Mac 10, 2012 - Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) akan memfailkan saman terhadap bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad kerana didakwa gagal memastikan pampasan diberi kepada peneroka Felda sehingga mereka kini didakwa hidup terbiar. Presidennya, Mazlan Aliman berkata, saman tersebut akan mewakili peneroka Felda Cahaya Baru (Johor), Sungai Buaya (Selangor), LB Johnson dan Sendayan (Negeri Sembilan).
"Mereka (peneroka Felda) kini kalau nak guna bahasa kasarnya, hidup merempat. Mereka tidak mendapat pampasan yang sepatutnya. Jadi kami akan lantik panel guaman untuk kemukakan saman (menuntut) gantirugi atas kerugian peneroka Felda," katanya dalam sidang media di ibupejabat PAS hari ini.
Mazlan yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat mendakwa, ketiga-tiga bekas menteri besar tersebut bersalah kerana memberi kebenaran kepada kontraktor kerajaan negeri bagi menjalankan projek di atas sebuah tanah GSA dan rizab Melayu itu.
Selain itu, Mazlan mendakwa, mereka juga menaburkan janji kepada peneroka yang mereka akan mendapat durian runtuh.
Bagaimanapun, setelah projek dibuat, dakwa Mazlan, duit yang dijanjikan itu tidak diberi.
"Jadi apa yang kita nak persoalkan ialah kenapa exco dan menteri besar meluluskan projek ini? Mereka semua ini telah mungkir janji," katanya.
Dalam pada itu, Mazlan berkata, ANAK turut akan memfailkan injunksi terhadap Felda Plantation bagi menghalang 360,000 hektar tanah milik peneroka diserahkan kepada Felda Global Venture Holding (FGVH).
Menurut Mazlan, pemberian tanah kepada FGVH merupakan satu kesalahan mengikut akta GSA 1960.
"Kami bersama peguam akan memohon kepada mahkamah untuk membatalkan pemberian tanah itu dan memohon agar tanah itu dapat diberi kembali kepada rakyat. Walau apa pun, perkara ini masih lagi dalam perbincangan dan injunksi juga akan dilakukan dalam waktu terdekat," katanya.
Sementara itu, Mazlan turut mempertikaikan projek 'Ceria ke sekolah'- satu projek yang memberi barangan keperluan ke sekolah kepada seramai 15,000 murid tahun satu anak peneroka Felda.
Mazlan berkata, keseluruhan projek itu bernilai RM2.775 juta kerana setiap seorang murid akan diberi pakej bernilai RM185, merangkumi baju sekolah, kasut dan beg sekolah.
Beliau bertanya kenapa projek tersebut diberi secara rundingan terus dan bukan melalui tender terbuka.
"Saya juga ingin mempersoalkan, bagaimana pemilihan 15,000 murid itu dibuat? Kerana hasil kajian kami, banyak Felda yang masih tidak mengagihkan pakej keperluan ini.
"Jadi saya minta penjelasan daripada Isa Samad selaku pengerusi Felda," katanya.
http://www.malaysiakini.com/news/191689