Tuesday, June 29, 2010

1 Melayu 40 B/Melayu : Hasil kerja Umno


KUALA LUMPUR, 29 Jun : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui lebih ramai bukan Melayu mendaftar sebagai pengundi selepas Pilihan Raya Umum 2008 kerana DAP paling agresif menjalankan program pendaftaran pemilih baru, terutama di kalangan belia Cina.

Sementara itu, PAS berpandangan laporan Berita Harian yang menyatakan bahawa nisbah 1 orang Melayu dan 40 bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi, ini angka petunjuk kegagalan Umno sebagai tonggak kepada negara pada hari ini untuk menyuntik kesedaran politik di kalangan orang Melayu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berpendapat perkara itu terjadi kerana Umno BN yang berkuasa di negara ini telah menjadikan generasi muda Melayu, hanyut dengan budaya hedonisme yang melampau.

Katanya, orang Melayu yang dilanda dengan budaya itu memang mereka tidak akan mempedulikan soal politik dan apa sahaja gejala rasuah yang berlaku dalam negara kita. “Umno mengharap dengan dihadang program hiburan sebegini maka mereka tidak akan mengambil peduli apa yang berlaku kepada negara ini,” katanya kepada Harakahdaily.

Maka, katanya Umno BN akan bermaharajalela untuk memfaraid harta negara kerana rakyat Melayu ini tidak mempedulikan apa yang Umno hendak lakukan seperti kapal selam yang tidak boleh menyelam, gadai harta negara seperti Blok L dan M yang berharga RM320 bilion kepada kerajaan Brunei.

“Nampaknya strategi tempang telah makan tuan sehingga orang Melayu sedikit mendaftar sebagai pengundi kerana diulit dengan program hiburan yang semakin menjadi-jadi,” ujarnya.

Katanya, PAS berpedapat bahawa akibat longgarnya pegangan agama di kalangan orang Melayu terutama remaja, sehingga mereka tidak ada kesedaran politik untuk mendaftar.

Sejarah, jelasnya membuktikan orang Melayu sedar politik pada peringkat awal apabila golongan islah yang dipimpin oleh ulamak seperti Sheikh Tahir Jalaludin dan Syed Sheikh al-Hadi yang pulang daripada Timur Tengah meniupkan kesedaran agama dan politik.

Akhirnya, kata beliau orang Melayu ada kesedaran politik dan bangkit menentang penjajah tetapi keadaan berlaku sebaliknya apabila Umno cuba merenggangkan agama dan politik, dengan membendung fungsi masjid sebagai pusat ilmu untuk menerangkan Islam yang syumul.

Maka sekarang, ujarnya terimalah padahnya kerana orang Melayu sudah mati kesedaran untuk berpolitik dan tidak berminat untuk mendaftar sebagai pengundi. (AK)

No comments:

Post a Comment