Thursday, May 5, 2011

TU DIA , MAI BACA BANYAKNYA UMNO SENTAI DUIT RAKYAT

Mai tengok... banyak mana UMNO Bahagian Padang Terap sapu duit STDC

Cerita UMNO sapu duit Seri Temin Development Corporation (M) Sdn Bhd (STDC) belum habis lagi. Maklumlah panjang senarainya, macam hikayat 1001 malam.

Kali ni kita tengok duit STDC yang UMNO Bahagian Padang Terap ghebiah pulak. Jumlah ini tidak termasuk RM130,000.00 yang dighebiah pada Pilihanraya Umum 2008. Semua ini diambil dari rekod Audit:

1) Membiayai Pergerakan Pemuda UMNO padang Terap untuk pembelian T Shirt dan wang saguhati aktiviti konvoi bermotorsikal sebanyak RM4.000.00. (Tarikh pembayaran: 29.05.07, no cek: 2243).

2) Sumbangan untuk UMNO Cawangan Kerasak, Padang Terap menjalankan aktiviti parti sebanyak RM5,000.00. (30.05.07, no cek: 541757).

3) Bayar cenderahati bagi mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap sebanyak RM26,150.00. (01.01.08, no cek: 631831).

4) Bayar pemasangan billboard sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO Padang Terap sebanyak RM10,000.00. (01.01.08, no cek: 631851)

5) Persiapan tempat Mesyuarat Perwakilan UMNO Padang Terap RM10,000.00. (23.01.07, no cek 502564)

6) Sewa khemah dan meja untuk Mesyuarat Perwakilan UMNO Padang Terap RM10,000.00 (16.01.08, no cek 631876)

7) Makan dan minum Mesyuarat Perwakilan UMNO Padang Terap RM21,700.00 (15.02.08, no cek 631876)

Berapa jumlah semua? Ambik calculator kira sendirilah..

JANGAN SERAH KEDAH DEKAT PENYAMUN

PAS tak akan bersama UMNO yang suka fitnah, lucah , maksiat, rasuah

Adakah PAS perlu mendukung kemungkaran Umno?

TEMERLOH, 6 Mei: “Apakah saudara juga meminta PAS untuk mendukung segala kemungkaran dan kebejatan yang dilakukan Umno, sama ada dalam aspek agama Islam atau pengurusan negara supaya tidak digelar sebagai pengkhianat Islam?” tanya Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Dr Juanda Jaya dan mereka yang sama fikrah dengan pandangannya.

Beliau melontarkan pertanyaan itu sebagai menjawab balas kepada kenyataan yang dilakukan oleh Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya kelmarin, di mana beliau menyifatkan pihak-pihak yang menentang penyatuan antara Umno dan PAS sebagai pengkhianat Islam.

Tuan Ibrahim berkata apabila soal perpaduan, penyatuan dan kerjasama diketengahkan, sudah tentunya keadaan akan disifatkan sebagai janggal sekiranya ada pihak yang menentang usaha tersebut, tambahan pula bila mana Islam sendiri telah meletakkan asas yang sangat kukuh ke arah nilai tersebut.

Namun begitu, dengan bersangka baik pada niat Dr Juanda, beliau berpendapat mungkin idea yang dilontarkan olehnya disebabkan perkara itu dilihat daripada aspek penyatuan kaum Melayu, sudah pastinya tidak menepati apa yang dibawa ajaran Islam kerana Islam membina penyatuan yang jauh lebih luas daripada penyatuan kaum.

“Islam sendiri melihat penyatuan Islam melampaui kaum, dan seruan penyatuan universal di atas nama Islam inilah telah berjaya merobohkan asaniyah qaumiyah yang selama ini menjadi penghalang kepada pembanguan sesebuah negara, dan terutamanya bilamana sesuatu kaum merasa cemburu di atas kejayaan kaum lain,” terang Tuan Ibrahim.

Namun, beliau mengingatkan bahawa dalam Islam, penyatuan besar ini telah mencipta satu sejarah bangsa manusia yang hebat bilamana Islam yang sifatnya rahmatul lil Alamin telah berjaya diterima dengan penuh hormat oleh seluruh manusia.

Sebagai seorang mufti, nasihat Tuan Ibrahim, Dr Juanda perlu memahami bahawa jangkauan perpaduan yang cuba dicadangkannya, perlulah sebaik-baiknya mencerminkan kehendak Islam yang syumul ini, dan lebih penting lagi meletakkan asas penyatuan bagi mencari keredhaan Allah.

Dari sudut ini, katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, kewujudan PAS dan Umno tidak seharusnya dilihat dari sudut perpecahan.

“Kerana kalau ianya dianggap perpecahan kerana wujudnya pelbagai parti politik, sepatutnya yang dipersalahkan ialah kerajaan yang menerima pendaftaran parti-parti politik; tapi ini sudah tentunya ini bertentangan dengan kehendak demokrasi itu sendiri,” jelasnya.

Bagi Dr Juanda dan mereka yang sama fikrah dengan pandangannya, Tuan Ibrahim menyeru supaya seharusnya memikirkan persoalan bahawa, “Apakah PAS diminta mendokong kemungkaran dan kebejatan yang dilakukan oleh Umno, sama ada dalam aspek agama mahupun pengurusan negara?”

“Bukankah jauh lebih baik bagi Dr Juanda untuk bertindak menasihati UMNO agar jangan menganiaya negeri yang majoriti umat Islam, seperti Kelantan dengan menyekat royalti minyak milik negeri, bantuan perkapita tahunan mengikut jadual yang telah dimeteraikan antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat, pelaburan asing dan selainnya?

Lihatlah bagaimana hebatnya Umno menyerang negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, sedangkan sepatutnya kerajaan pusat bersikap adil dengan pilihan rakyat,” tambah beliau.

Di samping itu, Tuan Ibrahim juga menyampaikan pesanan kepada Dr Juanda agar tidak mengaitkan PAS dengan pelbagai tuduhan yang tidak tepat seperti melihat parti Islam sebagai punca kegagalan penyatuan Melayu kerana ia adalah tidak adil dan bakal mengundang pelbagai reaksi ahli-ahli dan para pimpinan PAS yang masih terasa luka lama akibat ditendang keluar Barisan Nasional pada 1978.

“Melihat PAS sebagai punca gagal penyatuan Melayu juga adalah tidak adil kerana sejarah lampau yang dilalui oleh PAS sewaktu penggabungan dengan BN sangat besar kesannya, terutama apabila PAS ditendang keluar.

Ekoran itu, PAS pecah kepada tiga kumpulan dan kehilangan Kelantan akibat perbuatan khianat Umno terhadap pengorbanan PAS pada waktu itu. Lantaran itu, menuduh PAS dengan pelbagai tuduhan yang tidak tepat sepatutnya tidak berlaku, kerana ianya akan mengundang pelbagai reaksi ahli dan pimpinan yang masih terasa luka lama tersebut,” tegur beliau secara halus.

Segerakan PRU 13, Tamatkan Budaya Fitnah Terhadap Pembangkang




SHAH ALAM 6 MEI : Kerajaan persekutuan digesa mempercepatkan pilihan raya umum ke- 13 bagi merungkai pemilihan kepimpinan negara yang berwibawa dan menamatkan serangan berbentuk fitnah terhadap pihak pembangkang.

Ahli Parlimen Kuala Langgat, Abdullah Sani berkata kerajaan pemerintah sepatutnya berdepan dengan pembangkang secara profesional melalui pilihan raya yang adil dan bukannya dengan menyuburkan budaya fitnah.

"Saya mahu memberi amaran, sekiranya pendekatan kezaliman seperti ini terus diambil, saya yakin rakyat tidak bodoh, rakyat sudah bijak menilai untuk angkat tokoh mana yang mereka akan pilih untuk PRU 13 akan datang, Saya saran kepada Najib, segerakanlah PRU 13, kita ke gelangang sebagai 'anak jantan' kemudian kita lihat pemimpin mana rakyat akan nobatkan sebagai pemimpin ulung negara," kata Abdullah.

Melihat kronologi fitnah berterusan termasuk pendedahan klip video seks yang cuba dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya akan menyaksikan kebangkitan rakyat.

"Episod demi episod, fitnah demi fitnah dan keaiban demi keaiban berlaku dalam memastikan musuh UMNO-BN ini tidak mampu bertapak, tetapi percayalah sekira gugurnya perjuangan hebat Anwar ini, maka akan lahirlah ribuan lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim di negara ini sekira itulah agenda utama UMNO-BN," katanya lagi.

Dalam pada itu, Abdullah Sani juga mengesa Polis agar bersikap neutral dan bebas dari terus ditunggangi UMNO-BN dalam usaha merealisasikan agenda politik sempit mereka.

"Sebab itu kalau polis membuat satu keputusan, wajib dengan teguh tanpa rasa segan silu mempertahankan apa yang mereka ada dalam siasatan sebagai satu asas, tetapi keadaan sekarang ini polis seolah-olah bersekongkol dengan peguam negara yang sedia maklum tahu beliau terlibat secara langsung dalam konspirasi ulung yang dilakukan pada 1998, dan ini berlaku sekali lagi penglibatan polis dengan peguam negara dalam kes Anwar ibrahim," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan polis yang dilihat akur pada telunjuk Pejabat Peguam Negara dengan menyerahkan semula laporan kertas siasatan kes rakaman video seks kepada Pejabat Peguam Negara.

"Dan mereka taksub pada peguam negara yang jelas agenda utamanya adalah menjatuhakan dan mengaibakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebab itu tidak logik apabila polis buat siasatan, diserahkan semula kepada peguam negara dan peguam negara meminta kembali polis mengadakan siasatan lanjutan supaya kes ini ada primafesinya, itu niat asalnya, jadi polis terpaksa ditunggangi agar hasrat jijik peguam negara ini dizahirkan dalam bentuk pendakwaan," ujarnya.

Ladang Rakyat: Umno jadi 'cacing kepanasan'

BETULKAH Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat yang diwujudkan kerajaan Kelantan pada 2006 merampas tanah rakyat.

Anehnya juga mengapa pemimpin Umno Kelantan meluat sangat terhadap program Ladang Rakyat sehingga didesak dikeluarkan kertas putih.

Pengerusi Perhubungan Umno, Dato’ Mustapa Mohamed pula mahu mengembalikan semula tanah dibangun Ladang Rakyat seandainya BN berkuasa di Kelantan.

Begitu dahsyat dilempar tuduhan terhadap Ladang Rakyat sehingga diulang-ulang berkali-kali cerita sama di media dikuasai Umno dan BN. Sedangkan penjelasan dikeluarkan kerajaan negeri dibisukan begitu sahaja. Apa pun yang jelas lagi bersuluh, pemimpin Umno terlalu gusar dengan keberkesanan program Ladang Rakyat. Apa tidaknya apabila setiap bulan penduduk miskin mendapat dividen RM200 sebulan.

Penduduk miskin yang berpendapatan kurang RM530 sebulan layak disenarai sebagai peserta program berkenaan. Sekarang seramai 4,332 penduduk miskin mendapat dividen RM200 sebulan.

