Tuesday, March 2, 2010

PKR tidak tuntut tambah Exco Kedah

ALOR SETAR, 2 Mac : PKR tidak akan menuntut tambahan kuota kerusi Exco Kerajaan Negeri Kedah dalam rombakan yang akan dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak lama lagi.

Ketua Penerangan PKR, Tian Chua berkata, parti itu rela mengenepikan semangat kepartian demi memastikan asas perjuangan Pakatan Rakyat (PR) untuk mempertahankan Kedah dapat direalisasikan.

Menurutnya, Jawatankuasa Perancangan Strategik PKR Pusat juga sudah menghantar senarai nama calon cadangan kepada Azizan untuk dipertimbangkan.

“Bagaimanapun, persoalan sama ada wakil parti sedia ada akan digugurkan atau digantikan dengan muka baru, masih belum boleh didedahkan kerana kita tidak mahu sebarang spekulasi negatif.

“Pada asasnya, perjuangan PAS dan PKR di negeri ini adalah satu, iaitu demi memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri bertambah teguh dan berjiwa rakyat. Justeru, PKR akan menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada Datuk Seri Azizan untuk membuat kata putus,”katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Karnival Kedah Sejahtera di Pekan Langgar, dekat sini.

Tian Chua juga menolak dakwaan pemimpin Barisan Nasional(BN) yang menuduh Kerajaan Negeri di bawah pimpinan PAS terpaksa melakukan rombakan kerana berlaku kepincangan dalam pentadbiran negeri.

Menurutnya, rombakan Exco adalah perkara biasa yang bertujuan meningkatkan efisiensi pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Isu rombakan Exco merupakan perkara biasa, malah Kerajaan Pusat juga pernah melakukan rombakan Kabinet secara mengejut beberapa kali sebelum ini.

“Jadi, mengapa perkara ini harus dijadikan isu oleh BN dan UMNO? Tambahan pula, tindakan Menteri Besar Kedah mencerminkan ketelusan dan ketegasannya membuat keputusan sukar demi memastikan pentadbiran negeri teratur dan berkesan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak merombak Exco Kerajaan Negeri seharusnya dicontohi oleh pemimpin BN, bukan dijadikan sasaran kritikan.

Menurutnya, rombakan Exco Kerajaan Negeri mencerminkan keberanian Kerajaan PR dalam melakukan perubahan demi kebaikan rakyat.

“Tidak seperti kebanyakan pemimpin BN yang sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk mengekalkan pangkat dan kedudukan mereka di samping tidak memberi peluang kepada muka baru yang lebih berpotensi.

“Jadi, mana lebih baik, lakukan perubahan demi kebaikan atau mengekalkan pemimpin yang sama, namun tidak menguntungkan rakyat?” katanya.SH

No comments:

Post a Comment