Monday, April 12, 2010

PKR akan kemukakan calon terbaik


SHAH ALAM , 12 April : Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan meletakkan calon terbaik yang mampu memikat hati pengundi di Parlimen Hulu Selangor, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, parti itu hanya memilih calon yang dedikasi, bekerja keras untuk kebaikan penduduk dan pengundi di kawasan Parlimen tersebut.

“Kita akan meletakkan calon yang terbaik untuk masyarakat Hulu Selangor. Kita berbeza dengan apa yang dibuat oleh UMNO dan BN, kita tidak melihat dari segi aspek tertentu tetapi melihat dari segi siapakah yang dapat memikat dan memenangi hati pengundi di Hulu Selangor,” katanya :kepada pemberita selepas melancarkan Program Tuisyen Rakyat peringkat Selangor dekat sini, semalam.

Abdul Khalid diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan yang mencabar PKR meletakkan calon bukan Melayu bertanding pada pilihan raya itu sebagai memberikan keadilan kepada semua bangsa di kawasan tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi PKR Selangor berkata, pemimpin Pakatan Rakyat akan bermesyuarat dalam masa dua hari akan datang untuk memutuskan calon yang sesuai.

Pada masa sama, Abdul Khalid turut menafikan desas-desus PKR akan meletakkan bekas Menteri di jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon pada pilihan raya kecil kali ini.

“Itu adalah yang dilaporkan tetapi jawapan terbaik yang saya boleh berikan ialah pada 12 atau 13 April ini, nama calon akan dimuktamadkan. Walaupun sudah ada nama yang telah disenarai pendekkan tetapi belum ada keputusan yang muktamad.

“Tetapi kita menjangkakan pada 13 April malam, pemimpin-pemimpin PR akan berada di Hulu Selangor untuk mengisytiharkan siapakah yang akan mewakili PKR melalui PR untuk bertanding di Hulu Selangor,” katanya.SH

No comments:

Post a Comment