Sejak dividen pertama dibayar pada Julai 2006 sehingga akhir tahun lepas sebanyak RM39.5 juta diterima peserta. Pada peringkat awal seramai 1,125 dipilih dan jumlah tersebut bertambah menjadikan sekarang 4,332 orang. Dividen sebanyak itu tidak pernah difikirkan Umno sebelum ini kerana sejak 1990 mereka mendakwa kerajaan di bawah PAS hanya mampu bertahan tiga bulan.

Hari ini Kelantan bukan sahaja tidak bankrap, sebaliknya lebih 4,300 penduduk miskin mendapat bantuan bulanan RM200. Dari mana bantuan tersebut kalau bukan hasil kebijaksanaan pentadbirnya.

Maka benarlah kata orang, Kelantan sebuah negeri berkebajikan. Bukan lagi omong kosong biar pun pemimpin Umno tidak serik menjaja kerajaan negeri merampas tanah rakyat.

Kewujudan Perbadanan Ladang Rakyat dilulus pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada Febuari 2006. Mulai berkuatkuasa empat bulan selepas itu. Tujuan penubuhannya bagi meningkat sosial ekonomi negeri dan kehidupan penduduk. Selain itu menggalakkan kerja-kerja pembangunan tanah.

Falsafahnya mengurangkan kadar kemiskinan rakyat melalui sektor perladangan. Selain itu bagi mengurangkan penerokaan tanah secara haram.

”Kita buat ladang dan hasil daripada kemajuan ladang, kita kumpulkan wang dan masukkan ke dalam akaun amanah peserta program Ladang Rakyat.

”Pihak yang diberi kebenaran memajukan tanah perlu membayar secara tahunan kepada akaun amanah. Dan akaun inilah yang kita agihkan kepada peserta Ladang Rakyat sebanyak RM200 sebulan.

”Dividen pertama diagih pada Julai 2006. Sehingga Disember 2010 Ladang Rakyat telah membayar dividen sebanyak 39.59 juta,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi.

Bilangan peserta disasarkan seramai 4,500 orang. Ada peserta digugur dan belum digantikan akibat kematian. Daripada jumlah tersebut 3,911 orang mewakili kaum Melayu, Cina, India dan Siam. Peserta di kalangan masyarakat Orang Asal pula seramai 247 orang.

Selain itu turut disenarai sebagai peserta peneroka asal yang menduduki tanah sebelum dimajukan Ladang Rakyat. Mereka seramai 174 orang. Tanah yang mereka usahakan sebelum ini tidak menjadi disebabkan pelbagai masalah termasuk dimusnah binatang liar seperti gajah dan babi.

Dr Nazmi berkata, tanah mereka tidak produktif dan peneroka terbabit menyerah kepada Ladang Rakyat untuk dibangunkan.

”Ladang Rakyat mengesan mereka benar-benar mengusahakan tanah tersebut dan menyenaraikan sebagai peserta Ladang Rakyat. Jumlah peneroka seperti itu terdapat lebih 100 di Lubuk Bongor, Jeli.

”Terdapat juga di beberapa tempat lain di Gua Musang. Mereka bersetuju kebun yang pernah diusahakan diserah kepada Ladang Rakyat.

”Mereka disenarai sebagai peserta untuk melayakkan mendapat dividen sebanyak RM200 sebulan,” ujarnya ketika ditemui di sini.

Di Lubuk Bongor diusahakan dengan tanaman kelapa sawit seluas 8,000 ekar. Ladang tersebut dimajukan Ladang Rakyat Lubuk Bongor Sdn Bhd, anak syarikat Ladang Sungai Terah Sdn Bhd.

Menurutnya juga Ladang Rakyat mengeluarkan mana-mana kawasan yang didapati terdapat pokok getah atau kebun diusahakan penduduk. Kawasan yang ada pokok besar kekal milik peneroka. Dan sekarang ramai di kalangan peneroka asal sudah mendapat geran hak milik.

”Sebab itulah kalau ditengok pelan ladang di Lubuk Bongor tidak berbentuk empat segi kerana ada kawasan yang terpaksa dikeluarkan kerana ada pokok milik peneroka asal.

”Bagi peneroka asal yang menanam lebih luas akan senaraikan lebih daripada seorang sebagai penerima dividen. Bergantung keluasan tanah yang mereka usaha sebelum ini.

” Ini bermakna setiap bulan ada keluarga yang mendapat dividen sehingga RM600,” ujarnya.

Model yang dilaksanakan di Lubuk Bongor bagaimana tidak dapat dilaksanakan di Kampung Serian dan Batu 11 di Renok, Gua Musang kerana penduduk tidak berminat.

Penduduk di situ mahukan tanah dan tidak berminat disenarai sebagai penerima bulanan dividen Ladang Rakyat.

Dr Nazmi berkata, kawasan asal yang diluluskan kerajaan kepada Ladang Rakyat di Renok seluas 11,400 ekar. Namun seluas 4,200 ekar dikeluarkan selepas dituntut penduduk.

Sekarang hanya tinggal 7,200 ekar. Bagi menyelesaikan masalah dengan penduduk beberapa kali perbincangan dan perundingan dibuat.

”Ladang Rakyat keluarkan kawasan yang benar-benar diusahakan penduduk. Banyak perbincangan dibuat di peringkat pentadbir tanah Gua Musang.

”Pejabat Tanah juga memanggil wakil-wakil penduduk yang meneroka tanah tersebut di mana mereka telah mengecam kawasan masing-masing,” katanya.

Kawasan tersebut dikeluarkan daripada lokasi yang akan dimajukan Ladang Rakyat. Dan selepas lebih dua tahun perundingan dibuat akhirnya Ladang Rakyat membuat pelan kali ketiga, di mana mengeluarkan kawasan diteroka penduduk.

Dan selepas keluar pelan bersih yang tidak lagi membabitkan kebun penduduk, juruukur dilantik menanam batu sempadan.

”Namun tiba-tiba datang kumpulan lain yang mendakwa kawasan tersebut milik mereka, sedangkan di tapak tiada apa-apa tanaman yang diusahakan.

”Tidak ada pokok-pokok getah atau buah-buahan. Pada peringkat awal perbincangan dibuat kumpulan itu tidak pernah datang menuntut hak mereka.

”Kumpulan seperti ini dipercayai terbabit menjual tanah-tanah kerajaan. Ini kerana penduduk yang benar-benar meneroka tanah sudah diselesaikan semasa pemutihan dilakukan,” ujar Dr Nazmi.

Sebab itulah kata beliau beberapa ratus ekar di Renok belum dapat ditanam kelapa sawit biar pun geran sudah dikeluarkan atas nama Ladang Rakyat.

Ladang Rakyat juga membangunkan ladang kelapa sawit di Sokor, Tanah Merah; Kuala Balah, Jeli; Kandek, Kuala Krai dan Paloh 4, Gua Musang.

Di Gua Musang juga Ladang Rakyat terdapat di Limau Kasturi, Pasek, Hau dan Pulat. Jumlah keseluruhan kawasan dimaju dengan kerjasama beberapa syarikat seluas 50,000 ekar.

Biar pun terdapat tanah yang diluluskan tidak jauh daripada kawasan Orang Asal, namun penempatan mereka tidak termasuk dalam projek Ladang Rakyat.

Misalnya di Pasek seluas 1,500 ekar dikeluarkan daripada pelan asal Ladang Rakyat. Begitu juga di Belatim kelulusan asal kerajaan seluas 4,000 ekar, namun seluas 1,500 ekar direzabkan untuk masyarakat Orang Asal.

Di Balar (Dakoh), kelulusan awal kerajaan negeri seluas 6,000 ekar untuk program Ladang Rakyat, namun seluas 1,000 ekar dikeluarkan.

Oleh itu Dr Nazmi memberitahu isu yang dipalitkan terhadap Ladang Rakyat jelas tersembunyi agenda politik murahan pihak lawan.

”Ini kerana banyak tanah yang diberi kerajaan negeri dikeluarkan apabila didapati ada tanaman milik penduduk.

”Banyak perbincangan dibuat dengan penduduk tempatan bagi memastikan tanah yang mereka usahakan. Apabila terbukti milik penduduk, kita keluarkan," kata pula Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob.

Dr Nazmi juga hairan setelah pemutihan dilakukan ada pula pihak lain tiba-tiba tampil mengaku, sedangkan ketika perundingan awal mereka tiada. Ini menggambarkan ada pihak mahu mengsabotaj program untuk kebajikan rakyat.

UMNO fitnah, Bazar Tok Guru tetap megah

Bazar Tok Guru bakal beroperasi tidak lama lagi

KOTA BHARU, 5 Mei: Sejak pendaftaran untuk kemasukan dibuka bermula 30 April lalu, kompleks pasar baru Bazar Tok Guru di Jalan Sultan Ibrahim kini sudah menerima kira-kira 150 tempahan peniaga.

Mereka adalah termasuk sebahagian daripada 415 peniaga dari pasar Arked Uda dan pasar lama Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) yang ditawarkan berpindah dengan kaedah sewa-beli ke kompleks bangunan tiga tingkat itu.

Bazar Tok Guru atau lebih dikenali BTG di kalangan kakitangan pengurusan projek ini, bakal dibuka tidak lama lagi. Bazar yang bermoto, 'Pusat Jualan Produk Klate' ini bakal menjadi mercu tanda baru perniagaan di Kelantan.

(Gambar: Mercu tanda perniagaan baru di Kota Bharu yang kini sangat dibimbangi lawan politik kerajaan negeri. Ekoran itu pelbagai isu dibangkitkan)

"Nampaknya, semua projek kebajikan yang dibuat kerajaan negeri untuk rakyat dijadikan isu oleh Umno melalui media mereka. Nampak sangat ia ditakuti oleh Umno," tulis Wan Nik Yusof Ngah, Setiausaha Politik MB Kelantan dalam tulisannya di Harakah.

Antara projek untuk rakyat yang dibuat kerajaan negeri adalah Bazar Tok Guru dan Ladang Rakyat. Jika kedua-dua projek ini tidak dijadikan isu, Umno tidak ada harapan dalam pilihan raya umum nanti.

Bazar Tok Guru dijanjikan oleh Tuan Guru Nik Aziz menjelang pilihan raya umum 2008 lalu. Ia diimpikan beliau sebagai anugerah kepada para peniaga yang menjadi nadi pembangunan Kelantan. Bangunan ini bakal menjadi mercu tanda perniagaan baru di Kelantan yang terkenal dengan kegemaran untuk berniaga di kalangan rakyatnya itu.

Bazar ini akan menjadi tapak baru peniaga kecil di Kelantan selepas Arked Uda dan Pasar Lama MPKB sudah tidak sesuai lagi untuk dijadikan tapak perniagaan yang baik.

Selepas tiga tahun berjanji, Bazar Tok Guru akan dilancarkan tidak lama lagi. Jika ia berjaya dengan baik, maka tindakan Umno yang pernah merobohkan secara kekerasan Pasar Lambak di hadapan Bangunan Umno Kelantan pada tahun 1987 lalu bakal menjadi satu titik hitam penting yang tidak akan dilupakan oleh rakyat Kelantan.

Pihak pengurusan bazar iaitu Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) menyediakan sejumlah 451 lot kedai kepada peniaga yang sebelum ini berniaga di Arked Uda dan bangunan MPKB di samping lain-lain peniaga kecil negeri ini.

368 daripadanya adalah di tingkat bawah, 50 di tingkat satu manakala 33 unit lagi akan dibuang untuk memperbesar laluan.

Peniaga di sini juga akan ditempatkan mengikut kategori perniagaan masing-masing. Ia dibuat demikian agar urusniaga tidak tertumpu kepada tingkat bawah sahaja tetapi mengikut keperluan pengguna.

Di aras bawah diperuntukkan kepada kategori peniagaan pakaian, beg dan kasut manakala jenis perniagaan di aras satu pula adalah kedai jahit.

Untuk emas dan pertukangan pula ditempatkan di kedua-dua aras.

Bagaimanapun, difahamkan pendaftaran yang dibuat PMBK 30 April dan 2 Mei lalu, yang dibuat secara 'First come first serve' mengundang rasa tidak puas hati pihak persatuan peniaga dari kedua-dua pasar lama itu.

Dua hari lepas, selepas para peniaga mula mendaftar untuk masuk, pihak persatuan didakwa membuat pengumuman di pasar lama MPKB mengarahkan peniaga hadir ke Bazar Tok Guru bagi membuat bantahan.

Mereka didakwa mahu sistem pengundian dibuat dan mahu membatalkan mereka yang telah mendaftar awal dengan PMBK pada dua tarikh tersebut.

Bagaimanapun, tinjauan Harakahdaily pada pagi semalam mendapati hanya beberapa individu dilihat hadir namun tidak dapat berbuat apa-apa ekoran kehadiran dua kereta peronda polis (gambar) yang berkawal sejak awal pagi.

Kaunter pendaftaran PMBK yang sepatutnya dibuka juga kelihatan tutup. Difahamkan ianya ditutup atas faktor keselamatan.

PMBK telah menawarkan harga RM63,000 bagi ruang tingkat bawah premis baru di Bazar ini walaupun harga asalnya adalah RM98,000.

Kini terpulang kepada peniaga Arked Uda dan Pasar Lama Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) untuk menduduki premis baru itu.

Harga ini adalah adalah berdasarkan konsep sewa-beli dan beberapa tawaran menarik kepada 415 peniaga di dua kawasan perniagaan yang bakal ditutup itu. Ia termasuklah percuma sewa selama dua tahun untuk tingkat bawah.

Isu Bazar Tok Guru menjadi sejata baru Umno Kelantan menyerang kepimpinan kerajaan negeri itu. Antara dakwaan ruang niaga yang disediakan sempit dan mahal.

Sedangkan saiz lot tersebut telah dipersetujui wakil peniaga melalui beberapa siri pertemuan yang diadakan. PMBK pula bersetuju dengan sais itu kerana ia dibuat untuk peniaga kecil, maka saisnya tentulah mengikut kemampuan mereka. Jika sais yang besar dibuat, bilangannya tidak mencukupi untuk memasukkan semua peniaga yang ada di samping harganya tentu lebih mahal.

Difahamkan juga, wakil persatuan seperti 'menyembunyi' fakta yang dipersetujui kepada peniaga dan ingin bermain politik.

Untuk rekod, satu lot kedai di tingkat bawah ditawarkan pada harga RM63,000 dengan sewa percuma selama dua tahun.

Peniaga ditawarkan pinjaman tanpa interes oleh PMBK dengan tempoh pembayaran balik 18 tahun. Selepas itu, lot-lot kedai itu akan menjadi milik mereka. Ini bermakna, harganya kekal RM63,000 walaupun bayaran balik adalah selama 18 tahun.

Jika pinjaman diambil dari bank-bank komersial, harganya sekitar RM40,000 sahaja manakala harga selebihnya adalah keuntungan untuk pihak bank.

(Gambar: Para peniaga mula mendaftarkan perniagaan mereka di Bazar Tok Guru apabila kaunter jualan mula dibuka oleh PMBK.)

Namun begitu, kerana telah diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu, ia telah ditentang oleh sesetengah pihak yang berkepentingan dan diperalatkan Umno dalam persatuan peniaga sendiri.

Umno sangat bimbang dengan projek ini. Jika ia berjalan dengan baik habislah Umno. Ini kerana, menjadi titik sejarah kejatuhan Umno di Kelantan 1990 lalu adalah kerana kebangkitan peniaga kecil Kelantan menentang Umno.

Kerajaan negeri Kelantan melalui Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) ketika itu telah bertembung dengan para peniaga Melayu. Kemuncaknya adalah apabila Pasar Lambak yang terletak di depan bangunan Umno Kelantan telah dirobohkan dengan kekerasan.

Pasar Lambak dirobohkan kerana pemandangannya yang buruk yang mencacatkan majlis perasmian bangunan Umno Kelantan oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

Ekoran itulah, Umno tidak akan membiarkan Bazar Tok Guru berjalan lancar. Ada sahaja isu yang dibangkitkan sehingga Tuan Guru Nik Aziz amat sedih sekali mengingat isu ini.

Polis minta RM 13 000 ?

Polis Didakwa Minta RM13,000 Bebaskan Tahanan


PETALING JAYA 5 MEI: Kerakusan pihak polis dalam menggunakan Seksyen Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 diteruskan lagi dengan kes terbaru melibatkan dua remaja ditahan berhubung siasatan polis bagi kes curi motosikal.

Mohamad Ramadhan Mohmad Ali, 22 dan Mohamad Rafe, 20 yang ditahan di rumah mereka di Flet Selayang Mulia, Batu Caves sekitar pada jam 5 pagi pada 8 Mac 2011.

Manakala Mohamad Arif Abu Samah, 19, turut menjadi mangsa apabila ditahan di bawah ordinan yang sama pada hari tersebut.

Menurut ibu mangsa, Rani Rahmah,51, beliau mendakwa bahawa keluarganya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Inspektor Zulkifli dari balai polis Rawang.

Lelaki itu menuntut bayaran RM30,000 jika keluarga itu mahu menyaksikan adik beradik itu dibebaskan. Memandangkan mereka adalah keluarga golongan pertengahan dan tidak mampu jumlah berkenaan, kedua-dua pihak berunding dan jumlah berkenaan dikurangkan kepada RM13,000.

Abang mangsa, Mohar Mohd Ali beliau diperdaya untuk membuat bayaran ‘jaminan’ berjumlah RM 13,000 untuk membebaskan kedua adik lelakinya, Mohamad Ramadhan dan Mohd Rafe Ali.

Wang berkenaan kemudiannya dimasukkan ke akaun bernombor 1463 000 888 6525 bank CIMB cawangan Rawang yang dimiliki Ponnan Subramaniam, seperti yang diarahkan.

“Pada mulanya polis meminta wang jaminan sebanyak RM30,000 namun saya beritahu jumlah itu besar nilainya.

“Saya tidak tahu kita boleh tawar menawar dengan polis. Pada mulanya saya sangka ia adalah rasuah, tetapi lelaki itu mendakwa wang itu adalah untuk jaminan polis dan mesti dimasukkan ke dalam akaun.

“Dia memberitahu, jika mahu kedua adik saya dilepaskan, saya perlu membayar jaminan polis sebanyak RM 30,000,” kata Mohar ketika hadir dalam sidang media di pejabat pertubuhan Lawyers For Liberty (LFL) di Petaling Jaya tengahari tadi.

Dalam pada itu, menurut keluarga Mohamad Arif Abu Semah pihaknya juga turut mendakwa polis meminta RM15,000 bagi membebaskan beliau.

Mohamad Arif ditahan di rumahnya di Selayang pada 8 Mac 2011 pada jam 5.00 pagi setelah didatangi oleh tiga orang yang memperkenalkan dirinya sebagai polis daripada IPD Gombak kerana didakwa terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal.

Eskay sudah takut

Eskay Tukar Kenyataan Takut Dakwaan Qazaf



SHAH ALAM 5 MEI: Dalang video seks, Datuk Shazryl Eskay Abdullah mengangkat sumpah laknat yang menyalahi hukum syarak, semata-mata kerana khuatir dikenakan tuduhan Qazaf bersabit fitnah video lucah untuk mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kredibiliti Eskay semakin terhakis saban hari melalui kenyataan yang tidak konsisten seraya menimbulkan kesangsian di kalangan umat.

Berdepan dengan kredibilitinya yang semakin rapuh, Eskay menggunakan kitab suci al-Quran sebagai cara untuk menghalalkan fitnahnya itu di mata rakyat.

"Saya yakin ketidaktentuan kenyataan Eskay berkaitan Anwar dalam video ini tentunya ada kaitan dengan desakan keras daripada kelompok NGO dan rakyat beragama Islam yang meminta Eskay dikenakan tuduhan Qazaf," tambah belau.

"Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah Jawi perlu terus membuat tindakan susulan dan siasatan lanjut terhadap apa yang berlaku di masjid Sentul," kata beliau ketika dihubungi Tv Selangor sebentar tadi.

Setelah mempertontonkan video lucah 21 minit itu kepada wartawan pada 21 Mac lalu, Eskay semalam menafikan beliau menuduh Anwar berzina.

"Saya tidak pernah menuduh Anwar berzina. Bila saya tuduh dia berzina? Soal dia zina atau tidak berzina tidak ada kena mengena dengan saya, kata Eskay kepada pemberita selepas memberi kenyataan kepada Polis Kepong semalam.

Dalam membuat penafian itu, Eskay cuba meletakkan beban fitnah kononnya Anwar adalah pelaku dalam video itu di atas bahu wartawan.

Eskay berkata beliau menjemput wartawan terpilih untuk menonton video itu di Hotel Carcosa pada 21 Mac lalu kerana mahukan mereka membuat penilaian sama ada pelaku dalam rakaman itu adalah Anwar.

“Saya menghubungi wartawan untuk tanya sama ada orang dalam rakaman itu adalah Anwar, itu sahaja. Anda yang paling rapat dengan dia, selalu mewawancara dia,” kata Eskay kepada pemberita yang kelihatan tercegang dengan kenyataan beliau.

Eskay hadir ke Balai Polis Kepong semalam memberi kenyataan bersabit kekecohan yang berlaku di Masjid Amru Al-As, Sentul pada 29 April lalu.

Ditanya pemberita, Eskay tidak dapat menjelaskan kenapa jam Omega yang didakwanya dicuri oleh pelacur terbabit tidak ada dalam rakaman itu.

Eskay juga mengaku beliau muncul dalam video itu tetapi menafikan dakwaan bahawa beliau pembekal pelacur terbabit.

Shamsul berkata penafian Eskay menuduh Anwar semalam bercanggah dengan sumpah laknatnya Jumaat lalu serta kenyataan media yang dibuatnya pada 21 Mac lalu.

Shamsul mahukan Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) untuk menjalankan siasatan lanjut dan seterusnya mendakwa trio Datuk T di bawah Seksyen 41 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan bersabit Qazaf.

