pinang, Abdul Halim Hussein di sebuah surau di majlis rasmi di Komtar.

Ketiga-tiga mereka memakai batik dan berketayap.

Adalah dipercayai risalah berkenaan hanya diedarkan di kawasan Melayu di Balik Pulau sejak minggu lalu.

Lim pada sidang media di Komtar, hari ini menunjukkan kepada wartawan gambal asal ketiga-tiga mereka yang dirakamkan pada majlis berkenaan.

leaflet"Tiada seorang pun daripada kami yang memakai kopiah," katanya.

"Kopiah ini hanya digunakan oleh orang Islam dan saya tidak akan menggunakannya sebagai menghormati masyarkat Melayu,” katanya.

Lim berkata jika Anwar mendapati beliau memakai ketayap, sudah pasti ketua pembangkang itu akan menegurnya.

"Lihat betapa jahatnya sesetengah pihak... ini satu lagi contoh fitnah ke atas pemimpin kerajaan negeri,” katanya.

Lim menafikan beliau pernah memakai ketayap tetapi mengakui pernah memakai serban Sikh sebelum ini.

Gelombang Merah, rakyat Kelantan makin matang



SHAH ALAM, 10 Feb.: Rakyat Kelantan kini semakin matang dan tidak akan tertipu berhubung pelancaran gelombang merah oleh Umno Kelantan dalam usaha mendapatkan kepercayaan pengaruh pengundi muda dalam pilihanraya umum akan datang.

Menurut Exco Pembangunan Wanita Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Abdul Patah Mahmood, tindakan Umno mempolitikkan warna merah akan menjadi 'senjata makan tuan' kepada Umno memandangkan merah putih merupakan warna bendera Kelantan.

“Sebenarnya, bagi kita bila Umno mempolitikkan warna bendera dan sebagainya, kita rasa ia akan menjadi 'backfire' kepada diri dia sendiri. Kita harap rakyat Kelantan tidak tertipu dengan pelancaran gelombang merah yang dilancarkan. Bagi kita, negeri Kelantan mempunyai warna bendera merah dan putih,” katanya.

Abdul Fatah menambah, tindakan Umno seolah-olah mengambil kesempatan di atas kejayaan pasukan bola sepak negeri itu yang digelar 'The Red Worrior' yang berjaya merangkul Piala Malaysia baru-baru ini.

“The Red Worrior adalah sokongan rakyat Kelantan kepada pasukan bola sepak dan kalau kita lihat yang masuk ke stadium memakai baju merah, yang kita tidak boleh kawal mereka juga membawa bendera bulan. Walaupun saya sudah beritahu jangan membawa bendera parti ke dalam stadium, tetapi sebab mereka terlalu rasa bangga dengan negeri di bawah kepimpinan Tok Guru(Nik Aziz Nik Mat), ini menunjukkan tidak semua penyokong Red Worrior tidak semuanya orang Umno,” katanya.

Ujar beliau lagi, tindakan Umno membawa Piala Malaysia ke program parti menimbulkan kemarahan rakyat dan situasi ini ternyata memalukan.

“Sebagaimana yang rakyat Kelantan marah bilamana mereka membawa Piala Malaysia ke program parti, ataupun jelajah Piala Malaysia kepada bahagian-bahagian Umno ternyata ini adalah perkara yang sangat-sangat memalukan,” katanya.

Awal minggu ini Umno Kelantan melancarkan kempen Gelombang Merah untuk mendekati dan mendapatkan kepercayaan kira-kira 400,000 pengundi muda di Kelantan untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Gelombang Merah bertemakan “Transformasi 1Kelantan Gelombang Rakyat” akan dilaksanakan Pergerakan Pemuda Umno negeri Kelantan melalui penganjuran ceramah, kursus, seminar dan gerak kerja.

Puak-puak Songkok Tiga Jengkal kebas hak orang ramai

Ahli Umno Didakwa Kebas Peralatan Dewan Orang Ramai


SHAH ALAM 10 Feb.: Peralatan dewan orang ramai dan balairaya di Selangor bernilai RM385,000 dilarikan individu yang dikaitkan Umno-Barisan Nasional(BN), kata Exco Kerajaan Negeri, Xavier Jayakumar.

Menurutnya, kerajaan Selangor kesal dengan tindakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) semasa pentadbiran Umno-BN yang lepas kerana tidak mengambil tindakan sewajarnya melindungi harta awam yang disediakan kerajaan negeri untuk kegunaan orang ramai.

“Selepas Piliharaya Umum Mac 2008, beberapa orang individu, ahli Umno-BN setempat yang tidak bertanggungjawab di kampung-kampung berkenaan telah melarikan beberapa peralatan dewan dengan ‘pengetahuan’ JKKK ketika itu tapi malangnya mereka mengambil sikap tidak peduli ekoran pertukaran pentadbiran kerajaan negeri,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara peralatan yang dilaporkan hilang ialah hampir kesemua kerusi plastik dewan, kerusi Banquet, alat penghawa dingin, kipas angin siling, kipas angin dinding, komputer, meja mesyuarat, meja lipat plastik, sistem bunyi, pembesar suara dinding, papan putih beroda dan lain-lain peralatan.

Katanya, Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) telah mendapatkan input dari 7 buah Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah seluruh Negeri Selangor tidak termasuk daerah Petaling, Sepang dan Sabak Bernam berhubung kehilangan itu.

Menurut Dr Xavier, mesyuarat Exco dimaklumkan anggaran jumlah keseluruhan kehilangan peralatan tersebut ialah sebanyak RM384,776.00.

“Kehilangan ini merupakan ‘tindakan jenayah’ terhadap harta awam dan kerajaan negeri bercadang untuk membuat laporan polis di setiap daerah yang terlibat dan berharap polis mengambil tindakan segera terhadap individu-individu yang tidak bertanggungjawap tersebut," tegas beliau.

Masalah MCA timbul kembali

Puak anti-Chua bersiap sabotaj EGM

Setelah gagal untuk menarik sokongan pengundi Cina dalam pilihan raya kecil DUN Tenang, presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kini berdepan pula dengan satu lagi cabaran dari dalam partinya sendiri - yang boleh mengancam kepimpinannya.

Jawatankuasa pusat (CC) parti itu sedang menimbang untuk membuat pindaan terhadap perlembagaan parti untuk membolehkannya menangguhkan pemilihan parti, di semua peringkat, yang dijadual berlangsung bulan depan.

Bagaimanapun, ia perlu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) dan memperolehi majoriti dua pertiga bagi membolehkan ianya dilakukan.

tenang by election day 1 230111 chua soi lek campaigning 3Difahamkan, puak anti-Chua dalam parti tersebut itu pula mahu mensabotaj cadangan mengadakan EGM tersebut, sebagai langkah pertama untuk menggerakkan momentum yang diperlukan untuk mencabar kepimpinan Chua (kiri) dalam pemilihan parti yang akan datang.

Menurut sumber-sumber dalaman, para penyokong bekas presiden Datuk Seri Ong Tee Keat dan Datuk Seri Ong Ka Ting - kedua-duanya tewas kepada Chua dalam pemilihan parti 2010 serta abang Ka Ting, Datuk Seri Ka Chuan, yang tewas bagi jawatan timbalan presiden - kini mencari peluang untuk kembali.

"Ka Chuan dan Ka Ting serta Tee Keat masih menguasai 600 hingga 700 perwakilan. Sekiranya mereka bergabung, Chua mungkin tidak akan memperolehi sokongan dua pertiga di EGM," kata seorang pemimpin parti itu yang tidak mahu namanya disebut.

"Orang Chua kini sedang melobi penyokong Tee Keat dan adik beradik Ong."

NONEMCA mempunyai 2,377 delegasi pusat dan Chua perlu memperolehi sokongan sekurang-kurangnya 1,585 perwakilan untuk melepasi sokongan dua pertiga.

Di bawah perlembagaan, parti hanya boleh memutuskan sama ada untuk menangguh pemilihannya jika ianya dalam tempoh 42 bulan selepas pilihan raya umum lalu. Tetapi pemilihan parti itu dijadual berlangsung bulan depan, dan ianya hanya 36 bulan selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Oleh itu, MCA perlu meminda perlembagaannya jika ia mahu memendekkan syarat tempoh tersebut kepada 36 bulan, bagi menangguhkan pemilihan parti.

Rakyat Serawak perlu bijak , tidak mudah diperbodohkan

Tanah Adat : Rakyat Sarawak Perlu Buat Pilihan Bijak


SHAH ALAM 10 Feb.: Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sarawak, Baru Bian menyeru masyarakat Orang Asal di negeri itu untuk membuat pilihan yang bijak dalam menangani masalah Tanah Adat Bumiputera (NCR).

Katanya, dasar kerajaan Barisan Nasional(BN) yang mengenepikan hak rakyat harus dihentikan segera dan kini sudah sampai masanya, perubahan benar-benar diperlukan di bumi Sarawak.

Jelasnya semua masalah ini berpunca dari dasar yang tidak baik.

"Kalau kita hendak satu pemerintahan yang boleh menolong kita dan mengutamakan dasar yang baik, yang memperjuangkan hak kita, harus kita tukar pemerintahan," kata Baru, seraya meluahkan harapannya supaya rakyat Sarawak bangkit dari terus dizalimi kerajaan pimpinan Tan Sri Taib Mahmud.

Ramai berpendapat kes tanah adat ini umpama 'duri dalam daging' bagi kerajaan negeri dan jika ia gagal diselesaikan, maka BN Sarawak bakal berhadapan musibah pada pilihan raya negeri akan datang.

"Kita boleh bawa kes ini ke mahkamah, kita boleh menang tetapi ia mengambil masa. Dan yang keduanya, kalau kita menang, mereka akan membuat rayuan pula. Mereka boleh merayu dari sudut undang-undang dan ini mengambil masa yang panjang," ujar Baru.

Justeru, rakyat punyai pilihan yang mudah dan tidak perlu menunggu dalam jangka masa yang lama.

Dengan bertukarnya pemerintahan, beberapa perkara boleh dilakukan oleh Pakatan Rakyat untuk membantu menyelesaikan masalah status tanah yang membelenggu masyarakatnya termasuk menubuhkan Suruhanjaya Tanah Adat seperti yang dijanjikan gagasan itu sebelum ini.

Menurut Baru, pada 16 Februari ini turut berlangsung perbicaraan kes tanah adat yang diceroboh oleh sebuah syarikat pembalakan yang mempunyai kaitan dengan adik Taib, Raziah Mahmud.

Dalam kejadian 16 Oktober tahun lalu, satu kebakaran berlaku di kem pembalak terletak di kawasan Sebangan, Kuching yang dimiliki oleh Quality Concrete Holding Berhad.

Ekoran dari kejadian itu, seorang aktivis, Nicholas Mujah dan beberapa orang tua di rumah Iban telah ditangkap oleh pihak polis walaupun langsung tidak ada bukti yang menunjukkan pembabitan mereka dengan kebakaran kem tersebut.

Beberapa hari sebelum itu, Nicholas dan beberapa orang yang lain telah mendirikan 'blockade' bagi menghalang syarikat tersebut menjalankan pembalakan di tanah NCR, lebih kurang seluas 3,000 hektar di kawasan tersebut.

Namun 'blockade' tersebut didirikan untuk mempertahankan tanah NCR apabila Jabatan Hutan Sarawak telah memberikan lesen pembalakan kepada syarikat itu tanpa menghiraukan tuntutan orang Iban yang menduduki kawasan berkenaan.

Bukan Washington, London , Paris, tentukan nasib rakyat Mesir tetapi rakyat Mesir sendiri

Anwar: Rakyat Mesir Tolak Pemerintah Yang Tolak Demokrasi


NEW YORK 10 Feb.: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pergolakan di Mesir menunjukkan rakyat tidak lagi menghalalkan pemerintahan rejim yang menolak prinsip demokrasi dan hak asasi atas alasan memelihara keselamatan negara.

Anwar berkata bantahan ratusan ribu rakyat Mesir menzahirkan keinginan penduduk dunia Islam untuk mendokong demokrasi dan pembaharuan politik, serta bebas dari cengkaman pemerintahan autokratik.

Beliau berkata demikian dalam wawancara dengan stesen telivisyen antarabangsa CNN mengenai tunjuk perasan terhadap Presiden Mesir Hosni Mobarak yang memasuki minggu ketiga.

