Thursday, June 10, 2010

Kedah cadang sekat web negatif


ALOR SETAR , 11 Jun : Kerajaan Negeri bercadang menyekat laman web berunsurkan negatif dan lucah di negeri ini dengan menjalin kerjasama bersama Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) negara ini, Jaring dalam masa terdekat.

Exco Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Insan, Sains & Inovasi, Teknologi Maklumat & Komunikasi, Dr Ismail Salleh berkata, perbincangan akan dibuat bagi merangka program tapisan laman web negatif untuk mengekang penularan gejala sosial yang kini pada tahap membimbangkan.


“Kita akan bincang dengan Jaring untuk laksanakan di negeri ini, seperti yang dibuat di Kelantan. Melalui kaedah ini, laman web berunsurkan negatif dapat disekat daripada dilayari golongan bawah umur, terutama remaja,” katanya.

Dr Ismail berkata, ini antara usaha Kerajaan Negeri mengurangkan kesan negatif penggunaan teknologi maklumat (ICT) supaya remaja Kedah dapat dibimbing ke landasan yang betul.

Menurutnya, selain memfokus kepada remaja, golongan ibu bapa juga akan diberi tumpuan dan pihaknya kini sedang merangka modul program kemahiran keibubapaan.

“Beberapa siri program untuk remaja dan belia sudah pun dilancarkan. Pada masa akan datang, kita bercadang untuk merangka modul kemahiran untuk ibu bapa pula. Ini penting kerana kemahiran kedua-dua pihak, iaitu ibu bapa dan anak-anak perlu dimantapkan,” katanya.

Dr Ismail berkata, daripada kajian yang dibuat daripada Kem Bina Insan (KBI) baru-baru ini, pihaknya mendapati kemahiran keibubapaan semakin merosot dan longgar, sehingga anak-anak tidak lagi memilih ibu bapa sebagai idola mereka.

“Hasil kajian daripada kesemua program di bawah Pembangunan Insan akan digunakan sebagai panduan dalam merangka program bersesuaian untuk golongan kanak-kanak, remaja, belia dan ibu bapa,” katanya.

Menurutnya, walaupun sebahagian besar remaja selesa berada bersama keluarga di rumah, namun tidak semua remaja selesa meluahkan masalah kepada ibu bapa, dan aspek ini perlu dipertingkatkan menerusi program bersesuaian.

Dr Ismail berkata, berikutan itu juga, Kerajaan Negeri telah bersetuju menambah jumlah peruntukan dalam belanjawan akan datang untuk merangka lebih banyak program menarik untuk seisi keluarga.

“Saya difahamkan, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak telah memberi jaminan mahu isu ini diberi penekanan. Ini kerana Kerajaan Negeri ambil serius masalah sosial di Kedah, dan mahu ianya ditangani sebaik mungkin,” katanya.SH

No comments: