Thursday, March 18, 2010

Exco Kedah sangkal tuduhan

ALOR SETAR , 18 Mac : Rombakan Exco Kedah telah diumumkan seminggu lalu, namun masih kedengaran cakap-cakap tidak enak mengatakan barisan Exco sedia ada, mahupun yang baru dilantik ‘tak reti buat kerja’.

Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal Exco Kedah dari Pakatan Rakyat, yang beranggapan tidak adil untuk dibuat penilaian hanya dalam tempoh dua tahun pentadbiran.

:Exco Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, mana-mana pentadbiran baru mestilah dibarisi pemimpin yang kurang berpengalaman, tetapi tidak semestinya mereka tidak tahu buat kerja.

“Saya mahu tanya Barisan Nasional, ketika memegang tampuk pentadbiran Kedah dahulu, adakah mereka berpengalaman sebagai Exco sebelum dilantik memegang jawatan itu. Saya pasti ketika itu pun, mereka baru pertama kali bergelar Exco. Oleh itu, tidak adillah membuat perbandingan seperti itu,” katanya.

Ir Amiruddin berkata, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak membuat andaian bahawa Exco Pakatan Rakyat tidak pandai buat kerja, semata-mata kerana tiada pengalaman dan baru memegang tanggung jawab itu.

“Sebenarnya situasi yang kami hadapi sekarang sama sahaja dengan mereka ketika di awal pentadbiran, oleh itu tidak perlulah cetuskan isu,” katanya.

Menurutnya, barisan Exco Kedah adalah gabungan mantap mereka yang berpengalaman dan muda, selain dibarisi golongan profesional, antaranya peguam, doktor dan peguam.

“Pentadbiran di Kedah berjalan lancar dan saya harap tidak perlulah pihak luar buat penilaian. Hanya rakyat yang berhak menilai kemampuan pentadbiran negeri ini,” katanya.

:Exco Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Insan, Sains Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Dr Ismail Salleh berkata, Exco Pakatan Rakyat mampu melaksana tanggung jawab yang diamanahkan itu, dengan cara tersendiri tanpa perlu mengikut kepimpinan terdahulu.

Menurutnya, beliau menyasarkan pencapaian 80 peratus tahun ini bagi portfolio yang disandangnya, berbanding hanya 60 peratus tahun lalu.

“Kami juga buat penilaian sendiri terhadap kerja kami supaya dapat pertingkatkan prestasi. Tidak perlu pertikai kemampuan kami kerana kami tahu apa yang perlu dibuat sebagai Exco,” katanya.

Dr Ismail berkata, sepanjang dua tahun lalu, dia berjaya mencapai 60 peratus daripada pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) yang beliau sendiri gariskan, dan ini membuktikan banyak masalah rakyat sudah dapat diselesaikan.SH

No comments:

Post a Comment