Pemberian bonus dan kenaikan gaji kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan awam masih menjadi teka-teki apabila Datuk Seri Najib Razak, semalam enggan mengesahkan atau menafikan kesediaan kerajaan berbuat demikian dalam Bajet 2012. Sebaliknya, Perdana Menteri berkata sebarang keputusan pemberian bonus dan kenaikan gaji bergantung kepada kemampuan kerajaan. Saya punya pendirian, apa-apa yang akan diumumkan dalam bajet tidak akan dibocorkan lebih awal lagi. Kalau kita mampu (berikan bonus dan kenaikan gaji), kita buat, kalau kita tak mampu kita tak buat, katanya selepas membuat tinjauan mesra dan merasmikan Karnival 1Malaysia Tanjung Tualang di sini, sempena lawatan turun padang sehari ke Perak, semalam. Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli, beberapa Menteri Kabinet serta Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Kampar, Datuk Lee Chee Leong. Perdana Menteri ditanya sama ada kerajaan berada dalam kedudukan berkemampuan untuk memberikan bonus dan kenaikan gaji dan elaun seperti diperkatakan beberapa pihak. Semalam, akhbar ini melaporkan kakitangan sektor awam dijangka sekali lagi menikmati kenaikan gaji tahun ini, dan kemungkinan perkara itu antara berita baik yang akan diumumkan Najib dalam Bajet 2012 di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini. Ditanya pula sama ada bajet kali ini akan memberi banyak kejutan, Najib berkata: Saya tidak tahu, tunggulah dulu, saya gemar membuat kejutan, katanya. Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan kerajaan melalui bajet berkenaan akan memberi tumpuan mengukuhkan permintaan dalaman berikutan persekitaran luaran yang lemah dan tidak menentu. Kita perlu bersandar kepada permintaan dalaman, jadi bajet ini mesti merangsangkan pelaburan dan mesti membawa kepada keyakinan pengguna untuk terus belanja dengan secara berhemah supaya ekonomi domestik atau dalaman kita ini terus berpaksi kepada permintaan yang kukuh sama ada dari segi pelaburan mahupun dari segi penggunaan. Keduanya, kita telah menetapkan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) untuk memerangi kenaikan harga dan kos hidup rakyat, jadi kita tengah tengok bagaimana kita boleh bantu melindungi rakyat daripada kesan negatif, katanya.JP
Petikan Malaysiakini
Sambutan Aidilfitri dan ceramah timbalan presiden PAS Mohamad Sabu di Seremban malam tadi, tercemar apabila beberapa penyokong PAS cedera akibat dibaling batu dan air botol, malam semalam.Fracas during Mohd Sabu ceramah at Seremban
Acara yang dijadual bermula jam 9 malam tetapi setengah jam sebelum itu, kira-kira 100 penyokong kumpulan pendesak Melayu, PERKASA mula berhimpun di tepi jalan utama yang terletak kira-kira 60 meter dari pentas ceramah.
Mereka membawa sepanduk dan kain rentang seperti "Mat Sabu Pembohong", "Mat Sabu Perosak Bangsa" dan "Mat Sabu Hina Pejuang".
Pada awalnya, keadaan dilaporkan terkawal tetapi apabila Mohamad atau lebih popular dengan panggilan Mat Sabu mula menyampaikan ceramah pada jam 10.15 malam, ahli-ahli PERKASA itu didakwa cuba bergerak ke arah pentas.
Mohd Sabu ceramah at SerembanMereka bagaimanapun dihalang oleh penyokong PAS dan akibatnya berlaku tolak-menolak dan keadaan menjadi tidak terkawal.
Ketika itu, kira-kira 800 orang menghadiri majlis berkenaan.
Beberapa air botol dan juga batu kemudiannya didakwa dilontarkan ke arah pentas berkenaan hingga menyebabkan ada penyokong PAS yang dilaporkan cedera. Seorang daripada mereka juga mendakwa dibelasah oleh ahli PERKASA.
Timbalan pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ghazali Mat Som yang merupakan penganjur acara itu kesal dengan kejadian tersebut dan mendakwa ahli PERKASA bertindak ganas.
"Seorang lelaki cedera di hidung dan kepalanya. Ada juga yang mendakwa ditumbuk di pipi dan terkena balingan batu di bahagaian belakang badan.
"Sebelum kejadian, seorang ahli PERKASA mahu menyerahkan memorandum bantahan tetapi kami tidak bersetuju menerimanya dan meminta mereka supaya bersurai.
"Kami kemudian memaklumkan kepada pihak polis dan apabila polis minta mereka bersurai, mereka juga engkar dan mula menunjukkan kebiadapan. Apabila lebih ramai polis datang, barulah mereka bersurai,” katanya.
Bukan anti-PAS
Sehubungan itu, Ghazali menggesa polis supaya bertindak dengan adil dan memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.
Sementara itu, Setiausaha PERKASA Negeri Sembilan, Alias Mohamad yang turut hadir semasa kejadian itu semalam, ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini berkata bahawa mereka bukanlah anti-PAS tetapi sekadar menyatakan bantahan terhadap Mat Sabu.
Kami bukan menentang PAS secara keseluruhan tetapi hanya menyatakan bantahan kami terhadap Mohamad Sabu yang menyakitkan perasaan banyak anggota tentera.
"Ramai bekas anggota tentera hadir malam tadi dan mereka kecewa dengan kedegilan Mat sabu dan keenggannya meminta maaf berhubung kenyataannya.
"Dia yang diiktiraf komunis dan memartabatkan komunis.
Apabila diminta mengulas mengenai beberapa penyokong PAS yang cedera itu, Alias berkata PERKASA hanya mahu menyerahkan memorandum tetapi dihalang.
"Kami hanya mahu menyerahkan memorandum bantahan tetapi kami telah dihalang oleh penyokong PAS. Ini menyebabkan keadaan panik dan kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku.
"Tetapi saya difahamkan seorang daripada ahli kami juga terkena simbahan air panas daripada sumber yang tidak diketahui,” katanya.