Sunday, July 3, 2011

5 000 bukan 20 000 hadir majlis PM di Kelantan, itupun kebanyakannya kakitangan kerajaan yang dipaksa hadir

http://umno-online.com/wp-content/gallery/berita/img_8739.jpgKOTA BHARU, 3 Julai: Mampukah Perdana Menteri berbangga dengan kehadiran seperti didakwa media harian mencecah 20,000 orang di Pasir Puteh dan Machang semalam, sedangkan sebenarnya penjawat awam dipaksa hadir?

Buktinya semua kakitangan pusat dan guru-guru diberi kad jemputan supaya hadir pada majlis bersama rakyat di Sekolah Kebangsaan Sri Aman. Dan kad jemputan tersebut perlu diserah semula sebagai rekod kehadiran.

Ramai ketika ditemui merungut kerana mereka dipaksa seperti budak-budak. Taktik serupa pernah digunakan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melawat Kelantan, sekarang diulang semula Datuk Seri Najib Razak.

Begitu juga program di Machang dikerah semua pelajar UiTM kampus Machang dan kakitangan awam pusat hadir pada program majlis pemimpin bersama rakyat.

Pada majlis makan malam di Wisma Persekutuan pula Umno mengerahkan semua kakitangan pusat dan guru-guru yang tinggal di sekitar Kota Bharu hadir.

Jabatan kerajaan mewajibkan kakitangan yang disenarai hadir, di mana mereka juga perlu menandatangani kedatangan. Ada jabatan mengerahkan sehingga 70 kakitangan hadir. Ada juga jabatan mewajibkan sekurang-kurangnya 10 orang wakil.

Imam masjid, peniaga dan pemimpin badan bukan kerajaan juga menerima surat jemputan hadir pada program berkenaan.

Wisma Persekutuan yang menempatkan semua jabatan dan agensi kerajaan pusat seolah-olah menjadi markas Umno kerana dihiasi bendera BN.

Biar pun ramai dikerah hadir pada program di Sekolah Kebangsaan Sri Aman di Pasir Puteh, namun ramai pulang selepas menyerahkan kad jemputan kepada pihak urusetia.

“Saya lihat ramai pulang biar pun Perdana Menteri belum sampai. Ada yang datang ke program itu seawal jam 7 pagi.

“Ketika rombongan Datuk Seri Najib Razak sampai orang ramai yang sudah berbondong-bondong keluar dari pagar sekolah,” dakwa seorang penduduk.

Seorang bekas anggota keselamatan pula memberitahu kenyataan Perdana Menteri kononnya keluarga kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menyertai Umno di majlis itu tidak lebih sebagai gimik politik.

Katanya, orang ramai di Pasir Puteh kenal siapa Raja Abdullah Raja Mahmud yang didakwa mempunyai hubungan keluarga dengan Menteri Besar Kelantan.

“Orang itu bekas tentera dan sekarang berniaga di pasar malam. Dia mahu mengaibkan keluarga Tok Guru Nik Abdul Aziz untuk mempopularkan dirinya,” kata beliau.

Adun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, Raja Abdullah dan Saidi Hussin sudah beberapa kali mengisytihar menyertai Umno termasuk di Jertih, Terengganu.

Katanya, mereka bukan ahli PAS, sebaliknya sebagai penyokong dari jauh dan pernah menyokong Semangat 46.

”PAS Pasir Puteh kesal kerana dia cuba mengaitkan nama Tok Guru Nik Aziz. Saya percaya kalau ada menteri lain datang dia sekali lagi akan berada di pentas bagi mengisytiharkan keluar PAS,” katanya.

Sekitar 5,000 hadir

Kata beliau juga kehadiran pada program Perdana Menteri tidak sampai 5,000 orang biar pun media harian yang dekat dengan Umno mendakwa 20,000 orang.

Ketika lawatan di Pasir Puteh juga Perdana Menteri mengunjungi stesen kereta sewa.

Najib dalam ucapannya di situ mendakwa kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) mahu menjual tapak perhentian teksi di Pasar Lama Pasir Puteh setelah lebih 20 tahun beroperasi.

Beliau juga berjanji menyediakan pejabat baru kepada Persatuan Pemandu Teksi Pasir Puteh. Hadir sama di majlis itu Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Mengulas isu tersebut anggota Exco kerajaan ngeri, Datuk Husam Musa berkata, kenyataan Perdana Menteri tersebut tidak berasas sama sekali.

Katanya, PKINK tidak pernah menjual tapak berkenaan, bahkan disediakan percuma untuk perkhidmatan teksi di Pasir Puteh.

”Walaupun sebelum ini PKINK mengenakan sedikit bayaran tetapi kini bagi tujuan kebajikan ahli persatuan tersebut PKINK tidak mengenakan sebarang bayaran.

”Apa yang berlaku pernah ada pihak memohon membeli tapak berkenaan untuk dimajukan tetapi permohonan tersebut ditolak PKINK,” katanya di sini.

Husam yang juga Naib Presiden PAS berkata, sepatutnya sebagai seorang pemimpin negara, Perdana Menteri patut malu apabila orang ramai yang dikatakan hadir meraikan kedatangannya sebenar dipaksa hadir sehingga perlu menandatangani kedatangan.

”Amat malang lawatan yang penting itu hanya dimeriahkan kerahan secara paksa pelajar sekolah dan kakitangan kerajaan.

”Buktinya semuanya dibekalkan baju merah terlebih dahulu. Ramai menerima kad jemputan lebih awal supaya hadir di majlis tersebut,” ujarnya.

Menurutnya lebih menggelikan hati apabila bangunan kerajaan di Wisma Persekutuan dipenuhi bendera Umno dan BN.

Kata beliau ternyata kedatangan Perdana Menteri telah mencemarkan lagi konsep pemisahan antara parti dan kerajaan.

Rakyat ingin pilihanraya bersih dan bebas

http://i31.photobucket.com/albums/c368/paspb/Image029-2.jpg?t=1303052499PARIT BUNTAR, 4 Julai : PAS Parit Buntar menyifatkan lapan tuntutan Bersih adalah sangat munasabah kerana telah lama dilaksanakan di negara lain.

Ketua Penerangannya Fakhrurrazi Haji Khalid berkata, tuntutan itu merupakan kehendak rakyat yang inginkan suasana pilihan raya berada dalam bersih dan bebas.

“ Kerana ketiadaan lapan perkara itulah maka Bersih terpaksa menganjurkan himpunan 9 Julai ini.

“ Kenapa susah sangat untuk SPR laksanakan semua tuntutan kerana ia paling mudah dilakukan” katanya
menyokong kenyataan Dewan Pemuda PAS Selangor baru-baru ini.

Fakhrurrazi berkata, pihak terbabit mempunyai agenda tersendiri yang menyebabkan mereka tidak berani dan gagal memahami kehendak rakyat yang ingin suasana bersih di dalam pilihan raya.

