Thursday, March 4, 2010
'Pembela Melayu Penang' tak berani berdebat
GEORGETOWN , 5 Mac : Setelah cabaran pusingan pertama tidak disahut, Pemuda Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang sekali lagi mencabar trio ‘Norman-Jais-Rizal’ untuk berdebat pada 7 Mac ini.
Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Syed Mikael Rizal Aidid berkata, surat yang dihantar pada 22 Februari lalu tidak mendapat sebarang maklum balas daripada ketiga-tiganya sehingga tarikh tutup kelmarin (3 Mac).
Surat cabaran itu dihantar kepada Yang Dipertua (YDP) Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP), Rizal Faris Mohideen Abdul Kadir, Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Norman Zahalan dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS), Jais Abdul Karim.
Beliau berkata, sehingga kini Pemuda PR tidak menerima jawapan rasmi daripada mereka bertiga.
“Cuma seperti mana yang kita maklum, Rizal Faris tidak mahu berdebat dengan ‘ikan bilis’ cuma mahu berdebat dengan ‘ikan jerung’, Jais Abdul Karim pula hanya mahu berdebat dengan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Norman Zahalan tidak mahu hadir sehingga mengoyakkan surat jemputan yang kami hantar dengan penuh adab.
“Kepada trio Norman-Jais-Rizal, buktikanlah kalian adalah benar-benar Pembela Melayu dan bukannya Pengeliru Melayu,” katanya pada sidang media di pekarangan Menara UMNO, di Jalan Macalister di sini, semalam.
Menurutnya, Rizal perlu membuktikan kebenaran kepada rakyat bahawa YDP DPMMPP itu komited berjuang meningkatkan taraf ekonomi kaum Melayu dan bukan lari bila berdepan dengan kebenaran pada saat Melayu Pulau Pinang memerlukan penjelasan dan pembelaan daripadanya.
Selain itu, katanya, Jais perlu membuktikan kebenaran kepada rakyat bahawa Presiden GPMS itu komited membela nasib pelajar Melayu di Pulau Pinang dan bukan lebih gemar menikus ketika mereka memerlukan pembelaannya.
“Kepada Norman, buktikan kebenaran pada rakyat bahawa anda sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang komited berjuang mengangkat martabat generasi muda Melayu negeri ini dan bukannya terdesak mengelak untuk hadir sehingga dengan biadab mengoyak surat jemputan rakyat pada anda untuk bersama mereka,” katanya.
Beliau berkata, persiapan untuk mengadakan debat terbuka pada 7 Mac diteruskan walaupun ketiga-tiganya enggan hadir kerana ia dianggap program besar bersama rakyat.
Sehubungan itu, Pemuda PR turut menghantar surat jemputan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, timbalannya, Datuk Zainal Abidin Osman dan Setiausaha, Datuk Azhar Ibrahim, semalam agar dapat sama menghadiri program itu.
Surat itu diterima oleh oleh Ketua AMK Pulau Pinang, Amir Ghazali kepada Setiausaha Penerangan UMNO Pulau Pinang, Hassan Din.
Syed Mikael berkata, surat serupa diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairi Jamaluddin dan Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada jam 11.30 pagi semalam.
Ditanya kenapa memilih pekarangan Menara UMNO sebagai lokasi sidang medianya, beliau berkata, ia adalah sebagai langkah anak jantan serta adab orang Melayu menghantar jemputan di rumah tetamu.SH
No comments:
Post a Comment