Monday, June 28, 2010

15 MP PKR bantah MB Selangor, berita tidak benar














SHAH ALAM, 28 Jun :
Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan wujud kumpulan lima belas Ahli Parlimen KEADILAN yang akan mengadakan protes terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkenaan dengan perlantikan Setiausaha Politik beliau yang baru, Faekah Husin.

Spekulasi dalam media timbul setelah beliau menyerahkan surat perletakkan jawatannya sebagai Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Rabu lalu.

"Saya jelaskan di sini bahawa berita yang disiarkan di dalam 'The Star Online' adalah tidak benar, kenyataan tersebut hanyalah spekulasi pihak tertentu yang dikaitkan dengan perletakkan jawatan saya dalam PKNS.

"Apa yang pasti maklumat ini adalah baru dan saya akan berjumpa dengan kesemua rakan-rakan saya untuk mendapat maklumat yang penuh terhadap dakwaan tersebut, kita akan meneliti setiap alasan yang diberikan kalau betul timbul rasatidak puas hati mungkin saya boleh menjadi wakil kepada rakan-rakan di dalam KEADILAN untuk meluahkan pendapat tersebut kepada Menteri Besar.

"Apa yang pasti saya tidak terlibat dalam spekulasi itu dan jangan buat andaian yang tidak betul," jelas Azmin ketika ditemui di lobi parlimen semalam.

Azmin juga ditanya media pendapat beliau berhubung perlantikan Faekah.

"Keputusan perlantikan tersebut sudah tentu terletak kepada budi bicara Menteri Besar, bagi saya perlantikan Faekah adalah satu penghormatan yang diberikan kepada seorang wanita dan ini menunjukkan dalam politik Pakatan Rakyat kita tidak meminggirkan peranan wanita untuk menyumbang kepada parti," kata beliau.

Tambah Azmin, beliau tahu isu tersebut akan diperbesarkan oleh Umno dan juga media arus perdana tetapi baginya isu itu tidak menjadi perhatian serius kepada pimpinan KEADILAN.

"Kita tahu kesempatan akan digunakan untuk membesarkan isu tersebut dan bagi saya itu bukan perkara yang perlu kita fikirkan, Umno akan menggunakan isu itu sebagai senjata mereka menyerang KEADILAN.

"Dari sudut politik kita melihat ini sebagai satu langkah positif dan keterbukaan kita membuat sebarang kritikan kepada pemimpin jika berlaku sesuatu yang kita rasa perlu ditegur.

"Jangan jadi seperti Umno ataupun parti komponen Barisan Nasional yang lain, orang bawahan tidak boleh menegur kesilapan pemimpin atasan. Politik mereka jelas mengamalkan sikap kuku besi jika ada yang menegur maka tindakan akan diambil samada dipecat atau dipinggikan terus," tegas Azmin lagi.

Azmin juga mahu Abdul Khalid mengambil serius spekulasi liar yang disebarkan sesetengah media dan berharap tindakan segera diambil agar ia tidak terus menjadi isu besar.

Beliau yakin dengan kepimpinan Abdul Khalid dalam mentadbir Selangor dan usahanya untuk menjadikan Selangor sebagai negeri contoh di negara ini.

Read more ...

Thursday, June 24, 2010

JI, Wahabi serlah tindakan melulu kerajaan











KUALA LUMPUR, 24 Jun: Kerajaan didakwa membuat tuduhan secara melulu apabila gagal membuktikan dakwaan sebelum ini iaitu mengaitkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin dengan isu keganasan Jamaah Islamiah (JI) dan aliran Wahabi.

“Modus operandinya sama seperti sebelum ini, kerajaan masih dilihat bertindak melulu dalam mentadbir negara,” ujar Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pagi tadi ketika diminta mengulas keengganan beberapa kementerian berwajib membuktikan di Dewan Rakyat sejak beberapa hari lalu, kononnya JI benar-benar kembali aktif di tanah air.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, sebelum isu JI ini pun, kerajaan telahpun dilihat umum beberapa kali bertindak secara melulu dalam mengurus tadbir negara.

Tindakan secara melulu oleh kerajaan, menurut beliau, dapat dilihat apabila kerajaan sendiri dilihat secara tidak langsung mempertahankan tindakan polis menembak arwah Aminulrasyid Amzah atas sangkaan rambang kononnya juvana terbabit adalah suspek anggota perompak.

Tambahnya lagi, kabinet turut dilihat bersikap secara melulu dengan menyerahkan dua telaga minyak negara – Blok L dan Blok M tergadai di tangan Brunei Darussalam demi mendapatkan wilayah bertindih Limbang , isu tersebut masih menjadi misteri sedangkan sehingga kini.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga dilihat bertindak secara melulu melantik Firma Perundingan Antarabangsa APCO Worldwide (IAC) dan Asiosoft (M) Sdn. Bhd. menjadi firma perunding komunikasi dan keselamatan negara, sedangkan kedua-dua firma tersebut dipercayai umum didalangi oleh agen perisikan zionis Yahudi yang berpangkalan di Israel.

Tidak cukup dengan itu, beliau berkata, kerajaan juga dilihat bertindak melulu dengan mempertimbang permohonan lesen judi bola sepak sempena Piala Dunia 2010 oleh Kumpulan Berjaya tanpa melihat pada pedoman Islam dan semua agama yang nyata mengharamkan aktiviti tersebut.

Melihat pada beberapa kenyataan secara melulu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beberapa menteri serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sendiri, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa APCO berperanan penting dalam menasihat kerajaan pimpinan Najib.

“Saya tidak menolak kemungkinan bahawa di sebalik sandiwara JI ini, Najib selaku Ketua Kerajaan mendapat petunjuk APCO, iaitu firma yang dikaitkan aktiviti pelobi zionis Israel di Amerika Syarikat,” tegas beliau.

Ekoran dari nasihat APCO, beliau berkata, kerajaan pasti akan menangkap mana-mana tokoh politik oposisi dan agamawan tanpa bicara, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh pemerintah Amerika Syarikat ke atas umat Islam serta pendatang asing dari Timur Tengah, sedekad yang lalu.

Bagi Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar pula, kerajaan digesa supaya memulihara semula tanggapan salah masyarakat bukan Islam serta para pelabur asing terhadap umat Islam tempatan dan negara.

“Sama ada kerajaan atau Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) atau Bukit Aman sendiri yang cuba mengelirukan rakyat dengan JI ini, saya gesa mereka pulih semula tanggapan umum pada agama kita, penganutnya dan juga negara,” ujar beliau yang juga AJK PAS Pusat.

Ini kerana, beliau berkata, isu JI tersebut seakan mencetuskan fenomena Islamphobia dan budaya takut dalam masyarakat, sebagaimana yang pernah berlaku di Amerika Syarikat dan Eropah pasca tragedi runtuhan Pusat Dagangan Dunia (WTO) pada 11 September 2001 lalu.

Tuntas dari itu, beliau menasihatkan kerajaan supaya lebih bersikap telus dan bertanggungjawab dalam urus tadbir negara supaya rakyat tidak terus mempertikai tindak tanduk kerajaan kelak.

“Isu (JI) ini sengaja mengelirukan semua pihak, kalau kerajaan masih dilihat bersikap melulu, apa saja isu yang datang selepas ini, rakyat akan anggap semua itu sebagai sandiwara,” kata beliau.hrkh

Read more ...

Tiga bahan tulisan kartunis Zunar diharamkan



KUALA LUMPUR, 24 Jun : Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharam buku terbitan Malaysiakini oleh kartunis popular Zulkifli Anwar Ulhaque, atau lebih dikenali sebagai Zunar, mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Selain buku '1Funny Malaysia', yang diterbitkan oleh Kinibooks yang merupakan anak syarikat Malaysiakini, dua lagi komik Zunar - Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun - turut diharamkan.

Ketua setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam berkata buku-buku tersebut diharamkan kerana ia tidak sesuai untuk bacaan umum.

"Ketiga-tiga bahan penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana mengandungi bahan yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan.

"Ia tidak sesuai untuk bacaan umum dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam," katanya.

Bagaimanapun, Mahmood tidak menyebut mengenai satu lagi buku terbitan Malaysiakini - 'Where is Justice?' - yang telah dirampas bersama dengan '1Funny Malaysia' dari kedai buku empat bulan lalu.

'1Funny Malaysia' merupakan kompilasi kartun Zunar, manakala buku 'Where is Justice' adalah mengenai kematian atau kekejaman dalam tahanan polis dengan fokus terhadap empat kes besar - Teoh Beng Hock, A Kugan, Altantuya Shaariibuu, dan Anwar Ibrahim

Di bawah akta tersebut, mereka yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki bahan penerbitan dilarang, jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Read more ...

Himpunan 100 ribu rakyat bantah judi



KUALA LUMPUR, 24 Jun : Gerakan Rakyat Bantah Judi (GMJ) mengemukakan permohonan kepada ibupejabat polis daerah Dang Wangi untuk mendapatkan permit untuk berhimpun dan berarak pada 3 Julai depan untuk membantah pemberian lesen judi sukan.

Permohonan permit tersebut diserahkan oleh pengerusi GMJ Azmi Abdul Hamid pada jam 4.30 petang tadi.

Azmi yang juga presiden TERAS, turut ditemani setiausaha GMJ, Suhaizan Kaiat dan ketua Angkatan Muda Selangor (AMK) Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.

Sejurus selepas membuat permohonan lima minit kemudian, ketiga-tiga pemimpin GMJ dipanggil untuk bertemu dgn ketua cawangan khas Dang Wangi, DSP Izan Bakri.

Bercakap dalam sidang akhbar kemudiannya, Azmi menjelaskan bahawa pertemuan dengan Izan lebih tertumpu kepada program yang akan berlangsung pada tarikh tersebut.

Katanya, beliau meminta kerjasama pihak polis untuk membenarkan orang ramai berhimpun dan bearak bagi menyampaikan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Azmi, dalam perhimpunan pada 3 Julai itu, orang ramai akan berkumpul di tiga lokasi iaitu di SOGO, Masjid Jamek dan Masjid Negara pada jam 2 petang, sebelum berarak ke Istana Negara.

Katanya, perhimpunan tersebut akan turut disertai oleh pemimpin NGO dan parti-parti politik.

Azmi berkata, polis akan memaklumkan kepada mereka mengenai keputusan permohonan permit itu.

Tambahnya, sekiranya permit tidak diluluskan, perhimpunan tersebut akan tetap diterus seperti yang dirancang.

"Kehendak rakyat dan masyarakat bersedia untuk bersama dengan perhimpunan ini. Kita sudah memutuskan akan berhimpun dan bergerak ke Istana Negara," katanya.

Read more ...

PAS desak kerajaan mohon maaf

pic_islam













KUALA LUMPUR, 24 Jun :
PAS hari ini mendesak kerajaan, polis dan Zamihan Mat Zain memohon maaf kerana menuduh presidennya Abdul Hadi Awang ada kaitan dengan Jemaah Islamiah (JI), yang didakwa sebagai rangkaian pengganas.

Zamihan ialah Penolong Pengarah Pusat Al Quran dan Ilmu Teras,
Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).

Sambil mengutuk pihak berkuasa, ketua penerangannya Idris Ahmad berkata polis sepatutnya lebih tahu "daripada mencemari majlis taklimatnya dengan melempar tuduhan palsu."

"Kami mahu penjelasan dan kenyataan memohon maaf dari kerajaan dan polis. Kami menolak kenyataan yang bersifat fitnah ini yang telah mencemar nama baik parti, imej Hadi dan kredibilitinya.

"Ini merupakan satu tuduhan yang celaka dan PAS memandangkannya dengan serius," tambah beliau.

Menurut laporan, Zamihan membuat tuduhan dalam satu taklimat di ibu pejabat polis Bukit Aman bahawa Hadi, bekas mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin dan bekas menteri besar Perlis Shahidan Kassim adalah pengganas.

"PAS melihat pertuduhan ini sebagai penipuan dan rekaan semata-mata bertujuan untuk menghina parti dan Hadi," kata Idris, menambah "ini bukanlah pertama kali."

Beliau berkata, perisik Mossad Israel tahun lalu, melabel Hadi sebagai pengganas selepas Menteri Pertahanan Israel itu mengadakan perbincangan sulit dengan Menteri Pertahanan Malaysia, Ahmad Zahid Hamidi.

Pada 2007, presiden PAS itu memenangi kes terhadap akhbar British Daily Mirrior, yang bersetuju untuk menyatakan permohonan maaf terhadap Hadi di depan Mahkamah Tinggi dalam Mahkamah Keadilan Diraja.

Akhbar itu diseret ke mahkamah kerana menerbitkan foto dan laporan mengaitkan Hadi dengan Al-Qaeda.

Read more ...

Adik Nurul perlu dibantu

IMG_0439.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR, 24 Jun : Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya. Itulah yang dapat diperkatakan apabila menyaksikan penderitaan adik Nurul Nadiah Abdul Wahab 10 , yang sudah dua tahun mengalami penyakit hati kronik.

Ketua Muslimat PAS Parit Buntar Zabariah Mat Amin berkata, adik Nurul memerlukan pembedahan pemindahan hati tetapi pembedahan tersebut mempunyai risiko yang tinggi.

“ Akibatnya, beliau hanya bergantung pada ubat-ubatan untuk menyambung kehidupan. Alat untuk membantu pernafasan sahaja memakan kos RM300 sebulan.

“ Ibunya pula seorang ibu tunggal yang telah kematian suami pada 1 jun 2008. Adik Nurul mempunyai sebelas orang adik beradik di mana empat orang masih belajar” katanya semasa melawat dan menyampaikan sumbangan Lujnah Kebajikan Dewan Muslimat PAS Parit Buntar kepada adik Nurul di Parit Haji Awi, Bagan Tiang.

IMG_0438.jpg picture by paspb

Zabariah berkata, beliau sungguh bersimpati dengan penderitaan adik Nurul dan kesusahan keluarganya.

“ Saya berharap lebih ramai masyarakat di luar yang dapat membantu memberi sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga adik Nurul.

“ Semoga adik Nurul tabah menghadapi penyakit yang menimpa dirinya dan saya berdoa agar adik Nurul sembuh dari penyakitnya “ katanya

Read more ...

Isu JI gimik politik Umno




















KOTA BHARU, 24 Jun
: Sejak isu Jemaah Islamiah (JI) didedahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan namun sehingga kini belum kedengaran ada pihak yang ditahan pihak keselamatan.

Kenyataan polis mengusir 10 anggota JI dalam operasi yang dijalankan polis sejak awal tahun ini diragui banyak pihak memandangkan ia baru digegerkan sekarang.

Maka tidak hairanlah ramai menganggap isu JI sengaja diada-adakan setelah kerajaan Barisan Nasional (BN) berdepan dengan banyak isu kronik termasuk lesen judi bola sepak dan kehadiran syarikat milik Yahudi di negara ini.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat isu JI seperti sengaja dibuat-buat dalam kondisi politik sekarang.

“Ini kerana apabila Umno jatuh tidak ada peluang hendak naik semula. Ini kerana mereka bukan hendak jaga Islam sebaliknya mereka sendiri tolak Islam.

”Mereka tidak boleh kempen orang Melayu kena jaga Islam kerana mereka sendiri tolak Islam. Hendak jaga ekonomi, mereka yang menjadi punca ekonomi merudum,” katanya ditemui di sini, hari ini.

Baru-baru ini Ketua Polis Negara mendakwa kumpulan militan, Jemaaah Islamiah warga asing dikesan menghidupkan kembali perjuangan mereka dengan merekrutkan remaja dan pelajar di institusi pengajian tinggi.

Ekoran kenyataan itu pelbagai pihak termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap isu JI sengaja ditimbulkan sekarang kerana kerajaan BN cuba mengalih perhatian rakyat.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, beliau berkeyakinan isu JI yang digegerkan sekarang sekadar satu gimik politik pemimpin Umno setelah menyedari sokongan rakyat merosot.

”Tengok apa yang berlaku terhadap Allahyarham Nik Abdullah Arshad, Datuk Mahfuz Omar, Mohamad Sabu, Anwar Ibrahim dan ramai lagi pemimpin pembangkang yang pernah ditahan di bawah ISA tanpa ada sebarang alasan munasabah.

”Mereka ditahan di bawah ISA hanya direka-reka kesalahan bagi menghalalkan kerajaan bertindak,” ujarnya.

Sementara itu Dewan Ulamak PAS Kelantan melahirkan rasa terkejut dan dukacita apabila ada pihak cuba mengaitkan nama Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan JI.

Ketuanya, Datuk Mohamed Daud berkata, situasi yang berlaku sekarang memperlihatkan kerajaan berada dalam dilema yang amat sangat sehingga terpaksa mencipta isu baru bagi mengalih perhatian rakyat.

”Tuduhan seperti ini boleh menjejaskan kewibawaan dan keilmuan seseorang. Begitu juga tenaga akademik di IPT cuba dibabitkan dengan isu tersebut sedangkan kerajaan tiada bukti bagi mempertahankan dakwaan,” ujarnya.

Read more ...

Kelantan perjelas pemulauan Kelantan Fiesta 2010

KOTA BHARU, 24 Jun: Ekoran pelbagai tuduhan dilemparkan oleh Red Carpet Worldwide Sdn Bhd selaku pengurus acara Kelantan Fiesta 2010, persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan semalam didedahkan perkara sebenar di sebalik tindakan pemulauan majlis perasmian majlis itu 16 Jun lalu.

Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan yang juga salah seorang pengerusi bersama jawatankuasa induk Kelantan Fiesta 2010 sewaktu menggulung perbahasan semalam memberitahu, keputusan tidak hadir ke majlis perasmian tersebut dibuat ekoran Red Carpet melanggar perjanjian (Event Management Agreement).

Antaranya termasuklah tidak membenarkan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku tuan rumah untuk memberikan ucapan pada majlis tersebut yang diberitahu pada mesyuarat jawatankuasa induk 13 Jun lalu.

Mereka dimaklumkan bahawa yang dibenarkan berucap hanya dua orang iaitu wakil Red Carpet dan Perdana Menteri.

Menurutnya, seorang pegawai Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan memberitahu bahawa arahan agar slot ucapan Menteri Besar Kelantan ditiadakan dibuat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Mustapha Mohamed.

"Mula-mula saya tak percaya. Saya telefon, saya bercakap sendiri dengan Datuk Pa, didengar oleh pegawai JPP, TSUK Pengurusan. Datuk Pa kata menteri besar tak payah berucap," jelasnya.

Menurutnya, dalam perjanjian asal telah dipersetujui bahawa Tuan Guru salah seorang yang akan memberi kan ucapan dan telahpun dimasukkan dalam buku taklimat atucara majlis yang dibuat sendiri Red Carpet.

Tuan Guru, katanya dijangka berucap jam 9 malam sebelum ucapan perasmian oleh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.

"Menteri Besar sebagai hos, tuan rumah, memang wajar berucap dalam majlis perasmian itu. Tak kan Perdana Menteri datang sorang-sorang tak tahu kepala ekor datang berucap begitu.

"Umpama kita pergi rumah orang, tuan rumah tak buka mulut lagi, kita dah bercakap," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Negeri.

Pelanggaran kedua, katanya apabila pihak Red Carpet dalam satu sidang media 13 Jun yang dilaporkan akhbar Utusan, mendakwa Perdana Menteri yang akan merasmikan program tersebut sedangkan perjanjian mengikut perjanjian asal, perasmi adalah Pemangku Raja Kelantan.

Lebih teruk dari itu, Red Carpet juga mencetak bunting program perasmian dengan meletakkan gambar Najib yang dinyatakan sebagai perasmi program.

Menurutnya, Pemangku Raja telah pun bersetuju untuk berangkat merasmikan program tersebut melalui satu surat dari pejabat Sultan Kelantan bertarikh 14 Jun.

Namun pada 16 Jun, satu lagi surat dari pejabat Sultan Kelantan memaklumkan Pemangku Raja tidak dapat berangkat merasmikan program tersebut atas sebab-sebab tertentu.

"Oleh kerana senario berlaku, masalah pelanggaran syarat perjanjian, dan juga kita anggap sebagai satu program yang tidak mematuhi syarat, dan satu penghinaan kepada Yang Maha Mulia Pemangku Raja.

"Jadi mesyuarat exco buat keputusan, menteri besar, exco dan pegawai kerajaan tidak akan hadir," katanya.

Dalam penjelasannya juga, Takiyuddin turut menjawab beberapa tuduhan yang dilemparkan Red Carpet kepada kerajaan negeri termasuk menuduh kerajaan negeri mensabotaj program berkenaan.

"Jadi apabila hujan datang, ribut datang, seolah-olah kerajaan negeri boikot dengan bawa hujan ribut sekali," katanya disambut ketawa ahli dewan.

Pada malam 16 Jun lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menggantikan Perdana Menteri merasmikan Kelantan Fiesta 2010 hanya dengan kehadiran kira-kira 300 orang sahaja.

Majlis berlangsung dalam suasana hujan lebat mencurah-curah dengan bekalan elektrik turut terputus sehingga terpaksa menggunakan loud hailer.

Read more ...

Siasat Najib berbohong dalam Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR, 24 Jun : Ahli Parlimen Kuching, Chong Chieng Jen meminta supaya Speaker menyiasat kenyataan jawapan Perdana Menteri dalam Dewan Rakyat yang dianggap satu pembohongan bahawa kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak menjanjikan apa-apa projek atau program semasa kempen pilihan raya kecil Sibu 16 Mei lalu.

Sebaliknya Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan hanya melaksanakan projek atau program yang telah dirancang lebih awal daripada PRK tersebut.

Walau bagaimanapun Chieng Jen berkata bukti ucapan Najib yang disiarkan secara meluas dalam 'youtube' membuktikan Najib membuat janji berbentuk rasuah kepada penduduk Rajang Park pada malam sebelum hari pengundian

Beliau menggunakan Peraturan Mesyuarat 36(12) berhubung jawapan bertulis Perdana Menteri mengenai jumlah peruntukan yang diumumkan semasa PRK Sibu.

Ketika ditemui di lobi parlimen tengahari tadi Chieng Jen berkata jawapan tersebut mengelirukan kerana jawapan Najib bercanggah dengan hakikat yang berlaku semasa kempen PRK Sibu.

"Ini adalah satu pembohongan yang besar dan nyata kerana di dalam 'youtube' kita telah melihat satu video klip di mana ucapan Najib di Rejang Park sehari sebelum hari mengundi beliau telah berkata 'you help me, I help you, you give me Robert Lau for Sibu, I give you RM3 million'.

"Ini adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan raya dan menjadi satu perjanjian dalam pilihan raya kecil itu."Seramai 93,000 orang telah menonton apa yang Najib cakap, mana boleh pegawai di Jabatan Perdana Menteri mengatakan Perdana Menteri tidak membuat janji," tegas beliau.

Dalam pada itu, Chieng Jen juga turut merujuk kepada PRK Hulu Selangor di mana kerajaan Umno-Barisan Nasional menjanjikan sekolah bernilai RM3 juta kepada masyarakat Cina jika BN menang.

"Oleh itu, saya meminta Yang DiPertua Dewan Rakyat untuk menyiasat kerana daripada 'prima facie' menunjukkan Perdana Menteri telah berbohong tentang hal tersebut di Dewan Rakyat.

"Walau pun jawapan itu berkemungkinan disediakan oleh pegawai di Jabatan Perdana Menteri, beliau sebagai ketua harus bertanggungjawab dengan tindakan pegawainya yang telah menyelewengkan Dewan ini," katanya lagi

Beliau berkata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah berjanji untuk menyiasat perkara itu dan akan memberikan keputusannya dalam masa yang terdekat.

Semalam, dalam jawapan kepada soalan hampir serupa yang diajukan oleh Ahli Parlimen Sibu Wong Ho Leng, Najib berkata sejumlah RM37.7 juta dana dibelanjakan pada PRK Sibu.

Bagi PRK Sibu, kerajaan meluluskan 107 program atau rancangan yang bernilai RM37.7 juta untuk dilaksanakan di seluruh kawasan parlimen itu.

Dana itu untuk dibelanjakan bagi infrastruktur fizikal, sumbangan dan bantuan tunai sertai program sosial.

Menurut carta yang dibekalkan oleh Najib sejumlah RM28.7 juta dibelanjakan bagi sumbangan dan bantuan tunai semata-mata.

“Kerajaan tidak pernah menjanjikan program atau projek kepada rakyat semasa kempen pilihan raya di seluruh negara termasuk di Sibu,” kata Najib lagi dalam jawapan bertulisnya itu.

Read more ...

Judi bola: DAP cabar Rais namakan pertubuhan Cina












KUALA LUMPUR, 24 Jun: DAP mencabar Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim menyatakan pertubuhan Cina yang didakwa memohon kerajaan meluluskan judi bola sebelum ini.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, dakwaan Rais itu langsung tidak berasas.

"Saya ingin tanya sama beliau, manakah dan siapakah pertubuhan Cina yang memohon kepada kerajaan pusat sebelum ini untuk menghalalkan judi bola.

"Kerana dalam pengetahuan saya tidak ada sebarang pertubuhan cina yang meminta judi bola dihalalkan. Saya nak tahu saja," katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Rais dalam sebuah akhbar hari ini bahawa kerajaan perlu menghalalkan judi kepada orang bukan Islam sebagai menghormati hak mereka.

"Saya terkejut dengan kenyataan Datuk Seri Rais Yatim yang sekarang menganggap dirinya pakar hal ehwal Cina dengan menyatakan bahawa adalah perlu untuk menghalalkan judi bola kerana hanya dengan menghalalkan judi barulah kita boleh menghormati dan mengiktiraf hak-hak kaum Cina dan India," katanya.

Beliau turut menegaskan, masyarakat Cina tidak pernah meminta judi dihalalkan kononnya untuk mengiktiraf hak mereka.

"Saya ingin nyatakan di sini bahawa masyarakat Cina tidak meminta bahawa judi bola dihalalkan sebagai tanda hak-hak mereka dihormati dan diiktiraf.

“Saya ingin menekankan di sini permintaan daripada masyarakat Cina atau India atau masyarakat bukan Melayu, Iban, Kadazan adalah sama dengan semua permintaan masyarakat Malaysia iaitu berteraskan prinsip kebebasan, keadilan, kebenaran, kebajikan kepada rakyat dan ketakwaan kepada Tuhan. Itulah permintaan daripada masyarakat Cina,” ujarnya.

Katanya, Umno seolah-olah begitu berminat untuk menghalalkan judi berbanding masyarakat bukan Islam.

"Bukan seperti yang Umno cakap bahawa berkisar ke atas judi sahaja. Nampaknya Umno lebih minat dengan judi daripada orang-orang lain. Tapi jangan pula cakap itu permintaan masyarakat Cina dan hanya dengan memberikan judi bola barulah masyarakat Cina, India dan bukan Melayu dapat dihormati. Saya memang tidak bersetuju dengan pandangan sedemikian,” katanya.

Beliau juga menafikan kenyataan sesetengah pihak bahawa DAP mengharamkan sepenuhnya judi sebaliknya beliau berkata, DAP mahu judi dikurangkan.

"Saya bukan minta judi diharamkan terus tapi dikawal. Pendirian kita, yang sudah diluluskan biarkan tapi jangan tambah. Kalau boleh kita kurangkan," katanya.hrkh

Read more ...

RMK-10 tidak mesra anak muda


IPOH, 24 Jun :
Pembentangan bajet RMK-10 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, disifatkan sebagai tidak mesra anak muda.

Pengarah Institut Pemikir Muda Malaysia (IPMM), Mohd Hafez Sabri berkata, berdasarkan bajet berkenaan, pihak kerajaan perlu memperincikan peranan generasi muda sesuai dengan pembentukan ekonomi berasaskan inovasi serta kreativiti bagi menjayakan RMK-10.

Menurutnya, perincian itu perlu dilaksanakan kerana generasi muda adalah komposisi terbesar negara pada masa hadapan.

“Bersesuaian dengan ekonomi berasaskan inovasi dan kreativiti, generasi muda berperanan mencorak keadilan sosial dan ekonomi beridentitikan acuan Malaysia.

“Justeru, IPMM melalui badan penyelidikan dan strategiknya mencadangkan beberapa langkah yang perlu diberi perhatian kerajaan.

“Antaranya, memastikan jaminan pendapatan asas dan minima, menggalakkan belia lebih ke hadapan dalam membahaskan polisi ekonomi secara efektif serta menyediakan saluran penambahbaikan dan ‘postmortem’ perjalanan belanjawan perlu diwujudkan bagi memastikan ketelusan kewangan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hubungan Luar dan Antarabangsa IPMM, Abdul Rahman Jabir berkata, tindakan kerajaan membentuk golongan pekerja berkemahiran tinggi mampu menjayakan hasrat membentuk rakyat berpendapatan tinggi.

Katanya, langkah berkenaan dilihat bermanfaat bagi mengukuhkan jaringan ekonomi serantau.

“Menerusi perkongsian pengetahuan serta latihan kemahiran, IPMM yakin kesatuan ekonomi dapat diwujudkan.

“Sekali gus, ianya dapat membantu dalam sektor pembangunan kelak dan membantu mengurangkan pekerja asing di negara ini,” katanya.SH

Read more ...

Wednesday, June 23, 2010

Rakyat makin tertindas bila Umno lama berkuasa



IPOH , 23 Jun : Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussain dalam kenyataannya menyatakan bahawa umno/bn adalah sebuah pemerintahan yang berkuasa terlalu lama secara mutlak tanpa dapat dibendung akan menyebabkan penindasan terhadap rakyat.

Menurut beliau dengan membiarkan sesuatu parti membolot kuasa terlalu besar akan menyukarkan rakyat untuk mendapat pembelaan yang berkesaan apabila mereka menggubal dan melaksanakan sebarang polisi itu sendiri yang sduah semestinya mempunyai kepentingan lain dari apa yang dikehendakki oleh rakyat.

Selain itu UMNO/BN umpama parti yang terlalu jenuh membolot kuasa menyebabkan tuntutan rakyat menjadi perkara sampingan apabila berdepan dengan kepentingan mereka yang hanya mengutamakan tembolok kelompok didalam kumpulan masing-masing.

Menurut beliau lagi, penyalahgunaan kuasa oleh UMNO/BN sebagai sebuah parti pemerintah yang tidak menghormati undang-undang perlu ditolak. Dengan mempunyai kuasa yang terlalu besar di Pusat perkara ini akan menyebabkan pemerintah itu menjadi sebuah kerajaan yang autokratik.

Ini bermakna sebarang ketidakpuasan hati rakyat tidak akan dilayan kerana tidak ada suara yang seimbang untuk menghalang sebarang ketidakadilan yang dilakukan oleh kerajaan.

Beliau menyatakan lagi, isu rasuah yang masih berterusan dan menjadi amalan pemimpin UMNO/BN akan berkembang tanpa banyak harapan untuk dibanteras. Dalam hal ini kerajaan yang sarat dengan kuasa lebih memperhitungkan pemodal politik daripada rintihan rakyat.

Beliau menjelaskan bahawa UMNO/BN sebagai pemerintah yang memberi peluang yang lebih kepada golongan elit hendaklah ditolak. Dewasa ini rakyat terbanyak masih berada di dalam kehidupan yang sulit, walaupun waktu singkat dalam kempen PRU ke-13 akan dijadikan masa untuk melambakkan bantuan kepada rakyat, namun kesengsaraan rakyat bawahan akan terus menjadi kenyataan apabila pilihan raya selesai.

Sehubungan itu beliau menyarankan agar rakyat bertindak secara kolektif untuk memeberi ruang dan peluang kepada kepimpinan Pakatan Rakyat untuk membawa arus perubahan baru dalam meningkatkan semula tahap kehidupan rakyat kearah lebih selesa dan harmorni dalam mencapai harapan rakyat untuk mendapat keselesaan hidup di Negara ini.

Read more ...

SU Politik baru MB Selangor


SHAH ALAM, 23 Jun : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim secara rasmi mengumumkan pelantikan Faekah Husin sebagai Setiausaha Politiknya yang baru bagi menggantikan Nik Nazmi Nik Ahmad yang akan memulakan tugas sebagai Pengarah Penerangan dan Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Faekah yang merupakan anak kelahiran Telok Panglima Garang, merupakan graduan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya sebelum diterima masuk sebagai Penguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya.

Beliau juga merupakan rakan kongsi firma guaman Faekah & Choung dan turut memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Selangor (UNISEL) dan menjadi Setiausaha Syarikat Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) selain menjawat jawatan sebagai Ketua Wanita Keadilan Bahagian Kuala Langat.

Khalid dalam sidang medianya selepas pengumuman itu turut mengucapkan tahniah kepada Nik Nazmi yang bakal memikul tugas yang lebih mencabar bagi menjana parti sebagai parti utama dalam Pakatan Rakyat (PR) agar dapat diurus dengan baik.

“Mulanya saya masih mengharapkan beliau (Nik Nazmi) kekal mengalas tugas sebagai setiausaha politik, namun memandangkan tugas dalam parti sangat mencabar, saya memberi peluang beliau melepaskan jawatan.

“Bagi saya Nik Nazmi mempunyai potensi kepimpinan politik yang sangat baik pada masa hadapan,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Mengulas mengenai pelantikan Faekah, Abdul Khalid berkata, setiausaha politik kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) itu mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pentadbiran dan juga politik.

“Saya gembira dikelilingi oleh rakan-rakan reformasi yang sama-sama berjuang untuk rakyat. Saya juga berterima kasih kepada Faekah kerana sudi menerima jawatan baru ini walaupun saya percaya bidang guaman memberi lebih keselesaan kepada beliau.

“Apa yang saya harapkan ialah kedua-duanya (Faekah dan Nik Nazmi) yang datang dari kumpulan reformasi ini dapat bekerjasama untuk memastikan tujuan kami sebagai kumpulan yang mahukan perubahan dari segi pentadbiran dan arah mana negara ini ingin dibawa tercapai,” katanya yang turut mengakui Nik Nazmi dan Faekah adakah dua individu yang tidak boleh dipersoalkan integriti mereka.

Sementara itu Faekah dalam ucapan ringkasnya menganggap jawatan baru yang disandang sebagai cabaran baru untuk beliau mempelajari perkara baru.

“Saya ucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk sama-sama menerokai fasa 2 perjuangan reformasi. Saya ada bertanya MB apa KPI setiausaha politik? dan MB menjawab KPI ahli politik adalah rakyat. Kita perlu tunaikan janji dan bela nasib rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai tugas beliau sebagai setiausaha politik kepada Wan Azizah, Faekah berkata, beliau hanya sempat memberitahu mengenai pelantikan itu kepada Wan Azizah melalui emel.

“Presiden parti tidak mempunyai halangan mengenai pelantikan ini. Dan saya akan terus berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada beliau sehingga Presiden melantik setiausaha politik yang baru untuk saya serahkan tugas,” katanya.SH

Read more ...

Pimpinan PAS perlu istihar harta

KL. JUN 23 10: PAS Kawasan Batu mendesak PAS Pusat agar menyediakan polisi peristiharan harta pada setiap tahun kepada umum atau media. Demikian dinyatakan oleh yang juga Naib YDP Kawasan tersebut, dalam blognya 'SanggahTokSago.com'.

Menurutnya, hal ini melibatkan mana-mana pimpinan dan ahli yang berjawatan atau lantikan politik dalam kerajaan yang dimenangi, atau wakil rakyat di negeri dimenangi pihak lawan, bagi mempastikan ciri-ciri ketelusan, integriti, amanah dalam menjalankan tugas, tanggungjawab agar ia benar-benar terlaksana, tidak menjadikan jawatan politik sebagai “batu loncatan” untuk mengisi serta memenuhi kepentingan diri sendiri.

Keputusan ini dibuat kerana:

Pertama: Menyedari isu ketelusan dan integriti mampu memperkuatkan sesebuah kerajaan melalui penghormatan, kepercayaan dan keyakinan tinggi rakyat tanpa berbelah-bahagi;

Kedua: Menyedari kerajaan pembangkang seperti Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan yang sentiasa diintip, dicari kesalahan, direka-reka kebobrokan dan dinanti-nantikan kepincangan oleh musuh-musuh politiknya serta diakui isu-isu dan kes-kes dalaman parti dan individu mampu menggugat dan memusnahkan kuasa dan masa depan parti;

Ketiga: Menyedari melalui kuasa yang diperolehi dari amanah rakyat pada pilihan raya umum lalu, selain menjadi wakil rakyat terdapat jawatan-jawatan lantikan politik yang penting dalam kerajaan yang dimenangi, yang menjadi lubuk kekayaan serta terdedah kepada rasuah;

Keempat: Menyedari tidak pernah diamalkan oleh PAS untuk mana-mana pimpinan dan ahli yang berjawatan / lantikan politik dalam kerajaan yang dimenangi atau wakil rakyat di negeri yang dimenangi pihak lawan; mengisitiharkan harta kepada umum;

Kelima: Menyedari tiada polisi khusus yang disediakan oleh PAS agar mana-mana pimpinan dan ahli yang berjawatan / lantikan politik dalam kerajaan yang dimenangi atau wakil rakyat di negeri yang dimenangi pihak lawan; mengisitiharkan harta kepada umum pada setiap tahun.

Read more ...

Menjelang Pilihanraya Sarawak : Penduduk Penan diserang


KUCHING , 23 Jun : Polis Sarawak didakwa menyokong keganasan apabila membenarkan syarikat pembalakan Lee Ling Sdn Bhd, membubarkan sekatan di jalan-jalan balak di kawasan penempatan peribumi Sarawak di Limbang.

Merujuk kepada kejadian 20 Jun lalu, kumpulan pejuang hak kaum peribumi, Yayasan Bruno Manser (BMF), berkata Lee Ling menghantar tiga anggota polis yang tidak berpakaian seragam dengan kenderaan syarikat berkenaan ke kawasan sekatan di Long Sebayang.

Seorang anggota polis itu yang dilengkapi dengan sepucuk pistol dan mengarahkan penduduk sekitar supaya yang membubarkan sekatan dan memberi laluan kepada Lee Ling untuk membawa keluar balak yang ditebang.

Menurut penduduk tempatan, Lee Ling bercadang untuk menebang pokok di kawasan berkenaan dan menjadikannya sebagai kawasan perladangan.

Sekatan berkenaan didirikan oleh penduduk Lun Bawang, Penan dan Tabun dari kampung sekitar sebagai usaha terdesak mereka sejak kebelakangan ini bagi menghalang tanah adat dan pusaka mereka daripada terus dicabuli. Walaupun banyak sekatan didirikan, sebahagian besarnya telah dirobohkan oleh polis.

Kerajaan Taib tidak mengiktiraf Hak Pusaka Orang Asli (NCR) meskipun ia termaktub dalam adat resam mereka dan juga perlembagaan negeri dan persekutuan.

Penduduk di kawasan pendalaman Limbang itu juga membuat laporan polis mendakwa dikasari oleh pekerja Lee Ling. Namun mereka mendakwa, tiada siasatan polis dijalankan berbanding sokongan yang diberikan kepada syarikat pembalakan itu.

Aking Anung, seorang penduduk Penan dari kampung Long Keneng, membuat laporan polis di Limbang, mendakwa dia diserang di sekatan jalan oleh pengurus Lee Ling yang bernama “Ah New”, pada hari polis membuat lawatan. Dakwa Aking, pengurus itu mengugutnya dengan sebilah parang.

Setelah diserang, Aking berkata dia melarikan diri kerana tidak mahu dicederakan.

Bita Pelisi, seorang lagi penduduk di sekatan jalan itu juga mendakwa “Ah New” menyerangnya di bahagian muka sehingga menyebabkan hidungnya berdarah.

Katanya, pekerja Lee Ling kemudian mengugut penduduk bahawa mereka akan membawa lebih ramai orang untuk membelasah mereka jika sekatan tidak dirobohkan.

Raziah Mahmud, adik kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, adalah antara lembaga pengarah di firma Quality Concrete, yang merupakan syarikat induk Lee Ling.

Read more ...