"Apa yang penting ialah wujudya tuntutan di dalam dunia Islam yang mahukan kebebasan dan demokrasi, dan suara untuk perubahan ini tidak ditetapkan oleh Washington atau London ataupun Paris, tetapi dari rakyat sendiri.

Ini juga penting kerana kita bukan sahaja melihat kepada Mesir tetapi juga reaksi Amerika Syarikat dan Eropah untuk melihat samada mereka mengamalkan dwi-standard... di mana mereka bercakap berkenaan demokrasi dan pada masa sama menerima penipuan dan penindasan oleh pemimpin autokrat," katanya.

Anwar berkata pergolakan di Mesir akan meningkatkan kesedaran politik rejim pemerintah yang menggunakan keselamatan negara sebagai alasan untuk menutup ruang demokrasi dan menafikan hak asasi rakyat.

"Dahulunya, kerajaan autokratik termasuk Malaysia mendakwa keselamatan adalah paling diutamakan, tetapi keselamatan di bawah siapa? Mereka ini tidak ada kuasa yang sah, siapa yang melantik mereka mereka pada mulanya? Siapa yang memberikan mereka kuasa penuh untuk menentukan masa depan di Mesir, dan juga negara-negara lain yang mengamalkan proses pilihnaraya yang tidak adil," jelasnya lagi.

Perkembangan politik di Mesir, menurut Anwar amat penting dalam mempengaruhi aliran pemikiran di rantau ini.

"Tunisia dan Yemen memberi sedikit kesan, tetapi yang penting adalah Mesir kerana Mesir merupakan pusat pembelajaran utama bagi dunia Islam. Malaysia, Indonesia, Pakistan melalui pelajarnya, guru-gurunya serta para iman secara langsung atau tidak langsung berkait dengan institusi Mesir, maka mereka memberikan lebih perhatian kepada pergolakan di Mesir. Namun banyak kerajaan termasuk kerajaan Malaysia cuba meremehkan suara warga Mesir serta kepentingan perubahan ini," tambahnya.

Anwar berkata pengalaman Indonesia dan Turki menunjukkan keinginan rakyat untuk mendokong demokrasi dan hak asasi tidak bererti mengundang huru hara, sebagaimana yang kerap dicanang oleh rejim-rejim diktaktor.

"Kita telahpun menyaksikan perubahan yang menakjubkan di Indonesia dan Turki. Indonesia di bawah Presiden BJ Habibie yang pada hakikatnya kerajaan sementara sahaja. Apa yang penting adalah bukannya membiarkan seseorang ketua perisikan menentukan masa depan Indonesia, tetapi Habibie dan pasukannya telah membuat keputusan yang signifikan iaitu pilihanraya yang bebas dan adil, sistem perundangan yang bebas dan tidak berfungsi di bawah telunjuk eksekutif, serta media mesti bebas.

"Sehari selepas Habibie menjadi presiden, semua tahanan politik dibebaskan dan tiada lagi gangguan atau penyeksaan terhadap mana-mana orang yang menyertai protes ataupun parti pembangkang yang sah," katanya.

Bekas Pembantu Nor Yakcob didakwa

Wang Haram : Bekas Pembantu Menteri Didakwa


BUTTERWORTH 10 Feb. : Bekas setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Yakcop hari ini didakwa dengan pengubahan wang haram, setahun selepas beliau didapati memiliki RM2 juta di pangsapurinya di Teluk Air Tawar, Pulau Pinang.

Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth, Mohd Zairan Aman menetapkan 14 Mac ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan Hasbie Satar, 38 diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan dua orang penjamin, lapor Malaysiakini.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Jika bersalah, beliau boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anslen Charles Fernandis, memohon agar mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM100,000 kerana kesalahan yang dilakukan sangat serius dan jumlah yang diperoleh adalah tinggi.

Bagaimanapun, Hasbie yang tidak diwakili peguam, memohon agar mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana beliau tidak bekerja dan terpaksa menanggung keluarga.

Beliau meminta mahkamah mempertimbangkan jasanya selama berkhidmat dengan kerajaan yang telah bekerja di bawah kepimpinan tiga orang Perdana Menteri.

"Saya telah setahun tidak bekerja dan saya berhenti kerja tanpa mendapat pencen," katanya

Empat hari selepas ditahan oleh SPRM berhubung penemuan wang tunai yang diikat mengikut nilai RM5, RM10, RM50 dan RM100 berjumlah kira-kira RM2 juta di pangsapurinya itu, pejabat Nor Mohamed mengeluarkan kenyataan yang Hasbie telah meletakkan jawatan.

Hasbie, seorang rakyat Sarawak dilantik sebagai setiausaha politik pada tahun 2008 ketika Nor Mohamed adalah menteri kewangan kedua.

Nor Mohamed (kanan), yang berasal dari Pulau Pinang adalah juga ahli parlimen Tasek Gelugor. Beliau dilantik sebagai menteri kewangan kedua dari 2004 hingga 2009.

Sebagai menteri di jabatan perdana menteri, Nor Mohamed kini bertanggungjawab terhadap Unit Perancangan Ekonomi (EPU) yang berkuasa menentukan projek-projek kerajaan.

Siapa tandatangan arahan penahanan selama dua tahun ? Polis atau Mahathir

Mahathir seolah akui Malaysia negara polis

KUALA LUMPUR, 10 Feb.: Suhaimi Said, salah seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sewaktu Operasi Lalang 1987 menyangkal dakwaan Tun Mahathir yang mengatakan beliau tidak pernah mengarahkan polis melakukan operasi tersebut.

Suhaimi, yang kini merupakan Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal KEADILAN mempersoalkan motif Mahathir menyalahkan pihak polis sedangkan selaku Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri pada masa itu, Mahathir sepatutnya bertanggungjawab.

“Kalau betul dia tak setuju, kenapa selepas 60 hari ditahan pada tahun 1987, kami tidak dibebaskan pada masa itu ? Kenapa dia tandatangan arahan penahanan selama dua tahun tersebut ?” soal Suhaimi yang ditahan dua kali di bawah ISA iaitu pada tahun 1985 dan 1987 sewaktu Operasi Lalang.

Menurut Suhaimi, kenyataan Mahathir tidak terlibat memberi arahan kepada polis untuk melakukan Ops Lalang, seolah memberi gambaran dan mengakui Malaysia ketika itu berada di bawah kuasa polis.

“Institusi polis, akta ISA semuanya di bawah tanggungjawab Menteri Dalam Negeri. Kalau Mahathir kata dia tak pernah bersetuju, itu pengakuan yang tidak jujur,” kata Suhaimi.

Ops Lalang yang berlaku pada 27 Oktober 1987 menyebabkan seramai 106 individu, majoriti ahli politik pembangkang ditahan dan 49 daripadanya disambung penahanan selama dua tahun di bawah ISA.

Ia dilakukan kerajaan kononnya bagi mengelakkan tercetus rusuhan berikutan ucapan berbaur perkauman yang dikeluarkan ahli-ahli politik.

Namun pembangkang menafikan ia sebagai taktik Mahathir memangsakan ahli-ahli politik pembangkang berikutan krisis kepimpinan Umno yang memperlihatkan pertembungan antara regu Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah- Musa Hitam waktu itu.

Ini kerana ramai pimpinan tertinggi Umno-BN yang mengeluarkan kata-kata perkauman tidak ditahan pada masa tersebut.

Antaranya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu merupakan Ketua Pemuda Umno yang menyeru orang Melayu di Kampung Baru supaya membasahkan keris dengan darah orang Cina.

Selain itu, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga bekas Menteri Besar Perlis berpesan kepada orang Melayu agar ke Kuala Lumpur dengan membawa senjata sekurang-kurangnya sekotak mancis api.

Timbalan Presiden MCA, Lee Kim Sai pula pada masa tersebut menuntut supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada orang Cina.

Mahathir di dalam buku tulisan Tom Plate, ‘Doctor M: Operation Malaysia – Conversations with Mahathir Mohamad’ sebelum ini mendakwa beliau pada asalnya bercadang menangani Operasi Lalang dengan cara berbeza.

Namun, polis bertegas meneruskan operasi itu sedangkan beliau sendiri sebelumnya menemui pemimpin pembangkang memberi jaminan supaya mereka tidak ditangkap.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang, yang turut ditahan dalam operasi itu, semalam tampil membuat penafian Mahathir pernah menemui mana-mana pemimpin pembangkang sebelum tangkapan dibuat.

