Tuesday, May 11, 2010
Kredibiliti polis diragui
SEREMBAN , 11 Mei : Kejadian seorang remaja bawah umur ditembak polis di Jalan Seremban-Jelebu 8 Mei lalu amat dikesali.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan berpendapat, kejadian seperti ini seakan-akan ulangan kejadian yang menimpa adik Amirul Rashid Amzah, di mana kecuaian pihak polis sekali lagi berlaku dalam tempoh singkat.
Ketua AMK NS, Rebin Birham melahirkan rasa simpati dengan kejadian menimpa adik Mohd Azizi Aziz, 17 yang menjadi mangsa kecuaian pihak polis.
Menurutnya, mangsa bukan ancaman kepada keselamatan atau memberi ancaman kepada polis dan tidak sewajarnya diperlakukan sebegitu.
“Dia hanya pelajar sekolah dan masih di bawah umur. Kredibiliti anggota polis yang menjalankan tugas ketika itu amat diragukan dari segi pertimbangan membuat keputusan.
“Jika pertimbangan anggota polis yang lemah seperti ini berterusan, pasti selepas ini lebih banyak nyawa akan terkorban,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, semalam, Pesuruhjaya PAS negeri, Zulkefly Mohd Omar, bersama Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Taufek Abd Ghani, dan Ketua Muslimat PAS Pusat, Nurlidah Salleh serta Ketua Muslimat PAS negeri Fazilah Abu Samah, ditemui melawat keluarga mangsa di Hospital Tuanku Tengku Jaafar, bagi melahirkan rasa simpati mereka kepada keluarga mangsa terlibat.
Jelas Nurlidah, pihaknya mendesak siasatan terhadap kes ini dapat dijalankan secara telus dan adil, dan memberikan keadilan yang sebenar-benarnya kepada mangsa.
Menurutnya, pihak polis diharap dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh berhemah, serta tidak melakukan kecuaian sewaktu bertugas.
“Masyarakat kini berasa takut dengan polis, bukan disebabkan adanya penjenayah tetapi disebabkan kredibiliti pihak polis yang semakin diragui.SH
No comments:
Post a Comment