Monday, March 15, 2010

Regu guna nama DUN, Parlimen

PARIT BUNTAR , 15 Mac : Pertandingan sepak takraw anjuran PAS Sungai Baru Pangkal yang berlangsung di sini menampilkan satu keunikan kerana pembentukan regu dibuat oleh penganjur.

Setiausaha PAS Sungai Baru Pangkal, Johari Arbain berkata, 36 pemain yang menyertai pertandingan ini telah dibahagikan mengikut posisi kemudian diundi untuk menentukan regu yang diwakili.

“Sebanyak 12 regu telah dibentuk dan setiap regu menggunakan nama Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen di Perak yang dimenangi Pakatan Rakyat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Johari berkata, beliau bangga kerana PAS Sungai Baru Pangkal dapat menganjurkan pertandingan itu, yang mana pelbagai manfaat boleh didapati dari menyertai aktiviti sedemikian.

“Pertandingan ini adalah usaha untuk memberi peluang kepada anak muda melibatkan diri dalam aktiviti berfaedah seperti sepak takraw,” katanya.

Johari berkata, pertandingan berjalan lancar dengan keadaan cuaca yang panas namun tidak mematahkan semangat pemain untuk mengalahkan lawan masing-masing.

“Saya ucap terima kasih kepada petugas terutama AJK Dewan Pemuda PAS Parit Buntar yang turun membantu pengendalian pertandingan pada hari ini,” katanya

Pertandingan tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari yang membuat sepak mula sebagai tanda bermulanya pertandingan dengan rasminya.

Abdul Yunus dalam ucapannya memberikan kata-kata perangsang kepada pemain bagi mempamerkan kemahiran masing-masing.

“Diharapkan lebih ramai anak muda menyertai aktiviti sukan bagi meningkatkan tahap kemahiran sedia ada, selain menyihatkan badan dan mengeratkan hubungan,” katanya.

“Menang atau kalah adalah adat pertandingan, yang penting pemain dapat menamatkan pertandingan dengan semangat kesukanan yang tinggi” katanya.

No comments:

Post a Comment