Sunday, May 23, 2010

Umno/BN sebar dakyah lompat parti

ALOR SETAR, 23 Mei : Ahli Dewan Undangan Negeri Sidam, Tan Show Kang berkata isu lompat parti sengaja digembar-gemburkan oleh Umno-Barisan Nasional untuk menimbulkan suasana tidak harmoni dalam Pakatan Rakyat dan juga kerajaan negeri Kedah yang diterajui oleh Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Propaganda Umno-BN menyebarkan khabar angin bahawa beliau antara empat wakil rakyat Pakatan Rakyat yang didakwa akan melompat parti dan menjadi wakil rakyat bebas.
Sambil menafikan sekeras-kerasnya tohmahan itu, Show Kang yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri Kedah berkata dengan pengumuman terbuka beliau tidak akan menjadi wakil rakyat bebas akan menguatkan lagi Pakatan Rakyat Kedah.
"Saya akan tetap bersama-sama dengan Pakatan Rakyat dan KEADILAN yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi wakil kepada parti tersebut. Kita diberi kepercayaan untuk menjalankan tugas membela rakyat dan membawa mesej kerajaan berkebajikan yang diamalkan di negeri Kedah.
"Oleh kerana itu saya dengan ini menyatakan bahawa segala desas-desus dan berita saya akan melompat parti dan menjadi wakil rakyat bebas adalah berita jahat yang sengaja dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
"Dengan ini saya nyatakan akan terus bersama dengan KEADILAN dan Pakatan Rakyat yang memerintah negeri Kedah," tegas katanya.
Tambah beliau, rakyat sepatutnya tidak terpengaruh dan terpedaya dengan dakyah jahat yang sedang dimainkan oleh Umno-BN.
Kata beliau lagi, sebagai parti pembangkang di negeri Kedah sudah pasti Umno-BN akan melakukan apa juga tindakan bagi menumbangkan kerajaan yang sedia ada.
"Maka itu rakyat harus sentiasa berwaspada dengan berita yang seringkali dipaparkan oleh media massa kerana ini juga adalah sebahagian daripada propaganda dan mainan politik pembangkang Umno-BN di Kedah," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment