KUALA LUMPUR, 26 Mac : Komposisi kaum yang agak ‘kacukan’ di kawasan Parlimen Hulu Selangor dengan pengundi Melayu sebanyak 53.9 peratus, Cina (26.7), India (19) dan lain-lain (0.4), memberi kelebihan pada PKR dan Pakatan Rakyat berbanding Umno dan BN.
Bagi Pengarah Jabatan Pilihan raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh, pihaknya masih belum memilih calon walaupun tumpuan umum banyak menjangkakan bahawa Datuk Zaid Ibrahim bakal mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil itu.
“Keputusan berkenaan calon itu, sekarang ini ada ramai yang cukup berwibawa untuk dicalonkan, bagaimanapun saya akan menyerahkan nama-nama mereka kepada pucuk pimpinan untuk dibuat keputusan terakhir,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Kuantan.
Pun begitu, beliau berkata, PKR tidak mempunyai banyak masalah dalam memilih calon kerana identiti PKR bukanlah berasaskan pada perkauman, bukan seperti Umno/BN.
Maka, kata beliau, Majlis Pimpinan Tertinggi PKR akan membuat ketetapan akhir berhubung persiapan pilihan raya kecil tersebut pada 4 April depan, sebelum dilanjutkan dalam Majlis Mesyuarat Pakatan Rakyat kelak.
Parlimen Hulu Selangor bakal menyaksikan pilihan raya kecil berikutan kematian wakilnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71, malam tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuat keputusan berhubung perkara itu Jumaat depan.
Dalam pada itu, Fuziah sendiri mengakui bahawa Umno tempatan, khususnya di Hulu Selangor cuba untuk meletakkan calon mereka di kerusi terbabit atas dasar majoriti pengundi adalah Melayu, sedangkan kerusi tersebut sebenarnya adalah kerusi tradisi MIC, Datuk G. Palanivel.
“Sesiapa pun (calon BN) yang diletakkan di situ, ia suatu kelebihan bagi kita, calon PKR sudah pun dilihat mewakili semua kaum,” ujarnya.
Ekoran itu, PKR menurut beliau, tidak perlu menganggap kelemahan BN tersebut sebagai kekuatan pada PKR.
Sebaliknya, beliau berkata, PKR serta Pakatan Rakyat seharusnya bersedia membuat persiapan kempen politik yang lebih rasional dan demokratik, bukannya kempen perkauman seperti Umno BN.
“Apabila kita masuk apa-apa pilihan raya, fokus dan persediaan kempen kita adalah apa yang boleh kita tawarkan kepada rakyat, tidak perlu fokus pada kedudukan orang lain (Umno BN),” jelasnya.
Demi menjayakan kempen tersebut, beliau bercadang untuk mengemukakan pencapaian-pencapaian Pakatan Rakyat sepanjang memerintah negeri Selangor supaya rakyat boleh membuat perhitungan dan perbandingan dengan rekod pemerintahan kerajaan negeri di bawah Umno/BN, sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu.
“Itu lebih penting, apa pencapaian Pakatan Rakyat di Selangor, bagaimana rakyat boleh mendapat manfaat dari kerajaan negeri,” katanya.
Menurut beliau, dengan berbuat demikian, rakyat sekaligus dididik dengan politik yang lebih sihat, anti perkauman, anti kronisme serta anti-kezaliman yang selama ini disinonimkan dengan pemimpin tertentu dalam Umno/BN.Kerengga
No comments:
Post a Comment