Tuesday, March 23, 2010
Bernas bayar tak habis
PARIT BUNTAR , 23 Mac : Pesawah di sini melahirkan rasa tidak puas hati apabila wang tambahan RM70 per tan metrik daripada pihak Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) belum diterima.
Setiausaha Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak berkata, pihaknya banyak menerima aduan daripada pesawah yang membuat urusan jual beli padi dengan Bernas.
Menurutnya, mereka sepatutnya menerima bayaran sebanyak RM1,120 tetapi berdasarkan kepada proses jual beli antara Bernas, namun hanya RM1,050 per tan metrik dibayar dan baki RM70 per tan metrik akan dibayar kemudian mengikut perjanjian.
“Namun begitu, walaupun padi itu sudah dijual tiga bulan lalu, mereka masih lagi belum menerima bayaran baki itu sedangkan musim padi yang baru sudah pun bermula.
“Ada di antara mereka yang menjual berpuluh-puluh tan dan ini tentunya melibatkan jumlah besar,” katanya.
Hairul berkata, walaupun baki yang perlu dibayar oleh Bernas sekitar RM280 hingga RM350 sahaja, namun itu sangat berharga buat mereka.
Sementara itu, kakitangan Ibu Pejabat Bernas Kuala Lumpur ketika dihubungi Sinar Harian berkata, masalah pembayaran itu akan diselesaikan secepat mungkin memandangkan pihak kami baru sahaja menutup akaun bagi daerah Parit Buntar.
Katanya, proses itu memang mengambil masa memandangkan ia bergantung kepada hasil yang dituai di setiap kawasan.
“Selagi hasil kawasan itu tidak habis dituai, kita tidak boleh membuat pembayaran kerana ia akan dilaksanakan secara keseluruhan.
“Diharap pesawah dapat bersabar dan pembayaran akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.SH
No comments:
Post a Comment