Thursday, April 29, 2010

Kes Sivakumar cabar SPR - 27 Mei



IPOH, 29 April : Tarikh 27 Mei ditetapkan bagi pengurusan kes berhubung permohonan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar (bawah, berbaju biru), dan enam yang lain untuk diadakan semakan perundangan bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi dewan itu.


Pada 22 Oktober tahun lalu, mereka diberi kebenaran membuat permohonan itu bagi membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan sebagai tidak kosong kerusi DUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang selepas ketiga-tiga penyandang menjadi wakil rakyat Bebas.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan, ketika menolak bantahan awal oleh Pejabat Peguam Negara berhubung permohonan itu berkata bahawa Sivakumar dan yang lain - Chen Fook Chye, Tai Sing Ng, A Sivanesan, Ahmad Sabry Wahab, Abdul Latif Ariffin dan Foo Hon Wai - mempunyai locus standi untuk mencabar keputusan SPR itu.

Dalam permohonan itu, mereka menamakan SPR dan ketiga-tiga wakil rakyat berkenaan iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Datuk Hee Yit Foong (Jelapang) sebagai responden.

Mereka mahu supaya SPR mengisytiharkan ketiga-tiga kerusi itu kosong selain meminta mahkamah mengeluarkan perintah agar ketiga-tiga penyandangnya dilarang daripada menjalankan tugas sebagai anggota DUN.

Pada pilihan raya umum 2008, Jamaluddin dan Osman memenangi kerusi masing-masing sebagai calon Parti Keadilan Rakyat manakala Hee menang atas tiket DAP tetapi kemudian berpaling tadah dan menjadi wakil rakyat Bebas.

- Bernama

No comments:

Post a Comment