Sunday, October 3, 2010

Umno semakin berserabut

















KEPALA BATAS, 3 Okt: "Biarkan Umno terjun dengan labu-labunya," itulah reaksi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap serangan Umno yang kian serabut dengan wang pemberian warga emas RM100 dan wang pengurusan jenazah warga emas sebanyak RM1,000.

Ujarnya, jika ada warga emas yang mahu memulangkan pemberian Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, mereka boleh berbuat demikian dengan mengutus surat mengatakan mereka tidak mahu menerima terus pemberian yang diperuntukkan kepada mereka setiap tahun.

“Jangan berikan kepada Umno, bimbang mereka mempergunakan wang itu untuk tujuan yang tidak manasabah kerana sejarah telah membuktikan parti itu sering tidak amanah terutamanya peruntukan menjelang pilihan raya kepada para petugas,” katanya.

Namun begitu, ujarnya kerajaan negeri tidak hairan dengan desakan Umno Kepala Batas dan yang terbaru di Bayan Baru kononnya mereka bersama dengan penduduk miskin menentang usaha murni kerajaan negeri berjiwa rakyat yang berusaha meningkatkan martabat bangsa, agama dan sosioekonomi menerusi penjimatan yang dilakukan.

"Sebelum ini Umno tidak pernah berikan sesen pun wang kerajaan kepada rakyat miskin yang mereka tahu golongan miskin diperkotakkatikan semasa pilihan raya tidak kira kecil ataupun umum," tambahnya ketika ditemui selepas meraikan sambutan Aidil Fitri PAS Kawasan Kepala Batas di Dewan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Bertam petang tadi.

Katanya, Umno nampak serius melemparkan fitnah terhadap kerajaan negeri kononnya pemberian wang warga emas dan pengurusan jenazah daripada hasil judi sedangkan pemimpin mereka sendiri bergelumang dengan hasil judi.

Malahan, kata beliau ada antaranya terlibat menjadi jawatankuasa organisasi berhubung dengan perjudian.

“Jika macam itu bagaimana pendapatan mereka untuk diberi makan keluarga,” katanya.

Menurutnya, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farisan Darus sendiri telah menjelaskan sebelum ini bahawa wang sumbangan syarikat judi lumba kuda diasingkan untuk masyarakat bukan Islam dalam Rakan Anti Kemiskinan (RAK) bukan wang warga emas atau pengurusan jenazah.

"Saya pun tahu judi haram untuk orang Islam, maka kita asingkan tabungan itu, wang RM100 dan RM1,000 itu diambil dari wang penjimatan kerajaan," jelasnya.

Apa pun, tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Putih, tekanan yang dibuat oleh Umno BN itu membuatkan semua jentera kerajaan dan parti melaksanakan kerja dengan lebih efisyen.

Bukan sahaja jentera, ujarnya bahkan semua Exco dan kepimpinan parti dalam gabungan Pakatan Rakyat bertungkus lumus merangka program untuk memperjelaskan keadaan sebenar kepada rakyat.hrkh

Read more ...

Selangor beri buku teks percuma kepada pelajar sekolah rendah agama














KUALA LUMPUR, 4 Okt: Para pelajar sekolah rendah agama (SRA) seluruh Negeri Selangor mulai sesi persekolahan 2011 akan menerima buku teks agama percuma di bawah Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali berkata, seramai 125,250 pelajar yang melibatkan 206 SRA akan menerima kemudahan itu.

Katanya, jumlah implikasi kewangan yang terlibat adalah sebanyak RM4,261,738 yang diluluskan melalui sumber Lembaga Zakat Selangor.

“Kerajaan juga bercadang untuk melebarkan skim dan kemudahan ini ke sekolah agama menengah, kelas al-Quran dan fardu ain dan prasekolah Jais di masa depan,” ujarnya yang juga Adun Gombak Setia.

(Gambar: Dr Hassan bersama tetamu veteran pada Rumah Terbuka Hari Raya di kediamannya, kelmarin.)

Selain itu, tambahnya, kerajaan negeri juga telah meluluskan kenaikan elaun pembersih kawasan di SRA gred B dari RM100 kepada RM500 dan SRA gred C dan prasekolah Jais dari RM100 kepada RM300.

“Sementara untuk keceriaan dan membersihkan kawasan di semua SRA gred A telah diswastakan,” katanya pada sidang media di kediamannya di Pinggiran Taman Tun Dr Ismail, dekat sini, kelmarin.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM621,600 setahun untuk tujuan menaikkan elaun SRA gred B, gred C dan prasekolah Jais.hrkh

Read more ...

PAS tetap letak calon di Galas



KUALA LUMPUR, 3 Okt. : PAS membuat keputusan muktamad akan meletakan calon bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang kosong selepas penyandangnya dari parti itu meninggal dunia Isnin lalu.


Pendirian ini dicapai pada mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat PAS di sini, petang tadi.
PAS juga melantik Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Fatah Harun sebagai pengarah operasi manakala Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Datuk Halim Abdul Rahman sebagai pengarah strategi.

“Mesyuarat tadi ada membincangkan soal pilihan raya kecil Galas, kami sudah mengambil keputusan akan bertanding untuk mempertahankan kerusi Galas,” kata Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar (gambar) ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Bagaimanapun kata beliau, mesyuarat hari ini tidak menyentuh soal cakap-cakap bahawa Umno-BN akan menurunkan Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bertanding di Galas.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 Oktober lepas akibat barah usus.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengumumkan tarikh pilihan raya kecil Rabu ini.
Mahfuz juga berkata pihaknya juga tidak membincangkan soal calon pada mesyuarat hari ini.
“Lagipun kawasan Gua Musang dan negeri belum membincangkan soal calon, ia belum diangkat ke peringkat negeri.

“Perkara itu akan dibincangkan selepas kemudian. Tarikh pelancaran jentera dan pengumuman nama calon akan diputuskan oleh jawatankuasa jentera pilihan raya yang dibentuk,” kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Dalam pada itu, seorang lagi Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga mengesahkan isu soal calon tidak disentuh hari ini.

Mengenai saranan kemungkinan Tengku Razaleigh akan diturunkan oleh Umno-BN, Tuan Ibrahim menjelaskan pihaknya juga tidak menyentuh soalan itu, lagi pun Ahli Parlimen Gua Musang itu sendiri tidak mengatakan apa-apa.

“Kami hanya bincang soal pembentukan jawatankuasa operasi dan induk... soal Ku Li bukan agenda mesyuarat,” katanya lagi.

Kata Tuan Ibrahim, satu mesyuarat khas akan diadakan kemudian untuk membincangkan soal calon khususnya selepas tarikh pilihan raya kecil diputuskan.

Read more ...

Budayakan pembacaan Al- Quran

IMG_0738.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR, 3 Okt. : Dewan Muslimat PAS Parit Buntar telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sebagai tanda kesyukuran serta mengiktiraf muslimat yang menghabiskan bacaan Al-Quran keseluruhannya.

Pengarah Majlis Khatam Al Quran Azizah Awang berkata, Majlis Khatam Al-Quran yang melibatkan lebih 60 orang muslimat diadakan bertujuan membudayakan pembacaan Al-Quran di samping merapatkan persaudaraan Islam.

“ Khatam Al Quran bukanlah memberi kita lesen untuk menyimpan Al Quran di rak buku dan meninggalkan bacaannya. Bukan juga memberi lesen kepada kita untuk tidak lagi belajar ilmu Al Quran.

“ Kita bukan sahaja membaca Al Quran malah perlu mendalami dan memperhalusi lagi pengajian Al-Quran, bahkan mengkaji dan mempraktikan apa yang terisi di dalamnya” katanya ketika ditemui di Pusat Tarbiyyah PAS Parit Buntar, Titi Serong.

Azizah berkata, amalan membaca Al Quran adalah salah satu daripada ciri-ciri budaya Islam yang sewajarnya dilakukan sepanjang masa dan sepanjang hayat.

“ Bukan sahaja pahala dan fadhilat yang kita perolehi,malahan ia menjadi salah satu syi'ar agama Islam yang dapat dilihat dan dicontohi oleh orang-orang bukan Islam.

“ kepentingan membaca al-quran dan memahami serta beramal dengannya kerana Al Quran itu adalah sebuah kitab yang tiada keraguan didalamnya dan menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa” katanya

Sementara itu , Ustazah Hamisah Hamzah telah menyampaikan tazkirah menerangkan kelebihan-kelebihan membaca Al Quran .

“ Allah memberi pahala yang amat besar kepada orang yang membaca Al-Quran, tiap-tiap satu huruf ada pahalanya dan tiap-tiap satu ayat pun ada ditentukan pahalanya yang tidak sama antara satu dengan yang lain.

“ Orang yang selalu membaca Al-Quran semata-mata kerana Allah diberi kelebihan yang tinggi dan berbeza semasa mereka masih hidup ataupun sesudah berada di akhirat, di samping kemuliaan yang dikurniakan kepada orang yang membaca Al-Quran kelebihan melimpah juga kepada kedua ibubapanya” katanya

Read more ...

Umno / BN luluskan lesen judi Toto, Magnum, Empat Nombor Ekor, Genting dan kilang arak serta rumah urut











TASEK GELUGOR, 3 Okt: Sepanjang perjuangan dalam politik negara, Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menentang kewujudan judi dalam negara ini.

Sejak menerajui negara, Umno dan BN banyak meluluskan lesen judi seperti Toto, Magnum, Empat Nombor Ekor, Genting dan juga kilang arak seperti Carlsberg serta rumah-rumah urut.

Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu, perjuangan PAS sentiasa menentang kemungkaran yang dilakukan oleh Umno dan BN.

"Sepengalaman saya selama tiga penggal menjadi ahli Parlimen, tidak pernah ada pemimpin Umno yang bangun menentang pemberian lesen judi yang dikeluarkan dalam negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah isu semasa di Pongsu Seribu, Tasek Gelugor malam tadi. Turut hadir ialah Exco Masyarakat Penyayang Negeri, Phee Boon Poh.

Dalam majlis tersebut juga sebanyak 200 borang pendaftaran warga emas baru bagi kawasan Parlimen Tasek Gelugor telah disampaikan kepada Phee untuk didaftarkan dalam sistem pendaftaran kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan yang dipimpin oleh Umno jugalah yang mewujudkan Loteri Kebajikan Masyarakat sehingga menimbulkan polemik di kalangan masyarakat Islam suatu ketika dahulu.

"Namun begitu, sejarah ini mereka lupa dan pinggirkan. Memang Umno mudah lupa kerana pemimpin mereka juga sering lupa akan apa yang telah mereka lakukan sebelum ini," ujarnya lagi.

Katanya lagi, dalam isu sumber judi yang didakwa digunakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Mohamad membidas Umno negeri yang cuba mempolitikkan warga emas bagi kepentingan mereka.

Justeru, ujarnya dakwaan yang mengatakan warga emas menerima sumber judi dari kerajaan negeri sepatutnya diperhalusi dengan teliti dan jangan buat serangan semberono.

"Bagaimana dengan 'sin-tax' atau cukai dosa yang pernah dibangkitkan dalam Parlimen sebelum ini. Ada soalan bagaimana wang dari sumber judi yang dikutip oleh Kerajaan Pusat seperti cukai penjualan judi, arak, rumah urut dihabiskan.

"Walaupun mereka faham dan tahu hakikat kebenarannya, tetapi Umno dan BN senantiasa menyerang Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) khususnya di Pulau Pinang bagi memperlihatkan kepada rakyat negeri ini bahawa PR tidak mampu untuk memimpin negeri," tegasnya lagi.

Beliau juga menyelar Umno Pulau Pinang yang mempolitikkan isu pemberian wang RM100 kepada warga emas yang disifatkan sebagai sumber dari wang judi.

Katanya lagi, sepatutnya Umno melihat kembali perlakuan mereka dalam menyalurkan wang kutipan hasil judi seluruh negara dan ke mana disalurkan wang dari punca tersebut sebelum menuduh orang lain bertindak sebaliknya.

"Inilah antara bukti terkini bahawa Umno dan BN itu sudah terdesak dan terpaksa memainkan pelbagai isu agama dan kaum supaya sokongan dapat diraih kembali.

"Saya juga yakin tindakan mereka ini adalah kerana ketakutan yang teramat sangat kehilangan kuasa berterusan yang tidak pernah diimpikan selama ini telah menjadi realiti dalam tahun 2008, kini dan selamanya," katanya lagi.hrkh

Read more ...

Puad Zakarshi gagal berhujah

KOTA BHARU, 3 Okt: Jarang kita melihat ada menteri yang diboo orang ramai pada wacana perdana apabila jawapan diberi tidak dapat diterima penonton.

Itulah nasib yang menimpa Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Puad Zakarshi apabila menganggap Kelantan tidak disisih dalam konteks semangat federalisme di negara ini.

Katanya, penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) tidak menggambarkan Kelantan diganggu gugat kerajaan Persekutuan.

“Sebenarnya ramai tidak faham apa itu federalisme,” katanya ketika menjawab soalan pada wacana perdana bertajuk Wawasan 2020, Realiti atau Ilusi yang diadakan di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre di sini, malam tadi.

Belum pun sempat Puad menjawab orang ramai meneriak dan memboo berkali-kali jawapannya.

Ekoran itu katanya, ”kalau tidak mahu mendengar tak apa lebih baik saya alih kepada soalan lain.”

Sejak awal wacana lagi Dr Puad tidak disenangi penonton apabila banyak jawapannya lebih bersifat teknikal yang sukar difahami orang ramai yang memenuhi ruang dewan tersebut.

Dua lagi ahli panel, anggota Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr Maamor Osman. Manakala Prof Madya Dr Mohd Agus Yusof bertindak sebagai moderator.

Wacana siri keenam itu dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Majlis Perbandaran Kota Bharu dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Pada wacana yang diadakan pertengahan tahun lepas, Puad membatalkan kehadiran di saat-saat akhir.

Ekoran itu pihak penganjur menjemputnya buat kali kedua malam tadi.

Ketika menjawab isu tuntutan royalti minyak kerajaan Kelantan, Puad mengulangi pendirian kerajaan pusat dengan mengatakan negeri ini tidak layak menerimanya.

Asas jawapan yang digunakan iaitu lebih dari tiga batu nautika.

Bagaimanapun hujah itu ditolak Saifuddin dengan membentang fakta perjanjian di antara kerajaan negeri dan Petronas pada 1975.

Ketika Dr Puad menyebut fakta 3 batu nautika penonton sekali lagi naik angin dengan menyebut pelawak (bohong).

Malah katanya, kalau ramai masih tidak puas hati beliau sanggup menyertai debat dalam isu tersebut.

Namun katanya, beliau tidak mahu menghurai panjang isu berkenaan kerana ia sudah dibawa ke mahkamah oleh kerajaan negeri.

”Biarlah mahkamah yang membuat keputusan,” katanya.

Turut mengikut forum tersebut ramai di kalangan warga pendidik.

Bagaimanapun ramai di kalangan mereka tidak senang dengan jawapan diberi Puad dalam banyak isu.

Seorang dari mereka menyebut jawapan timbalan menteri hanya berputar pada perkara yang sama kerana tidak ada hujah bernas.

Seorang lagi guru yang juga aktivis Umno mencadangkan kerajaan negeri menganjurkan wacana bertajuk 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan.

Pada sidang media selepas itu, Dr Puad memuji pihak penganjur mengadakan wacana tersebut yang dianggap sebagai satu permulaan yang baik.

Bagaimananapun beliau agak terkilan apabila penonton tidak dapat mengawal emosi.

“Sepatutnya kita mendengar dahulu pandangan orang lain.

”Wacana ini merupakan satu platform yang baik dan perlu diteruskan. Ini dapat melahirkan generasi muda yang lebih terbuka,” ujarnya.hrkh

Read more ...

DAP tutup mulut elak manipulasi media UBN


IPOH, 3 Okt . : Pemimpin-pemimpin DAP Perak mencapai persetujuan awal untuk mengambil pendirian menutup mulut berhubung krisis kepimpinan sementara menanti kepulangan timbalan pengerusi negeri, M. Kulasegaran yang kini berehat di Nepal. Kulasegaran dijangka pulang selepas seminggu.

Dalam kenyataan bersama pagi ini, Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham dan naibnya A. Sivanesan menekankan bahawa pergolakan kepimpinan negeri harus diselesaikan secara dalaman.

Kedua-dua mereka mendakwa keputusan itu dilontarkan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng ketika perbincangan dengan Ngeh.

“Lim, yang berada di luar negara kerana lawatan rasmi, bercakap dengan Ngeh sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (semalam).

“Kami bersetuju dengan saranan Lim bahawa perkara-perkara berkaitan dengan DAP Perak seharusnya ditangani secara dalaman,” kata kedua-dua mereka dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

“Oleh itu, kami tidak akan membuat sebarang kenyataan terbuka atau menjawab persoalan media mengenai isu ini,” kata Ngeh dan Sivanesan dalam kenyataan itu.

Mereka menambah bahawa pemimpin-pemimpin parti seharusnya menunggu kepulangan Kulasegaran dari Nepal sebelum membuat keputusan lanjut.

“Kami juga akan menunggu Lim memanggil satu mesyuarat, yang akan turut dihadiri (Penasihat DAP) Lim Kit Siang,” kata kedua-dua pemimpin itu.

Kulasegaran, Ahli Parlimen Ipoh Barat kini sedang mempertimbangkan semula ugutannya mahu melepaskan jawatan dalam DAP Perak ekoran permintaan rakan dan penyokongnya.

Kulasegaran membatalkan sidang media — yang dijadualkan pagi semalam untuk mendedahkan perkara-perkara yang membawa kepada keputusan mahu meninggalkan kepimpinan negeri parti.

“Ahli-ahli dan penyokong meminta saya mempertimbangkan semula pendirian saya ini. Saya akan berada (di luar negara) selama seminggu dan akan saya memaklumkan jika ada keperluan,” tambah Kulasegaran.

Pemimpin veteran ini, yang dilihat sebagai musuh ketat kepada dua sepupu dalam DAP Perak — Ngeh dan setiausaha Nga Kor Ming — kelihatan keluar daripada mesyuarat khas malam kelmarin susulan pertempuran mulut dengan kedua-dua mereka.

Menurut seorang ahli jawatankuasa yang menghadiri mesyuarat malam tadi, pertemuan itu dipanggil sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyatukan kedua-dua kumpulan Kulasegaran dan “Ngeh-Nga” yang bertelagah.

“Tetapi perbincangan perpaduan yang didakwa hanya cakap-cakap saja. Mereka (Ngeh-Nga) tidak pernah berpegang pada apa yang mereka cakap, janji-janji mereka,” katanya lagi.

Pemimpin itu menambah, perbincangan perpaduan tersebut yang digerakkan oleh pemimpin kedua-dua kumpulan bertujuan memastikan konvensyen dan pemilihan yang dijadual bulan depan berlangsung dengan lancar.

“Ada satu bentuk perjanjian agar kedua-dua pihak tidak cuba untuk menghabiskan satu sama lain... tetapi mereka (Ngeh-Nga) terus-menerus memburuk-burukkan kami (puak Kulasegaran),” kata pemimpin itu.

Masalah antara Kulasegaran dan kedua-dua sepupu berkenaan bukan sesuatu yang baru, sebaliknya berterusan lama.

Read more ...

PKR perkasa demokrasi
























SHAH ALAM, 3 Okt. : Penganalisis politik, Profesor Aziz Bari berpendapat tidak adil bagi pihak tertentu untuk 'menghukum' Parti Keadilan Rakyat (PKR) semata-mata wujud masalah pada proses pemilihan peringkat cabang parti itu.

Menganggap ia sebagai perkara baik dalam memperkasa demokrasi kepada rakyat Malaysia, beliau berkata, sebarang masalah mahupun kelemahan adalah petunjuk kedudukan kuasa rakyat dipulihkan.


"Di mana-mana negarapun, (perkara) yang baru diperkenalkan akan berhadapan masalah tetapi saya harap pada masa depan, ia akan bertambah baik," katanya kepada TV Selangor, hari ini.


Aziz mengulas paparan negatif media arus perdana memapar dan membesar-besar masalah pada proses pemilihan di beberapa cabang PKR walaupun 95 peratus cabang lain di seluruh negara, berjalan lancar.


Sebagai parti politik yang baru dan tidak memiliki prasarana lengkap, Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu berkata, rancangan pemilihan langsung harus dilihat sebagai langkah positif.


"Ini kali pertama pemimpin dipilih ahli parti secara terus. Kedua, kedudukan PKR itu dengan sendirinya terdedah pada sabotaj dan pendedahan media yang negatif. Malah, ramai ahli begitu teruja untuk menggunakan hak mereka.


"Kerana tidak ada pengalaman, maka kekecohan dan mungkin salah prosedur serta masalah lain berlaku. Ini perkara biasa," katanya.


Beliau berharap prosedur sistem pemilihan dapat diperbaiki pada masa depan supaya PKR mampu menerajui budaya politik baru dalam proses demokrasi di negara ini, dengan menghakis anasir asing baik dalam mahupun pihak luar.


"Saya rasa kalau prosedur sistem itu telus, mereka yang nak mensabotaj itu akan berasa malu dan menghentikan kerja mereka. Pada saya, sabotaj dibolehkan selagi sampai ke tahap jenayah," katanya.

Read more ...

Tarbiah agenda paling penting jemaah Islam

MARANG, 3 Okt: Ijtima' Tarbawi Dewan Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan 2010 berakhir hari ini dengan enam deklarasi.

Enam deklarasi itu disampaikan Timbalan Ketua DPPP, Azman Shapawi Abdul Rani, selaku pengarah program.

Deklarasi itu antaranya ialah DPPP bertekad untuk memperkasakan tarbiah di kalangan pemuda.

"Pemuda mesti memahami semua peringkat tarbiah dalam parti kerana tarbiah merupakan agenda yang paling penting dalam jemaah Islam," kata Azman di majlis penutup ijtima' di Masjid Rusila.

Majlis penutup disempurnakan oleh Ahli Parlimen Mesir dari Ikhwan Muslimin, Sheikh Al-Syed Abdul Mas’ud Mohamed Asqar.

DPPP turut bersetuju untuk mengukuhkan program usram sebagai asas kepada segala gerak kerja parti.

Selain itu, program ijtima' akan dijadikan sebagai program tahunan DPPP sebagai salah satu langkah untuk mengukuhkan tarbiah di kalangan pemuda di semua peringkat.

DPPP turut mengulangi pendirian mereka sebelum ini untuk memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan ulama yang merupakan tunjang kepada PAS yang memperjuangkan Islam berdasarkan ajaran al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.

Menurut Azman juga, DPPP berazam untuk membina sahsiah dalam diri setiap pemuda dengan mendalami segala ilmu pengetahuan merangkumi ilmu dunia dan juga ilmu akhirat.

Selain itu, DPPP akan menjadikan tarbiah merentasi tanzim iaitu semua gerak kerja parti adalah berorentasikan tarbiah bagi mengukuhkan kekuatan dalaman setiap ahli.

Azman dalam pada itu mengucapkan tahniah kepada semua pemuda dan pemudi yang berjaya menghadirkan diri sehingga ke akhir program berkenaan.

Kehadiran peserta yang mencecah 5,000 orang disifatkan sebagai kejayaan awal DPPP dalam memobilisasi seluruh pemuda ke setiap program dan gerak kerja.

"Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada peserta yang hadir dan istiqamah sehingga berakhirnya program.

"Kehadiran peserta ternyata melebihi jumlah yang kita sasarkan dan ini menunjukkan kejayaan awal DPPP dalam menganjurkan program sebegini," katanya.

Beliau turut memberitahu, ijtima' pemuda pada tahun hadapan akan diadakan di Pulau Melaka, Kelantan.hrkh

Read more ...

Umno tiada roh tarbiah












MARANG, 3 Okt: Umno yang menolak Islam sebagai dasar perjuangannya kosong dan tidak mempunyai roh tarbiah, berbeza dengan PAS yang menjadikan tarbiah sebagai asas perjuangannya.

Justeru itu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, program tarbiah seperti Ijtima' Tarbawi yang dianjurkan oleh Pemuda PAS tidak dapat dianjurkan oleh Umno kerana parti itu tidak mengambil Islam sebagai teras perjuangan.

"Umno, dia tolak Islam automatik dia tolak roh, bila dia tolak Islam, Nabi Muhammad pun dia tolak, al-Quran pun dia tolak, Allah Taala pun dia tolak," katanya dalam pidato sempena Ijtima’ Tarbawi Dewan Pemuda PAS Pusat di Masjid Rusila, malam tadi.

Katanya, akibat itu perjuangan Umno hanya setakat dunia sahaja.

"Umno kena reti, bila dia tolak Islam, ertinya dia tolak roh, kosongkan roh, yang tinggal jisim saja.

"Maka bagi dia segala pembangunan ni, segala hidup ini, khusus untuk dunia sahaja, akhirat dia tak fikir," ujarnya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Ini, katanya berbeza dengan PAS, yang menjadikan akhirat sebagai matlamat perjuangan, mesti mempunyai kekuatan jasmani dan rohani.

"Kita sebagai orang Islam dan memperjuangkan Islam kedua-dua (jasmani dan rohani), kita kena jaga.

"Jika kita berpolitik, kita ingat supaya selamat di dalam kubur, kita berpolitik supaya ingat di Padang Mahsyar, berpolitik supaya selamat di dalam syurga,” katanya.

Sebelum itu, beliau melancarkan buku terbaru Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang bertajuk 'Palestin Daripada Perampas Jalanan Kepada Peta Jalanan'.

Turut memberikan ceramah ialah Ahli Parlimen Ikhwan Muslimin Mesir, Sheikh Abdul Mas’ud Mohamaed Asqar, Datuk Mahfuz Omar, Ustaz Idris Ahmad dan Ustazah Nuridah Mohd Salleh.hrkh

Read more ...

Friday, October 1, 2010

Umno Pulau Pinang perdaya warga emas



GEOGRETOWN, 1 Okt. : Seramai 11 ADUN Umno di Pulau Pinang dicabar memulangkan wang gaji mereka kerana kemungkinan wang berkenaan datangnya dari sumber judi.

Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang yang membuat cabaran itu juga menggesa Umno mengarahkan semua staf dan kakitangan akhbar Utusan Malaysia milik parti itu untuk memulangkan semua gaji mereka.

Tindakan itu supaya kakitangan Islamnya tidak 'termakan wang haram'. Sekretariat itu mendakwa ada unsur-unsur perjudian dalam penghasilan gaji mereka, menerusi iklan-iklan empat nombor ekor di akhbar itu.

“(Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat juga) mencabar Umno agar mengarahkan semua GLC (syarikat berkaitan kerajaan) di bawah pengaruh mereka supaya memulangkan semua pendapatan gaji semula kepada Perbendaharaan Kerajaan Malaysia, kerana tidak ada satu pun gaji mereka ini boleh dipastikan bersih daripada percampuran dengan hasil cukai judi, hiburan dan arak,” kata mereka ketika membacakan kenyataan media.

Menurut setiausaha PKR Pulau Pinang, Syed Mikael Rizal Aidid, - Umno kini tertekan dengan keupayaan Pakatan dalam perbelanjaan berhemah kerajaan negeri yang berjaya mempunyai wang berlebihan dan memperuntukkan dana RM20 juta untuk program menghargai sumbangan warga emas.

Katanya, tertekan dengan keupayaan itu, Umno memfitnah kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat.

“(Justeru) cabaran ini juga dibuat untuk memberi peluang kepada Umno membuktikan diri mereka adalah 'pembela Melayu yang sebenar', seperti yang selalu mereka war-warkan.
Warga emas ditipu

“Kami juga menyeru agar Umno benar-benar membantu merubah nasib orang Melayu dengan bersungguh-sungguh dengan membela jatuh bangun mereka dan bukan hanya berlagak hebat di televisyen dan di dada-dada akhbar,” kata Syed Mikael pada persidangan akhbar di Prai, semalam.

Turut menadatangani kenyataan bersama ini adalah Setiausaha Pemuda DAP, Pulau Pinang, Ng Wei Aik dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Pulau Pinang, Mohd Nor Harun.

Dua hari lalu, lebih 40 warga emas memulangkan semula wang ehsan yang diberikan itu selepas berasa curiga dengan sumber wang berkenaan.

Ia berikutan pendedahan oleh pemimpin Umno yang mendakwa bahawa wang berkenaan diperolehi daripada sumber perjudian.

Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat itu juga mendakwa kumpulan warga emas berkenaan telah ditipu dan dipermainkan oleh ADUN Penaga, Datuk Azhar Ibrahim yang juga setiausaha perhubungan Umno Pulau Pinang.

“Simpati kami adalah kerana mereka ini telah ditipu dan dipermainkan oleh ADUN mereka yang melatah berasaskan maklumat yang tidak betul.

"Ini bukti jelas, bahawa Umno sanggup buat apa saja, hingga sanggup menidakkan hak rakyat, semata-mata mahukan populariti politik murahan!” kata Syed Mikael.

Ng pula menganggap Umno merampas hak warga emas beragama Islam apabila mendalangi usaha dengan 'memperbodohkan' mereka dengan menyebarkan propaganda tidak bersandar fakta.

Diaturkan Umno

“Kesian mereka. Mereka tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Tapi jelas, Umno cuba merampas apa yang sepatutnya mereka dapat," katanya.

Katanya, kerajaan negeri tidak pernah memaksa mana-mana syarikat menghulur sumbangan baik badan korporat mahupun kelab lumba kuda tetapi dana itu diasing mengikut kategori.
"Bantuan ini terletak di bawah pegawai kewangan negeri. Mereka boleh mengasingkan sumbangan tanpa ada masalah", katanya yang kesal kerana warga emas disogok maklumat tidak tepat dan percaya ia didalangi pimpinan Umno.

"Itu majlis yang diaturkan Umno. Tak adalah, mana boleh warga emas yang minta majlis macam itu. Ini memang didalangi mereka. Siapa yang membangkitkan isu ini terlebih dahulu? Umnolah,” katanya lagi.

"Kalau Umno cakap semua wang termasuk RM100 haram, maka, gaji yang diterima ADUN Umno juga haram. Jadi, pulangkan duit gaji, jangan ambil,” kata beliau yang juga ADUN Komtar itu.

Read more ...

Mahathir ingat Umno saja Melayu




















PARIT BUNTAR, 1 Okt. : Tun Dr Mahathir tidak perlu bimbang orang Melayu akan hilang kuasa sekiranya Pakatan Rakyat memerintah kerana sebenarnya Umno yang akan hilang kuasa. Demikian kenyataan Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Parit Buntar Adnan Abd Rahman mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir semasa berucap di Himpunan PERKASA di Kelantan.

Adnan berkata, kenyataan Tun Dr Mahathir itu hanyalah kenyataan politik lama bertujuan untuk mengugut pengundi Melayu agar tidak memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.

“ Kenapa Umno dan BN kalah Melayu akan hilang kuasa, tidak masuk akal. Jika Umno kalah sekalipun PAS yang akan menang. PAS sudah pasti orang Melayu dan berjuang Islam.

“Tun ingat Umno saja yang Melayu , lain dari Umno bukan Melayu. Memang Tun Dr Mahathir sudah termasuk antara Orang Melayu yang sudah lupa “ katanya

Menurut Adnan, Tun Dr Mahathir bimbang Umno sudah tidak relevan dan ditolak bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga bukan Melayu.

“ Tun kena tahu kenapa orang Melayu menolak Umno. Umno bersikap ‘tidak adil’ kepada bangsanya sendiri. Umno memilih-milih bulu, memilih orang-orang di keliling mereka bukan membantu kepada orang-orang yang benar-benar layak.

“Orang Melayu sudah meluat dengan pemimpin Umno yang asyik berjuang untuk kroninya semata-mata bukan untuk orang Melayu. Banyak lagi, cukuplah peluang 50 tahun diberi kepada Umno/BN” katanya

Adnan juga meminta Tun Dr Mahathir menyahut cabaran berdebat Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nuzul Izzah Anwar .

“ Nurul Izzah mencabar beliau untuk berdebat berikutan dakwaannya Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat memerintah. Tun Dr Mahathir kena sahut cabaran Nurul Izzah untuk buktikan dakwaannya” katanya

Beliau berkata, Tun Dr Mahathir telah menyerang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin melalui kempen tidak beretika dan tidak jujur dengan memburuk-burukkannya.

“ Hanya kerana beliau adalah Menteri Besar Pakatan Rakyat yang popular sebelum rampasan kuasa haram Umno-BN. Tun Dr Mahathir menuduh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai alat DAP.

"Ini adalah satu tuduhan yang amat tidak berasas kerana kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak adalah kerajaan negeri rakyat Malaysia dan diterima baik oleh semua kaum di negeri ini.”katanya

Tambahnya, Tun Dr Mahathir sering memainkan isu perkauman dan agama pada saat-saat genting untuk mencapai matlamatnya.

“ Tun Dr Mahathir ialah penganut politik perkauman yang menjejaskan hubungan antara kaum. Saya berharap beliau berhenti mengamalkan politik perkauman yang sempit ini “ katanya

Read more ...

Selangor jadi ' lubuk puaka ' Umno







































K
UALA LUMPUR, 1 Okt: Datuk Seri Najib Razak sudah menampakkan keresahan kerana kehilangan kuasa di Selangor yang dianggap lubuk emas selama ini sudah menjadi lubuk puaka untuk Umno.

Sehubungan itu, PAS berpandangan ucapan Najib pada Malam Sejuta Harapan Ke-6 Yayasan Basmi Kemiskinan di Pusat Persidangan Sime Darby, di sini malam tadi sebagai satu ucapan orang yang tidak menerima kekalahan dalam sebuah negara demokrasi.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata rakyat semakin menerima perubahan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat walaupun menerima berbagai halangan daripada kerjaaan Pusat.

“Model yang ditunjukkan oleh kerajaan Pakatan inilah yang akan menjadi peta lakaaran untuk menguasai Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 nanti, insya Allah,” ujarnya kepada Harakahdaily.

PAS, katanya berpandangan kenyatan Najib yang mengatakan sealah-olah rakyat susah dengan pertukaran kerajaan di Selangor adalah tidak lojik.

Secara sinis, tambahnya orang buta yang rasional boleh membezakan antara kerajaan Umno BN di Selangor selama 51 tahun dengan kerajaan Pakatan Rakyat yang baru sahaja mencecah umur tidak sampai 3 tahun, tetapi sudah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

“Apakah dengan pembiayaan air percuma, skim Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas), skim kifalah RM2,500 untuk warga emas yang meninggal, masjid diimarahkan, program pembinaan jati diri melalui program SPIES ini adalah amalan buruk?” soalnya.

Baginya, Najib yang juga pengerusi Umno negeri melahirkan rasa kecewa kerana banyak rancangan YBK telah tergendala kerana kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor telah mengambil semula tanah milik yayasan itu di Serendah seluas 312 hektar itu atas alasan tidak membayar tunggakan cukai RM5.7 juta.

Tapak itu mulanya dicadangkan untuk membuka kampus cawangan UiTM.
“Perlu diingat bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan Pakatan Rakyat ialah mengikut peraturan,” ujarnya.

Beliau menambah, kenyataan akbar mengenai kertas putih Yayasan Basmi Kemiskinan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim pada 13 April 2010 boleh dirujuk, bagaimana banyak keraguan perjalanan YBK selama ini sehingga orang miskin semakin bertambah kerana ia tidak menepati sasarannya.

Menurutnya, sejak pilihan raya umum 2008 lalu, banyak ucapan pemimpin Umno yang menampakkan kekecewaaan yang tidak berkesudahan.

Katanya, pemimpin Umno BN menganggap bahawa mereka sahaja yang boleh memerintah Malaysia ini sampai kiamat, seolah-olah kerajaan mereka tidak ada ajal sedangkan dalam sebuah negara demokrasi jatuh bangun adalah biasa.

“Selalu pemimpin Umno berhujah jika kerajaan sering bertukar, kerajaan tidak maju. Hujah ini tertolak kerana Jepun, Amerika Syarikat, Britain dan lain-lain negara tetap unggul dan hebat walaupun parti politik pemerintah sering bertukar ganti,” ujarnya.

Justeru, katanya PAS menasihatkan pemimpim Umno belajarlah politik daripada PAS yang bersemangat kental dalam menghadapi perjalanan politik, walaupun tidak berada di padang yang sama.

PAS, jelasnya pernah memerintah Kelantan dari 1959 selama 18 tahun kemudian tewas pada tahun 1978 melalui tindakan yang tidak demokratik.

Akhirnya, kata beliau PAS bangkit kembali dan berjaya menguasai Kelantan 1990 hingga kini.
Begitu juga, katanya di Terengganu di mana PAS pernah menang pada tahun 1959 dan jatuh melalui teknik yang tidak bermoral pada tahun 1961, kemudian mendapat mandat kembali pada 1999 dan tewas 2004 melalui konspirasi yang terburuk dengan penambahan pengundi yang tidak masuk akal sehingga 17%.

“Namun Pas boleh bersabar dan membuat muhasabah dalaman dan menyusun strategi untuk maju ke hadapan. Perkara ini tidak berlaku kepada pemimpin Umno BN,” katanya lagi.

Read more ...

Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man , Pengarah Pilihanraya Kecil Galas

KUALA LUMPUR, 1 Okt: PAS mesti bersedia menghadapi sesiapa sahaja dalam pilihan raya kecil Galas dengan kekuatan sendiri, kata Naib Presiden PAS yang juga pengarah pilihan raya itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Atas dasar itu, isu samada Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai pengarah BN bagi pilihan raya kecil DUN Galas atau tidak, tidak berbangkit, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim adalah pengarah pilihan raya ini secara automatik bagi PAS kerana parti itu telah membuat pendekatan tetap untuk menghadapi sebarang pilihan raya kecil.

Perkara ini disahkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam majlis hari raya Harakahdaily semalam.

Melaui pendekatan itu, seorang naib presiden PAS akan menjadi pengarah pilihan raya kecil untuk kawasan masing-masing. Datuk Mahfuz Omar menjadi pengarah jika berlaku di utara, Salahudin Ayub di selatan dan Tuan Ibrahim di timur.

Sebelum ini, Mahfuz menjadi pengarah pilihan raya kecil Permatang Pasir, Pulau Pinang dan Salahudin menjadi pengarah dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Bagi Tuan Ibrahim, isu Ku Li menjadi topik utama media kini, hanyalah satu percaturan peribadi beliau, dan berdasarkan beberapa tindakan mutakhir beliau yang dilihat tidak lagi menjadi pengikut setia BN.

Ini ekoran pendirian beliau dalam isu royalti minyak Kelantan, isu rasuah, perancangan ekonomi negara dan keyakinan beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam mentadbir negara.

Walaubagaimanapun bertolak di atas beberapa kenyataan Ku Li bahawa beliau tetap akan bersama UMNO dan akan kekal bersama UMNO, PAS mestilah berusaha untuk menyusun kekuatan parti bersama Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi PRK kali ini, kata Tuan Ibrahim.

"PAS menyedari pengaruh dan kekuatan Ku Li dalam kawasan Gua Musang, tetapi ini bukan bermakna beliau terlalu kebal untuk ditewaskan. Pengalaman PRU ke 12, dengan kejayaan PAS menawan DUN Galas dari BN adalah petanda bahawa pengaruh beliau semakin berkurangan, dan pengundi bertambah matang dalam membuat pilihan," katanya.

Menurut beliau, dalam PRK kali ini, PAS memerlukan satu pendekatan baru dalam gerak kerja pilihanraya kecil kali ini.

Oleh kerana calon PAS hanya mendapat kemenangan tipis 636 dalam PRU lalu, maka tumpuan semua parti politik ialah bagi menarik pengundi atas pagar yang akan menjadi penentu kepada keputusan yang akan berlaku, katanya.

Dengan status pengundi bercampur, di mana pengundi dari kalangan masyarakat Asli dan Cina dilihat penting, maka tumpuan tentulah diberi kepada golongan ini; dan pengalaman PAS memerintah Kelantan selama 20 tahun mampu dijadikan daya penarik bagi mendapatkan sokongan mereka, tambahnya.

Bagi beliau, faktor calon mengatasi parti yang berlaku di DUN Manik Urai serta kegagalan tokoh luar mencorakkan mood dan sentimen pengundi dilihat masih menjadi fokus gerak kerja parti yang bertanding.

Lantaran itu, katanya, pemilihan calon kali ini teramat penting kerana pengundi di kawasan Galas akan merasai kehadiran wakil rakyat selepas berakhirnya PRK.

Mereka tentulah tidak ingin mendapat seorang wakil rakyat yang hanya menunjukkan muka apabila memerlukan undi, tetapi ghaib selepas diumumkan sebagai pemenang.

"Budaya masyarakat Kelantan yang suka bergelumang dengan pimpinan dilihat antara elemen penting kenapa mereka memilih YB Arwah Che Hashim dalam PRU lalu," katanya.

Apa yang menarik juga ialah kepesatan pembangunan Bandar Gua Musang dilihat antara kejayaan kerajaan negeri membangunkan kawasan tersebut terutamanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Keghairahan untuk membangunkan kawasan ini antara kerajaan negeri di bawah PAS dan Kesedar diterajui kerajaan Pusat akan menceriakan lagi PRK kali ini.

Apapun PAS dengan seluruh jentera parti di seluruh negara telah bersedia membantu bagi mengekalkan kemenangan di DUN Galas, bagi mengalaskan kemenangan di sana, katanya.

Read more ...

Felda enggan kembalikan wang peneroka


KUALA LUMPUR, 1 Okt. : Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) didakwa masih enggan sehingga kini menyerahkan Wang Tanam Semula berjumlah RM17,000 kepada setiap peneroka yang mengerjakan tanaman kelapa sawit secara persendirian meskipun telah mematuhi semua syarat yang ditetapkan.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menolak alasan Felda tidak menyerahkan kembali wang tanaman semula kerana mendakwa kira-kira 11,000 peneroka dikatakan tidak mematuhi garis panduan agensi itu

"Antara garis panduan itu ialah pokok tua yang berusia lapan tahun harus ditebang dan peneroka hendaklah tanam pokok yang baru. Mereka mematuhinya tetapi wang tanam semula itu tidak juga diberikan Felda," kata Mazlan pada sidang media di Ibu Pejabat PAS tengahari semalam.

Mazlan menjelaskan, sejak 1970, Felda telah menubuhkan Tabung Tanam Semula yang dikutip secara bulanan dari setiap peneroka.

Peneroka mencarum pada kadar RM3.34 seekar dari 1970 sehingga 1984 dan kemudian ia dinaikkan kepada RM4.00 seekar mulai Januari 1985 bagi membiayai perbelanjaan penanaman semula tanaman kelapa sawit.

"Sungguhpun jumlah caruman tersebut hanya kira-kira RM9,600 tetapi persetujuan Felda memperuntukkan sebanyak RM17,000 bagi setiap peneroka sebagai anggaran wajar kos penanaman semula," kata beliau.

Felda juga menurut beliau bertindak melampau dengan memotong RM8,500 daripada Tabung Tanam Semula sebagaimana pakej berjadual yang dipersetujui.

"Felda mengemukakan pilihan bahawa daripada RM17,000 mereka memotong RM8,500 untuk digunakan bagi input pertanian seperti pembelian baja dan sebagainya dan bakinya dipulangkan kepada peneroka.

"Malangnya walaupun sebahagian peneroka akur dengan syarat yang dikenakan, Felda mungkir janji untuk mengembalikan baki separuh kepada peneroka. Maksudnya Felda juga gagal melunaskan baki wang penanaman semula dan saya ada bukti," jelas Mazlan.

Felda juga didakwa tidak membayar Wang Tanam Semula sebagaimana pakej berjadual yang dipersetujui.

"Mereka ajak kita berbincang dan bersetuju untuk membayar ansuran sebanyak tiga ataupun empat kali dan sampai masa, pakej yang dipersetujui itu juga tidak dihormati oleh Felda," ujar beliau

Mazlan berkata Felda juga telah sewenang-wenangnya membuat potongan baru bagi caruman Tanam Semula kali kedua antara RM114 sehingga RM119 setiap bulan walhal caruman yang lama belum dilangsaikan.

"Dalam keadaan Wang Tanam Semula sebanyak RM17,000 tidak dipulangkan, tiba-tiba Felda telah secara sewenang-wenangnya memberi borang untuk potongan kali kedua dan terus memotong sehingga tiga kali ganda dan ini merupakan satu tindakan yang amat melampau," tegas Mazlan.

Katanya, apabila peneroka membuat bantahan Felda bertindak dengan memulang semula potongan kali kedua itu hanya kepada mereka yang membantah sahaja tetapi tidak kepada peneroka yang berdiam diri," katanya.

Read more ...