Thursday, June 10, 2010

RMK 10 abaikan pembangunan Selangor


SHAH ALAM , 11 Jun : Kerajaan Negeri menyifatkan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen semalam mengabaikan pembangunan di Selangor dan Lembah Klang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, RMK-10 memberi fokus kepada pembangunan antaranya Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).


“Saya menegaskan IDR, NCER dan ECER adalah projek untuk mendapatkan modal benih bagi pembangunan tanah dan infrastruktur.

“Apabila memperkatakan tentang pembangunan, Lembah Klang menjadi pemangkin pembangunan kepada Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, pembangunan Lembah Klang dan Selangor bagaimanapun tidak langsung dinyatakan dalam RMK-10.

Katanya, Najib hanya menyebut rangsangan ekonomi ditumpukan kepada ‘Greeter’ Kuala Lumpur yang merupakan sebahagian kecil Lembah Klang.

Abdul Khalid berkata, Selangor yang merupakan sebahagian daripada bandar gabungan Lembah Klang adalah kawasan tengah industri dan perdagangan di negara ini.

Menurutnya, Selangor mempunyai penduduk berjumlah lima juta serta menyumbang kutipan cukai paling tinggi, jadi ia sepatutnya layak dimasukkan dalam pelan pembangunan kerajaan.

Menurut beliau, semakin Malaysia dan negara lain di dunia beralih kepada ekonomi berasaskan pengetahuan atau K-Ekonomi, tidak wajar jika pentadbiran Najib mengabaikan Selangor yang menempatkan paling banyak bilangan universiti dan pusat pengajian tinggi.

“Adakah pentadbiran beliau (Najib) sengaja mengabaikan fakta bahawa Selangor merekodkan jumlah projek industri paling banyak pada 2009 dan 2008, selain menjadi negeri paling banyak mencipta peluang pekerjaan serta mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi di Semenanjung?.

“Jika Perdana Menteri melihat kepada sektor yang disasarkan pembangunannya, iaitu sektor pendidikan, pelancongan, kesihatan, kesemua sektor ini adalah berpusat di Lembah Klang.

“Begitu juga dengan sektor industri , incubation serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMIs) yang semuanya tertumpu di Lembah Klang,” katanya.

Katanya, inilah contoh klasik ‘kuman di seberang nampak, gajah depan mata tak nampak’.

Beliau berkata, pentadbiran Najib hilang fokus terhadap matlamat RMK-10 dan turut mempersoalkan sama ada keputusan mengabaikan Selangor dalam fokus pembangunan itu disebabkan politik.

Menurut beliau, jika jawapannya ya maka keputusan itu telah membelakangkan kepentingan rakyat.

“Kami menegaskan dalam memperkatakan usaha mentransformasikan ekonomi Malaysia, dua perkara penting perlu diberi perhatian iaitu penilaian semula saiz sektor awam, meliberalisasi saluran komunikasi.SH

No comments: