Tuesday, May 4, 2010

Demontrasi NGO jahil


ALOR SETAR, 4 Mei : Tindakan badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan demonstrasi mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa memohon ampun kepada Sultan Kedah disifatkan sebagai kelompok yang jahil.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ahmad Yahya berkata, NGO yang mengadakan demonstrasi tanpa memahami perkara asas itu dilihat cuba menjadi pengampu Barisan Nasional (BN) kerana soalan yang dikemukakan oleh ADUN Kubang Rotan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 26 April lalu sama sekali tidak mempertikaikan kedudukan Sultan Kedah.

Menurutnya, sekiranya NGO mahu mengadakan demonstrasi bagi menyatakan pendirian mereka, mereka perlu meneliti terlebih dahulu perkara sebenar yang berlaku dan bukan mengadakan demonstrasi tanpa mempunyai sebarang alasan kukuh.

“Mereka boleh mengadakan demonstrasi kerana negara kita mengamalkan demokrasi namun perlulah merujuk perkara yang sebenar agar tidak menonjolkan kebodohan mereka sendiri.

“Jika mahu membangkitkan sesuatu isu, biarlah mempunyai asas yang kukuh, bukannya mengelirukan,” katanya.

Ahmad berkata, jika benar NGO yang mengadakan demonstrasi mahu memberi sokongan kepada BN, mereka perlu belajar untuk memberikan sokongan dengan mengadakan demonstrasi yang diselitkan beserta bukti kukuh agar tindakan itu berkesan.

Menurutnya, Pas dan Pakatan Rakyat (PR) adalah pembangkang di peringkat Kerajaan Persekutuan namun setiap bantahan yang dibuat adalah diselidik terlebih dahulu dan setiap perkara dibangkitkan mempunyai asas yang kukuh.

Menurutnya, sikap yang ditonjolkan oleh NGO dengan mengadakan demonatrasi tanpa asas itu juga secara tidak langsung telah memperlihatkan sikap mereka kepada masyarakat luar.

“Masyarakat kini sudah bijak menilai dan mereka tidak akan menerima sesuatu perkara tanpa sebarang alasan atau tanpa asas yang kukuh,” katanya.

No comments:

Post a Comment