Jika didapati bersalah gandingan Datuk T - Eskay, Ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Perkasa Shuib Lazim boleh dikenakan tindakan tiga tahun penjara atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

"Ini semua adalah perangkap politik yang mana kita tahu ianya bertujuan untuk memerangkap Anwar dan bukan niat sebenar. Sebab itu kita kembali ke mahkamah Syariah minta mereka menjalankan pendakwaan mengikut Islam dan itu tindakan yang sepatutnya dilakukan,"katanya.

Rakyat masih sokong Pakatan

Nizar : Sokongan Rakyat Kekal Bersama PR


SHAH ALAM 5 MEI : Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menyangkal dakwaan beberapa pihak bahawa sokongan terhadap Pakatan Rakyat semakin pudar berikutan kajian pengurangan bilangan kerusi yang boleh dimenangi parti itu baru-baru ini.

Namun katanya, ekoran daripada tipu daya dan helah politik yang digunakan Umno-Barisan Nasional, ia sedikit sebanyak menggugat sokongan masyarakat Melayu yang mula keliru dengan corak pentadbiran Umno-BN yang meniru pentadbiran Pakatan Rakyat.

Cuma apa yang membezakan keduanya ialah Umno-BN giat menabur tohmahan dan memburukkan pentadbiran Pakatan Rakyat demi meraih undi masyarakat terutamanya yang tinggal di kawasan pedalaman.

" Isu pudar atau tidak itu tidak wujud tetapi ia mungkin hanya kepada sebahagian komuniti India dan Melayu oleh kerana beberapa sebab yang dibuat oleh Umno-BN.

" Untuk itu khususnya Umno, Zambry telah melaksanakan program-program kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa kemudahan-kemudahan termasuk meluluskan geran-geran tanah yang telah lama tertunggak dan sebagainya.

" Dan ini sebenarnya adalah usaha mereka dalam menyakinkan pengundi Melayu dan sebahagian pengundi India untuk menyakinkan rakyat, tetapi kalau kita tengok pengundi Cina kepudaran itu tidak wujud dan ini hanya dalam bentuk sementara sahaja.

Nizar berkata demikian ketika dihubungi Tv Selangor bagi mengulas laporan sentimen marah di kalangan rakyat berhubung tindakan Barisan Nasional (BN), yang didakwa merampas kerajaan negeri Perak awal 2009, kelihatan mula pudar dengan kajian terbaru menunjukkan bilangan kerusi yang boleh dimenangi Pakatan Rakyat merosot.

Menurut laporan itu lagi, bilangan kerusi boleh dikuasai Pakatan Rakyat jika pilihan raya diadakan sekarang hanya sekitar 33 berbanding 40 kerusi yang diramalkan sejurus selepas krisis politik Februari 2009.

Kajian pendapat umum yang dikendalikan Pakatan Rakyat sejurus selepas peristiwa Februari 2009 menunjukkan perikatan tiga parti itu boleh menyapu sehingga 40 kerusi ataupun majoriti dua pertiga daripada 59 kerusi di Dewan Undangan Negeri.

Pada pilihan raya umum 2008, Pakatan Rakyat memenangi 31 kerusi. Bagaimanapun tiga Adun masing-masing dua dari PKR dan seorang wakil rakyat DAP keluar parti menyebabkan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat tumbang.

Pada Jun lalu, Adun Malim Nawar Keshvinder Singh, juga meninggalkan DAP, untuk menjadi wakil rakyat mesra BN.

Justeru, BN mempunyai kekuatan 32 anggota berbanding 27 wakil PR.

Namun menurut Nizar, berdasarkan pemerhatiannya beliau yakin sokongan rakyat terhadap akan bertambah dari semasa ke semasa dengan usaha gigih gagasan itu.

" Pengundi Melayu yang memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat adalah mencecah 38 peratus , jadi usaha kami untuk mempertahankan sokongan pengundi melayu sebanyak 38 peratus dan kalau boleh kita naikkan sampai ke 40 peratus.

Tegas Nizar, Pakatan Rakyat kini tekad dalam usaha meningkatkan sokongan pengundinya berikutan tindakan terdesak Umno-BN di bawah pimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang kini sedang giat merencana pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi meraih undi masyarakat Melayu.

"Tetapi Umno-BN dengan usaha gigih mereka hari ini sampai Zambry terpaksa berkampung di tempat-tempat pedalaman dan juga program-program media massa mereka memberi tohmahan kepada PR menyebabkan sedikit sebanyak mempengaruhi pengundi Melayu di pedalaman.

" Jadi untuk itu PR cuba sedaya upaya mempertekadkan usaha bagi meningkatkan jumlah pengundi kaum cina khususnya dan orang asli supaya mereka bertambah menyokong PR pada PRU akan datang.

Menurut Nizar lagi,sokongan pengundi hari ini bukan sahaja dibantu oleh PAS bahkan dari DAP dan PKR.

Oleh itu, Pakatan Rakyat akan mengagihkan kekuatannya bagi usaha menawan 38 kawasan pedalaman yang dilihat mempunyai potensi yang besar.

" Untuk itu kita telah buat satu keputusan untuk memberikan fokus daripada pimpinan PAS, DAP dan PKR disemua peringkat khususnya di semua kawasan pedalaman yang mempunyai lebih 60% majoriti pengundi Melayu. Maka hari ini pimpinan Pakatan Rakyat memberikan fokus kepada 38 tempat kawasan pedalaman ini.

Tambah Nizar lagi, beliau yakin pada pilihan raya umum akan datang rakyat Perak akan bangkit selari dengan angin perubahan yang dibawa gagasan itu pada pilihan raya Sarawak lepas.

Ooo Rohaiza, Ooo Rozuki bersedialah kamu berdua

Rahaiza & Rozuki… naik turun mahkamah hangpa lepas ni

Oleh: Mujahidah (Wartawan Kedah La)

ALOR SETAR, 4 Mei 2011 – Berikutan penyamaran yang dilakukan individu-individu tertentu di majlis 'penyerahan borang keahlian UMNO' pada 30 April 2011 bertempat di Kuala Sungai, Alor Setar, Kedah baru-baru ini, satu laporan polis telah dibuat oleh Ketua Pemuda PAS Kuala Kedah, Sdr Azizi Abdullah.

Individu yang dimaksudkan ialah Ahmad Rozuki (510930-02-5563) yang telah menyamar dengan niat melakukan penipuan sebagai Ketua Cawangan PAS Lahar Buluh sedangkan beliau bukan ahli PAS dan cawangan terbabit juga tidak pernah wujud dalam PAS Kawasan Kuala Kedah.

“Tindakan beliau semata-mata bertujuan menipu, sedangkan beliau sendiri bukan ahli PAS dan cawangan Lahar Buluh tidak wujud dalam kawasan Kuala Kedah,” ujar Azizi.

Tambah Azizi lagi, dakwaan Rahaiza Abd Rahim (gambar) yang kononnya seorang ahli muslimat PAS cawangan Kuala Sungai juga merupakan satu pembohongan kerana cawangan tersebut juga tidak pernah wujud dalam kawasan Kuala Kedah.

“Beliau sendiri (Rahaiza) tidak pernah mendaftar sebagai ahli PAS, macamana dia boleh mengaku dia ahli muslimat PAS.

“Penyamaran tersebut bertujuan jahat dan semata-mata mengelirukan orang ramai,” tegasnya
.

Gaji Minima : Selangor sudah dapat, pusat tunggu PR perintah


Kerajaan Pusat perlu menunaikan tanggungjawab serta menunjukkan rasa hormat kepada golongan pekerja yang menyumbangkan sebahagian besar kepada pendapatan negara. Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata sudah sekian lama golongan pekerja di negara ini menanti agar kerajaan menggubal Akta Gaji Minima sebagaimana yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

"Sudah tiba masanya Kerajaan Pusat mempertingkatkan taraf pendapatan pekerja di negara ini dan tidak lagi berada pada takuk lama dalam memastikan pendapatan rakyat terus berada pada tahap yang sama semata-mata hendak mengejar kepentingan pembangunan ekonomi negara," ujarnya kepada Harakah sempena sambutan Hari Pekerja.

Tegasnya, kerajaan tidak seharusnya meneruskan sikap kerasnya dalam meluluskan akta tersebut sebaliknya memberikan tumpuan serius terhadap nasib pekerja yang kian terabai.

"Kerajaan perlu ada rasa hormat kepada pekerja seterusnya mempertingkatkan kira-kira 70 peratus pekeraja di negara ini dengan sasaran sekurang-kurangnya setiap orang mempunyai RM10 dalam poket mereka setiap hari. Kerajaan Selangor telah menetapkan gaji minima pada tahap RM1500 sejak dua tahun lalu - Kerajaan Pusat bila lagi?" soalnya.

Malah Xavier mencadangkan agar diadakan satu sesi perbincangan meja bulat agar akta tersebut menjadi realiti yakni dilaksanakan untuk kebaikan pekerja secara keseluruhannya. "Inilah perkara yang sedang dinanti-nantikan oleh rakyat selama ini," ujarnya lagi.

PAS Parit Buntar tunai impian pelajar OKU

PARIT BUNTAR - Lujnah Kebajikan PAS Parit Buntar menunaikan impian adik Anis Fariha Hasbullah 13, yang memerlukan sebuah kerusi roda bagi mengantikan kerusi rodanya yang uzur dan rosak. Anis Fariha pelajar OKU terpaksa menggunakan kerusi roda sejak kecil kerana tidak mampu berjalan.

Ibu beliau Aziah Mohamad Noh 37, berkata, beliau bersama suami telah membuat permohonan mendapatkan kerusi roda baru kepada beberapa pihak tapi gagal .


" Kerusi roda yang digunakan Anis sekarang sudah tidak sesuai kerana tubuh Anis yang semakin membesar sedangkan kerusi roda itu kecil.

" Syukurlah, ada rombongan muslimat PAS Parit Buntar yang datang menziarahi rumah kami dan berjanji akan membantu kami mendapatkan kerusi roda yang baru"katanya


Aziah mengucapkan terima kasih kepada PAS Parit Buntar yang segera membeli kerusi roda untuk kegunaan anak beliau.

Sementara itu, Pengerusi Lujnah Kebajikan PAS Parit Buntar Abdul Bahrain Desa memberitahu kerusi roda yang digunakan oleh adik Anis bukan kerusi roda biasa tetapi kerusi roda khas yang sesuai dengan tubuh beliau.


" Kami telah meninjau ke beberapa farmasi sehingga mendapatkan kerusi roda yang sesuai dengan adik Anis di sebuah farmasi di Buterworth.


" Harapan kami sumbangan kerusi roda ini akan memberi keselesaan kepada adik Anis untuk bergerak disamping membantu menyelesaikan masalah ibu bapanya yang telah membuat beberapa permohonan sebelum ini"

Bahrain ditemui semasa menyampaikan sumbangan kerusi roda berkenaan di rumah adik Anis di Parit Lebai Akir , Titi Serong . Turut serta ialah Pengerusi Lujnah Kebajikan Dewan Muslimat PAS Parit Buntar Hajah Arfah binti Haji Husin.