“ Himpunan Bersih yang digerakkan berbagai NGO akan diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai dalam usaha menyerahkan lapan tuntutan kepada Istana Negara.

“ Lapan tuntutan itu adalah Bersihkan senarai undi, Mereformasikan undi pos, Gunakan dakwat kekal, Masa kempen minima 21 hari, Akses media yang bebas dan adil, Kukuhkan institusi awam, Hentikan rasuah dan Hentikan politik kotor” katanya

Menurutnya, pihak penganjur memberi jaminan tentang keselamatan dan peserta himpunan sama sekali tidak akan membawa sebarang jenis senjata.

“ Hanya Menteri yang menuduh himpunan Bersih haram sedangkan mahkamah tidak pernah menyatakan haram. Kerajaan BN menghalang satu himpunan aman yang jelas dibenarkan oleh perlembagaan.

"Jika kerajaan tidak izinkan Bersih ini, kenapa pula perlembagaan dengan jelas membenarkannya?”katanya

Tambahnya, halangan sebegini juga adalah antara sebab rakyat hendak berhimpun sangat pada 9 Julai ini.

"Apatah lagi bagi umat Islam, himpunan seumpama ini sangat digalakkan selagi mana ia diadakaan dalam keadaan aman seperti ibadat haji di Makkah," tegasnya.

Titah Agung: PAS mesyuarat khas tengahari ini

KUALA LUMPUR, 4 Julai: Lajnah Politik PAS iaitu lajnah atau biro paling berkuasa dalam PAS akan mengadakan mesyuarat khas tengahari ini bagi membincangkan titah Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin (gambar) yang dikeluarkan lewat petang semalam.

Menurut Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub, beliau telah berbincang dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sebaik sahaja mengetahui titah itu lewat petang semalam.

Datuk Mustafa pula difahamkan telah menemui Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang malam tadi bagi membincangkan isu yang sama di samping lain-lain hal parti.

Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan rakyat secara adil dan bijaksana serta menyelesaikan masalah dengan rundingan.

Titah ini dikeluarkan baginda enam hari menjelang perhimpunan Bersih 9 Julai ini dengan kira-kira 100 orang sudah ditangkap kerana dikaitkan dengan perhimpunan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara pula telah mengeluarkan kenyataan pintu rundingan sudah ditutup dan akan menahan pihak yang terlibat dengan perhimpunan ini.

Menurut Tuanku Mizan, baginda mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

"Saya rasa sidang media akan diadakan selepas itu bagi menyatakan pendirian PAS berkaitan dengan isu ini," kata Salahudin kepada Harakahdaily.

Mesyuarat akan diadakan jam 11 pagi manakala sidang media dijangka akan diadakan kira-kira jam 12.30 tengahari.

Taat pertintah Agung dengan PM temui Bersih

KUALA LUMPUR, 4 Julai: DAP menyambut baik keperihatinan Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin tentang perhimpunan Bersih dan meminta Perdana Menteri agar bertemu segera dengan penganjur Bersih 2.0.

Pertemuan ini perlu untuk menguruskan segera keprihatinan rakyat untuk mendapatkan pilihan raya yang bersih dan adil menjelang pilihan raya umum ke 13.

Langkah seterusnya adalah dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein menarik balik pengharaman Bersih dan membebaskan semua tahanan yang berkaitan dengannya termasuk anggota Parlimen Sungai Siput, Dr. Michael Jayakumar.

Demikian kata ketua anggota Parlimen DAP, Lim Kit Siang (gambar) ketika mengulas titah Yang Dipertuan Agung berkaitan Bersih 2.0 hari ini.

Kenyataan ini adalah yang pertama dari pemimpin kanan parti politik Pakatan Rakyat ekoran titah Yang Dipertuan Agung yang dikeluarkan lewat petang semalam itu.

Dalam titah itu, Yang Dipertuan Agung menitahkan kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan rakyat secara adil dan bijaksana serta menyelesaikan masalah dengan rundingan.

Titah ini dikeluarkan baginda seminggu menjelang perhimpunan Bersih 9 Julai ini dengan kira-kira 100 orang sudah ditangkap kerana dikaitkan dengan perhimpunan itu.

Polis pula telah mengeluarkan kenyataan pintu rundingan sudah ditutup dan akan menahan pihak yang terlibat dengan perhimpunan ini.

Menurut Tuanku Mizan, baginda mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

"Keperhatinan Yang Dipertuan Agung tentang 'kegilaan' yang memuncak ekoran cadangan perhimpunan aman untuk pilihan raya yang bersih dan adil anjuran Bersih 2.0 9 Julai sangat tepat dan dialu-alukan," kata Lim Kit Siang dalam kenyataan itu.

"Jangan ragukan sikap petriotik dan taat setia rakyat Malaysia yang mahu melihat pilihan raya umum yang bebas dan adil iaitu bentuk tertinggi kecintaan, ketaatan dan petriotik kepada Malaysia," katanya.

Sebagai langkah positif yang pertama terhadap titah Yang Dipertuan Agung itu, Perdana Menteri perlu menemui pimpinan Bersih 2.0 segera, tegas beliau.

Najib gagal kawal amarah rakyat, Muhyiddin intai peluang ganti Najib

http://goblog101.files.wordpress.com/2008/07/muhyiddin-yasin2.jpgPASIR MAS, 3 Julai: Hanya 26 bulan berada di kedudukan nombor satu, Datuk Seri Najib Razak kini berdepan dengan masalah dalaman Umno yang dikatakan semakin kronik.

Dua tahun pertama kepemimpinannya sudah menjelaskan watak sebenar. Maka tidak hairanlah ramai melihat kegagalannya itu memberi nafas baru buat Tan Sri Muhyiddin Yassin mengintai kedudukan lebih selesa.

Muhyiddin dikatakan memerhati kegawatan politik yang berlaku sekarang. Peluangnya mendaki satu lagi tangga semakin cerah.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendakwa pemimpin yang paling gembira sekarang ialah Muhyiddin kerana Najib sedang berdepan dengan suasana kritikal.

Katanya, kemunculan begitu banyak badan bukan kerajaan bagi membela Umno berkaitan isu 9 Julai sebenarnya lebih banyak mencalar nama Perdana Menteri.

”NGO-NGO terbabit sudah merosakkan nama Najib. Mereka secara terbuka menyatakan mahu mewujudkan suasana tegang sehingga Perdana Menteri tidak mampu lagi mengawalnya.

”NGO tersebut berada di hadapan Muhyiddin bagi mencalar imej Perdana Menteri. Muhyiddin perlu merebut peluang sekarang kerana tidak ada masa lagi. Beliau lebih berumur berbanding Najib.

”Sekarang hanya kelihatan Datuk Seri Hishamuddin Hussin sahaja yang beriya-iya mempertahankan Najib,” katanya pada ceramah pemimpin bersama rakyat di sini malam tadi.

Hadir sama Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden, Datuk Husam Musa, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Perhubungan PAS, Zulkeli Mamat.

Ketua Penerangan, Dr Muhammad Fadzli Hassan, Timbalan Speaker, Mohd Zaki Ibrahim, Yang Dipertua PAS Pasir Mas, Hanifa Ahmad dan wakil-wakil rakyat.

Orang ramai tetap memenuhi ruang padang mini stadium biar pun hujan agak lebat.

Mahfuz yang juga anggota parlimen Pokok Sena mendakwa Muhyiddin membiarkan Najib keseorangan menyelesaikan isu yang dianggap boleh mencetus ketegangan sekarang.

Katanya juga ketika Bersih 2007 diadakan tiada ketegangan berlaku kerana pada masa itu masalah dalaman Umno tidak ketara seperti sekarang.

Mohamad pula berkata, empat tuntutan Bersih 2007 belum lagi ditunai kerajaan sehingga sekarang.

Tuntutan tersebut iaitu menggunakan dakwat kekal, daftar pengundi secara automatik, menghapus undi pos dan peranan media harian lebih seimbang.

”Sudah lima tahun tuntutan itu dibuat namun sehingga sekarang Suruhanjaya Pilihan Raya dan kerajaan gagal menunainya sehingga menyebabkan muncul Bersih 2.0,” katanya.

Menurutnya juga kemaraan Pakatan Rakyat untuk melangkah ke Putrajaya begitu dibimbangi Perdana Menteri sehingga beliau mengajak anak muda mempertahankan pusat pentadbiran kerajaan itu.

Beliau juga meluah rasa bimbang rampasan baju T, Bersih 2.0 yang dibuat polis sekarang kemungkinan disalah guna pihak lain bagi menimbulkan ketegangan 9 Julai ini.

Husam berkata, dua tahun lalu pemimpin Umno begitu takut dengan baju hitam dan sebelum itu bimbang dengan warna merah.

Namun sekarang pemimpin Umno benar-benar rimas dengan warna kuning.

Beliau juga menjangka 9 Julai ini menjadi detik penting yang mampu menarik perhatian dunia terhadap apa akan berlaku di Malaysia.

Najib kemaruk tawan Kelantan

http://hornbillunleashed.files.wordpress.com/2009/05/najib2.jpgKUALA LUMPUR, 3 Julai: AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak nampaknya kemaruk untuk menawan Kelantan yang diperintah oleh PAS sejak 21 tahun yang lalu.

Ketika berucap di Machang, Najib yang juga Presiden Umno dengan penuh semangat meminta rakyat Kelantan perlu berubah untuk memilih BN dalam pilihan raya akan datang.

Beliau juga berjanji untuk mendirikan stadium baru jika BN berjaya menawan Kelantan dengan memperlekehkan scoreboard stadium yang masih menggunakan manual, kerana tidak kemampuan pemimpin PAS.

“Sebelum beliau hendak menawan Kelantan, tolong perhati dulu negeri-negeri yang Umno perintah termasuk negeri Pahang,” kata Idris kepada Harakahdaily.

Katanya, Kelantan walaupun diperintah oleh PAS tidaklah sampai mengemis untuk membayar gaji kakitangan dan melaksanakan negeri berkebajikan seperti skim kifalah, bantuan makanan kepada orang miskin dan terbaru bantuan perkahwinan.

Belau berkata, jika Umno menawan Kelantan semua skim itu akan dikuburkan, seperti di Terengganu.

“PAS menghapuskan cukai pintu kediaman, selepas Umno menang cukai pintu dikenakan kembali,” ujarnya.

Menurutnya, dalam keadaan Kelantan dinafikan hak mendapat royalti minyak dan hak pendaratan minyak Kelantan terus membangun dengan pesat dari segi spiritual dan material.

“Maklumlah negeri Kelantan seolah-olah berada di planet lain, sehingga hak mendarat minyak dinaikkan ke Songkla Siam yang jauh 270 kilometer, berbanding dengan Kelantan hanya 150 kilometer sahaja.

“Inilah demokrasi ala 1Malaysia,” katanya lagi.

Baginya, walaupun scoreboard di stadium Kelantan menggunakan manual, stadium tidak runtuh.

“Kita bimbang jika stadium yang Datuk Seri Najib hendak bina, runtuh pula seperti stadium Terengganu yang berharga RM291 juta.

“Ia hanya sempat ‘bernyawa’ setahun sahaja, seolah-olah binaan stadium diikat dengan tali pisang,” ujarnya.

"Yang menangkap (polis) orang ,yang kena tangkap pun orang. Semuanya akan menghadap Allah,"-Tuan Guru Nik Aziz

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menolak tuduhan dan anggapan beliau sengaja melarikan diri dengan mengerjakan umrah untuk mengelak dari menyertai himpunan Bersih 9 Julai ini.

Bercakap di Madinah yang disiarkan menerusi Youtube beliau berkata tuduhan itu tidak tepat dan tidak betul.

Kata Nik Aziz, tidak timbul beliau melarikan diri kerana beliau sudah menegaskan himpunan Bersih itu halal dan perlu disertai oleh orang ramai untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil di negara ini.

"Himpunan itu atau demostrasi itu sama dengan kita berjemaah dalam melalukan ibadat," katanya.

Baginya himpunan untuk menuntut supaya pilihan raya diadakan dengan adil sangat perlu kerana keadilan itu tidak pernah dirasai sendiri oleh beliau.

"Setiap kali saya serta pilihan raya, saya tidak merasakan ia adil, tetapi selalu berat sebelah," katanya.

Dengan penjelasan itu tidak timbul kalau Menteri Besar Kelantan itu sengaja melarikan diri bagi mengelakkan daripada menghadiri himpunan terbesar tahun ini.

Beliau sekali lagi menyeru supaya orang ramai menghadirinya tanpa merasa takut dan gerun kepada polis.

"Yang menangkap (polis) orang yang kena tangkap pun orang. Semuanya akan menghadap Allah," tegasnya.

Apa yang hendak disampaikan bahawa tindakan polis itu bukan sesuatu yang perlu ditakut dan menjadi halangan kerana semua pihak ada tanggungjawab dan tugas masing-masing dan akan berhadapan dengan Allah s.w.t.

Sama ada apakah polis benar atau orang ramai salah kerana menghadiri himpunan itu Allah yang akan menentukan.

Sebelum ini saya mendapat tahu beliau dan setengah rombongannya akan pulang pada 10 Julai sehari selepas himpunan Bersih.

Apakah dengan kenyataan itu Tok Guru akan mempercepatkan pemulangannya bagi membolehkan beliau bersama dalam himpunan yang kini dalam keadaan krtikal itu?

Pilihanraya bersih di Thailand : Pembangkang bakal teraju tampuk pemerintahan


BANGKOK 4 JULAI : Parti pembangkang Pheu Thai memenangi pilihan raya umum Thailand dengan majoriti tipis — meraih 264 dari sejumlah 500 kerusi parlimen yang dipertandingkan.

Tinjauan pendapat awal meramalkan parti pimpinan Yingluck Shinawatra, adik bekas perdana menteri yang digulingkan, Thaksin menuju kemenangan besar dengan lebih 300 kerusi.

Menurut keputusan tidak rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand bekas parti memerintah Demokrat, hanya mendapat 160 kerusi

Bernama online melaporkan, Pheu Thai meraih tambahan 78 kerusi sementara Demokrat kehilangan 12 kerusi berbanding kedudukan sebelum pembubaran Parlimen.

Kali ini Bhumjaithai merangkul 34 kerusi, Chart Thai Pattana 19 kerusi sementara parti-parti kecil seperti Palong Chan dan Chart Pattana Puea Pandin masing-masing tujuh kerusi.

Rak Thailand memenangi empat kerusi, Matubhum dua dan masing-masing satu kerusi bagi parti Mahachon, Demokrat Baru dan Rak Santi.

Jumlah tidak rasmi keluar mengundi ialah 65.99 peratus dengan 30,987,801 pengundi membuang undi dari sejumlah 47.3 juta pengundi yang layak.

Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai tempoh hingga 2 Ogos untuk mengesahkan keputusan.

PAS akan mengadap Seri Paduka Yang DiPertuan Agung

http://ridzuan1706.files.wordpress.com/2008/12/mat-sabu1.jpg?w=227&h=223KUALA TERENGGANU - PAS mengambil keputusan untuk mengadap Seri Paduka Yang DiPertuan Agung bagi mempersembahkan hasrat rakyat berhubung tuntutan BERSIH bagi membaik pulih demokrasi dan sistem pilihanraya negara ini.

Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya dihadapan puluhan ribu hadirin dalam ceramah umum 'PAS Ganti Umno' (PGU) yang diadakan di Ladang dekat sini, semalam 3 Julai.

"Hadirin sekelian, sekarang kita dengar hasutan itu, hasutan ini, keadaan kita tengok sini kena tangkap, sana kena tangkap,

"maka kami (PAS Pusat) memutuskan telah hantar berita awal, iaitu (Dato' Seri) Tuan Guru Abdul Hadi Awang, saya, Dr. Syed Azman (dan) mungkin dicadang beberapa orang (pemimpin) akan mengadap Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung (SPBYDPA),"ujarnya disambut dengan laungan takbir oleh para hadirin.

Menurutnya, rombongan dari PAS itu akan mengadap dalam masa yang terdekat.

Beliau berkata, pandangan SPBYDPA, sebagaimana titah baginda yang dikeluarkan pada hari ini adalah amat baik.

"(Baginda) minta jaga ketenteraman awam, menjaga keselamatan rakyat, dan jangan menimbulkan sebarang kerosakkan harta benda dan keamanan,

"inilah Raja Berperlembagaan, yang betul-betul menjadi orang tengah dalam menyelesaikan kemelut yang ada sekarang ini,"jelasnya.

Katanya, permohonan awal dari PAS telah pun dihantar kepada pihak SPBYDPA dan maklum balas akan diketahui samada esok atau lusa.

Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengeluarkan titah baginda setelah berlaku penangkapan beramai-ramai rakyat yang dilakukan oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional berkait dengan perhimpunan BERSIH 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai depan.

Berikut adalah teks titah penuh baginda yang dikeluarkan semalam 3 Julai.

TEKS PENUH TITAH YANG DIPERTUAN AGUNG

Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".

Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara.

Sebelum itu, Haji Mohamad Sabu telah menghuraikan satu persatu tuntutan lapan perkara BERSIH 2.0 sebagaimana dibawah;

Lapan tuntutan dikemukakan untuk tujuan tersebut iaitu:-

Tuntutan Segera Perhimpunan BERSIH 2.0

1. Bersihkan senarai undi

• Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal.

• Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.

2. Mereformasikan undi pos

• SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.

• Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.

• Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.

3. Gunakan dakwat kekal

• Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.

4. Masa kempen minima 21 hari

• Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.

• Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.

5. Akses media yang bebas dan adil

• RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.

• Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.

• Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.

6. Kukuhkan institusi awam

Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.
Contohnya :

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.

Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.

Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa.

Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

7. Hentikan rasuah

Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.

Pembelian undi harus dihentikan!

Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan.

8. Hentikan politik kotor

BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor.

Turut hadir dan menyampaikan ucapan dalam ceramah mega diatas adalah YAB Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang, Haji Mohd Abdul Wahid Endut, Pesuruhjaya PAS Terengganu serta Azan Ismail, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Terengganu.

Semua Dewan Harian Badan Perhubungan PAS Terengganu juga turut bersama.

Agong titah berunding, kerajaan kena laksanakan amanah kepada rakyat secara adil

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEijO6PLFlIQY9BrNbmRnzs_CUJICRF_KdoP2WsJGaYLMju-KK45a3uBKlxrtlE_Q3rGQUoRv69WdWhxTAUHxk2a0MfuKR0Rar23wBFIxMGh5zKmKtTNsyLSxUs4aezEzNqoHHYmAUzqjzU/s400/agongg.jpgKUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Istana Negara mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai.

Berikut adalah teks penuh Titah Khas tersebut:


Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.


Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.


Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".

Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara.

-- BERNAMA

Dakwat kekal ditakuti UMNO kerana tiada peluang menipu

Misteri dakwat kekal: Siapa bohong... SPR atau kabinet?
Ahmad Tajdid

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi6ZGq4WLz7vK08ZzzoG1UheZBG7B1qrpheW57XrpWr4wONJ1urJ1O6-6xc80XQ0coyocIm16mbDHFssiTDJDh6tWiyOO889OyJ3VZiyw5-aOZz0XNfBESdtGbsr1pEUqBbXJwAHFxUpmw/s400/dakwat+kekal.jpgSALAH satu daripada lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah penggunaan dakwat kekal kepada mereka yang telah membuang undi. Tuntutan penggunaan dakwat kekal ini telah disuarakan oleh Bersih bagi tujuan menghalang pengundian dua kali. Amalan ini telah dipraktikkan oleh beberapa negara termasuk India, negara pengamal demokrasi terbesar dunia.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada awalnya bersetuju dengan penggunaan dakwat kekal ini. Malah kerajaan BN yang menang selesa pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 turut mempersetujuinya. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Abdul Raman Suliman dalam jawapannya di Dewan Rakyat pada 5 September 2007 berkata, keputusan untuk menggunakan tanda dakwat di kuku atau jari tangan pada PRU ke-12 (8 Mac 2008) bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap ketelusan SPR dalam mengendalikan pilihan raya.

