Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan
Omar menyifatkan pembangkang sebagai hipokrit kerana akan mengangkat
sumpah sebagai wakil rakyat di Parlimen meskipun mempertikai keputusan
pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Beliau berkata pembangkang cepat berubah pendirian dan setiap perbuatan mereka tidak selari dengan prinsip.
"Mereka
menang 89 kerusi (Parlimen) dan tiga negeri menang semuanya lebih dua
pertiga kerusi, tetapi di jalan raya mereka menolak keputusan pilihan
raya dan ini perkara yang betul-betul hipokrit.
"Prinsip tidak
sama dengan perbuatan, prinsip kononnya tidak boleh menerima keputusan
pilihan raya, tetapi perbuatannya? Kita tengok sekarang, cepat-cepat
angkat sumpah, cepat-cepat ubah (pendirian), sebelum ini cuma nak
boikot, taklimat dia kata," katanya.
Beliau berkata demikian
kepada pemberita pada majlis syarahan jamuan tengah hari anjuran Jabatan
Hal Ehwal Khas (JASA) dan Institut Perkembangan Minda (INMIND) bertajuk
'PRU13: Terima Keputusan Rakyat' di Kuala Lumpur hari ini.
Selain
itu, Wan Ahmad berkata pembangkang juga dilihat hipokrit apabila
mendakwa sistem pilihan raya negara ini tidak adil namun mereka tetap
menghantar calon bertanding.