Operasi Lalang akan terbongkar kerana Mahathir

Operasi Lalang: Penafian Mahathir, Dedahkan Lebih Banyak Kebenaran


KUALA LUMPUR , 10 Feb.: Pengarah Suara Anak Malaysia (SUARAM), Dr Kua Kia Soong berkata, walau sehebat mana Tun Dr Mahathir Mohamad cuba membersihkan imejnya bersabit Ops Lalang 1987, ia hanya akan mendedahkan banyak lagi kebenaran ketika insiden itu berlaku.

"Setidak-tidaknya satu fakta menonjol. Dr Mahathir sekarang tampaknya malu kerana peranannya dalam Operasi Lalang dan beliau hanya membenarkan tindakan pengecutnya itu selepas dua dekad lamanya," kata Dr Kua dalam satu kenyataan media hari ini.

Kenyataan Dr Kua itu terbit susulan daripada kenyataan bekas Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Hanif Omar yang mendakwa Dr Mahathir tidak pernah mengarahkan penangkapan pembangkang secara beramai-ramai di bawah Ops Lalang.

"Pertama-tamanya, apa yang kita harapkan dari seorang bekas IGP yang bersara daripada jawatan tertinggi dalam jabatan polis dan menjadi ahli lembaga pengarah syarikat yang berkaitan dengan perjudian seperti Genting Higland.

"Ada dua isu di sini, etika pegawai atasan dalam kerajaan yang menyertai syarikat yang akan memberikan kesan kepada jabatan tempat beliau bertugas sebelum itu, dan yang kedua, sikap hipokrit melarang pekerja Islam bekerja di syarikat yang menyediakan arak namun membolehkan golongan elit Muslim masuk ke tempat perjudian," tulis Dr Kua lagi.

Anehnya ujar Dr Kua, orang seperti Hanif Omar bermati-matian berkata beliau merupakan pemimpin pasukan polis ketika itu dengan penuh tanggungjawab menjalankan tugas dalam Operasi Lalang tanpa menerima sebarang arahan mahupun tekanan politik oleh Mahathir yang ketika itu adalah Menteri Dalam Negeri.

" Tapi adakah (Mahathir) boleh lepas dari tanggungjawab walaupun bekas IGP dengan begitu hebat tampil ke hadapan dan mendapatkan kredit untuk itu?," soal Dr Kua terhadap tindakan Mahathir yang terus-terusan cuba berselindung di sebalik keterlibatannya dalam Ops Lalang.

Malah Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata, beliau telah bertemu dengan pembangkang dan menyakinkan mereka bahawa mereka tidak akan ditangkap.

Bahkan mendakwa, beliau tidak boleh berbuat apa-apa selain patuh dengan tindakan yang dilakukan oleh polis.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu menyifatkan kenyataan Mahathir sebagai tidak boleh dipercayai.

Mohamad ketika dihubungi Tv Selangor berkata, kuasa penahanan polis hanya untuk tempoh sebelum atau genap 60 hari dan yang selebihnya adalah di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri.

“Dia tidak boleh nafikan sebab selepas 60 hari adalah kuasa Menteri Dalam Negeri sama ada membebaskan, menahan seseorang ataupun diletakkan dalam tahanan daerah di bawah kuasa Menteri Dalam Negeri.

“Lee Kim Sai lari ke Australia, Najib pergi ke Jakarta dan Shahidan Kassim yang berucap supaya orang Melayu membawa mancis api untuk ke Kuala Lumpur dalam perhimpunan Melayu tetapi semuanya tidak ditangkap. Saya yakin senarai polis tidak terlibat sepenuhnya, ahli politik turut terlibat sama,” katanya.

Dalam Ops Lalang yang dilancarkan pada 27 Oktober 1987, seramai 106 orang iaitu sebahagian besar ahli politik pembangkang dan beberapa ahli politik dari Umno dan MCA, ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), manakala permit penerbitan akhbar The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan, telah dibatalkan.

Dalam buku terbaru bertajuk, "Doctor M: Operation Malaysia - Conversation with Mahathir Mohamad", Mahathir memberitahu dalam wawancaram dengan wartawan veteran Amerika, Tom Plate bahawa penangkapan tersebut adalah keputusan polis dan tiada apa yang boleh dilakukannya untuk menghalang perkara tersebut.