"Kita mahu rakyat percaya 100 peratus bahawa proses demokrasi sememangnya dilaksanakan di negara ini. Atas sebab itu, SPR menggunakan dakwat supaya tidak ada tuduhan di buat ke atas suruhanjaya itu walaupun memang tiada sebarang (asas) pun," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ronald Kiandee (BN-Beluran) pada sesi soal jawab Dewan Rakyat.

Menjawab soalan asal Dato' Dr. Tan Kee Kwong (BN-Segambut), beliau berkata, SPR akan melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada PRU ke-12.

"Ini bermakna setiap pemilih akan dicalitkan dengan dakwat kekal di atas jari telunjuk tangan sebelah kiri sebelum diberikan kertas undi setelah namanya disahkan terdapat dalam daftar pemilih SPR yang digunakan untuk pilihan raya umum akan datang," katanya.

Bagaimanapun janji SPR dan kerajaan BN itu tidak kesampaian kerana hanya 4 hari sebelum PRU ke-12 yang berlangsung pada 8 Mac 2008, negara dikejutkan dengan sidang akhbar bersama Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail.

Pada sidang media itu, Abdul Rashid mengumumkan keputusan SPR membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal itu kerana kononnya terdapat pihak tertentu dari Malaysia telah membeli dakwat itu dari luar negara dan merancang untuk mencalitkannya pada kuku pengundi di luar bandar bagi menimbulkan syak wasangka mengenai status mereka.

Malah menurutnya lagi, beberapa individu telah ditahan kerana disyaki membawa masuk dakwat kekal tersebut bagi mensabotaj perjalanan pilihan raya.

Bagaimanapun tindakan SPR itu tidak disenangi anggota komponen BN khususnya Gerakan. Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon pada 5 Mac 2008 berkata, tindakan SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal sedikit sebanyak menjejaskan tanggapan baik pengundi terhadap kerajaan.

Menurutnya, walaupun SPR sebuah badan bebas, namun segala yang diputuskan oleh suruhanjaya itu sering disalah anggap sebagai keputusan kerajaan BN.

"Justeru tindakan (terbaru) ini juga akan dilihat sebagai kelemahan kerajaan sedangkan keputusan itu dilakukan oleh SPR," katanya kepada pemberita.

MCA turut menyatakan rasa kesal dan mempersoalkan keputusan SPR membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal pada saat-saat akhir sebelum hari pengundian.

Pengerusi Bilik Gerakan Pilihan Raya MCA Pusat, Wong See Wah berkata, SPR seharusnya mengkaji penggunaan dakwat berkenaan sebelum melaksanakannya dan bukan membatalkan cadangan pada saat-saat akhir.

"Kami juga marah dengan tindakan sesetengah pihak yang terlibat dalam penyeludupan dakwat kekal dengan niat untuk menimbulkan kekeliruan dan syak wasangka mengenai status pengundi,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun sehari kemudiannya, komen-komen menyokong tindakan SPR itu mula dilaporkan media pro-BN guna mempengaruhi pendapat umum.

Rencana Pengarang Utusan Malaysia pada 6 Mac walaupun menyifatkan tindakan itu sebagai 'satu kejutan' tetap memberikan sokongan kepada SPR yang disifatkan "telah mengambil keputusan yang betul" dan "berani mengambil tindakan tidak popular demi menegakkan keadilan".

Akhbar milik Umno itu yakin dengan penjelasan SPR dan polis kononnya ada rancangan pihak terbabit hendak mencalit dakwat kekal pada kuku pengundi di kawasan luar bandar.

"Bayangkan jika SPR memandang ringan perkara ini. Bagaimana jika pihak tertentu itu berjaya memperdaya dan mencalit dakwat pada kuku pengundi berdaftar di kawasan luar bandar itu adalah pengundi yang berhasrat mengundi BN.

"Bagaimana dia hendak dibenarkan masuk ke pusat mengundi jika kukunya sudah dicalit dakwat. Sudah tentu dia tidak dibenarkan mengundi.

"Kekecohan tentu berlaku dan keselamatan pengundi dan penyokong parti-parti politik tidak terjamin. Perkara yang sama juga tentu tidak digemari oleh parti pembangkang jika perbuatan sabotaj ini terkena kepada pengundi yang mahu menyokong mereka," akhbar itu berhujah.

Sentimen sama dikongsi Najib Razak yang ketika itu menjawat Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.

Sambil menyifatkan tindakan SPR itu sebagai tepat, Najib menegaskan dakwaan kononnya mungkin berlaku unsur sabotaj untuk menimbulkan kekecohan pada hari mengundi.

Menurutnya, ada pihak boleh mempengaruhi sesetengah pengundi untuk menggunakan dakwat yang sama pada kuku jari sehingga menyebabkan mereka tidak layak mengundi.

"Kalau tidak layak mengundi, kita telah menafikan hak mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan dan akan timbul banyak kekecohan dan ketegangan pada hari mengundi.

"Jadi tindakan SPR ini merupakan satu langkah yang amat tepat,” kata Najib selepas menghadiri majlis peneroka bersama pemimpin dan pelancaran Hotel Felda Residence di Kuala Terengganu pada 5 Mac 2008.

Setiausaha Agung Umno, Radzi Sheikh Ahmad pula menyifatkan penggunaan dakwat kekal akan mewujudkan banyak masalah apabila para pengundi menolak peraturan baru tersebut pada hari pembuangan undi.

"Mengikut peraturan yang dicadangkan oleh SPR, seseorang pengundi diberi pilihan sama ada mencalit dakwat di kuku dan jika tidak mahu, mereka perlu menandatangani borang yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, pengundi juga berhak menolak untuk tidak menandatangani borang itu dan akhirnya kertas undi diberi juga. Inilah yang mengelirukan orang," katanya.

Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin Hussein turut melihat keputusan SPR itu sebagai munasabah.

"SPR merupakan satu badan bebas. Sekiranya tindakan ini dapat menghalang kemunculan dakwat yang mencurigakan dan boleh menggugat ketelusan pilihan raya, maka kami Pemuda tidak ada masalah dengan keputusan itu," katanya dipetik Utusan Malaysia.

Ketua Penerangan Umno, Muhammad Muhd. Taib pula percaya SPR bertindak demikian selepas menyedari terdapat cubaan untuk menggagalkan pelaksanaannya semasa proses pengundian.

"Apa yang membimbangkan, sekiranya dilaksanakan juga sedangkan semua dakwat yang telah dibeli dari luar negara itu sudah diedarkan serta digunakan, ia boleh mencetuskan kekacauan pada hari pengundian kelak," ujarnya.

Manakala Ketua Puteri Umno, Noraini Ahmad turut menyambut baik keputusan SPR itu kerana bimbang berlaku penipuan sekiranya cadangan itu diteruskan.

Setiausaha Kerja Umno, Husainay Hashim pula dilaporkan berkata, pembatalan cadangan penggunaan dakwat kuku tidak perlu dipertikaikan kerana dibuat demi menjamin kelancaran proses pengundian.

Ketua Biro Undang-Undang Wanita Umno, Kamelia Ibrahim berkata, dakwat itu digunakan sebagai ‘senjata’ oleh pihak tertentu untuk menghalang pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo berpendapat, proses pembuangan undi sebelum ini lebih sesuai digunakan daripada menggunakan tanda dakwat kekal di kuku.

"Lebih baik kita mengadakan pilihan raya seperti biasa jika penggunaan dakwat ini bakal menimbulkan masalah dan 'mengancam keselamatan negara'," katanya mengulangi kata-kata hikmat pemimpin Umno dan BN.

Akhirnya Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi meminta semua pihak akur dengan keputusan SPR yang membatalkan penggunaan dakwat kekal kerana ia dibuat bagi melancarkan proses pilihan raya umum.

Menurutnya, langkah SPR itu bukanlah satu penipuan seperti yang didakwa oleh pembangkang.

"Ini bukan kali kedua atau ketiga kita terlibat dalam pilihan raya tetapi dah masuk 12 kali. Kemenangan kita dalam pilihan raya adalah berdasarkan kepada kerja kuat, kepercayaan rakyat dan bukan kerana kita menipu," katanya penuh yakin.

Begitulah bersemangatnya para pemimpin Umno mempertahankan langkah SPR dan sekali lagi faktor 'keselamatan negara' dijadikan hujah untuk menyokong sikap 'flip-flop' SPR itu.

Bagaimanapun cerita sebenar pembatalan penggunaan dakwat kekal itu didedahkan sendiri Ab. Rashid ketika merasmikan "Seminar Kebangsaan Pilihan Raya 2008: Demokrasi Berjalan" anjuran Unit Kajian Penyelidikan Pilihan Raya, Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) pada 17 Mei 2008, kira-kira dua bulan selepas PRU12 berlangsung.

Ketika menjawab soalan Ketua Editor Malaysiakini, Steven Gan, Pengerusi SPR itu mengakui bahawa keputusan membatalkan penggunaan dakwat kekal di kuku jari pengundi itu dibuat atas ARAHAN KABINET.

"Kabinet menolak cadangan (penggunaan dakwat kekal) itu. Cadangan peraturan itu ditolak kabinet," kata Ab Rashid selamba.

Bagaimanapun Ab. Rashid mendakwa kononnya anggota PAS membeli dakwat tersebut daripada Thailand dan merancang mencalitkannya pada kuku jari pengundi-pengundi tua di kampung-kampung.

"Umno juga beli dakwat tersebut," dakwanya.

Beliau turut menyatakan pandangan bahawa penggunaan dakwat kekal itu bertentangan dengan artikel 119 Perlembagaan.

Pengakuan Ab. Rashid ini tentunya mengejutkan. Jelas SPR yang sepatutnya bertindak sebagai badan bebas telah tidak bersikap bebas kerana menerima bantahan kabinet. 'Keberanian' beliau untuk mendedahkan perkara sebenar bukan suatu yang mengejutkan kerana Ab. Rashid sebenarnya bersara daripada jawatannya pada hujung tahun 2008.

Pengakuan terbuka Ab. Rashid yang disiarkan Malaysiakini dan Harakahdaily tentunya menarik minat para pemimpin Pakatan Rakyat. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam sesi soal jawab di Parlimen pada 24 Jun 2008 mendakwa Ab. Rashid bersama-sama Peguam Negara dan Ketua Polis Negara telah menipu rakyat dengan menyatakan keselamatan sebagai sebab penggunaan dakwat kekal dibatalkan sedangkan ia adalah arahan kabinet.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz yang memang terkenal dengan tabiat 'bersilat lidah'nya menafikan dakwaan Ab. Rashid itu dengan berkata Jemaah Menteri tidak pernah mengarahkan Ab. Rashid untuk membatalkan penggunaan dakwat kekal dalam PRU ke-12.

Kata Nazri, walaupun Jemaah Menteri tidak menyokong cadangan penggunaan dakwat kekal itu namun mereka hanya meminta Ab. Rashid menimbangkan perkara tersebut dengan mengambil kira pelaksanaannya mungkin bercanggah dengan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara ini berbangkit di mesyuarat Jemaah Menteri dua minggu sebelum pembubaran Parlimen," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Guan Eng (DAP-Bagan).

Namun Nazri mendakwa keputusan sama ada untuk meneruskan penggunaan dakwat kekal atau tidak masih terletak pada SPR sebagai autoriti yang kompeten dan bebas, kononnya.

Tambah Nazri, kerajaan juga belum bercadang untuk mengambil apa-apa tindakan terhadap Pengerusi SPR atas kenyataannya bahawa beliau telah diarah oleh Jemaah Menteri untuk membatalkan penggunaan dakwat kekal.

Nampaknya masing-masing pihak mengelak untuk bertanggungjawab dalam isu ini. Ab Rashid menyalahkan kabinet dan kabinet pula melalui parlimen mendakwa Pengerusi SPR berbohong.

Berbohong sudah menjadi lumrah pemimpin BN dan sedikit demi sedikit sudah mula ditiru golongan birokrat. "Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong LAMA-LAMA JADI MENTERI," bait puisi Sasterawan Negara, Allahyarham Dato' Usman Awang mengukuhkan lagi tanggapan ini.

Oleh kerana tidak sanggup untuk dibohongilah Bersih 2.0 muncul dengan lapan tuntutan baru termasuk penggunaan dakwat kekal ini.

Pengerusi SPR yang baru, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dalam satu kenyataan bertarikh 17 Januari 2009 mendakwa SPR tidak menolak kemungkinan menggunakan dakwat kekal dalam PRU akan datang selepas penggunaannya dibatalkan semasa PRU ke-12.

SPR sedang mengkaji kelemahan penggunaan dakwat kekal itu untuk proses penambahbaikan supaya rancangan penggunaannya dapat diteruskan, katanya.

Katanya, jika penggunaan dakwat kekal pada kuku itu didapati mampu menawarkan proses pengundian lebih telus dan adil kepada pengundi, ia mungkin digunakan pada masa depan, katanya ketika meninjau proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Bariah, Pasir Panjang.

Kata Abdul Aziz, kajian tersebut boleh siap dalam tempoh empat tahun sebelum pilihan raya umum akan datang berlangsung.

Bagaimanapun jelasnya, jika hasil kajian diperoleh lebih awal, SPR akan menggunakannya dalam mana-mana pilihan raya kecil jika ada.

"Lagi cepat lagi baik. Jika cepat, kita akan mulakan dengan pilihan raya kecil jika ada sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13," ujarnya.

Itulah janji Abdul Aziz. Tapi hingga kini tiada tanda-tanda dakwat kekal akan digunakan. Beliaupun sebenarnya mempunyai kecenderungan untuk berbohong seperti Pengerusi SPR terdahulu.

Ini menjadi alasan paling kukuh mengapa kita perlukan Bersih 2.0.

Ia bukan sahaja untuk menuntut pilihan raya yang telus dan adil. Ia juga perlu untuk membersihkan negara daripada para pembohong dan pendusta.

Himpunan Bersih medan pulih demokrasi negara


SHAH ALAM 3 JULAI : Rakyat di negara ini hakikatnya hanya mempunyai dua pilihan iaitu memperjuangkan sistem demokrasi yang semakin pudar fungsinya mahupun membiarkannya terkubur begitu sahaja.

Oleh itu kata Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Dr Abdul Aziz Bari, satu pilihan bijak harus dibuat dalam memastikan masa depan negara terus terpelihara.
" Pilihan yang ada hanya dua sekarang, hendakkan perlembagaan diperkasa dan dimartabatkan atau hendak perlembagaan itu dipijak dan dinafikan tempatnya," kata Aziz kepada Tv Selangor ketika mengulas perkembangan terkini berhubung tindakan polis dan kerajaan pemerintah yang melakukan pelbagai cara demi menghalang himpunan aman Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil pada 9 Julai ini.
Selain menahan sesiapa sahaja yang memakai pakaian berwarna kuning dan berlogo Bersih, mengenakan Ordinan Darurat kepada enam anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM), mengisyitiharkan bahawa Bersih adalah sebuah pergerakan haram, kerajaan Umno-Barisan Nasioanal dilihat terus menggunakan segala kekuatan yang ada untuk menghalang perhimpunan aman berkenaan.
Ironinya, persoalan pokok kepada kebangkitan rakyat ini terus dibiarkan menjadi tanda tanya.
Lantaran itu kata Aziz, rakyat Malaysia harus bangkit menyatakan pendirian mereka dalam hal ini memandangkan tuntutan yang disuarakan oleh Bersih adalah untuk kebaikan bersama.
" Sekarang ini sudah sampai ke tahap, orang biasa pun tahu undang-undang yang digunapakai sekarang adalah undang-udang yang tidak adil. Dan dalam konteks penggunaan Ordinan Darurat ini agak lucu sedikit sebab pada tahun lepas Datuk Seri Hishamuddin mengatakan bahawa Malaysia tidak berada dalam darurat. Jadi dia telah mengeluarkan yang kenyataan yang bercanggah dan bertentangan,"ujar Aziz.
Selain penahanan yang semakin diperhebatkan, hal ini kata Aziz lebih memalukan apabila ia diselang-seli dengan hujah rapuh pemimpin-pemimpin Umno-Barisan Nasional termasuk media kawalan mereka.
Rata-rata mereka melabelkan Bersih adalah agenda pembangkang untuk menawan tampuk pemerintahan, walhal katanya, setiap orang juga pastinya mahukan sebuah pilihan raya yang adil dan bersih dilaksanakan tanpa mengenal fahaman politik.

" Apa salahnya menyokong pembangkang kalau pembangkang itu hendakkan sesuatu yang baik? Pakatan Rakyat bukannya pembangkang bawah tanah, mereka bukan pembangkang yang bergerak secara haram.
"Mereka adalah pembangkang yang didaftarkan secara sah dan mereka hendakkan perkara yang baik dan rakyat tidak salah kalau menyokong dan memberikan restu kepada mereka berbanding dengan parti yang hendak mengekalkan kelemahan, mengekalkan kekotoran dalam sistem pilihan raya,"kata beliau.
" Mereka (kerajaan) itu sebenarnya menentang usaha atau inisiatif untuk mewujudkan pilihan raya yang bersih dan adil. Ini tidak ada kaitan dengan huru-hara. Kalau kita lihat dua tiga hari ini, kita sendiri tahu siapa yang buat kacau. Ceramah yang begitu baik dalam premis pun dikacau oleh polis,"tambah beliau lagi.
Malah pensyarah undang-undang ini secara kritis membidas sikap kerajaan yang sanggup melakukan apa jua cara demi memastikan tampuk kekuasaan kekal di tangan mereka.
Lebih malang lagi apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sepatutnya mengambil pendirian berkecuali dan amanah dalam menjalankan proses demokrasi negara, mudah diperkudakan oleh pihak yang berkepentingan.
Dalam hal ini kata Aziz, kerajaan dan SPR seharusnya mengkaji sedalam-dalamnya mengapa rakyat bertindak nekad menggunakan saluran jalan raya untuk menuntut hak merekamendapatkan sebuah pilihan raya adil dan bersih.
" Penafian SPR tentang wujudnya pengundi hantu, penafian wujudnya masalah dalam undi pos, adalah satu penafian yang menyebabkan rakyat terpaksa berarak ke jalan raya. Sudah tidak ada cara lain lagi dan mereka takut dengan perarakan itu,"jelas Aziz, di sebalik penafian kerajaan bahawa pilihan raya di negara ini dijalankan dengan telus, seraya menyatakan tidak perlu ada sebarang demonstrasi menuntut hal tersebut dilakukan.
Pada hemat beliau, lapan tuntutan yang disuarakan oleh Bersih 2.0 cukup berasas dalam memastikan proses pilihan raya di negara ini dapat dijalankan dengan penuh efisyen dan adil.
Tidak ada sebab katanya, SPR harus mengambil sikap dingin terhadap tuntutan yang disuarakan oleh gabungan NGO itu demi masa depan negara.
" Jadi saya tak nampak bagaimana Tun Dr Mahathir, Najib (Razak) atau siapa juga patut menentang perkara seperti ini. Semua ini telah dituntut dan diminta secara baik selama ini tetapi SPR buat tidak endah dan tidak buat apa-apa. Malah menafikan bahawa ada masalah,"kata Aziz.
Pada Jumaat, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengisytiharkan bahawa Bersih sebuah pergerakan haram yang boleh mengancam keselamatan negara.
Malah Khutbah Jumaat di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya turut disajikan dengan peringatan dan amaran bahawa Bersih adalah gerakan pelampau yang memperjuangkan kepentingan individu.
Malah himpunan Bersih itu dikatakan akan berarak ke hulu ke hilir, berkumpul untuk bertindak ganas, merosakkan harta benda awam dan sanggup mencederakan pasukan keselamatan.
Walaupun ditegaskan berkali-kali bahawa Bersih adalah sebuah perhimpunan aman namun kerajaan pemerintah melalui Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan terus melancarkan fitnah ke atas Bersih demi menghalang hak rakyat bersuara.
" Kita lihat bagaimana masjid digunakan untuk menghentam Bersih. Saya rasa ini satu perkara yang tidak patut berlaku oleh kerana Bersih tidak seburuk itu.
" Apa yang disebut dalam khutbah itu jelas satu fitnah, pembohongan. Jadi bagaimana masjid itu boleh digunakan untuk perkara-perkara seperti itu?,"soal Aziz.

