Najib dan Rosmah adalah antara 71 saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan kepada pihak pembelaan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Anwar membela dirinya atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Menurut peguam Anwar Sankara Nair, pihaknya telah menyenaraikan 25 daripada 71 saksi yang dicadang dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah.
"Kita serahkan senarai itu kepada pihak pendakwaan pada 16 Mei (apabila hakim memutuskan terdapat kes prima facie terhadap Anwar). Namun sepanjang tiga minggu lalu, mereka hanya dapat membekalkan lima saksi kepada kita.
"Mereka juga tidak dapat pastikan bila mereka boleh bawa perdana menteri dan isterinya,” kata Sankara kepada Malaysiakini.
Lima saksi yang telah disoal oleh peguam pembelaan adalah bekas olahragawati negara, Datuk Mumtaz Jaafar, yang Saiful menceritakan kejadian liwat itu; pegawai khas timbalan perdana menteri, Khairil Annas Jusoh, yang berjumpa dengan Saiful; Dr Mohd Osman Abdul Hamid, doktor pertama yang memeriksa dan merawat Saiful selepas mendakwa diliwat; seorang pegawai perubatan di Hospital Kuala Lumpur yang hanya dikenali sebagai 'Dr Daniel'; serta kakak Saiful, Saidati.
Anwar didakwa meliwat Saiful di kondominium Desa Damansara condominium antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Malaysiakini