Monday, May 5, 2014

CALON PRK BUKIT GELUGOR!!! Adakah Yacoob penuhi syarat muslim berwibawa ISMA? Hafiz Nordin lebih layak.....


Calon Bebas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pinang pada pilihan raya umum ke-13, Mohd Yacoob Mohd Noor hari ini menyatakan kesediaan bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor yang dijadual 25 Mei ini.
  
Mohd Yacoob, 25, yang menguruskan rangkaian inap desa di Pulau Pinang berkata beliau memutuskan untuk bertanding selepas mengadakan mesyuarat dengan penyokongnya.
  
"Walaupun kalah pada pilihan raya umum lepas tetapi semangat memang berkobar-kobar. Saya juga sudah beberapa kali buat program 'himpunan rakyat' sendiri dan berdasarkan pemerhatian, ramai orang mulai menyokong saya dan kami juga telah mempersiapkan jentera pilihan raya bagi tujuan berkempen," katanya dalam sidang akhbar di Georgetown hari ini.
  
Mengakui tidak mempunyai dana yang cukup untuk menghadapi pilihan raya kecil Bukit Gelugor, Mohd Yacoob mendakwa beberapa syarikat sudi menaja bahan kempennya dan mendapatkan dana daripada hasil jualan cenderahati yang dilakukan kelab penyokongnya.
  
"Berdasarkan maklum balas yang saya terima daripada penduduk di kawasan Bukit Gelugor, mereka memberi sokongan kepada saya. Saya menggunakan slogan 'Yacoob Bebas Demi Rakyat'," katanya sambil menegaskan beliau tidak ditaja mana-mana pihak atau parti politik untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Pada pilihan raya umum ke-13, Mohd Yacoob hanya memperoleh 141 undi dalam pertembungan tiga penjuru di DUN Sungai Pinang yang dimenangi calon DAP Lim Siew Khim dengan 12,354 undi manakala calon Barisan Nasional Looi Swee Cheang mendapat 7,647 undi.
  
Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya 17 April lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mei sebagai hari penamaan calon, pengundian awal 21 Mei dan hari mengundi 25 Mei.
  
Mendiang Karpal Singh, yang juga bekas pengerusi DAP, memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2013 dengan majoriti 42,706 undi menewaskan calon BN Teh Beng Yeam, yang memperoleh 13,597 undi.
  
-Bernama

1 comment:

Anonymous said...

mamak bukan mewakili Melayu PP?