Tangkapan cetus kebangkitan anak muda,ini baru Ketua Pemuda PAS peringkat kawasan ditangkap


Bermula dengan sebaran sms berita penahanan Ketua Pemuda PAS Dungun pada 620 petang, Balai Polis Dungun terus menerima kedatangan bertali arus pemuda-pemuda Dungun yang hadir untuk memberi sokongan moral kepada Sheikh Hanafi.Turut awal berada di situ ialah ADUN Sura yang juga Yang Di Pertua PAS Kawasan Dungun,Ustaz Wan Hassan Md Ramli.


Bekas Ketua Pemuda PAS Dungun, Ustaz Jamaluddin Jusoh turut hadir

Mereka juga bersolat Maghrib dan Sunat Hajat secara berjemaah di hadapan pintu pagar Balai Polis Dungun yang diimamkan oleh Timbalan Yang Di Pertua PAS Kawasan Dungun,Ustaz Saiful Bahri Mamat.




Penahanan beliau adalah sebahagian daripada tindakan provokasi polis menjelang Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.Bermula dengan tindakan menurunkan banner promosi Bersih 2.0 yang dipasang di tanah persendirian milik Ketua Pemuda PAS Dungun itu.


SB berpakaian yang tertera logo Majlis Perbandaran Dungun

Pihak SB dikesan berpakaian kemeja berlengan pendek yang tertera logo Majlis Perbandaran Dungun bagi mengelabui orang ramai.Suasana tegang antara Ketua Polis Dungun dan Ketua Pemuda PAS Dungun sempat dirakam oleh lensa Team IT Pemuda Dun Sura dimana Saudara Sheikh Hanafi meminta penjelasan polis atas tindakan menurunkan banner promosi Bersih 2.0 yang dipasang di tanah persendirian itu.

Ketika itulah pihak SB mengarahkan tangkapan dibuat dan Sheikh Hanafi dimasukkan ke kereta polis menuju ke Balai Polis Dungun kira-kira jam 615 petang.Tangkapan dibuat ketika lalu lintas agak sesak akibat Pasar Malam Sura Gate yang beroperasi di tapak berhadapan dengan rumah Sheikh Hanafi.

Bermulalah sebaran sms dan hadapan Balai Polis Dungun begitu cepat dipenuhi anak-anak muda bagi memberi sokongan moral kepada Ketua Pemuda PAS Dungun itu.Himpunan aman ini terus dikunjungi pemuda-pemuda termasuk dari Dun Bukit Besi dan Dun Paka.


Setelah diambil kenyataan dan ditahan selama 3 jam, saudara Sheikh Hanafi dibebaskan pada jam 9.10 malam.Pembebasan beliau disambut laungan takbir dari orang ramai yang menunggu sejak petang lagi.
Team IT Pemuda Dun Sura

UMNO pengecut, tak mengaku anjur himpunan ganas

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjyS_3qvolSIDAokSOv-kYR4qPPsjwggfro92UiMQ6gzHd09f1JS2jxg6I_PU7d2rtcjj8G7LdXZfhxFtji0ghTGh1wOmEsehGMW5udr-iwApIeOHdYwPr45LD36TRwZUhe7grADQC9yBQ/s400/%253D_utf-8_B_SU1HMDAyNDEtMjAxMTA3MDEtMTUwNy5qcGc%253D_%253D-764738.jpg
Semua di atas , muka-muka tembok umporno . Itupun tak mengaku!

PULAU PINANG 3 JULAI:
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membidas kenyataan terbuka Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman yang menafikan penglibatan Umno negeri itu dengan sebuah demonstrasi ganas Jumaat lalu.
“Kerajaan negeri Pulau Pinang berasa terkejut dengan pembohongan terbuka Zainal Abidin Osman yang mendakwa Umno tidak terlibat dengan demonstrasi ganas yang mengganggu aliran trafik sejauh 10 kilometer dan menyerang dua wartawan pada 1 Julai lalu di Komtar dan Jambatan Pulalu Pinang,” kata Guan Eng dalam kenyataan medianya hari ini.
Menurut Guan Eng, penafian yang dibuat oleh Zainal sekaligus menunjukkan sikap pengecut Umno Pulau Pinang walhal pada hari tersebut Senator dari Umno, Ezam Mohd Noor sendiri ditangkap polis kerana terlibat dalam demonstrasi itu.
“Rakam video menunjukkan Senator Umno, Ezam Mohd Noor ditangkap polis kerana terlibat dalam perhimpunan haram menunjukkan Umno adalah pengecut kerana menafikan penglibatan mereka. Ini adalah contoh terbaik peribahasa Melayu, “baling batu sembunyi tangan”,” kata Guan Eng.
Tambah beliau, Zainal bersikap berani dan memohon maaf kepada orang ramai di atas penglibatan Umno dalam demonstrasi ganas tersebut.
Dalam pada itu, Guan Eng turut menyatakan kekesalannya di atas tindak tanduk Ezam yang menghasut orang ramai untuk menggulingkan dirinya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.
“Di manakah hormat yang perlu ditunjukkan oleh Umno terhadap demokrasi dan mandat saya selaku Ketua Menteri yang sah?” kata Guan Eng.
Malah ujarnya, layanan media arus perdana terhadap insiden-insiden yang melibatkan pemimpin Umno-Barisan Nasional juga kekal berat sebelah apabila tidak ada satu pun media itu melaporkan tentang penahanan Ezam.
“Tiada langsung berita oleh News strait Times tentang dua wartawan yang diserang Umno mahu pun peserta demo yang menghalang laluan trafik di tengah Jambatan Pulau Pinang sehingga menyebabkan kesesakan trafik sejauh 10 kilometer. Pemimpin Umno Negeri dan Pemuda Umno turut hadir pada perhimpunan haram yang ganas itu,” kata Guan Eng.
Dalam kejadian pada Jumaat lalu, Pemuda Umno Pulau Pinang bersama Perkasa Pulau Pinang berarak dari Masjid Kapitan Keling sehingga ke bangunan Komtar kononnya menuntut Guan Eng meletak jawatan kerana menyokong himpunan Bersih yang akan berlangsung 9 Julai ini.
Dalam demonstrasi ganas itu, beberapa cermin kereta dipecahkan dan dua wartawan dari akhbar Cina juga dicederakan.