Tuesday, March 9, 2010

PR Perak belum bincang “Semboyan Halilintar ke Putrajaya”

IPOH , 9 Mac : Pakatan Rakyat (PR) Perak masih belum memberi apa-apa kata putus berhubung tindakan PR Negeri Sembilan yang akan menandatangani perjanjian persefahaman menyokong agenda “Semboyan Halilintar ke Putrajaya”.

Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain berkata, perkara ini masih belum dibincangkan lagi di peringkat PR negeri dan kita masih belum mengetahui secara mendalam tujuan sebenarnya semboyan halilintar dilaksanakan.

Menurutnya, setakat ini hanya PR Negeri Sembilan sahaja yang melaksanakan gerakan berkenaan, negeri-negeri lain masih belum berbuat demikian.

“Bagaimanapun, kami akan membincangkan perkara ini jika ia memberi manfaat kepada semua pihak, besar kemungkinan PR Perak akan membuat perkara yang sama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Mustafa Kamil Ayub pula menyifatkan ia adalah satu idea yang baik.

Katanya, di peringkat negeri Perak, ia masih belum dibincangkan secara mendalam sebaliknya kami lebih menumpukan kepada dua perkara utama yang masih belum selesai dalam kelemut politik negeri.

“Dua perkara berkenaan merangkumi isu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 30 Mac ini dan kedudukan Speaker DUN yang masih menjadi persoalan dan belum selesai.

“Namun begitu, tindakan PR Negeri Sembilan ini, kita akan berbincang dengan seluruh kepimpinan PR negeri terlebih dahulu dan akan mengambil keputusan sewajarnya kelak,” katanya.SH

No comments:

Post a Comment