Monday, March 29, 2010

BN gagal urus air tinggal beban kepada PR
















ALOR SETAR, 29 Mac : Barisan Nasional (BN) didakwa gagal menguruskan sistem air dengan baik ketika memegang tampuk pemerintahan di Kedah, sehingga menyebabkan masalah itu berlarutan sehingga kini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, dakwaan sebelum ini yang mengaitkan kegagalan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat menyelesaikan masalah gangguan air adalah tidak benar, sebaliknya segala permasalahan itu berpunca daripada kelemahan pengurusan air oleh BN.

“Kerajaan BN dahulu yang gagal membaiki paip-paip lama yang pecah, apabila kita ambil alih Kedah, kita pula yang terpaksa baiki. Termasuklah tanggung hutang perjanjian air yang merugikan yang dibuat ketika mereka memerintah,” katanya.

Azizan berkata, berikutan itu, Kerajaan Negeri kini sedang membuat penilaian semula terhadap perjanjian air lama yang tidak menguntungkan, antaranya sistem penswastaan air di Langkawi.

“Perjanjian itu menyebabkan Kerajaan Negeri terpaksa membayar sebanyak RM38 juta kepada syarikat itu sedangkan kutipan hanya sekitar RM14 juta. Ini menunjukkan BN gagal menguruskan sistem air sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, tindakan BN seolah-olah menyalah guna wang rakyat bagi kepentingan sendiri, kerana difahamkan, ada syarikat yang dilantik untuk menguruskan air adalah sekutu BN.

“Ini terbukti BN sebelum ini gagal membela kebajikan rakyat. Mereka guna duit rakyat untuk bayar pada syarikat kroni mereka, dalam jumlah yang tinggi,” katanya.

Mengulas mengenai gangguan bekalan air di beberapa kawasan terpencil seperti di daerah Sik dan Padang Terap, Azizan berkata, musim kemarau antara punca berlakunya gangguan air, termasuk di beberapa negeri lain.

“Di Kedah, kita turut gunakan sistem air kebajikan, di mana, air yang menuruni bukit ditakungkan dan disalurkan melalui paip sepanjang 1 hingga 2 kilometer ke rumah penduduk kampung. Apabila musim kemarau tiba, air bukit ini tidak dapat mengalir turun, oleh sebab itu, mereka gunakan telaga,” katanya.

Azizan berharap penjelasan ini dapat menangkis dakwaan beberapa pihak yang mempertikai keberkesanan sistem bekalan air di Kedah, yang dikatakan tidak berfungsi dengan baik, terutama selepas pengurusan air dikorporatkan dan diambil alih Syarikat Air Darul Aman (Sada). -SH

No comments:

Post a Comment