HULU SELANGOR, 7 April: Kira-kira 100,000 keluarga di Selangor yang telah menduduki tanah kerajaan lebih 15 tahun, akan menerima hak milik tanah mereka tidak lama lagi, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.
Beliau berkata langkah itu akan memberikan manfaat kepada keluarga setinggan dan pekebun yang menduduki tanah Lesen Pendudukan Sementara (TOL) di Selangor.
“Mereka yang layak untuk tindakan ini hendaklah menduduki tanah itu sejak 15 tahun lepas. Langkah ini akan membantu setinggan mendapatkan tanah mereka dan pada masa yang sama membenarkan kerajaan meluluskan pemilikan tanah itu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco di Pejabat Daerah Hulu Selangor di sini.
Katanya hak milik tanah baru itu dalam bentuk geran pajakan dan terpulanglah kepada pemilik tanah baru sama ada mereka mahu mengambilnya sehingga 99 tahun atau pajakan 60 tahun apabila mereka memohon untuk mendokumenkan tanah tersebut.
Menurutnya kerajaan negeri akan menangani isu tanah rizab yang membabitkan tempat ibadat, sekolah dan jalan tidak lama lagi
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata kerajaan negeri telah memutamadkan laporan audit dalam penyenaraian operasi Yayasan Basmi Kemiskian (YBK) termasuk jumlah dana dan aset yang disumbangkan oleh kerajaan negeri untuk melaksanakan program pembasmian kemiskinan.
“Kita akan umumkan butir-butir itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 12 April,” tambah beliau.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar negeri Elizabeth Wong berkata rungutan 40 keluarga Orang Asli di Kampung Gerachi dekat sini selama ini telah ditangani.
Beliau berkata masyakarat Orang Asli di kampung itu akan menerima hak milik tanah mereka dan pampasan seperti dalam perjanjian pada 2000.
-Bernama-
No comments:
Post a Comment