Kajian Jabatan
Kesihatan Masyarakat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) mendapati
lambakan beban kerja dan kerap mendapat tugasan di luar waktu pejabat atau on
call menyebabkan ramai anggota polis mengalami tekanan atau stres. Sementara
itu tinjauan Kesihatan Mobiditi dan Kesihatan 2011 menunjukkan 12 peratus
rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis
penyakit mental.
Tragedi pada 26
April 2012, dimana seorang anggota polis yang bertugas di Istana Anak Bukit,
Kedah maut dipercayai akibat ditembak oleh rakan setugasnya di depan pintu
pagar istana tersebut membuktikan betapa seriusnya tahap kesihatan mental
anggota polis kita. Justeru itu satu program pemeriksaan kesihatan mental
menyeluruh terhadap anggota polis perlu dilakukan segera, serta langkah
pencegahan dan pemulihan perlu dilaksanakan.
Masalah
peribadi bukan punca polis kena tembak
BH 2 Mei
2012
AYER HITAM:
Tindakan seorang anggota polis melepaskan beberapa das tembakan menggunakan
senjata M16 hingga menyebabkan kematian rakan setugas di balai pengawal Istana
Anak Bukit, di Alor Setar, Khamis lalu, tidak membabitkan sebarang masalah
peribadi berikutan kedua-dua mereka baru berkenalan ketika ditugaskan bersama
pada hari kejadian.
Ketua Polis
Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, berkata kejadian itu bukan berpunca daripada
masalah peribadi terutama cinta memandangkan dua anggota terbabit baru
berkenalan, namun pihaknya percaya berlaku pertengkaran kecil menyebabkan
kejadian itu berlaku.
Katanya,
mungkin berlaku perselisihan mengenai penugasan mereka di balai pengawal
berkenaan menyebabkan suspek bertindak demikian. “Tidak timbul soal
pertengkaran cinta kerana pada hari kejadian, itu kali pertama mereka
ditugaskan bersama. Kami percaya pertengkaran kecil berlaku membabitkan soal
penugasan mereka.
“Isu ini
antara mereka berdua, tiada pembabitan orang lain yang boleh menyebabkan
kejadian,” katanya selepas program polis bersama masyarakat di Pejabat Pos Alor
Biak Jerlun di sini, semalam.
Ahmad juga
berkata, setakat ini pihaknya masih melengkapkan siasatan dan tempoh tahanan
reman suspek yang tamat esok, tidak dilanjutkan.
“Kes ini disiasat
mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam kejadian
kira-kira jam 5.45 petang 26 April lalu, mangsa, Konstabel Mohamad Sobri Md
Sidik, 22, dari Melaka, mati di tepi pintu pagar Istana Anak Bukit akibat parah
di kepala dan badan selepas ditembak rakan setugas dipercayai akibat
perselisihan faham.
Suspek berusia 25 tahun dan berpangkat Lans Koperal kemudian
melarikan diri menaiki kereta sebelum ditahan tiga jam selepas itu oleh
sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis
Kontinjen (IPK) Kedah di rumahnya di Simpang Empat, Perlis.
POLIS LEBIH STRES
BERBANDING GURU
BH 27 Sep 2011
KUALA LUMPUR:
Lambakan beban kerja dan kerap mendapat tugasan di luar waktu pejabat atau on
call menyebabkan ramai anggota polis mengalami tekanan atau stres, berbanding
penjawat awam di sektor lain, iaitu doktor, jururawat, guru serta bomba.
Lambakan beban
kerja termasuk kerja lebih masa yang perlu mereka lakukan kerana menyertai
pelbagai operasi dan serbuan yang kebiasaannya dilakukan di luar waktu pejabat,
iaitu antara jam 5 petang sehingga 6 pagi.
Hasil kaji
selidik Jabatan Kesihatan Masyarakat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan
Malaysia (PPUKM) juga mendapati responden merasai tekanan apabila dihantar ke
sesuatu lokasi untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman serta menyertai
pasukan pengaman di luar negara atau sering diarahkan bertugas ketika cuti
umum, termasuk musim perayaan.
Kajian pada tahun 2007 hingga 2009 itu mendapati 53.7
peratus daripada 453 sampel kajian di enam balai polis di Wilayah Persekutuan,
dipercayai mengalami stres di tempat kerja.
Angka itu menunjukkan polis berada di kedudukan teratas
mengatasi enam organisasi lain, iaitu bomba (47.3 peratus), guru (45.8
peratus), jururawat (42.3 peratus) serta doktor (40.7 peratus).
Hasil kajian juga menunjukkan 61.1 peratus anggota polis
berpangkat sarjan ke atas mengalami kadar stres lebih tinggi berbanding anggota
pangkat rendah, iaitu koperal dan konstabel dengan peratusan masing-masing 56
peratus dan 51.3 peratus.
Pakar Kriminologi, Datuk Akhbar Satar yang juga penganalisis
jenayah, berkata stres yang dihadapi anggota polis berpunca daripada tiga sebab
utama, iaitu profesion kepolisan, peraturan atau polisi dalam organisasi serta
masalah individu.
Bekerja tanpa ketentuan masa atau 24 jam sehari dengan
panggilan on call pada bila-bila masa, selain perlu mengikut arahan pegawai
lebih tinggi boleh mengganggu kesihatan dan kehidupan anggota polis.
Malah, sesetengah kes yang disiasat seperti kes bunuh atau
yang membabitkan golongan berpengaruh ada kalanya memberikan tekanan terutama
tahap kerisauan yang harus diterima serta risiko ancaman terhadap diri dan
keluarga, katanya.
Akhbar berkata, anggota polis yang mengalami stres boleh
menghadapi masalah sakit jiwa berpanjangan dan mengakibatkan banyak perkara
tidak diingini berlaku, termasuk pembunuhan sesama rakan atau bunuh diri serta
salah guna kuasa sehingga menyebabkan nyawa orang lain terancam.
Malah, dikhuatiri, jika tahap tekanan yang dihadapi begitu
kritikal, senjata yang dimiliki digunakan sebagai alat untuk melakukan ugutan
atau sebarang aktiviti jenayah termasuk rasuah, katanya.
12% rakyat Malaysia
sakit mental
UM 3 Feb 2012
SUNGAI PETANI 3 Feb. - Tinjauan Kesihatan Mobiditi dan
Kesihatan 2011 menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60
tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental.
Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Abdul Kadir
Abu Bakar (gambar) berkata, statistik itu satu angka yang tinggi kerana
menunjukkan seorang daripada enam rakyat negara ini ada penyakit mental.
"Macam kemurungan ada dua peratus, sakit risau ada 1.8
peratus dan psikosis ada satu peratus. Penyakit mental yang serius adalah macam
psikosis dan kemurungan...penyakit keresahan itu pun kronik juga dan
kemudiannya penyakit ringan-ringan lain," katanya ketika ditemui di sini.
Katanya, tinjauan Kajian Mobiditi dan Kesihatan itu juga
mendapati wanita dua kali ganda lebih ramai mengalami sakit mental berbanding
lelaki.
"Puncanya bagi wanita kerana masalah dengan pasangan
dan masalah dengan anak-anak..kedua-dua ini punca yang penting. Bagi lelaki
pula punca lebih kepada kemalangan jalan raya yang mana mengalami kecederaan
otak dan penyalahgunaan dadah," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar golongan wanita
mendapatkan rawatan doktor secepat mungkin jika mengalami kemurungan dan
kerisauan berlanjutan dalam tempoh melebihi dua minggu bagi mengelakkan perkara
yang lebih buruk.
"Kalau kita (wanita) risau baca (surah) Yassin banyak,
bincang dengan mak dan ayah serta suami...dapat kurangkan tetapi jika kita
tidak dapat berbincang dan kurangkan, itu akan bagi masalah," katanya.
Beliau berkata, terdapat 45 jabatan psikiatri di seluruh
negara di samping empat buah hospital mental untuk pesakit mental menjalani
rawatan pemulihan dengan sebaik mungkin. - BERNAMA
Siasatan polis tembak rakan selesai
UM 2 Mei 2012
KUBANG PASU 1 Mei - Polis mengesahkan siasatan kes seorang
anggotanya menembak rakan setugas di Istana Anak Bukit di sini baru-baru ini
telah selesai.
Ketua Polis negeri, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, anggota
lans koperal itu masih ditahan reman sehingga Khamis ini dan dijangka didakwa
di mahkamah dalam tempoh terdekat.
"Polis percaya motif kejadian berpunca daripada salah
faham dan perasaan tidak puas hati berkait dengan bidang tugas.
"Polis telah melengkapkan siasatan kes ini dan ia akan
diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya," katanya
kepada pemberita selepas majlis Sepagi Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di
Ayer Hitam, di sini hari ini.
Pada 26 April lalu, seorang anggota polis yang bertugas di
Istana Anak Bukit maut dipercayai akibat ditembak oleh rakan setugasnya di
depan pintu pagar istana itu.