Monday, May 17, 2010
Pengundi muda faktor PR menang di Sibu
SHAH ALAM, 17 Mei : Pengasas Zentrum Future Studies, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah berpendapat keajaiban yang berlaku di Sibu lebih banyak dipengaruhi kebangkitan pengundi muda yang bersikap liberal.
Menurutnya, walau jumlah mereka turun amat rendah namun sudah mampu mengubah keputusan daripada kajian awal yang memihak kepada BN menjadi sebaliknya menerusi keputusan pilihan raya kecil (PRK) semalam.
Keputusan PRK P212 Sibu menyaksikan DAP menerusi calonnya, Wong Ho Leng mendapatkan 18,845 undi menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew yang mendapat 18,447 undi manakala calon Bebas, Narawi Haron cuma mendapat 232 undi.
“Bayangkan sekira mereka turun dalam peratus yang tinggi, pasti majoriti akan lebih tinggi. Apa yang berlaku di PRK P094 Hulu Selangor 25 April lalu di mana jumlah kaum muda turun amat rendah sekali tidak cukup untuk memenangkan PR.
“Sedangkan di Sibu, dalam keadaan jumlah mereka juga rendah tetapi cukup memenangkan PR kerana di waktu yang sama kadar pengundian kumpulan stagnan juga rendah,” jelasnya.
Dr Abu Hassan yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya berkata, golongan pengundi muda berusia antara 21 hingga 40 tahun memang diyakini mampu dan boleh mengubah sesuatu keputusan.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, perkembangan aliran liberal relatif mula berlaku selepas era globalisasi di mana kumpulan muda khususnya mula tidak berpegang kepada ketaksuban nilai primitif atau klasik yakni perbezaan kaum, agama, ideologi dan sebagainya.
Sebaliknya, mereka lebih melihat kepada relatif iaitu jika relatif ke positif maka di saat akhir sekali pun mereka akan berubah, bagi beliau, inilah contoh liberalisme yang meminta umat dan mengajar mereka berfikiran bebas dan pemikiran liberal relatif juga mengajar untuk bebas dalam membuat pilihan.
“Dalam kes Sibu, pengundi mula berfikiran, apa salah menerima mesej BN ketika kempen tetapi relatif untuk memilih PR kerana percaturan untuk pilih korupsi, kekayaan atau anti korupsi dan keamanan, di sinilah sikap liberal relatif ini amat baik kerana, bagi saya, ia dari pemikiran Islam,” tegasnya.
Sementara itu, Dr Abu Hassan berkata, selepas ini strategi tentang angka wajar disembunyikan kerana beliau mendapati, bila angka-angka kajian menyebelahi PR maka PR akan kalah dan bila angka-angka kajian menyebelahi BN maka PR akan menang.
Beliau juga menyebutkan kata Aristotle di dalam bukunya Retorik yang menyatakan ‘kenapa perlu diberitahu kepada musuhmu tentang masakanmu yang paling enak, kerana mereka akan menggunakan resepi itu untuk menidurkan kamu dengan kekenyangan’.
Menurutnya empat perkara utama perlu diperkemaskan menjelang pilihan raya umum ke 13 nanti melibatkan kepentingan menguasai demografi, kepentingan menguasai perubahan corak dan trend kepercayaan politik, kepentingan politikawan membina jaringan partisipasi dan literasi politik iaitu perlunya mereka turun mengundi.
No comments:
Post a Comment